Oleh: Raihanah Azahari (Prof. Madya Dr) & Najiha Norman.*
*kedua-dua penulis merupakan pensyarah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Kebajikan
Prinsip
kebajikan diterima dan diiktiraf oleh Mahkamah Syariah di Malaysia dan ia merupakan
faktor utama dalam menentukan hak penjagaan anak. Perkara ini terkandung dalam
peruntukan berikut:
“untuk
memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan,
pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu dan tertakluk kepada
pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:-
(a)
Kemahuan-kemahuan ibu bapa kanak-kanak itu; dan
(b)
Kemahuan-kemahuan kanak-kanak itu jika dia telah meningkat umur
dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri”
Kamus Dewan mendefinasikan kebajikan
sebagai sesuatu yang membawa kebaikan. Apabila perkataan ini dihubungkan dengan
kanak-kanak ia membawa maksud sesuatu yang membawa kebaikan kepada kanak-kanak
tersebut. Dalam konteks Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, tiada suatu
definisi yang disepakati berkenaan kebajikan kanak-kanak. Ini bermakna, maksud
perkataan ini boleh berubah-ubah mengikut isu yang dibincangkan. Namun demikian
seksyen 80 (2) Enakmen Keluarga Islam Negeri Kelantan (EKINK) menjelaskan
tentang aspek-aspek yang mengarah kepada kebaikan ialah umur dan jantina
kanak-kanak, watak dan kebolehan penjaga yang dicadangkan, kekariban penjaga
dengan kanak-kanak, kemahuan ibu bapa, pilihan kanak-kanak itu dan hubungan penjaga
yang sedia ada dan yang akan dicadangkan dengan kanak-kanak dan hartanya.
Berdasarkan penelitian terhadap
kes-kes yang diputuskan, kebajikan kanak-kanak ditafsirkan oleh mahkamah
sebagai penjagaan yang berterusan, keperluan kanak-kanak terhadap kasih sayang
ibunya, kewibawaan dan tingkahlaku ibu bapa, umur dan jantina anak tersebut,
persekitaran, agama, adat dan sebagainya.
Kanak-kanak
Menurut
Kamus Dewan, kanak-kanak bermaksud budak lelaki atau perempuan yang masih kecil
(biasanya yang belum berumur lebih daripada tujuh atau lapan tahun). Dalam
perbincangan ini perkataan ini dirujuk kepada mereka yang berhak mendapat hak
penjagaan.
- -Kanak-kanak
yang belum mencapai umur mumayyiz dan;
- -Kanak-kanak
yang mencapai umur mumayyiz sehingga menjangkau umur baligh bagi kanak-kanak
lelaki manakala bagi seorang kanak-kanak perempuan sehingga ia berkahwin (umur
mumayyiz bagi kanak-kanak lelaki ialah tujuh tahun dan sembilan tahun bagi
kanak-kanak perempuan). Dalam kategori ini anak-anak tersebut diberi hak memilih
dengan siapakah mereka ingin tinggal.
1.
Penjagaan Yang Berterusan
Seksyen
86 (3) AUKIWP memperuntukkan:
“adalah
menjadi anggapan yang boleh dipatahkan bahawa adalah untuk kebaikan seorang
kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama ibunya, tetapi pada
memutuskan sama ada anggapan itu dipakai bagi fakta-fakta sesuatu kes tertentu,
mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan
seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukar jagaan”.
Dalam kes Hasanah bt Abdullah lwn.
Ali bin Muda, plaintif (Hasanah) telah berkahwin dengan defendan pada 14
ogos 1992 di Narathiwat Selatan Thailand. Perkahwinan ini telah disahkan oleh
Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu melalui permohonan No. 42-008-78-98. Sebelum
ini plaintif telah berkahwin sebanyak tiga kali dengan defendan iaitu pada 12
Januari 1989, 7 April 1989 dan 18 Februaru 1991. Tetapi setiap kali bercerai
plaintif dan defendan rujuk semula. Perkahwinan antara plaintif dan defendan
bagi kali keempat pada 14 Ogos 1992 di Narathiwat telah dilaksanakan selepas
plaintif diceraikan oleh suaminya yang lain selepas tamat tempoh iddahnya. Pada
29 Disember 1997, defendan telah melafazkan cerai kepada plaintif di luar
mahkamah dan plaintif telah membuat tuntutan kepada mahkamah untuk mengesahkan
lafaz cerai tersebut. Defendan dalam hal ini telah mendakwa plaintif telah
nusyuz.
Kes yang telah didengar mulai 14hb
Oktober 1998 ini ialah tuntutan mengesahkan perceraian yang didakwa berlaku di
luar mahkamah dan tuntutan-tuntutan lain yang berbangkit dari perceraian. Kes
ini telah didaftarkan di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana plaintif
telah membaut tuntutan harta sepencarian yang bernilai lebih RM50, 000
bersama-sama dengan tuntutan pengesahan lafaz cerai ini juga termasuklah nafkah
iddah, hadanah dan mut’ah.
Penghakiman kes ini telah dibuat pada 17 Mei 1999.
Dalam tuntutan hadanah, Y.A. Hakim
telah merekodkan dalam perbicaraan yang terdahulu bahawa plaintif dan defendan
telah bersetuju kedua-dua anak pasangan ini (lelaki) yang berumur antara tujuh
dan empat tahun diberikan kepada plaintif. Y.A. Hakim juga telah membuat
perintah sementara mengenai penjagaan anak pada 30hb November 1998 yang lalu.
Dalam perkara ini, Y.A. Hakim telah memerintahkan bapa (defendan) diberikan hak
melawat dan membawa keluar anak-anaknya pada hari khamis tiap-tiap akhir bulan
dengan mengambil kanak-kanak tersebut di kediaman ibunya jam 3.00 petang atau
selepas waktu itu dan memulangkan balik kanak-kanak itu tidak lewat dari pukul
2.00 petang sabtu berikutnya.
Seterusnya Y.A. Hakim dalam
penghakimannya menyebut, “sepanjang tempoh sementara itu, Mahkamah dimaklumkan
walupun sebahagian besar perintah sementara itu dipatuhi tetapi saya
berpuashati bahawa dengan bertukar-tukar jagaan seperti dalam perintah
sementara itu telah tidak memberi kebaikan kepada kehidupan kanak-kanak
berkenaan. Subseksyen 85 (3) Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga Islam
Terengganu 1985 memperuntukkan:
“adalah menjadi anggapan yang
boleh dipatahkan bahawa adalah untuk kebaikan seseorang kanak-kanak dalam masa
dia kecil supaya berada bersama ibunya, tetapi pada memutuskan sama ada
anggapan itu dipakai bagi fakta-fakta sesuatu kes tertentu, mahkamah hendaklah
memberi perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan seseorang kanak-kanak
dengan bertukar-tukar jagaan”.
Y.A. Hakim seterusnya berpendapat
adalah lebih elok perintah sementaranya mengenai hak lawatan dan membawa keluar
anak bagi defendan diubah; iaitu dengan membenarkan defendan melawat kedua-dua
anaknya pada hari Jumaat selang seminggu bermula dari jam 8.00 pagi hingga 4.00
petang.
Y.A. Hakim dalam kes ini nampaknya
memberi maksud “bertukar-tukar jagaan yang tidak mendatangkan kebaikan”
dengan hak melawat dan membawa keluar anak-anak tersebut untuk tempoh dua malam
bagi pihak defendan. Oleh yang demikian, dalam penghakiman ini beliau telah
mengurangkan hak tersebut kepada hak lawatan sahaja yang bermula jam 8.00 pagi
hingga 4.00 petang.
Dalam hal ini, dengan merujuk kepada
pandangan Abu Zuhrah dalam karangannya al-Ahwal al-Syaksiyyah dan Wahbah
al-Zuhayli dalam karyanya al-Fiqh al-Islami
wa Adillatuh serta peruntukan Enakmen Undang-undang Pentadbiran Keluarga
Islam Terengganu 1985 berkenaan hak penjagaan anak, Y.A. Hakim telah memberikan
hujah-hujah yang menunjukkan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak untuk
menjaga anaknya dan menekankan bahawa kuasa mengasuh adalah untuk mendatangkan
manfaat ke aats diri kanak-kanak itu dan menjauhkannya daripada kemudaratan.
Meskipun Y.A. Hakim dalam kes ini
telah menguatkan lagi hujahnya dengan menunjukkan ibu adalah orang yang paling
berkelayakan kerana menepati syarat-syarat sebagai hadinah, secara implisit Y.A. Hakim nampaknya menganggap bahawa asuhan
bapa untuk tempoh di atas atau pemberian hak melawat dan membawa kelaur
anak-anak tersebut kepada bapa boleh mendatangkan kemudaratan terhadap
kanak-kanak itu, namun beliau tidak membuktikan secara yang serius bahawa hak
melawat dan membawa keluar bagi bapa dalam tempoh dua hari dua malam telah
tidak memberikan kebaikan kepada kehidupan kanak-kanak tersebut atau
mendatangkan kemudaratan terhadap kebajikan anak. Y.A. Hakim telah tidak
menunjukkan secara jelas maksud kemudaratan yang disebabkan oleh
bertukar-tukarnya hak jagaan anak-anak tersebut, umpamanya emosi yang tidak
stabil atau proses perkembangan mental dan fizikal yang lemah dan sebagainya.
Dalam kes Noranita binti
Kamaruddin dan Faiez bin Yeop Ahmad di mana pihak-pihak dalam kes
ini telah berkahwin pada tahun 1977 dan mereka telah dikurniakan seorang anak
perempuan (Norfeeza) pada Oktober 1978. Malangnya pada tahun 1980 ibunya telah
diceraikan dan selepas perceraian hak jagaan anak telah diberikan kepada
plaintif (ibunya) dan anak ini tinggal bersama dengan ibunya di rumah nenek
sebelah perempuan. Bapanya telah diberi peluang berjumpa dengan anak itu. Pada
Ogos 1982, ibu anak itu telah berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan muhrim
kepada anak itu. Nenek sebelah ibu juga telah berkahwin dengan seorang lelaki
yang bukan muhrim kepada anak itu. Bapanya telah mengambil anaknya dari ibunya
itu dan telah tinggal dengannya lebih dari dua bulan dan kemudiannya
dipulangkan kepada ibunya. Bapanya juga telah berkahwin semula dan telah
mendapat anak dari isterinya yang baru. Ibunya juga telah mendapat anak dari
suaminya yang baru.
Bapanya telah membuat tuntutan
memohon hak jagaan anak diberi kepadanya. Y.A. Kadi Besar pada masa itu telah
memutuskan oleh kerana ibu itu telah berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan
muhrim kepada anak itu, maka dia hilang hak utamanya menjaga anak itu. Y.A.
Kadi Besar juga berpendapat bahawa sifat-sifat yang ada pada bapa tidak
berlawanan sifat yang perlu supaya hak jagaan diserahkan kepadanya dan bapa itu
juga mampu menyara anaknya sama ada dari segi nafkah atau persekolahan, kerana
berpendapatan RM10, 000 sebulan. Oleh yang demikian, Y.A. Kadi Besar telah
memberikan hak jagaan anak itu kepada bapanya. Keputusan Y.A. Kadi Besar telah
dibuat pada 17 Ogos 1984 dan pada masa itu anak itu berumur enam tahun dan
sebelum ini dia telah tinggal dengan ibunya lebih empat tahun. Rayuan telah dibuat
oleh ibunya akan tetapi sayangnya rayuan tidak dapat didengar hingga 3 Disember
1988.
Jawatankuasa Rayuan dalam
penghakimannya pun memutuskan untuk mengekalkan keputusan Y.A. Kadi Besar atas
beberapa alasan. Pada masa kes ini dibawa ke Mahkamah, Y.A. Kadi Besar telah memberi
hak jagaan kepada bapanya kerana pihak merayu telah berkahwin lain dengan
seorang lelaki yang bukan muhrim dengan anak itu. Pihak merayu telah membuat
rayuan. Jika rayuan ini dapat didengar tidak lama selepas itu ada kemungkinan
dapat dipertimbangkan sama ada hak jagaan itu boleh diberi kepada pihak merayu oleh
kerana anak itu telah tinggal lebih empat tahun dengannya. Akan tetapi rayuan
ini hanya dapat didengar pada 3 Disember 1988 dan pada masa itu anak perempuan
itu telah meningkat umurnya sepuluh tahun dan ia telah tinggal bersama bapanya
dan keluarganya untuk masa lebih empat tahun dengan mendapat didikan yang
sempurna dan kehidupan yang selesa.
Anak itu mumayyiz dan memberi
pendapatnya dengan siapa dia memilih hendak tinggal. Namun apabilan
Jawatankuasa Rayuan berjumpa dengannya, dia enggan membuat pilihan dan jika
boleh dia hendak tinggal bersama kedua-dua ibu bapanya. Oleh yang demikian,
tanggungjawab membuat keputusan adalah kepada Jawatankuasa Rayuan dan mereka
telah memutuskan bahawa rayuan ditolak dan hak jagaan dikekalkan kepada
ayahnya, tetapi ibunya dibenarkan melawat dan tinggal dengan ibunya sekali
dalam tiap-tiap cuti penggal selepas penggal pertama dan kedua.
Apa yang menarik dalam kes ini ialah
alasan yang diberikan oleh Jawatankuasa Rayuan untuk mengekalkan perintah Y.A.
Kadi Besar dengan sedikit pindaan tidaklah hanya berdasarkan kepada fakta
kehilangan hak utama ibu setelah dia berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan
muhrim dengan anak itu. Keputusan itu juga bukan berdasarkan semata-mata kepada
fakta bahawa sifat-sifat yang ada pada bapa adalah sesuai untuk diserahkan
kepadanya hak jagaan anak. Tetapi keputusan itu berdasarkan kepada fakta utama
di dalam semua kes hadanah, iaitu hak yang dipelihara (anak) mesti diutamakan dari hak
yang memelihara, oleh kerana pokok dan tujuan hadanah adalah
maslahah dan kebajikan anak yang dipelihara dan bukan maslahah dan kebajikan
pihak yang memelihara. Jawatankuasa ini berpendapat bahawa adalah untuk
kebajikan dan kepentingan Norfeeza supaya ia terus tinggal dengan ayahnya,
iaitu satu keadaan yang telah wujud selama lebih empat tahun. Sesungguhnya ibu
tidak dapat disalahkan di atas rayuan didengar.
Jelas dalam hal ini, kebajikan anak
dilihat sebagai tempoh masa yang lama anak berada di bawah jagaan bapa dengan
mendapat didikan yang sempurna dan kehidupan yang seleasa dan tidak baiknya
menggangu kehidupan anak dengan bertukar-tukar hak jagaan (di mana dalam tempoh
yang lama ini wujudnya keakraban antara anak dengan penjaganya). Adalah jelas
keputusan ini dibuat demi kebaikan dan perkembangan serta pertumbuhan yang
sihat dari segi fizikal dan mental kanak-kanak tersebut, dan kerana anak ini
tidak wajar dipisahkan dari bapanya.
2.
Persekitaran, Tempat Tinggal, Penjagaan Berterusan, Pendidikan Dan
Masa Depan Bersama Anak
Seksyen
87 (1) AUKIWP 1984 memperuntukkan:-
“Sesuatu perintah jagaan boleh
dibuat tertekluk kepada apa-apa syarat yang difikirkan oleh Mahkamah patut
dikenakan dan tertakluk kepada syarat-syarat, jika ada, yang dipakai dari
semasa ke semasa, perintah itu adalah menghakkan orang yang diberi jagaan itu
untuk memutuskan semua soal berhubungan dengan pendidikan dan pelajaran
kanak-kanak itu.”
Seterusnya subsyeksyen (2)
memperuntukkan: tanpa menyentuh keluasan subseksyen (1) sesuatu perintah jagaan
boleh:
(a)
Mengandungi
syarat-syarat tentang tempat di mana-mana kanak-kanak itu akan tinggal dan cara
pelajarannya.
Dalam kes Safura binti Badarudin lwn.
Azhar bin Arifin yang dibicarakan di dalam Mahkamah Tinggi Syariah Pahang
(Temerloh) pada 15 Julai 1998. Plaintif (ibu) dan defendan (bapa) dalam kes ini
berasal dari Temerloh Pahang dan telah berkahwin pada 21.01.93 dan bercerai
pada 13.09.95 di Mahkamah Qadhi Temerloh. Hasil perkahwinan ini mereka telah
dikurniakan seorang anak lelaki yang dilahirkan pada 31.10.93. Pada masa ini,
plaintif sedang bekerja di Bank Multi Purpose Kuala Lumpur dan defendan sedang
belajar di UPM, Serdang.
Pada masa perceraian plaintif dan
defendan telah membuat persetujuan bersama di Mahkamah Kadi Temerloh, di mana
suami bersetuju menjatuhkan talak dan hak jagaan anak diberi kepada bapa dan
ibu diberi hak melawat anak pada hujung minggu, cuti am dan cuti sekolah. Namun
persetujuan ini tidak dapat dilaksanakan kerana bapa tidak bersetuju memberi
anak kepada ibu. Oleh yang demikian ibu membuat permohonan kepada Mahkamah
untuk mendapatkan hak jagaan anak. Plaintif juga memohon untuk meminda perintah
Mahkamah Kadi Temerloh dan hak jagaan sementara menunggu keputusan
permohonannya.
Mahkamah Tinggi Syariah dalam
keputusannya memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Kadi Temerloh
dengan meletakkan hak jagaan anak kepada bapa dan ibu diberikan hak menziarahi
dan mengambil anak semasa cuti sekolah, cuti am dan cuti hujung minggu.
Mahkamah Tinggi Syariah juga menolak permohonan plaintif untuk mendapatkan hak
jagaan sementara.
Y.A. Hakim dalam alasan
penghakimannya antaranya telah menjelaskan bahawa adalah tidak dinafikan
plaintif dan defendan memang menyayangi anak ini sebab itu mereka hendak
menjaganya dan ia telah terbukti selama ini apabila perintah penjagaan ini
telah berjalan dengan baik. Dari segi pendapatan juga membolehkan mereka
menanggung anak dengan sempurna. Untuk menentukan hadanah ini maka
Mahkamah akan memandang kepada kebajikan anak ini di pihak mana yang ada
kelebihannya. Y.A. Hakim telah merujuk kepada seksyen 87 (2):
“untuk memutuskan dalam jagaan
siapakah seorang kanak-kanak patut diletakkan pertimbangan yang utama ialah
kebajikan kanak-kanak itu…”
Dan
seksyen 87 (3):
“Mahkamah hendaklah memberi
perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan seorang kanak-kanak dengan
bertukar-tukar jagaan”
Rujukan juga dibuat kepada kitab al-Fiqh
al-Muqaran Li al-Ahwal al-Syaksiyyah karangan Badran yang menyebut:
“sebenarnya bahawa hak
kanak-kanak kecil adalah sangat kuat kerana kepentingannya hendaklah
didahulukan dari kepentingan kedua ibu bapanya, sesungguhnya wajiblah
mempraktikkan apa yang lebih bermanfaat dan lebih elok bagi kanak-kanak itu
dalam bab hadanah ini”
Y.A. Hakim seterusnya menjelaskan,
dalam memastikan kebajikan kanak-kanak ini maka hendaklah dilihat kepada tempat
tinggal, suasana, tempat belajar, masa bersama dan kawan-kawannya. Dengan
adanya unsur-unsur ini maka kebajikan kanak-kanak dapat dicapai. Untuk
melayakkan ibu atau bapa mendapatkan hak panjagaan, maka persediaan untuk
kebajikan anak adalah diperlukan dan telah pun disediakan. Tanpa ada persediaan
maka kebajikan tidak tercapai.
Y.A. Hakim berpendapat oleh kerana
plaintif sekarang menyewa bilik bersama dengan orang lain yang berkeluarga maka
ia amat menyusahkan kanak-kanak itu terutama untuk bergaul dengan orang lain
yang tiada hubungan persaudaraan.ini berlainan dengan defendan yang walaupun
tinggal di rumah sewa tetapi tidak bersama orang lain yang bukan
saudara-maranya. Walaupun plaintif menyatakan beliau hendak mencari rumah lain
dan akan tinggal bersama anaknya nanti tetapi MTS mahu ditunjukkan terus rumah
untuk penjagan ini pada masa perbicaraan. Kalimah ‘akan’ tidak boleh diberikan
sabitan oleh Mahkamah. Y.A. Hakim telah merujuk kepada kitab Nazariyyat
al-Isbat yang menjelaskan:
“Penyesuaian dakwa untuk
kesaksian hendaklah wujudnya kesatuan jenis bilangan, kedudukan, masa, tempat,
perbuatan dan perpindahan”.
Oleh itu, perkataan-perkataan yang
menyatakan “saya akan cari tempat tinggal” “saya akan cari masa”
menggambarkan bahawa ianya akan dilakukan pada masa akan datang dan tidak
semasa. Dalam kes ini Mahkamah mesti dijelaskan bahawa plaintif menyediakan
segala perkara di atas dan dibuktikan di Mahkamah dengan jelasnya. Ini
berlainan dengan pihak defendan yang telah beristeri lain dan telah mempunyai
anak, di mana mereka tinggal di rumah sewa yang dihuni oleh mereka sahaja.
Lelaki berkahwin lain tidak menghalang dari mendapat hak penjagaan anak.
Walaupun anak itu akan dijaga oleh ibu tirinya tetapi keterangan tidak
menunjukkan bahawa anak itu telah diabaikan oleh defendan dan isterinya. Ini
adalah qarinah yang menunjukkan anak itu telah dapat dijaga
kebajikannya. Apatah lagi defendan telah mendapat anak lain dan anak ini
bertambah mesra dengan saudara sebapanya dan dia merasa tidak asing langsung.
Pandangan yang menyatakan ibu tiri adalah kurang baik jika dibandingkan dengan
ibu sebenar adalah merupakan pandangan yang negatif yang perlu kepada
pembuktian.
Dari segi kerja pula, plaintif
bekerja di bank dan dalam keterangan Mahkamah ini menyatakan bahawa kerja di
bank sangat terikat dengan masa kerjadan ini tentu menyulitkan plaintif untuk
sentiasa bersama anaknya. Dalam hal ini, Y.A. Hakim telah sekali lagi merujuk
kepada pandangan yang menyebut:
“Jika perempuan itu bekerja dan
kerjanya menegah ianya untuk mentarbiyah anak (lelaki dan perempuan) itu dan
tidak dapat juga mengambil berat terhadap diri mereka maka perempuan itu tidak
layak diberi hadanah”
Berlainan dengan defendan yang
masanya diperuntukkan untuk belajar di Universiti dan sudah tentu masa lebih
banyak kepada anak ini dan isteri defendan pula adalah seorang guru dan kerja
guru hanya setengah hari sahaja, hanya bekerja lima hari seminggu dan ada cuti
penggal yang panjang setahun dan dengan itu anak ini dapat lebih banyak bersama
dengan defendan dan keluarganya. Adalah jelas di Mahkamah, plaintif dan
defendan akan menyerahkan kepada ‘nursery’ atau tabika bagi menjaga anak
ini. Cuma jika dengan plaintif sudah tentu anak ini akan panjang masanya berada
di ‘nursery’, tetapi tidak dengan defendan.
Y.A. Hakim seterusnya menjelaskan,
lagipun anak ini sudah bersama dengan bapanya dan masa untuk ibunya sudah
dikenal pasti iaitu pada cuti-cuti am sahaja. Setelah sekian lama dengan bapa,
maka adalah tidak wajar bertukar tangan pula dan mungkin menyusahkan anak itu
untuk menyesuaikan dengan tempat yang baru dan asing baginya.
Oleh kerana kebajikan anak lebih
banyak jika bersama defendan dan bukan kepada pihak plaintif, terutamanya dari
segi masa, tempat tinggal dan layanan maka mahkamah berpendapat adalah lebih
tepat dikekalkan perintah penjagaan tersebut kepada bapa.
Y.A. Hakim dalam kes ini dengan
begitu jelas memberikan penghakiman yang menunjukkan kebajikan anak tersebut
yang lebih terpelihara jika bersama defendan iaitu bapanya. Apa yang lebih
penting dalam kes ini ialah faktor tempoh masa yang lama anak berada di bawah
jagaan bapanya iaitu semenjak dari perceraian pada tahun 1995 hinggalah
perbicaraan tuntutan hadanah ini dibuat (tahun 1998) iaitu selama tiga tahun. Selama tempoh
tersebut, sudah tentu hubungan kasih sayang antara anak tersebut dan bapanya
sudah agak rapat dan agak sukar untuk memisahkan kanak-kanak tersebut dengan
bapanya kerana ini sudah tentu akan mengganggu emosinya. Oleh yang demikian,
untuk memastikan kebajikan anak ini terpelihara adalah lebih utama hadanah itu
dikekalkan kepada bapanya.
Namun demikian, adalah lebih malang
bagi si ibu apabila ia membuat penyelesaian secara persetujuan bersama atas hadanah tersebut
dan mahkamah mengesahkan ia suatu perkara yang dibolehkan, kerana itulah
mahkamah persetujuan tersebut. Adalah menjadi fakta yang tidak dinafikan jika
ibu menggugurkan hak hadanah yang diperuntukkan maka hak tersebut akan berpindah kepada
mereka yang selepasnya. Namun dalam keadaan manakah persetujuan ‘sulh’
untuk melepaskan hak hadanah tersebut diterima? Adalah jelas bahawa untuk mengadakan sulh,
redha ialah syarat yang penting bagi memastikan ia adalah persetujuan yang sah
di sisi syarak. Suatu persetujuan/ sulh dibuat dalam keadaan terpaksa atau di
bawah manipulasi akan dianggap tidak sah dan tidak menimbulkan apa-apa
implikasi. Dalam kes ini ibu dilihat berada di bawah keadaan terpaksa apabila
diminta untuk memilih di antara dua; menggugurkan hak hadanah jika
inginkan perceraian atau tidak akan diceraikan jika menuntut hak jagaan anak.
Kita tidak dapat melihat apakah permasalahan sebenar kes ini, seperti kenapakah
ibu begitu obses untuk bercerai (walaupun dinyatakan bahawa dia mendapat
dari seseorang untuk bercerai dahulu, kemudian baru membuat tuntutan hadanah) atau
apakah ibu seorang yang tidak berperibadi mulia untuk melayakkan dia mendapat
hak penjagaan atau faktor-faktor lain yang mendorong kepada keputusan ini
dibuat. Begitu pun secara jelas dinyatakan dalam penghakiman kes ini: “asalnya
kes ini adalah secara persetujuan kedua-dua pihak sebagaimana keterangan yang
diberi dan keputusan Mahkamah Kadi iaitu sebagai ibu melepaskan hak jagaan anak
kepada defendan dengan syarat menjatuhkan talak kepada plaintif”. Meskipun persetujuan
secara sulh adalah amat baik sekali namun ia seharusnya dilakukan dengan
menepati prinsip-prinsip yang telah ditentukan oleh syarak.
Begitu juga dalam kes Norhaiza
lwn. Saat di mana plaintif dan defendan semasa bercerai pada tahun 1995
telah membuat penyelesaian secara persetujuan bersama/sulh iaitu
plaintif sebagai ibu melepaskan hak jagaan anak kepada defendan dengan syarat
defendan menjatuhkan talak kepada plaintif. Mahkamah Kadi Maran (Pahang) telah
merekodkan, “pemohon semasa bercerai telah membuat persetujuan menyerahkan
anak ini kepada penentang dengan tawaran menceraikannya’. Plaintif
kemudiannya telah berkahwin lain pada tahun 1996 dan dia telah memohon mengubah
perintah penjagaan anak itu. Kes ini telah dibicarakan oleh hakim yang sama
dengan kes di atas dalam MTS Pahang pada 23 Disember 1997.
Fakta dalam kes ini adalah sama
dengan kes Safura lwn. Azhar, cuma dalam kes ini anak yang
dituntut ialah perempuan dan ibu kepada anak tersebut telah berkahwin lain
dengan lelaki yang bukan muhrim kepada anak tersebut, Y.A. Hakim dalam kes ini
telah menghujahkan, meskipun suami keduanya redha jika plaintif menjaga anaknya
namun hukum syarak telah menetapkan bahawa ibu hilang kelayakannya jika telah
berkahwin lain. Jelas di sini Y.A. Hakim telah menerima pakai pandangan Jumhur
al-Fuqaha’ yang berpendapat bahawa ibu akan hilang kelayakan jika telah
berkahwin lain dengan lelaki yang bukan mahram dengan anak tersebut.
Y.A. Hakim dalam penghakimannya juga
menjelaskan bahawa anak ini telah tinggal lama dengan keluarga defendan dan
dari keterangan yang diberi menunjukkan anak ini telah mendapat penjagaan dan
nafkah yang memuaskan dan keceriaannya menunjukkan kebajikan anak tersebut
telah ditunaikan oleh defendan. Meskipun plaintif mendakwa bahawa defendan
telah mengabaikan tanggungjawab terhadap anaknya kerana keluar memandu teksi,
menurut Y.A. Hakim ia bukanlah alasan yang boleh mengurangkan tanggungjawabnya
kerana defendan adalah bapa yang berkewajipan mencari rezeki dan dalam hal ini
defendan boleh mengupah orang lain menjalankan tugasnya. Lagipun defendan dan
anak ini telah tinggal bersama-sama ibunya (nenek) dan tidak ada bukti yang
menunjukkan kecuaian keluarga defendan dan dari segi zahirnya anak ini hidup
aman dan bahagia. Y.A. Hakim menjelaskan lagi perkara yang utama dalam
menentukan hadanah ialah menimbangkan tentang kebajikan kanak-kanak itu. Y.A.
Hakim telah merujuk kepada pandangan Badran:
“sebenarnya bahawa hak
kanak-kanak kecil adalah sangat kuat kerana kepentingannya hendaklah
didahulukan dari kepentingan kedua ibu bapanya. Mengutamakan kebajikan anak
adalah dimestikan kerana dengan itu akan dapat mencapai perkara yang terbaik
lagi elok untuk anak dalam bab hadanah
ini”
Y.A. Hakim seterusnya berpendapat
kebajikan anak ini pada masa tersebut ialah dari keluarga defendan. Ini kerana
plaintif dan suaminya baru mempunyai tempat tinggal dan sudah tentu agak asing
bagi anak ini dengan tempat tinggal plaintif. Seperti dalam kes Safura,
Y.A. Hakim dalam kes ini juga telah meletakkan sebab ibu bekerja sebagai suatu
perkara yang boleh menjejaskan kebajikan anak tersebut kerana sedikitnya masa
yang boleh diperuntukkan oleh ibu untuk bersama anak itu “plaintif pula
bekerja (di bank) dan sudah tentu anak itu akan dijaga oleh orang gaji yang
barangkali asing baginya dan anak ini kesunyian dengan saudara maranya”.
Keadaan ini agak berlainan jika anak ini sememangnya telah dijaga oleh plaintif
sejak awal lagi. Mungkin anak ini lebih mesra dengan keluarga plaintif dan
neneknya. Maka kemungkinan hukuman akan diberikan sebaliknya, namun plaintif
tinggal berjauhan dengan ibunya.
Apa pun keadaannya, kebajikan anak
yang utama dalam mana-mana tuntutan hadanah.
Penghakiman yang dibuat oleh Y.A. Hakim memperlihatkan bagaimana kebajikan
kanak-kanak adalah pertimbangan yang paling utama dan bukannya kehendak ibu
bapa. Sikap ambil berat, keselesaan dan perhatian yang secukupnya serta
kegembiraan anak tersebut adalah faktor yang diambil kira. Mahkamah juga
nampaknya telah melihat kepada sikap pihak-pihak dan persekitaran tempat
tinggal dalam memutuskan yang mana satu di antara dua rumah yang akan menjamin
keselesaan, keselamatan dan kestabilan bagi kanak-kanak tersebut.
3.
Perwatakan Dan Sikap Penjaga
Faktor
perkahwinan ibu dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan anak
tersebut (perkahwinan kedua dengan lelaki yang bukan muhrim kepada anak) juga
diambilkira bagi menentukan hak bagi penjagaan kanak-kanak. Persoalan ini
diberikan perhatian kerana dibimbangi hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan
kanak-kanak itu.
Dalam kes Awatif Ibrahim lwn.
Haji Salleh, plaintif telah memohon hak penjagaan anak yang bernama
Mastura dan berumur 5 tahun. Anak ini dijaga oleh Haji Salleh setelah perceraian
berlaku. Awatif telah berkahwin lain dengan lelaki yang bukan muhrim kepada
anak tersebut.
Mahkamah dalam memutuskan kes ini
telah merujuk kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu apabila berlaku perceraian
maka kanak-kanak yang masih kecil, tujuh tahun bagi perempuan dan sembilan
tahun bagi lelaki berhak ke atas ibu menjaganya selama ibu itu tidak berkahwin
tetapi lelaki yang dikahwini itu tidak mahram dengan kanak-kanak itu.
Dari keterangan tersebut jelas
bahawa ibu telah hilang kelayakannya apabila dia berkahwin lagi. Apabila ibu
hilang kelayakannya maka hak tersebut akan berpindah kepada nenek sebelah ibu hingga
ke atas kemudian bapa. Namun demikian ibu kepada ibu berada di Mesir, dan
Mahkamah berpendapat walaupun dia mempunyai hak untuk menjaga, tetapi supaya
kebajikan anak itu tidak terlepas kerana nenek kanak-kanak itu tinggal terlalu
jauh dan akan menyusahkan dia dengan ibu bapanya maka dia tidak boleh
diserahkan menjaga anak itu.
Mahkamah juga menjelaskan bahawa
selama anak itu tinggal dengan defendan (bapanya) tidak ada aduan yang
kebajikan anak itu telah disia-siakan atau dianiayai oleh defendan. Defendan
juga ialah seorang yang berkemampuan untuk menjaga anak itu dari segi mental,
fizikal dan material kerana mempunyai pendapatan yang baik, berkeupayaan
menanggung dan menjaga kanak-kanak itu.
Atas alsan-alasan tersebut Mahkamah
membuat keputusan memerintahkan anak bernama Mastura bte Haji Salleh diserahkan
bagi hadanah dan peliharaan
Haji Salleh bin Mahat. Walau bagaimanapun, plaintif diberikan hak untuk melihat
dan mengambil anak itu tinggal bersamanya satu malam satu minggu sekali pada
hujung minggu cuti sekolah supaya tidak memutuskan hubungan antara ibu dan
anak.
4.
Perasaan Kanak-kanak
Meskipun
kes di atas menunjukkan perkahwinan seorang ibu dengan lelaki lain yang bukan
muhrim dengan anaknya telah menggugurkan haknya sebagai hadinah, namun ia bukanlah sebab mutlak kerana mahkamah dalam
memutuskan sedemikian membuat pertimbangan yang utama terhadap kebajikan anak
tersebut dan bukannya melihat kepada kemahuan dan kehendak pihak-pihak yang
menuntut.
Hal ini seperti yang diputuskan di
dalam kes Wan Abdul Azizi lwn. Siti Aisyah. Di dalam kes ini pada
mulanya ibu memohon hak jagaan ke atas anak tinggal bersama bapa. Mahkamah
memutuskan anak itu diserahkan kepada ibu. Bapa kanak-kanak itu telah membuat
rayuan kepada Jemaah Pengadilan dan Jemaah Pengadilan memutuskan bahawa anak
itu kekal di bawah asuhan nenek sebelah bapa dengan pengawasan bapa. Jemaah
Pengadilan berpendapat jika dipisahkan anak itu daripada neneknya maka akan
mengguris perasaan anak itu yang telah mesra dengan neneknya. Begitu juga
halnya apabila bapa kemudiannya membuat tuntutan terhadap anak yang berada di
bawah jagaan ibu, di mana mahkamah memutuskan sebagaimana yang diputuskan
terdahulu iaitu anak tersebut kekal bersama ibunya meskipun ternyata ibu pada
masa itu telah berkahwin dengan seorang yang bukan muhrim kepada anak itu.
Mahkamah dalam hal ini berpendapat anak itu telah menetap duduk di bawah jagaan
ibunya dan di dalam peliharaan nenek (ibu kepada ibu) dalam satu tempoh (tiga
tahun) yang dipercayai yang anak itu telah bermesraan penuh dengan neneknya dan
berdasarkan keadaan tersebut Mahkamah percaya akan tersentuh jiwa hati anak itu
kalau dipisahkan dari neneknya tambahan pula anak tersebut memilih untuk
tinggal dengan neneknya.
Begitu juga dalam kes Mohamad lwn.
Azizah di mana pihak-pihak dalam kes ini telah berkahwin pada tahun 1968
dan bercerai pada tahun 1971. Mereka mempunyai seorang anak perempuan, Maryati
yang dilahirkan pada tahun 1969. Selepas perceraian anak itu tinggal dengan
ibunya dan ada perjanjian dibuat yang berkaitan pemberian hak jagaan anak
kepada ibunya. Pemberian hak tersebut mengandungi beberapa syarat antaranya
bahawa anak itu tidak boleh dibawa keluar dari Kelantan dan jika ibunya
berkahwin semula anak itu hendaklah diserahkan kepada ayahnya. Syarat-syarat
itu telah dipersetujui di hadapan kadi dan telah dicatatkan oleh beliau. Beliau
juga berkata dalam keterangan lisan yang diberi olehnya bahawa jika isteri tidak
bersetuju dengan syarat suami tidak bersetuju menceraikannya.
Setelah perceraian itu ayah itu
telah memberi nafkah kepada anaknya hingga 1977 apabila dia berhenti berbuat
demikian. Ibu anak itu telah menuntut nafkah itu dan ayahnya berkata ia tidak
wajib membayarnya kerana anak itu seharusnya dikembalikan kepadanya oleh kerana
ibunya telah berkahwin semula. Ayah itu telah berhujah berasaskan kepada
perjanjian yang telah dibuat dan mendakwa oleh kerana ibu anak itu telah
berkahwin lain, hak jagaan anak itu hendaklah diberi kepadanya. Bapa tersebut
mengaku dia juga telah berkahwin semula dan mempunyai tiga anak tiri dari
perkahwinan itu. Ibu Maryati, pihak yang kena tuntut telah berkata hak anak itu
harus dipertimbangkan. Anak itu telah duduk bermesra dengan ibunya dan jika ia
dipisahkan dari ibu, kebajikannya akan tersentuh. Guru Besar sekolah anak itu
telah dipanggil sebagai saksi dan dia berkata anak itu telah maju dalam
pelajarannya dan kemajuannya mungkin akan terjejas jika kedudukannya di rumah
diubah. Yang Arif Kadi Besar dalam memutuskan anak itu hendaklah terus menetap
dengan ibunya berkata:
“Menurut keterangan-keterangan
dalam kes ini ternyata bahawa Maryati, anak itu telah tetap duduknya di bawah
jagaan kena dakwa sejak bercerai pada 22.03.1971 dan dibiarkan oleh yang
mendakwa dan diberi nafkah kepada anak itu sehingga ke hari ini (14.02.1977).
Setelah menetap dengan yang kena tuntut tujuh tahun lebih barulah dituntut oleh
yang mendakwa. Dalam masa begitu lama Maryati menetap dengan ibunya dipercayai
Maryati lebih mesra, maka Maryati sendiri mengatakan ia tidaka akn duduk dengan
bapanya walaupun dipaksa dan di masa duduk bersama ibunya dia telah maju dalam
pelajaran bahkan lebih meningkat juga tidak ketinggalan dari belajar agama di
sekolah. Berdasarkan kepada keadaan tersebut Mahkamah percaya akan tersentuh
jiwa Maryati yang akan terjejas pelajarannya akalu dipisahkan dari ibunya.
Pokok pangkal dan tujuan hadanah ialah
muslihat dan kebaikan budak yang dipelihara dan dijaga hak asasi bagi budak
itu. Hak inilah yang mesti diutamakan daripada hak yang memelihara. Maka dalam
perbicaraan kes ini tidak ada keterangan yang menunjukkan terjejas muslihat dan
kebaikan hidup Maryati dalam pemeliharaan kena tuntut. Berdasarkan hak asasi
yang mesti diutamakan iaitu muslihat dan kebaikan budak yang dipelihara di
dalam kes ini Mahkamah berpendapat muslihat dan kebajikan Maryati menetap duduk
dengan ibunya, maka soal perjanjian urusan akaun yang memelihara serah kepada
orang yang lain itu tidak berbangkit lagi…”
Kes-kes ini secara eksplisit
mengisyaratkan bahawa perkahwinan seorang ibu dengan lelaki lain yang bukan
muhrim kepada anaknya bukanlah sebab mutlak yang menggugurkan haknya sebagai hadinah, tetapi mahkamah dalam memutuskan sama ada ibu berhak atau
tidak terhadap hadanah membuat pertimbangan yang utama terhadap kebajikan anak
tersebut.
5.
Umur Kanak-kanak
Sek
81(1) AUKIWP 1984 memperuntukkan bahawa kanak-kanak yang berumur di bawah umur
tujuh tahun mestilah diletakkan di bawah jagaan ibunya. Fakta ini berdasarkan
bahwa kanak-kanak dalam usia yang sebegini memerlukan perhatian, kasih sayang
dan jagaan dari ibunya. Setelah mencapai umur mumayyiz anak itu akan diberi
pilihan untuk memilih dengan siapa dia ingin tinggal.
Dalam kes Azura lwn. Mohd
Zulkefli, plaintif telah memohon hak jagaan anak ke atas dua orang anak
perempuan yang masih di bawah umur tujuh tahun. Ibu defendan juga telah memohon
hak jagaan anak-anak tersebut. Dalam menentukan kepada siapakah hak jagaan anak
patut diserahkan, Mahkamah telah memberi perhatian kepada hak seorang ibu untuk
memelihara anaknya yang masih kecil, kerana mereka lebih menaruh rasa kasih
sayang kepada kanak-kanak, lebih tepat untuk mendidiknya, lebih bersabar dalam
melaksanakan tugas memelihara kanak-kanak dan perempuan (ibu) juga sentiasa
lebih banyak bergaul dengan kanak-kanak. Dalam kes ini Mahkamah berpendapat
oleh kerana kanak-kanak tersebut masih di bawah umur tujuh tahun dan mereka
telah dipelihara oleh plaintif semenjak dilahirkan dan plaintif juga mencukupi
syarat sebagai hadinah
maka mahkamah telah memberikan hak jagaan tersebut kepada plaintif.
6.
Agama
Pegangan
agama yang kuat menjamin kebajikan kanak-kanak tersebut. Ini adalah kerana
pegangan agama yang kuat menjamin cara didikan yang akan diberikan kepada
kanak-kanak itu. Dalam konteks ini undang-undang memperuntukkan bahawa
seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak
menjalankan hak terhadap hadanah jika dia adalah seorang Islam.
Dalam kes permohonan ex-parte
Zaimas bt Ibrahim, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah
memutuskan hak penjagaan kedua-dua anak pasangan Zaimas dan Muhammad Tham,
Norhayati dan Norazurawati diberikan kepada Zaimas iaitu ibu kanak-kanak
berkenaan. Keputusan ini dibuat berdasarkan fakta-fakta berikut:
( -Muhammad
Tham bin Abdullah telah keluar agama Islam dan ini disahkan oleh Kadi Daerah Johor
Bharu diperkuatkan oleh Akuan Berkanun pada 27 Disember 1993 di hadapan
Pesuruhjaya Sumpah, Johor Bahru.
-Demi
menjaga iman kanak-kanak tersebut.
7.
Kemahuan Kanak-kanak
Menurut
seksyen 86 (2)(b) kemahuan kanak-kanak akan diambil kira oleh pihak mahkamah berdasarkan
kepada umur, kematangan dan sejauh manakah kanak-kanak itu faham mengenai
perkara yang dipertikaikan. Hakim akan bertanya kepada kanak-kanak itu dan
bercakap secara tertutup dan bersendirian untuk mengetahui kecenderungannya
untuk memilih dengan siapa dia mahu diletakkan.
Dalam kes Mnsor lwn. Che
Ah, sepasang suami isteri telah bercerai dan mereka mempunyai tiga orang
anak. Dua daripadanya telah mumayyiz dan seorang masih menyusu. Ketiga-tiga
anak itu diserahkan kepada ibu untuk menjaganya. Selepas itu bapa kanak-kanak
itu menuntut hak hadanah ke atas dua orang kanak-kanak itu dan memberi pilihan sama ada
mereka mahu tinggal bersama ibu atau bapanya.
Kedua-dua itu telah memilih untuk
tinggal bersama ibunya. Oleh Hakim telah membuat keputusan kedua-dua anak yang
telah mumayyiz itu diserahkan kepada ibunya dengan mengekalkan jagaan anak yang
masih menyusu kepada ibunya. Walau bagaimanapun, Hakim dalam menimbangkan
pilihan kanak-kanak tersebut akan turut menimbangkan kebajikan kanak-kanak itu
dan bukan hanya bergantung kepada kanak-kanak itu semata-mata.
Dalam kes Faridah bte Daud dan
seorang lagi lwn. Mohd Firdaus Abdullah @ Jettle Francis mengenai
tuntutan penjagaan anak, Fifi Farisa yang dijaga oleh ibu plaintif dan Filza
yang dijaga oleh ibu dan isteri defendan.
Fakta kes ini menunjukkan bahawa plaintif
pertama dan defendan telah berkahwin pada 14 April 1984 dan dikurniakan dua
orang anak perempuan, Fifi Farisa yang berumur 13 tahun dan berada di bawah
jagaan Mordiah binti Ali iaitu ibu plaintif yang juga plaintif kedua dalam kes
ini dan Filza, berumur 10 tahun, bersekolah di Limbang dan dijaga oleh ibu dan
isteri defendan yang beragama Kristian, manakala Defendan berada/bekerja di
Brunei. Mereka telah bercerai pada 22 Jun 1994. Pada 26 Disember 1996 Mahkamah
Tinggi Syariah Negeri Sarawak telah meluluskan permohonan ex-parte plaintif
pertama bagi mendapatkan Perintah Sementara Hadanah/Injuksi
dalam Kes Mal 4/96 Mahkamah Tinggi Syariah. Walau bagaimanapun, perintah
tersebut tidak dapat dilaksanakan oleh bailif, seorang anggota polis dan dua
wakil plaintif di Limbang.
Fakta yang menjadi isu dalam kes ini
ialah berkaitan siapakah yang layak diberi hak hadanah menurut
Hukum Syarak dan Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 1991. Plaintif
pertama dalam kes ini tidak layak mendapat hak hadanah kerana
telah berkahwin lain dan tinggal bersama-sama suaminya yang baru di Kem Batu
Kawa manakala anak pertama bernama tinggal Fifi Farisa tinggal bersama neneknya
(plaintif kedua) di Santubong. Plaintif kedua iaitu nenek sebelah ibu kepada
anak juga mempunyai hak hadanah berdasarkan kepada seksyen 84 (2) Ordinan Undang-undang
Keluarga Islam Sarawak 1991. Plaintif kedua dalam keterangannya menunjukkan
bahawa beliau seorang Islam, sempurna akal, tiada sebarang penyakit, tetap
tinggal di Santubong, Kuching. Manakala defendan pula dalam pemeriksaan utama
oleh Mahkamah melalui peguamnya menyatakan anaknya Filza telah dijaga oleh
isterinya dan ibunya beragama Kristian apabila defendan bekerja di Brunei. Ini
dikuatkan lagi dengan kenyataan Filza dalam kamar semasa diperiksa oleh
Mahkamah, menyatakan dia tinggal bersama Pinky Reyes dan neneknya Sopi Sore dan
lain-lain keluarga beragama Kristian. Adalah menyedihkan Filza sendiri tidak
jelas tentang agamanya sendiri sehingga mengatakan dia bukan beragama Islam dan
di sekolah beliau belajar Pendidikan Moral. Dengan demikian penjagaan anak
iaitu Filza yang didakwa dijaga oleh defendan sebenarnya dijaga oleh defendan
dan ibunya yang kedua-duanya bukan beragama Islam.
Dengan anak tersebut dijaga oleh
isteri dan ibu defendan yang bukan beragama Islam menjadikan ianya bertentangan
dengan syarat hadinah iaitu
Islam. Penjagaan Filza oleh isteri dan ibu defendan juga tidak bertepatan
dnegan seksyen 85 (d) iaitu dia berkelakuan baik dan berakhlak dengan akhlak
Islamiah. Walaupun isteri dan ibu defendan bukanlah pihak-pihak dalam kes ini,
namun berdasarkan keterangan plaintif, defendan dan Filza sendiri, merekalah
yang akan menjaga Filza semasa defendan bekerja di Brunei. Filza dalam
pemeriksaan dalam kamar oleh Mahkamah menyatakan beliau tidak pernah mengaji
Al-Quran dan beliau belajar mata pelajaran Pendidikan Moral. Dia juga
menjelaskan bahawa beliau dijaga oleh mamanya Pinky dan neneknya Sopi yang
beragama Kristian. Setelah ditanya apakah agamnya dia sukar menjawabnya sehingga
dia mengatakan dia bukan Islam iaitu mengikut agama bapanya kerana katanya
bapanya adalah baik.
Hakim semasa membuat keputusan
penghakiman menjelaskan bahawa dalam menentukan hak hadanah yang
diutamakan ialah kebajikan anak itu dan hak anak itu sendiri, bukannya hak
seorang palintif terhadap anaknya dan bukannya pula hak seorang plaintif
terhadap anaknya dan bukan pula hak seorang defendan terhadap anaknya. Selain
itu juga, pilihan anak-anak yang mencapai umur kecerdikan peril diambil kira
oleh Mahakamh selain meneliti kemahuan-kemahuan plaintif dan defendan.
Persoalannya di sini apakah hanya
akan memutuskan berdasarkan pilihan anak-anak semata-mata atau mahkamah perlu
meneliti tentang keutamaan kebajikan kanak-kanak dan syarat-syarat yang ada
pada hadinah itu sendiri iaitu plaintif kedua dan defendan dalam kes ini.
Mahkamah boleh atas pilihan Filza
menyerahkan hak hadanah kepada defendan dengan syarat-syarat, namun masa yang sama
mahkamah berdasarkan keterangan defendan, plaintif dan Filza sendiri dalam
perbicaraan dan pemeriksaan dalam kamar mendapati anak tersebut sebenarnya
dijaga oleh ibu dan isteri defendan yang bukan beragama Islam. Ini sudah tentu
melibatkan soal akidah dan kebajikan anak itu sendiri, iaitu pendidikan
agamanya dan masa depannya.
Dengan yang demikian, Mahkamah
berpendapat walaupun Filza boleh memilih namun keutamaan kebajikan adalah lebih
utama dan lebih penting dari pilihannya sendiri, sebab itulah Mahkamah diberi
kuasa di bawah seksyen 89 (2) Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Sarawak 1991
untuk menentukan pertimbangannya yang utama tentang kebajikan anak dan
sepertimana yang dijalankan oleh Mahkamah sebelum ini.
Oleh yang demikian, Mahkamah
memutuskan hak penjagaan Filza diberikan kepada plaintif kedua yang juga telah
menjaga Fifi Farisa kerana yang diutamakan ialah kebajikan kanak-kanak itu
sendiri dan di bawah siapa mereka diberikan adalah bergantung kepada hak hadanah dan
kelayakan bukannya berdasarkan pemilihan kanak-kanak itu semata-mata. Ini
kerana tidak semestinya pilihan yang dibuat oleh kanak-kanak itu tepat kerana
adakalanya pilihan yang dibuat oleh kanak-kanak bukanlah berdasarkan kepada
kebajikan dirinya tetapi atas dasar kehendak dan kemahuannya sendiri.
Kesimpulan
Berdasarkan
penelitian terhadap kes-kes yang diputuskan, Mahkamah Syariah nampaknya telah
meletakkan kebajikan anak sebagai keutamaan dalam menentukan hak jagaan anak
kepada pihak-pihak yang berhak dari mempertimbangkan kemahuan dan kehendak
pihak-pihak terlibat. Namun, Mahkamah dlaam sesetengah kes yang diputuskan isu
ini dengan hanya melaksanakan keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang
yang ada tanpa melihat kepada latar belakang kes yang dikemukakan. Ini
menyebabkan timbul beberapa keadaan yang menyebabkan kebajikan nak terabai.
Meskipun ia merupakan kes-kes isolasi, namun ia seharusnya diberikan perhatian
kerana ia akan memberi kesan terhadap perkembangan kehidupan kanak-kanak itu.
Selain dari itu, isu yang sering
ditimbulkan berkaitan kes hadanah ialah kelewatan dalam penyelesaian kes. Oleh kerana di dalam
kes hadanah, isu yang
dipertikaikan ialah hak kanak-kanak yang masih di bawah umur yang memerlukan
pemeliharaan dan pemerhatian dan sepatutnya kes-kes ini memerlukan pemeliharaan
dan pemerhatian dan septutnya kes-kes ini diselesaikan secepat mungkin. Seperti
yang ditegaskan oleh para Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Noranita lwn. Faiez,
“kami berharap kes rayuan mengenai hadanah
hendaklah dikemukakan secepat mungkin supaya tidak timbul masalah yang tidak
dikehendaki seperti dalam kes ini”.
Di samping itu, isu bidangkuasa mahkamah dan ketidakseragaman undang-undang di
antara negeri-negeri di Malaysia juga boleh menyebabkan permasalahan timbul
dalam kes-kes tuntutan hadanah. Justeru usaha yang berterusan harus dilakukan untuk
memperbaiki dan seterusnya menyelesaikan permasalahan ini.
Suumber: Jurnal Hukum. Bhg. 1. Feb 2010/1431H. Terbitan JKSM.
tq atas perkongsian ilmu. Sangat bermanfaat. Alhamdulillah
ReplyDelete