Tuesday, 18 September 2012

Kes Tuntutan Fasakh

DI DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH
DI KUALA TERENGGANU
DALAM NEGERI TERENGGANU

 Dalam Tuntutan  Fasakh

SAMAN NO: 11300-***-****-2011

                   ANTARA

RUHAIDA BINTI OTHMAN                      ---                     PLAINTIF
KP: 6*****-11-5***

                    DENGAN 

CHE NORA’ZAM BIN NOORDIN                 ---                   DEFENDAN
KP: 6*****-03-5****
  
DI HADAPAN YANG  AMAT ARIF
DATO’ HAJI ISMAIL BIN YAHYA, DPMT., PJC., PJK.,
KETUA HAKIM SYARIE, BERTINDAK SEBAGAI
HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH
NEGERI TERENGGANU
DI KUALA TERENGGANU.

PADA HARI AHAD 9 RAMADHAN 1433,
BERSAMAAN  29 JULAI  2012

Plaintif diwakili oleh Cik Asmayani Suhaida binti Kamaruddin, dan Tuan Haji Mukhtar bin Abdullah, kedua-duanya daripada Tetuan Zamani Mohammad & Co., yang beralamat di No. 1107-E, Tingkat 2 & 3, Jalan Pejabat Off Jalan Sultan Ismail, 20200 Kuala Terengganu.

Defendan diwakili oleh Encik Fazru Anuar bin Yusof, Cik Ummu Abihah binti Mohd Roslan, dan Encik Wan Mohd Azziadi bin Wan Abd Jalil, kesemuanya daripada Khairul Sofian Anuar & Co., yang beralamat di No. 235-B, Tingkat 2, Jalan Sultan Zainal Abidin, 20000 Kuala Terengganu.

ATAS TUNTUTAN Plaintif, Tuntutan ini dipanggil untuk perbicaraan di dalam Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu di Kuala Terengganu dalam kehadiran Plaintif dan Defendan, MAKA PADA HARI INI YANG ARIF HAKIM TELAH MEMBUAT PENGHAKIMAN SEPERTI BERIKUT :-

Tuntutan yang dibawa di hadapan saya ini ialah Plaintif menuntut supaya akadnikah perkahwinannya dengan Defendan difasakhkan. Plaintif dalam kes ini ialah Ruhaida Binti Othman, KP: 6*****-11-5***. Semasa kes ini disebut Plaintif merupakan seorang guru dalam Gred DG32, bertugas di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Plaintif mempunyai alamat penyampaian di Alamat: No 91A Kampung Tok Ku,Chabang Tiga, 21000 Kuala Terengganu, iaitu rumah ibunya.Tuntutan ini telah didaftarkan pada 11 Julai 2011, dan disebut pada 26 Julai 2011. Perbicaraan ditetapkan bermula 15 Ogos 2011.

Manakala Defendan ialah, Che Nora’zam Bin Noordin, KP: 6*****-03-5***, merupakan seorang  guru dalam Gred DG44. Pada masa Tuntutan ini difailkan Defendan bertugas di SMK Chendering, Kuala Terengganu. Defendan pada masa ini tinggal dirumah perkahwinan; di 2734 Taman Desa MPKT, Chendering, Kuala Terengganu. Defendan sama sekali tidak bersetuju dengan tuntutan Plaintif ini.

Sebelum saya menimbang Tuntutan ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Peguam Syarie-Peguam Syarie daripada kedua-dua belah pihak kerana telah membantu Mahkamah ini dalam pendengaran kes dan seterusnya membuat keputusan pada hari ini.

Dalam menimbang Tuntutan Plaintif ini, pertamanya Mahkamah melihat kepada isu adakah Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mempunyai bidangkuasa mendengar dan memutuskan Tuntutan ini. Mengenai bidangkuasa Mahkamah atau Hakim, Allah telah menjelaskan hukum berhubung dengannya, firman Allah dalam ayat 58 Surah An-Nisaa’ yang bermaksud;

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Bidangkuasa satu-satu Mahkamah sebenarnya telah lama disentuh oleh perundangan Islam atau Hukum Syarak.  Antaranya sebagaimana dinyatakan oleh Muhammad Salam Madkur di dalam kitabnya berjudul Al-Qada’ fil Islam, terbitan Matbaah Al ‘Aalamiyah, Kaherah, 1964, yang mana pada muka 54 beliau menyebut ;
هو أن  يخصص  ولي الأمر القاضى  عند تقليده  القضاء  أو بعد  ذلك  بنوع معين  من  القضايا،  كالأحوال  الشخصية،  أو  المدنى،  أو  التجارى، أو  الجنائى  إلى  غير  ذلك،  فلا  يصح  له  أن  ينظر  فى  نوع    اّخر  غيره

Yang bererti ;
Bidangkuasa mengikut jenis kes ialah pemerintah mengkhususkan bidangkuasa ke atas seseorang Hakim semasa perlantikan Hakim itu atau selepas perlantikan dibuat dengan menentukan bahawa Hakim itu mempunyai bidangkuasa tertentu sahaja seperti diberi bidangkuasa bagi mengendalikan undang-undang diri, undang-undang sivil, undang-undang perdagangan atau bagi undang-undang jenayah dan seumpamanya; oleh yang demikian Hakim itu hanya berbidangkuasa bagi kes-kes yang dianya diberi bidangkuasa sahaja dan Hakim itu tidak boleh melaksanakan bidangkuasa lain yang tidak diberi kepadanya.’


Apabila khalifah melantik seseorang Hakim untuk satu-satu daerah bagi menghakimi penduduknya dalam semua jenis pertikaian sama ada sivil mau pun jenayah dalam semua waktu, maka Hakim yang sebegini lantikannya mempunyai bidang kuasa umum. Apabila  khalifah melantik seseorang Hakim dengan beberapa ikatan tertentu dari segi tempat atau masa atau jenis-jenis kes dan pertikaian atau jenis-jenis orang yang bertikai, maka Hakim yang sebegini lantikannya mempunyai bidang kuasa khas atau tertentu. Pembatasan kuasa Hakim yang dilantik dalam bentuk tertentu sebegini dikenali di kalangan fuqaha dengan istilah (تخصيص القضاء ) takhsis al-qadaa’.

Mengikut Hukum Syarak, sebagai mana yang dijelaskan dalam kitab Nizaam al-Qada’ fi al-Shari’ah al-Islamiyyah, oleh Dr. Abdul Karim Zaidan, Muassah al-Risalah, Beirut, Lebanon, cetakan ketiga, 1418H/1997M, muka 39-40, mana-mana Hakim yang dilantik dengan bidang kuasa al-taqlid al-khas hendaklah bergantung kepada kuasa تخصيص القضاء (takhsis al-qadaa’) itu. Bidang kuasa takhsis al-qadaa’ Hakim-Hakim Mahkamah Syariah Terengganu adalah menurut bidangkuasa tiap-tiap Mahkamah yang diperuntukkan di dalam Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

Subseksyen 11(3) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 telah memperuntukkan bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah. Ianya diperuntukkan seperti berikut;

Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah -

(a) dalam bidangkuasa jenayahnya, membicarakan apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh seseorang orang Islam dan boleh dihukum di bawah Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam, dan boleh mengenakan apa-apa hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan itu; dan

(b) dalam bidangkuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan -

(i)        pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

(ii)    apa-apa  pelupusan  atau  tuntutan harta  yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);

(iii)       nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;

(iv)       pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

(v)         wasiat atau alang semasa marad-al-maut;

(vi)       alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seorang orang Islam;

(vii)     wakaf atau nazar;

(viii)      pembahagian atau pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat ;

(ix)       penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;

(x)         pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;

(xi)       pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya ; dan

(xii)     perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Manakala bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah pula ada diperuntukkan dalam para 12(2)(b) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. Peruntukannya adalah seperti berikut :-

12(2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah ---
(a)  ...
 (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

Peruntukan undang-undang menjelaskan bahawa tuntutan fasakh dinamakan juga sebagai tuntutan pembubaran perkahwinan. Oleh yang demikian, berdasarkan Hukum Syarak dan undang-undang, saya berpuashati bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan Tuntutan ini.

Selain dari itu, semasa mendaftarkan Tuntutan ini, Plaintif juga ada memasukkan Permohonan Perintah Interim secara ex parte. Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 memperuntukkan Perintah Interim terpakai hanya bagi Mahkamah Tinggi Syariah sahaja. Seksyen 196 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001, memperuntukkan;

Bab ini [BAB 2 – PERINTAH INTERIM] terpakai hanya bagi Mahkamah Tinggi Syariah.

Pada 12 Julai 2011, Mahkamah ini telah mendengar Permohonan Perintah Interim secara  ex parte daripada Plaintif yang bertindak sebagai Pemohon, dan seterusnya telah membuat Perintah Interim secara   ex parte. Oleh yang demikian sangat sesuai kes ini terus dibawa ke dalam Mahkamah Tinggi Syariah bagi memaklumkan Hakim Bicara bahawa telah ada perintah sampingan dalam pengendalian Tuntutan ini antaranya melalui Perintah Interim secara  ex parte.

Encik Fazru Anuar bin Yusof yang mewakili Defendan telah menimbulkan persoalan bahawa kes ini patut dimulakan di Mahkamah Rendah Syariah. Antara alasan yang dikemukakan ialah jika kes ini didengar dan di peringkat Mahkamah Rendah Syariah akan memberi peluang untuk kes ini didengar dalam tiga peringkat Mahkamah. Sedangkan jika kes ini terus dibawa ke dalam Mahkamah Tinggi Syariah, peluang untuk dapat perkhidmatan rayuan hanya sekali sahaja iaiatu di Mahkamah Rayuan Syariah sahaja. Atas isu ini dan beberapa isu lain, Defendan melalui Peguam Syarienya telah membuat Bantahan Awal ke Dalam Mahkamah Tinggi Syariah. Pada hari Isnin 21 Syawwal 1432, bersamaan 19 September 2011 Mahkamah Tinggi Syariah ini telah menolak bantahan awal dan perintah-perintah lain Defendan.

Terkilan dengan penolakan bantahan awal dan perintah-perintah lain itu, Defendan telah membuat rayuan ke dalam Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu. Setelah mendengar rayuan daripada Defendan, maka pada hari Selasa 6 Rabiul Akhir 1433 bersamaan 28 Februari 2012, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu telah membuat perintah seperti berikut;

Mahkamah secara sebulat suara dengan ini menolak Rayuan Perayu dan Mahkamah memerintahkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu untuk terus mendengar Tuntutan Fasakh 11300-***-****-2011 sehingga selesai.

Menurut peruntukan Hukum Syarak, undang-undang dan perintah Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu sebagai mana yang dinyatakan di atas, sekali lagi saya tegaskan saya berpuashati bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu ini mempunyai takhsis al-qadaa’ dalam mendengar dan memutuskan Tuntutan Fasakh (11300-***-****-2011) ini.

Akadnikah perkahwinan yang Plaintif tuntut supaya difasakhkan ialah akadnikah antara Plaintif dengan Defendan yang telah diadakan pada jam pukul 2.20 petang  18 Zulkaedah 1411, bersamaan 31 Mei 1991, bertempat di 91-A, Kampung Tok Ku, Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Akadnikah perkahwinan Plaintif dan Defendan itu berwalikan saudara lelaki seibu sebapa kepada Plaintif bernama Nazmi bin Othman, KP:A******* dan dengan maskahwin sebanyak RM85 tunai. Ianya didaftarkan dengan Bilangan 126/91 Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Mengenai hidup berumah tangga, Allah swt telah dengan terang menjelaskan bahawa prasyarat untuk lahirnya perasaan kasih sayang dan belas kasihan antara suami isteri yang akan dikurniakan Allah ialah suasana ikatan suami isteri berkenaan itu mestilah sentiasa ‘bersenang hati’ dalam situasi kehidupan yang penuh mesra. Menjelaskan hal keadaan sedemikian, Allah telah berfirman dalam ayat 21 dari Surah Al-Rom Yang bermaksud;

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Nya dan rahmat Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.’

Dari ayat 21 Surah Al-Rom itu dapat dikatakan bahawa tujuan mendirikan rumah tangga mengikut perundangan Islam ialah sebagai memenuhi kehendak naluri tabie manusia, yang memerlukan perasaan berkasih sayang, cinta mencintai, tolong menolong dan tidak ketinggalan ianya juga bertujuan untuk memenuhi kehendak nafsu manusia agar dapat disalurkan dengan cara yang halal dan menurut Hukum Syarak. Jika ianya dikendalikan dengan cara sedemikian rupa, ikatan perkahwinan sedemikian insya Allah akan mendapat keredoan Allah swt.

Sebaliknya jika sesebuah rumah tangga itu dikendalikan secara tidak mengikut perundangan Islam sebagai mana dinyatakan di atas, lazimnya akan timbullah beberapa masalah kepada rumah tangga berkenaan itu. Antaranya yang boleh berlaku ialah tuntutan fasakh ke atas akadnikah itu. Menurut undang-undang tuntutan fasakh nikah dinamakan juga sebagai tuntutan pembubaran perkahwinan. Mengikut tafsiran berkanun sebagai mana peruntukan Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985, dalam seksyen 2,  ‘fasakh’ ertinya pembatalan nikah disebabkan oleh sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh Hukum Syara’ menurut seksyen 49.

Fasakh Nikah mengikut Hukum Syarak disyariatkan adalah bertujuan untuk membendung mudarat (atau darar) yang menimpa atas diri isteri. Saya berpendapat sekiranya suasana rumah tangga sesuatu pasangan suami isteri itu bukan lagi merupakan tempat untuk ‘bersenang hati’ dalam situasi kehidupan yang penuh mesra, sudah pasti perasaan kasih sayang dan belas kasihan antara suami isteri tidak akan menjelma. Oleh itu jika suasana rumah tangga menjadi sedemikian rupa, ada kemungkinan wujudnya kemudaratan yang akan menimpa atas diri isteri. Dalam kitab I’aanatut Taalibin, karangan Al-Sayyed Al-Bakri Ibnu al-Sayyed Muhammad Shato’ al-Dimyaaty, juzuk keempat, terbitan Darul Fikr Littiba’ah wan Nashr wat Tauzi’, tanpa tarikh, pada halaman 86 ada menyebut;

وَشُرِعَ  أي الفسخُ  دَفْعًا  لِضَرَرِ  المرأَةِ
Yang berarti;
Fasakh nikah disyariatkan bagi membendung mudarat (darar) yang akan menimpa atas diri isteri.’

Seksyen 2, Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985 juga memberi erti kepada ‘darar syar’i’  sebagai, bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, atau hartabenda, menurut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syara’. 

Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Islami wa-Adillatuh, oleh Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhayli, juzuk kesembilan, cetakan keempat, Darul Fikr, Damsyek, Syria, tahun 1418H/ 1997M, pada muka surat 7041 menyebut;

ويلاحظ أن التفريق يختلف عن الطلاق بأن الطلاق يقع باختيار الزوج وإرادته، أما التفريق فيقع بحكم القاضي، لتمكين المرأة من إنهاء الرابطة الزوجية جبرا عن الزوج، إذا لم تفلح الوسائل الاختيارية من طلاق أو خلع

Yang bererti;
Pembubaran perkahwinan adalah berbeza dengan talaq (cerai), ini kerana cerai berlaku adalah dengan kehendak suami dan pilihannya sendiri, sedangkan pembubaran perkahwinan berlaku mengikut keputusan Hakim. Tujuan pembubaran perkahwinan ini adalah bagi membolehkan pihak isteri menamatkan ikatan perkahwinan dengan suaminya, setelah semua cara lain yang menjadi pilihan seperti cerai dan tebus talaq, tidak berjaya diperolehi.’

Dalam kitab yang sama pada muka surat 7040, pengarangnya menyenaraikan ada sepuluh pembubaran perkahwinan, yang terdiri dari :-

1)   Pembubaran perkahwinan kerana kegagalan memberi nafkah;
2)   Pembubaran perkahwinan kerana ada kecacatan atau penyakit;
3)   Pembubaran perkahwinan kerana tidak sehaluan, deraan(mendatangkan
      mudarat (darar))  dan  layanan buruk;
4)   Talaq secara ta’assuf;
5)   Pembubaran perkahwinan kerana sebab ghaib;
6)   Pembubaran perkahwinan kerana ditahan;
7)   Pembubaran perkahwinan kerana berlaku ilaa’;
8)   Pembubaran perkahwinan kerana berlaku li’an;
9)   Pembubaran perkahwinan kerana berlaku zihar; dan
10) Pembubaran perkahwinan kerana murtad atau salah seorang dari suami
      isteri itu memeluk Islam.

Dalam kes di hadapan saya ini, Plaintif menuntut fasakh (fasakh nikah) kerana ikatan perkahwinan Plaintif dengan Defendan pada masa ini telah mendatangkan mudarat (darar) kepada Plaintif. Plaintif mendakwa   Defendan :-

1)  Telah gagal dalam kewajiban bernafkah;
2)  Telah melupuskan harta Plaintif;
3)  Seorang yang panas baran dan lazim menyakiti hati Plaintif; dan
4)  Tiada persefahaman atau berlaku darar dan  berlawanan  dengan
     matlamat perkahwinan sebenar antara mereka;

Dalam hujah melalui Peguam Syarienya Plaintif menyimpulkan bahawa rumah tangganya dengan Defendan sampai ketika ini sudah tidak ada lagi sakinah dan mawaddah. Hal keadaan sedemikian ditambah pula dengan sikap Defendan yang penuh dengan ego sebagai mana ditunjukkan secara lantangnya mengeluarkan kata-kata, ‘pergi tak dihalau, balik tak disuruh,’ semasa menjawab persoalan mengenai usaha yang telah dilakukan oleh Defendan untuk menjernihkan keadaan rumah tangga mereka berdua.

Dalam hujah Defendan melalui Peguam Syarienya, Defendan memohon   Tuntuan Plaintif supaya difasakhkan akad nikah perkahwinan mereka ini ditolak dan sebaliknya Plaintif perlu diisytiharkan sebagai isteri yang nusyuz.

Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Islami wa-Adillatuh, oleh Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhayli, juzuk kesembilan, cetakan keempat, Darul Fikr, Damsyek, Syria, tahun 1418H/ 1997M, pada muka surat 7060 ketika menjelaskan Pembubaran perkahwinan kerana tidak sehaluan, deraan (mendatangkan mudarat (darar))  dan  layanan buruk, ada menyebut;

الشقاق هو النزاع الشديد بسبب الطعن في الكرامة. والضرر: هو إيذاء الزوج لزوجته بالقول أو بالفعل، كالشتم المقذع والتقبيح المخل بالكرامة، والضرب المبرح، والحمل على فعل ما حرم الله، والإعراض والهجر من غير سبب يبيحه، ونحوه

Yang bererti;
Maksud tidak sehaluan ialah pergaduhan yang teruk disebabkan batas kemuliaan. Maksud deraan (mendatangkan mudarat (darar)) ialah siksaan suami ke atas isteri dengan perkataan dan perbuatan. Umpamanya maki hamun, momokan yang menghilangkan kemuliaan, pukulan yang mencederakan, memperlakukan dengan perbuatan yang diharamkan Allah swt, memulau dan meninggalkan tanpa sebab yang mengharuskan dan sebagainya.’

Subseksyen 49(1) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985 memperuntukkan alasan-alasan bagi membolehkan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh. Alasan-alasan mengikut undang-undang ini pada pendapat saya telah memenuhi kehendak Hukum Syarak sebagai mana yang disebut oleh Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhayli di atas tadi. Jika salah satu dari alasan-alasan itu telah dipenuhi, membolehkan Mahkamah membubarkan perkahwinan atau fasakh. Antaranya :-

(h)   bahawa suami menganiayainya (isteri), iaitu antara lain ---

(i)       lazim menyakitinya atau menjadikan  kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii)     berkawan   dengan    perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syara’; atau 
(iii)      cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv)     melupuskan  harta isteri atau melarang isteri itu dari menggunakan hak-haknya di sisi Hukum Syara’ terhadap harta itu; atau
(v)     menghalang  isteri  dari  menunai atau menjalankan kewajipan agamanya; atau
(vi)   jika  mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syara’;

Dalam kes Hairun bt. Mohd Sharif  lawan  Omar bin Mohd Noor, JH[1414] 289, dalam penghakimannya, Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi, Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Selangor, antara lain menjelaskan;

Maka nyatalah bahawa perkara pokok di bawah seksyen 52(1)(h) [bersamaan dengan para 49(1)(h) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam (Terengganu) 1985] ialah penganiayaan (cruelty) oleh suami terhadap isteri dan sebagai contoh, enam (6) ilustrasi telah dinyatakan di dalam perenggan kecil (i) hingga (vi). Contoh-contoh ini hendaklah dianggap sebagai ‘antara lain’. Yang kedua, sungguh pun di bawah seksyen 52(1)(h) penganiayaan terhadap isteri boleh berlaku di dalam dua bentuk, iaitu dalam bentuk fizikal atau dalam bentuk mental, contoh penganiayaan bercorak memukul secara fizikal tidak diberi oleh kerana aniaya amat nyata dengan sendirinya dan mengikut Hukum Syara’ memukul isteri secara fizikal adalah satu penganiyaan melainkan di dalam sesuatu keadaan tertentu. Kadang kala penganiayaan boleh juga dilakukan di dalam kedua-dua bentuk.

Prinsip dhirar ini telah diterima oleh kebanyakan negara-negara Islam termasuklah Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia dan Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Negeri Selangor juga telah menerima prinsip ini.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana ‘aniaya’ atau dhirar ini tidaklah disyaratkan penganiayaan atau dhirar terhadap tubuh badan sahaja, malahan lebih luas dari itu termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka darinya semasa di katil, mengutamakan memberi layanan kepada perempuan lain dari isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan seterusnya dan tidaklah disyaratkan pukulan itu dilakukan berulang kali dan lazim. (Dr. Ahmad Al-Husary, Al-Ahwal Al-Shakhsiyyah, Maktabah Al-Kulliyat Al-Azhariyyah, 1968, hal: 727, Mesir).

Di dalam Mahkamah, semasa peringkat soal balas, Defendan mengaku ada menggadai rantai leher milikan isterinya (Plaintif) dengan harga RM3,000, kira-kira lima belas tahun yang lalu. Rantai itu telah ditebus tetapi telah digadai semula dan telah tidak ditebus balik. Manakala dalam keterangan utama Plaintif, Plaintif menjelaskan bahawa rantai milik Plaintif itu, Plaintif beli dengan wang Plaintif sendiri. Ianya telah digadai oleh Defendan. Rantai yang dimaksudkan itu masih belum diserahkan oleh Defendan kepada Plaintif walhal jika hendak dikira tarikh penebusannya telah lama berakhir.

Defendan juga mengaku, semasa peringkat soal balas, di dalam Mahkamah bahawa kata-kata yang selalu dikeluarkan oleh Defendan yang ditujukan kepada Plaintif ialah; ‘nnatang’ dan ‘tak ngeti basa’. Manakala dalam keterangan utama Plaintif, Plaintif menjelaskan bahawa jika berlaku pertengkaran antara Plaintif dengan Defendan, terkeluarlah daripada mulut Defendan ungkapan seperti, ‘menatang bodoh’, ‘basa rumah macam neraka’, ‘jubur lembu’.

Mahkamah berpendapat, jika seseorang suami mahu menegur isterinya yang telah membuat sesuatu kesalahan, teguran suami hendaklah mengikut ajaran Hukum Syarak. Allah swt berfirman dalam ayat 34 Surah An-Nisaa’ yang bermaksud;

… dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha tinggi, lagi Maha Besar.

Mengeluar kata-kata kesat ke atas isteri bukan cara mengajar isteri menurut Hukum Syarak. Jika diikuti ajaran al-Quran sebagai mana yang dibaca sebentar tadi sudah pasti kehidupan berumah tangga akan mendapat hidayat Allah.

Berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, saya dapati keterangan Defendan itu telah menjadi iqrar di dalam kes ini. Iqrar mengikut Hukum Syarak  sebagaimana yang disebut oleh Abu Bakar ibni Muhammad Syatta’  dalam kitab I'aanah al-Taalibin, yang mana selesai dikarang keseluruhannya pada 23 Syawal 1300, juzuk ketiga, muka 187 ada menyebut;

هو  لغة الإثبات وشرعا  إخبار الشخص بحق عليه  ويسمى إعترافا
    
Yang bererti;
Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala mengikut syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas diri pemberitahu itu. Iqrar disebut juga sebagai iktiraf.’


Mengenai keterangan secara beriqrar ini, sukacita saya menjelaskan sedikit kedudukan iqrar mengikut Hukum Syara’. Iqrar adalah  merupakan salah satu cara pembuktian yang terkuat dalam hukum syara’.  Tidak terdapat perselisihan pendapat di kalangan ahli-ahli perundangan Islam (fuqaha’) mengenainya. Ianya sabit berdasarkan nas Al-Quran dan Al-Sunnah.  Antaranya firman Allah s.w.t.dalam ayat 135 dari Surah An-Nisaa’ yang bermaksud;

Wahai orang-orang yang beriman !  Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekali pun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu…
                                                        
Yang dimaksudkan dengan kesaksian ke atas diri kamu sendiri di dalam ayat di atas itulah iqrar.  As-Sheikh Shamsuddin Muhammad bin Ahmad as-Syarbiniy al-Khatib, meninggal dunia dalam tahun 977 Hijriyah, di dalam kitabnya Mughnil Muhtaj, jilid kedua, pada muka surat 238 menyebut;

واركانه اربعة مقر   ومقر له وصيغة ومقر به
Yang bererti;
Rukun iqrar itu ada empat perkara iaitu muqirrun (orang yang melafazkan iqrar), muqarrunlahu (orang/pihak yang diberikan iqrar untuknya oleh pembuat iqrar), sighah (ucapan atau kata-kata iqrar), dan muqirrun bihi (hak atau kepentingan yang diiktiraf oleh orang yang beriqrar).

Seksyen 17  Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 memperuntukkan;

(1)  Iqrar ialah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang, secara bertulis atau lisan atau dengan isyarat, menyatakan  bahawa dia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.
(2)  Sesuatu iqrar hendaklah dibuat -
(a)       di dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau
(b)       di luar Mahkamah, di hadapan dua orang saksi lelaki yang  'aqil, baligh  dan  'adil.
(3)  Sesuatu iqrar yang berhubungan dengan apa-apa fakta persoalan atau fakta relevan ialah qarinah.

Iqrar yang dibuat oleh   Defendan ini, pada pendapat saya hendaklah diterima, kerana tidak ada alasan yang membolehkan iqrar itu tidak boleh diterima. Iqrar yang tidak boleh diterima mengikut Hukum Syarak telah pun ditaqnin di dalam undang-undang. Ianya  adalah sebagai mana diperuntukkan di dalam seksyen 18 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. Seksyen 18 Enakmen Terengganu Bil. 6 Tahun 2001 itu memperuntukkan;

(1)      Iqrar yang berikut tidak boleh diterima:

(a)    iqrar seseorang yang tidak ‘aqil baligh;
(b)tertakluk kepada subseksyen (2), iqrar orang belum dewasa;
(c)    iqrar orang gila atau orang terencat akal (ma’tuh);
(d) iqrar  wali   atau   penjaga   yang   dibuat  bagi  pihak  
 seseorang yang dibawah jagaan atau  tanggungjawabnya;
(e) iqrar yang tidak dibuat secara sukarela; atau
(f)   iqrar seseorang yang dihalang di bawah mana-mana undang-undang bertulis untuk mentadbirkan hartanya (Mahjur  ‘alaih)

(2)   Iqrar yang dibuat oleh seseorang orang belum dewasa yang mumayyiz yang telah dibenarkan oleh wali atau penjaganya untuk menjalankan apa-apa perniagaan atau urusan boleh diterima setakat yang iqrar itu adalah berhubungan dengan perniagaan atau urusan itu.

(3)  Pihak yang mendapat faedah daripada sesuatu iqrar tidaklah semestinya seorang yang ‘aqil baligh.

Berkait dengan penerimaan iqrar, saya merujuk satu kes yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Ulang Bicara Mahkamah Syariah Negeri Sembilan. Dalam kes Mustafah bin Batcha lawan A. Habeeba JH [1412], 255, Jawatankuasa Ulang Bicara Mahkamah Syariah Negeri Sembilan antara lain berpendapat;

‘Walaupun iqrar merupakan salah satu cara pembuktian yang terkuat dalam hukum syara’ tetapi sebelum iqrar tersebut diterima ianya hendaklah dipastikan yang ianya dilakukan oleh orang yang berakal, baligh di dalam kebanyakan kes, mumayiz, dilakukan secara sukarela, sedar, tanpa ugutan, desakan dan paksaan, bersungguh-sungguh dan tiada tohmah dalam perkara yang diiqrarkan. Dalam hubungan ini Mahmasani menyatakan bahawa iqrar hendaklah dilakukan secara mutlaq tanpa syarat, ikatan atau kait mengait dengan perkara lain. Jika ianya dikaitkan dengan perkara lain dan tidak mutlaq sebahagian ulama berpendapat bahawa iqrar tersebut tidak sah. (Subhi Al-Mahmasani, Falsafah Al-Tasyrie’ Fi Al-Islam, Dar Al-Kasyaf, Beirut, tahun 1952, halaman 233).’

Di dalam kes yang dirujuk ini, Kadi Yang Arif di Mahkamah Kadi Seremban, Negeri Sembilan, telah memutuskan jatuh talaq tiga apabila suami telah beriqrar melafazkan, “Saya cerai engkau, saya cerai engkau, saya cerai engkau,” kepada isterinya. Yang Arif Kadi tidak memanggil saksi-saksi yang ada dan tidak menyelidiki tuntutan suami itu bahawa pada ketika dia melafazkan talaq itu, fikirannya tidak betul dan dia kena sihir. Terkilan dengan keputusan Yang Arif Kadi si suami merayu ke Jawatankuasa Ulang Bicara Mahkamah Syariah Negeri Sembilan.

Di dalam kes ini “Keterangan” Plaintif ialah keterangan dakwaan Plaintif yang dikuatkan dengan iqrar oleh Defendan. Ini kerana takrifan “keterangan” di dalam  Enakmen Terengganu Bil. 6 Tahun 2001  seperti mana disebut di atas itu, membedakan antara bayyinah dengan syahadah, dan ianya tidaklah menolak jenis keterangan yang lain yang diterima mengikut Hukum Syarak, seperti iqrar, yamin (sumpah), nukul ‘an yamin (enggan bersumpah setelah diminta bersumpah), al-yamin al-mardudah (sumpah yang dikembalikan kepada pihak yang mendakwa setelah pihak yang kena dakwa enggan bersumpah) dan lain-lain lagi kerana ianya hanya memperuntukkan “termasuk” yang mana memberi makna banyak lagi jenis keterangan yang tidak disebut di dalam takrifan ini. Peruntukan itu juga hanya menjelaskan dua cara memberi keterangan iaitu keterangan lisan dan keterangan tulisan. Walau bagaimana pun dengan menggunakan perkataan “termasuk” ianya bermaksud tidak menolak cara memberi keterangan ketiga yang diterima mengikut Hukum Syarak iaitu isyarat.

Dengan penerimaan iqrar Defendan itu, bermakna Plaintif telah mengemukakan keterangannya yang hendak dibuktikan bahawa, Defendan telah melupuskan  harta Plaintif. Defendan juga membuat momokan yang menghilangkan kemuliaan Plaintif.

Perkahwinan dalam Islam antaranya bertujuan agar suami isteri sama-sama merasa gembira dan seronok, yang mana nikmat perkahwinan ini dirasai bersama. Suami isteri adalah dua insan yang dijadikan Allah swt untuk sama-sama menikmati kehidupan berkeluarga. Allah swt telah berfirman dalam ayat 187 dari Surah Al-Baqarah yang bermaksud;

‘… isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka…’

Mengikut tujuan-tujuan perkahwinan dalam Islam, tidak ada sesiapa pun wajar untuk dipaksa hidup menderita atau dianiyai di dalam ikatan perkahwinan yang dianya tidak suka. Penganiayaan dalam apa bentuk sekali pun hendaklah dielakkan. Jika sesuatu perkahwinan itu ternyata telah gagal dan tujuan suci dan matlamat murninya tidak tercapai, sebaliknya ia menimbulkan mudarat, kesusahan, penderitaan, berbahasa kasar, dan suami telah melupuskan harta isteri, maka adalah lebih baik akadnikah itu dibubarkan sama ada melalui talaq termasuk ta’liq talaq, fasakh atau khulu’.

Oleh yang demikian atas alasan-alasan yang dikemukakan oleh Plaintif, yang telah diperjelaskan oleh Mahkamah berpandukan Hukum Syarak dan peruntukan undang-undang, saya berpuas hati bahawa Tuntutan Plaintif, Ruhaida Binti Othman, KP: 6*****-11-5*** untuk memfasakhkan akadnikah perkahwinan antara Plaintif dengan Defendan, Che Nora’zam Bin Noordin, KP: 6*****-03-5***, hendaklah dibenarkan. Akad nikah yang dimaksudkan itu telah diadakan pada jam pukul 2.20 petang  18 Zulkaedah 1411, bersamaan 31 Mei 1991, bertempat di 91-A, Kampung Tok Ku, Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Akadnikah perkahwinan Plaintif dan Defendan itu berwalikan saudara lelaki seibu sebapa kepada Plaintif bernama Nazmi bin Othman, KP:A******* dan dengan maskahwin sebanyak RM85 tunai. Ianya didaftarkan dengan Bilangan 126/91 Chabang Tiga, Kuala Terengganu.

Di dalam kitab Al-Fiqh Al-Islami wa-Adillatuh, oleh Prof. Dr. Wahbah Al-Zuhayli, juzuk kesembilan, cetakan keempat, Darul Fikr, Damsyek, Syria, tahun 1418H/ 1997M, pada muka surat 7067 ada menyebut :-

ويكون الطلاق بائنا؛ لأن كل فرقة يوقعها القاضي تكون طلاقا بائنا إلا الفرقة بسبب الايلاء وعدم الإنفاق

Yang bererti;
Pembubaran perkahwinan (fasakh) ini dikira sebagai perceraian talaq ba-in (tak boleh rujuk), kerana setiap perpisahan yang berlaku dengan hukuman qadi adalah dikira talaq ba-in kecuali perpisahan dengan sebab illa’ dan dengan sebab gagal memberi nafkah.

Mahkamah telah mendapat kepastian daripada Plaintif bahawa Plaintif adalah seorang isteri yang berhaid.

Oleh kerana saya berpendapat bahawa setakat hari ini belum ada kemudaratan nyata yang timbul akibat dari berlakunya Tuntutan daripada Plaintif ini, maka saya putuskan bahawa kos dalam prosiding Tuntutan Fasakh ini hendaklah ditanggung oleh masing-masing pihak.

PERINTAH

1) SAYA FASAKH AKAN  akadnikah perkahwinan  Plaintif, Ruhaida Binti Othman, KP: 6*****-11-5*** dengan Defendan, Che Nora’zam Bin Noordin, KP: 6*****-03-5***, yang mana akad nikah perkahwinan itu telah diadakan pada pada jam pukul 2.20 petang  18 Zulkaedah 1411, bersamaan 31 Mei 1991, bertempat di 91-A, Kampung Tok Ku, Chabang Tiga, Kuala Terengganu, berwalikan saudara lelaki seibu sebapa kepada Plaintif bernama Nazmi bin Othman, KP:A****** dan dengan maskahwin sebanyak RM85 tunai, dan yang telah didaftarkan dengan Bilangan 126/91 Chabang Tiga, Kuala Terengganu;

2) SAYA SABIT Plaintif, Ruhaida Binti Othman, adalah seorang perempuan yang masih berhaid dan sepanjang perkahwinan Plaintif dengan Defendan telah ada berlakunya persetubuhan, DAN pada tarikh berlakunya fasakh ini, Plaintif berkeadaan suci yang tidak disetubuhi; OLEH ITU SAYA PERINTAH Ruhaida Binti Othman, Plaintif, hendaklah ber`iddah dengan `iddah suci selama tiga kali suci dalam ba-in sughra mulai tarikh disabitkan berlakunya fasakh iaitu pada hari ini, Ahad, 9 Ramadhan 1433  bersamaan   29 Julai  2012;

3)  SAYA PERINTAH Surat Perakuan Nikah, No: 23547 yang didaftarkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Orang Islam, Mukim Chabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu, dengan Daftar Bilangan: 126/91, hendaklah diserahkan ke dalam Mahkamah ini untuk proses pembatalan;

4)  SAYA PERINTAH Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Orang Islam Negeri Terengganu, DAN Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Orang Islam, Daerah Kuala Terengganu, hendaklah membuat pembatalan ke atas akadnikah perkahwinan  Plaintif, Ruhaida Binti Othman, KP: 6*****-11-5*** dengan Defendan, Che Nora’zam Bin Noordin, KP: 6*****-03-5***, DAN Surat Perakuan Nikah No: 23547 yang didaftarkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk Orang Islam, Mukim Chabang Tiga, Kuala Terengganu, Terengganu, dengan Daftar Bilangan: 126/91, menurut di bawah peruntukan seksyen 51 Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam, Terengganu, 1985;

5) SAYA SABIT  alamat penyampaian pihak-pihak adalah seperti berikut:-
(i)          Ruhaida Binti Othman,
KP: 6*****-11-5****,
No 91A Kampung Tok Ku,
Chabang Tiga, 21000 Kuala Terengganu,
                 Terengganu; dan

(ii)     Che Nora’zam Bin Noordin,
         KP: 6*****-03-5***,         
2734 Taman Desa MPKT,
Chendering, Kuala Terengganu,
                 Terengganu;

6) SAYA PERINTAH kos  dalam prosiding ini  hendaklah ditanggung oleh masing-masing pihak;

7)  SAYA PERINTAH bahawa Perintah Interim Secara Ex Parte yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah ini pada Selasa, 10 Syaaban 1432, bersamaan 12 Julai 2011, melalui Permohonan No: 11300-038-0010-2011; iaitu butiran (1) dan butiran (4) sahaja, adalah dimansukhkan. Butiran (1) dan butiran (4) itu berbunyi :-

1) SAYA perintah Ruhaida binti Othman, KP:6*****-11-5***, Pemohon, hendaklah tinggal berasingan (iftiraq) buat sementara waktu dengan Che Nora’zam bin Noordin, KP:6*****-03-***,Responden, sehingga ada perintah lain dibuat oleh Mahkamah ini; dan

4) SAYA perintah Che Nora’zam bin Noordin atau mana-mana warisnya atau agen-agennya menahan diri dari mengganggui atau mencerobohi dengan apa-apa cara sekali pun ke atas Pemohon dan anak-anak berkenaan; DAN

8) SAYA MEMBERI KEBENARAN KEPADA pihak-pihak untuk membuat lain-lain tuntutan berbangkit dari sabitan fasakh ini melalui lain-lain prosiding.


DI BERI DI BAWAH TANDATANGAN saya dan Meterai Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu pada hari ini, Ahad, 9 Ramadhan 1433,  bersamaan  29 Julai 2012.

               


                            METERAI                                              HAKIM                                                                                           




Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment