Friday 22 February 2013

Definisi Kanak-kanak Menurut Pandangan Islam




Dalam Islam, istilah kanak-kanak merujuk kepada seseorang yang belum baligh.[1] Sebelum kanak-kanak mencapai umur baligh, mereka akan melalui peringkat sebelum mumayyiz dan peringkat mumayyiz.

Peringkat sebelum mumayyiz bermula dari saat kelahiran seseorang kanak-kanak sehinggalah usianya mencapai tujuh tahun. Sepanjang tempoh ini, kanak-kanak belum mampu membezakan antara yang baik dengan yang buruk serta tidak dapat memahami kesan atau akibat bagi sesuatu perbuatan dan belum mempunyai keupayaan untuk memahami (idrak). Peringkat umur ini, kanak-kanak disebut sebagai kanak-kanak yang belum mumayyiz.[2]

Peringkat mumayyiz akan bermula apabila kanak-kanak telah cukup umur tujuh atau lapan tahun.[3] Penetapan umur tujuh tahun sebagai umur mumayyiz adalah berdasarkan Hadith yang diriwayatkan oleh Abdul Malik bin Rabic bin Sabrah dan ayahnya daripada datuknya yang bermaksud:

مُرُوْا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاْءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوْهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاْءُ عَشْرِ سِنِيْنَ

“Ajarlah (atau suruhlah) kanak-kanak bersembahyang ketika berumur tujuh tahun dan pukullah dia ketika berumur sepuluh tahun”.[4]

Pemahaman daripada Hadith di atas adalah suruhan Rasulullah (s.a.w) kepada ibu bapa supaya mengajar solat kepada kanak-kanak apabila usia mereka mencapai tujuh tahun. Pengajaran tentang mendirikan solat tidak dapat dilakukan melainkan seseorang itu mempunyai kemampuan berfikir. Secara tidak langsung, Hadith ini menerangkan kemampuan berfikir akan wujud apabila seseorang kanak-kanak berusia tujuh tahun. Oleh itu, kanak-kanak yang sudah mencapai tahap pemikiran tamyiz disebut sebagai kanak-kanak mumayyiz.[5] Apabila kanak-kanak mencapai umur baligh, mereka dianggap mempunyai kemampuan berfikir dan boleh membuat keputusan yang munasabah mengenai sesuatu perkara terutama yang berkaitan dengan dirinya.

Cara untuk menentukan baligh seseorang kanak-kanak ialah melalui baligh secara tabi’i dan baligh berdasarkan umur. Kanak-kanak perempuan dianggap mencapai umur balgh apabila didatangi haid[6] dan bagi kanak-kanak lelaki apabila keluar air mani.[7] Manakala penentuan baligh berdasarkan umur ditentukan apabila tanda-tanda fizikal tidak berlaku pada tubuh badan kanak-kanak. Oleh itu, fuqaha’ meletakkan tahap umur tertentu sebagai umur baligh. Mengikut mazhab Hanafi,[8] Shafi’i,[9] dan Hanbali,[10] seseorang kanak-kanak dianggap sebagai baligh apabila berusia lima belas tahun.[11] Bagi mazhab Maliki[12] pula menghadkan umur tujuh belas tahun sebagai umur baligh.



[1] Jalal al-Din cAbd Rahman al-Suyyutiy. t.th. al-‘Ashbah wa al-Naza’ir fi qawacid wa  furuc fiqh al-Shaficiyyah. Al-Halabi: Kaherah. Hlm. 240; Zayn al-cAbidin bin Ibrahim bin Nujaym. al-‘Ashbah wa al-Naza’ir cala madhhab Abi Hanifah al-Nucman. 1378H/1968. Mu’assasah al-Halabi: Kaherah. Hlm. 306. “Tiga orang yang tidak dikira sebagai bertanggungjawab ke atas perbuatannya, iaitu seorang yang tidur sehingga dia sedar daripada tidurnya, seorang kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh) dan seorang yang gila sehingga dia siuman”. al-Darimiy. Sunan. Kitab al-Hudud, Bab Rafcu al-qalam can thalath.
[2] cAbd al-Qadir cAwdah. 1994. al-Tashric al-Jina’i al-Islami: Muqaranan bi al-Qanun al-Wadci. Jil. 1. Ed. Ke-13. Mu’assasah al-Risalah: Beirut. Hlm. 601.
[3] Al-Hisniy. Kifayah al-Akhyar. Jil. 2. Hlm. 151; Muhammad Abu Zuhrah. t.th. al-Jarimah wa    al-Uqubah. Dar al-Fikr al-cArabi: Kaherah. Hlm. 162.
[4] Abu Dawud. Sunan. Kitab al-Salah. Bab Mata Yu’mar al-Ghulam bi al-Salah; al-Tirmidhiy. Sunan. Kitab al-Salah. Bab Ma Ja’a Mata Yu’mar al-Ghulam bi al-Salah.
[5] Muhammad Salam Madkur. 1976. Usul al-Fiqh al-Islami. Dar al-Nahdah: Kaherah. Hlm. 81.
[6] Pendapat ini berdasarkan Hadith Nabi (s.a.w) bahawa Asm’ bin Abu Bakar masuk ke rumah Rasulullah (s.a.w) dengan berpakaian yang nipis, lalu baginda berpaling daripada melihatnya dan bersabda: “Wahai Asma’! Apabila seseorang perempuan itu mencapai umur haid (baligh), maka tidak boleh dilihat padanya kecuali ini dan ini”- sambil baginda tunjukkan pada muka dan dua tapak tangannya. Lihat Abi cAbda Llah Muhammad bin Idris al-Shaficiy. al-Umm. Jil. 2. al-Dar al-Misriyyah: Mesir. 1321H. Hlm.223. Lihat juga Abu Dawud. Sunan, Kitab al-Libas. Bab fi ma tubdi al-mar’at min zinatiha;
[7] Abi Ishaq al-Shiraziy. t.th. al-Muhadhdhab. Jil. 1. Maktabah cIsa al-Babi al-Halabi: Mesir. Hlm. 330; al-Darimiy. Sunan, Kitab al-Hudud, Bab Rafcu al-Qalam can thalath; ibid., al-Shaficiy. al-Umm. Jil. 2. Hlm. 223; Abi Muhammad  cAbda Llah bin Ahmad bin Muhammad bin Qudamah. 1969. Al-Mughni. Jil. 4. Maktabah al-Qahirah. Hlm. 345.
[8] Ibn al-Hummam. Sharh fath al-qadir. Jil. 30; al-Sarakhsiy. Al-Mabsut. Jil. 6. Hlm. 46. Pendapat yang mengatakan lima belas tahun sebagai umur baligh adalah berdasarkan pendapat Abu Yusuf dan Muhammad. Abu Hanifah diriwatkan meletakkan umur tujuh belas tahun bagi lelaki dan perempuan sebagai umur baligh dan dalam satu riwayat lain pula dikatakan pada umur lapan belas bagi lelaki dan tujuh belas tahun bagi perempuan. Lihat ibid., Ibn Qudamah. 1969. Al-Mughni. Jil. 4. Hlm. 346.
[9] ibid., al-Shiraziy. t.th. al-Muhadhdhab. Jil. 1. Hlm. 330; Ibn Qudamah. 1969. Al-Mughni. Jil. 4. Hlm. 346; al-Shaficiy. al-Umm. Jil. 2. Hlm. 223; Shihab al-Din Ahmad bin Ahmad bin Salamah al-Qalyubiy dan Shihab al-Din Ahmad al-Barlasiy. 1956. Hashiyatani Qalyubiy wa cUmayrah. Jil. 2. Ed. Ke-2. Maktabah Mustafa al-Babi al-Halabi: Mesir.
[10] Shams al-Din Muhammad bin cAbad Llah al-Zarkashiy. 1993. Sharh al-Zarkashiy cala mukhtasar al-Kharqiy. Maktabah al-cAikan: Riyad. Hlm. 95.
[11] Abu Dawud. Sunan, Kitab al-Hudud, Bab fi al-Ghulam Yusib al-hadd; al-Tirmidhiy. Sunan, Kitab al-Jihad, Bab ma ja’a fi had al-bulugh al-rajul wa mata yufrad lahu.
[12] Shams al-Din Muhammad al-Dusuqiy. t.th. Hashiyah al- Dusuqiy cala al-Sharh al-Kabir. Jil. 3. Maktabah Zahran: Kaherah. Hlm. 293.

Sharing is caring ^_^

Mahkamah Syariah Tak Praktis ‘Stare Decisis’ (Duluan Mengikat)

Berita Harian 19/07/07

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

PENGHAKIMAN Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam kes rayuan dua beradik Au Meng Nam dan Ming Kong minggu lalu yang dilaporkan sebuah akhbar menarik perhatian. Ketika membacakan penghakiman itu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Gopal Sri Ram menyatakan mahkamah persekutuan (dari segi kedudukan, Mahkamah Persekutuan adalah lebih atas dari mahkamah rayuan) sudah khilaf keputusannya dalam kes Adorna Properties Sdn Bhd lawan Boonsom Boonyanit.

Ruangan Peguam Syarie Menulis kali ini tidak berhasrat mengupas prinsip dalam kes Adorna Properties tetapi melihat pemakaian ‘Doktrin Duluan Mengikat’ di mahkamah sivil. Dalam kes di atas, mahkamah rayuan memutuskan prinsip dalam kes Adorna Properties tidak perlu diikuti oleh mahkamah rayuan kerana bertentangan dengan peruntukan Kanun Tanah Negara.

Dua hakim lain iaitu Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Hasan Lah meminta supaya semakan dibuat tetapi menegaskan mereka terikat dengan keputusan yang dibuat mahkamah yang lebih tinggi sejajar dengan ‘Doktrin Duluan Mengikat’. Oleh demikian, mahkamah persekutuan akan membuat semakan terhadap keputusan berkenaan.

Gopal seterusnya mengatakan bahawa keputusan mahkamah mentafsirkan peruntukan undang-undang secara salah tidak perlu dipatuhi mahkamah bawahan. Dalam hal demikian, Hakim Gopal tidak mengaplikasikan ‘Doktrin Duluan Mengikat’ itu.

‘Doktrin Duluan Mengikat’ atau ‘stare decisis’ adalah suatu kaedah di mana prinsip keputusan sesebuah mahkamah yang lebih tinggi terpaksa diikut oleh mahkamah bawahan tanpa mengambil kira sama ada keputusan terdahulu itu betul atau sebaliknya.

Doktrin itu bertujuan memastikan keseragaman keputusan mahkamah. Ia juga bagi menjamin mahkamah bawahan mengikuti keputusan mahkamah atasan.

Realitinya memang ada banyak kes di mana mahkamah bawahan tidak mengikut prinsip itu secara harfiah dengan memberi pelbagai alasan termasuk membezakan kes mahkamah bawahan itu dengan kes yang diputuskan mahkamah lebih tinggi. Namun kes Au Meng Nam dan Ming Kong agak berbeza kerana hakim menyatakan tanpa sebarang keraguan bahawa mahkamah atasan khilaf dan tidak perlu diikuti prinsipnya.

Sebagai pengamal undang-undang yang dilatih dalam bidang guaman sivil dan syariah, penulis terpanggil untuk memberi sedikit pandangan sambil membuat perbandingan apa yang berlaku di mahkamah syariah.

Prinsip ‘stare decisis’ ini tidak terpakai di Mahkamah Syariah. Namun dalam membuat sebarang keputusan di Mahkamah Syariah, hakim mahkamah bawahan perlu menghormati prinsip kes yang diputuskan mahkamah lebih tinggi. Tahap penghormatan itu pula tidak sampai mengikat mereka membuat keputusan tetapi mempunyai nilai mempengaruhi keputusan mahkamah bawahan saja.

Penerimaan konsep itu boleh dilihat dalam surat Saidina Umar al Khattab kepada Kadi Kufah, Abu Musa Asyhari bermaksud, “Dan sesiapa yang mendakwakan sesuatu hak yang tidak ada di tempatnya, atau suatu bukti, maka berilah tempoh kepadanya sampai ia dapat membuktikan dakwaannya. Kemudian jika dia dapat membuktikan dakwaannya maka berilah haknya itu tetapi jika dia tidak mampu membuktikannya maka dia berhak dikalahkan kerana yang demikian itu lebih mantap bagi kegagalannya dan lebih menampakkan barang yang tersembunyi. Dan jangan sekali-kali menghalangi kepadamu sesuatu keputusan yang sudah engkau putuskan pada hari ini, kemudian engkau tinjau kembali lalu engkau memperoleh petunjuk supaya engkau kembali kepada kebenaran kerana sesungguhnya kebenaran itu harus didahulukan, tidak dapat dibatalkan oleh apapun sedangkan kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada terus berada dalam kebatilan.”

Adalah jelas maksud surat itu iaitu sesuatu keputusan salah boleh dipinggirkan oleh hakim tanpa mengira tahap mahkamah itu sendiri kerana apa yang penting ialah memberi keadilan dalam sesuatu keputusan.

Pada masa sama, Islam mengakui hakikat seorang hakim walau setinggi manapun kedudukannya mungkin akan tersilap atau terkhilaf dalam penghakimannya. Oleh demikian, kepatuhan secara membuta tuli tidak perlu diberikan kepadanya.

Prinsip itu sudah dipakai mahkamah syariah sejak sekian lama. Untuk menguatkan perkara ini, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sudah mengeluarkan Arahan Amalan No 1 Tahun 2002 iaitu; ‘Mesyuarat sudah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai keputusan berhubung isu, fakta dan undang-undang yang sama atau ada persamaan yang sudah diputuskan oleh mahkamah yang lebih tinggi hendaklah dihormati oleh mahkamah yang lebih rendah’

Arahan Amalan itu dapat menjamin sebahagian konsep penyeragaman penghakiman tanpa menafikan kreativiti kehakiman. Dengan itu, hakim mahkamah syariah tidak boleh mengambil jalan mudah dengan berkata beliau terikat dengan keputusan mahkamah lebih tinggi.

Hakim perlu membuat penghakiman yang beliau yakin atas keputusannya, dengan alasan penghakiman yang tepat dan bukan dihadkan oleh mana-mana keputusan lain. Namun begitu, keputusan mahkamah lebih tinggi adalah menjadi panduan kepada hakim mahkamah bawahan untuk membuat keputusan.

Apatah lagi pada masa ini kes diputuskan di Mahkamah Syariah sudah mula dilaporkan dengan lebih sistematik di dalam Jurnal Hukum, Laporan Undang-undang Shariah dan pelbagai jurnal undang-undang lain.
Dengan cara itu, hakim dapat memperkayakan ilmu mereka dan membuat perbandingan kes yang dibicarakan di hadapan mereka. Apatah lagi, kita juga perlu akur bahawa tiada satu kes pun fakta dan persoalannya sama dengan kes yang lain. Dalam hal demikian, memang wajarlah ada sedikit perbezaan antara keputusan mahkamah itu.

Perbezaan seperti itu perlu dilihat daripada lensa yang positif. Ia membuka ruang kepada ijtihad dan mengelakkan ketidakadilan di samping menyesuaikan sesuatu penghakiman dengan fakta kes dan sebagainya.

Perbezaan pandangan sebenarnya bukanlah kelemahan di kalangan umat Islam. Ia adalah manifestasi keanjalan undang-undang Islam yang boleh disesuaikan berdasarkan keperluan dan perubahan masa dan tempat.

Tidak salah kita berbeza pandangan dalam hal cabangan tetapi perbezaan itu mestilah ditangani dengan cara penuh hikmah. Dalam Islam terdapat adab yang digariskan apabila kita berbeza pandangan. Adab itu atau apa yang dipanggil sebagai adab al-ikhtilaf mestilah dihayati bagi mengelakkan kita terjerumus ke lembah perpecahan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim.

Sharing is caring ^_^