Monday 4 March 2013

Pelaksanaan dan Pelepasan Kontrak di dalam Undang-undang Kontrak : Satu Perbincangan



BAB 2 : PELAKSANAAN

2.1 Makna Pelaksanaan

Pelaksanaan adalah penyempurnaan penuh atau penyempurnaan lengkap kewajipan seseorang itu di bawah kontrak. Jika pelaksanaan suatu kontrak itu tidak mencapai tahap sempurna atau lengkap, pihak lain tidak diwajibkan membuat  apa-apa bayaran atau melaksanakan kewajipannya. Pelepasan kontrak boleh berlaku di mana  pihak-pihak kepada kontrak tersebut melaksanakan kewajipan mereka seperti yang telah dipersetujui di awalnya. Adalah penting untuk setiap pihak mengetahui kewajipan mereka di dalam kontrak yang dimasuki, justeru melaksanakannya sebagaimana yang dipersetujui.[1] Seksyen 38(1) Akta Kontrak telah menyebut mengenai kewajipan melaksanakan kontrak:

Pihak-pihak suatu kontrak wajib melaksanakan atau wajib menawar untuk melaksanakan janji mereka masing-masing, melainkan jika pelaksanaan sedemikian itu telah dilepaskan atau dimaafkan oleh peruntukan-peruntukan Ordinan ini atau mana-mana undang-undang lain.

Dalam keadaan jika salah satu pihak kepada kontrak mati sebelum sempat melaksanakan kewajipannya menurut kontrak itu, maka pelaksanaan kontrak tersebut akan diteruskan oleh wakil-wakil si mati. Perkara ini dijelaskan oleh Seksyen 38(2) Akta Kontrak 1950:

            Janji-janji adalah mengikat wakil-wakil pembuat janji, pembuat janji apabila
            matinya pembuat janji sebelum pelaksanaanya,melainkan jika ternyata niat yang
            berlawanan dalam kontrak itu.

2.2 Jenis-jenis Pelaksanaan

Pelaksanaan mestilah lengkap dan benar-benar mengikut terma-terma kontrak. Terdapat tiga (jenis) kenderaan di mana pelaksanaan menjadi sebahagian tetapi masih menjadikan pihak yang melaksanakannya dibayar.[2]

a)                  Ansuran.
            Jika pelaksanaan adalah secara ansuran, bayaran boleh di dapatkan bagi ansuran-ansuran yang sebenar yang telah lengkap (melainkan niat pihak-pihak itu berlawanan).

b)                 Pelaksanaan sebahagian diterima.
            Jika penerima janji secara sukarela menerima kurang daripada pelaksanaan lengkap di mana ia mempunyai kebebasan untuk memilih dengan sebenar-benarnya maka penjanji berhak menuntut bayaran itu berdasarkan quantum meruit (jika sebahagian kerja sudah dapat dijalankan). Berdasarkan kes Sumpter v Hedges, A membuat kontrak untuk membina bangunan untuk B. Apabila kerja pembinaan itu dijalankan separuh jalan A meninggalkan kerja itu. B terpaksa menyiapkan bangunan itu sendiri, tetapi A mendakwa bagi mendapatkan bayaran untuk kerja yang dilakukan berdasarkan quantum meruit. Diputuskan, B tidak perlu membayar apa-apa, kerana ia bukannya bebas memilih untuk menyiapkan bangunan itu, tetapi ia tidak ada pilihan.

c)Pelaksanaan substantial.
            Sesuatu kontrak untuk kerja atau perkhidmatan, iaitu di mana pelaksanaan adalah lengkap sebagaimana orang yang munasabah akan menjangkakan. Ini adalah persoalan fakta, berdasarkan kes Hoenig v. Isaacs, A menghiaskan flat B dengan harga £750, tetapi disebabkan kerja-kerja yang tidak betul, B terpaksa membayar tambahan £290 bagi melengkapkan kerja itu. B enggan membayar apa-apa wang kepada A. Diputuskan, A berhak mendapat £750 dipotong £290 yang dibayar untuk membetulkan kecacatan kerja.

2.3 Masa Pelaksanaan

Di dalam Akta Kontrak telah pun wujud satu rangkaian susunan rukun yang agak lengkap mengenai pelaksanaan. Seksyen 51 Akta Kontrak 1950 menyebut:

Pelaksanaan sesuatu janji boleh dibuat dengan apa-apa cara, atau pada bila-bila    masa yang ditetapkan atau dipersetujui oleh penerima janji.

Ini menunjukkan bahawa soal penentuan “masa” untuk pihak-pihak yang berkontrak melaksanakan kontrak yang dimasuki adalah satu persoalan fakta. Prinsip berhubung kebebasan berkontrak tetap didukung di mana pihak-pihak adalah bebas untuk menetapkan masa untuk mereka melaksanakan obligasi mereka di bawah kontrak. Menurut Seksyen 47 Akta Kontrak 1950 menyatakan:

Jika seorang pembuat janji,dengan kontrak,dikehendaki melaksanakan janjinya tanpa permohonan dari penerima janji,dan masa untuk pelaksanaannya tidak ditetapkan,perjanjian itu mestilah dilaksanakan dalam suatu masa yang munasabah.

Atas kebebasan yang diberikan oleh Seksyen 51 Akta Kontrak 1950, sekiranya kedua-dua pihak tidak menyebut mengenai “masa” dalam pelaksanaan kontrak, maka perjanjian tersebut mestilah dilaksanakan mengikut jangka masa yang munasabah menurut Seksyen 47 Akta Kontrak 1950. Isu mengenai kemunasabahan masa ini bergantung pada fakta kes secara keseluruhannya.Sekiranya suatu janji itu hendak dilaksanakan pada suatu hari tertentu di mana salah satu pihak telah sanggup melaksanakannya tanpa permohonan oleh pihak yang satu lagi,maka pihak yang ingin melaksanakan tadi boleh melaksanakannya pada bila-bila masa dalam urusan yang biasa pada hari dan tempat janji itu patut dilaksanakan. Ini jelas dalam Seksyen 48 Akta Kontrak 1950. Jika satu pihak yang ingin melaksanakan janji itu tidak dapat melaksanakannya, maka beliau dianggap gagal melaksanakan janjinya itu.Akan tetapi menurut Seksyen 49 Akta Kontrak 1950, jika janji itu hendak dilaksanakan pada suatu hari tertentu tetapi salah satu pihak tidak sanggup melaksanakannya tanpa permohonan pihak yang satu lagi, maka pihak yang lagi satu itu perlu memohon janji tersebut dilaksanakan mengikut tempat dan masa yang sesuai.

Dalam Seksyen 56 Akta Kontrak adalah biasan[3] rukun-rukun Inggeris mengenai masa pelaksanaan dan dengan demikian keputusan-keputusan mahkamah Malaysia mengenai isu ini menampakkan pengaruh common law.

Dalam Seksyen 56(2) pula memperuntukkan jika masa itu bukan asas kepada kontrak maka kelewatan atau kelengahan tidak akan menyebabkan kontrak itu menjadi boleh batal sebaliknya kelewatan atau kelengahan itu akan membolehkan si penerima janji menuntut supaya dipampaskan kerugian yang dia tanggung.

Walaupun masa itu asas kepada perjanjian dan menyebabkan kontrak itu akan dianggap sebagai tindakan mengetepikan haknya untuk membatalkan kontrak dan juga haknya untuk menuntut pampasan tetapi hak untuk menuntut pampasan tetap akan terpelihara jika penerima janji,semasa menerima pelaksanaan lewat itu  menyatakan atau memberi notis kepada pembuat janji tentang hasratnya untuk menuntut pampasan.

Mahkamah Persekutuan dalam kes Ganam d/o Rajamany v. Somoo s/o Sinnah telah menggariskan beberapa prinsip yang digunakan oleh mahkamah di dalam menentukan sama ada masa itu merupakan perkara penting dalam kontrak.
i)                    di mana kontrak secara nyata menyatakan bahawa masa hendaklah menjadi perkara pokok kepada kontrak.
ii)                  di mana masa pada asalnya bukan perkara pokok kepada kontrak tetapi dijadikan sedemikian melalui notis oleh satu pihak kepada pihak yang lain, setelah pihak lain itu melakukan kelewatan yang tidak munasabah bahawa pelaksanaan hendaklah dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan. Masa atau tempoh yang ditetapkan dalam notis itu hendaklah munasabah,
iii)                di mana daripada jenis dan ciri harta itu, masa boleh dianggap sebagai pokok kepada kontrak.

Dalam kes ini, pembeli telah bersetuju untuk membayar harga jualan tanah bendang dan kebun kelapa pada satu tarikh yang ditetapkan. Sementara menanti penjelasan bayarannya, penjual telah membenarkan responden memasuki dan menduduki salah satu daripada tanah tersebut. Pembeli walaubagaimana pun telah gagal menjelas harga jualan yang memutuskan bahawa disebabkan tidak ada peruntukan dalam kontrak yang menyebut dengan nyata bahawa masa menjadi syarat penting dalam kontrak,maka penjual tidak boleh membatalkan kontrak tersebut.

2.4 Pelaksanaan oleh Pihak Ketiga

            Seksyen 41 dan 42 memuatkan rukun-rukun comman law mengenai pelaksanaan oleh pihak ketiga. Kedua-dua seksyen ini mengatakan pelaksanaan boleh dilakukan oleh pihak ketiga kecuali jika niat dan hasrat kedua-dua pihak ialah pelaksanaan mesti dilakukan oleh si pembuat janji itu sendiri. Apabila pelaksanaan oleh pihak ketiga diterima oleh si penerima janji, dia tidak boleh kemudiannya menguatkuasakan janji itu terhadap penjanji. Beberapa kes yang diputuskan oleh mahkamah di Malaysia dapat menjelaskan rukun ini. [4] Antara kes tersebut ialah,

            Kes Chin Swee Onn lwn Puchong Realty Sdn. Bhd. Mahkamah Agung mengulas dengan jelas pemakaian Seksyen 42. Dalam kes tersebut, “Pemiutang penghakiman, responden telah mengeluarkan notis kebankrapan terhadap si penghutang kerana gagal membayar sejumlah wang sebanyak RM136 114.39 yang diperintahkan dalam penghakiman. Penghakiman dibuat terhadap si penghutang dengan satu kesanggupan pemiutang “tidak akan melaksanakan arahan penghakiman” terhadap si penghutang sebagai balasan kesediaan Hock Hin Leong Sdn. Bhd. mengambil alih tanggungan hutang si penghutang. Si pemiutang telah menerima RM10 000 dari Hock Hin Leong Sdn. Bhd. Si penghutang memohon mengetepikan notis kebankrapan itu tetapi Mahkamah Tinggi menolak pemohonan itu dan mengistiharkan si penghutang seorang bankrap. Si penghutang merayu”. Mahkamah Agung semasa meluluskan rayuan itu memutuskan bahawa seksyen 42 Akta Kontrak terpakai dan pihak pemiutang dengan menerima bayaran daripada Hock Hin, iaitu pelaksanaan kewajipan si penghutang untuk membayar, daripada pihak ketiga, dihalang daripada menguatkuasakan penghakiman itu terhadap si penghutang.

BAB 3 : PELEPASAN

3.1 Maksud pelepasan.

Pelepasan Kontrak bermaksud penamatan obligasi kontraktual.[5] Suatu kontrak itu adalah dianggap ‘dilepaskan’ apabila pihak–pihak dalam kontrak tidak lagi dikehendaki untuk melaksanakannya kewajipan–kewajipan mereka dalam kontrak tersebut. Ini bermakna pihak–pihak dalam suatu kontrak adalah terikat untuk melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab menurut terma–terma kontrak yang telah dipersetujui selagi kontrak itu berterusan dan tidak dilepaskan.

3.2 Jenis–jenis Pelepasan.

            Terdapat empat cara di mana suatu kontrak itu boleh dilepaskan menurut undang–undang iaitu :
                      i.            Pelepasan secara pelaksanaan.
                      ii.           Pelepasan disebabkan oleh pecah kontrak.
                      iii.          Pelepasan melalui perjanjian.
                      iv.          Pelepasan melalui doktrin kekecewaan.[6]

3.2.1 Pelepasan secara Pelaksanaan.

            Pelaksanaan bermaksud penyempurnaan penuh atau penyempurnaan lengkap kewajipan seseorng itu di bawah kontrak. Jika pelaksanaan suatu kontrak itu tidak mencapai tahap sempurna atau lengkap, pihak lain tidak diwajibkan membuat apa–apa bayaran atau melaksanakan kewajipannya[7]. Pelepasan kontrak boleh berlaku di mana pihak–pihak kepada kontrak melaksanakan kewajipan mereka yang telah dipersetujui di awalnya. Adalah penting untuk setiap pihak mengetahui kewajipan mereka di dalam kontrak yang dimasuki, justeru melaksanakannya sebagaimana yang dipersetujui[8]. Kewajipan melaksanakan kontrak ini dengan nyata disebut dalam seksyen 38(1) Akta Kontrak dimana:

            Pihak–pihak suatu kontrak wajib melaksanakan atau wajib menawar untuk melaksanakan janji mereka masing-masing, melainkan jika pelaksanaan sedemikian itu telah dilepaskan atau dimaafkan oleh peruntukan–peruntukan ordinan ini atau mana-mana undang–undang lain. 

Dalam keadaan jika salah satu pihak kepada kontrak mati sebelum sempat melaksanakan kewajipanya menurut kontrak itu, maka pelaksaan kontrak tersebut akan diteruskan oleh wakil–wakil si mati[9]. Perkara ini dijelaskan oleh seksyen 38(2) Akta kontrak 1950 di mana:

Janji–janji adalah mengikat wakil–wakil pembuat janji–janji apabila matinya pembuat janji sebelum pelaksanaannya, melainkan jika ternyata niat yang berlawanan dalam kontrak itu.

            Sesetengah kontrak mewujudkan tanggungjawab tambahan selepas tanggungjawab utama kontrak dilaksanakan. Tanggungjawab ini juga perlu disempurnakan sepenuhnya oleh pihak yang membuat janji. Selagi tanggunjawab belum tamat ataupun disempurnakan, kontrak itu akan terus wujud dan mengikat. Tanggungjawab tambahan ini umpamanya dalam bentuk jaminan, perkhidmatan selepas jualan, penyelenggaraan percuma dalam tempoh tertentu ataupun seumpamanya[10].

            Terdapat juga kontrak yang mempunyai opsyen atau pilihan. Ini bermakna salah satu pihak memberikan hak kepada pihak lain bagi memilih samada menyambung kontrak yang sedia ada atau tidak. Bagi kontrak yang mengandungi opsyen, penamatan kontrak tidak semestinya berlaku apabila ia dilaksanakan. Pihak yang memberi opsyen masih terikat dengan opsyen itu walaupun dia sudah melaksanakan kontrak. Jika pihak yang mempunyai opsyen memilih hendak meneruskan kontrak, maka pemberi opsyen akan terus terikat dengan kontrak dan perlu melaksanakan tanggungjawab kontraknya sekali lagi[11].

Masa pelaksanaan.

Seksyen 51 Akta Kontrak 1950 menyebut:

Pelaksanaan sesuatu janji boleh dibuat dengan apa–apa cara, atau pada bila–bila masa yang ditetapkan atau dipersetujui oleh penerima janji.

Ini menunjukkan bahawa soal penentuan ‘masa’ untuk pihak–pihak yang berkontrak melaksanakan kontrak yang dimasuki adalah satu persoalan fakta. Prinsip berhubung kebebasan berkontrak tetap didukung di mana pihak–pihak adalah bebas untuk menetapkan masa untuk mereka melaksanakan obligasi mereka di bawah kontrak[12]. Menurut seksyen 47 Akta Kontrak 1950 pula:

Jika, seorang pembuat janji, dengan kontrak, dikehendaki melaksanakan janjinya tanpa permohonan dari penerima janji, dan masa untuk melaksanakanya tidak ditetapkan, perjanjian itu mestilah dilaksanakan dalam suatu masa yang munasabah.

Menurut seksyen 48, jika sesuatu janji itu perlu dilaksanakan pada hari tertentu dan tak memerlukan permintaan daripada penerima janji, maka pembuat janji mesti melaksanakan mengikut masa dan tempat yang sudah dipersetujui[13]. Sebaliknya mengikut seksyen 49, Akta kontrak 1950 pula, jika janji itu hendak dilaksanakan pada suatu hari tertentu, tetapi salah satu pihak tidak sanggup melaksanakannya tanpa permohonan pihak yang lagi satu, maka pihak yang satu lagi perlu memohon janji tersebut dilaksanakan mengikut tempat dan masa yang sesuai[14].

Seksyen 50 menetapkan bahawa jika suatu janji hendak dilaksanakanya tanpa permintaan penerima janji dan tiada tempat bagi pelaksanaan, maka menjadi kewajipan pembuat janji supaya meminta penerima janji memilih tempat yang munasabah bagi pelaksanaan janji itu, dan pelaksanaanya di tempat yang dipilih itu[15].  

Keadaan di mana masa penting kepada kontrak.

Menurut seksyen 56 (1) Akta Kontrak 1950,jika kedua-dua pihak bersetuju bahawa masa adalah perkara penting dan teras kontrak mereka, sekiranya salah satu pihak dalam kontrak berjanji akan melaksanakan obligasinya pada atau sebelum suatu masa yang telah ditetapkan, tetapi kemudiannya dia gagal melaksanakannya, maka kontrak tersebut menjadi boleh batal atas pilihan satu lagi[16].

Sebaliknya menurut seksyen 56 (2) Akta Kontrak 1950 pula memperuntukkan “Kalaulah bukan menjadi niat pihak-pihak kontrak bahawa masa hendaklah menjadi teras kontrak itu, maka kontrak itu tidaklah menjadi boleh batal oleh kemungkiran melakukan perkara sedemikian pada atau sebelum masa yang ditetapkan itu, tetapi penerima janji itu berhak menerima pampasan daripada pembuat janji untuk sebarang kerugian yang menimpanya oleh sebab kemungkiran itu[17].

Dalam keadaan di mana masa untuk pelaksanaan kontrak telah ditetapkan, tetapi salah satu pihak menerima pelaksanaan kontrak selepas masa yang telah ditetapkan berlalu, maka pihak yang menerima ini tidak boleh lagi menuntut pampasan atau ganti rugi atas kerugian yang disebabkan oleh kemungkiran kerana tidak mengikut masa yang telah ditetapkan[18].

3.2.2. Pelepasan Disebabkan Oleh Pecah Kontrak.

Suatu kontrak juga adalah dilepaskan daripada pelaksanaanya jika terdapat mana–mana pihak di bawah kontrak itu gagal mematuhi obligasinya seperti yang dipersetujui menurut terma–terma dan juga syarat–syarat kontrak tersebut. Pihak yang gagal ini dianggap telah memungkiri kontrak itu justeru memberikan hak kepada pihak yang melaksanakan obligasinya dengan menuntut ganti rugi daripada pihak yang telah memungkiri tadi[19].

a) Penolakan Kontrak

            Penolakan Kontrak berlaku apabila salah satu pihak dalam kontrak memilih dan menyatakan kepada pihak yang lain, sama ada dengan perkataan atau perbuatan bahawa beliau tidak mahu meneruskan kontrak tersebut, maka beliau dikatakan telah menolak kontrak. Ini biasanya berlaku apabila terdapat mana–mana pihak yang gagal melaksanakan obligasinya mengikut terma dan syarat–syarat yang telah dipersetujui.

            Pihak yang telah dimungkiri dalam suatu kontrak adalah lebih dikenali sebagai pihak teraniaya dan diberi hak dibawah seksyen 40 Akta Kontrak 1950 untuk menamatkan kontrak tersebut jika ternyata pihak yang satu lagi telah menolak kontrak tersebut dengan memungkirinya. Seksyen 40 Akta Kontrak 1950 ini menyebut:

Apabila suatu pihak bagi suatu kontrak telah enggan melaksanakan, atau telah tak membolehkan dirinya dari melaksanakan, janjinya pada keseluruhanya, maka penerima janji bolehlah menamatkan kontrak itu, melainkan jika ia telah menunjukkan, dengan kata–kata atau kelakuan, persetujuan untuk meneruskan kontrak itu.

Seksyen di atas secara amnya meletakkan dua keadaan yang memberi hak kepada pihak teraniaya untuk menamatkan kontrak iaitu pertama, apabila satu pihak enggan melaksanakan kontrak itu dan kedua, apabila satu pihak tak berupaya melaksanakanya[20]. Selain itu pihak teraniaya boleh memilih untuk meneruskan kontrak walaupun menyedari kewujudan dua keadaan yang berlaku dalam kontrak tersebut.

Menurut kes Cheng Chuan Development Sdn Bhd v Ng Ah Hock, perayu yang merupakan seorang pemaju perumahan telah bersetuju untuk menjual sebuah rumah kedai kepada responden dengan harga RM 49,500.00. Responden telah pun menjelaskan wang tempahan kepada perayu. Perayu kemudiannya cuba menaikkan harga rumah kedai tersebut kepada RM85,000.00. Perayu seterusnya memulangkan cek dan wang tempahan pembeli. Peguam responden merupakan salah seorang penerima cek tersebut dan dia telah pun menunaikannya . Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa satu penolakkan kontrak telah berlaku apabila perayu menulis surat kepada responden memaklumkan tentang kenaikan harga serta tindakannya memulangkan wang tempahan . Walaubagaimana pun menurut mahkamah lagi, tindakan peguam responden menunaikan cek yang diterima itu jelas menunjukkan penerimaanya terhadap kemungkinan kontrak oleh perayu dan keadaan ini menyebabkan kontrak tersebut tamat atas kemungkiran kontrak oleh perayu[21].

b) Kemungkiran asasi kontrak

            Pihak yang telah dimungkiri dalam suatu kontrak yang boleh membatalkan kontrak tersebut akibat berlakunya kemungkiran asasi kontrak berkenaan. House Of Lords dalam kes Suisse Atlantique Societe D’Armement Maritine SA v Nv Rotter damche Kolan centrale yang mentafsirkan kemungkiran asasi sebagai satu kemungkiran yang rapuh yang memberi hak kepada pihak yang bersalah untuk menganggap dirinya telah dilepaskan dari lialibiliti. Ini bermaksud jika perkara yang menjadi asas kepada kontrak telah dimungkiri, ini jelas menyebabkan kemusnahan kontrak tersebut secara keseluruhannya[22].

a) Hak untuk menganggap kontrak sebagai masih berjalan

Hak ini dijelaskan dalam Seksyen 40 Akta Kontrak 1950 menyatakan bahawa pihak yang telah dimungkiri dalan kontrak boleh menunjukkan sama ada dengan kata atau kelakuan, persetujuan yang meneruskan kontrak itu. Ini menunjukkan bahawa apabila berlakunya kemungkiran  kontrak pada satu pihak, pihak yang satu lagi iaitu pihak teraniaya diberi pilihan sama ada yang menamatkan atau meneruskan kontrak berkenaan.

Sekiranya beliau memilih untuk meneruskan kontrak itu , maka obligasi-obligasi dalam kontrak berkenaan adalah berjalan seperti yang telah dipersetujui. Dalam memilih hak untuk meneruskan suatu kontrak yang telah dimungkiri, pihak yang teraniaya perlulah mengetahui bukan sahaja mengenai fakta yang menimbulkan haknya untuk memilih meneruskan kontrak tetapi juga mengetahui akan kewujudan haknya ini. Perbuatan mendiamkan diri oleh pihak teraniaya tidak boleh dianggap sebagai memilih hak untuk meneruskan kontrak yang dimungkiri.[23]

Keadaan ini telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan England dalam kes Peyman v. Lanjani, di mana pembeli sebuah tanah pajakan tidak mengetahui bahawa wujud kecacatan pada hak milik penjual tanah tersebut. Tindakan beliau yang tidak melakukan sebarang langkah yang sepatutnya telah dianggap sebagai memilih untuk meneruskan pembelian tanah pajakan itu. Mahkamah memutuskan bahawa disebabkan pembeli tidak mengetahui kewujudan haknya, maka perbuatan mendiamkan dirinya tidak boleh dianggap sebagai memilih untuk meneruskan kontrak[24].

b) Hak untuk menganggap kontrak sebagai tamat

Selain mempunyai hak untuk meneruskan kontrak, pihak teraniaya juga mempunyai hak di bawah Seksyen 40 Akta kontrak 1950 yang menganggap kontrak itu sebagai tamat. Jika pihak teraniaya memilih untuk menamatkan kontrak yang telah dimungkiri itu, maka segala lialibilitinya di bawah kontrak adalah dilepaskan ini membolehkannya mendapatkan remedi-remedi di bawah undang-undang kontrak.

Dalam kes Ban Hong Joo Mines Ltd v Chen & Yap Ltd, perjanjian antara perayu dan responden mempersetujui bahawa responden akan menjalankan kerja–kerja pengorekan tanah untuk perayu pada kadar bayaran yang telah ditetapkan dan 70% daripada kerja–kerja yang dilaksanakan hendaklah dibuat bayaranya pada setiap dua minggu. Perayu kemudiannya enggan membuat bayaranya pada setiap dua minggu itu dan kemudiannya perayu telah mengarahkan responden menghentikan kerja–kerja pengorekan itu. Responden menuntut ganti rugi akan kemungkiran kontrak oleh perayu. Gill HMP di Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tindakan perayu merupakan satu tindakan penamatan kontrak dan memberi hak kepada responden untuk menuntut ganti rugi atas kemungkirannya itu[25].

c) Hak di bawah Seksyen 65 Akta Kontrak 1950.

Selain daripada menguatkuasakan hak–hak ke atas kontrak yang dimungkiri menuntut Seksyen 40 Akta Kontrak 1950, pihak yang teraniaya juga mempunyai hak di bawah Seksyen 65 Akta yang sama di mana menurut peruntukan seksyen ini:

            Bila seseorang yang mempunyai opsyen untuk membolehbatalkan suatu kontrak membatalkannya pihak yang lain dalam kontrak itu tidak perlu melaksanakan sebarang janji yang terkandung di dalam kontrak di mana ianya adalah pembuat janji. Pihak yang membatalkan suatu kontrak boleh batal hendaklah, jika dia telah mendapat sebarang faedah darinya daripada suatu pihak yang lain dalam kontrak itu, memulangkan faedah sedemikian, setakat mana yang boleh, kepada orang dari siapa dia menerimanya.

Jika diteliti peruntukan Seksyen 65 Akta Kontrak 1950 ini adalah lanjutan daripada Seksyen 40 Akta Kontrak 1950 yang telah dibincangkan terdahulu, iatu apabila pihak teraniaya memilih untuk menamatkan kontrak yang telah dimungkiri menurut Seksyen 40 Akta Kontrak 1950 dengan membatalkan kontrak berkenaan, maka menurut Seksyen 65 Akta Kontrak 1950 pula, pihak yang telah membuat kemugkiran pula perlu lagi melaksanakan sebarang janji yang telah dibuatnya di bawah kontrak tersebut.

Seksyen ini seterusnya menghendaki pihak teraniaya memulangkan  segala manfaat, setakat mana yang boleh, yang telah diterimanya daripada kontrak tersebut kepada pihak yang telah memungkiri kontrak berkenaan. Bagi menguatkan lagi kesinambungan Seksyen 65 dan Seksyen 40 Akta Kontrak 1950 ini, Mac Intyre H dalam kes Yong Mok Hin v. United Malay States Sugar Industries Ltd berpendapat bahawa Seksyen 65 Akta Kontrak 1950 hendaklah dipakai bagi penamatan kontrak dibawah seksyen 40 Akta yang sama[26].
 
3.2.3. Pelepasan melalui Perjanjian.

Secara umumnya, penamatan kontrak melalui perjanjian boleh berlaku di bawah Seksyen 63 yang melibatkan penamatan mutlak, pembaharuan dan pindaan, serta di bawah Seksyen 64 yang melibatkan pengetepian pelaksanaan kontrak[27].

Bentuk Penamatan di bawah Seksyen 63.

Bentuk penamatan kontrak di bawah Seksyen 63 Akta Kontrak 1950 boleh berlaku sama ada melalui penamatan mutlak, pembaharuan atau pindaan. Seksyen itu memperuntukkan bahawa:

Jika pihak–pihak suatu kontrak bersetuju untuk menggantikannya dengan suatu kontrak baharu, atau untuk membatalkan atau memindanya, maka kontrak asal itu tidak perlu dilaksanakan.

Jenis yang pertama menurut seksyen ini adalah penamatan secara mutlak iaitu apabila pihak–pihak yang berkontrak bersetuju menamatkan terus kontrak itu walaupun pelaksanaan kontran belum berlaku ataupun ia dilaksanakan separuh jalan. Akibat persetujuan itu, kedua–dua pihak tidak lagi mempunyai apa–apa ikatan perundangan. Penamatan mutlak ini berlaku sama ada bagi memutuskan terus hubungan antara kedua–dua pihak ataupun bagi mewujudkan kontrak baru yang sama sekali tidak ada kaitan dengan kontrak yang pertama. Selain itu, penamatan juga dapat berlaku dengan pembaharuan dan pindaan. Ini bermakna, pihak–pihak yang berkontrak masih mahu meneruskan kontrak tetapi mengubah terma–termanya. Perubahan ini boleh dibuat sama ada dengan menukar kontrak asal kepada kontrak baru secara keseluruhannya ataupun dengan membuat kontrak tambahan yang dibaca bersama–sama kontrak yang asal[28].

Bentuk–bentuk penamatan di bawah Seksyen 64.

Di samping Seksyen 63, Seksyen 64 pula membolehkan suatu pelaksanaan janji dikecualikan, dikurangkan ataupun dipanjangkan tempohnya atau kehendak pihak yang sepatutnya menerima manafaat daripada dijanji itu. Menurut seksyen 64 Akta Kontrak:

Tiap–tiap penerima janji boleh membebas atau mengurangkan sebahagian atau keeluruhan daripada pelaksanaan janji yang telah dibuat kepadanya, atau boleh melanjutkan masa untuk pelaksanaan sedemikian itu, atau boleh menerima sebagai gantinya sebarang pemenuhan, janji yang dia fakir berpatutan.

Seksyen ini berkuatkuasa dalam keadaan satu pihak yang berhak mendapat faedah daripada sesuatu kontrak atas kewajipan ke atas pihak yang lain, boleh mengenepikan haknya ke atas faedah itu sepenuhnya ataupun meringankan kewajipan yang ditanggung oleh pihak yang lain. Keadaan ini berlaku kebanyakkannya dalam keadaan apabila salah satu pihak sudah menyempurnakan ataupun hampir menyempurnakan kewajipannya di bawah kontrak sementara pihak yang lain masih belum dapat menyempurnakan pelaksanaan kewajipannya. Apabila pihak yang belum menyempurnakan pelaksanaan kewajipan itu menghadapi kesulitan, pihak yang pertama tadi boleh melepaskan keseluruhan kewajipannya, meringankannya ataupun memberikan ruang masa tambahan bagi menyempurnakan kewajipannya.[29]

Kewajipan seseorang pemiutang di bawah kontrak pinjaman adalah bagi memberi hutang. Kewajipan penghutang pula adalah membayar kembali hutang dalam jangka masa yang ditetapkan. Kewajipan pemiutang selesai apabila dia menyerahkan jumlah wang pinjaman sebagaimana yang dijanjikan. Kewajipan penghutang belum selesai selagi dia belum melangsaikan hutang itu sepenuhnya mengikut jadual. Oleh itu, pemiutang yang berhak menerima pembayaran hutang boleh melepaskan sepenuhnya tanggungan penghutang bagi pembayaran hutang itu. Dia juga boleh melepaskan hutang itu dengan jumlah yang lebih rendah daripada ataupun memanjangkan tempoh pembayarannya.[30]

Pada dasarnya, Seksyen 64 membenarkan pelepasan dibuat dalam 4 keadaan :[31]
  1. Melepaskan sepenuhnya kewajipan, contohnya A berhutang sebanyak RM 500 daripada B. Oleh kerana A tidak mampu membayar, B melepasakan sepenuhnya tanggungan hutang itu. B tidak lagi boleh menuntut hutang itu.
  2. Melepaskan sebahagian daripada kewajipan. Contohnya A berhutang sebanyak RM 500 daripada B. Oleh kerana A tidak mampu membayar, B meminta A membayar sebanyak RM 200 sahaja. B hanya berhak menuntut sebanyak RM 200 sahaja.
  3. Meluaskan masa pelaksanaan. Contohnya, A berhutang sebanyak RM 6000 daripada B. Menurut kontrak, A perlu membayar sebanyak RM 500 sebulan selama setahun. Oleh kerana A tidak mampu membayar, B meminta A membayar sebanyak RM 250 sebulan selama 2 tahun. Tempoh pembayaran selama 2 tahun berkuat kuasa menggantikan tempoh setahun.
  4. Menerima apa-apa penyelesaian ataupun kepuasan yang difikirkan sesuai. Frasa ini adalah umum mencakupi semua bentuk penyelesaian yang munasabah seperti penyelesaian hutang oleh pihak ke-tiga sebagai memenuhi hutang. Contohnya, A berhutang sebanyak RM 500 daripada B. Oleh kerana A tidak mampu membayar, C menawarkan kepada B bagi membayar hutang A sebanyak RM 350 sebagai penyelesaian kepada keseluruhan hutang A. Jika B setuju, dia tidak boleh menuntut baki RM 150.
3.2.4 : Pelepasan melalui Doktrin Kekecewaan

‘Kekecewaan kontrak’ merupakan istilah yang digunakan dalam undang–undang kontrak yang merujuk kepada berlakunya sesuatu keadaan atau kejadian yang menjadikan suatu kontrak yang telah dibentuk dengan sempurnanya tetapi kemudianya menjadi mustahil dan tidak mungkin dapat diteruskan lagi[32]. Di bawah Akta Kontrak 1950 pula, doktrin kekecewaan kontrak ini terkandung dalam seksyen 57 (2) yang memperuntukkan:

            Suatu kontrak untuk melakukan suatu perbuatan yang, selepas kontrak itu dibuat, menjadi mustahil atau oleh sebab suatu kejadian yang pembuat janji itu tidak dapat mencegah, menjadi tidak sah, maka kontrak itu menjadi mustahil atau tidak sah.

Ciri–ciri kontrak yang mengalami kekecewaan (menurut Seksyen 57 dan beberapa kes mahkamah).
  • Pelaksanaan kontrak itu menjadi mustahil ataupun tidak sah. Mustahil bermaksud pelaksanaan kontrak itu tidak mungkin dapat dibuat. Tidak sah pula bermakna pelaksanaan kontrak itu, jika diteruskan akan bertentangan dengan undang–undang. Skop mustahil ini diluaskan kepada suatu pelaksanaan yang masih boleh dilaksanakan tetapi pelaksanaanya melibatkan satu perubahan radikal berbeza daripada apa yang dijanjikan dalam kontrak.
  • Ia menjadi mustahil ataupun tidak sah selepas kontrak dibuat. Ini bermakna, semasa kontrak sedang dibuat, ia masih lagi boleh dilaksanakan.
  • Kejadian yang menyebabkan ia menjadi mustahil itu tidak dapat dihalang ataupun di luar kawalan pihak–pihak yang kontrak. Jika perkara mustahil itu berlaku akibat pilihan yang dibuat oleh pihak–pihak yang berkontrak, maka ia termasuk dalam kategori kekecewaan, sebaliknya ia dianggap sebagai pelanggaran kontrak– kontrak[33].















 















a.  Hilang atau musnah sesuatu yang menjadi asas kontrak.

Kontrak kini boleh dilepaskan daripada obligasi mereka sekiranya perkara yang menjadi asas kepada kontrak tersebut hilang atau musnah secara keseluruhanya[34]. Malah kontrak itu tidak dapat dimanfaatkan sebagaimana dikehendaki oleh kontrak. Bagi kontrak jualan barang, perkara yang dikontrakkan merujuk kepada barang jualan itu. Bagi kontrak sewa pula, ia merujuk kepada premis ataupun barang yang disewakan.[35]

b. Kematian dan ketidakupayaan.

Doktrin kekecewaan juga beroperasi dalam keadaan berlakunya samaa da kematian pada salah satu pihak yang berkontrak mahupun kedua–dua pihak yang berkontrak[36]. Keadaan ini berlaku dalam kontrak–kontrak perkhidmatan ataupun kontrak kerajaan[37]. Jika salah satu pihak mati ataupun tidak berupaya untuk meneruskan kontrak akibat kecacatan atau keuzuran, maka kontrak tersebut dianggap terkecewa atas sebab kematian atau ketidakupayaan pihak tadi.

‘Terkecewa’ di sini bermaksud kontrak tersebut tidak dapat diteruskan oleh pihak yang satu lagi atas dua sebab tadi[38]. Sebagai contoh, dalam misalan (e) Seksyen 57 (2) Akta Kontrak 1950 menyatakan:

            A berkontrak untuk melakukan di sebuah panggung selama 6 bulam sebagai balasan kepada suatu bayaran yang dibuat terlebih dahulu oleh B. Buat beberapa kali, A terlampau uzur untuk berlakon. Kontrak untuk berlakon pada beberapa kali itu menjadi batal.

c. Ketidakwujudan peristiwa yang menjadi asas kontrak.

Sekiranya satu perjanjian adalah bergantung kepada satu keadaan lain atau peristiwa yang menjadi asas pembentukkan kontrak tersebut pada asalnya, maka sekiranya peristiwa tersebut tidak berlaku atau gagal menjadi kenyataan yang bukan berpunca daripada kemungkinan mana–mana pihak yang berkontrak, maka kedua–dua pihak adalah dilepaskan daripada melaksanakan kontrak itu atas kekecewaan kontrak yang berlaku[39].

d. Campur tangan kerajaan yang melibatkan asas kontrak.

Jika terdapatnya campur tangan kerajaan yang secara langsung melibatkan perkara asas dalam satu kontrak yang telah dimasuki oleh kedua–dua pihak dengan sempurnanya, maka kedua–dua pihak yang berkontrak itu juga adalah dilepaskan daripada obligasi masing–masing akibat kekecewaan kontrak yang dimasuki. Keadaan seumpama ini biasanya berlaku sekiranya kerajaan meluluskan apa–apa peraturan, permohonan ataupun undang–undang baru yang menyentuh mengenai perkara pokok kontrak yang telah dibuat antara kedua–dua pihak[40].

e. Berlakunya peperangan.

Apabila berlakunya peperangan di kalan satu kontrak yang telah dibentuk sedang berjalan, kontrak tersebut pastinya menjadi mustahil untuk diteruskan oleh kedua–dua pihak. Ini adalah kerana peperangan yang berlaku sudah tentunya akan memberi kesan kepada pelaksanaan kontrak secara keseluruhanya. Oleh itu kontrak tersebut adalah dianggap terkecewa atas sebab peperangan ini[41].

f. Tujuan kontrak tidak tercapai.

Apabila tujuan kontrak tidak tercapai. Keadaan ini berlaku apabila kontrak itu dibuat bagi mencapai tujuan tertentu dan tujuan itu tidak dapat dilaksanakanya akibat sesuatu kejadian di luar kawalan pihak–pihak yang berkontrak[42].

Keadaan di mana doktrin kekecewaan tidak terpakai

a. Pelaksanaan lebih sukar, mahal atau terlewat.

Dalam kes Tsakiroglou & Co. v. Noblee Thorl G.M.B.H, perayu telah bersetuju untuk menjual kacang tanah kepada responden melalui kapal yang akan membawanya dari Sudan ke Hamburg pada bulan November atau Disember 1956. Pada 2 November, Terusan Suez telah ditutup dan penutupanya akan berterusan untuk tempoh selama lima bulan. Harga kacang tanah melalui c.i.f. Hamburg telah dikira berdasarkan perkapalan melalui Terusan Suez walaupun kontrak yang dimasuki tidak mengandungi peruntukan sedemikian. Perayu kemudianya enggan meneruskan kontrak dan mendakwa bahawa kontrak tersebut adalah dikecewakan dengan penutupan Terusan Suez. House Of Lords walaubagaimana pun memutuskan bahawa tidak wujud kekecewaan kontrak memandangkan perayu masih boleh menghantar barang berkenaan melalui kapal ke Hamburg melalui Tanjung Good Hope di mana perjalanan tidak secara amnya dan komersialnya jauh berbeza daripada perjalanan melalui terusan itu melainkan ia lebih mahal.

Kes ini menunjukkan bahawa mana–mana pihak tidak boleh mengambil kesempatan akan doktrin kekecewaan ini semata–mata untuk mengelakkan penangguhan kos yang tinggi bagi meneruskan kontrak mereka. Mahkamah sentiasa berhati–hati dalam pemakaian doktrin ini oleh mana–mana pihak dalam kontrak bagi memastikan suatu kontrak itu dilaksanakan dengan sempurnanya tanpa dibuli oleh mana–mana pihak[43].

b. Kekecewaan disebabkan oleh diri sendiri.

Sekiranya kekecewaan adalah disebabkan oleh atau berpunca dari diri orang itu sendiri, maka ini tidak boleh dijadikan alasan oleh orang itu untuk melepaskan dirinya daripada obligasinya dalam kontrak yang telah dipersetujui pada asalnya. Keadaan ini biasanaya berlaku di mana berlakunya kejadian atau keadaan yang tidak dapat di elakkan oleh seseorang itu. Ini akhirnya menjadikan beliau bertanggungjawab ke atas kekecewaan yang berlaku. Tetapi kekecewaan yang berpunca darinya itu tidak sesekali melepaskan obligasi pihak–pihak dalam kontrak[44].

3.3 Doktrin Pilihan.

Apabila satu pihak telah melakukan pecah kontrak, pihak lain boleh memilih sama ada untuk menamatkan kontrak itu atau menganggapnya sebagai terus wujud dan berkuatkuasa[45]. Suatu kontrak dilepaskan dengan cara ini apabila pihak yang tidak bersalah membuat pilihan menamatkan kontrak itu. Dengan itu semua obligasi kontraktual berakhir di sini. Ini telah dinyatakan dalam kes Howard lwn Pickford Tool Co. di mana mahkamah memutuskan bahawa pihak yang tidak boleh dipaksa oleh orang lain untuk menerima penolakan kontrak olehnya. Seandainya perlanggaran yang dibuat tidak menyentuh syarat-syarat yang menjadi akar umbi kontrak (‘goes to the root of the contract) pihak yang tidak bersalah berhak mendapat ganti rugi sahaja dan tiada hak membuat pilihan[46]. Jika ia menamatkan kontrak itu, ia dilepaskan dari liabiliti selanjutnya di bawah kontrak itu dan boleh terus mendapatkan remedinya di bawah undang–undang, misalnya ganti rugi, bayaran berasaskan quantum meruit atau (dalam kes–kes tertentu mengikut budibicara mahkamah) perintah pelaksanaan spesifik[47].

Sebaliknya, jika satu pihak memilih untuk meneruskan kontrak, pihak tersebut akan terus mengikat dengan syarat kontrak seolah–olah tiada pelanggaran berlaku[48]. Jika ia meneruskan kontraknya, pihak yang melakukan pecah kontrak itu masih boleh berlindung dibawah mana–mana fasal pengecualian yang ada dalam kontrak. Hak memilih yang ada pada pihak yang tidak bersalah ini dipanggil doktrin pilihan (doctrine of election)[49].

Doktrin pilihan ini tertakluk kepada syarat terdahulu, iaitu pihak yang tidak bersalah mestilah mengetahui bukan sahaja fakta yang menimbulkan hak untuk memilih tetapi juga bahawa haknya itu telah wujud. Jika kerana sesuatu sebab ia tidak mengetahui bahawa ia kini berhak membuat pilihan, kegagalannya untuk bertindak menamatkan kontrak tidak boleh disifatkan sebagai memilih untuk meneruskan kontrak. Dalam kes Peyman v Lanjani (1984) 3 All ER 703, pembeli tanah pajakan tidak mengetahui bahawa terdapat kecacatan pada hakmilik penjual dan oleh itu ia tidak menjalankan apa–apa tindakan sewajarnya. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perbutan mendiamkan diri oleh pembeli tidak boleh dianggap sebagai memilih untuk meneruskan kontrak kerana pembeli tidak tahu bahawa ia mempunyai hak untuk berbuat hak demikian[50].

Dalam kes Sim Chio Huat v Wong Teo Fui (1983) 1 MLJ 151, Mahkamah Persekutuan memutuskan apabila seorang pemaju perumahan gagal menyerahkan rumah yang telah siap dibina kepada pembelinya pada tarikh yang telah ditetapkan, masa menjadi asas kontrak, pembeli ada pilihan sama ada untuk menamatkan kontrak itu atau meneruskanya. Memandangkan bahawa pembeli telah membiarkan masa berlalu tanpa menolak kontrak, malahan telah meminta pemaju menjalankan kerja tambahan, ia dianggap telah mengenepikan haknya untuk menamatkan kontrak. Dengan lain perkataan, ia dianggap telah memilih meneruskan kontrak[51].


Sebagai kesimpulanya, ketidakupayaan untuk pelaksanaan mestilah berpunca dari pihak yang terlibat dan bukanlah disebabkan oleh sesuatu perkara yang berlaku dengan tiba–tiba atau tidak diduga iaitu kekecewaan, yang membuatkan kontrak itu dilepaskan[52].



[1] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Mengenali Undang-undang Kontrak Malaysia. Cetakan Pertama. Selangor. International Law Book Services. Hlm 177
[2] P.W.D. Redmond & Stevens. 1993. Prinsip-Prinsip Am Undang-Undang Inggeris. Cetakan Pertama. International Law Book Services. Hlm 149-150.
[3] Shaik Mohd Noor Alam S.M. Hussain. 1995. Ibid. Hlm 144
[4]  Shaik Mohd Noor Alam S.M. Hussain. 1995. Ibid. Hlm 151. 
[5] Kamus Undang – undang. 1995. Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd. Hlm 74.
[6] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Mengenali Undang-undang Kontrak Malaysia. Cetakan Pertama. Selangor. International Law Book Services. Hlm 177.
[7] Salleh Buang. 1992. Undang-undang Kontrak di Malaysia. Kuala Lumpur. Central Law Book Company Hlm 219.
[8]Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid. Hlm  177.
[9] Ibid. Hlm 178.
[10] Muhammad Fathi Yusof. 2006. Soal Jawab Undang-undang Kontrak. Cetakan Pertama. Pahang. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.Hlm 154.
[11] Muhammad Fathi Yusof. 2006. Ibid. Hlm  154.
[12] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid. hlmn 182.
[13] Muhammad Fathi Yusof. 2006. Ibid.Hlm 155.
[14] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid. Hlm 183.
[15] Muhammad Fathi Yusof. 2006. Ibid. Hlm 156.
[16] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid. Hlm 183.
[17]Haspriza Ashari. 2003. Prinsip Undang-undang Malaysia. Cetakan Kedua. Pahang. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.Hlm  hlm 183.
[18] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid. Hlm 183.
[19] Ibid. Hlm 186.


[20] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid. Hlm 187.
[21] Ibid. Hlm 187
[22]Ibid. Hlm 188.
[23] Ibid. Hlm 188
[24] Ibid. Hlm 189.
[25] Ibid. Hlm 189.
[26] Ibid. Hlm 190.
[27] Muhammad Fathi Yusof. 2006. Ibid. Hlm 159.
[28] Ibid. Hlm 160.
[29]Ibid.  Hlm 161.
[30] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid. Hlm 162
[31] Ibid Hlm 162
[32] Ibid. Hlm 193.
[33] Muhammad Fathi Yusof. 2006. Ibid.  Hlm 166.
[34] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid.  Hlm 194
[35] Muhammad Fathi Yusof. 2006. Ibid.  Hlm167
[36] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid. Hlm 195
[37]Muhammad Fathi Yusof. 2006. Ibid.   Hlm 167.
[38] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid. Hlm 195.
[39] Ibid. Hlm 196.
[40] Ibid. Hlm 197.
[41] Ibid Hlm 197.
[42] Muhammad Fathi Yusof. 2006. Ibid Hlm 167.
[43]  Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Ibid. Hlm 200.
[44] Ibid. Hlm 201.
[45] Salleh Buang.1995. Undang – undang Kontrak Di Malaysia. Selangor. Central Law Book Corporation Sdn Bhd. Hlm 244. 
[46] Saudah Sulaiman. 2000. Pengenalan Undang – Undang Kontrak dan Agensi. Cetakan Pertama. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia. Hlm 132.
[47] Salleh Buang.1995. Ibid. Hlm 244.
[48] Ibid. Hlm 132.
[49] Ibid. Hlm 244.
[50]Ibid. Hlm 245.
[51] Ibid. Hlm 246.
[52] Saudah Sulaiman. 2000. Ibid.. Hlm 133.

Sharing is caring ^_^

1 comment: