Wednesday 29 August 2012

Derita Pengidap Penyakit G6PD

Blood Cells
Apa itu Penyakit G6PD?

Penyakit kekurangan enzim G6PD atau lebih dikenali dengan nama G6PD di kalangan rakyat Malaysia merupakan  satu penyakit bawaan genetik. Ia boleh menyebabkan anemia akibat stress pengoksidaan apabila pesakit tersebut terdedah kepada ubat-ubatan, makanan atau bahan-bahan tertentu. Akibat daripada stress pengoksidaan, sel-sel darah merah akan pecah dan ini menyebabkan anemia berlaku. Proses pemecahan sel-sel darah merah ini dinamakan hemolisis.
Penyakit ini biasanya berlaku kepada kaum lelaki dan dianggarkan 3-5% penduduk Malaysia mengalami masalah kekurangan enzim G6PD. Pesakit yang mewarisi penyakit ini boleh hidup sebagaimana manusia normal akan tetapi ubat atau makanan tertentu yang boleh menyebabkan hemolisis perlu dielakkan.

Apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan enzim G6PD?


Di dalam sel darah merah terdapat satu jenis enzim yang bertanggungjawab mengekalkan kestabilan sel darah merah daripada pecah iaitu enzim G6PD (Glucose-6-phosphate dehydrogenase ). Apabila paras enzim ini rendah, sel darah merah tidak mampu menahan keadaan stress seperti dalam kes jangkitan teruk atau apabila bahan kimia atau ubat-ubatan tertentu diambil, sekaligus menyebabkan sel darah merah pecah. Hemolisis berlaku dengan cepat dan ini membawa kepada hemolitik anemia.

Berapa kerapkah berlakunya kes kekurangan enzim G6PD?


  • Dianggarkan seramai 400 juta manusia seluruh dunia menghadapi masalah kekurangan enzim G6PD. Keadaan ini selalunya berlaku di bahagian-bahagian tertentu Afrika, Asia dan Mediterranean.
  • Kawasan yang biasanya berlaku malaria juga mempunyai kes kekurangan enzim G6PD yang tinggi.
  • Di Malaysia pula dianggarkan 3-5% penduduk Malaysia mengalami masalah ini.

Apakah gen yang bertangggungjawab menyebabkan kekurangan enzim G6PD?


Punca utama kepada berlakunya masalah kekurangan enzim G6PD ialah mutasi di dalam gen G6PD. Gen G6PD mengeluarkan arahan supaya enzim G6PD dibentuk. Enzim ini terlibat dengan normal pemprosesan karbohidrat dan ia juga melindungi sel-sel darah merah daripada molekul berbahaya yang dipanggil molekul oksigen reaktif. Molekul ini merupakan hasil kumuhan sel. Tindak balas kimia yang melibatkan G6PD menghasilkan unsur yang mencegah molekul oksigen reaktif daripada terbina dan terkumpul di dalam sel darah merah sekaligus melindungi sel darah merah daripada pecah.
Sekiranya mutasi di dalam gen G6PD mengurangkan kuantiti enzim G6PD atau menukarkan strukturnya, enzim ini tidak lagi dapat memainkan peranannya sebagai pelindung sel darah merah sekaligus menyebabkan pengumpulan molekul oksigen reaktif yang membawa kerosakan kepada sel darah merah. Faktor seperti jangkitan,sesetengah ubat-ubatan, ataupun memakan kacang parang boleh meningkatkan paras molekul oksigen reaktif dan ini akan menyebabkan sel darah merah dimusnahkan lebih cepat berbanding penghasilannya. Berkurangnya sel darah merah membawa kepada timbulnya simptom dan tanda hemolitik anemia.
Banyak penyelidik percaya yang pembawa-pembawa G6PD mungkin dilindungi daripada penyakit malaria. Ini kerana pada pandangan mereka berkurangnya fungsi enzim G6PD menyebabkan parasit sukar untuk masuk ke dalam sel darah merah.

Bagaimanakah seseorang itu mewarisi kekurangan enzim G6PD?


Masalah kekurangan enzim G6PD ini ditentukan oleh kromosom resesif X. Gen yang dikaitkan dengan masalah kekurangan enzim ini terletak pada kromosom X. Lelaki hanya mempunyai satu kromosom X. Oleh itu, sebarang perubahan secara mutasi pada kromosom X tersebut sudah cukup untuk mewujudkan keadaan kekurangan enzim G6PD. Berlainan pula dengan perempuan yang mempunyai 2 kromosom X, mutasi perlu berlaku pada kedua-dua kromosom untuk mewujudkan keadaan kekurangan enzim G6PD ini. Oleh kerana faktor inilah, kebanyakan pesakit kekurangan enzim G6PD adalah lelaki.

Bagaimana masalah kekurangan G6PD ini dikesan?


Berdasarkan sampel darah yang diambil, pesakit kekurangan enzim G6PD akan menunjukkan kandungan haemoglobin yang kurang dan bilirubin yang tinggi di dalam darah.
Ujian spesifik paras enzim G6PD menunjukkan kandungan enzim yang rendah di dalam darah. Walau bagaimanapun semasa fasa akut, paras enzim di dalam darah mungkin normal atau hampir normal kerana sel yang terbabit semuanya dimusnahkan meninggalkan sel darah merah muda yang mempunyai paras normal enzim G6PD.
Oleh kerana keadaan ini adalah diwarisi daripada ibu yang merupakan pembawa gen tersebut, darah ibu pesakit akan menunjukkan paras enzim G6PD yang rendah daripada normal ataupun sedikit rendah daripada normal. Ini menguatkan lagi diagnosis kekurangan enzim G6PD pesakit.

Apakah gejala-gejala dan tanda-tanda pesakit kekurangan enzim G6PD?


Bagi kebanyakan pesakit yang menghadapi masalah kekurangan enzim G6PD, hemolitik anemia adalah tidak ketara sehinggalah 48-96 jam selepas pesakit mengambil bahan-bahan yang boleh menyebabkan pengoksidaan seperti aspirin, sulfonamid, ubat malaria(seperti primaquin), naftalin dan kacang parang (fava beans). Selain daripada yang tersebut di atas, jangkitan bakteria atau virus juga boleh menyebabkan hemolitik anemia kepada pesakit kekurangan enzim G6PD ini.
Gejala-gejala hemolisis yang akut termasuklah kepucatan, jaundis,mudah letih, sesak nafas, jantung berdebar-debar dan hemoglobinuria (hemoglobin dalam air kencing) yang menjadikan air kencing berwarna gelap. Kematian boleh berlaku sekiranya pesakit mengalami hemolisis yang teruk.
Jaundis dapat dilihat pada bahagian mata putih pesakit apabila berlakunya hemolisis di dalam pesakit kekurangan enzim G6PD.
Bagi bayi baru lahir, kekurangan enzim G6PD boleh menyebabkan jaundis(kekuningan) yang patologik. Jaundis pada bayi-bayi yang mempunyai tahap bilirubin yang tinggi di dalam darah perlu menjalani transfusi darah.
Walaupun ramai yang mempunyai masalah kekurangan enzim G6PD ini, tetapi ramai yang tidak pernah menghadapi gejala-gejala atau tanda-tanda seperti di atas.

Apakah ubat-ubatan yang patut dielakkan bagi pesakit kekurangan enzim G6PD?


  1. Anti-malarial : Primaquine dan pamaquine( Chloroquine di bawah pengawasan mungkin digunakan apabila antimalaria diperlukan untuk pencegahan atau rawatan malaria )
  2. Sulfonamides  : Sulfacetamide, Sulfanilamide, Sulfamethoxazole (e.g. Septra, Bactrim),Sulfasalazine.
  3. Anti-bacterials : Nitrofurantoin, Nalidixic Acid, Dapsone, Mafenide Cream (Sulfamylon).
  4. Analgesics : Phenacetin, Acetanilid, Phenazopyridine (Pyridium).
  5. Antihelmintics : ß-Naphthol, Stibophen dan Niridazole.
  6. Miscellaneous
    1. Vitamin K analogues (1mg phytonadione boleh diberikan kepada bayi)
    2. Probenecid
    3. Dimercaprol (BAL)
    4. Flutamide (Eulexin)
    5. Methylene Blue
    6. Tolouidine Blue
    7. Napthalene ( ubat gegat )

Apakah ubat-ubatan yang boleh digunakan oleh pesakit kekurangan enzim G6PD?


1)Kesemua ubat yang “contraindicated” di dalam kes G6PD
2)Mungkin tidak boleh digunakan di dalam kes Kelas 1 G6PD.
Mengikut klasifikasi WHO, G6PD dibahagikan kepada 5 kelas. Kelas 1-3 merupakan keadaan kekurangan enzim.
Kelas 1 : Kekurangan enzim yang teruk (iaitu kurang daripada 10% aktiviti) dengan kronik hemolitik anemia.
Kelas 2 : Kekurangan enzim yang teruk ( iaitu kurang daripada 10% aktiviti) dengan  kadang-kadang berlakunya hemolisis.
Kelas 3: Kekurangan enzim yang sedikit ( dengan 10-60 % aktiviti ), hemolisis hanya berlaku apabila wujudnya keadaan stres iaitu ketika jangkitan, ubat-ubatan tertentu dan pengambilan kacang parang.
Kelas 4: Varian tanpa kekurangan enzim, dengan tiadanya symptom atau tanda.
Kelas 5: Aktiviti enzim meningkat dengan tiadanya symptom atau tanda.
Antara ubat-ubatan yang boleh diambil oleh pesakit kekurangan enzim G6PD:
  1. Analgesics
    1. Acetaminophen ( paracetamol )
    2. Aspirin ( boleh diberikan tapi dalam dos yang sederhana sahaja )
    3. Auralgan
  2. Cardiovascular Agents
    1. Procainamide
    2. Quinidine
  3. Neurologic Agents
    1. Trihexyphenidyl
    2. Levodopa
    3. Phenytoin
  4. Antibiotics
    1. Chloramphenicol
    2. Chloroquine
    3. Isoniazid
    4. Probenecid
    5. Proguanil
    6. Pyrimethamine
  5. Miscellaneous
    1. Vitamin C
    2. Colchicine
    3. Diphenhydramine

Seriuskah masalah kekurangan enzim G6PD?


Jika diberi rawatan dan nasihat yang betul, pesakit boleh hidup dengan gaya hidup yang normal. Kebanyakan pesakit tidak menunjukkan sebarang masalah dalam tempoh yang panjang. Walaubagaimanapun apabila episod hemolitik anemia berlaku,ia perlu dirawat dengan rawatan yang sesuai.

Pesakit mengalami masalah kekurangan enzim G6PD, apakah yang patut dilakukan?


Anda dinasihatkan supaya menjauhi makanan-makanan seperti kacang parang, makanan yang mengandungi pewarna tiruan methylene dan toluidine blue, kacang soya atau produk soya,semua jenis kacang atau produk kacang dan gula-gula dan makanan berperisa menthol.
Apabila berjumpa dengan doktor, anda hendaklah memberitahu doctor yang anda mempunyai masalah kekurangan enzim G6PD supaya doktor tidak mempreskripsikan ubat yang boleh menyebabkan anemia kepada anda.
Anda juga dinasihati supaya tidak mengambil ubat-ubatan terutamanya antibiotic dan lain-lain ubat-ubatab tanpa mendapat nasihat doktor terlebih dahulu.
Ketidaknormal gen bertanggungjawab terhadap kekurangan enzim ini yang biasanya mensasarkan kromosom X. Disebabkan lelaki hanya mempunyai satu kromosom X, mereka lebih berpotensi mengalaminya berbanding bayi perempuan yang mempunyai dua kromosom X. Apabila satu mengalami kekurangan enzim, satu lagi normal menjadikan enzim perempuan lebih seimbang. Begitupun, G6PD mempunyai beberapa tahap bergantung kepada peratusan kehilangan enzim terbabit.
Dari segi perubatan, ia bukan penyakit dan semestinya tiada ubat untuk kekurangan enzim ini. Seperti perkara yang membabitkan genetik lain, contohnya warna rambut atau anak mata, G6PD juga tidak akan berubah malah akan dialami seumur hidup. Sementara itu, darjah ketinggian proses hemolisis pula mengikut kadar pendedahan kepada ubat-ubatan tertentu seperti primaquine dan hydroxychloroquine (anti malaria), sulfonamides, ubat gatal dan dapsone. Jika termakan kacang parang pula, ia boleh menyebabkan demam, sakit belakang, pening dan menggeletar selain pneumonia.
Sumber : Penyakit Kekurangan Enzim G6PD. ( G6PD deficiency )

Sharing is caring ^_^

Tuesday 28 August 2012

Tuntutan Bapa Atas Anak...Kisah Si Tanggang Moden

Metro 29/8/2012

KUALA TERENGGANU: Seorang pengurus sebuah syarikat cari gali minyak diperintahkan membayar RM18,866.50 dan membuat permohonan maaf secara terbuka mengikut hukum syarak kepada ibu bapa serta dua anaknya yang diabaikan sejak lebih lapan tahun lalu.

Arahan itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Rosdi Harun ke atas Nasrun Mustafa, 39, (anak kandung kepada Plaintif-plaintif) dalam prosiding semalam selepas membenarkan tuntutan difailkan bapa lelaki itu, Mustafa Ismail, 66, dari Kampung Beladau Kolam, Manir, di sini, dua tahun lalu.

Rosdi berkata, bayaran RM18,866.50 itu adalah kos tunggakan dan perbelanjaan serta teladan terhadap Mustafa selepas Nasrun tidak pulang ke rumah bertemu kedua-dua anaknya (hasil perkahwinan pertama pada tahun 23 Ogos 1994 dan telah bercerai pada 1 Julai 1997) sejak lebih lapan tahun lalu.

Nasrun yang berpendapatan lebih RM17,000 sebulan diarahkan membayar RM400 setiap seorang kepada ibu bapa serta dua anaknya berusia 15 dan 17 tahun setiap bulan, selain RM500 seorang untuk dua anaknya sebagai perbelanjaan menyambut Aidilfitri setiap tahun.


Sharing is caring ^_^

Monday 27 August 2012

Mencuba Pakaian Syurga

Gambar Hiasan
Sewaktu saya bersiar-siar di KLCC, Mid Valley, Times Square dan seribu satu pasaraya lagi, hampir setiap kali saya akan berjumpa dengan remaja Melayu yang tidak ada langsung ciri-ciri kemelayuan.
Sekali pandang persis Minah dan Mat Salleh. Rambutnya berwarna-warni, didandan pula dengan mekap beserta aksesori, ditambah pula dengan skirt singkat, memang serupa dengan orang kulit putih, cuma kulit mereka sahaja masih Melayu.
Kenapa ya? Kalau adapun remaja Melayu, jiwa dan pakaian mereka membuatkan seolah-olah saya sedang membeli belah di pasaraya ternama di New York atau Hong Kong. Hebat bukan?
Saya akui, fesyen mampu mencipta satu suasana yang berbeza. Cuba bayangkan sebentar, kamu sekarang di Mid Valley dengan berjubah, dan hampir semua manusia di sekelilingmu berpakaian jeans ketat dan berskirt singkat, bukankah kamu akan gusar?
Mana tidaknya, apa yang kita fikirkan ialah apa yang orang lain fikirkan terhadap kita. Betul?
“Eh, Minah ni, pakai jubah pula.”
Dalam zaman yang serba canggih, hatta pakaian sekalipun mahu dicanggihkan (bukan jenama canggih). Saya juga hairan, entah dari mana pereka-pereka fesyen ini mendapat ilham.
Mereka mencipta pakaian dalam pelbagai versi, dedah belakang, tutup depan, dedah atas dan tutup bawah. Semua kelihatan hebat di mata kita kerana ia adalah sesuatu yang lain dalam norma masyarakat kita. Bukankah anda suka kalau anda menjadi perhatian?

Gambar Hiasan
Kita dan Fesyen
Teringat sewaktu saya dan dua orang teman lama bertemu, kami menghabiskan masa dengan membeli belah. Saya dan Si A mahu membeli pakaian. Al-kisah, singgahlah kami di sebuah kedai pakaian di East Cost Mall, dan ketika membeli kemeja, saya memilih kemeja yang agak labuh manakala teman saya, si A memilih kemeja biasa. Lalu saya ditegur begini :
“Eh, Aishah, Kenapa labuh sangat?”.
Saya tergamam. Kelu lidah seketika. Walhal sebenarnya akal saya mencari-cari idea untuk membalas soalannya yang bagi saya tidak perlu dijawab.
“Erm, memang saya suka jenis yang macam ini.”
Sikap Umat Kita
Di zaman fesyen bohsia bohjan dijaja, akhlak lumat entah kemana, saya merasakan sesuatu telah hilang dalam diri kita. Sesuatu yang hilang itu yang pernah berlaku pada umat terdahulu; yang menyebabkan kita kehilangan zaman-zaman indah kegemilangan Tamadun Islam.
Apa yang Hilang?
Izzatul islam. Perasaan bangga dengan Islam. Saya percaya umat kita sudah hilang perasaan bangga sebagai seorang Muslim. Mana tidaknya, kita sendiri yang merasa malu apabila berpakaian mengikut syariat, apabila tidak berhias, berdandan dan tidak mengikut trend fesyen.
Seolah-olah Muslim yang mengikut syariat tergolong dalam golongan yang terasing jika berpakaian menutup aurat kerana kebanyakan manusia berfesyen dengan fesyen dedah-dedah.
Ada satu lagi cerita. Harap siapa yang sudi membaca tidak jemu.
Saya berasal dari sebuah sekolah biasa, maka adab dan sosial pelajar-pelajar juga biasa-biasa sahaja. Apabila saya dan kawan bertudung jenis kain akel, saya dan teman baik dipanggil ustazah. Tinggi sungguh penghargaan yang diberi pada kami.
Suatu hari, kawan saya memakai tudung labuh. Usai solat Isyak di surau sekolah, dia keluar. Merah padam mukanya apabila memasuki kelas gara-gara semua mata memerhatinya dari surau sehingga ke kelas. Terpaksalah dia menyorok seketika di dalam tandas.
Saya tahu, barangkali kamu terlupa sekali-sekala untuk memakai lengan panjang, terlupa untuk menutup rambutmu yang ikal mayang, terlupa untuk memakai seluar di bawah paras lutut dan seribu satu lagi kelupaanmu.
Tapi kamu jangan lupa, malaikat yang mencatat amalanmu di kiri dan kanan tidak pernah lupa untuk menulis amalanmu. Dan yang paling kamu tak boleh lupa, Pencipta kita sentiasa memerhatikan kita. Maha Suci Allah dari sifat hamba-Nya yang pelupa. Kalau hari-hari lupa, sampai bila kesudahannya?
Barangkali juga kamu tahu menutup aurat penuh itu wajib. Cuma kamu masih belum kuat untuk berubah. Kamu tahu, memakai tudung perlu menutup dada, memakai baju jangan yang ketat-ketat dan nipis, apabila berhias biarlah berpada-pada.
Tetapi kamu jangan lupa, kekuatan itu datangnya dari iman. Dan iman itu datangnya dengan keyakinanmu pada janji Tuhan. Apa kamu sudah lupa mengapa Allah memberi arahan sedemikian?
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nur :31)
Maka saya membuat kesimpulan peribadi. Kebanyakan kita berpakai mengikut undang-undang budaya bukan syariat lagi. Kalau tidak, mana lahirnya golongan pakai jubah tapi tak bertudung, apabila bertudung pula, baju hampir-hampir tanpa lengan, kain pula terbelah depan belakang?
Kalau lelaki pula, seluar ketat-ketat, seluar singkat-singkat. Mungkin begini, lahir-lahir ibu bapa pakai begitu, maka anak-anak juga mengikut apa yang dipakai ibu bapa. Kita pakai ikut budaya tanpa tahu dalilnya?
Prejudis Terhadap Umat Sendiri
Seringkali bila memikirkan masalah umat, saya hairan, mengapa umat Islam lewat zaman ini bersikap prejudis terhadap saudara sendiri? Mengapa apabila ada yang cuba-cuba “berhijrah” ke arah yang lebih baik, akan ada nada-nada sumbang di belakang yang memandang serong?
Bukannya mahu diambil yang jernih dibuang yang keruh. Apatah lagi memberi sokongan, tapi ia dipulaukan pula semata-mata kerana mentaati perintah Allah. Masya-Allah saudaraku, cepat-cepatlah hisab diri!
Sabda Nabi Junjungan
Daripada Abu Hurairah .a. berkata: Bersabda Rasululah saw:
“Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing.” (H.R Muslim)
Lihatlah saudaraku, Islam kembali asing di akhir zaman ini dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri. Kita sendiri yang merasa ganjil dan pelik tatkala melihat orang Islam yang iltizam dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar.
Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang normal di kalangan mereka.
Dan begitulah seterusnya nasib lslam di akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam.
Daripada Anas .a. bekata, Rasulullah saw. bersabda:
“Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api.” (H.R Tirmizi)
Di zaman yang sangat mencabar ini, sesiapa yang hendak mengamalkan ajaran Islam terpaksa menghadapi kesusahan dan tentangan yang sangat hebat. Kalau tidak bersungguh-sungguh, nescaya Islam terlepas dari genggamannya.
Kerana apa? Kerana umat Islam sendiri tidak membantu untuk dia menunaikan kewajiban agamanya, bahkan apa yang ada disekelilingnya mendorong untuk membuat kemaksiatan dan perkara-perkara yang dapat meruntuhkan aqidah dan keimanan atau paling kurang menyebabkan kefasiqan. Jadi kesimpulannya, orang Islam tersepit dalam melaksanakan tuntutan agamanya di samping tidak mendapat kemudahan.
Lecehnya Islam
Ada yang mempersoalkan, kenapalah perempuan diperintahkan menutup aurat hampir keseluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan? Kenapa lelaki tidak?

Gambar Hiasan
Jawapannya pada saya mudah. Kerana yang Allah perintahkan untuk kita tutup itu adalah yang indah-indah belaka. Tanpa perlu lagi dikiaskan dengan analogi palsu yang sudah dihadam oleh kita (analogi permata dalam bungkusan), kita pasti faham. Buktikan pada saya, dimana perempuan tidak cantik?
Tiada.
Tapi lelaki, diberatkan pula dengan amanah dan tanggungjawab. Menjadi lelaki bagi saya umpama bakal memikul sebeban gunung. Mana tidaknya, kalau sudah berkahwin, keluarga sendiri perlu dijaga, ibu dan ayah perlu diutama, anak isteri juga dipikul dosa, nafkah pula perlu diusaha, bukankah itu amanah besar dari Tuhan?
Saya menulis ikhlas dari hati. Untuk kakak, adik, ibu, ayah, abang, kawan, teman, dan Muslim semuanya. Semua ini tanda kasih dan sayang bersama. Kerana saya tahu, syurga dicipta untuk semua hambanya. Maka,saya mahu masuk bersama kalian. Sungguh, syurga itu mahal nilainya, dan jalan menujunya tidak semudah yang kita sangka. Maka, berubahlah dari sekarang.
Yang lebih menakutkan apabila direnungi hadis Nabi di bawah :
Daripada Abu Hurairah .a. berkata: Rasulullah saw. bersabda :
“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya”.
Marilah kita sama-sama berubah menuju ke jalan-Nya.

Source: Lupa ambk kat mn..(^_^)

Sharing is caring ^_^

Jodoh???

Gambar Hiasan
A : Awak nak nikah x ?
B : Insyaallah nak lah, Kan sunnah Rasulullah

A : Dah ada calon?
B : Alhmdulillah dah, kan dah ditulis oleh ALLAH

A : Siapa dia?
B : Insyaallah dia adalah lelaki/perempuan pilihan ALLAH

A : Kenapa nak nikah dgn dia ?
B : Insyaallah memilih dia kerana ALLAH

A : Bagaimana nanti nak jumpa ?
B : Yakin lah, ALLAH punya cara yg tak pernah kita duga, Percaya
je dgn ALLAH

A : Laa, bila nak nikahnya ?
B : Hmm, ALLAH maha tahu bila waktu yg tepat dan terbaik

A : Jadi kat mana jumpanya ?
B : Tenang, masih di bumi ALLAH, kalau tak di dunia, Insyaallah di syurga ALLAH

A : Jadi ?
B : Serahkn pada ALLAH, niatkan untuk menggapai redha-Nya je, insyaAllah beres ~ ^__^


Sharing is caring ^_^