Friday 12 April 2013

Kahwin Bawah umur?

Hari ini kita dilaporkan dengan satu berita seorang bapa yang memohon kepada mahkamah syariah untuk menikahkan anaknya perempuannya yang berusia 12 tahun atau dalam bahasa mudah perkahwinan di bawah umur. Jom kita baca lebih lanjut mengenai berita ini.

Gambar Hiasan


Seorang bapa terpaksa merayu kepada Mahkamah Syariah supaya meluluskan perkahwinan anak gadisnya berusia 12 tahun yang enggan pulang ke rumah tetapi mahu tinggal di rumah teman lelakinya.
    
Pembantu Pegawai Tadbir Agama Daerah Kulim Azmi Ahmad berkata peristiwa itu berlaku kira-kira dua minggu lalu dan gadis itu dan teman lelakinya berusia 19 tahun akan mendirikan rumah tangga bulan depan.
    
"Gadis itu baru sahaja mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) manakala pasangannya pula menganggur tetapi ibu bapa mereka bersetuju pasangan itu dinikahkan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kem Bina Generasi al-Quran di Masjid Al-Ittihad, Sungai Kob dekat Kulim hari ini.
    
Azmi yang mewakili Pegawai Tadbir Agama Daerah Kulim melancarkan program tersebut berkata waris gadis berkenaan telah membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah Daerah sebagai mematuhi Enakmen Keluarga Islam 2008 (Pindaan) Negeri Kedah.
    
"Bagi pihak perempuan yang berumur di bawah 16 tahun yang mahu bernikah dan lelaki pula yang berusia di bawah 18 tahun perlu mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Syariah melalui enakmen tersebut," katanya yang juga Ketua Bahagian Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim.
    
Azmi berkata kes itu julung kali berlaku sejak berpuluh tahun beliau berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam di Kedah.

- Bernama
(Disiarkan oleh
Malaysiakini. 21/11/12)

Gambar Hiasan

Kita ikuti perbincangan dalam artikel berikut yang disiarkan dalam Utusan Malaysia 14/12/2010.

 'Jangan Berpolemik Kahwin Bawah Umur'.

KISAH pernikahan Siti Maryam Mahmod, 14, dengan seorang guru, Abdul Manan Othman, 23, awal Disember lalu dengan kebenaran Mahkamah Syariah menimbulkan rasa kurang senang segelintir masyarakat.

Bagaimanapun, jika kita mengkaji sirah Nabi SAW, baginda SAW telah memberi panduan kepada kita dalam hal ini.

Nas  paling jelas adalah pernikahan baginda dengan Siti Aisyah r.a yang ketika itu berusia enam tahun.

Ia  sebagaimana hadis yang bermaksud: Daripada Aisyah r.a. berkata: Nabi SAW melaksanakan pernikahan denganku ketika aku berumur 6 tahun. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. NOOR MAT AMIN menemu bual Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Datin Noor Aziah Mohd. Awal bagi mengupas isu ini.

Mega:  Apakah hukum Islam mengenai perkahwinan bawah umur?

NOOR AZIAH:  Perkahwinan dalam Islam adalah sunnah Nabi Muhamad saw. Ia adalah satu ibadah dan satu-satunya cara menghalalkan hubungan seks atau kelamin antara seorang lelaki dan perempuan bukan mahram.

Pernikahan disebut mithaq yang bermaksud satu perjanjian suci dan mesti diupacarakan mengikut hukum Islam. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Nikah itu adalah sunnahku dan barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukanlah daripada umatku. (riwayat Bukhari).

Untuk suatu pernikahan menjadi sah ia mestilah memenuhi keperluan berikut:
(a) Lelaki
(b) Perempuan
(c) Wali
(d) Saksi
(e) Ijab & Qabul. 

Jika dilihat di atas, perkahwinan mempunyai nas tersendiri dan hukum yang sesuai mengenainya. Mengikut Iman Abu Hanifah, Ahmad ibn Hanbal dan Malik Ibn Anas, perkahwinan adalah sesuatu yang digalakkan namun bagi sesetengah individu ia menjadi wajib.

Pandangan  umumnya adalah jika seseorang lelaki atau perempuan takut dia akan melakukan zina, maka perkahwinan adalah wajib baginya. Perkahwinan juga wajib bagi orang yang mempunyai nafsu seks yang tinggi.

Daripada sudut umur, Islam tidak menjadikan umur sebagai syarat perkahwinan. Ini jelas melalui perkahwinan Nabi Muhamad SAW dengan Aisyah. Dalam satu hadis Aisyah menyatakan yang dia berkahwin dengan Nabi semasa berumur 6 tahun dan perkahwinan itu disempurnakan semasa dia berumur 9 tahun. Dan mereka tinggal bersama selama 9 tahun sehingga kewafatan Nabi SAW.

Jadi dalam Islam, perkahwinan bawah umur atau kanak-kanak boleh berlaku dengan syarat ia mengikut hukum Islam.

Di Malaysia, di bawah undang-undang keluarga Islam di semua negeri, semua perkahwinan yang hendak diakadnikahkan perlu membuat permohonan dan diletakkan umur minimum iaitu 18 bagi lelaki dan 16 bagi perempuan. Namun pasangan masih boleh diakadnikahkan di bawah umur tersebut jika dibenarkan oleh Hakim Syarie.

Benarkah baligh antara faktor yang diambil kira untuk membenarkan perkahwinan bawah umur?

NOOR AZIAH:  Jika dilihat kepada hadis mengenai perkahwinan Aisyah dengan Nabi SAW, baginda hanya mula tinggal bersama Aisyah apabila beliau sudah baligh.

Jadi  pernikahan boleh berlaku sebelum baligh. Asalkan wali memberi persetujuan dan kita tahu, dalam mazhab Shafie, wali mujbir boleh menikahkan anak gadisnya tanpa persetujuan anak gadis itu.

Peranan  wali sangat penting kerana perkahwinan tanpa wali adalah tidak sah. Jadi untuk mengadakan hubungan seks, anak gadis yang terlalu muda usianya yang dinikahi itu mesti telah baligh.

Apa  maksud baligh? Daripada sudut bahasa baligh bermakna sampai kepada sesuatu atau penghabisan kepada sesuatu tujuan, tempat terhenti.

Tanda baligh bagi perempuan adalah haid atau hamil.

Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) mentakrif kanak-kanak sebagai seorang yang berumur di bawah 18 tahun atau di bawah umur tersebut jika umur dewasa dicapai lebih awal di negara tersebut. Jadi definasi baligh dan dewasa dalam Islam tidak bercanggah dengan CRC.

Menetukan  had umur antara kanak-kanak dengan orang dewasa adalah hak negara. Penentuan had umur perlu dibuat kerana implikasi undang-undang berbeza di antara orang dewasa dengan kanak-kanak.

Di Malaysia,  Akta Umur Dewasa 1971, mentakrif orang dewasa sebagai yang berumur di atas 18 tahun dan Akta Kanak-kanak 2001 mentakrif kanak-kanak sebagai yang berumur di bawah 18 tahun.

Namun, semua perundangan Islam tidak memberi takrif kepada mumaiyiz dan baligh. Jadi ada kalanya percanggahan berlaku daripada sudut umur sahaja. Perlu juga diingat perbezaan dewasa dan kanak-kanak penting kerana jika kanak-kanak melakukan jenayah, mereka tidak dihukum seperti orang dewasa.

***

Perbincangan En. Zainul Rijal Abu Bakar dalam Berita Harian bertarikh 20/12/2010 turut mengupas berkenaan isu ini. 

Islam Benar Perkahwinan Bawah Umur 

Mahkamah Syariah pastikan perempuan layak, kebajikan dijaga sebelum beri kebenaran. 

ISU mengenai perkahwinan bawah umur kembali mendapat tempat untuk dibahaskan. Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan pandangan mereka berkenaan isu ini.   

Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, menolak cadangan supaya perkahwinan kanak-kanak bawah umur diharamkan meskipun ramai tidak berpuas hati dengan perkahwinan seorang gadis berusia 14 tahun Siti Maryam baru-baru ini. 

Menurut Nazri, kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk memansuhkan undang-undang yang membenarkan perkahwinan bawah umur kerana amalan itu tidak menyalahi agama Islam sambil menegaskan jika agama membenarkannya, kerajaan tidak boleh mengharamkannya.  

Perkahwinan Siti Maryam dikatakan menimbulkan pelbagai kritikan termasuk daripada Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang berkeras berkata kerajaan tidak menyokong amalan itu.  

Kumpulan aktivis pula mahu undang-undang itu dipinda kerana sering menjadi amalan dan dikatakan kira-kira 16,000 gadis bawah umur 15 tahun di Malaysian sudah berkahwin. Pertentangan kenyataan ini sebenarnya manifestasi meletakkan gender mengatasi hukum agama.  

Saya mengucapkan syabas kepada Nazri kerana mempertahankan hukum syarak dalam sudut ini. Shahrizat pula seperti biasa meletakkan isu gender melebihi hukum syarak walaupun perundangan Islam membenarkan perkahwinan bawah umur asalkan sudah mencapai umur baligh dan datang haid. 

 Walaupun perkahwinan bawah umur dibenarkan agama, dari sudut perundangan ia bukanlah secara automatik boleh dilaksanakan. Peruntukan yang jelas ialah jika seorang perempuan bawah umur hendak dikahwinkan, wali hendaklah memohon kebenaran dari Mahkamah Syariah.  

Mahkamah Syariah akan memastikan perempuan itu layak berkahwin atau sebaliknya dan kebajikan perempuan itu setelah berkahwin juga diberi perhatian. Kebenaran mahkamah bukan dibuat secara semberono tetapi dikawal kaedah hukum syarak dan perundangan Islam.

Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 menyatakan tiada suatu perkahwinan boleh diakad nikahkan di bawah akta itu jika lelaki berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang 16 tahun kecuali jika hakim syarie memberi kebenaran secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Pada ketika ini kebiasaannya umur 16 tahun itu masih lagi di bangku sekolah iaitu di Tingkatan Empat. Manakala, lelaki berumur 18 tahun mungkin sudah menamatkan alam persekolahan.

Polemik yang timbul ialah pada waktu umur persekolahan itu bagaimanakah pasangan muda ini akan meneruskan pelajaran dan bagaimana pula jika mereka ingin meneruskan pengajian ke pusat pengajian tinggi?

Dengan adanya siasatan terperinci oleh hakim syariah sebelum memberi kebenaran, kemaslahatan dan kebajikan pasangan bawah umur dapat dijaga. Malah, hakim syarie juga boleh mengenakan syarat tertentu semasa membenarkan pernikahan itu.

Dalam banyak keadaan, perkahwinan bawah umur bukanlah atas desakan ibu bapa tetapi mereka yang ingin mendirikan rumah tangga. Malah ada antara mereka yang sudah tidak dapat dikawal oleh ibu bapa dan sanggup melakukan apa saja jika tidak dibenarkan bernikah.

Inilah pertimbangan yang perlu disiasat oleh hakim syarie sebelum memberi kebenaran kepada pernikahan pasangan bawah umur.

Justeru, saya berharap Shahrizat yang mahu mengharamkan perkahwinan bawah umur meneliti kembali peruntukan hukum syarak dan tidak sewenang-wenang membuat gesaan bertentangan undang-undang Islam.

Isu masa depan perempuan muda yang berkahwin bukan perkara yang boleh mengubah hukum. Sepatutnya program sesuai digarap bagi menjaga kebajikan perempuan muda yang berkahwin ini. Undang-undang mestilah disesuaikan dengan agama bukan agama disesuaikan dengan undang-undang.

Pasangan bernikah pada usia muda sepatutnya diberi bantuan dari segi persediaan alam rumah tangga, meneruskan persekolahan atau pengajian dan meningkatkan ekonomi keluarga. Malangnya, bukan saja perempuan muda yang berkahwin tidak dijaga kebajikannya, tetapi wanita dewasa juga banyak mengalami masalah kebajikan mereka terabai.

Tiada pembelaan yang baik kepada pasangan berkahwin sehingga mencatatkan indeks perceraian yang tinggi akibat tiada persefahaman. Kursus praperkahwinan kepada bakal pengantin tidak membekalkan ilmu yang patut mereka miliki untuk melayari bahtera perkahwinan.

Saya berpandangan walau apapun keadaannya, dalam setiap tindakan kita janganlah sampai menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Setiap pandangan kita hendaklah digarap berteraskan kepada agama.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment