Definisi
Hadanah
Hadanah
berasal daripada perkataan Arab iaitu, al-hidn yang bererti rusuk, kerana
seorang ibu, apabila mengasuh atau mendukung anaknya selalu meletakkan anak itu
di sebelah rusuknya. Perkataan ini juga bererti peluk, kerana ibu itu dengan
sebab kasih sayang terhadap anaknya, selalu mendakap dan memeluk anaknya.
(Mahamad, 2006) Ia disokong oleh penulis-penulis lain. (Rojanah, 2011)
(Zulkifly, 2009) Dalam konteks penjagaan anak, perkataan hadanah digunakan bagi
maksud tarbiyah (pendidikan) dan juga ri’ayah (pengawasan). (Nurazmallai, 2008)
Selain itu, ia bermaksud mengendong sesuatu dengan tangan yang bermaksud
menjaga dan membesarkan seorang kanak-kanak. (Normi, 2007)
Dari segi istilah, hadanah merujuk
kepada penjagaan, pengawasan dan pengasuhan sama ada dari segi fizikal, jiwa
dan akal bertujuan menjaga maslahah kanak-kanak yang tidak mampu menjaga diri
sendiri supaya dapat membesar dalam keadaan sempurna (Zanariah, 2010) Ia
disokong oleh penulis lain. (Raihanah & Najiha, 2010) Penulis lain menambah
hadanah mesti dilakukan oleh ibunya atau orang lain yang layak untuk
memeliharanya (Roslina & Nora, 2011) Kedua-dua penulis lain berpendapat
hadanah berterusan sehingga anak itu sanggup untuk berdiri sendiri dan dapat
pula mengatasi persoalan hidup dan kehidupan yang akan dihadapinya. (Mahamad,
2006) Ia disokong oleh penulis lain. (Abu Bakar, 2009) Pengertian oleh penulis
lain pula merujuk kepada perlindungan daripada bahaya atau jagaan yang
diberikan kepada seseorang yang tidak boleh menjaga dirinya sendiri seperti
seorang kanak-kanak atau orang gila (Normi, 2007) serta seseorang dewasa yang
mengidap penyakit. (Abdullah, 2006) Penjagaan ini termasuklah makan, minum dan
apa-apa yang memberikan kebaikan dan kemaslahatan mereka (Normi, 2007) serta
menjaga daripada sebarang perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada
dirinya. (Abdullah, 2006) Ia termasuklah memastikan kesihatan tubuh dan pakaian
pada peringkat umur tertentu. (Zanariah, 2010)
Definisi hadanah merujuk kepada
kanak-kanak, pengertian penjagaan atau tertumpu kepada penjagaan anak kecil.
Undang-undang yang ada yang sedang digunapakai tidak menunjukkan pengertian
hadanah atau penjagaan melangkau kepada seseorang yang lain daripada
kanak-kanak. (Abdullah, 2006) Istilah hadanah merujuk kepada pengasuhan anak
yang masih kecil kerana fitrah anak kecil memerlukan pengasuhan serta
pengawasan rapi. Oleh itu, apabila disebut pertikaian hak hadanah, ia cuma
melibatkan anak-anak kecil dan bukan anak-anak yang telah mumayyiz atau baligh.
(Zanariah, 2010)
Hukum
Hadanah
Hukum
mengasuh dan menjaga anak-anak yang masih kecil adalah wajib. Mengabaikan dan
mendedahkan tanggungjawab ini bererti mendedahkan mereka kepada bahaya dan
kebinasaan, sedangkan kedua-duanya perlu dihindarkan. (Mahamad, 2006)
Syarat-syarat
Menjadi Pengasuh
Setiap
enakmen negeri meletakkan syarat-syarat tertentu yang menjadi kriteria
kelayakan seseorang untuk menjadi pengasuh. (Zanariah, 2004) Seseorang pengasuh
dianggap berkelayakan mendidik dan menjaga kanak-kanak jika dia: (Zanariah,
2010)
a)
adalah seorang yang beragama Islam;
b)
adalah seorang yang waras akal fikiran;
.
c)
adalah seorang yang pada tahap umur
yang layak untuk menjaga dan memberi kasih sayang yang diperlukan oleh
kanak-kanak;
d)
adalah seorang yang mempunyai akhlak
yang baik menurut Islam; dan
e)
adalah seorang yang tinggal di tempat
yang terjamin keselamatan moral dan fizikal kanak-kanak yang dijaga.
Individu yang layak untuk menerima
penjagaan seseorang kanak-kanak perlulah Islam sebagaimana diperuntukkan dalam
enakmen keluarga Islam di semua negeri. Isu perbezaan agama ini mungkin tidak
begitu relevan di Mahkamah Syariah kerana bidangkuasanya hanya melibatkan orang
Islam sahaja. Namun, di Mahkamah Sivil ia menjadi begitu relevan. (Normi, 2007)
kerana persoalan tentang akidah Islam seseorang ibu atau bapa dalam pertikaian
hak hadanah anak sering timbul di kalangan ibu dan bapa dari perkahwinan
campur. (Zanariah, 2004) Syarat ini ditetapkan semata-mata untuk memastikan
kanak-kanak tersebut membesar dan diasuh oleh seseorang yang berpegang teguh
dengan ajaran Islam. Kanak-kanak yang membesar dalam suasana tempat orang yang
menjaganya tidak menunaikan ibadat solat atau sering mencuaikannya, misalnya,
mereka akan terikut-ikut dengan budaya ini. Ini sudah tentu tidak memberi
apa-apa kebaikan kepada kebajikan budak ini. (Normi, 2007) Selain itu,
dibimbangi pengasuh tersebut akans menjinak-jinakkan kanak-kanak dengan agama
bukan Islam walaupun kanak-kanak tersebut belum mampu berfikir tentang agama.
(Zanariah, 2004)
Syarat pengasuh yang kedua ialah akhlak
iaitu berkelakuan baik mengikut kehendak agama Islam. (Abdullah, 2006) Syarat
ini ditetapkan semata-mata untuk memastikan kanak-kanak tersebut membesar dan
diasuh oleh seseorang yang berpegang teguh dengan ajaran Islam (Normi, 2007)
yang menjadi matlamat utama pensyariatan hadanah. (Zanariah, 2004) Kanak-kanak
yang membesar dalam suasana tempat orang yang menjaganya tidak menunaikan
ibadat solat atau sering mencuaikannya, misalnya, akan terikut-ikut dengan
budaya ini. Ini sudah tentu tidak memberi apa-apa kebaikan kepada kebajikan
kanak-kanak. (Normi, 2007) Persoalan akhlak juga timbul dalam keadaan wujudnya
beberapa orang yang sama-sama layak dan berhasrat untuk menjaga kanak-kanak
itu, penjagaan hendaklah diberi keutamaan kepada mereka yang mempunyai
ciri-ciri sifat mulia yang diamalkan, perasaan kasih sayang dan sifat amanah.
Untuk tujuan itu, mahkamah akan memerhati cara mereka bercakap, melayan
kanak-kanak serta dapat memberi komitmen mereka kepada ajaran agama. (Abdullah,
2006)
Syarat yang ketiga ialah pengasuh
mestilah mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk mendidik. Oleh itu, orang buta
atau rabun, orang yang mengalami lemah keupayaan fizikalnya sehingga tidak
mampu menjaga anak-anak kecil dan juga orang-orang yang berusia lanjut tidak
boleh menjadi pengasuh. Mereka ini sebenarnya memerlukan orang lain untuk
menjaga mereka. (Mahamad, 2006) Pengasuh memikul tanggungjawab yang berat untuk
menjaga dan mendidik anak-anak hingga ke peringkat yang lebih tinggi.
(Abdullah, 2006)
Syarat yang keempat ialah seseorang
hadin atau hadinah mestilah seseorang yang mempunyai umur yang melayakkan dia
memberi jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu.
(Mahamad, 2006) Disyaratkan baligh dan sampai umur tidak termasuk kanak-kanak
yang belum baligh kerana kanak-kanak tidak mampu menjalankan tugas menjaga dan
memelihara kanak-kanak sedangkan orang yang baligh atau dewasa dapat menilai
baik dan buruk. Orang yang belum cukup umur tidak boleh diberikan tanggungjawab
memelihara kanak-kanak, kerana dia sendiri pun masih berada di bawah jagaan
orang lain. (Zainul & Nur, 2009)
Syarat kelima iaitu sempurna akal atau
waras. Orang gila atau nyanyuk ialah orang yang tidak berupaya menguruskan
dirinya. Oleh yang demikian, mereka tidak layak untuk memelihara kanak-kanak.
(Mahamad, 2006) Kalau seseorang itu tidak siuman hanya pada waktu yang terlalu
singkat, contohnya hanya sehari dalam setahun, hadanah masih boleh diberikan
kepadanya. (Normi, 2007) Namun, ada yang berpendapat ia tidak termasuk mereka
yang gila, walaupun sekali dalam setahun. (Zainul & Nur, 2009) Oleh itu,
mahkamah perlu mendapat pandangan pakar walaupun adakalanya pandangan ini tidak
selari dengan hakikat yang dialami oleh pihak-pihak yang didakwa. (Abdullah,
2006)
Syarat keenam iaitu ibu mestilah tidak
berkahwin dengan orang yang bukan mahram anak (Kristine Uhlman, 2004) yang
boleh menyebabkan hak hadanah akan hilang tetapi ia akan dikembalikan semula
jika perkahwinan itu dibubarkan. Perkahwinan ini dibimbangi hadinah itu akan
sibuk dengan tugasnya barunya sehingga menjejaskan kebajikan kanak-kanak dalam
peliharaannya. Oleh kerana itu, kebajikan anak itu masih terpelihara jika
seorang hadinah berkahwin dengan suami yang mempunyai ikatan persaudaraan
dengan kanak-kanak itu. Dia lebih mudah untuk bertolak ansur tentang hak-haknya
apabila isterinya menjalankan tugas sebagai hadinah kerana dia sendiri pun
berasa bertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak itu seperti anak sendiri.
(Normi, 2007) Atas dasar kebajikan kanak-kanak, pengecualian diberikan terhadap
mereka yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan anak itu diperluaskan kepada
mereka yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan asalkan kebajikan kanak-kanak
tidak terjejas. (Mahamad, 2006)
Kehilangan
Hak Hadanah Seorang Pengasuh
Undang-undang
keluarga Islam juga menentukan keadaan-keadaan yang menyebabkan hak hadanah
seseorang pengasuh digugurkan, iaitu:
a)
Sekiranya pengasuh perempuan berkahwin
dengan lelaki yang tidak ada hubungan kekeluargaan yang dilarang berkahwin
dengan kanak-kanak itu. Hak ini hanya akan dikembalikan apabila perkahwinan
tersebut dibubarkan;
b) Jika
pengasuh berakhlak buruk secara keterlaluan dan terbuka;
c) Jika
pengasuh menukar mastautin dengan niat menghalang bapa kepada kanak-kanak
melakukan pengawasan ke atas kanak-kanak, tetapi jika perempuan tersebut adalah
ibu yang diceraikan dia boleh membawa anaknya ke tempat lahirnya;
d) Jika
pengasuh telah murtad meninggalkan agama Islam; dan
e)
Jika pengasuh menganiayai dan
mengabaikan kanak-kanak. (Zanariah, 2010) Sekiranya ibu yang mendapat hak
tersebut, gagal untuk melaksanakan tugasnya dengan baik hingga boleh
menyebabkan kebajikan anak tersebut terabai, maka mahkamah boleh memerintahkan
hak hadanah itu ditarik balik. (Raihanah & Najiha, 2010)
Urutan
Pengasuh
Walaupun
begitu, hak ibu terhadap hadanah ini bukan mutlak. (Zanariah, 2004) Hak ini
boleh digugurkan oleh mahkamah sekiranya dapat dibuktikan bahawa ibu telah
tiada atau tidak layak atau tidak berminat untuk mendapatkan hak jagaan, hak
ini hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan
keutamaan yang berikut:
a.
nenek sebelah ibu hingga ke atas
peringkatnya
b. bapa
c. nenek
sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya
d. kakak
atau adik perempuan seibu sebapa
e. kakak
atau adik perempuan seibu
f. kakak
atau adik perempuan sebapa
g. anak
perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa
h. anak
perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu
i.
anak perempuan dari kakak atau adik
perempuan sebapa
j.
emak saudara sebelah ibu
k. emak
saudara sebelah bapa
l.
waris lelaki yang boleh menjadi
warisnya sebagai asabah atau residuary (Abu Bakar, 2009)
Pertikaian
hadanah biasanya berlaku antara a, b dan c, sementara orang-orang lain yang
disenaraikan boleh dikatakan tidak terlibat. Namun kewujudan mereka dalam
senarai orang-orang yang layak melambangkan betapa ramainya orang-orang yang
boleh diserahkan tugas penjagaan kanak-kanak apabila sesebuah rumah tangga
runtuh. (Abdullah, 2006) Walaupun susunan penjaga bagi kanak-kanak mengikut
keutamaannya telah diperuntukkan di bawah Undang-Undang Keluarga Islam namun
Mahkamah tidak terikat sepenuhnya dengan peruntukan tersebut. Sebaliknya
Mahkamah berkuasa untuk menentukan siapakah yang lebih layak dan lebih sesuai
untuk menjaga kanak-kanak itu demi kebajikan dan kepentingan mereka. (Nora,
2004) Jika ada beberapa orang dari keturunan atau peringkat yang sama,
kesemuanya sama kelayakan dan bersetuju menjaga kanak-kanak itu, jagaan
hendaklah diamanahkan kepada orang yang mempunyai sifat paling mulia yang
menunjukkan perasaan paling kasih sayang kepada kanak-kanak itu, dan jika
kesemuanya sama mempunyai sifat-sifat kemuliaan, maka yang tertua antara mereka
adalah berhak mendapat keutamaan. (Mahamad, 2006)
Tempoh
Hadanah
Pada
dasarnya, tempoh bermula dan berakhirnya hadanah kanak-kanak tidak dinyatakan
dengan jelas di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, namun para fuqaha’ telah
menggunakan ayat mengenai penyusuan dan mengaitkannya dengan hak ibu untuk
memelihara anak yang masih kecil. Penyusuan pada kebiasaannya melibatkan
anak-anak yang masih kecil dan tanggungjawab ini dilaksanakan oleh ibu.
(Zanariah, 2004) Tempoh hadanah telah diperuntukkan dalam Undang-undang
Keluarga Islam iaitu:
1)
Hak hadanah bagi menjaga seseorang
kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun jika
kanak-kanak itu lelaki dan umur sembilan tahun jika kanak-kanak itu perempuan.
Tetapi mahkamah boleh, atas permohonan hadanah membenarkan dia menjaga
kanak-kanak itu sehingga mencapai umur sembilan tahun jika kanak-kanak itu
lelaki dan sehingga umur sebelas tahun bagi kanak-kanak perempuan.
2)
Setelah tamatnya had hadhinah,
penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai
umur kecerdikan (mumayyiz) maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk
tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika mahkamah memerintahkan
selainnya. (Mahamad, 2006)
Perbezaan tempoh antara kanak-kanak
lelaki dan perempuan mengambilkira secara umumnya keperluan kanak-kanak
perempuan tinggal lebih lama bersama ibu untuk diasuh keperibadian sebagai
seorang perempuan dan membiasakan mereka dengan tugas-tugas pengurusan
rumahtangga. Anak lelaki perlu berada di bawah pengawasan bapa bagi mempelajari
tugas-tugas sebagai seorang lelaki yang hanya layak diajar oleh golongan
lelaki. Oleh itu, apabila tamat tempoh hadanah, mengikut prinsip biasa,
penjagaan kanak-kanak diturunkan kepada bapa. Namun, sekiranya pada peringkat
umur tersebut kanak-kanak telah mumayyiz, maka dia berhak memilih untuk tinggal
sama ada bersama ibu atau bapa melainkan jika mahkamah memerintahkan selainnya.
(Zanariah, 2010) Oleh yang demikian, tidak ditentukan tempoh tertentu mengenai
hadanah ini. (Mahamad, 2006)
Upah
Hadanah
Upah
hadanah diberikan kepada ibu atau sesiapa yang berhak tetapi tanggungjawab
nafkah tetap terletak kepada bapa. (Kristine Uhlman, 2004) Segala perbelanjaan
hadanah mestilah ditanggung oleh bapa seperti tempat tinggal sekalipun secara menyewa,
menyediakan pembantu rumah jika diperlukan dan bapa itu mampu selama tempoh ia
melaksanakan tugas tersebut. Jika hadanah dilakukan bukan ibu anak itu sendiri,
ia berhak mendapat upah hadanah sejak mula ia melakukan tugas itu. Upah ini
hanya akan dibayar apabila hadinah itu melaksanakan tugasnya dan jika ia tidak
dibayar akan tetap menjadi hutang yang mesti ditunaikan. Jika ada kaum kerabat
kanak-kanak itu layak untuk melaksanakan tugas hadanah dan ingin melakukan
secara sukarela, sedangkan ibu kanak-kanak itu enggan melainkan jika ia
dibayar, jika bapa berkemampuan, maka bapa itu wajib membayar upah, dan
kanak-kanak itu mesti diasuh oleh ibunya sendiri kerana ia lebih layak dan
bapanya berkemampuan untuk memberikan upahnya. Jika bapa tidak mampu, makan
kanak-kanak itu boleh diserahkan kepada orang yang ingin mengasuhnya secara
sukarela dengan syarat kerabat dekat dengan kanak-kanak itu dan layak.
Sekiranya bapa tidak mampu dan kanak-kanak itu mempunyai harta, maka
kanak-kanak itulah yang akan membayar kepada pengasuh sukarela tersebut. Jika
bapa seorang yang tidak berkemampuan dan kanak-kanak itu tidak mempunyai harta,
dan ibunya enggan untuk memeliharanya kecuali ia dibayar upah, dan tidak juga
diterima di kalangan kerabat kanak-kanak itu yang sanggup memeliharanya secara
sukarela, ibu diperintah untuk memeliharanya dan upah itu tetap menjadi
tanggunggan bapa untuk membayarnya. (Mahamad, 2006)
Kebajikan
Kanak-kanak Dalam Kes Hadanah
Dalam
konteks Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, tiada suatu definisi yang
disepakati berkenaan kebajikan kanak-kanak. Ini bermakna, maksud perkataan ini
boleh berubah-ubah mengikut isu yang dibincangkan. (Zanariah Noor, 2010).
Elemen utama kebajikan kanak-kanak yang
dipertimbangkan dalam kes hadanah ialah perletakan syarat agama. Matlamat utama
pengasuhan kanak-kanak bertujuan membentuk mereka menjadi seorang Islam yang
bertanggungjawab serta memiliki keperibadian yang terpuji. Ini berkait rapat
dengan tanggungjawab ibu bapa membentuk akhlak dan mengajar anak-anak tentang
perbezaan baik buruk dari perspektif agama. Elemen menjadi pendekatan yang
digunakan oleh mahkamah yang meletakkan kemampuan memberikan pendidikan kepada
kanak-kanak sebagai faktor penting dalam pertimbangan menentukan kes pertikaian
hak hadanah. Kemampuan material semata-mata tidak mencukupi bagi menjamin
kebajikan kanak-kanak kerana agama menekankan kehidupan dunia dan akhirat.
(Zanariah, 2010) Namun ada penulis berpendapat bahawa perbezaan agama tidak
sepatutnya menjadi batu penghalang untuk seseorang menjaga kanak-kanak dari
kalangan keluarganya kerana kedua-dua syarat amanah dan Islam adalah dua syarat
yang berbeza. Orang yang bukan Islam hanya cacat pada akidah atau dirinya
sahaja, tetapi orang yang tidak amanah, ia akan merosakkan orang lain. Oleh
itu, sekiranya terdapat dua orang yang berhak ke atas penjagaan kakak-kanak
Islam, salah seorang daripada mereka bukan Islam tetapi amanah dan seorang lagi
beragama Islam tetapi tidak bersifat amanah, maka demi menjaga kebajikan
kanak-kanak tersebut, pihak yang bukan Islam lebih berhak menjaganya.
(Zulkifly, 2009)
Elemen berikutnya menyentuh berkaitan
dengan hak akses atau lawatan kanak-kanak ke atas ibu atau bapa yang tidak
mendapat hak hadanah. Contohnya, walaupun ibu yang diberikan dan mempunyai
kedua-dua hak jagaan serta penjagaan, bapa pula diberi akses atau hak melawat
dan melihat anak mereka. (Nurazmallail, 2007) Pendekatan begini mungkin
lebih baik daripada bermati-matian mendapatkan hak hadanah tetapi kemudiannya
tidak begitu mengambil berat untuk mendidik anak ini. Sekiranya hak hadanah
diberikan kepada ibu, misalnya, dia sepatutnya bertanggungjawab untuk
memastikan hak lawatan atau hak untuk berjumpa dapat dilakukan oleh bapa
kanak-kanak tersebut dengan baik tanpa sebarang halangan daripada pihaknya.
Begitulah sebaliknya jika hak hadanah diberikan kepada bapa. Perasaan marah,
sakit hati atau dendam kepada bekas suami atau isteri sepatutnya cepat
dikendalikan dengan baik demi kepentingan anak-anak yang masih dahagakan kasih
sayang dan belaian kedua-dua ibu bapa walaupun mereka telah berpisah. Perbuatan
menyembunyikan anak-anak daripada berjumpa dengan ibu atau bapa mereka tidak
sepatutnya berlaku kerana ia boleh meninggalkan kesan yang tidak baik kepada
anak-naak itu sendiri. (Normi, 2007)
Elemen seterusnya ialah kemahuan
kanak-kanak. Kemahuan kanak-kanak akan diambil kira oleh pihak mahkamah
berdasarkan kepada umur, kematangan dan sejauh manakah kanak-kanak itu faham
mengenai perkara yang dipertikaikan. Hakim akan bertanya kepada kanak-kanak itu
dan bercakap secara tertutup dan bersendirian untuk mengetahui kecenderungannya
untuk memilih dengan siapa dia mahu diletakkan. (Raihanah & Najiha, 2010)
Hak untuk memilih adalah diiktiraf kerana dianggap menjaga kepentingan
kanak-kanak itu (Rojanah, 2011) jika dia tinggal dengan seseorang yang lebih
menyayangi dan mengambil berat tentang dirinya. (Nora, 2004) Pandangan
kanak-kanak tidak semestinya diikuti oleh mahkamah tetapi sekurang-kurangnya
membantu pihak mahkamah dalam menyelesaikan kes yang rumit ini. Hak yang
diberikan kepada kanak-kanak untuk memilih tidaklah sampai boleh menjejaskan
kebajikannya. (Normi, 2007) Pemilihan pengasuh yang dilakukan oleh kanak-kanak
tidak mutlak. Mahkamah ketika membuat penghakiman, perlu mengambilkira sama ada
pemilihan tersebut menjejaskan kebajikannya sendiri atau tidak. (Zanariah,
2010) Ini termasuklah kehendak dan kecenderungannya untuk memeluk agama Islam.
(Zulkifly, 2009)
Elemen seterusnya menyentuh berkenaan
penjagaan yang berterusan kanak-kanak. Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri
memperuntukkan: “adalah menjadi anggapan yang boleh dipatahkan bahawa adalah
untuk kebaikan seorang kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama
ibunya, tetapi pada memutuskan sama ada anggapan itu dipakai bagi fakta-fakta
sesuatu kes tertentu, mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada tidak baiknya
mengacau kehidupan seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukar jagaan”.
(Zanariah, 2004)
Selain itu, elemen yang tidak kurang pentingnya
iaitu perasaan kanak-kanak yang dipertikaikan. Elemen kasih sayang oleh penjaga
kepada kanak-kanak. Penjaga mestilah memberikan kasih sayang yang mungkin
diperlukan kanak-kanak itu (Nurazmallail, 2008).
Elemen jagaan oleh ibu menjadi
pertimbangan utama dalam memutuskan hak hadanah. Syariat telah menetapkan ibu
lebih berhak atas penjagaan anaknya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan
dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. Dalam memikul tanggungjawab sebagai
penjaga, golongan wanita diutamakan berbanding golongan lelaki berdasarkan
fitrah semulajadinya, perempuan bersifat lebih halus, lemah-lembut, penyayang,
penyabar, arif tentang kanak-kanak dan keperluan hidupnya berbanding golongan
lelaki. (Nurazmallail, 2008) Ini dikuatkan lagi dengan umumnya wanita,
lebih banyak menghabiskan masa di rumah mengurus dan mentadbir rumahtangga
berbanding lelaki. Oleh sebab itu, tugas asuhan dan jagaan kanak-kanak pada
peringkat pertama kehidupannya diserahkan kepada ibu dan hak penjagaan,
pengawasan diri dan harta kanak-kanak diberikan kepada bapa yang bersesuaian
dengan fitrah kejadian lelaki. (Zanariah, 2004) Seorang wanita boleh bekerja
tetapi keluarganya mesti menjadi keutamaan beliau. (Kristine, 2004) Di bawah
undang-undang Malaysia, ia adalah satu anggapan yang boleh dipatahkan bahawa
ibu hendaklah menjadi orang yang terbaik untuk menjaga kanak-kanak kecil. Walau
bagaimanapun, amalan di mahkamah syariah seolah-olah mencadangkan bahawa
mahkamah menimbang prinsip maslahah (kepentingan) kanak-kanak dan ini telah
menjadi prinsip utama dalam menentukan hak jagaan. (Roslina & Nora, 2011)
Ibu tersebut boleh dipaksa untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga anak
tersebut jika bapa sudah tiada atau tidak mampu untuk mengupah orang menyusui
anaknya, ibu juga bertanggungjawab untuk menjaga anak ini dalam masa dua tahun
umur penyusuan. Walau bagaimanapun, seseorang wanita telah dilantik menjadi
pengasuh, tetapi tidak bererti hak ini tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana
pihak dan dia berterusan menjadi pengasuh. (Normi, 2007)
Elemen perkahwinan ibu dengan bukan
mahram sering kali dibangkitkan apabila pertikaian berhubung dengan hak hadanah
kanak-kanak. Mengikut prinsip asal, hak hadanah akan dilucutkan sekiranya ibu
atau pengasuh perempuan berkahwin dengan seseorang yang bukan mahram kepada
kanak-kanak. Rational penetapan syarat ini adalah bagi mengelakkan kanak-kanak
tinggal dengan orang asing yang dibimbangi tidak akan menyenangi kehadiran
mereka. Meletakkan mereka serumah dengan seseorang yang membenci dirinya akan
mendatangkan kesan buruk kepada kanak-kanak itu sendiri, kerana mereka masih
muda dan amat sensitif dengan keadaan sekitar. (Zanariah, 2010) Kebajikan anak
itu masih terpelihara jika seorang hadinah berkahwin dengan seorang suami yang
mempunyai tali persaudaraan kerana adanya ikatan kasih sayang yang kukuh antara
mereka. Namun begitu, haknya akan dikembalikan sekiranya perkahwinan itu
dibubarkan. Berpegang kepada prinsip kebajikan kanak-kanak ini, mahkamah boleh
dalam keadaan-keadaan tertentu melantik seseorang yang bukan mahram kanak-kanak
sebagai penjaga walaupun ibu kandung masih hidup dan mengenepikan hak ibu atau
bapa kandung terhadap hadanah selepas tamat tempoh hadanah dan juga boleh ke
tahap mengenepikan susunan keutamaan yang telah ditetapkan. (Zanariah,
2004) Bukanlah perkahwinan itu sendiri tetapi sama ada perkahwinan itu akan
menjejaskan kebajikan kanak-kanak atau sebaliknya. (Normi, 2007)
Perwatakan dan sikap penjaga secara
tidak langsung turut menyumbang kepada elemen penentuan dalam perikaian hak
hadanah. Berkelakuan baik mengikut kehendak agama Islam. Mungkin ada orang yang
mendakwa ia mempunyai kelakuan yang baik tetapi pada masa yang sama ia gemar ke
kelab malam, pernah dibuktikan berkhalwat, pernah disabitkan melakukan penipuan
dan sebagainya. (Abdullah, 2006) Faktor perkahwinan ibu dengan seseorang yang
tidak mempunyai pertalian dengan anak tersebut (perkahwinan kedua dengan lelaki
yang bukan muhrim kepada anak) juga diambilkira dari sudut kelakuan ibu bagi
menentukan hak bagi penjagaan kanak-kanak. Persoalan ini diberikan perhatian
kerana dibimbangi hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.
(Raihanah & Najiha, 2010).
Umur kanak-kanak turut sama
dipertimbangkan oleh mahkamah dalam menentukan hak hadanah. Dalam Enakmen
Keluarga Islam memperuntukkan bahawa kanak-kanak yang berumur di bawah umur
tujuh tahun mestilah diletakkan di bawah jagaan ibunya. (Raihanah & Najiha,
2010) Berdasarkan faktor ini, kanak-kanak yang masih kecil dianggapkan sebagai
amat memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang seorang ibu. Hakikat ini
tidak dapat dinafikan bahkan menjadi prinsip utama hadanah yang diberikan oleh
syarak kepada ibu secara tidak langsung menunjukkan keperluan kanak-kanak kecil
kepada kasih sayang dan jagaan pengasuh perempuan terutama yang melibatkan
kanak-kanak yang masih kecil dalam tempoh menyusu (Zanariah, 2010) sebelum
mencapai umur mumayyiz anak itu dan diberi pilihan untuk memilih dengan siapa
dia ingin tinggal. (Raihanah & Najiha, 2010)
Elemen mempunyai umur yang melayakkan
pengasuh memberi jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh
kanak-kanak itu. Orang yang belum cukup umur tidak boleh diberikan
tanggungjawab memelihara kanak-kanak, kerana dia sendiri pun masih berada di
bawah jagaan orang lain. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam mentafsirkannya
sebagai berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan
kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu. (Mahamad, 2006) Umur
layak merangkumi orang yang baligh atau dewasa kerana dapat menilai baik dan
buruk. (Zainul & Nur, 2009) Sekiranya pengasuh utama mengikut susunan
pengasuh tidak mmpunyai umur layak, hak ini akan beralih kepada ibu saudara
atau orang-orang lain yang difikirkan lebih berkelayakan. (Normi, 2007)
Elemen tempat tinggal yang bakal
didiami oleh kanak-kanak turut menjadi penentu. Penjaga sama ada ibu atau bapa
perlu menyediakan tempat tinggal yang selamat di mana kanakkanak itu tidak
mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk daripada segi akhlak atau jasmani. (Nurazmallail,
2008) Tempat tinggal tidak hanya rumah yang bakal diduduki malahan persekitaran
sekeliling seperti tempat tinggal yang tidak bersih atau berhampiran dengan
kawasan hitam seperti sarang pelacuran, keadaan sosial yang tidak terkawal,
tempat perjudian, pengedaran dadah dan sebagainya juga diambil perhatian dalam
hal penjagaan kanak-kanak. (Abdullah, 2006) Walau bagaimanapun, undang-undang
kelaurga Islam di Malaysia tidak mengkhususkan syarat ibu atau pengasuh
perempuan dimestikan tinggal di mukim yang sama dengan bapa atau wali
kanak-kanak. Hak pengasuh hanya digugurkan jika dia menukar mastautin dengan
niat menghalang bapa kepada kanak-kanak melakukan pengawasan ke atas
kanak-kanak dan jika perempuan tersebut telah diceraikan dia boleh membawa
anaknya ke tempat lahirnya yang asal. Faktor kewarganegaraan dan pemastautinan
pihak-pihak yang bertikai sebagai faktor penentu hak hadanah. Syarat
pemastautinan bagi pengasuh tidak lagi ditafsirkan secara ketat, apa yang
diutamakan adalah kebajikan kanak-kanak. (Zanariah, 2010)
ada rujukan tak?
ReplyDelete