Monday 4 March 2013

Isu-isu Islam Di Mahkamah Sivil



BAB 1 :PENGENALAN

          Sebelum kedatangan penjajah di negeri-negeri Melayu, undang-undang yang    dilaksanakan di Tanah Melayu adalah undang-undang Islam. Di Terengganu, undang-undang Islam telah ditadbirkan dengan jaya di zaman Sultan Zainal Abidin III. Manakala di Johor, Majjallat Al-Ahkam dari Turki telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan dipakai di negeri itu dan Ahkam shariyyah telah mengubahsuaikan buku Mohd Qadri Pasha mengenai undang-undang keluarga. Mahkamah sebelum kedatangan British ialah Mahkamah Syariah dengan rayuan kepada Sultan. Selepas British mengambil alih kuasa di negeri-negeri Melayu, Mahkamah Sivil telah ditubuhkan atas nasihat pihak berkuasa British dan hakim-hakim Inggeris telah dilantik bagi mahkamah itu. Mahkamah Kadi di peringkat yang bawah di dalam susunan Mahkamah.[1]

1.1  Kedudukan Islam dalam Perlembagaan

          Islam telah diiktiraf sebagai agama rasmi negeri-negeri dan undang-undang Negara. Diiktiraf di dalam Perlembagaan Johor 1895 dan Perlembagaan Terengganu 1911. Sultan yang dilantik mestilah beragama Islam dan orang Melayu. Terdapat contoh kes yang berkaitan dengan perkara ini, iaitu kes Ramah lwn Laton mengenai perebutan harta antara suami dan isteri. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa undang-undang Islam bukan undang-undang asing akan tetapi ia adalah undang-undang tempatan di negeri–negeri Melayu dan undang-undang tempatan hendaklah mengemukakan dan memajukan undang-undang itu. Hakim Thomas menyelesaikan kes berikut mengikut agama Islam dan hukum syarak dimana harta tersebut dibahagikan kepada kedua-dua belah  pihak suami dan isteri.

           Pada tahun 1956, Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan untuk menggubal draf Perlembagaan yang terdiri daripada lima orang anggota yang kesemuanya bukan rakyat Malaysia dan tidak beragama Islam dan hanya seorang sahaja yang beragama Islam iaitu Hakim Abdul Hamid daripada Pakistan. Cadangan Parti Perikatan untuk memasukkan Islam sebagai Agama Persekutuan telah disokong oleh Hakim Abdul Hamid (anggota Suruhanjaya Reid). Alasannya, supaya ia akan menjadi kesinambungan tentang apa yang telah berlaku sebelum ini. Cadangan ini telah ditolak oleh Raja-Raja Melayu  kerana apabila Islam dijadikan sebagai Agama Persekutuan, maka Raja-Raja takut ianya akan mengurangkan kuasa sebagai Ketua Agama Islam pada Negeri masing-masing. Dengan Adanya peruntukan tersebut, maka secara tidak langsung ianya tidak akan mengurangkan sedikit pun kuasa Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam.

            Kesimpulannya, dalam Perenggan 169, peruntukan itu tidak akan menjejaskan hak asasi orang bukan Islam. Pelaksanaan tersebut juga tidak akan menjejaskan kaum Melayu yang mengamalkan ajaran Islam dan tidak akan menjejaskan kedudukan Tanah Melayu sebagai negara sekular.

1.2  Tafsiran Perkara 3(1)

              Mengikut Perlembagaan Persekutuan, perkara 3(1) telah diperuntukkan sebagai “Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

               Pentafsiran telah dibuat oleh LA Sheridan & Groves,perkara 3(1) dalam Perlembagan Persekutuan hanya menentukan bahawa segala istiadat dan upacara mengikut adat istiadat Islam.[2]

                Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman,meluahkan rasa kecewaanya kerana soal agama dibangkitkan.Beliau berkata,” Saya suka menjelaskan bahawa negara ini bukanlah sebuah negara Islam sebagaimana difahamkan secara umumnya. Kita cuma memperuntukkan Islam hendaklah menjadi agama rasmi negara.” [3]

                 Bekas Ketua Hakim Negara,Tun Mohamed Suffian Hashim, maksud peruntukan berkenaan ialah semata-mata untuk upacara, misalnya untuk misalnya untuk membolehkan doa dibaca di upacara-upacara rasmi, seperti pertabalan YDPA,Hari Kemerdekaan dan lain-lain.[4]

   Hakim Tun Salleh Abbas,dalam kes Che Omar Che Soh, Mahkamah Agong telah menolak rayuan untuk mengetepikan hukuman mati di bawah Akta Dadah Berbahaya dan di bawah Akta Senjata Api atas alasan ia adalah bertentangan dengan undang-undang Islam, kerana kesalahan mengedar dadah dan memiliki senjata api tidak termasuk dalam kategori Hudud atau Qisas. Menurut Beliau, pentafsiran ini baik selepas beberapa tahun, tetapi perlu melihat kepada peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan.[5]

                  Komentar yang dibuat oleh Prof. Ahmad Ibrahim, tentang penolakkan Mahkamah Agong terhadap cadangan penafsiran perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan supaya mengertikan bukan sahaja upacara dan ibadat tetapi juga aspek-aspek hidup yang lain.termasuk undang-undang.kata beliau, “apa yang menyedihkan Mahkamah Agong sanggup menerima hujah bahawa perkataan “Islam” yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan hendaklah difahamkan bahawa sebagai meliputi hanya perkara-perkara yang berhubung dengan upacara dan istiadat agama sahaja. Telah dikatakan inilah yang dimaksudkan oleh pihak yang merangka perlembagaan itu dan ia adalah  akibat pemerintahan tidak langsung oleh British dalam masa penjajah dulu dan wujudnya institusi-institusi sekular. Apakah kita masih terikat dengan kedudukan penjajah itu sedangkan kita sudah mencapai kemerdekaan?.”[6]

           Apa yang dapat disimpulkan melalui penafsiran yang dilakukan di atas, kesan kepada peruntukan perkara 3(1), Islam sebagai agama rasmi dalam upacara ritual dan keraian sahaja. Dengan adanya peruntukan ini, ianya tidak melibatkan pemakaian undang-undang Islam peringkat Persekutuan. Sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (4) yang menyatakan bahawa tiada apa-apa dalam Perkara ini mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini[7]. Selain itu, ianya meletakkan agama Islam di bawah bidang kuasa negeri. Perlembagaan menjamin kebebasan beragama tanpa ada sekatan kecuali bertentangan dengan undang-undang dan mengancam keselamatan negara. Tafsiran yang benar adalah bergantung kepada tafsiran-tafsiran para hakim.

BAB 2 :Bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Sivil

2.1  Bidang kuasa Mahkamah Syariah

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.[8] Walaubagaimana pun, undang-undang Islam tidak didefinisikan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Mahkamah Syariah diturunkan lagi kepada mahkamah negeri sahaja. Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa kuasa kehakiman Persekutuan adalah terletak hak kepada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi dan mahkamah bawahan. Sejak itu Mahkamah Syariah telah melalui berbagai proses dan masih melaluinya sehingga ke hari ini. Dari hanya sebuah mahkamah yang membicarakan kes-kes kekeluargaan orang Islam sahaja, ia kini boleh mendengar kes-kes jenayah yang tertentu di mana bidang kuasa menghukumnya ialah penjara 3 tahun 6 sebatan atau RM 5,000.00. Selain itu, ia telah menerima pengiktirafan di mana keputusannya tidak lagi boleh dicabar oleh Mahkamah Sivil melalui pindaan perlambagaan pada tahun 1988 di mana Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan telah dimasukkan untuk melarang mahkamah tinggi campur tangan dalam hal-hal yang mahkamah syariah bidang kuasa.[9]

Menyentuh bidang kuasa perundangan, Mahkamah Syariah hanya mempunyai kuasa unuk membicarakan sesorang yang melakukan sesuatu kesalahan di dalam negeri itu sahaja. Sekiranya seseorang pesalah itu berada di luar negeri tersebut, maka pihak mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyaman dan membicarakan beliau. Bagaimanapun, di Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Melaka suatu perjanjian kerjasama telah dibuat bagi membolehkan seseorang pesalah itu dibicarakan di mahkamah.[10]

Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah secara umumnya dibahagikan kepada enam kategori;
1-         Kesalahan-kesalahan matrimoni seperti menganiayai isteri dan tidak taat
            kepada suami
2-         Kesalahan-kesalahan berhubung seks seperti persetubuhan haram, khalwat, perbuatan sumbang dan melacur.
3-         Kesalahan-kesalahan berhubung dengan minuman keras seperti meminum, menjual dan membeli minuman tersebut.
4-         Kesalahan daripada aspek keimanan seperti tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak membayar zakat dan fitrah serta tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai pada bulan Ramadhan.
5-         Kesalahan-kesalahan berhubung dengan pertukaran agama seperti tidak melaporkan dan mendaftarkan masuk atau keluar daripada agama Islam dan kesalahan mengenai pengambilan anak angkat.
6-         Pelbagai kesalahan lain yang tidak termasuk di dalam kategori di atas.

Dalam bidang kuasa sivil Mahkamah Syariah membicarakan dan membuat keputusan terhadap segala jenis tindakan dan prosiding yang melibatkan penganut agama Islam berkait dengan hal-hal ;[11]
(i)         Pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan atau perpisahan secara undang-undang;
(ii)        Sebarang pelepasan hak, tuntutan hak, harta benda yang terlibat di dalam hal-hal yang berkaitan dengan perkara (a) di atas;
(iii)       Pemberian nafkah orang dalam tanggungan, keesahan, penjagaan atau hak penjagaan bayi;
(iv)       Pembahagian atau tuntutan, harta sepencarian;
(v)        Penentuan terhadap orang-orang yang berhak mewarisiharta si mati yang menganut agama islam atau bahagian harta yang berhak diwarisi oleh orang-orang berkenaan;
 (vi)      Wasiat atau pemberian terus dari si mati yang menganut agama Islam;
(vii)      Pemberian inter vivos, pembayaran yang telah dibuat bukan dalam bentuk atau tanpa mengambil kira persamaan nilai wang oleh seseorang yang menganut agama Islam;
(viii)     Wakaf atau nazar; atau
(ix)       Hal-hal lain yang diperakukan dalam mana-mana bidang kuasa undang-undang secara bertulis.


Kekeluargaan
Harta
Jenayah
- Mewarisi harta berwasiat dan tidak berwasiat
- Pertunangan
- Perkahwinan
- Perceraian
- Mas kahwin
- Nafkah
- Pengambilan anak angkat
- Taraf anak
- Penjagaan anak
- Pemberian dan  pembahagian harta dan amanah tidak khairat
- Wakaf Islam
- Khairat dan Yayasan khairat
- Zakat
- Fitrah
- Baitulmal dan hasil agama Islam
- Mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam
- Mengawal perkembangan iktiqad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam.[12]

Ini dapat dilihat di dalam kes Myriam v Mohamed Ariff. Di mana selepas pihak Kathi membuat perintah persetujuan menyerahkan penjagaan anak kepada pihak bapa. Si ibu telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk penjagaan anak menurut Ordinan Penjagaan Anak. Diputuskan di dalam kes ini bahawa si ibu berhak membuat permohonan tersebut walaupun perintah persetujuan telah dibuat oleh kathi dan mahkamah ada bidang kuasa untuk mendengarnya. Keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sivil adalah berbeza dengan keputusan Mahkamah Syariah dan keputusan Mahkamah Tinggi adalah mengikat dan secara tidak langsung mengenepikan keputusan Mahkamah Syariah.[13]

2.2  Bidang kuasa Mahkamah Sivil (Mahkamah Tinggi)

Bidang kuasa sivil

Menurut seksyen 23(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91), Mahkamah Tinggi hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan segala prosiding sivil jika [14]-
(a)                kausa tindakannya berbangkit;
(b)               defendan atau salah seorang daripada beberapa orang defendan bermastautin atau mempunyai tempat urusannya;
(c)                fakta-fakta yang atasnya prosiding itu wujud atau dikatakan telah berlaku; atau
(d)               mana-mana tanah yang pemunyaannya dipertikaikan terletak, dalam bidang kuasa tempatan mahkamah itu dan, walau apapun apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini dalam apa-apa hal yang semua pihak bersetuju secara bertulis, dalam bidang kuasa tempatan Mahkamah Tinggi yang satu lagi itu.

Seksyen 24 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyebut bahawa bidang kuasa Mahkamah Tinggi dalam kes-kes sivil hendaklah termasuk [15]-
(a)                bidang kuasa di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan perceraian dan kausa hal ehwal suami isteri;
(b)               bidang kuasa dan kuasa yang sama berhubung dengan perkara-perkara admiralti seperti yang ada pada Mahkamah Keadilan Tinggi di England di bawah Akta Mahkamah Agung 1981 bagi United Kingdom;
(c)                bidang kuasa di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan kebangkrapan atau syarikat;
(d)               bidang kuasa untuk melantik dan mengawal penjaga budak-budak danpada amnya atas diri dan harta budak-budak;
(e)                bidang kuasa untuk melantik dan mengawal penjaga dan pengawas diri dan estet orang-orang dungu, orang-orang sakit otak dan orang-orang yang tak sempuna akal; dan
(f)                bidang kuasa untuk memberi probet bagi wasiat dan testament dan surat kuasa mentadbir bagi harta pusaka orang mati yang meninggalkan harta di dalam bidang kuas wilayah Mahkamah itu dan untuk menukar atau membatalkan pemberian tersebut.

Bidang kuasa Jenayah

            Bidang kuasa jenayah Mahkamah Tinggi terdapat dalam seksyen 22 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

            Menurut seksyen 22, subseksyen (1), Mahkamah Tinggi hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan [16]-
            (a)        semua kesalahan yang dilakukan -
                        (i)         dalam bidang kuasa tempatannya;
(ii)        di laut lepas di atas mana-mana kapal atau di atas mana-mana pesawat udara yang didaftarkan di Malaysia;
(iii)       oleh mana-mana warganegara atau mana-mana pemastautin tetap di laut lepas, di atas mana-mana kapal atau di atas mana-mana pesawat udara;
(iv)       oleh mana-mana orang di laut lepas jika kesalahan itu ialah kesalahan pelanunan mengikut undang-undang antarabangsa; dan

(b)        kesalahan-kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan, dan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang dinyatakan di dalam Jadual kepada Akta Kesalahan-Kesalahan di Luar Negeri 1976, atau kesalahan-kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain yang mana perlakuannya diperakui oleh Peguam Negara sebagai menjejaskan keselamatan Malaysia dan kesalahan itu yang dilakukan, mengikut mana-mana yang berkenaan -
(i)         di laut lepas, di atas mana-mana kapal atau di atas mana-mana pesawat udara yang didaftarkan di Malaysia;
(ii)        oleh mana-mana warganegara atau mana-mana pemastautin tetap di laut lepas, di atas mana-mana kapal atau di atas mana-mana pesawat udara; atau
(iii)       oleh mana-mana warganegara atau mana-mana pemastautin tetap di mana-mana tempat di luar sempadan Malaysia.
    
BAB 3 : Limitasi Bidangkuasa Mahkamah Syariah di Malaysia
           
Di dalam Perlembagaan Persekutuan Jadual Sembilan Senarai 2-Senarai Negeri peruntukkan 1 menyebut;

Kecuali mengenai Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,Labuan dan Putrajaya Hukum Syarak dan Undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut ugama Islam,termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat,pertunangan perkahwinan dan penceraian,maskahwin dan nafkah,pengambilan anak angkat,taraf anak,penjagaan anak,pemberian,pembahagian harta,dan amanah bukan khairat;wakaf Islam dan takrif serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat agama,perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orang-orang mengenai pemberian agama Islam dan khairat,yayasan,amanah.Khairat dan yayasan khairat yang dijalankan kesemuanya sekali dalan Negeri;adat istiadat Melayu;zakat,fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya;masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam;mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam,kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam senarai persekutuan;keanggotaan,penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah Syariah,yang akan mempunyai bidang kuasa hanya keatas orang-orang yang menganut agama Islam dan hanya mengenai mana-mana perkara-perkara yang termasuk dalam perenggan ini,teteapi tidak mempunyai bidang kuasa  mengenai kesalahan-kesalahan kecuali yang setakat diberi oleh undang-undang persekutuan;mengawal mengembang iktikad dan kepercayaan antara orang-orang yang mnganut agama Islam;menentukan perkara-perkara hukum Syarak dan iktikad dan adat istiadat Melayu. [17]

            Walau bagaimanapun negeri-negeri tidaklah berkuasa sepenuhnya seperti itu. Sebaliknya ia terikat dengan kehendak yang terdapat dalam peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam perlembagaan Persekutuan sendiri secara keseluruhannya. Jelasnya, apa-apa saja undang-undang Islam yang digubal oleh negeri-negeri berkenaan hendaklah tidak bertentangan dengan mana-mana peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.Ini kerana mengikut Perlembagaan Persekutuan,undang-undang tertinggi sekali di Malaysia ialah Perlembagaan itu sendiri.Oleh yang demikian,setiap undang-undang yang hendak dikuatkuasakan,termasuk juga undang-undang Islam hendaklah tidak bertentangan atau bercanggah dengan.Peruntukan berkenaan.[18]

Sebagaimana yang terdapat dalam Perkara 4 (1) berbunyi:
Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan ,dan apa-apa undang –undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berkenaan dengan perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat mana yang berlawanan itu[19]

            Selain itu,satu sekatan lain terhadap kebebasan negeri-negeri dalam menggubal dan melaksanakan undang-undang Islam ialah bahawa undang-undang berkenaan hanyalah akan dilaksanakan ke atas orang-orang Islam sahaja.Hal ini jelas dapat dilihat dalam peruntukan dalam Jadual kesembilan,Senarai 2-Senarai Negeri,seperti mana yang elah disebut di atas.Ia juga sesuai dengan kehendak kebebasan beragama dan mengamalkan ajaran agama masing-masing bagi setiap orang di Malaysia.[20]

Perkara 11 (1) perlembagaan menyebut :
Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya[21].

Malah,negeri-negeri juga tidak mempunyai kebebasan yang sepenuhnya untuk melaksanakan undang-undang Islam walaupun dalam batas-batas di atas dan dalam ruang bidang kuasa seperti mana yang tercatat dalam Jadual Kesembilan,Senarai 2-Senarai Negeri di atas.Walaupun peruntukan berkenaan menyatakan bahawa perkara-perkara tersebut telah dimasukan dalam senarai negeri,namun terdapat banyak undang-undang persekutuan yang menghadkan bidang dan pemakaian undang-undang negeri.Antara contohnya ialah dalam bidang warisan,mati berwasiat,pertumbangan-pertimbangan harus diberi kepada Akta Probet dan Pentadbiran dan Akta Pusaka Kecil(pembahagian) yang mengakibatkan kadi-kadi sebenarnya diberi fungsi untuk mengesahkan bahagian-bahagian yang harus yang harus diberi  kepada waris-waris di bawah undang-undang Islam.Dalam bidang undang-undang jenayah pula,bidang kuasa Mahkamah Syariah selain daripada terhad kepada orang-orang Islam sahaja juga terhad kepada kesalahan-kesalahan yang diberi peruntukan oleh undang-undang persekutuan.[22]

Mahkamah Syariah juga tidak memepunyai bidang kuasa ke atas pihak-pihak yang bertikai yang salah seorangnya bukan Islam.Misalnya,dalam soal hadanah,jika ibunya seorang bukan Islam dan bapanya seorang Islam,perkara ini masih boleh dibawa ke Mahkamah Sivil dan diputuskan di situ.Dalam Akta Pembaharuan Undang-undang (Perkahwinana dan Penceraian) 1976,Mahkamah Sivil diberi kuasa untuk membenarkan penceraian jika pihak pada perkahwinan tersebut yang dijalankan bukan secara Islam,telah memeluk agama Islam dan pihak yang satu lagi yang tidak memeluk agama Islam boleh membawa petisyen ke Mahkamah.[23]

Di bawah Akta Mahkamah-mahkamah Islam (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, pindaan 1984 bidang kuasa mahkamah hanya meliputi kesalahan-kesalahan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih daripada RM5000.00 rotan yang tidak melebihi 6 kali atau kombinasi mana-mana daripada hukuman tersebut. Bidang kuasa ini terlalau kecil dibandingkan dengan kuasa Majistret kelas pertama yang boleh menghukum sehingga 10 tahun penjara, denda sehingga RM10,000.00, rotan sehingga 12 kali atau mana-mana kombinasi hukuman di atas.[24]
Selain itu terdapat satu lagi akta persekutuan yang menyempitkan bidang kuasa undang-undang Islam dan perlaksanaannya sebagaimana yang diperuntukan dalam Jadual Kesembilan  yang diperuntukan, Senarai 2 di atas. Akta tersebut ialah Akta Undang-undang Sivil yang mula diadakan dalam tahun 1937.Akta ini telah memberi kedudukan istimewa kepada Common Law Inggeris dan memperkecil atau menafikan peranan luas undang-undang Islam.Mengikut akta tersebut,jika tidak ada peruntukan lain dibuat oleh mana-mana undang-undang bertulis dalam mana-mana perkara,mahkamah hendaklah mentadbir dan menguatkuasakan undang-undang Common Law Inggeris dan Kaedah Ekuiti yang ditadbirkan di England pada 17.4.1956.[25]

Kesan daripada Perlembagaan Persekutuan,Perkara 73,74,75,76 A dan 77,jelas menghadkan lagi bidangkuasa Mahkamah Syariah yang sedia sempit menjadi bertambah sempit.

BAB 4 : Isu-isu Islam di Mahkamah Sivil


4.1- Wakaf


            Sungguhpun wakaf disebut sebagai di dalam senarai negeri dan  juga di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, akan tetapi oleh kerana wakaf ditubuhkan melalui surat amanah atau wasiat, perkara itu boleh dibawa kepada Mahkamah Sivil, lebih-lebih lagi jika tanah tersebut tidak didaftar di atas nama Majlis Agama Islam.

            Di dalam kes Majlis Agama Islam,Pulau Pinang lwn Isa Abdul Rahman [1992] 2 MLJ 244 terdapat tanah wakaf yang mana di atasnya telah didirikan masjid. Majlis Agama Islam mencadang membesarkan masjid itu dan juga mengadakan tempat di kawasan itu yang boleh disewakan untuk perniagaan seperti bank. Ada ahli waris keturunan orang yang membuat wakaf itu membantah cadangan itu dan mereka telah menuntut injuksi dari mahkamah sivil melarang Majlis Agama Islam dari merobohkan masjid itu Majlis Agama Islam telah memohon tuntutan ahli waris itu ditolak kerana dihujahkan perkara itu didalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Permohonan itu telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Agung kerana diputuskan Mahkamah Syariah tidak ada bidangkuasa memberi injuksi yang dipohon dan oleh kerana kes itu dibawah bidangkuasa Mahkamah Sivil.[26]
           
4.2- Perwarisan

            Walaupun pada amnya undang-undang diri dan keluarga bagi orang-orang islam adalah tertakluk kepada senarai negeri dan Mahkamah Syariah,tetapi ianya tidak termasuk probet dan suratkuasa mentadbir yang mana masih di dalam Senarai Persekutuan dan tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Sivil.

            Sebagaimana dalam kes Hajah Lijah lwn Fatimah [1950]MLJ 62 seorang balu telah menuntut separuh bahagian diatas tanah yang didaftarkan atas nama suaminya yang telah meninggal dunia. Mahkamah Tinggi Kelantan telah memutuskan bahawa apabila kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi, mahkamah itu boleh memutuskan kes  itu dan di dalam kes ini, Mahkamah Tinggi memutuskan balu itu berhak mendapat separuh bahagian tanah itu sebagai harta sepencarian. Walaubagaimanapun mahkamah itu berkata jika nilai harta itu kurang daripada $500/- kes seperti itu biasanya hendaklah diputuskan di Mahkamah Kadi.[27]

4.3- Kekeluargaan

            Mahkamah Sivil adakalanya dapat campurtangan di dalam undang-undang keluarga Islam, walaupun peruntukan perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

            Sebagaimana kes Abdul Ghani lwn Sheriliza [1989]3 MLJ 153 di mana ibu seorang anak berumur sebelas tahun telah dicerai oleh bapa anak itu dan telah berkahwin semula dengan orang lain – seorang Perancis yang telah menganut agama islam, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur telah memberi hak jagaan anak itu kepada ibunya. Mahkamah Tinggi dalam kes ini tidak akan merujuk kepada undang-undang Islam akan tetapi memutuskan kes itu dengan menimbangkan  sama ada ibu itu layak dan patut mendapat hak jagaan anak itu dan sama ada pemberian hak jagaan itu kepada ibu nya adalah bagi kepentingan anak itu, sebagai pertimbangan utama.[28]

4.4- Masuk Islam dan Murtad

               Di dalam kes Ng Wan Chan lwn Majlis Agama Islam [1991]3MLJ 487, soal yang timbul adalah samada simati adalah seoarang Buddha atau orang Islam pada masa ia mati. Permohonan telah dibuat ke Mahkamah Tinggi untuk mengisytihar bahawa si mati adalah seorang Buddha akan tetapi telah dihujahkan bahawa perkara itu hendaklah dibawa ke Mahkamah Syariah. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa tidak ada undang-undang di Wilayah Persekutuan yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah menentukan samada  seorang itu Islam ataupun bukan Islam pada masa kematiannya dan oleh kerana itu,Mahkamah Tinggi boleh memutuskan perkara itu.[29]

            Berbanding dengan kes  Dalip Kaur lwn Pegawai Polis Bukit Mertajam [1992] MLJ 1, soal samada seseorang yang telah menganuti agama Islam telah murtad atau tidak telah dirujukkan kepada Majlis Agama Pulau Pinang. Di dalam jawapan bertulis yang diberi oleh Majlis Fatwa Pulau Pinang, Majlis Fatwa antara lain menyebutkan “untuk menentukan sama ada seseorang itu keluar daripada Islam (murtad),atau tidak hendaklah terlebih dahulu disabitkan oleh mana-mana Mahkamah Syariah dan dihukum ia sebagai terkeluar daripada Islam (murtad), jika tidak ada disabitkan oleh mana-mana Mahkamah Syariah dan dihukum maka seseorang itu teteap agama Islam”. Pendapat itu telah diterima oleh Mahkamah Agung Hashim Yeop Sani H.B berpendapat –Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman berhak menerima jawapan-jawapan dari jawatankuasa Fatwa kepada soalan-soalan yang dkemukakan kepada mereka dan yang mana dipersetujui oleh semua pihak Jawatankuasa Fatwa itu berpendapat bahawa si mati adalah seorang Islam kerana ia telah sabit keIslamannya apabila ia mengucap dua kalimah syahadat di hadapan kadi seperti di dalam surat ikrar orang yang masuk Islam kerana tidak ada keputusan daripada mana-mana Mahkamah Syariah yang mensabitkan ia terkeluar daripada Islam” Seorang Hakim lain di Mahkamah Agung ,iaitu Mohamed Yusoff H.M.A berpendapat Mahkamah Syariah sahajalah yang layak menjawab soalan itu[30]

BAB 5 : Analisis Isu Islam di Mahkamah Sivil

Mahkamah Syariah di Malaysia berada dalam kedudukan yang agak istimewa kerana dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tetapi mahkamah ini tetap mempunyai kelemahan kerana terdapat sesetengah isu Islam yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dan mengenepikan keputusan Mahkamah Syariah sebelum itu dan Mahkamah Syariah tidak boleh membicarakan kes-kes orang bukan Islam. Contoh yang paling dekat, keluarga M.Moorthy tidak boleh didakwa oleh Mahkamah Syariah sebagai menghina mahkamah. Maka dalam keadaan ini orang bukan Islam boleh rasa selamat.

            Perlembagaan Persekutuan melalui perkara 121(1a) melindungi Mahkamah Syariah dengan tidak memberi sebarang hak kepada mahkamah sivil untuk mempertikai keputusan Mahkamah Syariah. Dengan peruntukan ini juga bermakna mahkamah syariah telah diberi kuasa mutlak membicarakan kes umat Islam.[31]

            Sebelum pindaan tersebut diadakan Mahkamah Sivil boleh menjalankan bidang kuasa sungguhpun perkara itu dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Campur tangan ini amat jelas dalam perkara mengenai undang-undang keluarga Islam.

            Konflik bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dengan Mahkamah Sivil, walaupun telah ada pindaan tersebut akan berterusan kerana terdapat beberapa undang-undang Persekutuan yang masih bercanggah bidang kuasa seperti mengenai pembatalan sesuatu perkahwinan apabila satu pihak masuk Islam. Dalam kes Ng Swee Pian lwn. Abdul wahid telah membuat perintah membatalkan perkahwinan seorang lelaki yang telah berkahwin mengikut Undang-undang Sivil kerana telah memeluk Islam dan pihak yang menuntut enggan memeluk Islam. Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah Kadi itu tiada bidang kuasa membuat perintah seperti itu.[32]

            Amalan kebiasaan Mahkamah Sivil ialah apabila sesuatu kes melibatkan pihak orang Islam dan pihak bukan Islam dan mempunyai percanggahan seperti ini Mahkamah Sivil selalu merujuk kepada Undang-undang Sivil iaitu undang-undang pihak bukan Islam. Adalah diharapkan Mahkamah Sivil akan juga membuat rujukan hukum syarak dalam usaha menyelesaikan sebarang kes yang melibatkan kedua-dua belah pihak.[33]

            Sebenarnya peruntukan dalam Perlembagaan itu baru sahaja dipinda setelah berlaku beberapa kes yang diputuskan oleh Mahkamah Syariah dipertikaikan oleh pihak yang menentang. Terdapat beberapa kes itu, pihak yang menentang memohon di Mahkamah Sivil membatalkan keputusan Mahkamah Syariah. Memang ada kes yang berjaya dibatalkan kerana peruntukan Undang-undang Syariah dengan Undang-undang Sivil berbeza tafsirannya.

            Peruntukan ini sepatutnya tidak dipertikaikan oleh rakyat Malaysia yang bukan islam kerana peruntukan ini hanya untuk menjaga kepentingan orang Islam tanpa mengganggu hak orang lain. Jadi, orang Islam tidak perlu bimbang hanya kerana kes Moorthy. Sehingga setakat ini, undang-undang Islam dan Mahkamah syariah tidak pernah bertindak di luar batas yang dibenar oleh Islam. Hakimnya akan menjatuhkan hukuman menurut fakta dan bukti yang diberi secara jelas oleh pihak yang terbabit. Selain itu, Mahkamah Syariah tiada kuasa terhadap orang yang jelas bukan beragama Islam.[34]

            Usaha penyusunan semula Mahkamah- mahkamah Syariah seluruh Malaysia telah dan sedang dibuat. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Julai 1996 telah menimbang dan bersetuju akan cadangan penyusunan semula Mahkamah-mahkamah Syariah seluruh Malaysia[35]. Dengan demikian;
i)                    Sebuah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan yang mana Ketua Hakim Mahkamah Syariah Malaysia adalah Ketua Perkhidmatan Pegawai Syariah seluruh Malaysia dan diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri;
ii)                  Supaya struktur organisasi Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia diwujudkan;
iii)                Supaya Kerajaan Persekutuan mewujudkan empat jawatan pegawai syariah untuk diletakkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah;
iv)                Supaya satu Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah diwujudkan oleh Kerajaan persekutuan bagi mengisi jawatan di Mahkamah Syariah seluruh Malaysia dengan menggunakan Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah yang sedia ada;
v)                  Supaya satu perjanjian diadakan di antara kerajaan negeri mengenai perkara-perkara berkaitan dengan Mahkamah Syariah;
vi)                Supaya Kerajaan Persekutuan membiayai segala emolument, elaun tetap bulanan dan lain-lain pegawai Syariah yang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Syariah di negeri-negeri dan mahkamah Rayuan Syariah;
vii)              Supaya mendapatkan persetujuan Majlis Raja-raja dan kerajaan-kerajaan negari mengenai cadangan mewujudkan satu Perkhidmatan Gunasama Pegawai Syariah seluruh Malaysia;







[1] Ahmad Ibrahim,1997.Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia.Ipoh,,Perak:Pan Silver Printers Sdn Bhd. Hlmn 78

[2] Mahmood Zuhdi Abd Majid. 2004. Pengantar Undang-Undang Islam di Malaysia. Kuala Lumpur. Universiti Malaya: Kuala Lumpur. Hlmn 101.
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] Ibid.Hlmn.104
[6] Ibid.Hlmn102
[7]Lembaga Penyelidikan Undang-undang..2006.Perlembagaan Persekutuan.Kuala Lumpur.Aura
   ProductionSdn Bhd.Hlmn 2.
[8] Noor Aziah Mohd Awal, 2004, Pengenalan Kepada Sistem perundangan di Malaysia, International Law Boon Services, Hlmn 189
[9] Ibid., hlmn 190
[10] Hamid Jusoh, 1992 Kedudukan Undang-undang Islam dalam Perlembagaan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, hlmn 62
[11] Ibid.Hlmn 57
[12] Noor Aziah Mohd Awal, Ibid. hlmn 191
[13] Ibid. hlmn 193
[14] Faiza Haji Tamby Chik, 2001, Mengenai Mahkamah Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, hlmn 12
[15]  Ibid., hlmn 13
[16] Faiza Haji Tamby Chik, Ibid. hlmn 14
[17]. Lembaga Penyelidikan Undang-undang..2006.Perlembagaan Persekutuan.Kuala Lumpur. International
   Law Services Hlmn 156
[18] Mahmood Zuhdi Abd Majid. Ibid.Hlmn 107
[19] Lembaga Penyelidikan Undang-undang. Ibid. Hlmn 2
[20] Op.cit.hlmn 108
[21] Op.cit.hlmn  6
[22] Mahmood Zuhdi Abd Majid.Ibid. Hlmn 109.
[23]Ahmad Ibrahim.1994.Islam dalam Perlembagaan.Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka Hlmn.12
[24]Ibid .Hlmn 13
[25]Mahmood Zuhdi Abd Majid. Ibid. Hlmn 109.
[26]Ahmad Ibrahim..1997.Pentadbiran Undang-Undang Islam di Malaysia. Institut Kefahaman Islam
 Malaysia Hlmn 78.
[27] Ibid. Hlmn 80.
[28] Ibid. Hlm.82
[29] Ibid. Hlmn 80.
[30] Ibid  Hlmn.91
[31] Ahmad Bael Jaafar, Mac 2006, Dewan agama dan Falsafah, Karangkraf publication, KL, hlmn 63
[32] Ahmad Ibrahim.1997. Ibid.  hlmn 88
[33] Ibid.  hlmn 90
[34] Ahmad Bael Jaafar, Ibid.  hlmn 64
[35]Ahmad Ibrahim.1997. Ibid.  hlmn 84

Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment