Monday 4 March 2013

Perbandingan Fungsi Raja-raja Dahulu & Kini




Bab 1:Definisi Tajuk

1.1 Pengenalan

Di dalam bahagian ini, kami akan menerangkan mengenai maksud bagi tajuk yang akan dibincangkan dalam bab-bab seterusnya. Mengikut Kamus Dewan edisi ketiga, bagi tajuk ‘Bandingkan Fungsi Raja-raja Zaman Dahulu Hingga Kini”, didefinisikan mengikut pecahan kata-kata berikut;

1.2 Bandingkan : imbang tara[1].
1.3 Fungsi : tugas, jawatan[2].
1.4 Raja-Raja : orang yang mengetuai dan memerintah sesuatu Negara
                          (bangsa), kepala Negara (yang diwarisi)[3].
             1.5 Zaman dahulu: zaman yang bermakna jangka masa (sama ada panjang                                           atau pendek), tempoh atau jangka masa tertentu (yang ada sesuatu keistimewaan atau pertaliannya)[4]
            
Di dalam tajuk ini kami akan menumpukan bermula zaman kesultanan Melayu Melaka hingga kini.
             1.6 Hingga : garis yang terakhir[5]
             1.7 Kini: sekarang ini, waktu ini[6].
               Dan bagi waktu kini kami akan menumpukan zaman selepas merdeka hingga         
 kini.

1.7 Penutup
           
            Mengikut definisi di atas,apa yang boleh disimpulkan bahawa tajuk tersebut akan membincangkan perbandingan atau perbezaan tugas Raja-Raja pada zaman yang lampau iaitu di zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga merdeka dan pada zaman kini iaitu dari waktu merdeka hinggalah waktu ini.

Bab 2: Fungsi Raja-Raja Zaman Dahulu

2.1 Pengenalan

Bab kedua ini akan mengupas beberapa tajuk kecil mengenai perbezaan di antara Raja dan Sultan. Seterusnya menyoroti latar belakang: salasilah Raja-Raja Melayu Melaka hingga merdeka. Fungsi Raja-Raja akan dibincangkan di dalam tajuk seterusnya yang merupakan fokus utama. Peranan Raja-Raja ini akan dilihat mengikut beberapa sudut iaitu politik, agama dan sebagainya.Di dalam bab ini juga akan memperlihatkan Empat Fasa Pemerintahan Raja-Raja Melayu dan Institusi Bendahara Tunjang Raja-Raja Melayu.

2.2 Perbezaan Raja dan Sultan

Raja kebiasaannya adalah golongan bangsawan atau kaum kerabat Sultan yang diberikan jajahan yang besar sebagai kurnia. Mereka mempunyai kuasa mutlak dalam jajahan ini, tetapi tetap bernaung di bawah sultan yang mengurniakan jajahan tersebut. Salah satu hak sultan pada jajahan raja ialah atas sebahagian cukai yang dikutip pada jajahan tersebut. Ilustrasi di bawah dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai Liga Raja-raja Melayu zaman dahulu kala.

KHALIFAH ISLAMIYYAH
(Pemerintah-pemerintah Islam yang memegang kabilah, bangsa atau daulah masing-masing dipayungi oleh Khalifah Islamiyyah di bawah payung Islam)


Sultan-sultan Melayu
(e.g Melaka, Johor Lama. Perak, Kedah, Brunei dsb)


Raja-raja Melayu
(e.g Kelantan, Perlis, Raja-raja Temenggung Muar, Raja Bendahara Pahang)


Tengku Besar (Tengku Mahkota), Bendahara


Walaupun sebenarnya mertabat Sultan berbeza dengan mertabat Raja, bagaimanapun, menjadi kelaziman penulis sejarah untuk menyamakan Raja dengan Sultan atau Sultan dengan Raja. Contohnya Raja-raja Melaka adalah hakikatnya Sultan-sultan Melaka, dan Raja-raja Johor Lama adalah hakikatnya Sultan-sultan Johor Lama.

            Raja Bendahara Pahang mulai wujud semenjak zaman pemerintahan Bendahara Johor Lama yang bernama Tun Abdul Majid. Sekitar tahun 1770an, Sultan Johor Lama yang bernama Sultan Mahmud Shah III telah mengurniakan wilayah Pahang kepada Bendaharanya. Semenjak itu, Bendahara-bendahara Johor dikenali juga sebagai Bendahara-bendahara Pahang dan juga menjadi Raja Pahang (atau Raja Bendahara Pahang). Iaitu masih tetap berperanan sebagai Bendahara Johor Lama, tetapi kini menjadi negeri Pahang juga.[7]
           
2.3 Salasilah Raja-Raja Melayu dari Zaman Iskandar Zulkarnain-Alam Raja
      Melayu

            Menurut Hj.Muzaffar Dato’ Hj.Mohamad dalam buku hasil tulisannya menyatakan, salasilah Raja-Raja Melayu mempunyai kaitan dengan seorang penakluk dunia yang terbilang pada zaman dahulu iaitu Iskandar Zulkarnain. Baginda dikatakan berasal dari keturunana Nabi Sulaiman AS. Baginda mempunyai empayar yang amat luas di bumi timur dan barat. Kisahnya terdapat di dalam surah Al kahfi. Menurut beberapa riwayat sejarahnya, keturunan Iskandar Zulkarnain telah turun dari daerah Yunani (Rom lama) ,menjelajah ke negeri-negeri di Asia Barat, China dan seterusnya sampai ke daerah Palembang dalam sebuah tempat yang dikenali sebagai Bukit Siguntang yang terdapat Sungai Melayu. Sang Nila Utama, nenek moyang kepada Raja-Raja Melayu Melaka asalnya dari kawasan Plembang ini. Kebanyakkan Raja-Raja Melayu mempunyai kaitan salasilah dengan Bukit Siguntang secara langsung atau melalui pertalian perkahwinan.
           
Keturunan keluarga atau Ahlul-Bait Rasulullah SAW yang datang sebagai pendakwah dan alim ulamak ramai kemudiannya mengahwini puteri-puteri bangsawan dari keluarga Raja-Raja Melayu. Keturunan mereka kemudiannya menjadi raja atau golongan bangsawan. Mereka ini dikenali sebagai Ahlul-Bait Rasulullah SAW dari gelombang pertama yang sampai ke Alam Melayu diantara abad 15-18M.[8]

2.3.1 Dasar Pemerintahan Raja –Raja Melayu Melaka
           
Dalam institusi pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka, Islam merupakan dasar pemerintahan negeri. Hukum kanun, syarak, adat resam, dan sifat faham memahami yang diamalkan saling lengkap melengkapi diantara satu sama lain yang dapat menguatkan tamaddun Melayu-Islam pegangan Kesultanan Melayu Melaka ini. Dasar pemerintahan Melaka menjadi ikutan sebahagian besar dari kesultanan-kesultanan Melayu yang lain, khususnya yang mendapat nobat mereka dari Melaka.[9]

2.4 Fungsi Raja-Raja Melayu pada Zaman Dahulu

2.4.1Fungsi Raja dari Sudut Politik

(a)Sebagai ‘payung’ bangsa

Institusi Raja-raja ditakrifkan sebagai ‘payung bagi bangsanya’, umpama payung yang melindungi pemakainya dari terik kepanasan matahari dan basahan siraman hujan. Institusi Raja-raja yang berHakikat berfungsi sebagai pelindung pada kedaulatan bangsa dan agama yang dipayungi itu[10].
           
Pentingnya peranan Raja-raja Melayu sebagai tonggak pelindung bangsa dan agama adalah umpama tanggungjawab seorang bapa sebagai ketua rumahtangga. Bapa diamanahkan oleh Allah SWT sebagai penjaga dan pelindung isteri dan anak-anaknya. Sebagai tonggak keluarga, bapa perlu menjaga maruah dan kehormatan keluarga. Di dalam rumahtangganya, isteri bertanggungjawab menjaga urusan dalaman dan anak-anak. Kadangkala apabila berlaku kekecohan antara anak-anak, tugas isteri adalah mendamaikan dan tidak memanjangkan persengketaan tersebut. Namun jika terdapat perbalahan anak-anak yang dikuatiri mengganggu gugat keharmonian rumahtangga dan berpontensi mengakibatkan pecah belah keluarga, bapa akan masuk campur, menasihati anak-anak agar menjaga maruah keluarga dan jika perlu mengambil tindakan yang tegas bagi mengembalikan perpaduan keluarganya, kerana itulah dirinya sebagai tonggak keluarga. Tugas bapa juga adalah menjamin keselamatan anak isterinya sentiasa terjamin dan terpelihara dari sebarang ganggu gugat luar yang mengancam kesejahteraan keluargannya.
           
Begitulah umpama peranan Raja-raja Melayu. Mereka dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi tonggak sebuah keluarga besar yang dinamakan Bangsa Melayu. Isterinya adalah umpama penguasa bawahan yang mengendalikan urusan dalaman negeri sementara rakyat jelata itulah seperti anak-anaknya. Raja tidak akan mencampuri urusan pentadbiran selama ia tidak menggugat kepentingan, keutamaan maruah serta perpaduan bangsa dan agamanya. Walaubagaimanapun, apabila ada pihak yang cuba menggugat, maka dengan peranan dan kuasa yang diamanahkan padanya, ia akan bertindak melindunginya kerana maruah bangsa dan agama adalah maruah Raja.

(b) Pentadbiran

            Kedudukan unik seorang Raja Melayu yang tertinggi dan teratas dalam hirarki pemerintahan bangsanya, serta tidak terbendung dengan mana-mana gerakan politik persukuan ataupun gerakan-gerakan agama yan membolehkannya menjadi agen yang paling berkesan untu menyatupadukan rakyat jelata dari berbagai corak, kaum, kufu dan kefahaman itu.

Selain itu, keuikan kedudukan Raja-raja Melayu juga mampu menyatupadukan
Rakyat jelata atas peranannya seperti berikut ;

1-       Raja sebagai tonggak bangsa dapat memenuhi fitrah bangsanya yang memerlukan pada identiti, jatidiri dan budaya tersendiri yang unik dengan coraknya masing-masing.
2-       Raja sebagai ‘bapa’ dapat menyatupadukan rakyat dari berbagai aliran kefahaman politik dan membataskan pergerakan siasah mereka supaya sentiasa terbendung dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syariat dengan bimbingan mufti Negara.
3-       Raja sebagai ‘bapa’ bersikap berkecuali dalam menangani masalah yang datang dari mana-mana gerakan serta mengawalnya dari sebarang tindak-tanduk yang boleh menggugat kepentingan bangsa dan agama.
4-       Raja sebagai ketua pemerintah dapat telus dalam pemerintahannya kerana tidak perlu mencari kepentingan peribadi atau politik sukunya.
5-       Raja sebagai penaung kepada kaum-kaum lain dari berbagai agama dapat menjaga kepentingan mereka tanpa perlu membuat sebarang jual beli politik yang boleh menggugat kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam.
6-       Raja sebagai ketua pemerintah dapat duduk semeja dengan ketua-ketua negara yang lain tanpa perlu membuat pengagihan jual beli politik untuk kepentingan peribadinya atau kepentingan politik atau gerakan sukunya.

Dalam lain perkataan, kedudukan unik yang ada pada seorang Raja Melayu yang berHakikat mampu menyatupadukan rakyat jelata bukan sahaja dari berbagai aliran, gerakan, mazhab mahupun kefahaman politik, malahan boleh juga menyatu padukan kaum-kaum lain serta menjaga kepentingan-kepentingan mereka dalam batasan yang dibenarkan oleh hukum syariat dan adat bangsanya.[11]

(c)Pertahanan Bangsa
           
Seperti juga bangsa-bangsa lain, bangsa Melayu mempunyai keunikan fitrahnya yang tersendiri. Antara fitrah semulajadi bangsa Melayu adalah kelembutan dan kelurusan jiwanya, taat dan takzim pada ketuanya, adab, santun dan sabarnya. Fitrah ini pernah menjadi kekuatan bangsa Melayu, mencetuskan kekeramatan serta melahirkan sejarah kecemerlangan dan kegemilangannya. Bagaimanapun, orang Melayu terlalu baik fitrahnya sehingga lupa bahawa kebaikan itu ada batasannya, ketaatan dan takzim pada ketua harus pada tempatnya, peradaban, santun dan kesabaran itu patut pada caranya. Dan inilah yang menjadi kelemahan bangsa Melayu kerana kebaikannya boleh disalah gunakan untuk memperdaya dengan halus, sehingga mudah tertipu oleh para pengkhianat dalaman dan musuh-musuh luaran. Ketaatan dan takzim orang-orang Melayu yang membuta tuli jika diberikan pada kepimpinan yang korup amatlah memudaratkan. Peradaban bangsa yang penuh santun, yang menjadikan masyarakat Melayu penuh berhikmah dan berhemah suatu masa dahulu jika diletakkan tidak kena pada tempatnya boleh menghina dan menjatuhkan harga diri orang Melayu sendiri kerana mereka tidak tahu untuk bersikap kurang ajar apabila mendapat kepimpinan yang merosakkan. Kesabaran orang Melayu yang tinggi boleh dieksploitasi jika diamanahkan pada kepimpinan yang ‘naik tocang’ dengan berbagai kepincangandan kezaliman.

            Sebenarnya fitrah semulajadi bangsa Melayu yang baik itu, yang pernah menjadi punca kekuatan mereka, tetapi juga menjadi ‘Achilless hell’ kepada bangsanya di zaman-zaman kemudian amat disedari oleh ulamak-ulamak sufi dan tasawwuff yang menjadi pembimbing Raja-raja Melayu di zaman silam, serta para pemikirdan pemuka-pemuka masyarakat. Berikutan dengannya, mereka ini telah sedia menyusun langkah-langkah yang berkesan untuk membataskan atau memagari kekuatan bangsa ini agar ianya tidak pula bertukar menjadi kelemahan yang akan mendedahkan orang-orang Melayu kepada ancaman  para pengkhianat dan musuh, khususnya yang ‘bersembunyi di dalam selimut’.

            Struktur atau kerangka yang memagari kekuatan bangsa Melayu itu adalah hukum ADAT dan SYARAK. Benteng atau pengawalnya itulah Institusi Raja-raja Melayu yang berHakikat.[12]

2.4.2Fungsi Raja dari Sudut Sosial

(a) Agama

            Sejarah pemerintahan Raja-raja Melayu telah membuktikan bahawa kedatangan Islam telah megubah lahiriah, jiwa dan batin sistem politik pra Islam kepada satu aliran pemikiran dan sistem politik baru dalam sejarah yang berteraskan ajaran Agama Islam. Corak pemerintahan Islam yang berjaya merubah falsafah dan tamaddun masyarakat Melayu telah melibatkan peranan istana secara aktif, dinamis dan bersambung-sambung. Peranan Raja-raja Melayu sebagai payung agama dapat dilihat melalui usaha menegak, menyebar, menyubur dan mempertahankan  syariat Islam. Alim ulamak yang bernaung di bawah pemerintahan Raja-raja Melayu tradisi bukan sahaja dapat membuat khidmat agamanya dengan sempurna, tetapi terlindung dari ancaman pengkhianat dan musuh-musuh agama yang cuba menyelinap masuk membawa doktrin-doktrin dan ideology-ideologi yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar[13].

Sejarah membuktikan bahawa selama mana Raja-raja Melayu mempunyai perisian hakikat, selama itulah fahaman-fahaman yang sesat dan batil tidak berpeluang menyelinap masuk dalam institusi-istitusi masyarakat Melayu. Raja sebagai tonggak agama yang dapat membataskan berbagai mazhab dan aliran supaya sentiasa terbendung dalam pegangan Ahlus Sunnah Wal Jemaah

Dalam konteks ini, seorang Raja Melayu mampu menjadi agen untuk menyatupadukan umat islam dari berbagai aliran seperti berikut ;
1-      Umat Islam yang terdiri daripada bermacam-macam fahaman dan mazhab
2-      Umat Islam yang belajar secara tradisi atau pondok
3-      Umat Islam yang mendapat pendidikan sekular moden
4-      Umat Islam yang berpegang pada pemikiran moden dan pendekatan rationalisme
5-      Umat Islam yang berpegang pada pemikiran mistik dan kerohanian[14]

(b)Kebudayaan :Adat

Sebagaimana resam adat yang diadatkan mempunyai asal-usul serta penjaganya, adat Raja-raja di bawah kategori ini berasal dari zaman pemerintahan Demang Lebar Daun dari Bukit Siguntang di Tanah Palembang. Apabila Demang Lebar Daun memberi amanat kepada Sang Nila Utama untuk menjadi tunggak dan payung kepada umat Melayu, dan meletakkan dirinya sebagai Bendahara Melayu pertama yang berfungsi sebagai “tempat perbendaharaan segala rahsia raja”, Demang Lebar Daun juga telah meletakkan beberapa adat yang dapat menzahirkan  kemuliaan dan kebesaran Sang Nila Utama sebagai seorang Raja Melayu yang berdaulat. Dari sinilah juga puncanya kedudukan Bendahara sebagai penjaga adat Raja-Raja Melayu.[15]


Antara adat-adat tersebut adalah:

Perkahwinan Raja dengan puteri bangsawan yang diharapkan dapat melahirkan waris pemerintah merupakan fitrah Raja-Raja dari zaman awal tamaddun manusia. Selain itu adat perkahwinan Raja dan anak Bendahara juga dikekalkan. Kedatangan Islam juga mengutamakan kemuliaan zuriat sebagai satu ciri kelayakkan menjadi pemerintah. Maka dalam adat ini Raja-Raja Melayu, darah Raja, Bendahara dan keturunan Rasulullah SAW atau Sayyid ditakrifkan sebagai anak Gahara.

Adat “pantang anak melayu derhaka pada rajanya”. Di dalam konteks ini, Raja melayu yang beragama islam; jika baik Raja itu, hamba Melayu mestilah taat, sedangkan bagi Raja yang zalim telah pun termaktub dalam perbilangan ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’.[16]

Seterusnya Pemilihan waris tertua sebagai pengganti Raja mangkat bagi mengelakkan konflik kerabat diraja di antara kerabat diraja dalam urusan menaiki takhta.Bendahara,Jemaah menteri serta beberapa kerabat diraja yang tertua akan memutuskan hal pengganti Raja jika tercetus masalah yang berkaitan dengan perlantikan Raja seperti ketiadaan waris.[17]

2.4.3 Ekonomi
           
Dari sudut Ekonomi, di zaman pemerintahan Kesultanan Melayu sumber utama kewangan kerajaan adalah berdasarkan perdagangan. Maka dari sudut ini, Raja merupakan Ketua yang utama untuk menerima pedagang-pedagang untuk berdagang di jajahannya. Ia termasuklah dalam melaksanakan hubungan diplomatik dengan beberapa kerajaan utama. Ianya pasti memerlukan kepandaian dan kecerdikkan dalam pentadbiran ini.

2.5 Empat Fasa Pemerintahan Semenanjung Tanah Melayu


FASA

TIMELINE SEJARAH

CORAK PEMERINTAHAN

FASA PERTAMA
Zaman Melayu Melaka

1414- Sultan Melaka menerima islam

1511- Portugis menjajah Melaka
           Johor meneruskan warisan Melaka

1699- Tragedi Marhum Mangkat Dijulang

Orde Melayu Lama
Berpegang kepada
HUKUM ADAT
&
HUKUM SYARAK





FASA KEDUA
Zaman Melayu Johor

1699- Bendahara jadi Sultan Johor

1722- Elemen Bugis masuk istana Johor
        - Melanggar adat Raja-raja Melayu
           dalam beberapa insiden dan
           menyebabkan bermulanya proses
           kelumpuhan Institusi Bendahara

1770- Bendahara Johor menjadi Raja
           Pahang
        - Meneruskan pemerintahan warisan
           Melaka




Orde Melayu Lama
Berpegang kepada
HUKUM ADAT
&
HUKUM SYARAK








Zaman Peralihan
(gelojak hebat)

1819- Johor Lama berpecah dua
        - Keujudan bangsawan Orde Melayu
           Baru di peringkat awal

1824- Perjanjian Inggeris Belanda

1857- Perang Saudara Pahang bermula

1863- Perang Saudara Pahang berakhir
        - Terkuburnya Institusi Bendahara
           warisan Melayu Melaka
-British mula aktif campurtangan di
  Pahang

Hukum Adat mula terlerai





Orde Melayu Lama
vs
Orde Melayu Baru




FASA KETIGA
Zaman Campurtangan
&
Penjajahan British

1874- Perjanjian Pangkor
        - Pemisah agama dan adat dengan urusan
           Pentadbiran

1895- Pembentukan negeri-negeri Melayu
           Bersekutu (sistem Residen Inggeris)
           (Pahang, Selangor, Perak, Negeri
           Sembilan)

1910-1930- Pembentukan negeri-negeri
                    Melayu Tidak Bersekutu
                    (sistem Penasihat British)
                    (Kelantan, Johor, Terengganu,
                     Kedah, Perlis)

Orde Melayu Baru
Bermulanya agenda sekularisasi British



             Pengluasan
             Sistem
             Sekular

FASA KEEMPAT

1957- Kemerdekaan Tanah Melayu
           Pemerintahan Sekular

Orde Melayu Baru

Rajah 1:Carta empat Fasa pentadbiran Pemeintahan Melayu zaman Melayu

2.6 Institusi Bendahara Tunjang Raja-raja Melayu

            Institusi Bendahara telah diletakkan pada suatu kedudukan unik dan terpenting iaitu sebagai tunjang bagi institusi Raja-raja melayu. Sifat-sifat tersebut ialah :
i)                    Bendahara merupakan ‘tuan asal’ kepada Bangsa Melayu-Islam
ii)                  Bendahara dan raja adalah sedarah, iaitu berasal dari satu keturunan dan jurai yang sama
iii)                Bendahara lazimnya labih tua dari raja, dan keluarganya rapat (seperti berpangkat mertua, ayah saudara, datuk saudara atau sebagainya)
iv)                Jawatan Bendahara yang merupakan jawatan sewarisan Raja iaitu berkongsi sejarah yang sama
v)                  Jawatan Bendahara yang merupakan jawatan jawatan warisan keluarga Bendahara turun temurun.[18]

2.7 Penutup

Bab di atas dirumuskan perbezaan Raja dan sultan dari pelbagai aspek. Dasar pemerintahan Melayu Melaka. Salasilah Raja-Raja Melayu dari Zaman Iskandar Zulkarnain-Alam Raja Melayu yang menyatakan bahawa keturunan Raja Melayu berasal dari Iskandar Zulkarnain dan selepas pengembaraan dari sebuah negara ke negara yang lain hinggalah ke Tanah Melayu dan dilantik menjadi Raja. Dasar pemerintahan Zaman Melaka, adalah berdasarkan, hukum kanun, syarak, adat resam, dan sifat faham memahami yang diamalkan saling lengkap melengkapi diantara satu sama lain. Kemudiannya mengupas fokus utama iaitu Fungsi Raja-Raja Melayu zaman dahulu dari segi, politik, ekonomi dan sosial. Di bahagian ini, kita dapat melihat bahawa Raja di zaman dahulu adalah berkuasa mutlak di atas segala pentadbiran yang berkaitan dengan jajahan negerinya bersama beberapa pembantu atau menteri di bahagian-bahagian kecil. Pemerintahan Raja-Raja Melayu mempunyai empat Fasa dan dilampirkan bersama di dalam jadual. Di dalam kekuatan Raja-Raja Melayu, terdapat tunjang utama iaitu Institusi bendahara yang bertindak sebagai penasihat utama bagi Raja-Raja.

Bab 3:Fungsi Raja-Raja Melayu Zaman kini

3.1 Pengenalan

      Bab tiga ini akan menceritakan mengenai latar belakang Raja-Raja Melayu daripada waktu Merdeka hingga kini. Seterusnya pada bahagian yang seterusnya akan dinyatakan mengenai fungsi Raja-Raja Melayu pada zaman kini dari sudut yang boleh dibandingkan dengan fungsi Raja–Raja di zaman dahulu yang telah dibincangkan dalam bab sebelumnya. Selain itu, dimasukkan juga Raja sebagai Yang di-Pertuan Agong di akhir bab tiga ini.

3.2 Latar Belakang Raja-Raja Melayu daripada  selepas Merdeka hingga kini

            Semasa dalam jajahan British, kuasa Raja telah dihapuskan sedikit demi sedikit sehinggalah Raja hanya berkuasa dalam beberapa bahagian pentadbiran sahaja. Keadaan ini berterusan sehinggalah kini. Walaupun Raja-Raja dan masih memerintah di dalam negeri masing-masing tetapi bidang kuasa yang diperuntukkan adalah terhad dan terdapat  perubahan berbanding di zaman dahulu. Dan pentadbira di ambil alih oleh satu badan yang melaksanakan sistem pentadbiran di bawah Yang di-Pertuan Agong.

3.3 Fungsi Raja-Raja Zaman Kini
            3.3.1 Fungsi Raja dari Sudut Politik

(a)Sebagai ‘Simbol’ bangsa

Sekiranya pada zaman dahulu. Raja merupakan payung kepada bangsanya, namun kini Raja hanya di pandang sebagai simbol dalam sesebuah  sistem pentadbiran Beraja di Negeri-Negeri di Malaysia.
            Raja-Raja kini hanyalah tinggal sebagai simbol identiti bangsa sebagaimana keris yang dulunya merupakan senjata ampuh bagi orang melayu tetapi kini hanya menjadi relik sejarah. Secara zahirnya Raja-Raja kini nampak berdaulat tetapi sebenarnya terkosong roh dan hakikat.
            Maka dengan ini, hilanglah sebuah fungsi Raja sebagai payung bangsa yang melindungi dan harapan bagi Bangsa Melayu.[19]

            (b)Pentadbiran

            Dalam lapangan pentadbiran, Raja-raja bukanlah berkuasa mutlak dan tertakluk kepada akta yang telah diperuntukkan bagi Raja-Raja dia dalam kawasan pentadbirannya.
            Semenjak 1957 Raja merupakan Raja perlembagaan dengan yang demikian seorang Raja dalam menjalankan tugas-tugasnya dikehendaki mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan  atau nasihat seorang ahlinya yang bertindak di bawah kuasa am Majlis tersebut. Dalam perlembagaan Negeri telah diperuntukkan syarat Sekyen 1(2) di dalam peruntukkan perlu Perlembgaan Persekutuan yang membolehkan Raja bertindak menurut budi bicaranya dalam menjalankan tugas-tugasnya:
(a)    melantik seorang menteri besar
(b)   tidak mempersetujui permintaan membubar Dewan Negeri
(c)    meminta supaya diadakan suatu mensyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata mengenai keistimewaan,kedududkan,kemuliaan dan kebesraan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja atau perbuatan,amalan atau upacara agama;
(d)   apa-apa tugas sebagai ketua agama Islam atau mengenai adapt istiadat Melayu;
(e)    melantik waris atau waris-waris,permaisuri,pemangku Raja;
(f)    melantik orang memegang pangkat,gelaran,kemuliaan dan kebesaran di sisi adat Melayu dan menetapkan tugas-tugas berkenaan dengannya;
(g)   membuat peraturan mengenai hal-hal diraja dan istana.[20]

Fungsi Majlis Raja-Raja

Majlis Raja-Raja bukan sahaja agung tetapi juga unik kerana Majlis ini merupakan satu-satunya institusi yang sedemikian rupa wujud di dunia pada masa kini. Apabila negara mencapai kemerdekaan, penubuhan Majlis Raja-Raja telah dikanunkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan.
Fungsi dan tugas-tugasnya mengikut Jadual Kelima Perlembagaan adalah seperti berikut:
a)      memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan mengikut peruntukan-peruntukan Jadual Ketiga;
b)      mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan;
c)      mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang dan membuat atau memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang, menurut Perlembagaan ini, memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja atau yang dikehendaki dibuat oleh atau selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja;
d)     melantik anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182;
e)      memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,
Apabila Majlis Raja-Raja menimbangkan perkara-perkara mengenai dasar negara Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai oleh Perdana Menteri, dan Raja-Raja yang lain dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri disertai oleh Menteri-Menteri Besar atau Ketua-Ketua Menteri mereka. Tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan dengan tiada persetujuan Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah perkara 153 (mengenai kedudukan dan keistimewaan orang Melayu, bumiputera serta juga hak kaum-kaum lain.[21]
Budi bicara Majlis Raja-raja
Ahli-ahli Majlis Raja-Raja boleh bertindak menurut budi bicara mereka dalam apa-apa urusan berhubung dengan tugas-tugas yang berikut, iaitu:

a)      memilih atau memecat Yang di-Pertuan Agong daripada jawatannya; atau memilih Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi Persekutuan;
b)      memberi nasihat mengenai apa-apa perlantikan yang ditetapkan oleh Perlembagaan;
c)      mempersetujui atau tidak mempersetujui apa-apa undang-undang yang mengubah sempadan-sempadan sesuatu negeri atau yang menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja
d)     mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara ugama meliputi seluruh Persekutuan;
e)      perlantikan anggota-anggota Mahkamah Khas di bawah Fasal (1) Perkara 182; atau
f)       pemberian ampun, reprief dan respit, atau peremitan, penggantungan atau peringanan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42.*

Keahlian
Semua Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri secara automatik menjadi Ahli Majlis Raja-Raja. Kehadiran adalah mustahak. Jika atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, seorang ahli tidak dapat berangkat hadir, maka seorang wakil hendaklah dilantik mengikut peruntukan Undang-Undang Negeri/Tubuh bagi sesuatu negeri itu.[22]

Raja-Raja bagi maksud mesyuarat berhubung dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melucutkan jawatan Yang di-Pertuan Agong dan membincangkan mengenai keistimewaan Raja-Raja. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukanlah Ahli Majlis Raja-Raja. Baginda berangkat menghadiri mesyuarat pada hari yang kedua sebagai Ketua Negara Malaysia dan diiringi oleh Perdana Menteri sebagai penasihat baginda.[23]
3.3.2Fungsi Raja dari Sudut Sosial

(a)   Agama

Di dalam perlembagaan Negeri, Raja merupaka ketua agama Islam bagi negeri masing-masing. Di dalam perkara ini, menurut perlembagaan negeri, “Raja merupakan ketua agama Islam di dalam negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmatinya sebagai ketua agama Islam tidak tersentuh dan tercacat. Kecuali dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi Persekutuan, maka setiap Raja lain sebagai ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.[24]

(b)Kebudayaan :Adat

Jika pada masa dahulu, perkahwinan Raja-Raja hanya akan berlaku antara Raja dan Puteri, atau Raja dan anak Bendahara, ianya tidak lagi dijaga pada masa kini. Sekaligus hilanglah keturunan atau darah diraja yang asli yang dinamakan sebagai anak gahara. Sebagai contoh, beberapa anak Raja di Negara Malaysia ini telah pun mengahwini orang kebanyakkan.

3.3.3 Ekonomi
           
Dari sudut ekonomi, pada masa kini, Raja bukanlah ketua dalam apa-apa bahagian sama ada dalam perdagangan dan sebagainya. Malahan, pendapatan Raja adalah diperuntukkan oleh perlembagaan negeri. Di dalam peruntukkan ini adalah berbeza bagi setiap negeri. Sebagai contoh di dalang Peruntukkan Diraja Perlembagaan Negeri Johor menyebut “tidak ada wang yang ditetapkan bagi perbelanjaan Raja untuk istana-istana dan senggaraan diri diraja; melarang raja-raja menggunakan untuk dirinya, dan meminta Dewan Negeri memberi Raja jumlah wang yang munasabah ,mencukupi dan sesuai dengan pangkat ,kedudukan dan kedaulatan Raj atanpa menghuraikan pendapatannya sendirian Raja; -Enakmen Peruntukkan Diraja 1958.[25]

3.4 Raja Sebagai Yang di-Pertuan Agong
                                                                                                                
Jawatan Yang di-Pertuan Agong telah diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Yang di-Pertuan Agong merupakan seorang raja berperlembagaan yang memerintah mengikut kuasa yang diberikan kepada baginda oleh Perlembagaan.

Sebagai Ketua Negara Malaysia, Yang di-Pertuan Agong berada dikemuncak ketiga-tiga bidang kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman. Yang di-Pertuan Agong mempunyai keutamaan yang melebihi semua orang di Malaysia dan tidak boleh didakwa dalam perbicaraan mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas[26].

Sekiranya Yang di-Pertuan Agong melakukan kesalahan semasa melaksanakan tugas rasminya, pihak yang terkilan boleh mendakwa dengan menamakan Kerajaan Persekutuan sebagai defendan. Baginda merupakan lambang kedaulatan dan perpaduan negara.[27]

Pemilihan

Yang di-Pertuan Agong dipilih dari kalangan sembilan orang raja Melayu oleh Majlis Raja-raja mengikut aturan yang terkandung dalam Jadual Ketiga, Perlembagaan Malaysia. Walaubagaimanapun, Yang di-Pertuan Negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka adalah tidak berkelayakan membuat pemilihan ini.

Setiap raja boleh dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong, kecuali baginda belum cukup umur, atau sengaja tidak mahu dipilih, atau difikirkan tidak layak oleh Majlis Raja-raja dengan undi sulit atas sebab-sebab kelemahan akal atau tubuhnya atau oleh kerana apa-apa sebab lain.[28]

Raja yang pertama dalam senarai pemilihan dan mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya lima orang raja akan ditawarkan jawatan ini selama lima tahun melainkan baginda meletakkan jawatan sebelum tempoh berkenaan atau dilucutkan jawatan oleh Majlis Raja-raja. Isteri Yang di-Pertuan Agong digelar Raja Permaisuri Agong dan mempunyai keutamaan selepas Yang di-Pertuan Agong.[29]

Tugas-tugas lain

Yang di-Pertuan Agong merupakan Panglima Tertinggi Angkatan Bersenjata dan Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah, Sarawak dan negeri baginda sendiri. Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak[30].

Kuasa Budi Bicara

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengikut budi bicaranya sendiri dalam tiga perkara, iaitu :
a)      Melantik seorang Perdana Menteri
b)      Tidak mempersetujui permintaan membubar Parlimen; dan
c)      Meminta supaya diadakan suatu Mesyuarat Majlis Raja-raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja[31]

 3.5 Penutup

Secara keseluruhan bab ini telah membicarakan mengenai latar belakang Raja-Raja yang mula kehilangan kuasa bermula dari zaman penjajahan British dan sebagainya. Selain itu mengenai kuasa raja-raja pada zaman sekarang yang telah kehilangan kuasa mutlak di dalam lapangan pentadbiran, ekonomi dan sosial. Malahan selepas Merdeka, kerajaan ditadbir oleh Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan beberapa kuasa ke atas kerajaan negeri dan Raja-Raja di Malaysia di negeri masing-masing. Walaupun Raja masih mentadbir negerinya, tetapi kedaulatanya adalah terbatas. Kuasa yang diberi adalah terhad bagi bidang agama dia bawah kuasa budi bicaranya. Selain itu, terdapat pertubuhan Majlis Raja-Raja yang berkuasa di dalam beberapa perkara termasuk perlantikkan Yang di-Pertuan Agong. Raja juga berperanan sebagai Yang di-Pertuan Agong berdasarkan beberapa tahun dan kuasa yang telah ditetapkan.

Bab 4 :Perbandingan Fungsi Raja-Raja Melayu Zaman Dahulu Hingga kini

4.1 Pengenalan

            Bab seterusnya membandingkan secara keseluruhan mengenai fungsi Raja-Raja Melayu pada zaman dahulu dan zaman kini. Dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dan bagi memudahkan disediakan pula jadual yang membezakan perkara berikut.

4.2 Perbandingan dari sudut politik

Zaman Dahulu :

Institusi Raja-raja ditakrifkan sebagai ‘payung bagi bangsanya’, umpama payung yang melindungi pemakainya dari terik kepanasan matahari dan basahan siraman hujan. Institusi Raja-raja yang berHakikat berfungsi sebagai pelindung pada kedaulatan bangsa dan agama yang dipayungi.

 Zaman Kini:

            Raja-Raja kini hanyalah tinggal sebagai simbol identiti bangsa sebagaimana keris yang dulunya merupakan senjata ampuh bagi orang melayu tetapi kini hanya menjadi relik sejarah. Secara zahirnya Raja-Raja kini nampak berdaulat tetapi sebenarnya terkosong roh dan hakikat

4.2.1Pentadbiran

Zaman Dahulu:

Kedudukan unik seorang Raja Melayu yang tertinggi dan teratas dalam hirarki pemerintahan bangsanya, serta tidak terbendung dengan mana-mana gerakan politik persukuan ataupun gerakan-gerakan agama yan membolehkannya menjadi agen yang paling berkesan untu menyatupadukan rakyat jelata dari berbagai corak, kaum, kufu dan kefahaman itu.

Zaman Kini:

            Semenjak 1957 Raja merupakan Raja perlembagaan dengan yang demikian seorang Raja dalam menjalankan tugas-tugasnya dikehendaki mengikut nasihat nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan  atau nasihat seorang ahlinya yang bertindak di bawah kuasa am Majlis tersebut. Dalam perlembagaan Negeri telah diperuntukkan syarat Sekyen 1(2) di dalam peruntukkan perlu Perlembgaan Persekutuan yang membolehkan Raja bertindak menurut budi bicaranya.

4.3 Perbezaan dari sudut sosial
4.3.1 Agama

Zaman dahulu:

            Raja sebagai tonggak agama yang dapat membataskan berbagai mazhab dan aliran supaya sentiasa terbendung dalam pegangan Ahlus Sunnah Wal Jemaah.

Zaman kini:

            Raja merupakan ketua agama Islam di dalam negerinya secara dan setakat mana yang diakui dan diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan juga segala hak, keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmatinya sebagai ketua agama Islam tidak tersentuh dan tercacat. Kecuali dalam apa-apa perbuatan,amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja supaya meliputi Persekutuan, maka setiap Raja lain sebagai ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.
           
4.3.2 Kebudayaan:adat

Zaman dahulu:

            Perkahwinan Raja dengan puteri bangsawan yang diharapkan dapat melahirkan waris pemerintah merupakan fitrah Raja-Raja dari zaman awal tamaddun manusia. Selain itu adat perkahwinan Raja dan anak Bendahara juga dikekalkan . Kedatangan Islam juga mengutamakan kemuliaan zuriat sebagai satu ciri kelayakkan menjadi pemerintah. Maka dalam adat ini Raja-Raja Melayu, darah Raja, Bendahara dan keturunan Rasulullah SAW atau Sayyid ditakrifkan sebagai anak Gahara.

Zaman Kini:

Jika pada masa dahulu,perkahwinan Raja-Raja hanya akan berlaku antara Raja dan Puteri, atau Raja dan anak Bendahara, ianya tidak lagi dijaga pada masa kini. Sekaligus hilanglah keturunan atau darah diraja yang asli yang dinamakan sebagai anak gahara. Sebagai contoh, beberapa anak Raja di Negara Malaysia ini telah pun mengahwini orang kebanyakkan.

4.3.4Ekonomi

Zaman dahulu :

Dari sudut Ekonomi, di zaman pemerintahan Kesultanan Melayu sumber utama kewangan kerajaan adalah berdasarkan perdagangan. Maka dari sudut ini, Raja merupakan Ketua yang utama untuk menerima pedagang-pedagang untuk berdagang di jajahannya. Ia termasuklah dalam melaksanakan hubungan diplomatik dengan beberapa kerajaan utama

Zaman Kini:

            Dari sudut ekonomi,pada masa kini, Raja bukanlah ketua dalam apa-apa bahagian sama ada dalam perdagangan dan sebagainya. Malahan, pendapatan Raja adalah diperuntukkan oleh perlembagaan negeri. Di dalam peruntukkan ini adalah berbeza bagi setiap negeri.

PERKARA
DAHULU
KINI
             Politik
Sebagai payung Negara yang menjaga kedaulatan Bangsa Melayu
Sebagai simbol tanpa berperanan dalam mempertahankan kedaulatan melayu
(a) Pentadbiran
Raja berkuasa mutlak dalam membuat keputusan dan dibantu oleh jemaah menteri
Raja sebagai symbol dan segala pentadbiran dilakukan oleh kerajaan negeri kecuali berkaitan dengan agama.



             Sosial


(a) Agama
Ketua bagi Agama Islam secara mutlak dan melaksanakan ajaran islam dan dibantu oleh alim ulamak.
Ketua bagi agama islam tetapi dalam beberapa bahagian di negeri masing-masing.
(b) Kebudayaan
Perkahwinan hanya dari kalangan puteri dan anak bendahara dalam menjaga darah gahara sebagai pemerintah.
Perkahwinan tidak terkongkong oleh adat dan kebanyakkan anak Raja mengahwini orang kebanyakkan.



               Ekonomi
Raja sebagai ketua dalam perdagangan dalam memberi keputusan dan melaksanakan hubungan diplomatik.
Raja tidak berkuasa penuh dalam ekonomi dan bahkan diperuntukkan pendapatannya mengikut negeri

Rajah 3:Carta perbandingan fungsi Raja Zaman dahulu dan kini mengikut lapangan.

Bab 5 :Penutup

Mengikut definisi, apa yang boleh disimpulkan bahawa tajuk tersebut akan membincangkan perbandingan atau perbezaan tugas Raja-Raja pada zaman yang lampau iaitu di zaman kesultanan Melayu Melaka hinggga merdeka dan pada zaman kini iaitu dari waktu Merdeka hinggalah waktu ini.
Bab dua pula merumuskan perbezaan Raja dan sultan dari pebagai aspek. Dasar pemerintahan Melayu Melaka.Salasilah Raja-Raja Melayu dari Zaman Iskandar Zulkarnain-Alam Raja Melayu yang menyatakan bahawa keturunan Raja Melayu berasal dari Iskandar Zulkarnain dan selepas pengembaraan dari sebuah negara ke negara yang lain hinggalah ke Tanah Melayu dan dilantik menjadi Raja. Di dalam dasar pemerintahan Zaman Melaka, adalah berdasarkan, hukum kanun, syarak, adat resam, dan sifat faham memahami yang diamalkan saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Kemudiannya mengupas fokus utama iaitu Fungsi Raja-Raja Melayu zaman dahulu dari segi politik, ekonomi dan sosial. Di bahagian ini, kita dapat melihat bahawa Raja di zaman dahulu adalah berkuasa mutlak di atas segala pentadbiran yang berkaitan dengan jajahan negerinya bersama beberapa pembantu atau menteri di bahagian-bahagian kecil. Pemerintahan Raja-Raja Melayu mempunyai empat Fasa dan dilampirkan bersama di dalam jadual l. Di dalam kekuatan Raja-Raja Melayu, terdapat tunjang utama iaitu Institusi bendahara yang bertindak sebagai penasihat utama bagi Raja-Raja.
Bab seterusnya pula membicarakan mengenai latar belakang Raja-Raja yang mula kehilangan kuasa bermula dari zaman penjajahan British dan sebagainya. Selain itu mengenai kuasa raja-raja pada zaman sekarang yang telah kehilangan kuasa mutlak di dalam lapangan pentadbiran, ekonomi dan sosial. Raja dijadikan sebagai salah satu simbol bagi bangsa melayu dan tidak berfungsi seperti yang sepatutnya. Malahan selepas Merdeka, kerajaan ditadbir oleh Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan beberapa kuasa ke atas kerajaan negeri dan Raja-Raja di Malaysia di negeri masing-masing. Walaupun Raja masih mentadbir negerinya, tetapi kedaulatanya adalah terbatas. Kuasa yang diberi adalah terhad bagi bidang agama dia bawah kuasa budi bicaranya. Selain itu, terdapat pertubuhan Majlis Raja-Raja yang berkuasa di dalam beberapa perkara termasuk perlantikkan Yang di-Pertuan Agong. Raja juga berperanan sebagai Yang di-Pertuan Agong berdasarkan beberapa tahun dan kuasa yang telah ditetapkan.






[1] Dewan Bahasa dan Pustaka.1994.Kamus Dewan.Edisi ketiga.Hlm. 99
[2] Ibid.Hlm. 356
[3] Ibid. Hlm.1088
[4] Ibid. Hlm.1357
[5] Ibid.Hlm 460
[6]Ibid.Hlm 682
[7] Hj.Muzaffar Dato’ Hj.Mohamad.2003.Melayu Islam Beraja.Cetakan Pertama.Kuala Lumpur.Hlm 48
[8] Ibid.Hlm 47
[9] Ibid.
[10] Ibid.Hlm 44.
[11] Ibid.
[12] Ibid. Hlm 45.
[13] Ibid.Hlm 46.
[14] Ibid.
[15] Ibid.Hlm258.
[16] Ibid.Hlm 74
[17] Ibid.Hlm 75.
[18] Ibid.Hlm 84.
[19] Ibid.Hlm 12.

[21] Ibid.
[22] Ibid.
[23] Ibid.
[24] Ahmad Ibrahim. Dewan Bahasa dan Pustaka.2005. Sistem Undang-undang di Malaysia.Cetakan Ketiga.Selangor. Hlm. 258.
[25] Ahmad Ibrahim dan Ahilemah Joned.2005.Sistem Undang-Undang di Malaysia.Kuala Lumpur.Dewan Bahasa dan Pustaka.Cetakan ketiga.Hlm 242
[26] Ranjit Singh Malhi. Federal Publication.2000. Pengajian Am Kenegaraan Malaysia .Cetakan kedua.Selangor.Hlm 49.
[27] Ibid.
[28] Ibid.
[29] Ibid.Hlm 45.
[31] Ranjit Singh Malhi. Ibid. Hlm 46.


Sharing is caring ^_^

2 comments:

  1. good idea! saya baru darjah 5, saya tidak faham soalan yang berada didalam buku aktiviti saya ini... bila saya puas mancari di komputer saya ini, 1 jam kemudian, saya telah terjumpa blog ini... banyak kepentingan yang boleh saya difahami.
    sekian,terima kasih

    ReplyDelete