Monday 4 March 2013

Bidangkuasa Mahkamah Syariah & Sivil



Bidang kuasa Mahkamah Syariah

Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Islam dijadikan agama rasmi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.[1]

Walaubagaimana pun, undang-undang Islam tidak didefinisikan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan Mahkamah Syariah diturunkan lagi kepada mahkamah negeri sahaja. Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa kuasa kehakiman Persekutuan adalah terletak hak kepada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Tinggi dan mahkamah bawahan. Sejak itu Mahkamah Syariah telah melalui berbagai proses dan masih melaluinya sehingga ke hari ini. Dari hanya sebuah mahkamah yang membicarakan kes-kes kekeluargaan orang Islam sahaja, ia kini boleh mendengar kes-kes jenayah yang tertentu di mana bidang kuasa menghukumnya ialah penjara 3 tahun atau RM 5,000.00. Selain itu, ia telah menerima pengiktirafan di mana keputusannya tidak lagi boleh dicabar oleh Mahkamah Sivil melalui pindaan perlambagaan pada tahun 1988 di mana Perkara 121 (A) Perlembagaan Persekutuan telah dimasukkan untuk melarang mahkamah tinggi campur tangan dalam hal-hal yang mahkamah syariah bidang kuasa.[2]

Penubuhan mahkamah syariah di wilayah Persekutuan dilakukan di bawah Akta Undang-undang Pentadbiran Islam (wilayah Persekutuan) 1994, sementara di negeri-negeri di bawah Enakmen atau Ordinan Negeri. Ia ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan seperti Mahkamah Sivil, walaupun asasnya bidang kuasa diperolehi dari senarai II (Senarai Negeri) Jadual Kesembilan.[3]

Menyentuh bidang kuasa perundangan, Mahkamah Syariah hanya mempunyai kuasa unuk membicarakan sesorang yang melakukan sesuatu kesalahan di dalam negeri itu sahaja. Sekiranya seseorang pesalah itu berada di luar negeri tersebut, maka pihak mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyaman dan membicarakan beliau. Bagaimanapun, di Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Melaka suatu perjanjian kerjasama telah dibuat bagi membolehkan seseorang pesalah itu dibicarakan di mahkamah.[4]

Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah secara umumnya dibahagikan kepada enam kategori;
1-         Kesalahan-kesalahan matrimoni seperti menganiayai isteri dan tidak taat
            kepada suami
2-         Kesalahan-kesalahan berhubung seks seperti persetubuhan haram, khalwat, perbuatan sumbang dan melacur.
3-         Kesalahan-kesalahan berhubung dengan minuman keras seperti meminum, menjual dan membeli minuman tersebut.
4-         Kesalahan daripada aspek keimanan seperti tidak menunaikan sembahyang Jumaat, tidak membayar zakat dan fitrah serta tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai pada bulan Ramadhan.
5-         Kesalahan-kesalahan berhubung dengan pertukaran agama seperti tidak melaporkan dan mendaftarkan masuk atau keluar daripada agama Islam dan kesalahan mengenai pengambilan anak angkat.
6-         Pelbagai kesalahan lain yang tidak termasuk di dalam kategori di atas.

Dalam bidang kuasa sivil Mahkamah Syariah membicarakan dan membuat keputusan terhadap segala jenis tindakan dan prosiding yang melibatkan penganut agama Islam berkait dengan hal-hal ;[5]
(i)         Pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan atau perpisahan secara undang-undang;
(ii)        Sebarang pelepasan hak, tuntutan hak, harta benda yang terlibat di dalam hal-hal yang berkaitan dengan perkara (a) di atas;
(iii)       Pemberian nafkah orang dalam tanggungan, keesahan, penjagaan atau hak penjagaan bayi;
(iv)       Pembahagian atau tuntutan, harta sepencarian;
(v)        Penentuan terhadap orang-orang yang berhak mewarisiharta si mati yang menganut agama islam atau bahagian harta yang berhak diwarisi oleh orang-orang berkenaan;
 (vi)      Wasiat atau pemberian terus dari si mati yang menganut agama Islam;
(vii)      Pemberian inter vivos, pembayaran yang telah dibuat bukan dalam bentuk atau tanpa mengambil kira persamaan nilai wang oleh seseorang yang menganut agama Islam;
(viii)     Wakaf atau nazar; atau
(ix)       Hal-hal lain yang diperakukan dalam mana-mana bidang kuasa undang-undang secara bertulis.


Kekeluargaan
Harta
Jenayah
- Mewarisi harta berwasiat dan tidak berwasiat
- Pertunangan
- Perkahwinan
- Perceraian
- Mas kahwin
- Nafkah
- Pengambilan anak angkat
- Taraf anak
- Penjagaan anak
- Pemberian dan  pembahagian harta dan amanah tidak khairat
- Wakaf Islam
- Khairat dan Yayasan khairat
- Zakat
- Fitrah
- Baitulmal dan hasil agama Islam
- Mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut agama Islam terhadap rukun-rukun Islam
- Mengawal perkembangan iktiqad dan kepercayaan antara orang-orang yang menganut agama Islam.[6]




Ini dapat dilihat di dalam kes Myriam v Mohamed Ariff. Di mana selepas pihak Kathi membuat perintah persetujuan menyerahkan penjagaan anak kepada pihak bapa. Si ibu telah membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk penjagaan anak menurut Ordinan Penjagaan Anak. Diputuskan di dalam kes ini bahawa si ibu berhak membuat permohonan tersebut walaupun perintah persetujuan telah dibuat oleh kathi dan mahkamah ada bidang kuasa untuk mendengarnya. Keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Sivil adalah berbeza dengan keputusan Mahkamah Syariah dan keputusan Mahkamah Tinggi adalah mengikat dan secara tidak langsung mengenepikan keputusan Mahkamah Syariah.[7]

Bidang kuasa Mahkamah Sivil (Mahkamah Tinggi)

Bidang kuasa sivil

Menurut seksyen 23(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91), Mahkamah Tinggi hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan segala prosiding sivil jika [8]-
(a)                kausa tindakannya berbangkit;
(b)               defendan atau salah seorang daripada beberapa orang defendan bermastautin atau mempunyai tempat urusannya;
(c)                fakta-fakta yang atasnya prosiding itu wujud atau dikatakan telah berlaku; atau
(d)               mana-mana tanah yang pemunyaannya dipertikaikan terletak, dalam bidang kuasa tempatan mahkamah itu dan, walau apapun apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini dalam apa-apa hal yang semua pihak bersetuju secara bertulis, dalam bidang kuasa tempatan Mahkamah Tinggi yang satu lagi itu.

Seksyen 24 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyebut bahawa bidang kuasa Mahkamah Tinggi dalam kes-kes sivil hendaklah termasuk [9]-
(a)                bidang kuasa di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan perceraian dan kausa hal ehwal suami isteri;
(b)               bidang kuasa dan kuasa yang sama berhubung dengan perkara-perkara admiralti seperti yang ada pada Mahkamah Keadilan Tinggi di England di bawah Akta Mahkamah Agung 1981 bagi United Kingdom;
(c)                bidang kuasa di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan kebangkrapan atau syarikat;
(d)               bidang kuasa untuk melantik dan mengawal penjaga budak-budak danpada amnya atas diri dan harta budak-budak;
(e)                bidang kuasa untuk melantik dan mengawal penjaga dan pengawas diri dan estet orang-orang dungu, orang-orang sakit otak dan orang-orang yang tak sempuna akal; dan
(f)                bidang kuasa untuk memberi probet bagi wasiat dan testament dan surat kuasa mentadbir bagi harta pusaka orang mati yang meninggalkan harta di dalam bidang kuas wilayah Mahkamah itu dan untuk menukar atau membatalkan pemberian tersebut.

Bidang kuasa Jenayah

            Bidang kuasa jenayah Mahkamah Tinggi terdapat dalam seksyen 22 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

            Menurut seksyen 22, subseksyen (1), Mahkamah Tinggi hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan [10]-
            (a)        semua kesalahan yang dilakukan -
                        (i)         dalam bidang kuasa tempatannya;
(ii)        di laut lepas di atas mana-mana kapal atau di atas mana-mana pesawat udara yang didaftarkan di Malaysia;
(iii)       oleh mana-mana warganegara atau mana-mana pemastautin tetap di laut lepas, di atas mana-mana kapal atau di atas mana-mana pesawat udara;
(iv)       oleh mana-mana orang di laut lepas jika kesalahan itu ialah kesalahan pelanunan mengikut undang-undang antarabangsa; dan

(b)        kesalahan-kesalahan di bawah Bab VI Kanun Keseksaan, dan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang dinyatakan di dalam Jadual kepada Akta Kesalahan-Kesalahan di Luar Negeri 1976, atau kesalahan-kesalahan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain yang mana perlakuannya diperakui oleh Peguam Negara sebagai menjejaskan keselamatan Malaysia dan kesalahan itu yang dilakukan, mengikut mana-mana yang berkenaan -
(i)         di laut lepas, di atas mana-mana kapal atau di atas mana-mana pesawat udara yang didaftarkan di Malaysia;
(ii)        oleh mana-mana warganegara atau mana-mana pemastautin tetap di laut lepas, di atas mana-mana kapal atau di atas mana-mana pesawat udara; atau
(iii)       oleh mana-mana warganegara atau mana-mana pemastautin tetap di mana-mana tempat di luar sempadan Malaysia.



[1] Noor Aziah Mohd Awal, hlm 189
[2] Ibid, hlm 190
[3] Ibid, hlm 191
[4] Hamid Jusoh, Kedudukan Undang-undang Islam dalam Perlembagaan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, 1992, hlm 62
[5] Ibid, hlm 57
[6] Noor Aziah Mohd Awal, hlm 191
[7] Noor Aziah Mohd Awal, hlm 193
[8] Faiza Haji Tamby Chik, Mengenai Mahkamah Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, hlm 12
[9]  Faiza Haji Tamby Chik, Mengenai Mahkamah Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001, hlm 13
[10] Ibid, hlm 14

Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment