DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH DI KUALA
TERENGGANU
DALAM NEGERI TERENGGANU
DALAM PERKARA
PERMOHONAN PERMOHONAN INTER-PARTE TUNTUTAN HADHANAH DAN NAFKAH ANAK
PEMOHONAN NO:
11000-028-****-2010
ANTARA
PEMOHON
DENGAN
1. RESPONDEN
1
2. RESPONDEN
2
3. RESPONDEN
3
PENGHUJAHAN BERTULIS PEGUAM SYARIE
RESPONDEN-RESPONDEN
Yang Arif Hakim,
FAKTA RINGKASAN DAN LATAR BELAKANG KES
1.
Ini adalah permohonan inter-parte
Responden-Responden bagi mengetepikan dan membatalkan Perintah Sementara
ex-parte bertarikh 22-08-2010 yang memerintahkan hak jagaan sementara anak yang
bernama A dan B yang telah diberikan kepada Pemohon;
2. Responden
Pertama memohon agar hak penjagaan anak yang bernama A dan B diserahkan kepada
beliau sebagai ibu kandung ;
3. Jika
sebaliknya berlaku, Responden Kedua dan Responden Ketiga menuntut supaya hak
jagaan kanak-kanak bernama A dan B diserahkan kepada mereka berdua sebagai
nenek dan datuk sebelah ibu kepada kanak-kanak tersebut sepertimana yang telah
diperuntukkan oleh hukum syarak;
4. Responden-Responden
juga memohon agar Pemohon diberi hak lawatan dan bersama anak-anak tersebut pada
bila-bila masa yang munasabah dengan memaklumkan kepada Responden-Responden
terlebih dahulu.
5. Kos
permohonan ini adalah ditanggung oleh pihak masing-masing.
6. Responden
juga memohon agar lain-lain relif yang difikirkan perlu dan wajar diberikan
oleh Mahkamah Yang Mulia ini.
7.
Alasan – alasan permohonan ini adalah
sepertimana yang dinyatakan oleh Responden – Responden di dalam Notis
Permohonan tersebut.
Secara ringkasnya hujahan Responden dan bantahan – bantahan
Responden bagi permohonan ini antara lainnya ialah sepertimana berikut :-
1.
Pemohonan
bagi mendapatkan Perintah ( ex-parte ) tersebut tidak berdasarkan
perkara-perkara yang benar dan jujur dan menafikan hak Responden Pertama
sebagai ibu.
Pemohonan bagi
mendapatkan Perintah ( ex-parte ) tersebut tidak berdasarkan
perkara-perkara yang benar dan jujur. Pemohon di dalam kes ini seolah-olah cuba
untuk menafikan hak-hak Responden Pertama sebagai ibu kandung kepada anak-anak
tersebut sedangkan semasa perbicaraan bagi kes perceraian di antara Pemohon dan
Responden Pertama, Yang Arif Hakim Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu
tidak pernah menyatakan bahawa Responden Pertama telah hilang kelayakan Hadanah
terhadap anak-anak tersebut. Isu hak
jagaan anak hanya timbul di dalam bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala
Terengganu dan bukannya di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu. Apa yang
penting ialah kebajikan dan
pendidikan anak adalah lebih diutamakan daripada faktor yang lain.
Mahkamah harus melihat kepada faktor semasa dan bukannya melihat kepada sejarah
perceraian antara kedua-dua pihak. Tambahan pula setakat ini tiada apa-apa
bukti dikemukakan oleh pihak Pemohon untuk menyatakan bahawa Responden –
Responden tidak layak untuk mendapat hak jagaan anak-anak tersebut samada
Perintah mahkamah ataupun sebaliknya. Ianya hanyalah dakwaan semata-mata. Tidak
ada langsung dokumen dikemukakan untuk menyokong permohonan Pemohon.
2. Pemohon telah
gagal untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga yang
sepatutnya dan memberi contoh kepada Pemohon dan anak-anak.
Responden
seterusnya ingin menyatakan bahawa Pemohon sebenarnya tidak bertanggungjawab
dan tidak menjaga kebajikan anak-anak tersebut. Sejak anak-anak tersebut berada
di bawah jagaan jagaan Pemohon, Responden Pertama telah difahamkan bahawa
kesihatan diri anak-anak tersebut seringkali terganggu. Anak pertamanya iaitu A mengalami penyakit asma serta memerlukan perhatian dan rawatan susulan
daripada pihak doktor. Manakala anak keduanya iaitu B juga mengalami penyakit
asma dan jangkitan alergi yang turut memerlukan rawatan susulan
daripada pihak hospital. Ianya berbeza semenjak anak-anak tersebut tinggal
dengan Responden-Responden. Ini boleh dilihat berdasarkan kepada laporan perubatan
yang dikeluarkan oleh Kuala Terengganu Specialist di dalam Ekshibit “ 1” dalam Afidavit Responden 1 ( Afidavit Jawapan Responden 1 ). Semasa
anak-anak tersebut tinggal dengan Responden–Responden keadaan mereka adalah
baik dan kehidupan dan kesihatan mereka
terjamin.
Pihak Responden
merasakan bahawa merosotan kesihatan kanak-kanak tersebut ada kaitannya dengan
keadaan persekitaran tempat tinggal yang didiami oleh Pemohon bersama anak-anak
pada ketika ini. Pihak Responden di dalam Afidavit Jawapan yang diikrarkan pada
27-1-2011 telah mengemukakan salinan gambar-gambar yang menunjukkan keadaan rumah dan keadaan persekitaran
rumah yang amat tidak sesuai dan selesa untuk didiami oleh anak-anak
tersebut. ( Sila rujuk kepada Ekshibit
“ 2” Afidavit Responden 1( Afidavit Jawapan Responden 1 )..
Ditambah lagi
dengan faktor keselamatan keadaan sekeliling, ianya jelas amat membahayakan
anak-anak tersebut untuk keluar dan bermain-main di halaman rumah. Pihak
Responden bimbang jika sekiranya Pemohon terus dibenarkan untuk menjaga
anak-anak tersebut, keadaan yang lebih buruk lagi akan berlaku. Tambahan lagi,
pada masa sekarang ini kes-kes jenayah yang membabitkan kanak-kanak diculik,
diperkosa dan sebagainya semakin berleluasa di negara kita ini akibat kecuaian
ibubapa memberi perhatian yang sempurna kepada anak-anak.
Apakah jaminan
keselamatan anak-anak tesebut dapat dijamin oleh Pemohon sehinggalah anak-anak
tersebut boleh berdikari. Pihak kami menyatakan bahawa Responden – Responden
sangat bimbang dengan faktor keselamatan dan kebajikan anak-anak tersebut.
Malahan suasana pembesaran dalam keadaan persekitaran yang daif ini boleh
membantutkan pendidikan anak-anak tersebut .
Firman Allah:-
Terjemah: “Dan
Allah menjadikan bagimu rumah-rumahmu sebagai tempat tinggal ( mendapat
ketenangan darinya )…”
(
Surah al-Nahl 16:80 )
Pihak Responden
juga ingin menyatakan di sini bahawa Pemohon sebenarnya tidak pernah mempunyai
seorang pembantu rumah yang
beragama Islam bagi menjaga kebajikan anak-anak tersebut sepanjang beliau
keluar untuk bekerja. Bahkan, Pemohon telah menyerahkan hak jagaan anak-anak
tersebut kepada nenek tiri Pemohon
yang sudah berumur. Tambahan pula, nenek tiri Pemohon tersebut tidak
pernah menjaga anak-anak tersebut sejak daripada kecil dan sudah semestinya
banyak perkara yang tidak diketahui oleh nenek tiri Pemohon tersebut berkenaan
dengan makanan yang sesuai bagi anak-anak dan juga benda-benda lain yang
membabitkan kemaslahatan anak-anak tersebut.
Ianya berlainan
dengan keadaan dan kedudukan Responden – Responden sebagai nenek kandung dan datuk kandung sebelah ibu. Mereka
mempunyai sepenuh masa untuk bersama
cucu- cucu mereka di rumah berbanding dengan Pemohon. Malahan kebajikan
serta pendidikan adalah lebih teratur dan sempurna jika dibandingkan dengan
Pemohon. Keadaan rumah dan persekitaran Pemohon sudah cukup menjelaskan keadaan
kehidupan anak-anak tersebut. Apatah lagi sekiranya mahkamah menilai dalam
rumah tersebut. Keadaan rumah yang tidak terurus serta tidak sempurna jika
dibandingkan dengan rumah dan persekitaran yang diduduki oleh Responden –
Responden.
Di dalam kes BADRUL
HISHAM BIN MOHAMED RAMLI –lawan- HAYATI BT MOHAMED NAZIR (2008)
JH 25 BHG 1 yang mana kes ini melibatkan permohonan mengenepikan perintah
ex-parte. Dalam kes ini Mahkamah telah mengeluarkan perintah ex-parte kepada
Pemohon. Pemohon telah memberi beberapa alasan yang munasabah seperti berikut:-
1. Responden
telah dinafikan haknya untuk bersama dan bermalam dengan 3 orang anaknya oleh
Pemohon tanpa sebarang alasan yang munasabah dari Hukum Syara’. Semasa membuat
permohonan, Responden telah dinafikan haknya hampir sebulan untuk bersama dan
bermalam dengan 3 orang anak tersebut.
2. Pihak
Responden telah mengemukakan 2 laporan doktor mengenai kecederaan 2 orang anak
tersebut.
3. Permohonan
hak jagaan ex-parte ini dibuat di atas prinsip bahawa Responden sebagai
ibu kandung yang amat risau terhadap kebajikan dan keselamatan ketiga-tiga anak
tersebut dan hak untuk bersama dengan 3 orang anak dinafikan oleh Pemohon tanpa
alasan yang munasabah dari segi Hukum Syara’.
Berdasarkan alasan
tersebut, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah sementara hak hadhanah
diberikan kepada Responden (ibu) dan bapa diberikan hak lawatan munasabah. Bapa
sebagai Pemohon telah membuat permohonan inter parte untuk mengenepikan
perintah tersebut.
Mahkamah memutuskan dengan menolak dan
mengenepikan perintah ex-parte yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah
pada 3 Oktober 2006 dan Mahkamah mengekalkan persetujuan bersama sepertimana di dalam
Akuan Bersumpah.
Antara alasan –
alasan yang dikemukakan oleh Pemohon dalam membuat permohonan untuk
mengenepikan perintah ex-parte tersebut dengan memberikan tiga alasan
iaitu seperti berikut:-
1. Responden
telah menyalahgunakan proses Mahkamah untuk mendapatkan perintah ex-parte tersebut
dengan mengemukakan alasan-alasan yang tidak benar dan tidak berlandaskan
bukti-bukti kukuh bagi menyokong permohonan mendapatkan perintah tersebut.
a) Responden
telah menyalahgunakan proses Mahkamah dan tidak mengikut Arahan Amalan No.11 Tahun
2003 dengan tidak menyerahkan salinan permohonan dan perakuan segera kepada
Pemohon.
b) Responden
juga adalah seorang yang tidak jujur dan telah memasukkan pengataan-pengataan
yang tidak benar di dalam afidavitnya untuk mendapatkan perintah ex-parte
tersebut.
c) Malah,
Responden cuba mengelirukan Mahkamah yang mulia ini dengan menggunakan
alasan-alasan yang tidak kukuh serta tidak berunsur keterdesakan dan keperluan
bagi Responden mendapatkan perintah ex-parte
tersebut.
d) Responden
hanya beralasan bahawa hak lawatan dan bersama-sama anak-anak tersebut telah
dinafikan oleh Pemohon semata-mata bagi mendapatkan perintah ex-parte tersebut
sedangkan tiada unsur keterdesakan dan keperluan yang munasabah yang
dikemukakan oleh Responden.
e) Kewujudan
unsur keterdesakan di dalam sesuatu permohonan ex-parte dapat dilihat di
dalam kes Haslinda binti Alias lwn John Matthew Byrne @ Yahya bin Abdullah yang
mana anak-anak adalah kemungkinan besar akan dibawa keluar dari Malaysia oleh
Defendan berdasarkan bukti-bukti yang kukuh.
f) Pemohon
juga telah mengemukakan bukti yang jelas bahawa anak-anak tersebut enggan
tinggal bersama Responden disebabkan sikap panas baran Responden dan pernah
memukul serta mencederakan anak-anak tersebut sebagaimana di dalam ekshibit
“BHM-12” affidavit Pemohon tersebut.
2. Responden
gagal membentangkan kepada Mahkamah yang mulia ini fakta sebenarnya dan
sepenuhnya dalam permohonan mendapatkan perintah ex-parte tersebut.
a) Responden
menyatakan bahawa terdapat persetujuan secara lisan mengenai hak jagaan
anak-anak tersebut selepas perceraian di antara Pemohon dan Responden. Namun
begitu, tiada nama saksi yang dinyatakan oleh Responden di dalam afidavitnya
untuk mendapatkan perintah ex-parte tersebut yang boleh menyokong
pengataan Responden tersebut.
b) Responden
juga gagal mengemukakan fakta sebenarnya dan sepenuhnya mengenai sebab-sebab
Responden wajar mendapatkan perintah ex-parte tersebut dan hak jagaan
anak-anak tersebut wajar diserahkan kepada Responden.
c) Responden
juga gagal mengemukakan fakta bahawa Pemohon adalah tidak layak untuk menjadi
hadhinah kepada anak-anak tersebut.
d) Selanjutnya
Responden juga gagal mengemukakan bukti-bukti yang kukuh yang boleh menjadi
sandaran yang kukuh bagi Responden mendapatkan perintah ex-parte
tersebut. Sebaliknya, Responden hanya mengemukakan tuduhan-tuduhan yang tidak
berasas terhadap Pemohon dan bukti-bukti yang lemah yang dapat disangkal oleh
Pemohon.
3. Kebajikan dan pendidikan khususnya berkaitan dengan
akhlak Islamiyyah anak-anak tersebut akan terjejas sekiranya hak jagaan
diserahkan kepada Responden.
Di atas
alasan-alasan dan hujahan yang diberikan oleh pihak peguam yang bijaksana.
Mahkamah dapati hujahan dan alasan-alasan yang diberikan oleh Responden di
dalam permohonan ex-parte tersebut tidak memenuhi dan menepati kehendak
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Melaka) 2002, sek. 201(2),
(3)(a)(b)(c )(d) dan Arahan Amalan No.13 Tahun 2003 dan No. 10 Tahun 2006. Maka
dengan ini Mahkamah menolak dan mengenepikan perintah ex-parte
yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah pada 3 Oktober 2006 dan Mahkamah
mengekalkan persetujuan bersama sepertimana di dalam Akaun Bersumpah tersebut.
Oleh yang
demikian, berdasarkan kepada kes di atas serta merujuk kepada kes di hadapan
kita, ianya jelas menunjukkan bahawa Pemohon telah gagal membuktikan kepada
mahkamah alasan-alasan yang mendesak untuk membolehkan mahkamah mengekalkan hak
jagaan kepada Pemohon. Malahan perintah exparte tersebut telah memberi kesan
dan impak negatif yang lebih besar kepada anak-anak dan Responden – Responden.
Hubungan dan
kemesraan anak-anak dengan ibu kandung, nenek dan datuk kandung semakin
renggang. Emosi anak-anak yang lebih rapat dengan Responden – Responden telah
terganggu dan selalu meminta di bawa pulang ke pangkuan ibu dan neneknya di
Johor. Untuk mengelakkan kemudharatan yang lebih besar terhadap anak-anak
tersebut adalah wajar perintah exparte tersebut diubah dan/atau dibatalkan
dengan serta merta. Apa yang penting disini adalah kebajikan anak-anak menjadi
keutamaan.
Isu peribadi
antara Pemohon dan Responden biarlah berlalu menjadi lipatan sejarah. Pemohon
sepatutnya menerima ketentuan Allah bahawa sudah tiada jodoh antara
kedua-duanya dan bukannya mengheret isu peribadi yang akan menjadikan anak-anak
sebagai mangsa dalam pergolakan rumahtanga. Yang lalu. Oleh itu berilah ruang
kepada anak-anak tersebut untuk membesar bersama Responden – Responden yang
masih mempunyai rantai kekeluargaan
yang lebih sempurna iaitu anak-anak membesar dalam suasana mempunyai ibu, nenek dan datuk kandung.
Malahan hidupan anak-anak tersebut adalah lebih terjamin dan sempurna
berbanding dengan Pemohon yang banyak mendapat belas kasihan daripada nenek
tiri dan adik beradik untuk membesarkan anak-anak tersebut. Adakah keadaan
sebegini akan terus berterusan ?
Pihak kami
bimbang anak – anak tersebut membesar dalam keadaan yang selalu meraih simpati dari orang lain walhal
masih ada yang sanggup memelihara, mendidik dan membesarkan anak-anak tersebut. Kepentingan peribadi perlu diketepikan oleh
semua pihak dan mahkamah ini bukanlah tempat untuk mencari kemenangan yang mana
akhirnya akan merosakkan masa hadapan anak-anak tersebut. Oleh yang demikian,
letaklah sesuatu pada “ HAK “ nya dan
bukannya mengikut nafsu dan emosi semata – mata.
Pihak kami tidak
menafikan hak Pemohon sebagai bapa kandung, tetapi hak anak- anak untuk
mendapat kebajikan, pendidikan, pembesaran yang sihat, persekitaran kehidupan
kelas pertama ( 1st class ) adalah menjadi keutamaan di dalam kes ini. Pihak kami tidak nampak bahawa
Pemohon sebagai bapa tunggal boleh memberi yang terbaik untuk anak-anak
tersebut.
3. Pemohon tidak
menyatakan alasan-alasan yang kukuh dan mendesak di dalam memperolehi hak
jagaan sementara anak tersebut. Anak-anak tersebut masih di bawah umur dan
Responden adalah lebih layak dan berhak mendapat penjagaan mengikut hukum
syarak.
Terdapat sebuah kisah pada zaman Rasulullah S.A.W. bahawa seorang perempuan datang berjumpa
baginda lalu berkata, “Wahai Rasulullah sesungguhnya anak saya ini telah
dikandung di dalam perut saya, buah dada saya boleh memberikan susu kepadanya
dan ribaan saya boleh memberi tempat perlindungan untuknya. Namun begitu
bapanya telah menceraikan saya dan mahu merampas anak ini daripada saya”.
Baginda bersabda:
أنت أحق به ما لم تنكحي
Terjemahan: Kamu adalah orang yang berhak
selagi kamu belum berkahwin lain.
Seterusnya Baginda bersabda:
من فرق بين والدة وولدها، فرق الله بينه وبين أحبته يوم القيامة
Terjemahan: Sesiapa yang memisahkan antara
ibu dengan anaknya, nescaya Allah memisahkannya daripada orang yang dikasihinya
pada Hari Kiamat”.
Di dalam Enakmen Undang-undang Pentadbiran
Keluarga Islam Terengganu 1985 seksyen 80 juga telah memperuntukkan
bahawa:-
“Orang-orang yang
berhak menjaga kanak-kanak”.
(1) Tertakluk
kepada seksyen 81, ibu adalah yang paling berhak dari
segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam
perkahwinan dan juga selepas
perkahwinannya dibubarkan.
(2) Jika Mahkamah
berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syara' dari
mempunyai hak terhadap hadanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk
kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut
mengikut susunan keutamaan
yang berikut, iaitu-
(a) nenek
sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
(b) bapa; ( bapa merupakan pihak ketiga
setelah ibu dan nenek
– di
tekankan di sini )
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas
peringkatnya;
(d) saudara perempuan seibu sebapa;
(e) saudara perempuan seibu;
(f) saudara perempuan sebapa;
(g) emak saudara sebelah ibu;
(h) anak perempuan bagi saudara perempuan
seibu sebapa;
(i) anak perempuan bagi saudara perempuan
seibu;
(j) anak perempuan bagi saudara perempuan
sebapa;
(k) anak perempuan bagi saudara lelaki;
(l) emak saudara sebelah bapa;
(m) waris lelaki yang menjadi 'asabah.
(3) Tiada
seseorang lelaki berhak terhadap penjagaan seseorang kanak-kanak perempuan
melainkan lelaki itu adalah seorang mahram, iaitu, dia mempunyai pertalian
dengan kanak-kanak perempuan itu dalam mana dia dilarang berkahwin dengannya.
(4) Jika ada
beberapa orang dari keturunan atau peringkat yang sama, kesemuanya sama
berkelayakan dan bersetuju menjaga kanak-kanak itu, penjagaan hendaklah
diamanahkan kepada orang yang mempunyai sifat-sifat paling mulia yang
menunjukkan perasaan paling kasih sayang kepada kanak-kanak itu, dan jika
kesemuanya sama mempunyai sifat-sifat kemuliaan, maka yang tertua antara mereka
adalah berhak mendapat keutamaan.
Manakala s.81 memperuntukan:-
“Kelayakan-kelayakan
yang perlu untuk penjagaan”.
Hadinah, iaitu,
perempuan yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak
menjalankan hak terhadap hadanah jika-
(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia adalah sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia
memberi kepada kanak-kanak itu
jagaan dan kasih sayang yang mungkin
diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak
Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana
kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi
apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau
jasmani.
Berdasarkan
kepada dalil dan bukti sepertimana di atas, jelaslah di sini bahawa hak
penjagaan bagi kedua-dua anak tersebut adalah menjadi hak pihak Responden dan
pihak Pemohon tidak mempunyai sebarang hak dari segi syarak untuk menafikannya.
Dari segi susunan keutamaan penjagaan, bapa ( Pemohon ) adalah pihak ketiga
yang layak untuk mendapatkan hak jagaan selepas 1) ibu kandung 2) nenek kandung sebelah ibu menurut hukum
syarak dan undang-undang. Tentulah ada hikmah disebalik susunan hak penjagaan
di buat begitu oleh syarak dan undang-undang.
Responden Pertama
juga ingin menyatakan di sini bahawa tujuan beliau mengakui mempunyai hubungan
sulit dengan orang ketiga semasa perbicaraan bagi kes perceraian beliau dengan
Pemohon adalah helah semata-mata. Beliau terpaksa berbuat demikian supaya
Pemohon segera melepaskannya tanpa perlu melalui proses yang panjang yang mana
ianya akan memberi kemudaratan kepada beliau sebagai seorang wanita.
Responden Pertama
pernah terbaca daripada majalah dan juga akhbar berkenaan kes yang melibatkan
perceraian di antara pasangan suami isteri di mana kes seperti ini boleh
memakan masa yang panjang dan sehingga memaksa pasangan turun naik mahkamah
berulang-ulang kali. Lebih buruk lagi, jika sekiranya ianya memakan masa
bertahun-tahun untuk diselesaikan.
Tambahan pula, Responden Pertama tinggal di Johor
dan kes perceraiannya dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu.
Di dalam hal ini Responden Pertama melihat bahawa keperluan untuk melakukan
helah tersebut adalah lebih tepat bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar
berlaku kepada dirinya. Beliau tidak mahu merasakan seperti dianiaya
sepertimana yang berlaku di dalam kes-kes perceraian yang melibatkan pasangan
lain sebelum ini. Responden Pertama faham akibat daripada helah yang
digunakannya itu, nama baiknya sebagai seorang wanita telah tercemar kerana
pensabitan nusyuz ini adalah satu kesalahan dari segi syarak dan masyarakat
akan memandang serong kepada dirinya. Namun begitu, Responden Pertama tidak
mempunyai pilihan dan terpaksa juga berbuat demikian.
Walaupun
Responden Pertama menyatakan dengan jelas alasan beliau berbuat helah
sedemikian, tetapi beliau tetap mengakui kesilapannya dan beliau sendiri
telahpun bertaubat nasuha dan mengharapkan supaya Allah mengampuni dosa-dosa
yang telah dilakukannya sebelum ini.
Walaubagaimanapun,
ingin kami tegaskan di sini bahawa dakwaan yang dinyatakan oleh Responden
bahawa Pemohon mempunyai “ hubungan sulit “ tidak pernah
dibuktikan oleh Pemohon samada dengan mengemukakan saksi-saksi sekiranya ada.
Dakwaan tersebut hanya berlaku sebelum berlakunya perceraian dan bukannya
selepas berlakunya perceraian. Dakwaan
tersebut juga adalah samar – samar serta memerlukan kepada tafsiran dan
pembuktian yang lebih kukuh samada ianya jatuh kepada kategoi zina ataupun
sebaliknya.
Oleh yang
demikian, pihak kami menyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak ada asasnya untuk
menafikan hak Responden- responden terhadap anak-anak tersebut. Malahan fakta tersebut juga adalah tidak
relevan untuk dijadikan asas bahawa Responden 1 telah hilang kelayakan terhadap
hak penjagaan anak – anak tersebut. Ianya berbeza sekiranya Pemohon boleh
membuktikan bahawa responden 1 bersikap tidak bermoral dalam tempoh penjagaan
anak – anak tersebut.
Apa yang penting
di sini adalah “ kebajikan dan
pendidikan “ anak – anak yang perlu menjadi teras di dalam kes ini dan
bukannya membuka keaiaban pihak – pihak yang menjadi punca perceraian. Satu
fakta yang tidak dinafikan bahawa perceraian ini berpunca dari kedua-dua pihak serta tidak wujudnya lagi
persefahaman. Sekiranya benar Responden telah melakukan hubungan sulit
dengan pihak Ketiga sudah pasti beliau akan dikenakan hukuman / tuduhan seperti
khalwat / takzir. Tetapi setakat ini tidak ada apa-apa hukuman / perintah
dikenakan oleh Mahkamah .. Ianya bukan alasan yang kukuh untuk menyatakan
bahawa Responden – Responden telah hilang kelayakan terhadap anak-anak
tersebut.
Seterusnya,
adalah dihujahkan bahawa tiada langsung alasan-alasan kukuh dan keterdesakan
serta keperluan bagi pemohon mendapatkan perintah (ex-parte) tersebut
dinyatakan dengan jelas dalam permohonan beliau. Tidak dinyatakan samada
keadaan anak tersebut berada dalam keadaan mudharat
dan kebajikannya terabai sama sekali dan samada kemungkinan anak
tersebut tidak dibenarkan/ dinafikan berjumpa dengan Pemohon, dilarikan atau
lain-lain kemudharatan jika diletakkan di bawah jagaan pihak Responden.
Menurut sebuah
hadis ‘hendaklah kamu berdua membuang undi tentang anak kamu, maka berkata
suami perempuan itu, 'Siapakah yang boleh menentang saya berkenaan anak saya
(bererti suami itu tidak bersetuju cara membuang undi)'. Lalu Rasulullah saw
menyuruh anak itu memilih antara ibu atau bapa dengan sabdanya: 'Ini bapa
engkau dan ini ibu engkau, pilihlah siapa antara kedua-duanya yang engkau suka
tinggal bersama'. Maka anak itu pun memilih ibunya dengan memegang tangan
ibunya itu. Lalu perempuan itu pun membawa anaknya itu pulang bersama'.
(Riwayat Abu Daud, An-Nasa’i dan Tirmizi).
Allah berfirman:-
Terjemahan: “..janganlah
seorang ibu menderita kesengsaraan karena anaknya dan seorang ayah karena
anaknya..”
(Surah
al-Baqarah 2:233)
Menurut sebuah
hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, 'Bahawasanya seseorang
perempuan telah datang menemui Rasulullah saw dan bertanya: 'Ya Rasulullah,
bahawa anankku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku
rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu
daripada aku'. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah saw bersabda,'Engkaulah
yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain'.
(Riwayat Abu Daud).
Oleh yang
demikian, di dalam kes ini adalah dihujahkan bahawa Responden adalah lebih
berhak untuk mendapatkan hak jagaan bagi kedua-dua orang anak tersebut.
4. Permohonan
Responden 1 untuk mendapatkan hak nafkah sementara bagi kedua-dua anak tersebut
adalah untuk memastikan kedua-dua dalam keadaan terjaga dan keperluan yang
mencukupi.
Berdasarkan firman
Allah S.W.T.:
Terjemahan:…dan
kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu…
(Surah
al-Baqarah 2:233)
Sabda Nabi s.a.w kepada Hindun:
خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف
Terjemahan: “Ambillah sekadar apa yang kamu dan anakmu perlukan
dengan cara yang baik”.
Bapa membiayai nafkah anak-anaknya tanpa melibatkan sesiapa
sebagaimana ia bersendirian membiayai nafkah isterinya, kerana mereka adalah
satu bahagian daripadanya. Membiayai hidup mereka adalah wajib seperti
membiayai diri sendiri. Lagipun nasab mereka sampai kepadanya dari itu, dia
yang perlu ialah menanggung beban nafkah.
Enakmen
Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985 di bawah seksyen 69 telah
memperuntukkan:-
Nafkah sementara.
(1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa terdapat alasan-alasan untuk
membayar nafkah, Mahkamah boleh membuat suatu perintah terhadap suami bagi
membayar nafkah sementara yang akan berkuatkuasa dengan sertamerta dan terus
berkuatkuasa sehingga perintah Mahkamah dibuat atas permohonan untuk nafkah.
(2) Suami boleh melaraskan nafkah sementara yang dibayar dengan
amaun yang diperintah supaya dibayar untuk nafkah di bawah perintah Mahkamah,
dengan syarat bahawa amaun yang diterima oleh isteri, setelah ditolak apa-apa
potongan, adalah cukup untuk keperluan asasnya.
Responden Pertama
di dalam kes ini telah memohon kepada mahkamah supaya mengarahkan Pemohon
membayar sebanyak RM200.00 sebulan
bagi setiap orang anak bagi perbelanjaan harian mereka berdua yang mana
berjumlah RM 400-00. Amaun yang dituntut oleh Responden Pertama adalah kecil dan beliau
merasakan bahawa ianya tidak membebankan pihak Pemohon bagi menunaikannya.
Mengikut seksyen 71 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu, 1985 yang menyatakan:
(1) Kecuali sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah
Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi
kewajipan seseorang lelaki menanggung
nafkah anakmya, sama ada anak itu berada dalam
jagannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi
mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana
yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan
membayar kosnya.
(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di
bawah Hukum Syara’, supaya menanggung nafkah, atau memberi sumbangan kepada
nafkah, kanak-kanak, jika bapa kanak-kanak itu telah mati
atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana
bapanya tidak berupaya menanggung nafkah merek
5. Pihak Pemohon
telah menyalahgunakan proses mahkamah untuk mendapatkan perintah ex-parte
tersebut dengan mengemukakan alasan-alasan yang tidak benar serta tidak
berlandaskan bukti-bukti kukuh bagi menyokong permohonan tersebut.
6. Pemohon juga
adalah seorang yang tidak jujur dan telah memasukkan fakta-fakta yang tidak
benar di dalam afidavitnya untuk mendapatkan perintah ex-parte tersebut.
7. Pemohon juga
telah mengelirukan mahkamah yang mulia ini dengan meggunakan alasan-alasan yang
tidak kukuh serta tidak berunsur keterdesakan dan keperluan bagi Pemohon untuk
mendapatkan perintah ex-parte tersebut.
8. Pemohon ex-parte
oleh pihak Pemohon juga adalah menyalahi Arahan Amalan No.10 Tahun 2006 dan
Seksyen 201 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 kerana
tidak mengemukakan alasan-alasan keterdesakan serta khas menurut undang-undang.
Di dalam Arahan Amalan No.10 Tahun 2006,
permohonan hak jagaan sementara secara ex-parte. Keputusan mesyuarat Arahan
Amalan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Tahun 2006 yang telah bersetuju dan mengesahkan
untuk menerima pakai arahan amalan bahawa permohonan hak jagaan sementara
secara ex-parte tidak dibenarkan kecuali atas alasan-alasan khas.
Pihak-pihak boleh
mengemukakan permohonan hak jagaan sementara semasa prosiding kes
induk hak jagaan kepada Mahkamah.
Di peruntukkan di
dalam s.201 Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 bahawa perintah interim tentang
hadhanah;
(1) Tertakluk kepada Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga
Islam 1985 [En. Tr.12/85], jika Mahkamah berpuas hati, atas permohonan
mana-mana pihak untuk mendapatkan hadhanah seseorang kanak-kanak dalam apa-apa
kausa atau perkara, bahawa hal keadaan memerlukan dibuat suatu perintah interim
tentang hadhanah kanak-kanak itu, maka Mahkamah boleh membuat perintah
sedemikian yang hendaklah berkuat kuasa serta-merta dan hendaklah terus berkuat
kuasa sehingga Mahkamah membuat keputusan atas kausa atau perkara itu.
(2) Permohonan dibawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum
tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak dan demi kepentingan
keadilan atau perlindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa
campur tangan serta-merta Mahkamah adalah perlu.
(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu satu kes yang
mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex parte yang hendaklah disokong
dengan afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang
jelas dan ringkas lagi padat-
(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap
defendan dalam prosiding itu;
(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk
mendapatkan perintah interim itu;
(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan
permohonan secara ex parte itu;
(d) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin
menyebabkan Mahkamah tidak memberikan perintah interim itu;
(e) tentang sama ada mana-mana permohonan secara ex parte
terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika
demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan
(f) tentang relief
yang sebenarnya dipohon.
Oleh yang
demikian, di dalam permohonan dan affidavit sokongan Pemohon tidak ada alasan
yang mendesak telah dikemukakan oleh Pemohon untuk menyokong permohonan beliau.
Tidak ada sebarang dokumen sokongan dikemukakan oleh Pemohon. Dakwaan hubungan
sulit dengan pihak ketiga juga hanyalah dakwaan semata – mata dan bukannya
fakta yang konklusif untuk diterima pakai oleh mahkamah yang mulia ini. Beban
pembuktian tersebut adalah berat dan berpindah kepada Responden untuk
membuktikan dakwaanya. Mahkamah tidak boleh menerima dakwaan tersebut tanpa
mempunyai bukti dan keterangan yang nyata.
KESIMPULAN
Oleh yang
demikian, berdasarkan kepada alasan-alasan di atas serta rujukan dari al-Quran,
Sunnah dan kes-kes terdahulu sebagai panduan. Responden memohon kepada mahkamah
yang mulia ini agar permohonan agar perintah sementara (ex-parte) bertarikh
22-08-2010 dibatalkan dan tuntutan balas Responden dibenarkan sebagaimana Notis
Permohonan (inter parte) Responden. Akhir kata sebagai renungan di dalam kitab
Kifayatul Akhyar juzuk 2 muka surat 93 menyatakan :
“ Hadhanah adalah
satu jenis kuasa, kecuali atas sebab-sebab tertentu diberikan kepada perempuan
kerana mereka lebih menaruh kasih saying kepada anak-anak, lebih tepat untuk
mendidiknya, lebih sabar dalam melaksanakan tugas memelihara kanak-kanak itu
dan perempuan itu sentiasa lebih banyak bergaul dengan kanak-kanak.”
Pihak kami menyerahkan keputusan kepada Mahkamah yang mulia untuk membuat satu keputusan yang baik dan
saksama berlandaskan kepada Nas – nas Al-Quran. As- Sunnah , Undang-
Undang dan Ilmu Qadi terhadap hak
penjagaan anak-anak tersebut demi masa depan mereka.
Bertarikh pada hb
2011
…………………………….…………..
PEGUAM SYARIE RESPONDEN-RESPONDEN
HUJAHAN BERTULIS ini difailkan.
As salam.
ReplyDeleteBoleh minta pndapat ttg satu kes hadhanah.
My email- norasyikinzakaria@gmail.com
Sgt bharap utk cik hubungi sy segera. Terima kasih
Salam cik Asyikin, sy ada email & sms dah..maaf sgt2 bz bru ni
DeleteAssalamualaikum
ReplyDeleteBagaimana pula dengan hak lawatan untuk melihat anak?Bagaimana caranya,ada borang tertentu yang perlu diisi?.Harap cik dapat membantu saya,jazakallahikhairum..
Dari ila,
Wa'alaikummusaalam cik ila, salam Ramadhan. Saya cuba bantu ye. Tentang hak lawatan untuk melihat @ melawat anak boleh dipohon bersama-sama tuntutan hak jagaan anak (hadanah) di Mahkamah Syariah. Tuntutan hak lawatan boleh dimasukkan sekali dalam tuntutan tersebut sekiranya masih belum ada tuntutan hak jagaan anak oleh mana-mana pihak. Borang MS 2 & 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah boleh dirujuk @ Cik boleh rujuk contoh pliding tuntutan hak jagaan anak dalam link ini.( http://budakbahagia.blogspot.com/2013/07/saman-pernyataan-tuntutan-hak-jagaan.html )Cik boleh ubahsuai mengikut keperluan cik tetapi masih dalam bentuk yang asal.
DeleteSekiranya perintah berkenaan hak jagaan anak dah diputuskan & cik mahukan tempoh lawatan tersebut, cik boleh membuat permohonan 'mengubah perintah hak jagaan anak'.
salam.. saya nak mintak tlg.. ada x contoh hujah bertulis interlokutori.. bantahan awal "locus standi" untuk responden nak tegakkan hak beliau mempunyai locus standi dlm harta yang dituntut..responden adalah isteri ke2..
ReplyDeleteAssalamualaikum puan..saya ada kemusykilan nk bertanya,boleh?macam mana saya nk hubungi puan?
ReplyDeleteAssalamualaikum puan..saya ada kemusykilan nk bertanya,boleh?macam mana saya nk hubungi puan?
ReplyDelete