Monday 4 March 2013

Malaysia: Sejarah & Perkembangan Perlembagaan



Pengenalan

Perlembagaan yang diperkenalkan oleh British telah pun diperkenalkan melalui Perjanjian Pangkor 1874[1]. Perjanjian Pangkor ini telah menjadikan pihak British mula berkuasa menentukan undang-undang mengikut kehendaknya tanpa melibatkan Sultan dan Pembesar Melayu. Selain itu, perjanjian itu menjadikan Sultan dan Pembesar Melayu hanya berkuasa dalam hak-hak keagamaan dan adat istiadat Melayu. Ianya dinyatakan dalam Perkara 6 dalam  Perjanjian Pangkor 20 januari 1876- Residen adalah berkuasa penuh dalam semua hal-hal dan bertindak sebagai mahkamah manakala Sultan haruslah meminta nasihat daripada Residen dan wajib mematuhinya kecuali untuk hal-hal berkaitan dengan agama dan adat istiadat Melayu[2]. Perjanjian ini menunjukkan bahawa bermula tahun 1874, Sultan dan pembesar telah kehilangan kuasa dan dirampas oleh British dengan alasan melindungi atau menaungi. Perlembagaan Pangkor 1874 ini kekal sehingga kedatangan semula British ke Tanah Melayu setelah Jepun menyerah kalah pada 1945 dalam perang dunia ke-2[3].
Malayan Union

Sekembalinya British selepas perang dunia ke-2, British telah mengambil alih di bawah pentadbiran tentera British pada 31 Mac 1946. Setelah itu, satu kerajaan baru telah diperkenalkan iaitu Malayan Union[4]. Malayan Union diselenggarakan di England sewaktu perang oleh Bahagian Perangcang Jabatan Tanah Jajahan British dan diusulkan oleh buruh yang memerintah pada waktu itu. Malayan Union ditubuhkan berikutan perjumpaan suruhanjaya Sir Harold Mac Michael, wakil Raja Inggeris dengan Raja-raja Melayu selepas penguasaan semula British dan tugas ini selesai pada 25 Disember 1945[5].                                                                                                       

Sebagai langkah pertama dalam usaha British menubuhkan Malayan Union ini, Harold Mac Micheal tiba di Tanah Melayu pada bulan Oktober 1945 sebagai wakil Kerajaan British untuk membuat  perjanjian rasmi dengan Raja-raja Melayu yang mana kuasa penuh diserahkan kepada kerajaan British bagi setiap negeri Melayu. Mac Micheal juga telah ditugaskan untuk melaporkan kepada kerajaan British tentang pendirian Raja-raja Melayu semasa pendudukan Jepun  sebelum mereka dapat diiktiraf  oleh Kerajaan British. Mereka juga telah digesa supaya menyetujui rancangan Malayan Union itu. Ini jelas menunjukkan Raja-raja Melayu itu berada dalam satu keadaan iaitu mereka terpaksa menyetujui rancangan ini, jika enggan mereka tidak  akan diiktiraf oleh Kerajaan British.

Langkah kedua ialah dengan menguatkuasakan Straits Settlement (Repeal) Act 1946 yang memperuntukan bahawa Negeri-negeri Selat tidak akan lagi menjadi negeri jajahan dan akan dipecahkan mengikut arahan Raja British pada satu masa yang telah ditetapkan. Dengan penguatkuasaan Straits Settlement (Repeal) Act,1946 ini maka Straits Settlement Act,1866 akan ditarik balik.

Langkah ketiga dan terakhir ialah menjadikan Singapura sebuah negara jajahan yang berasingan dan Melaka dan Pulau Pinang disatukan dengan Negeri-negeri Melayu oleh perintah dalam Majlis Malayan Union 1946.
Di bawah rancangan Malayan Union ini, kewarganegaraan boleh diberi kepada sesiapa sahaja yang menganggap negeri ini sebagai negeri mereka. Ini bermakna orang-orang bukan berketurunan Melayu berhak mempunyai hak yang sama seperti orang Melayu. Dengan ini hilanglah hak keutamaan politik orang Melayu[6].

Usul-usul lain yang diperkenalkan oleh Malayan Union ialah :

1-      Malayan Union akan diketuai oleh seorang gabenor yang mempunyai kuasa penuh ke atas Perkhidmatan Awam dan bukan kepada Majlis Undangan.

2-      Sultan dahulunya menjadi ketua dalam negeri masing-masing tetapi kini mereka hanya hanya bersidang dalam Majlis-majlis Sultan. Mereka akan memberi nasihat kepada Gabenor apabila Gabenor memerlukan nasihat tersebut.

3-      Majlis Undangan akan mempunyai bilangan ahli rasmi dan tidak rasmi yang sama banyaknya dan Gabenornya mempunyai kuasa meluluskan dan membatal sebarang undang-undang.

4-      Suatu Majlis Penasihat Melayu-melayu akan ditubuhkan dalam tiap-tiap negeri dan majlis ini hanya menguruskan hal-hal agama sahaja.

5-      Gabenor tempatan dan negeri dijalankan melalui Majlis-majlis Negeri dan Negeri-negeri Selat.

6-      Singapura dijadikan Negara Jajahan berasingan dengan mempunyai seorang Gabenor dan Majlis sendiri.

7-      Seorang Gabenor Agung dilantik untuk Tanah Melayu, Singapura dan Borneo[7].

Malayan Union mencadangkan satu ‘Persatuan’ dan bukannya ‘Persekutuan’. Dengan ini akan wujudlah satu pengumpulan kuasa dan dengan ini juga semua Sultan akan dilucutkan kuasa mereka. Kerajaan Negeri akan tertakluk di bawah kuasa Kerajaan Pusat. Undang-undang akan dibuat oleh Majlis Undangan Pusat  tanpa persetujuan Sultan-sultan[8].

Negeri-negeri dalam Malayan Union :

Negeri-negeri Bersekutu.
1-      Perak
2-      Selangor
3-      Negeri Sembilan
4-      Pahang

Negeri-negeri Tidak Bersekutu
1-      Johor
2-      Kedah
3-      Terengganu
4-      Perlis

Negeri-negeri Selat
1-      Melaka
2-      Pulau Pinang[9]

Singapura dijadikan sebuah negeri lain disebabkan kedudukan kedudukan strategik dan disebabkan penduduk Singapura terdiri daripada bangsa Cina. Pada pemikiran British jika dimasukkan Singapura, bilangan orang Cina akan meningkat dengan banyaknya dan ini akan menimbulkan masalah politik[10].

Akhirnya pada 1 April 1946, Malayan Union telah ditubuhkan dengan Edward Gent menjadi Gabenor Pertamanya[11].

Penentangan Terhadap Malayan Union

Walaupun Malayan Union telah ditubuhkan pada 1 April 1946, namun terdapat tentangan daripada orang Melayu. Sebagai protes, orang Melayu telah memulaukan Majlis-majlis penasihat dan Sultan-sultan tidak menghadiri upacara mengangkat sumpah Gabenor tersebut[12].

Satu perjumpaan besar telah diadakan di Perak dan dihadiri oleh sultan-sultan yang terdiri daripada negeri-negeri yang tidak bersekutu terutama Negeri Johor dan Kedah telah menjadi pusat penentangan Malayan Union. Ini telah disebabkan oleh beberapa masalah dalam perjanjian yang berkaitan antara sultan dan British.

Penentangan Malayan Union disebabkan pada fikiran orang Melayu, Malayan Union merupakan satu kerugian besar kepada Raja-raja Melayu dan rakyat  kerana semua kuasa terserah kepada British dan yang tinggal di tangan Raja-raja hanyalah kuasa mengenai Agama Islam[13].

Disebabkan tentangan daripada orang Melayu, pada tahun 1948 Malayan Union telah dimansuhkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) atau Federated Malay Stated (FMS).

Persekutuan Tanah Melayu

Persekutuan Tanah Melayu (PTM) ditubuhkan pada 2 Februari 1948 setelah tentangan orang Melayu terhadap Malayan Union[14].

Perbezaan antara persekutuan yang ditubuhkan pada tahun 1948 dan Malayan Union yang dicadangkan dahulu adalah di bawah rancangan yang baru ini Tanah Melayu akan menjadi satu ‘Persekutuan’ dan bukanlah satu ‘Persatuan’. Negeri-negeri serta Sultan-sultan akan mendapat kuasa-kuasa tertentu. Penubuhan Majlis Kerja Persekutuan ialah langkah pertama yang penting selepas perang kearah penubuhan Majlis Persekutuan yang dipilih[15].

Di bawah format 1948 ini, Tanah Melayu menjadi sebuah persekutuan secara formal dengan Pesuruhjaya Tinggi British sebagai pihak berkuasa tertinggi. Beliau di sisi undang-undang menjalankan autoriti yang diamanahkan oleh Raja Britain dan 9 orang Raja-raja Melayu[16].

Antara isi Persekutuan Tanah Melayu :

1-      Majlis Raja-raja berhak mengetahui segala perkara mengenai dasar atau polisi yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.

2-      Di dalam lapangan pentaddbiran Pesusuhjaya Tinggi mempunyai kuasa dalam segala hal yang diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Pusat. Majlis Mesyuarat Kerajaan ditubuhkan untuk menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi tetapi pesuruhjaya tinggi boleh menjalankan tugas tanpa menghiraukan nasihat Majiis Mesyuarat ini.
3-      Untuk Negeri, majlis perundangan Negeri mempunyai kuasa yang singkat sahaja : Membuat undang-undang mengenai adat resam orang Melayu, agama Islam dan apa-apa perkara yang diserahkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Setiap negeri Melayu mempunyai seorang pegawai : Menteri Besar dan sebuah Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk menasihati raja tetapi raja boleh engkar[17].

4-      Kemasukan Negeri-negeri Selat ke dalam persekutuan.

5-      Kerakyatan sama ada secara automatik atau permohonan :

       automatik – diberi kepada rakyat British yang diperanakkan bila-bila masa atau telah duduk dalam negeri lebih dari 15 tahun. Mereka yang diperanakkan pada bila-bila masa dan dalam mana-mana negeri yang sekarang masih dalam persekutuan dan telah menjadi kebiasaan bagi mereka  bercakap Bahasa Melayu dan mengikut adat istiadat Melayu yang juga diberi kerakyatan automatik.
permohonan – mereka diperanakkan dalam mana-mana negeri dalam Persekutuan dan telah duduk dalam mana-mana negeri dalam Persekutuan dan telah duduk dalam mana-mana negeri tidak kurang daripada 8 tahun daripada masa 12 tahun sebelum permohonan kerakyatan itu dibuat atau mereka yang telah duduk dalam mana-mana negeri dalam Persekutuan tidak kurang daripada 15 tahun daripada masa 20 tahun sebelum permohonan itu dibuat. Mereka yang memohon untuk mendapatkan kerakyatan mestilah berkelakuan baik dan telah membuat ikrar hendak duduk tetap dan kalau permohonan mereka diterima mereka bersetuju mengambil sumpah kerakyatan. Dengan syor jawatankuasa kerja sesorang yang memohon uhntuk mendapatkan kerakyatan mestilah berumur 18 tahun atau lebih[18].

Kerajaan Persekutuan.

Pada 1 Februari 1948, Persekutuan yang mengandungi 9 negeri Melayu dan  2 buah Negeri Selat, iaitu Pulau Pinang dan Melaka telah ditubuhkan[19]. Dengan ini muncullah satu Kerajaan Persekutuan yang diperintahkan di bawah seorang Pesuruhjaya Tinggi. Pesuruhjaya tinggi ini akan dinasihatkan oleh satu Majlis Kerja Persekutuan yang mengandungi tujuh orang ahli yang rasmi dan tujuh orang ahli yang tidak rasmi[20].

Majlis Undangan Persekutuan pula mengandungi Pesuruhjaya Tinggi, tiga orang ex-official dan sebelas orang ahli yang tidak rasmi. Sebagai tambahan kesembilan orang Presiden Majlis Negeri serta 2 orang wakil Negeri-negeri Selat akan menjadi ahli yang tidak rasmi. Di bawah Persekutuan ini, kuasa sultan-sultan dan negeri-negeri yang telah diancam oleh Malayan Union dahulu bukan sahaja dikembalikan , Residen-residen British juga telah diganti oleh Menteri Besar[21].

Penubuhan Majlis Kerja Persekutuan ialah langkah pertama yang penting selepas perang ke arah penubuhan Majlis Persekutuan yang dipilih dan kemudiannya ditubuhkan Sistem Ahli dalam majlis ini[22].

Sistem Ahli

Pada bulan April 1951, British telah memperkenalkan Sistem Ahli dalam Majlis Perundangan Persekutuan. Seramai 9 orang ahli yang telah dilantik dalam majlis tersebut dan telah diberikan tanggungjawab untuk menjalankan tugas-tugas di beberapa Jabatan Kerajaan dan ahli yang telah menjalankan kewajipan ini telah dianggap sebagai ‘Menteri’ yang menjalankan tugas pentadbiran Negara dan sebagainya. Tujuannya untuk melatih penduduk Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri.

Antara mereka ialah :

1- Dato’ Onn bin Jaafar                                              Hal Ehwal Dalam Negeri
2- Dr. Lee Tiang Keng                                                Kesihatan
3- Dato’ E.E.C. Thuraisingham                                  Pelajaran
4- Dato’ Nik Ahmad Kamil                                        Kerajaan Tempatan, Perumahan dan 
                                                                                    Perancangan Bandar
5- Dr.Ismail Abdul Rahman                                       Hasil Bumi (Sumber Alam)
6- Mustafa Al-Bakri Hassan                                       Perhubungan Industri dan
                                                                                    Masyarakat V.M.N Menon Pos dan
                                                                                    Telekom
7- Kolonel H.S Lee                                                     Pengangkutan


            Selepas memperkenalkan sistem ahli, Britiah kemudianya melaksanakan pula Pilihan raya dalam membentuk kerajaan Tanah Melayu sendiri.

Pilihanraya

Pada tahun 1952, Pilihanraya mula-mula diadakan untuk Majlis Tempatan kawasan-kawasan luar Bandar yang maju. Seterusnya pada akhir tahun 1955, Persekutuan ini sudah mempunyai 250 Majlis Tempatan dan Luar Bandar yang dipilih sepenuhnya. Pilihanraya Persekutuan ini telah diadakan pada bulan Julai 1955 untuk 52 kerusi yang tidak rasmi[23].

Oleh kerana keputusan Pilihanraya Persekutuan itu telah dimenangi oleh Parti Perikatan yang mengandungi UMNO.MCA dan MIC dengan mendapat 51 buah kerusi dan hanya satu kerusi sahaja yang dimenangi oleh Parti Islam Se-Tanah Melayu, maka Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dilantik sebagai Ketua Menteri [24]dan ianya mengandungi enam orang Melayu,tiga orang Cina, seorang India dan lima orang Eropah. Manifestonya adalah Merdeka[25].

Seimbang dengan Pilihanraya Persekutuan, Pilihanraya telah diadakan di dalam tahun itu juga untuk memilih Majlis Perundangan Negeri. Pilihanraya ini juga telah dimenangi oleh Parti Perikatan,maka pada akhir tahun 1955,semua badan perundangan di Tanah Melayu telah mempunyai ahli-ahli yang dipilih oleh orang ramai.[26]

Perlembagaan Malaysia

Sejarah Ringkas Penubuhan Malaysia

            Pada Tahun 1956, satu persidangan telah diadakan di London bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Perubahan-perubahan penting dari sudut Pertahanan, Kewangan, Pentadbiran, dan seumpamanya telah dirangka [27]. Persidangan ini dihadiri oleh empat wakil-wakil Raja Melayu, Ketua Menteri Persekutuan serta tiga orang Menteri lain serta Pesuruhjaya Tinggi dan penasihat-penasihatnya. Cadangan diperkenankan oleh Queen dan Raja-Raja Melayu. Berikutan itu suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid, seorang Hakim Mahkamah Rayuan yang ternama di England dan seorang dari pakar undang-undang perlembagaan dari tiap-tiap Negara berikut – United Kingdom, Australia, India dan Pakistan telah dilantik[28] dan dinamakan sebagai Suruhanjaya Reid.

Suruhanjaya Reid

            Suruhanjaya tersebut dipandu oleh terma-terma rujukan yang telah diterapkan di London untuk menyiapkan perakuan dan draf perlembagaan iaitu :

(a)    Pembentukan sebuah Persekutuan dengan kerajaan pusat yang kuat ;
(b)   Pemeliharaan kedudukan, keistimewaan, kehormatan dan hak Raja-Raja Melayu ;
(c)    Pewujudan jawatan Ketua Negara bergelar Yang Di-Pertuan Agung ;
(d)   Pemeliharaan hak-hak istimewa orang-orang Melayu serta hak-hak yang sah milik kaum-kaum lain serta;
(e)    Pembentukan sebuah sistem kewarganegaraan yang seragam untuk seluruh Malaya [29]

Laporan tersebut disiapkan pada awal tahun 1957 dan dikemukakan kepada kerajaan British dan juga Raja-Raja Melayu. Ia diikuti oleh siri-siri mesyuarat di London dan Kuala Lumpur bagi membincangkan isi laporat tersebut. Ini semua menghasilkan Kertas Putih yang merupakan kumpulan syor tambahan yang sebahagian besarnya merupakan hasil semakan terhadap syor-syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Reid.

Draf  tersebut beroprasi sebagai sebuah dokumen undang-undang pada 31 Ogos 1957 melalui mekanisme yang terdiri daripada :

(a)    Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Akta Kemerdekaan 
                  Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang dilluluskan oleh Britain di London ;
(b)   Ordinan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan di Kuala Lumpur ;
(c)    Pelbagai Enakmen yang diluluskan oleh majlis-majlis perundangan negeri yang bertujuan memberi kuatkuasa undang-undang kepada Draf Perlembagaan yang dikemukakan oleh Kertas Putih.[30]

Setelah melalui pelbagai rintangan dalam memerdekakan Tanah Melayu, akhirnya pada 31 Ogos 1957 tertubuhlah Tanah Melayu diisyhtiharkan sebagai sebuah Negara yang Merdeka.

Perlembagaan Malaysia

Pada 26 Ogos 1963  satu undang-undang yang  di panggil Akta Malaysia telah diluluskam oleh Persekutuan Tanah Melayu untuk disesuaikan konsep dan struktur penubuhan Malaysia. Dan akhirnya Malaysia tertubuh pada 16 September 1963.

Antara Akta Malaysia sebelum berlaku pindaan adalah:

1) Hal-hal luar negeri menjadi tanggungjawab kerajaan pusat.
2) Agama Islam agama rasmi tetapi diberi kebebasan beragama
3) Bahasa Melayu bahasa rasmi tetapi bahasa Inggeris dan bahasa lain boleh
    digunakan.
4) Kerajaan di Borneo beransur-ansur diubah mengikut Persekutuan Tanah
    Melayu
5) Negeri Borneo diberi peluang mencapai kerajaan.
6) Borneo mengawal  kuasa Imegresen, perkhidmatan awam.
7) Semua warganegara Persekutuan dan Singapura boleh mendapat
    kewaganegaraan automatik dan akan mendapat hak yang sama
8) Bumiputra Borneo akan mendapat hak sama seperti  orang Melayu.

            Setelah sekian lama,maka kerajaan Malaysia memudahkan tugasnya dengan mengubah dan membuat beberapa pindaan sehinggalah terbentuk Perlembagaan Malaysia yang memasukkan Sabah dan Sarawak di dalam Perlembagaan ini.Dan sehinggalah sekarang Perlembagaan Malaysia ini mengandungi :

1) Ketinggian Perlembagaan Persekutuan
            2) Yang Dipertuan Agung
            3) Raja dan Yang Dipertuan Negeri
            4) Jemaah Menteri
            5) Parlimen
            6) Pilihanraya
            7) Kehakiman
            8) Perkhidmatan Awam
            9) Negeri-Negeri
            10) Perhubungan persekutuan dan Negeri
            11) Peruntukan Kewangan
            12) Perbuatan subbertif, kuasa dan tahanan pencegahan
            13) Kebebasan Asasi
            14) Agama Islam
            15) Kewarganegaraan
            16) Orang Melayu dan Bumiputera di sabah dan serawak
            17) Bahasa Kebangsaan
            18) Ibukota Persekutuan
            19) Pindaan perlembagaan [31]

Penutup

Perlembagaan Persekutuan atau perlembagaan Malaysia sebenarnya telah dipinda lebih dari sekali. Iaitu selepas Merdeka, pada ada tahun 1963, ia dipinda apabila Singapura, Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia. Selain memuatkan peruntukan-peruntukan khusus untuk negeri-negeri ini ada beberapa kesan lain terhadap persekutuan yang asal.
Pada tahun 1971, pindaan perlembagaan dilakukan selepas berlaku peristiwa berdarah 13 Mei 1969, yang membawa kesan kepada kedudukan Raja-Raja dan orang-orang Melayu serta terhadap ruang lingkup kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan.
Tahun 1983, satu pindaan perlembagaan yang dilakukan melibatkan kuasa Yang di-Pertuan Agong telah dilakukan dan seterusnya pada tahun 1988, sekali lagi pindaan dilakukan ke atas kehakiman.
Selain pindaan-pindaan yang formal tersebut, ada juga ‘pindaan-pindaan’yang tidak formal khususnya yang berlaku akibat daripada tafsiran mahkamah. Sesuai dengan kedudukannya beberapa keputusan mahkamah telah mengubah ruang lingkup berapa peruntukan tertentu. Keputusan mahkamah mempunyai implikasi meluas atau menyempitkan ruang lingkup sesuatu peruntukan itu.[32]
Memandangkan kepada perkembangan-perkembangan selama 43 tahun yang lalu, adalah jelas bahawa perlembagaan akan terus berkembang mengikut keperluan masa dan kehendak zaman. Yang pasti, perlembagaan tidak statik kerana itu akan menyebabkan tidak relevan dengan kehidupan bernegara di tanah air kita. Baik yang berbentuk pindaan secara formal atau sebaliknya perlembagaan tetap akan berubah. Paling tidak dari cara kita memahami atau melaksanakannya.
           


[1] Mohd Aris Hj. Osman. 1983. Perkembangan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Fajar Bakti Sdn. Bhd.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Mohd Salleh Abas. 1984. Sejarah Perkembangan Malaysia. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. DBP Kementerian Pelajaran Malaysia. Hlm 25.
[5] Ibid. Hlm 25.
[6] Mohd Aris Hj. Osman. 1983. Perkembangan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm.29.
[7] Mohd Aris Hj. Osman. 1983. Perkembangan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm 30.
[8] Ibid. Hlm 31.
[9] Ibid. Hlm 31.
[10] Mohd Aris Hj. Osman. 1983. Perkembangan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm 31.
[11] Ibid. Hlm 33.
[12] Mohd Aris Hj. Osman. 1983. Perkembangan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm 34.
[13] Mohd Salleh Abas. 1984. Sejarah Perkembangan Malaysia. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. DBP Kementerian Pelajaran Malaysia. Hlm 26.
[14]Mohd Salleh Abas. 1984. Sejarah Perkembangan Malaysia. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. DBP Kementerian    Pelajaran Malaysia. Hlm 28.
[15] Mohd Aris Hj. Osman. 1983. Perkembangan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm 15.
[16] Tun Mohamed Suffian bin Hashim.1984. Mengenal Perlembagaan Malaysia. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. DBP   Kementerian Pelajaran Malaysia. Hlm 15.

[17] Mohd Salleh Abas. 1984. Sejarah Perkembangan Malaysia. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. DBP Kementerian Pelajaran Malaysia. Hlm 28.
[18] Mohd Aris Hj. Osman. 1983. Perkembangan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm 42.
[19] Mohd Aris Hj. Osman. 1983. Perkembangan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm 42.
[20] Ibid. Hlm 43.
[21] Ibid. Hlm 43.
[22] Ibid. Hlm 43.
[23] Mohd Aris Hj. Osman. 1983. Perkembangan Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Fajar Bakti Sdn. Bhd. Hlm 44.
[24] Mohd Salleh Abas. 1984. Sejarah Perkembangan Malaysia. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. DBP Kementerian Pelajaran Malaysia. Hlm 32.
[25] Op.cit. Hlm 45.
[26] Op.cit. Hlm 32.
[27] Abdul Aziz Bari. 2003. Perlembagaan Malaysia: asas-asas dan masalah. Cetakan Kedua. Kuala Lumpur. DBP.Hlm 16.
[28] Tun Mohamed Suffian bin Hashim.1984. Mengenal Perlembagaan Malaysia. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. DBP Kementerian Pelajaran Malaysia. Hlm 16.
[29] Abdul Aziz Bari. 2003.Perlembagaan Malaysia asas-asas dan masalah. Cetakan Kedua. Kuala Lumpur. DBP. Hlm 17.
[30] Ibid. Hlm 18.
[31] Tun Mohamed Suffian. 1990. Pengenalan Sistem Undang-undang di Malaysia. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. DBP Kementerian Pelajaran Malaysia.
[32] Abdul Aziz Bari. 2003.Perlembagaan Malaysia asas-asas dan masalah. Cetakan Kedua. Kuala Lumpur. DBP.

Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment