Thursday 18 April 2013

Hak Hadanah Di Bawah Undang-undang Keluarga Islam Di Malaysia

Gambar Hiasan


3.1             

3.1              Definisi Kanak-kanak Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam

Definisi kanak-kanak menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ialah orang yang di bawah umur lapan belas tahun dan hendaklah disifatkan sebagai kanak-kanak. Peruntukan ini terpakai bagi maksud penjagaan ke atas diri dan harta seseorang sebagaimana peruntukan berikut:

Bagi maksud penjagaan ke atas diri dan harta, seseorang hendaklah disifatkan sebagai kanak-kanak melainkan dia telah genap umur lapan belas tahun.[1]

Peruntukan yang sama maknanya juga disebut dalam seksyen 2, Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961 dengan member takrif kanak-kanak sebagai seseorang yang belum mencapai umur dewasa. Seksyen 2 (2) menyatakan, jika orang itu ialah Islam, dia adalah dewasa apabila dia mencapai umur lapan belas tahun.

Namun begitu, bagi maksud hak hadanah, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam menjelaskan bahawa tempoh hak hadanah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki dan sembilan tahun jika kanak-kanak itu perempuan, melainkan jika mahkamah memerintahkan sebaliknya.[2]

Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.

Ini bermakna, kanak-kanak bagi maksud hadanah hendaklah berumur tujuh tahun jika kanak-kanak itu lelaki dan sembilan tahun jika kanak-kanak itu perempuan. Terdapat persamaan tentang had umur kanak-kanak yang belum mumayyiz dan termasuk dalam maksud hadanah di antara Hukum Syarak dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam iaitu antara tujuh atau sembilan tahun. Namun, umur dewasa yang ditetapkan oleh Enakmen Undang-undang Keluarga Islam iaitu lapan belas tahun[3] berbeza dengan umur dewasa yang ditetapkan oleh Hukum Syarak iaitu sampai baligh.

Dalam Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, tidak menggunakan penentuan baligh secara tabi’i bagi mengiktiraf bahawa seseorang itu telah baligh atau dewasa. Sebaliknya penetapan umur menyeluruh ke atas semua kanak-kanak. Diperuntukkan umur lapan belas tahun sebagai umur dewasa atau baligh[4] dan ini termasuklah anak tidak sah taraf[5] dan anak yatim.[6]

3.2              Maksud Hak Hadanah Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam

Definisi hadanah menurut peruntukan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam tidak membezakan di antara hak jagaan dan penjagaan. Sebaliknya penjaga yang mendapat hak jagaan kanak-kanak merupakan penjaga ke atas diri (fizikal) dan juga penjaga ke atas harta, penentuan agama dan pendidikan. Melainkan jika penjagaan dimiliki oleh ibu, maka hak perwalian dalam kekuasaan bapa. Definisi yang diperuntukkan dalam enakmen iaitu penjaga yang mendapat hak jagaan akan mempunyai hak penjagaan kanak-kanak lebih dipersetujui. Ini kerana dari segi praktikalnya, penjaga ke atas diri kanak-kanak sudah pasti memahami kemaslahatan kanak-kanak sama ada dari aspek perangai dan tingkah lakunya, pendidikan yang sesuai, kawalan terhadap harta dan lain-lain. Walau bagaimanapun, maksud hadanah dalam enakmen hampir sama di semua negeri yang merangkumi perkara-perkara seperti berikut:
(i)                 Menjaga kanak-kanak;[7]
(ii)               Memelihara kebajikan kanak-kanak;[8]
(iii)             Memberikan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;[9]
(iv)             Menyediakan tempat tinggal yang selamat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani;[10] dan
(v)               Memberikan pendidikan dan membiayai pelajaran kanak-kanak.[11]

Kesimpulannya, hak hadanah ialah hak untuk menjaga kanak-kanak dengan memiliki hak penjagaan ke atasnya serta memelihara kebajikannya termasuklah kasih sayang, tempat tinggal dan pendidikan.

3.3              Peruntukan Undang-undang Berkaitan Hadanah Di Malaysia

Peruntukan undang-undang secara terperinci berkaitan hadanah di Malaysia telah dikuatkuasakan melalui Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang digubal di setiap negeri. Peruntukan berkaitan hak hadanah digubal mengikut mazhab Shafici selaras dengan penduduk di Malaysia yang majoriti penduduknya mengikut mazhab tersebut. Peruntukan mengenainya adalah sama tetapi disebut dalam seksyen yang berbeza sebagaimana berikut:
(a)                Akta Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 81 hingga 87;
(b)               Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 1984, seksyen 82 hingga 88;
(c)                Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985, seksyen 80 hingga 86;
(d)               Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 1983, seksyen 82 hingga 88;
(e)                Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 1987, seksyen 82 hingga 88;
(f)                Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor 1990, seksyen 82 hingga 88;
(g)               Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Melaka 1983, seksyen 82 hingga 88;
(h)               Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 1983, seksyen 82 hingga 88;
(i)                 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984, seksyen 77 hingga 83;
(j)                 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang 1985, seksyen 82 hingga 88;
(k)               Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 1979, seksyen 82 hingga 88;
(l)                 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 1992, seksyen 81 hingga 87;
(m)             Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak  1991, seksyen 85 hingga 91;
(n)               Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Sabah 1992, seksyen 82 hingga 88.

Dalam peruntukan undang-undang di atas, ia mengkumi aspek-aspek yang berkaitan hak hadanah iaitu, orang yang berhak menjaga kanak-kanak, kelayakan yang perlu untuk penjagaan, bagaimana hak penjagaan hilang, lamanya penjagaan, penjagaan anak tak sahtaraf, kuasa mahkamah membuat perintah mengenai penjagaan dan seterusnya perintah tertakluk kepada syarat-syarat.

3.3.1        Orang Yang Berhak Menjaga Kanak-kanak

Dalam seksyen 81, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) memperuntukkan ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. Seksyen 81 (1)[12] memperuntukkan;

Tertakluk kepada seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

            Sekiranya Mahkamah mendapati bahawa ibu telah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak untuk mendapatkan hak hadanah, maka hak itu akan berpindah kepada salah seorang kaum kerabatnya mengikut susunan keutamaan sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 81 (2) Akta 303:[13]

Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak dari mempunyai hak terhadap hadanah atau jagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu-
(a)                nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
(b)               bapa;
(c)                nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
(d)               kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e)                kakak atau adik perempuan seibu;
(f)                kakak atau adik perempuan sebapa;
(g)               anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h)               anak perempuan dari kakak atau adik seibu;
(i)                 anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j)                 ibu saudara sebelah ibu;
(k)               ibu saudara sebelah bapa;
(l)                 waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari:
Dengan syarat jagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

            Namun, susunan keutamaan pengasuh dalam Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985 sedikit berbeza dengan peruntukan negeri-negeri lain. Wujud penambahan dalam susunan pengasuh iaitu, ‘anak perempuan bagi saudara lelaki’ dalam seksyen 80 (2) (k) enakmen tersebut. Seksyen 80 (2) memperuntukkan:

(a)                nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
(b)               bapa;
(c)                nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
(d)               saudara perempuan seibu sebapa;
(e)                saudara perempuan seibu;
(f)                saudara perempuan sebapa;
(g)               emak saudara sebelah ibu;
(h)               anak perempuan bagi saudara perempuan seibu sebapa;
(i)                 anak perempuan bagi saudara perempuan seibu;
(j)                 anak perempuan bagi saudara perempuan sebapa;
(k)               anak perempuan bagi saudara lelaki;
(l)                 emak saudara sebelah bapa;
(m)             waris lelaki yang menjadi asabah.

            Syarat pengasuh bagi hak jagaan kanak-kanak perempuan lebih ketat yang mana, seseorang lelaki tidak akan diberi hak jagaan terhadap kanak-kanak perempuan melainkan lelaki itu adalah seorang muhrim, iaitu mempunyai pertalian dengan kanak-kanak perempuan itu dan dia dilarang berkahwin dengannya sebagaimana peruntukan dalam seksyen 81 (3) Akta 303:[14]

Tiada seseorang lelaki berhak terhadap jagaan seseorang kanak-kanak perempuan melainkan lelaki itu adalah seorang muhrim, iaitu, dia mempunyai pertalian dengan kanak-kanak perempuan itu dalam mana dia dilarang berkahwin dengannya.

            Sekiranya wujud lebih seorang penjaga daripada susunan yang sama mengikut susuan keutamaan, hendaklah dipilih orang yang mempunyai sifat paling baik dari segi curahan kasih sayang dan jika kesemuanya mempunyai sifat-sifat yang mulia, maka mereka yang lebih tua akan diberi keutamaan. Seksyen 81 (4) Akta 303[15] menyatakan:

Tertakluk kepada seksyen 82 dan 84, jika ada beberapa orang dari keturunan atau peringkat yang sama, kesemuanya sama berkelayakan dan bersetuju menjaga kanak-kanak itu, jagaan hendaklah diamanahkan kepada orang yang mempunyai sifat paling mulia yang menunjukkan perasaan paling kasih sayang kepada kanak-kanak itu, dan jika kesemuanya sama mempunyai sifat-sifat kemuliaan, maka yang tertua antara mereka adalah berhak mendapat keutamaan.

3.3.2        Kelayakan Yang Perlu Untuk Jagaan

Perlantikan seseorang pengasuh mestilah memenuhi syarat-syarat kelayakan iaitu mestilah seorang Islam, sempurna akal, berumur yang layak memberikan jagaan dan kasih sayang kepada kanak-kanak, berakhlak Islamiah dan tinggal di tempat yang jauh akibat buruk akhlak atau jasmani. Seksyen 82 Akta 303[16] telah memperuntukkan mengenai syarat-syarat tersebut:

Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadanah jika-
(a)                dia adalah seorang Islam;
(b)               dia adalah sempurna akal;
(c)                dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d)               dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e)                dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

3.3.3        Bagaimana Hak Jagaan Hilang

Faktor-faktor yang boleh membawa terlucutnya hak hadanah terhadap kanak-kanak diperuntukkan secara jelas dalam Seksyen 83 Akta 303[17] yang menyatakan:

Hak seseorang perempuan terhadap hadanah adalah hilang-
(a)                jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
(b)               jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c)                jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
(d)               jika perempuan itu murtad;
(e)                jika perempuan itu mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu

            Dalam Arahan Amalan No. 15 Tahun 2007[18] memperuntukkan bahawa alasan yang menyebabkan hak jagaan seseorang bapa atau pihak lelaki hilang kelayakan terhadap hadanah, antaranya ialah:
i)                    jika dia berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
ii)                  jika dia murtad;
iii)                jika dia mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu;
iv)                jika dia menjadi tidak sempurna akal;
v)                  jika dia berpenyakit kusta, sopak atau penyakit-penyakit lain yang berjangkit yang membahayakan kanak-kanak itu.

3.3.4        Tempoh Hadanah Kanak-kanak

Tempoh hadanah seseorang kanak-kanak menurut seksyen 84 (1) Akta 303 adalah berbeza mengikut jantina kanak-kanak. Tempoh ini akan tamat setelah mencapai umur tujuh tahun jika kanak-kanak itu lelaki dan sembilan tahun jika perempuan. Namun boleh dilanjutkan atas kebenaran Mahkamah sehingga mencapai umur sembilan tahun jika kanak-kanak itu lelaki dan sebelas tahun jika perempuan. Seksyen 84 (1) Akta 303[19] memperuntukkan:

Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu perempuan, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun, jika kanak-kanak itu lelaki, dan umur sebelas tahun, jika kanak-kanak itu perempuan.

            Hak hadanah ini akan berpindah kepada bapa setelah tamat tempoh hadanah. Namun, sekiranya kanak-kanak tersebut mencapai umur mumaiyiz, ia diberi pilihan untuk tinggal dengan ibu atau bapa, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya. Seksyen 84 (2) Akta 303[20] memperuntukkan:

Setelah tamatnya hak hadinah, jagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Bagi negeri Perak berbeza daripada negeri-negeri selain Perak. Dalam seksyen 80(1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984 memperuntukkan:

Hak hadinah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan hadinah, membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun.

3.3.5        Jagaan Anak-anak Tidak Sah Taraf

Jagaan anak tak sahtaraf adalah kepada ibunya sebagaimana peruntukan dalam seksyen 85 Akta 303:[21]

Jagaan kanak-kanak tidak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu.

3.3.6        Kuasa Mahkamah Membuat Perintah Mengenai Jagaan

Mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat sebarang perintah mengenai penjagaan termasuk menentukan penjaga atau peruntah-perintah lain. Seksyen 86 Akta 303[22] misalnya menerangkan kuasa mahkamah membuat perintah mengenai penjagaan:

(1)               Walau apa pun peruntukan seksyen 81, Mahkamah boleh pada bila-bila masa dengan perintah memilih untuk meletakkan seseorang kanak-kanak dalam jagaan salah seorang daripada orang yang tersebut di dalam seksyen itu atau, jika ada hal keadaan yang luar biasa yang menyebabkan tidak diingini bagi kanak-kanak itu diamanahkan kepada salah seorang daripada orang-orang itu, Mahkamah boleh dengan perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam jagaan mana-mana orang lain atau mana-mana persatuan yang tujuannya adalah termasuk kebajikan kanak-kanak.
(2)               Untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada-
(a)                kemahuan ibu bapa kanak-kanak itu; dan
(b)               kemahuan kanak-kanak itu, jika dia telah meningkat umur dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri.
(3)               Adalah menjadi suatu anggapan yang boleh dipatahkan bahawa adalah untuk kebaikan seseorang kanak-kanak semasa masa dia kecil supaya berada bersama ibunya, tetapi pada memutuskan sama ada anggapan itu dipakai bagi fakta mana-mana kes tertentu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukarnya jagaan.
(4)               Jika ada dua orang atau lebih kanak-kanak daripada mana-mana perkahwinan, Mahkamah tidaklah terikat meletakkan kedua-dua atau kesemuanya dalam jagaan orang yang sama tetapi hendaklah menimbangkan kebajikan tiap-tiap seorangnya secara berasingan.
(5)               Mahkamah boleh, jika perlu, membuat perintah interim untuk menempatkan kanak-kanak itu dalam jagaan mana-mana orang atau institusi atau persatuan dan perintah itu hendaklah serta merta dikuatkuasakan dan terus dikuatkuasakan sehingga Mahkamah membuat perintah bagi penjagaan itu.

Namun begitu dalam seksyen 85 Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985 dan seksyen 82 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984, tidak memperuntukkan subseksyen (5) sebagaimana negeri-negeri lain iaitu:

(5) Mahkamah boleh, jika perlu, membuat perintah interim untuk menempatkan kanak-kanak itu dalam jagaan mana-mana orang atau institusi atau persatuan dan perintah itu hendaklah serta merta dikuatkuasakan dan terus dikuatkuasakan sehingga Mahkamah membuat perintah bagi penjagaan itu.

            Dalam Arahan Amalan No. 15 Tahun 2005[23] memperuntukkan berkenaan dengan nafkah ciddah, mutcah, nafkah anak dan hadanah dalam perjanjian persetujuan yang menyebut:

… perjanjian-perjanjian persetujuan bersama atau perjanjian semasa Majlis Sulh tidak boleh menggugurkan hak-hak isteri yangbelum disabitkan melalui talaq iaitu nafkah ciddah, mutcah, hadanah dan nafkah anak.

            Manakala dalam Arahan Amalan No. 10 Tahun 2006[24] memperuntukkan berkenaan dengan permohonan hak jagaan sementara secara ex-parte yang menyebut:

… permohonan hak jagaan sementara secara ex-parte tidak dibenarkan kecuali atas alasan-alasan khas. Pihak-pihak boleh mengemukakan permohonan hak jagaan sementara semasa prosiding kesinduk hak jagaan kepada Mahkamah.

3.3.7        Perintah Tertakluk Kepada Syarat-syarat

Berikutnya dalam seksyen 87 (1) Akta 303[25] memperuntukkan Mahkamah boleh mengenakan apa-apa syarat yang difikirkan perlu dan wajar dalam mengenakan sesuatu perintah jagaan terhadap orang yang diberikan hak tersebut seperti yang dinyatakan sebagaimana berikut:

Sesuatu perintah jagaan boleh dibuat tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan dan, tertakluk kepada syarat-syarat, jika ada, yang dipakai dari semasa ke semasa, perintah itu adalah menghakkan orang yang diberi jagaan itu untuk memutuskan semua soal yang berhubungan dengan pendidikan dan pelajaran kanak-kanak itu.

            Antara syarat-syarat yang boleh dikenakan oleh Mahkamah terhadap sesuatu perintah jagaan adalah seperti yang tersebut dalam seksyen 87 (2) Akta 303:[26]

Tanpa menyentuh keluasan subseksyen (1), sesuatu perintah jagaan boleh-
(a)                mengandungi syarat-syarat tentang tempat di mana kanak-kanak itu akan tinggal dan cara pelajarannya;
(b)               mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu berada bagi sementara dalam pemeliharaan dan kawalan seseorang yang lain daripada orang yang diberi jagaan itu;
(c)                mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu melawat ibu atau bapa yang tidak diberi jagaan atau seseorang dari keluarga ibu atau bapa yang telah mati atau tidak diberi jagaan pada masa-masa dan bagi apa-apa tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah;
(d)               memberi ibu atau bapa yang tidak diberi jagaan atau seseorang dari keluarga ibu atau bapa yang telah mati atau tidak diberi jagaan hak untuk berjumpa dengan kanak-kanak itu pada masa-masa dan dengan seberapa kerap yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah; atau
(e)                melarang orang yang diberi jagaan itu daripada membawa kanak-kanak itu keluar dari Malaysia.

Berdasarkan perintah-perintah jagaan di atas, ia dilihat sebagai suatu mekanisme untuk menghalang mana-mana orang daripada memudaratkan kanak-kanak seperti menculik mereka daripada penjaga ataupun menghalang mereka daripada berjumpa dengan penjaga yang mendapat hak lawatan.

Kesimpulannya, setiap peruntukan di atas adalah bertujuan untuk menjaga kebajkan dan memlihara kemaslahatan kanak-kanak. Contohnya, bagi orang-orang yang berhak menjadi penjaga, hanya penjaga yang benar-benar layak sahaja diberikan hak penjagaan di samping penjaga itu sendiri menstilah terdiri daripada kalangan orang-orang yang memnuhi syarat-syarat penjaga. Ini kerana, sekiranya kanak-kanak diletakkan di bawah jagaan orang yang tidak berakhlak, tidak berakal, belum baligh, tidak tinggal menetap atau murtad, maka keadaan ini sudah pasti mengakibatkan perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak akan terjejas.

3.4              Peruntukan Berhubung Kebajikan Kanak-Kanak Dalam Hak Hadanah

Setiap Akta mahupun Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri memperuntukkan secara jelas berhubung dengan hak hadanah atau penjagaan kanak-kanak. Walaupun begitu, masih terdapat perbezaan dalam sesetengah peruntukan undang-undang. Bagi negeri-negeri Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak memperuntukkan peruntukan yang sama keseluruhannya berhubung hak hadanah yang merangkumi orang yang berhak menjaga kanak-kanak, kelayakan yang perlu untuk jagaan, bagaimana hak jagaan hilang, tempoh jagaan, jagaan anak-anak tidak sah taraf, kuasa mahkamah membuat perintah mengenai jagaan dan perintah tertakluk kepada syarat-syarat. Manakala bagi negeri Perak, Perlis dan Terengganu mempunyai peruntukan yang berlainan daripada negeri-negeri yang lain. Perkataan ‘kebajikan’ ditekankan dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam di kebanyakkan negeri. Namun sebaliknya bagi tiga buah negeri yang lain iaitu Perak, Perlis dan Terengganu. Misalnya, dalam Seksyen 77 (2), Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984[27] memperuntukkan:

Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syara’ dari mempunyai hak terhadap hadanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu-
(a)    nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya;
(b)   bapa;
(c)    nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya;
(d)   saudara perempuan seibu sebapa;
(e)    saudara perempuan seibu;
(f)    saudara perempuan sebapa;
(g)   emak saudara sebelah ibu;
(h)   anak perempuan bagi saudara perempuan seibu sebapa;
(i)     anak perempuan bagi saudara perempuan seibu;
(j)     anak perempuan bagi saudara perempuan sebapa;
(k)   emak saudara sebelah bapa;
(l)     waris lelaki yang menjadi asabah.

Berdasarkan seksyen di atas jelas menunjukkan peruntukan ini sedikit berbeza dengan peruntukan di negeri-negeri lain kerana tidak memperuntukkan penambahan ayat di hujung seksyen tersebut sebagaimana negeri-negeri lain yang memperuntukkan:

Dengan syarat jagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

Begitu juga terma ‘kebajikan’ dalam seksyen 82 Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985[28] memperuntukkan bagaimana hak penjagaan hilang:

Hak seseorang perempuan terhadap hadanah adalah hilang-
(a)    jika perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu dalam mana orang lelaki itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, tetapi adalah kembali semula apabila perkahwinan itu dibubarkan;

Manakala bagi negeri-negeri selain negeri Perak, Perlis dan Terengganu pula memperuntukkan:

Hak seseorang perempuan terhadap hadanah adalah hilang-
(a)    jika perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika jagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk jagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;

Peruntukan-peruntukan ini tidak mempunyai keselarasan dan pengeragaman dari segi peruntukan undang-undang berhubung hak hadanah. Selain itu, pertimbangan utama dalam memutuskan hak hadanah kanak-kanak adalah berdasarkan kebajikan kanak-kanak, namun huraian mengenai apakah perkara yang menjadi prinsip kebajikan kanak-kanak tidak dinyatakan secara terperinci dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri mahupun Arahan Amalan dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Sekiranya tidak digubal dan dimasukkan dalam peruntukan secara khusus, dikuatiri boleh menimbulkan pertikaian yang berpanjangan dan rasa tidak puas hati pihak-pihak yang bertikai. Lakuna dalam undang-undang berkaitan berpunca daripada kurangnya sumber yang berbentuk tekstual dalam karya klasik undang-undang Islam dan ia banyak bergantung kepada adat setempat sesuai dengan prinsip fiqh iaitu al-cadah muhakkamah.



[1] Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 88 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 1984, seksyen 89 (4); Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985, seksyen 87 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan 1983, seksyen 89 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pahang 1987, seksyen 89 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Johor 1990, seksyen 89 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Melaka 1983, seksyen 89 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 1983, seksyen 89 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984, seksyen 84 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Pulau Pinang 1985, seksyen 89 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kedah 1979, seksyen 89 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 1992, seksyen ; Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 1991, seksyen 92 (4); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Sabah 1992, seksyen 89 (4).
[2] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 84 (1); Selangor 1984, seksyen 85 (1); Terengganu 1985, seksyen 83 (1); Kelantan 1983, seksyen 85 (1); Pahang 1987, seksyen 85 (1); Johor 1990, seksyen 85 (1); Melaka 1983, seksyen 85 (1); Negeri Sembilan 1983, seksyen 85 (1); Perak 1984, seksyen 80 (1); Pulau Pinang 1985, seksyen 85 (1); Kedah 1979, seksyen 85 (1); Perlis 1992, seksyen 84 (1); Sarawak 1991, seksyen 88 (1); Sabah 1992, seksyen 85 (1).
[3] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen; Selangor 1984, seksyen; Terengganu 1985, seksyen; Kelantan 1983, seksyen; Pahang 1987, seksyen; Johor 1990, seksyen; Melaka 1983, seksyen; Negeri Sembilan 1983, seksyen; Perak 1984, seksyen; Pulau Pinang 1985, seksyen; Kedah 1979, seksyen; Perlis 1992, seksyen; Sarawak 1991, seksyen; Sabah 1992, seksyen.
[4] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 88 (4); Selangor 1984, seksyen 88 (4); Terengganu 1985, seksyen 87 (4); Kelantan 1983, seksyen 78 (4); Pahang 1987, seksyen 89 (4); Johor 1990, seksyen 89 (4); Melaka 1983, seksyen 78 (4); Negeri Sembilan 1983, seksyen 88 (4); Perak 1984, seksyen 84 (4); Pulau Pinang 1985, seksyen 88 (4); Kedah 1979, seksyen 77 (4); Perlis 1992, seksyen 88 (4); Sarawak 1991, seksyen 91 (4); Sabah 1992, seksyen 94 (4).
[5] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 85; Selangor 1984, seksyen 85; Terengganu 1985, seksyen 84; Kelantan 1983, seksyen 74; Pahang 1987, seksyen 86; Johor 1990, seksyen 86; Melaka 1983, seksyen 74; Negeri Sembilan 1983, seksyen 85; Perak 1984, seksyen 81; Pulau Pinang 1985, seksyen 85; Kedah 1979, seksyen 73; Perlis 1992, seksyen 85; Sarawak 1991, seksyen 88; Sabah 1992, seksyen 91.
[6] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 102; Selangor 1984, seksyen 102; Terengganu 1985, seksyen 101; Kelantan 1983, seksyen 91; Pahang 1987, seksyen 103; Johor 1990, seksyen 103; Melaka 1983, seksyen 91; Negeri Sembilan 1983, seksyen 102; Perak 1984, seksyen 98; Pulau Pinang 1985, seksyen 102; Kedah 1979, seksyen 90; Perlis 1992, seksyen 102; Sarawak 1991, seksyen 105; Sabah 1992, seksyen 108.
[7] Misalnya dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 81 (4) memperuntukkan:
Jika ada beberapa orang dari keturunan atau peringkat yang sama, kesemuanya sama berkelayakan dan bersetuju menjaga kanak-kanak itu, jagaan hendaklah diamanahkan kepada orang yang mempunyai sifat paling mulia yang menunjukkan perasaan paling kasih sayang kepada kanak-kanak itu, dan jika kesemuanya sama mempunyai sifat-sifat kemuliaan, maka yang tertua antara mereka adalah berhak mendapat keutamaan.
[8] Misalnya dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, (Akta 303) seksyen 86 (2) menyatakan:
Untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu
[9] Akta 303 seksyen 81 (4). Sila lihat No. 5 di atas.
[10] Akta 303 seksyen 82 (e) memperuntukkan:
Dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
[11] Akta 303 seksyen 87 (1) memperuntukkan:
Sesuatu perintah jagaan boleh dibuat tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan oleh Mahkamah patut dikenakan dan, tertakluk kepada syarat-syarat, jika ada, yang dipakai dari semasa ke semasa, perintah itu adalah menghakkan orang yang diberi jagaan itu untuk memutuskan semua soal yang berhubungan dengan pendidikan dan pelajaran kanak-kanak itu.
[12] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 81 (1); Selangor 1984, seksyen 82 (1); Terengganu 1985, seksyen 80 (1); Kelantan 1983, seksyen 82 (1); Pahang 1987, seksyen 82 (1); Johor 1990, seksyen 82 (1); Melaka 1983, seksyen 82 (1); Negeri Sembilan 1983, seksyen 82 (1); Perak 1984, seksyen 77 (1); Pulau Pinang 1985, seksyen 82 (1); Kedah 1979, seksyen 82 (1); Perlis 1992, seksyen 81 (1); Sarawak 1991, seksyen 85 (1); Sabah 1992, seksyen 82 (1).
[13] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 81 (2); Selangor 1984, seksyen 82 (2); Terengganu 1985, seksyen 80 (2); Kelantan 1983, seksyen 82 (2); Pahang 1987, seksyen 82 (2); Johor 1990, seksyen 82 (2); Melaka 1983, seksyen 82 (2); Negeri Sembilan 1983, seksyen 82 (2); Perak 1984, seksyen 77 (2); Pulau Pinang 1985, seksyen 82 (2); Kedah 1979, seksyen 82 (2); Perlis 1992, seksyen 81 (2); Sarawak 1991, seksyen 85 (2); Sabah 1992, seksyen 82 (2).
[14] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 81 (3); Selangor 1984, seksyen 82 (3); Terengganu 1985, seksyen 80 (3); Kelantan 1983, seksyen 82 (3); Pahang 1987, seksyen 82 (3); Johor 1990, seksyen 82 (3); Melaka 1983, seksyen 82 (3); Negeri Sembilan 1983, seksyen 82 (3); Perak 1984, seksyen 77 (3); Pulau Pinang 1985, seksyen 82 (3); Kedah 1979, seksyen 82 (3); Perlis 1992, seksyen 81 (3); Sarawak 1991, seksyen 85 (3); Sabah 1992, seksyen 82 (3).
[15] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 81 (4); Selangor 1984, seksyen 82 (4); Terengganu 1985, seksyen 80 (4); Kelantan 1983, seksyen 82 (4); Pahang 1987, seksyen 82 (4); Johor 1990, seksyen 82 (4); Melaka 1983, seksyen 82 (4); Negeri Sembilan 1983, seksyen 82 (4); Perak 1984, seksyen 77 (4); Pulau Pinang 1985, seksyen 82 (4); Kedah 1979, seksyen 82 (4); Perlis 1992, seksyen 81 (4); Sarawak 1991, seksyen 85 (4); Sabah 1992, seksyen 82 (4).
[16] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 82; Selangor 1984, seksyen 83; Terengganu 1985, seksyen 81; Kelantan 1983, seksyen 83; Pahang 1987, seksyen 83; Johor 1990, seksyen 83; Melaka 1983, seksyen 83; Negeri Sembilan 1983, seksyen 83; Perak 1984, seksyen 78; Pulau Pinang 1985, seksyen 83; Kedah 1979, seksyen 83; Perlis 1992, seksyen 82; Sarawak 1991, seksyen 86; Sabah 1992, seksyen 83.
[17] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 83; Selangor 1984, seksyen 84; Terengganu 1985, seksyen 82; Kelantan 1983, seksyen 84; Pahang 1987, seksyen 84; Johor 1990, seksyen 84; Melaka 1983, seksyen 84; Negeri Sembilan 1983, seksyen 84; Perak 1984, seksyen 79; Pulau Pinang 1985, seksyen 84; Kedah 1979, seksyen 84; Perlis 1992, seksyen 83; Sarawak 1991, seksyen 87; Sabah 1992, seksyen 84.
[18] Berkuatkuasa mulai 15 Jun 2007. Dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).
[19] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 84 (1); Selangor 1984, seksyen 85 (1); Terengganu 1985, seksyen 83 (1); Kelantan 1983, seksyen 85 (1); Pahang 1987, seksyen 85 (1); Johor 1990, seksyen 85 (1); Melaka 1983, seksyen 85 (1); Negeri Sembilan 1983, seksyen 85 (1); Perak 1984, seksyen 80 (1); Pulau Pinang 1985, seksyen 85 (1); Kedah 1979, seksyen 85 (1); Perlis 1992, seksyen 84 (1); Sarawak 1991, seksyen 88 (1); Sabah 1992, seksyen 85 (1).
[20] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 84 (2); Selangor 1984, seksyen 85 (2); Terengganu 1985, seksyen 83 (2); Kelantan 1983, seksyen 85 (2); Pahang 1987, seksyen 85 (2); Johor 1990, seksyen 85 (2); Melaka 1983, seksyen 85 (2); Negeri Sembilan 1983, seksyen 85 (2); Perak 1984, seksyen 80 (2); Pulau Pinang 1985, seksyen 85 (2); Kedah 1979, seksyen 85 (2); Perlis 1992, seksyen 84 (2); Sarawak 1991, seksyen 88 (2); Sabah 1992, seksyen 85 (2).
[21] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 85; Selangor 1984, seksyen 86; Terengganu 1985, seksyen 84; Kelantan 1983, seksyen 86; Pahang 1987, seksyen 86; Johor 1990, seksyen 86; Melaka 1983, seksyen 86; Negeri Sembilan 1983, seksyen 86; Perak 1984, seksyen 81; Pulau Pinang 1985, seksyen 86; Kedah 1979, seksyen 86; Perlis 1992, seksyen 85; Sarawak 1991, seksyen 89; Sabah 1992, seksyen 86.
[22] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 86; Selangor 1984, seksyen 87; Terengganu 1985, seksyen 85; Kelantan 1983, seksyen 87; Pahang 1987, seksyen 87; Johor 1990, seksyen 87; Melaka 1983, seksyen 87; Negeri Sembilan 1983, seksyen 87; Perak 1984, seksyen 82; Pulau Pinang 1985, seksyen 87; Kedah 1979, seksyen 87; Perlis 1992, seksyen 86; Sarawak 1991, seksyen 90; Sabah 1992, seksyen 87.
[23] Berkuatkuasa 1 Ogos 2005
[24] Berkuatkuasa 1 Jun 2006
[25] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 87 (1); Selangor 1984, seksyen 88 (1); Terengganu 1985, seksyen 86 (1); Kelantan 1983, seksyen 88 (1); Pahang 1987, seksyen 88 (1); Johor 1990, seksyen 88 (1); Melaka 1983, seksyen 88 (1); Negeri Sembilan 1983, seksyen 88 (1); Perak 1984, seksyen 83 (1); Pulau Pinang 1985, seksyen 88 (1); Kedah 1979, seksyen 88 (1); Perlis 1992, seksyen 87 (1); Sarawak 1991, seksyen 91 (1); Sabah 1992, seksyen 88 (1).
[26] Wilayah Persekutuan 1984, seksyen 87 (2); Selangor 1984, seksyen 88 (2); Terengganu 1985, seksyen 86 (2); Kelantan 1983, seksyen 88 (2); Pahang 1987, seksyen 88 (2); Johor 1990, seksyen 88 (2); Melaka 1983, seksyen 88 (2); Negeri Sembilan 1983, seksyen 88 (2); Perak 1984, seksyen 83 (2); Pulau Pinang 1985, seksyen 88 (2); Kedah 1979, seksyen 88 (2); Perlis 1992, seksyen 87 (2); Sarawak 1991, seksyen 91 (2); Sabah 1992, seksyen 88 (2).
[27] Lihat juga Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam Terengganu 1985, seksyen 80; Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 1992, seksyen 81. Namun demikian, Perlis memperuntukkan ‘kebajikan’ secara tersirat dalam seksyen yang sama melalui subseksyen (1) yang berbunyi:
(1) Tertakluk kepada Seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan, dengan syarat bahawa penjagaan orang lain itu tidak menyentuh muslihat kanak-kanak itu.
[28] Lihat juga Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perak 1984, seksyen 79 (a); Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Perlis 1992, seksyen 83 (a).

Sharing is caring ^_^

2 comments: