Monday 25 June 2012

Permohonan Rayuan Mal Tuntutan Fasakh ( Bantahan Awal)

DI DALAM MAHKAMAH RAYUAN SYARIAH
DI KUALA TERENGGANU
DI NEGERI TERENGGANU

DALAM PERKARA PERMOHONAN RAYUAN  MAL
TUNTUTAN FASAKH( BANTAHAN AWAL)
 NO : 11000-014-****-2011

ANTARA
CHE NORA’ZAM BIN NOOR DIN,           ---                                                            PERAYU
KP: 6*****-03-5****
DENGAN
RUHAIDA BINTI OTHMAN,                   ---                                                      RESPONDEN
KP: 6*****-11-5****

DI HADAPAN HAKIM-HAKIM RAYUAN
YANG AMAT ARIF  TAN SRI SHEIKH GHAZALI BIN HJ.ABDUL RAHMAN
PSM.,PJN.,DSDK.,AMN.,                                                             -PENGERUSI

YANG AMAT ARIF DATO’ ARIA D’RAJA, DATO’ DAUD BIN MUHAMMAD           
SPSK.,DPSK.,PSK.,ASK.,PPN.,                                                    -        AHLI

YANG AMAT ARIF DATO’ HAJI MUHAMMAD ASRI BIN ABDULLAH                             
DPMP.,PMP.,                                                                             -        AHLI

PADA HARI SELASA,6 RABIUL AKHIR 1433 H,
BERSAMAAN 28 FEBRUARI , 2012.
 
ATAS RAYUAN MAL yang di rayu oleh Perayu melalui Peguam Syarie dari Tetuan  Khairul Sofian Anuar & Co, MAKA rayuan  ini di buat   di dalam Dewan Terbuka, Mahkamah Rayuan  Syariah Terengganu, DAN setelah meneliti Rekod Rayuan, serta hujah Perayu dan hujah Responden, MAKA PADA HARI INI HAKIM-HAKIM MAHKAMAH  RAYUAN SYARIAH NEGERI TERENGGANU BERSETUJU SECARA SEBULAT SUARA DAN MEMBUAT PENGHAKIMAN  SEPERTI BERIKUT:-

Peguam syarie:
Perayu        :  Fazru Anuar bin Yusof dari Tetuan Khairul Sofian  Anuar  & Co.
Responden : Tuan Haji Mukhtar bin Abdullah dan Cik Asmayani Suhaida binti Kamaruddin Tetuan Zamani Mohamad & Co.

Penghakiman Panel Rayuan

Rayuan ini di buat oleh perayu  kepada Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Terengganu bagi mendapatkan suatu perintah  di bawah  seksyen 17 untuk  Rayuan ke atas keseluruhan keputusan bantahan awal dalam tuntutan fasakh bahawa;

1.      Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta atau perundangan bahawa tajuk saman dan penyataan plaintif bertarikh 11/7/2011 adalah tidak mengikut prosedur kerana kes tersebut sepatutnya perlu dimulakan dan dibicarakan di MRS dan bukannya di MTS
2.  Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta atau perundangan tiada apa-apa pun permohonan telah dibuat oleh plaintif untuk memindahkan kes tersebut dari MRS ke MTS dan dibicarakan di MTS

3.      Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta atau perundangan tiada apa-apa perintah dari MTS telah diperolehi oleh responden untuk memindahkan prosiding kes ke MTS

4.      Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta atau perundangan prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi telah memprejudiskan hak merayu perayu kerana perayu hanya boleh merayu di Mahkamah Rayuan dan akan membebankan perayu dengan kos Rayuan dan kos guaman.

5.      Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta atau perundangan prosiding kes fasakh adalah lebih wajar dan adil dibicarakan di MRS ( Original Jurisdiction ) manakala prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah adalah prosiding untuk mendengar semakan atau Rayuan fasakh.

6.      Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta atau perundangan prosiding perbicaraan di MTS juga akan membuka ruang kepada kes-kes lain yang sama jenis untuk difailkan dan dibicarakan di MTS akan menyebabkan pertindihan bidangkuasa antara kedua-dua Mahkamah iaitu MRS dan MTS

7.      Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi fakta atau perundangan prosiding perbicaraan adalah pramatang kerana kedua-dua pihak belum pernah menghadiri apa-apa sesi kaunseling samada di Pejabat Agama Daerah dan/atau melalui proses sulh/mediasi di Mahkamah Syariah.
Pihak responden didalam penghujahannya menghujahkan seperti berikut;-
1.      MTS mempunyai bidangkuasa asal ( original jurisdiction) mendengar dan memutuskan kes pembubaran perkahwinan fasakh.

2.      Rayuan masih boleh dibuat ke Mahkamah Rayuan

3.      Tidak perlu pemindahan kes dari Mahkamah Rendah ke Mahkamah Tinggi bilamana Mahkamah Tinggi mempunyai bidangkuasa asal.

4.      Mahkamah Tinggi Syariah perlu mendengar dan memutuskan kes fasakh ini dengan segera.

Setelah Mahkamah meneliti keterangan dan hujahan pihak-pihak dalam kes ini Mahkamah mendapati empat isu utama yang perlu diputuskan oleh Mahkamah iaitu:-
1.   Sama ada Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes tuntutan fasakh mengikut seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
2.   Adakah wujudnya lacuna dalam penentuan Mahkamah yang kompeten untuk mendengar kes tuntutan fasakh di antara Mahkamah Rendah Syariah dengan Mahkamah Tinggi Syariah berdasarkan peruntukkan seksyen 11 dan 12 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
3.   Sama ada prosiding pemindahan kes diperlukan apabila kes tuntutan fasakh didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu.
4.   Sama ada pendengaran tuntutan kes fasakh oleh Mahkamah Tinggi Syariah akan menghilangkan hak merayu dua kali pihak perayu.

Isu Pertama: Sama ada Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu mempunyai bidangkuasa untuk mendengar kes tuntutan fasakh mengikut Seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah ( Terengganu) 2001
Seksyen 11 Enakmen Mahkamah Syariah Terengganu memperuntukkan ;
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan-

(i) pertunangan, perkahwinan, ruju' , perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;

………………………
Berdasarkan kepada seksyen diatas jelas menunjukkan bahawa kes tuntutan fasakh adalah merupakan bidangkuasa asal Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu. Tambahan pula, terdapat bersama tuntutan ini, tuntutan berkaitan dengan hak jagaan anak dan nafkah anak yang telah diputuskan pada 12 Julai 2011 di Mahkamah Tinggi Syariah. Maka amat wajarlah kes ini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah. Ini adalah kerana kuasa asal untuk mendengar kes tuntutan fasakh ini wujud di Mahkamah Tinggi Syariah . Pun begitu ianya tidak menghalang Mahkamah Rendah Syariah untuk mendengar tuntutan fasakh berdasarkan Seksyen 12 Enakmen yang sama . Sepatutnya dalam kes ini Mahkamah Tinggi Syariah terus mendengar tuntutan fasakh sehingga selesai dan jika terdapat mana-mana pihak yang terkilan dan tidak berpuas hati  dengan keputusan tersebut bolehlah merayu secara keseluruhannya kepada Mahkamah Rayuan.

Isu kedua : Adakah wujudnya lacuna dalam penentuan Mahkamah yang kompeten untuk mendengar kes tuntutan fasakh di antara Mahkamah Rendah Syariah dengan Mahkamah Tinggi Syariah didalam peruntukkan seksyen 11 dan 12 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

Mahkamah berpuashati bahawa tiada lacuna didalam penentuan pendengaran kes tuntutan fasakh ini. kerana seksyen 11 dan 12 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 secara jelasnya telah memperuntukkan bidangkuasa kedua –dua peringkat Mahkamah  tersebut.

Isu ketiga : Sama ada prosiding pemindahan kes diperlukan apabila kes tuntutan fasakh didengar di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu.

Mahkamah berpuashati bahawa isu ini tidak timbul kerana kes ini telah didengar terus oleh Mahkamah Tinggi Syariah sejak dari mula ianya didengar. Maka isu prosiding perpindahan tidak timbul.

Isu keempat : Sama ada pendengaran tuntutan kes fasakh oleh Mahkamah Tinggi Syariah akan menghilangkan hak dua kali merayu pihak perayu.

Seksyen 17. Bidang kuasa Mahkamah Rayuan Syariah.

(1) Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan apa-apa Rayuan terhadap apa-apa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya.

(2) Apabila suatu Rayuan daripada sesuatu keputusan Mahkamah Rendah Syariah telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah boleh atas permohonan mana-mana pihak memberikan kebenaran untuk diputuskan olehnya sendiri apa-apa persoalan undang-undang berkepentingan awam yang telah timbul dalam perjalanan Rayuan itu dan yang keputusannya oleh Mahkamah Tinggi Syariah telah menyentuh keputusan Rayuan itu.

(3) Apabila kebenaran telah diberikan oleh Mahkamah Rayuan Syariah, ia hendaklah mendengar dan memutuskan persoalan yang dibenarkan dirujukkan bagi keputusannya dan membuat apa-apa perintah yang boleh dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah, dan yang difikirkannya adil bagi pemberesan Rayuan itu.

Berdasarkan seksyen diatas, Semua pihak mendapat hak untuk merayu sekiranya terkilan atau tidak berpuashati atas mana-mana keputusan yang telah dibuat. Pun begitu, hak merayu di Mahkamah Rayuan berkaitan keputusan Rayuan dari Mahkamah Rendah ke Mahkamah Tinggi Syariah tidaklah diberikan secara automatis kerana hak merayu tersebut tertakluk kepada kebenaran merayu oleh Mahkamah Rayuan Syariah sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 17( 2 ) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001. Maka dengan ini hak keadilan mendapat peluang untuk merayu itu telah diberikan secara samarata kepada semua pihak.

Keputusan
Dengan alasan-alasan tersebut, Mahkamah secara sebulat suara dengan ini menolak Rayuan perayu dan Mahkamah memerintahkan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu untuk terus mendengar kes tuntutan fasakh 11300-014-****-2011 sehingga selesai. 

Dipersetujui;

YAA Tan Sri Sheikh Ghazali bin Abdul Rahman,
Pengerusi Hakim Mahkamah  Rayuan ,
Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu
 
YAA Dato’ Haji Mohamad Asri bin Hj. Abdullah
Hakim Rayuan ,
Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu

YAA Dato’ Aria Di’ Raja Dato’ Haji Daud Bin Muhammad,
Hakim Rayuan ,
Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu 





Sharing is caring ^_^

1 comment: