Thursday, 20 September 2012

Hak Institusi Zakat: Isu Yang Gagal Difahami?

by Hamizul Abdul Hamid


ULASAN Dalam dunia pengurusan zakat, ada dua urusan utama atau disebutkan sebagai core business of zakat, iaitu kutipan dan agihan zakat. 

Secara asasinya sesebuah institusi zakat akan menjalankan amanah mengutip zakat dan selepas itu, bertanggungjawab pula mengagihkan kembali zakat kepada semua asnaf yang berhak. 

Dalilnya, semasa Nabi Muhammad SAW mengutuskan Saidina Muadz bin Jabal RA ke Yaman sebagai gabenor dan amil, maka nabi menyatakan: 

"Ambillah daripada penduduk Yaman yang kaya sebahagian harta mereka (sebagai zakat) dan agihkan kembali harta itu kepada golongan fakir (dan miskin) di sana." (Hadis riwayat Bukhari)
Atas dasar itulah, sesebuah organisasi zakat tidak akan berjaya jika mengabaikan salah satu daripada elemen ini. Kecekapan kutipan mestilah diiringi dengan kecekapan agihan.

Timbulnya pelbagai tohmahan liar dan sangkaan negatif kepada sesebuah institusi zakat, apabila kecekapan hanya berlaku dalam aspek kutipan; tidak pula dalam bab agihan.

Hak institusi zakat

Harus diingat, sesebuah institusi zakat itu berhak menjalankan kerja-kerja kutipan dan agihan ini atas arahan pemerintah Islam (ulil amri), sesuai dengan tindakan nabi melantik para sahabat sebagai amil, misalnya Muadz bin Jabal RA dan Abu Hurairah RA sebagaimana yang dipaparkan dalam hadis di atas.

Bahkan dalam mentafsirkan ayat 103 daripada surah at-Taubah, kalimah "ambillah" yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, merupakan suatu penegasan bahawa pihak amil berhak mengambil waima secara paksa harta orang-orang kaya jika mereka enggan berzakat.

Dan dalam konteks ini, pastilah yang berhak ‘merampas' itu para penguasa zakat yang diberi kuasa. Siapakah yang layak diberikan kuasa, andai bukannya para amil lantikan pemerintah.
Disebutkan oleh Sa'id Ibn Mansyur daripada Suhail RA bahawa: "Telah berkumpul padaku nafkah, yang padanya ada zakat, yakni telah sampai nisab zakat, maka aku bertanya kepada Sa'ad bin Abu Waqas, Ibn Umar, Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah, kataku: Apakah aku (patut) membahagikannya (sendiri) atau aku berikan kepada pemerintah? Semua mereka menyuruh aku memberikan kepada pemerintah. Seorang pun tidak ada di antara mereka yang menyuruh aku membahagikannya sendiri." 

(Disebutkan dalam kitab al-Majmu' dan dinukil kembali dalamPedoman Zakat oleh Tengku Muhammad Hasbi Ash Shidieqy, hlm 51).

Jelas di sini, jumhur fuqaha bahkan pendapat dalam kalangan sahabat sendiri, bahawa lebih utama menyalurkan zakat kekayaan kepada pihak pemerintah, yakni melalui amil yang dilantik oleh pemerintah.

Imam Abu Yusuf (anak murid Imam Malik) pernah mengungkapkan kepada Khalifah Harun al-Rasyid: 

"Wahai Amirul Mukminin, perintahkanlah para amil zakat untuk mengutip harta zakat dan bahagikannya kepada mereka yang berhak. 

"Lakukanlah semua urusan itu sesuai dengan sunah Rasulullah SAW dan para khalifah selepas baginda." 

(Lihat al-Kharaj sebagaimana diungkapkan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi, Institusi Zakat, hlm 52)

Kemahiran mengurus zakat

Oleh itu, hanya institusi zakat yang lebih layak menjalankan kerja-kerja mengutip dan mengagih zakat. 

Ini kerana, pihak pengurusan zakat yang disebut sebagai amil, telah dilatih untuk mentaksir zakat secara tepat, sesuai dengan pelbagai inovasi pengiraan dan berdasarkan perakaunan baharu zakat yang dirumus oleh fuqaha kontemporari dan para pakar kewangan Islam terkini.

Ambil sahaja contoh dalam menaksir harta zakat perniagaan; ramai orang (termasuklah kadang kala kalangan agamawan yang kurang arif) yang mengambil jalan mudah mengira zakat atas keuntungan semata-mata; walhal zakat perniagaan itu dikenakan ke atas kecairan modal dan juga keuntungan semasa.

Begitu juga dalam pentaksiran zakat pendapatan, implementasi had al-kifayah pembayar dan perkembangan fatwa mengenainya hanya lebih dimaklumi oleh amil yang terlatih, yakni amil zakat. 

Sebab itulah, Umar al-Khattab RA dalam memperkasakan pentadbiran negara, melantik pegawai khas bergaji, yang bertugas mentaksir zakat umat Islam demi kebaikan semua pihak tanpa ada sebarang kepentingan lain.

Bahkan, dalam aspek pengagihan zakat ia memerlukan mereka yang lebih memahami situasi masyarakat. Tidak selalunya tepat, andai kita hanya mentafsir berdasarkan lahiriah manusia semata-mata. 

Maka, demi memastikan zakat hanya disalurkan kepada mereka yang layak, maka pelbagai inovasi dalam bancian dan siasatan diwujudkan. Para amil zakat dilatih agar menghadami keperluan ini.
Formula had al-kifayah asnaf misalnya, dilahirkan demi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak disantuni seoptimanya dengan wang zakat. Ini penting, atas beberapa faktor berikut:
  1. Keterbatasan sumber zakat
  2. Menangani kes penipuan zakat
  3. Mengoptimakan natijah agihan zakat
Dalam isu keterbatasan sumber, hal ini hendaklah dimaklumi bahawa kutipan zakat sebenarnya masih belum mampu memenuhi keperluan seluruh asnaf zakat. 

Ambil sahaja dua asnaf zakat yang muqaddam (paling utama), iaitu golongan fakir dan miskin; keperluan menyediakan keperluan mereka masih belum sampai ke tahap maksimum.
Misalnya, tidak semua asnaf miskin mampu disalurkan bantuan kewangan dan makanan bulanan dan tidak semua juga mampu dibiayai modal perniagaan. 

Ini kerana, sumber yang ada masih terbatas dan ia mewajibkan pihak institusi zakat untuk lebih cermat dan cerdas menyalurkan dana berkenaan.

Manakala dalam isu menangani kes-kes penipuan zakat, ia lebih rumit memandangkan orang-orang yang mahu mengambil kesempatan hari ini, semakin licik dalam tindakan. 

Kelicikan mereka boleh menyebabkan wang zakat jatuh ke tangan orang yang salah, yakni bukan asnaf; dan pada masa yang sama akan menyebabkan orang-orang yang sebenarnya lebih berhak dan layak tidak menerima haknya.

Sementara itu, dalam usaha mengoptimakan kesan atau natijah di sebalik agihan zakat, maka pihak institusi zakat sebenarnya memang perlu mempunyai data dan maklumat yang lengkap dan kemaskini mengenai seseorang asnaf. 

Misalnya, latar belakang keluarga, pendidikan yang dilalui, pengalaman bekerja, sejarah kesihatannya dan pelbagai perkara lain.

Adalah tidak munasabah memberikan modal perniagaan makanan kepada seorang yang berpenyakit TB misalnya, kerana ia lebih memudaratkan.

Peranan pembayar zakat

Namun begitu, pihak institusi zakat juga wajar menyedari bahawa mereka hanyalah sebagai pemegang amanah, yakni pihak yang diberikan autoriti sementara bagi mengendalikan urusan zakat. 

Para pembayar menyerahkan harta-harta zakat mereka dengan satu niat, yakni melepaskan kewajipan zakat. Kepada siapakah ia dilepaskan? Sudah pastilah ke bahu para amil zakat.
Maka, dalam konteks ini para pembayar zakat sebenarnya seakan-akan enggan lagi mengambil tahu perihal harta zakat mereka. 

Namun, dalam konteks yang lain, hakikatnya ia masih perlu, kerana matlamat sebenar di sebalik pensyariatan zakat oleh Allah SWT untuk memastikan harta kekayaan mereka itu benar-benar dapat memperkasakan ummah keseluruhannya.

Umar al-Khattab RA misalnya menegaskan, harta zakat hendaklah diagihkan secara maksimum sesuai dengan keperluan umat Islam dan Umar tidak membenarkan wujudnya lebihan harta zakat untuk dibawa ke tahun hadapannya.

Syeikh Muhammad bin Salih al-Utsaimin pula dalam fatwanya menyatakan: "...agihan zakat kepada lapan asnaf ini boleh memenuhi keperluan khusus bagi mereka yang menerimanya... melalui zakat juga, terjalin kedamaian masyarakat dengan bersatunya hati mereka (antara orang-orang kaya dan miskin)." (lihat Ensiklopedia Zakat, hlm 48).

Realitinya, zakat antara mekanisme perkongsian harta dan sekali gus mengekang pengumpulan harta hanya kepada orang-orang dan golongan yang tertentu sahaja. 

Ertinya, zakat mencegah monopoli kekayaan dan dalam hal ini Allah SWT menegaskan:

"Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu." (al-Hasyr: 7)
Maka, pembayar zakat masih wajar mengambil tahu apakah agihan zakat yang dilakukan itu benar-benar sampai kepada lapan asnaf ataupun tidak. 

Seandainya berlaku ketempangan dalam pengurusan zakat, khususnya dalam urusan agihan, maka para pembayar wajar memberikan teguran dan mencadangkan penambahbaikan. 

Ia hakikatnya corak check and balance demi menjamin kesinambungan keberkesanan sistem zakat.
Kendatipun fuqaha majoritinya cenderung agar semua pembayar menyalurkan zakat mereka kepada institusi zakat yang ditubuhkan pemerintah; namun ia masih tertakluk kepada keamanahan dalam pengurusan zakat berkenaan. 

Seandainya ternyata dan terbukti, penyaluran zakat tidak sampai kepada matlamat, maka sebahagian fuqaha menegaskan zakat itu boleh disalurkan sendiri oleh pembayar kepada mustahiknya (penerima).

Perbincangan ini dibahaskan antaranya oleh Syeikh Rashid Ridha, yang dengan tegas menyatakan: 

"Kepada pemerintah-pemerintah semacam ini (yang menyeleweng daripada amanah zakat - penulis), tidak boleh kita (umat Islam) membayarkan zakat (kepada mereka) walaupun ketua pemerintahan itu bergelar khalifah," (rujuk TM Hasbie Ash Shidieqy, Pedoman Zakat, hlm 53).

Budaya kerjasama

Oleh itu, biar pun penyerahan harta zakat telah berlaku; namun keprihatinan pembayar zakat masih diraikan dalam kerja-kerja agihan. 

Misalnya, mereka boleh mencadangkan orang yang difikirkan layak dan sesuai untuk menerima bantuan zakat, manakala pihak zakat akan menyiasat demi membolehkan mereka diberikan zakat jika menepati kriteria kelayakan.

Budaya saling membantu seperti ini, walaupun bukan lagi menjadi suatu tuntutan wajib kepada pembayar zakat; namun masih menepati ajaran Islam. 

Allah SWT menegaskan berulang kali, sikap saling membahu, ambil tahu dan memperbetulkan kesilapan, akan menjadikan hasil sesuatu pekerjaan itu lebih baik dan cemerlang.

Sikap ini jujurnya, jauh lebih mulia daripada tindakan segelintir pihak yang sering menuding jari dan mencebik bibir serta memicingkan mata atas sebarang kesilapan yang dilakukan oleh pihak pengurusan zakat. 

Mereka tidak berminat untuk memperbaiki kelemahan; sebaliknya lebih bergembira mendedahkan keaiban.

Akibatnya, umat Islam menjadi rosak kerana hilangnya kepercayaan kepada sebuah institusi yang diamanahkan menguruskan hal ehwal zakat. 

Sedangkan kesilapan yang terjadi bukanlah menjadi kesalahan total yang membawa hukuman ‘mati mandatori'; masih ada jalan bagi memperbaiki kelemahan berkenaan.

Apatah lagi jika terbukti bahawa institusi zakat berkenaan selama ini sudah berusaha sehabis daya menunaikan amanah zakat dengan penuh jujur dan akauntabiliti. 

Tidak sewenang-wenangnya menghamburkan wang zakat tanpa kelihatan sebarang manfaat. Institusi zakat seperti ini, sekali melakukan kesalahan; sewajarnya terus diperbetulkan dan tidak pula ia diperbesar-besarkan.

Nabi Muhammad SAW menukilkan, para amil yang ikhlas dan penuh keazaman menjalankan amanah seumpama: 

"Seorang amil yang bekerja mengutip zakat di atas kebenaran, samalah dengan seorang pejuang yang sedang beperang di jalan Allah sehinggalah dia kembali ke rumahnya." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Mutakhir ini, apabila ada pihak yang sering menyinggung institusi zakat, khususnya dalam aspek agihannya, maka ia berpotensi menjadi polemik yang berpanjangan. 

Namun, polemik ini bisa dicantas jika umat Islam memahami bahawa tugas sesebuah institusi zakat sebagai penyambung amanah zakat, dapat dibantu oleh seluruh umat Islam yang lain.

Beramallah dengan saranan-saranan Allah SWT, bantulah institusi zakat andai mereka tersalah dan yang paling penting, sentiasa berusaha menjadikan zakat sebagai senjata ummah yang terampuh demi kebaikan bersama.

HAMIZUL ABDUL HAMID eksekutif komunikasi korporat Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Source: www.malaysiakini.com
Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment