Wednesday, 22 January 2014

TATACARA PENGHINAAN MAHKAMAH OLEH PIHAK YANG BERKEPENTINGAN

Gambar Hiasan
Jika permohonan penghinaan mahkamah itu difailkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan, pemohon hendaklah memfailkan satu notis tunjuk sebab bagi kesalahan penghinaan yang dikatakan dilakukan itu dan dialamatkan kepada orang tersebut. Notis tunjuk sebab tersebut hendaklah difailkan ke Mahkamah dan Mahkamah hendaklah mendaftar dan membicarakan permohonan tersebut mengikut undang-undang yang diperuntukkan.

Notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu. Orang itu hendaklah diberi peluang untuk membela diri termasuklah mendapatkan khidmat guaman dan memanggil saksi-saksi bagi pihaknya. Prosiding itu mesti dicatat oleh hakim dan boleh didengar oleh hakim yang sama (yang mengeluarkan perintah yang diingkari itu). Seksyen 229 (3) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:

(3) Dalam hal penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu.

Jika orang itu gagal menunjukkan sebab, atau gagal memuaskan Mahkamah, maka dia boleh dikomit ke penjara selama tidak lebih dari 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000. Peruntukan mengenai hukuman ini ada dinyatakan di bawah seksyen 229 (1) Enakmen yang sama yang memperuntukkan:

(1) Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

Bagaimanapun, sebelum tindakan mengkomitkan seseorang yang melakukan kesalahan penghinaan mahkamah itu diputuskan oleh Mahkamah, Mahkamah hendaklah berpuashati bahawa orang yang menghina mahkamah itu harus dikomitkan ke penjara. Perintah pengkomitan ke penjara hendaklah ditetapkan bahawa pesalah itu hendaklah dipenjarakan sehingga pesalah itu membersihkan diri dari kesalahan penghinaan mahkamah itu dengan meminta maaf tanpa syarat kepada Mahkamah dan orang lain yang ada kepentingan dan juga mematuhi perintah Mahkamah yang diingkari atau memberhentikan perbuatan lain yang menghina Mahkamah dan sekiranya pesalah gagal berbuat demikian, pesalah akan dipenjara sehingga tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah yang tidak melebihi had maksima penjara bagi kesalahan menghina mahkamah .

Tiada apa-apa permohonan atau tuntutan dari orang yang dituduh menghina mahkamah itu boleh didengar oleh Mahkamah selagi perintah penghakiman terdahulu belum dipatuhi dengan sepenuhnya .

Setakat ini tidak ada satu tatacara khusus untuk mengendalikan prosedur penghinaan mahkamah melalui notis tunjuk sebab yang difailkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Di dalam kes Roslaili bt Abdul Ghani lwn Ahmad Azman bin Yaacob , Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam Selangor telah memberikan panduan mengenai tatacara penghinaan mahkamah. Menurut YA HMTS Shah Alam sewaktu membacakan penghakiman kes tersebut;

Mahkamah ini berpendapat prosedur-prosedur yang sedia ada diamalkan di mana-mana Mahkamah boleh dijadikan panduan”

Antara panduan yang diberikan dari kes tersebut ialah;
1. Pihak Pemohon perlu membuat permohonan pada mahkamah untuk Mahkamah mengeluarkan Notis Tunjuk sebab. Notis permohonan tersebut yang ditandatangani Plaintif atau peguamnya hendaklah disokong ole affidavit. Permohonan tersebut boleh dibuat secara ex parte. Tujuan ex parte adalah untuk menegah defendan melupuskan apa-apa ‘subject matter’ atau membuat apa-apa helah dengan permohonan tersebut;
2. Mahkamah perlu meneliti Notis tersebut dan juga affidavit yang digunakan. Sekiranya Mahkamah berpuashati yang Notis Tunjuk Sebab tersebut adalah munasabah dan pelanggarannya adalah menghina mahkamah, Mahkamah boleh perintahkan satu Notis Tunjuk Sebab disempurnakan ke atas pihak Defendan;
3. Oleh kerana tidak ada satu borang Notis Tunjuk Sebab dimuatkan dalam Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah, pihak Perndaftar boleh membuat satu pekeliling berkenaan dengan perkara tersebut;
4. Notis tunjuk sebab diserahkan secara kediri kepada Defendan bersama dengan Afidavit yang digunakan dalam permohonan untuk dikeluarkan Notis tersebut;
5. Sekiranya defendan tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan, waran tangkap boleh dikeluarkan;
6. Pada tarikh yang ditetapkan, defendan akan diperiksa oleh Mahkamah secara lisan atau dibenarkan dengan Afidavit terhadap dokumen menghina Mahkamah tersebut;
7. Sekiranya tunjuk sebab diterima dan diputuskan oleh Mahkamah sebagai tidak menghina Mahkamah, Defendan dilepaskan;
8. Sekiranya Mahkamah tidak menerima tunjuk sebab berkenaan, Mahkamah perlu membuat hukuman di bawah seksyen 229 dan Perintah Pengkomitan dikeluarkansekiranya hukuman penjara dikenakan;
9. Sekiranya pengkomitan berkenaan penghutang penghakiman dan Defendan telah dipenjarakan, Penghutang boleh dilepaskan jika penunaian hutang telah dibuat.

Dalam kes ini, pemohon, iaitu Roslaili telah mendakwa Responden telah gagal mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Hulu Selangor terutamanya mengenai hak lawatan anak. Pemohon telah mengemukakan satu notis tunjuk sebab beserta affidavit dan setelah meneliti affidavit Responden serta memeriksa Responden, Mahkamah mendapati Responden tidak terjumlah sebagai melanggar perintah mahkamah dan permohonan mengkomitkan Responden kerana menghina mahkamah adalah ditolak atas alasan perintah asal tidak menetapkan secara jelas mengenai hal lawatan anak dan tidak ada pula perintah lain dikeluarkan oleh mana-mana mahkamah mengenai alamat atau tempat mengambil anak tersebut.

Dalam memutuskan sesuatu pelanggaran perintah itu terjumlah di dalam kesalahan penghinaan mahkamah atau tidak, pendekatan yang diambil hendaklah secara berhati-hati dan berhemah. Kesalahan penghinaan mahkamah adalah tidak sama sepertimana kes jenayah yang lain walaupun pendekatannya adalah hampir sama. Bagi penghinaan mahkamah akibat pelanggaran perintah, isu yang perlu ditimbulkan adakah pelanggaran kepada perintah tersebut berlaku?, jika berlaku adakah pelanggaran tersebut suatu tindakan yang menghina kredebiliti mahkamah?. Jika tidak terdapat unsur-unsur tersebut, sesuatu pelanggaran terhadap perintah mahkamah tidaklah terjumlah sebagai suatu penghinaan mahkamah. Di dalam kes Hasnan bin Yusuf lwn Yasmin bt Mohd Yacob, (2008) JH 25/I, 89, YA HMTS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menegaskan;
“(1) Sama ada Responden melakukan pelanggaran terhadap perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 18hb Mei 2004;
(2) Sekiranya perintah dilanggari, sama ada Mahkamah merasa terhina dengan pelanggaran tersebut dan sama ada Responden telah berjaya atau berupaya memberi sebab atau alasan yang wajar dan boleh diterima oleh Mahkamah supaya Responden tidak dikenakan perintah pengkomitan atas kegagalan Responden mematuhi perintah.”

Di dalam kes ini, Pemohon telah mengemukakan suatu Notis Tunjuk Sebab supaya Responden dikomitkan kerana melanggar perintah mahkamah yang dikeluarkan sebelumnya mengenai hak lawatan dan bermesra dengan anak. Dalam affidavit Pemohon, beliau menjelaskan Responden telah menghalang Pemohon dari berjumpa dan bermesra dengan anaknya. Setiap kali Pemohon melawat anaknya, Pemohon hanya dibenarkan bermesra dengan anak melalui celah gril (besi jeriji) pintu rumah dan tidak dibenarkan bermesra secara sempurna dengan anaknya. Responden sewaktu memberikan tunjuk sebab beliau telah bertindak menghalang pemohon dengan mengunci gril dan membiarkan Pemohon bermesra dengan anaknya dengan dibatasi oleh gril rumah kerana Pemohon pernah melarikan anak tersebut selama enam bulan sewaktu anak tersebut di dalam jagaan Responden. Tindakan Pemohon tersebut memaksa Responden memfailkan suatu perintah sementara dan waran tangkap pernah dikeluarkan kepada Pemohon supaya hadir dalam prosiding tersebut dan seterusnya menyerahkan anak. Responden juga beberapa kali membuat laporan polis akibat berlakunya kacau ganggu yang disyakki didalangi oleh Pemohon. Atas alasan-alasan tersebutlah Responden menghalang Pemohon dari bermesra dan bersama anak dengan membatasinya diluar rumah dan gril yang terkunci kerana bimbangkan keselamatan anak tersebut dari dilarikan kali kedua oleh Pemohon. Mahkamah akhirnya memutuskan pelanggaran perintah mengenai hak lawatan dan bermesra dengan anak yang dilakukan oleh Responden adalah munasabah dan perlakuan tersebut tidak terjumlah sebagai penghinaan Mahkamah. Bagi menyelesaikan kekusutan mengenai hak lawatan tersebut, Mahkamah telah mengeluarkan suatu perintah baru dengan mengubah hak lawatan yang lebih adil kepada kedua-dua pihak.

Perintah Hendaklah Diserahkan Sebelum Tindakan Penghinaan Dibuat

Perlu diingatkan disini, sesuatu Notis tunjuk sebab untuk mengkomitkan seseorang yang dikatakan menghina mahkamah kerana tidak mematuhi sesuatu perintah hendaklah disampaikan kepada responden terlebih dahulu sebelum tindakan penghinaan dibuat. Ini bermakna, sesuatu perintah asal sebelum dikatakan tidak dipatuhi oleh responden hendaklah diserahkan dan berada dalam pengetahuan responden. Kegagalan menyerahkan perintah tersebut menjadi satu pembelaan kepada responden dan boleh mengelakkan responden dari dikenakan perintah komitan kerana menghina mahkamah. Dalam kes Azman Abdul Talib lwn Suhaila Ibrahim, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pahang Darul Makmur memutuskan permohonan pemohon untuk mengkomitkan responden kerana menghina Mahkamah akibat dari kegagalan Responden untuk mematuhi perintah sementara hadhanah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelumnya adalah ditolak, kerana Mahkamah mendapati pemohon telah gagal menyerahkan perintah hadhanah sementara tersebut kepada responden, melainkan hanya mengepilkannya didalam affidavit bersama permohonan yang dibuat. Dengan tidak menyerahkan perintah kepada responden, Pemohon telah gagal mematuhi secara ketat kaedah yang ditetapkan. Selain itu, penggunaan draf perintah, dan tidak perintah bersih (termeterai) membawa padah kepada permohonan pemohon.

Penghinaan Oleh Pertubuhan Perbadanan

Kesalahan penghinaan mahkamah ini bukan saja boleh dilakukan oleh seseorang atau individu, bahkan ianya boleh juga dilakukan oleh pertubuhan perbadanan, agensi atau syarikat dan sebagainya. Jika penghinaan mahkamah itu dilakukan oleh sesuatu pertubuhan perbadanan, mana-mana orang yang pada masa penghinaan itu dilakukan ialah pengarah, pengurus atau setiausaha pertubuhan perbadanan itu atau selainnya yang bertanggungjawab atas pengurusan pertubuhan perbadanan itu adalah juga bersalah melakukan penghinaan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa—

(a) penghinaan itu telah dilakukan oleh pertubuhan perbadanan itu tanpa persetujuan atau pembiarannya; atau
(b) dia telah mengambil segala usaha yang wajar bagi mengelakkan berlakunya penghinaan itu sebagaimana yang patut diambil olehnya dengan mengambil kira sifat jawatannya atau jenis tugasnya dalam pertubuhan perbadanan itu dan segala hal keadaan.

Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan atau mengambil apa-apa prosiding atas nama atau bagi pihak orang lain dengan mengetahui bahawa dia tidak dibenarkan dengan sahnya oleh orang itu, juga adalah dikira sebagai melakukan satu kesalahan menghina mahkamah.

Sharing is caring ^_^

2 comments:

  1. salam

    boleh dapatkan khidmat nasihat syariah?

    ReplyDelete
  2. salam

    boleh dapatkan khidmat nasihat syariah?

    ReplyDelete