Monday, 4 March 2013

Percakapan Dalam Islam



BAB 1:
Pendahuluan.

1.1 Pengertian Bahasa Bersantun

Kamus Dewan Edisi Baharu (1996) menjelaskan bahawa :

1.                  Sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam
lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan seorang individu yang lain dan sebagainya)

2.                  Percakapan yang baik,tingkah laku yang baik,sopan santun.

Santun pula menurut Kamus Dewan Edisi Baharu(1996) ialah halus (budi bahasa atau budi pekerti),beradab,sopan.Kesantuan bahasa bukanlah sekadar menggunakan bentuk kata santun seperti yang ikhlas,Yang menrut perintah,Yang benar dan sebagainya.Sebenarnya kesantunan berbahasa bermakna timbang rasa yang kita berikan kepada orang yang mendengar kita bercakap.Kesantunan bahasa juga merujuk kepada sifat-sifat bahasa yang membolehkan kita menolak permintaan seseorang tanpa mengecilkan hatinya (Abdullah Hassan,1994).

1.2 Kesantunan Bahasa

Kesantunan bahasa bererti kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan kepada orang yang dihormati,orang yang setaraf dengan kita atau orang yamg lebih rendah kedudukannya daripada kita (Amat Juhari Moain,1992). Untuk mengetahui kesantunan berbahasa dengan lebih jelas,cara yang paling mudah adalah megetahui apa yang di sebaliknya,iaitu kebiadaban berbahasa.Terdapat berbagai-bagai bentuk kebiadaban berbahasa yang dilakukan oleh orang ramai,sama ada disedari atau tidak.
1.3 Adab Bercakap Dalam Islam

Manusia diciptakan dalam bentuk yang paling cantik oleh Allah S.W.T..Kemudian diberikan pula sepasang mata dan sepasang telinga.Dan dibekalkan dengan akal,dikurniakan alat-alat untuk dapat belajar dan berusaha.Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :

             “Katakanlah : Dialah yang mewujudkan kamu dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati.(tetapi)sedikit yang kamu syukuri”
                                                                                                          -Surah Al-Mulk 67:23-

Di tempat yang lain,Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud :

            “Bukankah Kami telah menjadikan dua mata baginya,lidah dan dua bibir?”
                                                                                                        -Surah Al-Balad 90:8-9-

Terdapat banyak fungsi dan kegunaan lidah,antara lain untuk menyampaikan isi hati,memberi maklumat kepada orang lain menerusi kata-kata dan pertuturan.Allah berfirman yang maksudnya :

            “(Tuhan)Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya.Dialah yang telah mengajaakan Al-Qur’an.Dialah yang telah menciptakan manusia .Dia jugalah yang telah membolehkan manusia (bertutur)meberi dan menerima pernyataan”
                                                                                                    -Surah Ar-Rahman 55:1-4-

Allah menyuruh orang Islam supaya menjaga ucapannya sebagaimana menjaga perbuatannya.Itulah sebabnya timbul sebuah ungkapan :

            “Siapa yang membandingkan ucapannya dari perbutannya,dia akan kurang (sedikit)bercakap”

Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya :

            “Sesungguhnya,seseorang mengucapkan perkataan yang dimurkai Allah,tidak disangkanya ia akan  sampai,maka kerananya dia dicampakkan ke dalam neraka selama 70 musim.Dan sesungguhnya,seseorang mengucapkan perkataan yang disukai Allah,tidak disangkanya ia akan sampai,maka dia diangkat ke syurga ‘Illiyin kerananya”
                                                                                                                   (Riwayat Tirmizi)

Inilah nilai ucapan dalam islam.Kerana itu,orang islam hendaklah berhati-hati dalam pertuturan sebagaimana perlunya berhati-hati dalam makan dan minum,serta menghindari perkataan yang tidak berfaedah (yang haram dan syubhat).Terjemahan firman Allah S.W.T. :

            “Tidak mengucapkan perkataan (oleh manusia )kecuali disisinya ada (malaikat)Raqib dan ‘Atid”
                                                                                                             -Surah Al-Qaf 50:18-

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :

            “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir,hendaklah dia bertutur dengan baik atau diam”
                                                                                             (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seorang penyair menyebutkan :

            “Hindarilah hal-hal yang keji,jangan menuturkannya.Katakanlah yang baik meskipun ketika bergurau-senda.Tahan lidahmu dari mengucapkan perkara yang buruk.Hati-hatilah jangan sampai terlanjur mengucapkan sesuatu”

BAB 2 :

 Percakapan dalam islam.

Percakapan merupakan satu bentuk gambaran dan perwatakan peribadi seseorang itu.Ketika kita bercakap dan bertutur sehari-hari,kita sebenarnya telah digariskan oleh islam adab serta cara bertutur menurut perspektif islam antaranya ialah :

2.1 Bersederhana dalam bercakap.

Ketika bercakap,hendaklah kita bersederhana kerana ia merupakan satu sifat yang terpuji yang harus dipupuk dalam diri setiap muslim.Hadis sendiri menerangkan bahawa seseorang itu hendaklah bercakap benar ataupun ia berdiam diri.Setiap muslim hendaklah berpegang kepada kebenaran dan memperkatakannya sama ada disukai atau tidak sekalipun menyakitkan.Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud :
                 
                       “Tanda-tanda orang munafik itu ada 3 iaitu apabila dia berbicara dia       berdusta,apabila dia berjanji dia mungkiri dan apabila dia diberi amanah dia khianati”

2.2  Bahasa yang jelas.

Bahasa yang mudah difahami dan jelas turut menjadi kriteria percakapan dalam islam.Susunan ayat hendaklah behati-hati dan menggunakan suara parau hendaklah dihindari.Penggunaan kata-kata kuno yang janggal dan jarang digunakan,sebagai percubaan untuk mendemonstrasi kebolehan berbudi bahasa atau untuk menunjukkkan dirinya lebih berpengetahuan dirinya adalah ditegah sama sekali.Ketika bercakap,Baginda sentiasa mengelakkan dirinya daripada menggunakan perkataan yang mempunyai makna berlapis-lapis dan boleh menimbulkan kemarahan,kegelisahan kekeliruan kepada pihak yang lain.

2.3  Melihat wajah orang yang bercakap.

Memandang wajah seseorang secara mesra ketika bercakap melambangkan budi bahasa dan perhatian kita ketika seseorang itu bercakap dangan kita serta menunjukkan tanda hormat.Firman Allah S.W.T :

               “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu(kerana memandang rendah) kepada manusia,dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong;Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang sombongtakabur,lagi membanggakan diri”
                                                                                                     -Surah Luqman 18:31-

2.4  Diam diri

Seseorang muslim itu hendaklah berdiam diri dan bercakap demi hanya untuk bercakap  perkara yang   tertentu(yang baik).Firman    Allah   S.W.T.     yang bermaksud:
                 
                 “(Luqmqn menasihati anaknya dengan berkata): ‘Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya jika ada suatu perkara (yang baik atau buruk)seberat biji sawi sekalipun,serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi,sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dibicarakan dan dibalasnya);kerana sesungguhnya Allah Maha Halus Pengetahuan­-Nya lagi amat meliputi segala yang tersembuyi.”

2.5  Berfikir sebelum bercakap.

Sering kali kita mendengar pepatah Melayu yang berbunyi, ‘Terlajak perahu boleh diundur,     terlajak    kata       buruk padahnya’.Begitulah hakikat seorang muslim yang perlu berlapik atau berasas sebelum mengatakan sesuatu,Berfikir dahulu sebelum berbicara dapat menghindari dari mengatakan sesuatu yang boleh membawa penyesalan dan perlu meminta maaf.
   
2.6  Tidak meninggikan suara.

Semasa bercakap,  kita tidak boleh   meninggikan suara  serta  tergopoh-gapah.Adalah lebih baik sekiranya seseorang bercakap dengan tidak terlalu perlahan atau terlalu       pantas,tidak terlalu     tinggi  suaranya dan boleh    membosankan pendengar.Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

         “Dan bersederhanakanlah langkahmu semasa berjalan juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata),sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”
                                                                                         -Surah Luqman 19:31-

      Antara sebab ditegah meninggikan suara ialah kerana suara ini menyerupai suara        keldai dari sudut memekak dan memekik.Ini sebagai perbandingan seburuk-buruk suara.Ayat di atas telah menjelaskan melalui dalil dan bukti celaan dan kejian mengangkat suara yang kuat dan tinggi tanpa apa-apa keperluan.

2.7  Mengambil kira tajuk percakapan.

Tajuk percakapan mesti diambil berat dan ia bergantung kepada suasana dan tempat.Budi bahasa dan kesesuaian adalah perlu diambil kira antara tajuk perbincangan dan suasana keadaan tempat agar sesuai.

2.8  Mengulangi percakapan.

Sekiranya pendengar tidak dapat mengikuti percakapannya dan ingin kata-katanya diulang,adalah menjadi adab untuk mengulanginya.Tidak wajar kita memarahinya lantaran tidak dapat mengikuti dengan jelas apa yang dibincangkan.Kemungkinan suara atau penjelasan kita kurang jelas. 

BAB 3 :

Bahasa yang dianjurkan dalam Islam.

3.1  Tidak melafazkan sumpah.

Dalam bercakap,janganlah sesuka hati melakukan sumpah        menggunakan nama atau sifat-sifat-Nya.Terdapat    sesetangah orang di kalangan   kita suka bersumpah   dengan nama   Allah tidak  akan melakukan kebaikan       seperti sedekah,beribadat, berbakti,derma juga   kebaikan kepada manusia,sedangkan apa yang disumpah itu buruk dan   memudaratkan dirinya.Lantaran itu,setiap muslim hendaklah  menghindari  daripada  melakukan sumpah  tanpa tujuan.Sebagaimana  firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
             
                     “Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu itu tipu daya sesama kamu
 kerana dengan demikian akan memyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap     teguh (di atas jalan yang benar)”
                                                                                           -Surah al-Nahl 16:94-

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

                        “Dan janganlah kamu jadikan (nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng menghalang kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa;serta mendamaikan perbalahan sesuatu manusia.Dan ingatlah Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa mengetahui”
                                                                                                 -Surah al-Baqarah 2:224-

Justeru itu,   sesiapa    yang    suka   memainkan    sumpah seolah-olah   tidak menghormati nama Allah.

3.2  Tidak menggunakan loghat bahasa yang tidak difahami.        

  Pengucapan dan kata-kata menggunakan loghat bahasa hendaklah dihindari       sedapat mungkin.Ungkapan dan dan perkataan hendaklah menggunakan kata-kata mesra yang menyenangkan apabila berbicara dan ini menggambarkan berbicara secara bermoral.Tidak semua orang memahami sesuatu paerkataan yang jarang atau pelik (gharabah). Oleh itu gunakan bahasa yang rasmi dan difahami oleh pendengar.

3.3  Tidak melafazkan sekutu bagi Allah.  

  Pengucapan tertentu yang bertentangan dengan aqidah islam sebagai contoh pengucapan yang menggambarkan adanya sekutu Allah mesti dihindari.Sesungguhnya muslim tidak boleh sekali-kali mengungkapkan; ‘Menurut kehendak Allah dan kehendak itu dan ini...’ Lebih baik baginya mengatakan ; ‘Menurut kehendak Allah sahaja ataupun menurut kehendak Allah dan kelak menurut kehendak itu dan ini’ Dia juga tidak boleh berkata, ‘Tidak ada yang menolongku kecuali pertolongan Allah dan kelak bantuan daripada engkau’ Dia juga tidak boleh mengungkapkan, ‘Aku bersumpah dari itu dan ini’ Ini kerana syirik merupakan dosa yang paling besar dan tidak akan diampunkan oleh Allah dan kekal dalam neraka.Firman Allah S.W.T. :
         
           “...Bahawasanya sesiapa yang menyengutukan Allah dengan sesuatu yang   lain maka sesngguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka…”
                                                                                                   -Surah al-Ma`idah   :72-

3.4  Menghindari menghina orang lain.

Seseorang muslim hendaklah tidak mencemuh atau menghina sesoorang muslim lain atau berbicara mengenai kesalahannya,sekalipun orang itu mencemuh dan menghina perkara yang betul pada hakikatnya.

3.5 Dilarang memasang telinga.

Dilarang bagi kita memasang telinga ketika orang lain berbicara kerana kita tidak mempunyai hak ke atas setiap percakapan orang lain.Setiap rahsia orang tidak wajar diambil tahu kecuali perkara-perkara tertentu yang menjadi darurat sehingga mengancam nyawa dan keselamatan negara.

3.6 Tidak menghina orang yang telah meninggal dunia.

Menghina orang yang telah meninggal dunia merupakan akhlak yang buruk dan sama sekali ditegah dalam islam.Dosanya ialah sama seperti menghina orang yang masih hidup.Walaupun dia telah meninggal dunia,tidak sepatutnya kita memburuk-burukkan namanya walaupun apa yang diperkatakan itu benar.Firman Allah yang bermaksud :

                 “Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia mereka berpaling daripada-Nya”
                                                                                                          -Surah Al-Qasas 28:55-

3.7 Celaan menghina kejadian alam.

 Setiap kejadian ada hikmah dan pengajarannya.Mencela angin,hujan dan fenomena alam yang lain patut dijauhi sama sekali kerana semua kejadian tunduk pada perintah Allah.Sebagai ganti cercaan terhadap angin dan hujan,seseorang itu hendaklah mengucapkan, ‘Wahai Tuhanku,jadikanlah kejadian alam ini sebagai suatu rahmat dan bukannya bala bencana daripada-Mu’.Contohnya kejadian ayam jantan yang kerap kali dihina lantaran kokokannya mengejutkan manusia untuk menunaikan solat subuh.

3.8 Bersikap hormat ketika menyalahkan seseorang.

Lebih baik sekiranya kita bersikap hormat ketika menyalahkan seseorang itu kerana kesalahan yang dilakukannya supaya dihindari daripada rasa malu dan dendam seseorang itu.Akhlak Nabi Muhammad S.A.W. merupakan akhlak yang terpuji.Baginda tidak pernah menunjukkan kesalahan seseorang,tetapi baginda membahasakannya kepada pihak yang ketiga sebagai contoh dan teladan.Dalam masa yang sama,orang yang bersalah itu tidak akan tersinggung  dan berasa dirinya dihina di khalayak ramai.

3.9 Tidak memuji secara berlebih-lebihan.

Semasa bercakap,kita dilarang memuji seseorang secara berdepan dengan berlebih-lebihan hingga terkesan kemunafikannya serta kepura-puraannya.Sekiranya terpaksa berbuat demikian,ucapannya haruslah bersederhana dan tidak melampau.Hanya Allah sahaja yang berhak menzahirkan keikhlasan seseorang itu.Sabda nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud :

             “Dan ‘Aqabah bin Amir r.a,katanya :Aku bertanya :Ya Rasulullah,apakah kemenangan itu? Beliau menjawab, ‘Kawallah lidahmu,dapatkan ketenteraman rumahmu dan menangislah atas kesalahanmu(dosamu)”
                                                                                                                   -Riwayat Tirmizi-
                                
3.10 Menjaga kehormatan orang lain.

Seseorang muslim tidak boleh sekali-kali membenarkan orang lain memaklumkan kepadanya tentang keburukan orang ketiga.Adalah lebih baik baginya bertegur dan bergaul mesra dengan individu lain tanpa perasaan buruk sangka(su’udzon).Sekiranya ia sedang mendengar orang yang sedang berbicara kejelekan  orang lain,adalah menjadi tanggungjawabnya mempertahankan peribadi orang yang diperkatakan itu.Kita mesti cuba membelakangkan apa yang buruk walaupun benar.Jika kita menjaga dan memelihara keaibannya di dunia,nescaya Allah akan memelihara keaiban kita di akhirat kelak.

3.11 Tidak bercakap mengenai sesuatu yang tidak diketahui.

Kita hendaklah memelihara lidah daripada membicarakan sesuatu perkara yang tiada kaitan dengan kita kerana ditakuti tersilap cakap kerana tanpa ilmu dan perkhabaran mengenai perkara yang sebenar.

3.12 Penggunaan perkataan ‘saudara’ untuk orang islam.

Penggunaan perkataan ‘saudara’ hendaklah dikhususkan untuk orang islam sahaja kerana setiap orang islam itu adalah bersaudara,iaitu saudara seislam.Oleh itu jangan kita bergaduh kerana sekiranya kita bergaduh,umpama butir manik yang terlerai dari seutas rantai.

3.13 Tiada panggilan kafir.

Dalam islam kita dilarang memanggil seseorang itu dengan panggilan kafir atau menuduhnya tidak islam adalah haram selagi belum terbukti dia telah murtad.Dan jangan kita menghina agama lain sekalipun tidak betul.Kita hendaklah menghormati agama lain kerana islam bukan agama  paksaan.

3.14Mengucapkan ucapan salam.

Sekiranya kita ingin memulakan perbicaraan atau percakapan,hendaklah dimulai dengan ucapan salam untuk memberi peluang kepadanya beralih tumpuan daripada kesibukannya seketika,kemudian menjelaskan kepadanya perkara yang hendak diperkatakan.Ucapan salam yang sempurna ialah; ‘Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarorakatuh’ yang bermaksud, ‘Salam sejahtera ke atas kamu’.Sesetengah orang islam tersilap menggunakan ucapan, ‘Assamualaikum’ yang bermaksud, ‘Matilah ke atas kamu’Dari segi bunyi ia seakan-akan bunyi salam yang sebenar.Dengan membuang huruf ‘Lam’,ucapan ini membawa maksud yang berbeza.Baginda sentiasa meraikan orang lain dengan senyuman dan berjabat tangan.Bagindalah orang yang pertama memberi salam dan orang yang terakhir menarik tangan setelah selesai berjabat tangan.

3.15 Selawat ke atas nabi.

Selawat menjadi sebahagian daripada tatasusila kepada seseorang muslim apabila menyebut Nabi atau disebabkan di hadapannya nama Nabi,hendaklah kita berselawat ke atas baginda dengan berkata, ‘Sallal-lah ‘alaihi wa Sallam’ (Allah S.W.T. berselawat ke atas baginda).

3,16 Insya Allah.

Ketika kita berjanji dengan seseorang,kita tidak boleh mengatakan dengan pasti atau tegas tanpa menyandarkan terlebih dahulu kepada Allah dengan berkata : Insya Allah (sekiranya diizinkan Allah).Segala keputusan itu terletak pada tangan Allah.Jika Allah tidak membenarkan sesuatu,hendaklah kita menerima hakikat (qada’ dan qadar) tersebut.

3.17 Bersikap pemaaf.

Kehidupan Rasulullah sentiasa sibuk.Setiap saat ada sahaja masalah yang timbul dan memerlukan penyelesaian.Fitnah,hasutan dan ketegangan sentiasa sahaja ditimbulkan oleh orang yang tidak senang kepadanya. Namun begitu, Baginda tidak pernah hilang pertimbangan dan kesabaran.Sebaliknya Baginda amat mudah memberi kemaafan. Apabila berhadapan dengan orang-orang yang jahil dan kafir itu, Al-Qur’an menasihati baginda :

                  “Jadilah engkau seorang yang pemaaf dan suruhlah orang-orang mengerjakan yang ma’ruf,serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil”
                                                                                                                   -Al-A’raff 7:199-


                        Ketika seseorang sedang bercakap,kita tidak boleh menyampuk.Tidak wajar dua orang sekaligus bercakap dalam satu masa.Baginda tidak akan menyampuk selagi orang yang sedang bercakap itu belum selesai berkata-kata.Baginda seorang yang menyenangkan hati,menawan,peramah dan lembut tetapi tegas.

3.18 Jangan memperli orang lain.

Jika terdapat satu pihak yang gagal,janganlah kita memperkecilkannya.Baginda sendiri tidak akan merendahkan orang lain.Baginda sentiasa memberi kata-kata perangsang dan semangat sehingga mereka yang gagal berasa lapang dan lega daripada perasaan tertekan dan bersalah hatta kepada musuh sendiri.Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

              “Dan bersabarlah dalam menunggu ketetapan Tuhanmu,maka sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan kami dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu ketika kamu bangun dan berdiri”
                                                                                                                -Surah At-Tur  :48-

3.19 Terima keputusan

Sekiranya perbincangan itu gagal mencapai kata sepakat,hendaklah ditamatkan begitu sahaja.Pihak yang terlibat harus bersedia untuk menerima hakikat ini dengan hati yang terbuka.Sebarang tindak balas yang tidak baik perlu dielakkan.Setiap pihak yang terlibat haruslah menyedari bahawa untuk mencapai kata persetujuan bukanlah mudah dan mungkin memakan masa.Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

               “Maka disebabkan rahmat daripada Allah lah kamu berlaku lembut terhadap mereka.Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar,tentulah mereka menjauhkan diri darimu.Kerana itu maafkanlah mereka,mohonkan keampunan bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu.Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad,bertawakkal kepada Allah.Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya”
                                                                                                        -Surah Ali-Imran 3:159-

3.20 Tiada gelaran buruk.

Jangan menggelar atau menamakan seseorang atau benda-benda lain dengan nama yang buruk dan tidak disukai.Apabila baginda tidak menyukai makanan yang dihidangkan kepadanya,baginda tetap memakannya tanpa banyak cerewet atau tidak memakannya.

BAB 4 :

Penutup.

          Al-Qur’an meminta supaya ciri-ciri yang baik (mahmudah) seperti memahami dan bersimpati,kelembutan dan kesederhanaan cinta serta kasih sayang diamalkan manakala sifat-sifat yang buruk (mazmumah) seperti suka memaksa,bongkak,menipu dan mengancam ditinggalkan untuk membawa islam ke tengah-tengah masyarakat.Unsur seperti bertolak ansur dan bersedia untuk memahami pandangan dan pendapat pihak lawan harus ditunjukkan.Inilah kunci kejayaan islam di mata dunia.

            Sebagai seorang islam,setiap individu perlu bersuara lembut dan bernada rendah dalam semua suasana.Ini termasuklah perdebatan sama ada dengan kawan atau lawan.Al-Qur’an sendiri memerintahkan supaya para rasul berkata dengan lembut walaupun terhadap orang yang zalim.Tiada manusia yang paling kejam dan zalim melebihi Firaun.

            Menurut Baginda,perkataan yang baik merupakan sedekah dan orang yang baik ialah seseorang yang dapat memberi ucapan yang baik dan tepat seumpama ubat yang mujarab.Perkataan yang baik dapat menyatukan hati manusia manakala perbuatan yang buruk memecah belahkan mereka.Al-Qur’an menerangkan yang bermaksud :

             “Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik,akarnya teguh dan cabangnya(menjulang) ke langit,pohon itu memberi buahnya pada setiap musim bunga dengan izin Tuhannya.Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu manusia supaya mereka selalu beringat”
                                                                                                      (Surah Ibrahim 14:24-25)

               Intisari ajaran islam ialah bersederhana dalam segala hal.Jangan terlalu becok atau terlalu diam.Jangan terlalu lantang atau terlalu perlahan dalam bersuara.Jangan terlalu berkeyakinan dan jangan sampai tidak berkeyakinan langsung.Sikap sabar boleh meyakinkan anda.Sikap rendah hati akan menghalang anda daripada bersifat angkuh dan sombong.Kelembutan hati lahir melalui perbuatannya.

Rujukan.

  • Teks Pengajian Islam ‘Huraian Hadis-hadis Hukum’
Ustaz Abdul Latif B.Muda
Terbitan : Pustaka Salam Sdn.Bhd. (2003)
Cetakan : Prospecta   Printers Sdn.Bhd.

  • Teks Pengajian Islam ‘Huraian Ayat-ayat Hukum’
Ustaz Abdul Latif B.Muda
Terbitan : Pustaka Salam Sdn.Bhd. (2001)
Cetakan : Prospecta Printers Sdn.Bhd.

  • Persaudaraan Islam dan Pembangunan Sosial
Dr.Mahmud Mohamed Babeli
Terbitan : Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

  • Adab sopan dan Budi Pekerti Dalam Islam
Marwan Ibrahim al-Kaysi
Penterjemah : Hussin Salamon dan Mohd Nasir Ripin
Terbitan : Universiti Teknologi Malaysia

  • Adab dan Sopan Santun Dalam Islam
Muhd Khair Fatimah
Penterjemah : Mohd Sofwan Amrullah
Terbitan : Pustaka Ilmi

  • Bahasa Komunikasi 2
Abdul Rahman Abdul Rashid
Terbitan : Longman Malaysia Sdn.Bhd.(1997)

  • Diplomasi Rasulullah
Afzal Iqbal
Terbitan : Pustaka Salam Sdn.Bhd.(1992)
Cetakan : AG Grafik Sdn.Bhd.

  • Akhlak Seorang Muslim
Muhammad Al-Ghazali
Terbitan : Crescent News (K.L) Sdn.Bhd. (2002)
Cetakan : Percetakan Putrajaya Sdn.Bhd.


Sharing is caring ^_^

1 comment: