Tuesday 18 September 2012

Analisis kes Jumaaton & Satu lagi lwn Raja Hizaruddin [1998] 6 MLJ 556


1.0       Fakta Kes


Setelah kematian Allahyarham Raja Nong Chik bin Raja Ishak pada 10 Februari 1994, 12 orang warisnya (dua balu dan 10 orang anak) telah memohon, atas persetujuan semua, kuasa untuk pentadbiran estet si mati di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur. Penolong Kanan Pendaftar telah membuat perintah melantik Amanah Raya Bhd. sebagai pentadbir estet tersebut secara terhad selama empat bulan.


Kemudian, dua orang daripada waris tersebut telah memohon satu pengisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur terhadap penentang (seorang anak si mati) bahawa 11,095,666 unit saham (dan pendapatan yang terhasil daripadanya) dalam Arensi Holdings (M) Bhd. yang dipegang oleh penentang atas namanya sendiri sebagai wakil ayahnya (si mati) mesti dimasukkan ke dalam aset estet si mati untuk dibahagikan di antara 12 orang pewaris si mati mengikut hukum faraid.


Penentang menafikan permohonan tersebut dan memohon ditolak oleh mahkamah. Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan dalam perbicaraan isu awalan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidangkuasa mengikut Seksyen 46(2)(b) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) untuk membicarakan kes tersebut.


Di peringkat rayuan, Mahkamah Rayuan Syariah telah menimbangkan dua isu: Isu Pertama adalah sama ada Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes tersebut. Isu kedua adalah sama ada perayu-perayu mempunyai “locus standi” untuk membawa kes tersebut ke mahkamah sekiranya mereka tidak mempunyai surat pentadbiran harta pusaka si mati yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya di bawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Keputusan mahkamah atas kedua-dua isu tersebut tidak memihak kepada perayu.



2.0       Prinsip Am Probet dan Pentadbiran



Seseorang yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat dikira mati berwasiat, manakala seseorang yang tidak meninggalkan wasiat dikira mati tidak berwasiat. Apabila seseorang itu meninggalkan dunia, adalah penting warisnya memastikan sama ada si mati meninggalkan wasiat atau tidak. Jika si mati meninggalkan wasiat, seluruh asetnya akan diletak hak di bawah wasinya.


Pada kebiasaannya, pewasiat akan melantik seorang wasi atau seorang pemegang amanah untuk mengurus dan membahagikan asetnya, atau untuk menguruskan segala urusan selepas kematian. Undang-undang Islam menetapkan had dalam pembahagian harta si mati menerusi wasiat, iaitu sebanyak ⅓ sahaja yang boleh dibahagikan mengikut kehendak si mati. Bahagian selebihnya sebanyak ⅔ hendaklah dibahagikan mengikut undang-undang faraid. (Wan Abdul Halim.2006:21)


Apabila seseorang itu mati tidak berwasiat, seseorang, terutamanya daripada kalangan ahli keluarganya, akan memohon untuk mendapatkan surat kuasa mentadbir, dan pemohon tersebut mestilah orang yang layak mengikut peraturan prioriti. (Seksyen 30, Akta Probet dan Pentadbiran 1959) Oleh sebab itu, dalam kes kematian tidak berwasiat, isu probet tidak akan timbul. Dalam kes tersebut, si mati adalah mati tidak berwasiat.



3.0       Isu Utama Dalam Kes Jumaaton – Sama Ada Mahkamah Syariah Mempunyai Kuasa Untuk Memutuskan Isu Tersebut



Punca utama pertikaian dalam kes ini ialah terhadap pemilikan lebih daripada 11 juta saham dalam Arensi Holdings. Isunya ialah, bolehkah penentang yang merupakan pemilik berdaftar saham tersebut dikira sebagai pemilik mutlak, atau beliau hanya bertindak sebagai pemegang amanah kepada ayahnya, iaitu si mati. Sekiranya beliau merupakan pemilik mutlak, isu pembahagian saham tersebut tidak akan timbul sama sekali. Walau bagaimanapun, jika saham tersebut sebenarnya milik si mati dan penentang bertindak hanya sebagai pemegang amanah (sebagaimana yang didakwa oleh perayu), maka ia hendaklah dibahagikan mengikut undang-undang faraid.


Dengan kata lain, isu utama yang perlu diputuskan oleh mahkamah ialah sama ada saham syarikat tersebut boleh dianggap sebagai harta amanah atau sebagai pemberian inter vivos daripada si mati kepada penentang. Walau bagaimanapun, sebelum isu ini boleh dibincangkan, mahkamah haruslah menentukan bidangkuasanya terlebih dahulu. Dalam kes ini mahkamah memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan perkara ini.


Mahkamah tidak seharusnya memutuskan bahawa hanya mahkamah sivil yang patut diberi bidangkuasa untuk menyelesaikan isu tersebut, padahal setiap perkara yang disenaraikan dalam Seksyen 46(2)(b) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 melibatkan perkara probet dan pentadbiran. Walaupun probet dan pentadbiran tidak menjadi punca pertikaian, keterlibatannya secara tidak langsung dalam perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi halangan kepada bidangkuasa Mahkamah Syariah. Pemberian bidangkuasa kepada Mahkamah Sivil atas sebab sebahagian daripada isu kes melibatkan probet dan pentadbiran akan meninggalkan kesan yang serius terhadap bidangkuasa dan kuasa Mahkamah Syariah dalam hal pentadbiran dan pembahagian estet orang Islam.


Tambahan pula, probet dan pentadbiran estet adalah saling berkait rapat dan merupakan aspek yang perlu dalam proses penentuan aset, penentuan orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka, dan pembahagian harta di antara para waris. Oleh itu, mahkamah tidak seharusnya beranggapan bahawa perkara tersebut tidak termasuk dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah sedangkan probet dan pentadbiran adalah aspek yang sedia wujud dalam undang-undang pewarisan dan tidak semestinya menjadi isu utama dalam setiap pertikaian. (Tajul Aris.2007:43)



4.0       Pentafsiran Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan



Perbincangan tentang bidangkuasa Mahkamah Syariah mestilah merujuk kepada Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan:


Mahkamah-mahkamah yang disebut dalam Fasal (1)[1] tidaklah boleh mempunyai bidangkuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidangkuasa mahkamah syariah.



Peguambela Perayu telah banyak bergantung kepada kes Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur [1998] 1 MLJ 681; apabila mentafsirkan Perkara 121 (1A). Dalam kes ini, Abdul Kadir Sulaiman H telah berkata:


Pada pendapat saya setelah merujuk kepada perkara 74 dan perenggan 1 Senarai Negeri dalam Perlembagaan, bidangkuasa Mahkamah Syariah adalah lebih luas dari apa yang diberi dengan nyata kepadanya oleh badan perundangan negeri yang berkenaan. Mahkamah Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa ke atas orang-orang yang menganut agama Islam mengenai mana-mana perkara yang termasuk di dalam perenggan 1 itu. Ia tidak dihadkan kepada apa yang telah diperuntukan dengan nyata. Perkara-perkara itu termasuk undang-undang Islam dan undang-undang keluarga orang yang menganuti agama Islam. Ia termasuk kuasa berhubung dengan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang menganuti agama Islam terhadap ajaran agama itu. Fakta bahawa badan perundangan telah diberi kuasa membuat undang-undang akan tetapi dia belum membuat demikian, tidak akan menjejas dari kenyataan bahawa perkara-perkara itu termasuk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah, seperti yang dinyatakan dalam perenggan 1 Senarai Negeri dan bidang kuasa yang mana telah ditarik keluar dari mahkamah-mahkamah yang disebut di Perkara 121 (1) Perlembagaan. Jika badan perundangan negeri belum lagi membuat undang-undang khusus dalam perkara itu, ia adalah termasuk dalam kuasanya membuat demikian pada masa hadapan di bawah peruntukan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana itu, apabila perkara itu dipertikaikan bidangkuasa itu adalah kepunyaan Mahkamah Syariah dan bukan kepunyaan mahkamah yang disebut dalam Perkara 121 (1) walaupun tidak terdapat peruntukan khas dalam enakmen-enakmen negeri mengenai perkara itu pada masa isu itu timbul. Itu adalah maksud Perkara 121 (1A) apabila ia menyebut dengan jelas bahawa Mahkamah-mahkamah Sivil yang disebut di Perkara 121 (1), termasuk Mahkamah-mahkamah Tinggi tidak akan ada bidangkuasa dalam perkara itu. Fakta bahawa Mahkamah-mahkamah Syariah belum dengan nyata diberi kuasa memutuskan isu yang timbul itu oleh badan perundangan negeri, tidak bermakna bidangkuasa itu hendaklah dijalankan oleh mahkamah-mahkamah yang disebutkan di Perkara 121 (1). Isunya bukan sama ada seseorang yang pertikaikan perkara itu boleh dapat remedi-remedinya akan tetapi isunya ialah bidangkuasa mahkamah-mahkamah untuk membicarakan perkara yang berkenaan – bidangkuasa awalan untuk mendengar dan menentukan perkara itu.



Ini bermakna setiap perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai 2, Perlembagaan Persekutuan adalah termasuk dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah tanpa mengambil kira ketiadaan peruntukan nyata dalam enakmen negeri. Dengan kata lain, kesan kenyataan di atas adalah Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa yang lebih luas yang tidak terhad kepada peruntukan yang dinyatakan dalam enakmen-enakmen negeri. Bidangkuasa tersebut boleh dianggap bidangkuasa semulajadi yang dimiliki oleh Mahkamah Syariah seperti yang dinyatakan dalam Butiran 1, Senarai 2. Selagi mana sesuatu perkara itu dinyatakan dalam Senarai 2, Mahkamah Syariah akan mempunyai bidangkuasa dalam hal tersebut, meskipun Badan Perundangan Negeri belum membuat undang-undang tentang perkara itu.


Terdapat dua perkara yang telah diutarakan oleh Mahkamah Rayuan Syariah berkenaan perkara ini. Pertama, mahkamah dalam bahagian awal keputusannya telah memetik keputusan yang dibuat oleh Harun Hashim HMA (pada masa itu) dalam kes Mohammed Habibullah bin Mahmood lwn Faridah binti Dato’ Talib [1992] 2 MLJ 793, apabila beliau memutuskan:


Adalah jelas bahawa tujuan Parlimen dengan adanya Perkara 121 (1A) ialah untuk menyingkirkan bidangkuasa Mahkamah-mahkamah Tinggi di dalam mana-mana perkara yang termasuk di dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah (Dalip Kaur lwn Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah, Bukit Mertajam & Anor [1992] 1 MLJ 7). Oleh kerana itu, saya berpendapat bahawa apabila ada cabaran kepada bidangkuasa pendekatan yang betul ialah pertama sekali melihat sama ada Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa dan bukan sama ada badan perundangan negeri mempunyai kuasa memperuntukkan undang-undang yang memberi bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah. Kesahan undang-undang hanya boleh dipersoalkan di dalam prosiding berasingan di bawah Perkara 4(3) Perlembagaan Persekutuan.



Keputusan Harun Hashim HMA ini jelas menunjukkan bahawa harus ada peruntukan nyata dalam enakmen sebelum Mahkamah Syariah boleh dianggap mempunyai bidangkuasa dalam sesuatu perkara. Keputusan yang diberikan oleh Hakim Harun Hashim berkenaan dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah boleh dikatakan terhad berbanding dengan keputusan dalam kes Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Hal ini kerana, sekiranya Mahkamah Syariah ingin mempunyai bidangkuasa dalam sesuatu perkara, adalah tidak memadai bagi Badan Perundangan Negeri sekadar mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang tertentu sahaja tetapi tidak menggubalnya. Badan Perundangan Negeri perlu memperuntukkan bidangkuasa tersebut kepada Mahkamah Syariah melalui enakmen negeri dan hanyalah setelah itu Mahkamah Syariah boleh dikatakan mempunyai bidangkuasa dalam perkara berkenaan. (Ahmad Ibrahim.2005:54)


Oleh sebab kedua-dua keputusan dalam kes tersebut tidak serasi antara satu dengan yang lain, maka ia bolehlah dianggap bahawa niat Mahkamah Rayuan Syariah memetik kes Mohammed Habibullah adalah untuk menyatakan kecenderungannya terhadap kaedah yang diambil oleh Harun Hashim HMA, berbanding kaedah yang digunakan oleh Abdul Kadir Sulaiman H dalam kes Md Hakim Lee. Pendapat ini disokong kes Abdul Shaik bin Md Ibrahim lwn Huseein bin Ibrahim [1999] 5 MLJ 618 apabila Abdul Hamid H telah menyatakan pandangannya bahawa kaedah yang digunakan oleh Abdul Kadir Sulaiman H dalam kes Md Hakim Lee adalah berlawanan dengan apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Agong dalam kes Mohammed Habibullah.



Dalam kes terbaharu yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan iaitu Soon Singh a/l Bikar Singh lwn Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia [1999] 1 MLJ 489, mahkamah telah bersetuju dengan kaedah yang diberikan oleh Harun Hashim HMA dalam kes Mohammed Habibullah. Mohamed Dzaiddin HMA (pada masa itu) semasa memberikan keputusan, inter alia, telah mengatakan:


[W]hilst we agree with approach adopted by Abdul Hamid J following Habibullah, that when there is challenge to jurisdiction the correct approach is to look at the State Enactment to see whether or not the syariah courts have been expressly conferred jurisdiction on a given matter…



Oleh yang demikian, kaedahnya sekarang dalam menentukan persoalan bidangkuasa adalah dengan melihat kepada enakmen negeri bagi memastikan sama ada Mahkamah Syariah diperuntukkan bidangkuasa tersebut atau tidak.


Perkara yang kedua, mahkamah telah memutuskan bahawa meskipun pandangan yang diutarakan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam, Wilayah Persekutuan diaplikasikan, Mahkamah Tinggi Syariah masih tidak mempunyai bidangkuasa dalam perkara “probet dan pentadbiran”. Hal ini kerana perkara tersebut adalah secara eksklusif terletak di bawah kuasa perundangan Persekutuan sebagaimana dinyatakan dengan jelas dalam Butiran 4(e)(i) Senarai Persekutuan. Demikian juga, ia tidak termasuk dalam kuasa perundangan eksklusif bagi negeri-negeri kerana ia tidak terdapat dalam perihal undang-undang Islam yang dikecualikan daripada kausa perundangan Persekutuan yang dinyatakan dalam para (ii) klausa (e) Butiran 4 dalam Senarai Persekutuan, dan dalam Butiran 1, Senarai 2 yang hanya menyebut tentang “pewarisan, mati berwasiat dan mati tak berwasiat”. Oleh sebab itu, Mahkamah Tinggi Syariah tidak boleh mempunyai bidangkuasa dalam hal probet dan pentadbiran estet si mati yang beragama Islam. Mahkamah juga berpendapat selagi mana perkara berkaitan undang-undang Islam adalah berkenaan dengan “pewarisan, mati berwasiat dan mati tak berwasiat”, bidangkuasa mal Mahkamah Tinggi Syariah adalah seperti berikut sebagaimana dalam Seksyen 46(2)(b) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993:



Dalam bidangkuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan antara lain:

(i)                 

(ii)               

(iii)              

(iv)              Pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;

(v)                Wasiat atau alang semasa marad al-maut seseorang si mati Islam;

(vi)              Alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seseorang Islam;

(vii)            

(viii)           Pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tidak berwasiat;

(ix)              Penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya orang-orang itu masing-masing berhak.



Seterusnya, mahkamah berpendapat meskipun Seksyen 46(2)(b)(v, vii, viii dan ix) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan), 1993 tidak menyebut tentang pewarisan dan pembahagian estet, perkara tersebut biasanya melibatkan probet dan pentadbiran. Oleh sebab itu, sebarang isu yang timbul haruslah diselesaikan di Mahkamah Sivil yang telah diberikan bidangkuasa dalam hal probet dan pentadbiran.


Tentang alasan pertama iaitu sekiranya kaedah yang digunakan oleh Harun Hashim HMA dalam kes Mohammed Habibullah itu diterima pakai, adalah dihujahkan bahawa Mahkamah Syariah masih boleh dikatakan mempunyai bidangkuasa kerana Seksyen 46(2)(b)(v, vii, viii dan ix) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 telah dengan jelasnya memperuntukkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah dalam hal-hal berkaitan dengan wasiat atau pemberian semasa marad-al-maut, pembahagian dan pewarisan harta si mati sama ada berwasiat atau tidak dan penentuan bahagian-bahagian pewarisan.


Adalah dihujahkan di sini walaupun tiada peruntukan nyata tentang isu pentadbiran dalam enakmen negeri, Mahkamah Syariah masih mempunyai bidangkuasa untuk menguruskan probet dan pentadbiran estet si mati yang beragama Islam kerana bidangkuasa berkenaan undang-undang pewarisan Islam tersebut boleh diperoleh secara tersirat daripada peruntukan yang ada. Kaedah umum pentafsiran undang-undang memperuntukan bahawa sekiranya makna sesuatu statut tidak jelas, pentafsiran secara tersirat (construction by implication) adalah dibolehkan dalam sesetengah kes. Dalam kes Soon Singh, meskipun tiada peruntukan nyata dalam enakmen negeri tentang bidangkuasa mahkamah dalam isu keluar daripada agama Islam, mahkamah telah menggunakan prinsip pentafsiran secara tersirat ini dengan mengambil kira peruntukan pertukaran agama daripada agama lain kepada Islam.


Tentang alasan kedua, bolehlah dihujahkan di sini bahawa perkara berkaitan probet dan pentadbiran dengan secara tersirat telah dimasukkan dalam Butiran 1, Senarai 2 seperti yang telah dihuraikan tadi. Tambahan pula, seandainya pandangan mahkamah ini diterima, satu soalan yang boleh dibangkitkan adalah apakah yang akan berbaki daripada kuasa perundangan negeri dan bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah dalam soal “pewarisan, mati berwasiat dan mati tak berwasiat” bagi si mati Islam? Mahkamah telah gagal menimbangkan hal ini.



5.0       Faktor Penentu Keputusan Mahkamah



Berdasarkan penelitian ke atas keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, kita boleh menyimpulkan bahawa mahkamah telah memberikan penekanan yang berat kepada frasa “memperuntukkan bidangkuasa” (conferring jurisdiction). Hakim-hakim Mahkamah Rayuan Syariah berpendapat disebabkan perkara berkaitan probet dan pentadbiran adalah termasuk dalam kuasa perundangan Persekutuan yang eksklusif seperti yang diperuntukkan dalam Butiran 4(e)(i) Senarai Persekutuan, maka Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dalam perkara tersebut. Oleh yang demikian, Badan Perundangan Negeri tidak boleh memperuntukkan bidangkuasa kepada Mahkamah Syariah untuk memutuskan hal-hal probet dan pentadbiran.


Tambahan pula, ia telah menjadi amalan Mahkamah Sivil di Malaysia untuk memutuskan perkara yang bersangkut paut dengan undang-undang pewarisan Islam kerana berkait rapat dengan probet dan pentadbiran. Adalah jelas bahawa apabila seseorang Islam yang mempunyai harta meninggal dunia, geran probet dan pentadbiran haruslah dipohon daripada Mahkamah Sivil. Sekiranya timbul pertikaian dalam mana-mana perkara yang dinyatakan dalam Seksyen 46(2)(b) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993, ia mesti diselesaikan oleh Mahkamah Sivil yang telah diberi kuasa dalam hal yang melibatkan probet dan pentadbiran. Kesannya, Mahkamah Syariah hanya berkuasa untuk mengeluarkan sijil pewarisan mengikut Seksyen 50 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993. Sijil ini akan dikeluarkan apabila terdapat permohonan daripada Mahkamah Sivil atau pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menentukan individu yang berhak menerima bahagian dalam estet, atau bahagian yang berhak bagi tiap-tiap individu terlibat.


Kesimpulan yang boleh dibuat daripada keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah ini ialah meskipun bidangkuasa yang diserahkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah dalam hal pewarisan, mati berwasiat dan mati tak berwasiat, telah dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 46(2)(b) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993, bidangkuasa ini telah dihadkan oleh frasa “probet dan pentadbiran” yang terdapat dalam Butiran 4(e)(i) Senarai Persekutuan, Jadual ke-9, Perlembagaan Persekutuan. Anehnya, kedudukan ini kekal meskipun perubahan statutori telah dibuat untuk memperbaiki atau meluaskan bidangkuasa Mahkamah Syariah dengan menyempitkan atau mengurangkan bidangkuasa Mahkamah Sivil melalui penambahan klausa (1A) dalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1988.



Dengan hormat, pentafsiran mahkamah terhadap butiran-butiran yang relevan dalam teks Senarai Perundangan Perlembagaan Persekutuan kelihatan tidak lengkap. Dalam pembacaan, pentafsiran dan pemahaman makna dan tujuan perlembagaan, adalah sesuai untuk kita memberikan pertimbangan yang sewajarnya terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Hakim Raja Azlan Shah dalam kes Datuk Menteri Othman Baginda lwn Datuk Omi Syed Alwi [1981] 1MLJ 29:

In interpreting a constitution, two points must be borne in mind. First, judicial precedent plays a lesser part is normal in matters of ordinary statutory interpretation. Secondly, a constitution, being a living piece of legislation, its provisions must be constructed broadly and not in a pedantic way - with less rigidity and more generosity than other acts. A constitution is sui generis, calling for its own principles of interpretation, suitable to its character, but without necessarily accepting the ordinary rules and presumption of statutory interpretation.



Jika prinsip ini diaplikasikan, meskipun Butiran 4(e)(i) Senarai Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa eksklusif untuk menggubal undang-undang berkaitan “pewarisan, mati berwasiat atau mati tak berwasiat, probet dan pentadbiran”, kuasa ini tidak termasuk dalam “undang-undang persendirian Islam yang berkaitan dengan … pewarisan, mati berwasiat dan mati tak berwasiat” seperti yang dinyatakan oleh Butiran 4(e)(ii) Senarai yang sama. Probet dan pentadbiran dalam undang-undang syariah seharusnya sudah sedia wujud dan tersirat dalam undang-undang persendiriannya. Hal ini kerana undang-undang pewarisan Islam dengan “probet dan pentadbiran” apabila bidangkuasa mahkamah dibincangkan. Kesan pentafsiran yang sedemikian akan menyebabkan Butiran 1, Senarai 2 akan meliputi keseluruhan undang-undang pewarisan Islam, mati berwasiat dan mati tak berwasiat, yang juga akan meliputi probet dan pentadbiran. Dengan ini Mahkamah Tinggi Syariah seharusnya mempunyai bidangkuasa dalam hal tersebut, bukannya Mahkamah Tinggi Sivil.



Latar belakang sejarah penggubalan Perlembangaan Malaysia dalam hal melibatkan pewarisan, mati berwasiat atau mati tak berwasiat, probet dan surat pentadbiran menguatkan pandangan di atas. Menurut Mohammed Imam:


Presently, Federal Parliament has exclusive power to make law in respect of “succession, testate and intestate; probate and letters of administration” [item 4(e)(i) of the Federal List of the Ninth Schedule to the Federal Constitution] but this does not include “Islamic personal law relating to … succession, testate and intestate” which falls within the exclusive powers of the state legislatures. It may be noted that no such expection was made in Federation of Malaya Constitution, 1948 (see item 42 of the Schedule to the Constitution) and States’ power to make laws in respect of the residuary matters (which included Muslim religion or the custom of the Malays) was subject to Federal Legislative Council’s power to make laws on matters specified in the Second Schedule. Consequently, federal power in respect of all persons was predominat. The position under the Federal Constitution is, therefore, markedly differently and this factor should reflect in the interpretation of the scope of the federal power in respect of “succession, testate and intestate; probate and letters of administration” and the federal laws made thereunder, viz. Probate and Administration Act, 1959 read with the Courts of Judicature Act, 1964 in so far as they give to the Civil High Court jurisdiction over this matter.



Berkenaan hujah mahkamah tentang Seksyen 50 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993, bolehlah dikatakan bahawa seksyen ini memberikan kuasa tambahan kepada mahkamah untuk mengesahkan bahagian yang diwarisi oleh waris mengikut Hukum Syarak. Seksyen ini sepatutnya digunakan dalam prosiding apabila ia berkaitan (ancilliary or incidental to) dengan bidangkuasa substantif mahkamah atau pihak berkuasa yang lain.



6.0       Kesimpulan



Keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Rayuan Syariah dalam kes Jumaaton & Satu lagi lwn Raja Hizaruddin telah mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat Islam. Sesetengahnya melahirkan rasa kecewa dengan keputusan tersebut. Mereka menganggap ia adalah peluang keemasan bagi Mahkamah Syariah untuk memperbetul kepincangan sistem perundangan Malaysia tentang bidangkuasa mahkamah dalam hal penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang pewarisan Islam yang merangkumi probet dan pentadbiran.


Mahkamah Rayuan Syariah dalam kes tersebut telah menyeru supaya usaha dibuat untuk menjadikan probet dan pentadbiran termasuk di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Sekiranya Mahkamah Rayuan Syariah memberikan tafsiran yang lebih longgar kepada perlembagaan, mahkamah akan mendapati bahawa bidangkuasa untuk memutuskan pertikaian tentang probet dan pentadbiran itu sebenarnya telah sedia wujud dalam perlembagaan dan enakmen negeri yang lain. Kecenderungan semasa yang ditunjukkan melalui keputusan kes-kes yang terbaharu[2] menyokong pendapat ini. Contohnya, mahkamah dalam kes Soon Singh telah menggunakan prinsip pentafsiran yang tersirat ini apabila memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes keluar daripada Islam.


Walau bagaimanapun, jalan penyelesaian yang paling baik untuk mengelakkan kerumitan lain pada masa hadapan adalah dengan membuat pindaan ke atas Akta Probet dan Pentadbiran 1959 dengan mengecualikan orang Islam daripada tertakluk di bawahnya seperti yang dibuat terhadap Akta Wasiat 1959 (Akta 346). Sebagai alternatif, satu undang-undang probet dan pentadbiran untuk orang Islam perlulah disediakan di peringkat negeri dengan memperuntukkan bidangkuasa yang jelas kepada Mahkamah Syariah.


Haruslah diingat bahawa meskipun bidangkuasa Mahkamah Syariah yang jelas telah pun diperuntukkan, tidak akan membawa apa-apa kesan sekiranya Mahkamah Syariah sendiri tidak memainkan peranan yang proaktif untuk memperkasa bidangkuasanya.


Rujukan



Ahmad Ibrahim. 2005. Sistem Undang-undang Di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.


Tajul Aris Ahmad Bustami, Mohd. Hisham Mohd. Kamal & Farid Sufian Shuaib (pnyt.). 2007. Kaedah Perundangan Bidang Kuasa dan Tatacara Mahkamah Syariah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.


Wan Abdul Halim Wan Harun. 2006. Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Kamus Undang-undang. 2005. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.


Jurnal:   Current Law Journal (CLJ)

Malayan Law Journal (MLJ)


Senarai Statut:  Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993

Akta Probet dan Pentadbiran 1959

Akta Wasiat 1959 (Akta 346)

Perlembagaan Persekutuan


[1] Mahkamah-mahkamah yang dimaksudkan adalah Mahkamah Tinggi Awam dan mahkamah awam bawahan.
[2] Kes Md Hakim Lee lwn Majlis Agama Islam, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur [1998] 1 MLJ 681 dan Lim Chan Seng lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang [1996] 2 CLJ 231.



Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment