Berita Harian 19/07/07
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
PENGHAKIMAN Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam kes rayuan dua beradik Au
Meng Nam dan Ming Kong minggu lalu yang dilaporkan sebuah akhbar
menarik perhatian. Ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Mahkamah
Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram menyatakan mahkamah persekutuan (dari segi
kedudukan, Mahkamah Persekutuan adalah lebih atas dari mahkamah rayuan)
sudah khilaf keputusannya dalam kes Adorna Properties Sdn Bhd lawan
Boonsom Boonyanit.
Ruangan Peguam Syarie Menulis kali ini tidak berhasrat mengupas
prinsip dalam kes Adorna Properties tetapi melihat pemakaian ‘Doktrin
Duluan Mengikat’ di mahkamah sivil. Dalam kes di atas, mahkamah rayuan
memutuskan prinsip dalam kes Adorna Properties tidak perlu diikuti oleh
mahkamah rayuan kerana bertentangan dengan peruntukan Kanun Tanah
Negara.
Dua hakim lain iaitu Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Hasan Lah meminta
supaya semakan dibuat tetapi menegaskan mereka terikat dengan keputusan
yang dibuat mahkamah yang lebih tinggi sejajar dengan ‘Doktrin Duluan
Mengikat’. Oleh demikian, mahkamah persekutuan akan membuat semakan
terhadap keputusan berkenaan.
Gopal seterusnya mengatakan bahawa keputusan mahkamah mentafsirkan
peruntukan undang-undang secara salah tidak perlu dipatuhi mahkamah
bawahan. Dalam hal demikian, Hakim Gopal tidak mengaplikasikan ‘Doktrin
Duluan Mengikat’ itu.
‘Doktrin Duluan Mengikat’ atau ‘stare decisis’ adalah suatu kaedah di
mana prinsip keputusan sesebuah mahkamah yang lebih tinggi terpaksa
diikut oleh mahkamah bawahan tanpa mengambil kira sama ada keputusan
terdahulu itu betul atau sebaliknya.
Doktrin itu bertujuan memastikan keseragaman keputusan mahkamah. Ia
juga bagi menjamin mahkamah bawahan mengikuti keputusan mahkamah atasan.
Realitinya memang ada banyak kes di mana mahkamah bawahan tidak
mengikut prinsip itu secara harfiah dengan memberi pelbagai alasan
termasuk membezakan kes mahkamah bawahan itu dengan kes yang diputuskan
mahkamah lebih tinggi. Namun kes Au Meng Nam dan Ming Kong agak berbeza
kerana hakim menyatakan tanpa sebarang keraguan bahawa mahkamah atasan
khilaf dan tidak perlu diikuti prinsipnya.
Sebagai pengamal undang-undang yang dilatih dalam bidang guaman sivil
dan syariah, penulis terpanggil untuk memberi sedikit pandangan sambil
membuat perbandingan apa yang berlaku di mahkamah syariah.
Prinsip ‘stare decisis’ ini tidak terpakai di Mahkamah Syariah. Namun
dalam membuat sebarang keputusan di Mahkamah Syariah, hakim mahkamah
bawahan perlu menghormati prinsip kes yang diputuskan mahkamah lebih
tinggi. Tahap penghormatan itu pula tidak sampai mengikat mereka membuat
keputusan tetapi mempunyai nilai mempengaruhi keputusan mahkamah bawahan saja.
Penerimaan konsep itu boleh dilihat dalam surat Saidina Umar al
Khattab kepada Kadi Kufah, Abu Musa Asyhari bermaksud, “Dan sesiapa yang
mendakwakan sesuatu hak yang tidak ada di tempatnya, atau suatu bukti,
maka berilah tempoh kepadanya sampai ia dapat membuktikan dakwaannya.
Kemudian jika dia dapat membuktikan dakwaannya maka berilah haknya itu
tetapi jika dia tidak mampu membuktikannya maka dia berhak dikalahkan
kerana yang demikian itu lebih mantap bagi kegagalannya dan lebih
menampakkan barang yang tersembunyi. Dan jangan sekali-kali menghalangi
kepadamu sesuatu keputusan yang sudah engkau putuskan pada hari ini,
kemudian engkau tinjau kembali lalu engkau memperoleh petunjuk supaya
engkau kembali kepada kebenaran kerana sesungguhnya kebenaran itu harus
didahulukan, tidak dapat dibatalkan oleh apapun sedangkan kembali kepada
kebenaran itu lebih baik daripada terus berada dalam kebatilan.”
Adalah jelas maksud surat itu iaitu sesuatu keputusan salah boleh
dipinggirkan oleh hakim tanpa mengira tahap mahkamah itu sendiri kerana
apa yang penting ialah memberi keadilan dalam sesuatu keputusan.
Pada masa sama, Islam mengakui hakikat seorang hakim walau setinggi
manapun kedudukannya mungkin akan tersilap atau terkhilaf dalam
penghakimannya. Oleh demikian, kepatuhan secara membuta tuli tidak perlu
diberikan kepadanya.
Prinsip itu sudah dipakai mahkamah syariah sejak sekian lama. Untuk
menguatkan perkara ini, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sudah
mengeluarkan Arahan Amalan No 1 Tahun 2002
iaitu; ‘Mesyuarat sudah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai
keputusan berhubung isu, fakta dan undang-undang yang sama atau ada
persamaan yang sudah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi
hendaklah dihormati oleh mahkamah yang lebih rendah’
Arahan Amalan itu dapat menjamin sebahagian konsep penyeragaman
penghakiman tanpa menafikan kreativiti kehakiman. Dengan itu, hakim
mahkamah syariah tidak boleh mengambil jalan mudah dengan berkata beliau
terikat dengan keputusan mahkamah lebih tinggi.
Hakim perlu membuat penghakiman yang beliau yakin atas keputusannya,
dengan alasan penghakiman yang tepat dan bukan dihadkan oleh mana-mana
keputusan lain. Namun begitu, keputusan mahkamah lebih tinggi adalah
menjadi panduan kepada hakim mahkamah bawahan untuk membuat keputusan.
Apatah lagi pada masa ini kes diputuskan di Mahkamah Syariah sudah
mula dilaporkan dengan lebih sistematik di dalam Jurnal Hukum, Laporan
Undang-undang Shariah dan pelbagai jurnal undang-undang lain.
Dengan cara itu, hakim dapat memperkayakan ilmu mereka dan membuat
perbandingan kes yang dibicarakan di hadapan mereka. Apatah lagi, kita
juga perlu akur bahawa tiada satu kes pun fakta dan persoalannya sama
dengan kes yang lain. Dalam hal demikian, memang wajarlah ada sedikit
perbezaan antara keputusan mahkamah itu.
Perbezaan seperti itu perlu dilihat daripada lensa yang positif. Ia
membuka ruang kepada ijtihad dan mengelakkan ketidakadilan di samping
menyesuaikan sesuatu penghakiman dengan fakta kes dan sebagainya.
Perbezaan pandangan sebenarnya bukanlah kelemahan di kalangan umat
Islam. Ia adalah manifestasi keanjalan undang-undang Islam yang boleh
disesuaikan berdasarkan keperluan dan perubahan masa dan tempat.
Tidak salah kita berbeza pandangan dalam hal cabangan tetapi
perbezaan itu mestilah ditangani dengan cara penuh hikmah. Dalam Islam
terdapat adab yang digariskan apabila kita berbeza pandangan. Adab itu
atau apa yang dipanggil sebagai adab al-ikhtilaf mestilah dihayati bagi
mengelakkan kita terjerumus ke lembah perpecahan.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim.
0 comments:
Post a Comment