Gambar Hiasan |
1.0 PENDAHULUAN
Kesalahan-kesalahan tort terutama kecuaian boleh wujud sama ada daripada perbuatan manusia ataupun tidak, seperti daripada benda-benda dan juga haiwan. Jika berlaku kecuaian yang mengakibatkan kecederaan atau kematian dan sebagainya, seseorang itu bertanggungjawab manakala jika dilakukan oleh benda atau haiwan, pemunya atau penjaganya harus dikenal pasti. Undang-undang Islam sangat mengambil berat tentang hal tersebut, sehinggakan kesemua ulama mazhab Sunni membincangkannya dalam manuskrip-manuskrip mereka. Ia juga telah dikanunkan ke dalam beberapa undang-undang sivil negara Arab. Semua ini adalah untuk menjaga hak setiap individu dalam masyarakat dan menghormati darah dan nyawa mereka supaya ia tidak mudah dicerobohi. Hasilnya akan mewujudkan keamanan dan keharmonian dalam masyarakat.
2.0 TAKRIFAN UMUM KECUAIAN
Istilah kecuaian biasanya merujuk kepada dua perkara yang berbeza. Pertama, merujuk kepada kedudukan pemikiran seseorang pada seseorang pada sesuatu ketika yang tertentu. Dalam erti kata ini, perbuatan itu bermaksud ‘kesembonoan’ atau ‘kecuaian’. Kedua, kecuaian adalah nama bagi tort biasa. Kertas kerja ini akan membincangkan perkara yang kedua dari sudut pandangan Islam dan Sivil secara umum.
Kamus Dewan mentakrifkan cuai sebagai sesuatu perbuatan yang tidak berhati-hati dalam membuat sesuatu. Kecuaian pula membawa maksud atau memperihalkan cuai atau kelalaian. (Kamus Dewan 2000: 249 & 250) Takrifan ini sesuai dengan perihal ‘not being careful enough; lack of care’. (Kamus New Oxford 2006: 559)
2.1 Pemakaian Istilah Kecuaian Dalam Undang-Undang Sivil
Perkataan kecuaian itu merupakan suatu konsep, dan untuk membuktikan wujudnya kecuaian sebagai suatu tort. Plaintif mestilah secara amnya menunjukkan bahawa Defendan telah bertindak sepertimana yang tidak akan dilakukan oleh orang yang munasabah, atau Defendan tidak bertindak sepertimana yang akan dilakukan oleh orang yang munasabah. (Norchaya Talib 2006: 9)
Mengikut takrif yang diberi oleh mahkamah dalam kes Donogue lwn. Stevenson [1932] A.C. 562, kecuaian berlaku apabila seseorang yang ada kewajipan berjaga-jaga kepada pihak yang lain telah melanggarinya dan telah mengakibatkan pihak yang lain itu mengalami kerugian. Dalam kes Blyth lwn. Birmingham Waterworks Co. [1856] 11 EXCH. 781, Hakim Anderson menyatakan:
Kecuaian adalah peninggalan untuk melakukan sesuatu yang seseorang yang munasabah, yang berpandukan atas pertimbangan lazim yang mengawal perlakuan tabii manusia, akan lakukan, atau melakukan sesuatu yang seseorang yang berhemat dan munasabah tidak akan lakukan.
2.2 Pemakaian Istilah Kecuaian Dalam Undang-Undang Islam
Dalam undang-undang Islam, tidak ada satu pengertian yang lengkap terhadap kecuaian, namun penggunaan beberapa perkataan seperti al-taqsīr atau al-tafrīt (Hans Wehr 706 & 768) sering dirujuk kepada kecuaian atau kurang berhati-hati. Kebiasaannya penggunaan perkataan ini sering digunakan oleh fuqaha’ klasik apabila membincangkan mengenai perbuatan salah secara tidak sengaja atau dikenali sebagai ‘tort kecuaian’. Perkataan tafrīt berasal daripada perkataan farrata bermaksud lalai atau memaparkan kelemahan pada sesuatu. (Ibn Manzur. t.th: 370) Perkataan al-taqsīr atau qasara pula bermaksud meninggalkan sesuatu (Ibn Manzur. t.th: 96) Dari segi bahasa kedua-dua perkataan ini memberi erti kecuaian atau kurang berhati-hati, iaitu seseorang telah gagal melakukan sesuatu tindakan yang sepatutnya dilakukan.
3.0 KECUAIAN MENURUT UNDANG-UNDANG SIVIL
Kecuaian berdasarkan pemakaian terkini Undang-undang Inggeris adalah untuk nama bagi kesalahan tort biasa. Bagi maksud tort atau bagi pengamal undang-undang, ia mempunyai satu pengertian yang khusus yang mana tidak semua kelakuan cuai atau kurang berhati-hati itu dianggap satu kecuaian di sisi undang-undang. (Salleh Buang 1999: 2) Kecuaian sebagai satu tort yang tersendiri telah ditakrifkan oleh Lord Wright dalam kes Loghelly Iron & Coal lwn. M’ Mullan [1934] AC 1: 25 seperti yang berikut:
Kecuaian bukan setakat tidak mengambil peduli atau perlakuan cuai … tetapi menampilkan konsep yang kompleks mengenai kewajipan, kemungkinan dan kerugian yang dialami oleh orang yang banyak terhadap kewajipan itu.
3.1 Elemen Tort Kecuaian
Berdasarkan takrif-takrif yang telah dibincangkan, pada umumnya terdapat tiga elemen tort ini yang perlu wujud untuk mengatakan seseorang itu telah cuai. Kesemua elemen ini mestilah dibuktikan sebelum Plaintif boleh berjaya dalam tuntutannya.
i. Kewajipan yang sedia ada;
ii. Kegagalan untuk mematuhi tahap berjaga-jaga yang dikehendaki, dengan perkataan lain, kemungkiran terhadap kewajipan itu; dan
iii. Kecerderaan berakibat daripada kemungkiran itu.
3.1.1 Elemen Pertama: Kewajipan Berjaga-jaga
Berhubung dengan elemen ‘kewajipan’, elemen ini sebenarnya bermaksud satu obligasi atau satu beban yang dikenakan oleh undang-undang, yang menghendaki seseorang untuk mematuhi tahap kelakuan yang tertentu. Kewujudan kewajipan sedemikian dalam beberapa keadaan tertentu telah menyebabkan wujudnya sesuatu yang dalam undang-undang tort dikenali sebagai ‘situasi kewajipan’. (Salleh Buang 1999: 2) Sebagai contoh dalam kes Bourhill lwn. Young [1943] AC 92, mahkamah memutuskan bahawa situasi kewajipan tidak wujud. Dalam kes itu, Defendan seorang penunggang motosikal telah didapati tidak menanggung sebarang kewajipan berjaga-jaga terhadap Plaintif, yang hanya merupakan ‘bystander’ (dia mendengar tetapi dia tidak melihat kemalangan itu berlaku), dan yang pada masa yang relevan berdiri pada satu tempat yang bukan dalam kawasan yang bahayanya dapat diramal.
Dalam keputusan yang dibuat oleh Hakim Harun Hashim dalam kes Mohd Alwi bin Md. Zain lwn. Koo Kim Chat [1990] 1 CLJ 522. Dalam kes ini, Plaintif mendakwa bahawa dia sedang menunggang motosikalnya apabila teksi yang dipandu oleh Defendan memotong dan memasuki lorongnya dan berhenti dengan serta-merta. Defendan sebaliknya berkata bahawa dia telah berhenti di tepi jalan untuk menurunkan seorang penumpang dan Plaintif ketika memotongnya dari sebelah kiri, telah melanggar pintu depan teksi yang terbuka. Mahkamah Seksyen membuat keputusan yang memihak kepada Defendan dan membuang tindakan Plaintif. Apabila rayuan dibuat kepada Mahkamah Tinggi, Hakim Harun Hashim berkata bahawa keputusan yang dibuat oleh Presiden Mahkamah Seksyen tidak mengambil kira fakta bahawa yang memotong jalan Plaintif bukan keseluruhan badan teksi tetapi cuma pintunya sahaja yang terbuka. Daripada pemerhatiannya, Defendan telah mengakui yang dia tidak melihat cermin sisi sebelum berhenti dan membuka pintu dan dia tidak menyedari juga bahawa Plaintif berada di belakangnya. Hakim Yang Arif memutuskan bahawa Defendan telah membenarkan penumpang membuka pintunya tanpa memastikan terlebih dahulu keadaan selamat. Defendan didapati dipersalahkan keseluruhannya bagi kemalangan itu, dan rayuan Plaintif telah dibenarkan.
3.1.2 Elemen Kedua: Pecahan Tugas
Sebagaimana yang dijelaskan dalam elemen pertama, tugas pertama Plaintif adalah untuk membuktikan wujudnya satu situasi kewajipan, iaitu Defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga dan seterusnya membuktikan bahawa Defendan telah memungkiri kewajipan itu. (Salleh Buang 1999: 44) Ujian untuk menentukan sama ada Defendan telah memungkiri itu atau tidak adalah ujian ‘orang yang munasabah’ (reasonable men test). Dengan kata lain, persoalan samada ada atau tidak tingkah laku Defendan berada di bawah tahap berjaga-jaga yang dijangkakan yang harus ada pada orang yang waras.
Dalam kes Bolam lwn. Friern Hospital Management Committee [1957] 2 All ER 118, 121, Plaintif telah mengalami keretakan tulang pinggulnya kerana terjatuh di atas lantai sewaktu menerima rawatan kejutan kuasa elektrik. Tuntutan Plaintif adalah berdasarkan kecuaian doktor kerana tidak memastikan dia telah diberikan ubat penenang sebelum rawatan itu diberikan. Terdapat dua pendapat professional dalam keadaan ini dan mahkamah telah memutuskan dan memihak kepada Defendan, bahawa seorang doktor itu tidak cuai sekiranya dia bertindak sejajar dengan amalan yang telah diterima sebagai betul oleh sekumpulan para doktor yang arif dalam bidang tersebut, walaupun terdapat pendapat yang berbeza.
Dalam kes Hor Sai Hong lwn. Universiti Hospital [2002] 5 MLJ 167, di mana seorang bayi telah mengalami kecacatan otak disebabkan oleh kelewatan dalam menerima rawatan sewaktu ibunya dalam proses melahirkannya. Pihak doktor telah didapati bertanggungan di bawah prinsip Bolam ini, kerana keterangan yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan bahawa para doktor lain tidak akan bertindak seperti doktor dalam kes ini. Dalam penghakiman Lord Macmillan dalam Glasgow Corporation lwn. Muir [1943] AC 448, apabila Yang Arif Hakim berkata bahawa seorang yang waras adalah dianggap sebagai ‘bebas daripada terlalu mengerti dan daripada terlalu yakin’.
3.1.3 Elemen Ketiga: Kecederaan atau Kerosakan
Menurut elemen ini, kemungkiran yang dilakukan oleh Defendan mestilah dengan teruk menjejaskan kepentingan Plaintif yang terlindung di sisi undang-undang. (Salleh Buang. 1999: 5) Secara faktanya, kerosakan Plaintif mestilah telah disebabkan oleh pecahan tugas Defendan dan bukannya oleh faktor lain. (Norchaya Talib 2006: 24)
Dalam kes Barnett lwn. Chelsea & Kensington Hospital Management Committee [1968] 1 All ER 1068. Dalam kes ini tiga orang pengawal keselamatan telah meminum teh dan sejurus selepas itu mereka telah muntah. Mereka telah pergi ke hospital Defendan. Doktor yang bertugas tidak merawat mereka, malahan mereka telah disuruh pulang. Beberapa jam kemudian, salah seorang daripada tiga orang pengawal keselamatan itu (suami kepada Plaintif) telah meninggal dunia akibat daripada keracunan arsenik. Dalam tuntutan terhadap Defendan iaitu pihak hospital, didapati bahawa suami Plaintif meninggal dunia akibat daripada keracunan dalam teh dan bukannya akibat daripada kegagalan doktor untuk merawatnya. Maka kerosakan akhir Defendan itu bukanlah akibat pecahan tugas Defendan.
Dalam kes Kerajaan Malaysia & YL lwn. Jummat Mahmud & SL [1977] 2 MLJ 103, Plaintif dan Defendan adalah murid sekolah rendah. Defendan telah mencucuk Plaintif dengan penselnya dan apabila Plaintif telah berpusing untuk mengadap Defendan, Plaintif telah tercedera di matanya akibat tercucuk hujung mata pensel yang tajam itu. Plaintif menuntut bahawa guru kelas telah memecahkan tugasnya kerana gagal mengawasi murid-muridnya dengan sempurna. Mahkamah telah memutuskan bahawa kegagalan guru kelas itu untuk mengawasi murid-muridnya sewaktu kejadian itu bukannya penyebab kepada kecederaan Plaintif. Ianya sesuatu yang tidak dapat dipralihat akibat daripada kurangnya pengawasan di pihak guru kelas tersebut.
Selain itu, untuk mendapatkan kembali ganti rugi terhadap Defendan, Plaintif mesti berupaya membuktikan bahawa kerosakan atau kerugiannya itu tidak terlalu sukar untuk diduga. Dalam kes Palsgraf lwn. Long Island R.R. [1928] 162 N.E. 99, dua orang pengawal keretapi semasa membantu seorang penumpang, telah dengan cuainya menyebabkan satu bungkusan terlepas daripada pegangannya lalu jatuh. Bungkusan itu, walaupun pada luarannya kelihatan seperti biasa, sebenarnya mengandungi bunga api. Satu letupan berlaku apabila bungkusan itu terjatuh di bawah keretapi yang sedang bergerak menyebabkan penimbang yang berada tidak jauh dari situ terjatuh ke atas Plaintif. Walaupun kecuaian telah dibuktikan namun juri memutuskan bahawa Plaintif tidak boleh mendapat kembali ganti rugi kerana kecederaan kepada Plaintif tidak dapat diramalkan. Menurut juri, Plaintif berada ‘di luar lingkungan bahaya yang dapat diramalkan’.
3.2 Pembuktian Kecuaian Melalui Maxim Res Ipsa Loquitur
Adalah suatu prinsip asas bahawa pihak yang menuduh mestilah membuktikannya. (Akta Keterangan 1950: Seksyen 101) Dalam beberapa kes, walaubagaimanapun, Plaintif tidak dapat membuktikan bagaimana kemalangan itu terjadi untuk membuktikan kecuaian Defendan. Kesukaran ini dielakkan melalui res ipsa loquitur. Plaintif, dengan semata-mata menunjukkan bahawa kemalangan telah berlaku, yang menyebabkan kecederaannya, telah dikira berjaya membuktikan kes kecuaian prima facie; Byrne lwn. Boadle (supra). Dalam Davis lwn. Bunn [1936] 56 CLR 246, fakta yang sebuah kenderaan secara tiba-tiba tidak dapat dikawal menuju ke arah laluan lalu lintas yang bertentangan atau ke atas pejalan kaki adalah mencukupi untuk membuktikan kes kecuaian prima facie di pihak Defendan. (Salleh Buang 1999: 105-107)
3.2.1 Syarat Pemakaian Maxim (Dalam Kes Scott lwn. London & St Katharine Docks Co [1865] 3 H & C 596
(a) Defendan mestilah mempunyai kawalan ke atas keadaan persekitaran atau objek yang menjadi punca kemalangan itu. Kawalan ini harus dibuktikan pada masa kecuaian itu berlaku.
(b) Kemalangan itu mestilah tidak mungkin berlaku jika tidak kerana kecuaian Defendan. Adakalanya fakta kes itu sendiri yang membuktikannya.
(c) Mestilah tidak terdapat penjelasan tentang bagaimana kemalangan itu berlaku. Sekiranya Defendan memberi penjelasan bagaimana kemalangan itu berlaku, maka perbicaraan kes itu berbalik kepada sama ada penjelasannya dikatakan memenuhi tahap kewaspadaan, penyebab dan seterusnya untuk membuktikan tort kecuaian.
3.3 Dalihan Kepada Kecuaian (Norchaya Talib 2006: 34)
(a) Volenti Non Fit Injuria (kecederaan yang dilakukan terhadap seseorang yang merelakan)
(b) Cuai Sumbangan;
(c) Pembelaan Bagi Harta;
(d) Pertahanan Diri;
(e) Bencana Alam;
(f) Keperluan; dan sebagainya.
3.4 Ganti Rugi
Biasanya dalam undang-undang tort, fungsi ganti rugi adalah untuk meletakkan Plaintif pada kedudukan yang sepatutnya seandainya kesalahan tort itu tidak dilakukan. Terdapat beberapa jenis ganti rugi yang diiktiraf, antaranya ialah: (Salleh Buang 1999: 328-335)
(a) Ganti rugi norminal;
Ganti rugi yang diberikan apabila beberapa hak Plaintif telah dilanggar tetapi Plaintif tidak mengalami apa-apa kerugian. Plaintif diberi sejumlah kecil wang sebagai ganti rugi yang bertindak sebagai justifikasi terhadap hak yang telah dilanggar itu.
(b) Ganti rugi penghinaan;
Ganti rugi ini diberikan apabila mahkamah merasakan bahawa, walaupun tindakan Plaintif adalah wajar, iaitu kerana haknya dilanggar, tindakan tersebut tidak mempunyai merit dan tidak sepatutnya dibawa ke mahkamah.
(c) Ganti rugi am dan khas;
Ganti rugi am diawardkan kerana kesalahan tort yang dilakukan lalu undang-undang mengandaikan bahawa Plaintif telah mengalami kerugian yang mungkin berbentuk kewangan. Ganti rugi khas pula diawardkan untuk kecederaan atau kerugian yang timbul akibat tindakan tort Defendan tetapi undang-undang tidak mengandaikan yang kecederaan atau kerugian yang timbul sebagai akibat tindakan tersebut.
(d) Ganti rugi teruk dan teladan;
Ganti rugi pampasan dalam erti kata bahawa ganti rugi diawardkan untuk memampas Plaintif, bukannya menghukum Defendan. Manakala ganti rugi yang mengandungi unsur-unsur punitif dan halangan.
4.0 KECUAIAN MENURUT UNDANG-UNDANG ISLAM
Jika dilihat kepada penggunaan perkataan tafrīt misalnya ia digunakan untuk menunjukkan perbuatan itu sesuatu yang diharamkan apabila ia telah merosakkan hak-hak Allah S.W.T. dan hak-hak manusia. Perkataan tafrīt dapat dilihat dalam al-Qur’an, Surah al-Zumar, ayat 56:
Maksudnya: "(Diperintahkan demikian) supaya jangan seseorang (menyesal dengan) berkata: `sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipan-kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan (ugama Allah dan penganut-penganutnya)! -
Dan hal ini juga dapat dilihat dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W: (Al-Zabidi: 533)
ليس في النوم تفريط انما التفريط أن لا يصلي حتى يدخل وقت الأخرى
Maksudnya: Tidak berlaku kecuaian ketika tidur, sesungguhnya kecuaian itu adalah tidak menunaikan solat sehingga datangnya waktu solat yang lain.
Dari sudut undang-undang, istilah tafrīt dapat didefinisikan sebagai peninggalan daripada melakukan tindakan oleh seseorang yang berhati-hati dan waras yang sepatutnya dilakukan atau suatu tindakan yang dilakukan oleh seseorang berhati-hati dan waras yang sepatutnya tidak dilakukan. Walau bagaimanapun, jika diteliti penulisan para fuqaha’ klasik dahulu, sebenarnya tidak dapat ditemui definisi khusus dan tertentu untuk istilah tersebut. Kadang-kadang para fuqaha’ klasik dan kontemporari menggunakan istilah khata’ yang bererti tidak sengaja atau tersalah atau tersilap yang diberi maksud sama seperti tafrīt dalam penulisan apabila mereka membincangkan kes-kes berkaitan dengan kecuaian. Selain itu, dapat dikatakan bahawa penulisan para fuqaha’ tidak dapat ditemui perbahasan khusus dan sistematik berkaitan dengan persoalan kecuaian ini. Apa yang dapat ditemui hanya contoh-contoh berkaitan dengannya yang dinyatakan dalam bab-bab tertentu secara tidak terkumpul. (Abdul Basir 2009: 362)
Justifikasi kenapa kecuaian dikenakan liabiliti ialah kerana wujudnya ta’adi (melepasi batas dan juga darar). Justeru itu, sebagaimana juga dalam undang-undang Inggeris, kecuaian yang tidak mengakibatkan berlakunya kerosakan, kecederaan atau kematian sama ada terhadap harta benda atau jika tidak ada apa-apa tanggungan dikenakan. Walaupun begitu, ia tidak bermakna apabila tidak mengakibatkan darar ia tidak menjadi satu kesalahan, bahkan ia tetap menjadi satu kesalahan cuma tidak dipertanggungjawabkan ke atas pelaku untuk ganti rugi kerana tidak wujud darar. Islam menolak perkara-perkara yang membawa kepada kemudaratan atau perkara yang membawa kepada kemudaratan. Sabda Rasulullah S.A.W. (al-Suyuti. t.th.: 92):
لاضرر ولا ضرار
Maksudnya: Tidak boleh membahayakan diri sendiri dan tidak boleh membahayakan diri orang lain.
4.1 Tanggungjawab Terhadap Kecuaian ( المسؤوليّة التقصيْريّة )
4.1.1 Takrif
Takrif kecuaian menurut Mustofa Al-Khin ialah tanggungjawab yang terletak di bahu seseorang mukallaf adalah disebabkan oleh salah satu daripada dua faktor berikut (Mustofa Al-Khin 1998: 457):
1. Niat jahat dan permusuhan seperti membunuh dengan sengaja, mencuri, merampas, menuduh zina dan merompak.
2. Cuai dalam menjaga dan mengambil langkah berjaga-jaga hingga menyebabkan kemusnahan pada harta atau fizikal (tubuh badan) pihak yang tidak bersalah dan dijamin nyawanya. Contohnya, haiwan seseorang yang memusnahkan tanaman seorang petani.
Dengan ini, tanggungjawab terhadap kecuaian ialah hukum syarak yang dikenakan hasil daripada kecuaian dalam menilai keadaan atau mengambil aspek penjagaan yang perlu. Hukum ini berbentuk pampasan atau sebagainya.
4.2 Implikasi Syarak Terhadap Kecuaian
Jika kecuaian tersebut boleh dinilai menurut neraca syarak, maka wujud tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pihak yang cuai. Tanggungjawab ini boleh dilihat apabila pihak yang cuai diwajibkan menggantikan kerosakan dalam bentuk harta sepadan (mithil) atau senilai (qimi) atau dikehendaki membayar sesuatu sebagai gantian seperti diyat, الأرش[1] atau seumpama dengannya.
Menurut syarak, sesuatu kecuaian akan disabitkan dengan sesuatu hukum apabila insiden yang berlaku menunjukkan kemungkinan berlaku kecuaian, tanpa mengira sama ada pihak yang terlibat benar-benar cuai atau tidak. Tidak disyaratkan adanya penyiasatan bagi membuktikan kecuaian untuk membolehkan seseorang dikenakan membayar ganti rugi. Sebaliknya hanya satu syarat sahaja untuk tujuan itu iaitu wujud insiden yang menunjukkan kemungkinan berlaku kecuaian. Dengan ini pihak yang cuai akan dikenakan membayar ganti rugi bagi menampung kemudaratan atau kerugian, dan bagi memastikan setiap orang mendapat hak masing-masing. (Mustofa Al-Khin 1998: 457)
4.3 Contoh Tanggungjawab Terhadap Kecuaian
1. Bunuh tanpa niat. Pembunuh yang terlibat akan dikenakan membayar diyat. Sudah tentu dalam kes ini, pembunuh tidak didenda disebabkan dosa atau tindakan berbentuk permusuhan yang dilakukannya. Sebaliknya dia didenda kerana wujud kecuaian dalam mengambil langkah berjaga-jaga. Malah dia tetap dihukum walaupun pada hakikatnya ia bukan disebabkan kecuaiannya.
2. Seseorang mendirikan dinding rumahnya dalam keadaan condong. Lalu tanpa disengajakan, rumah ini runtuh hingga menyebabkan kematian seseorang yang tidak berdosa atau menyebabkan kemusnahan harta. Dalam kes ini, keluarga pesalah dikehendaki membayar diyat kepada keluarga mangsa. Pemilik rumah pula dikehendaki membayar pampasan kepada pemilik harta yang musnah. Hukuman ini dikenakan bukan kerana tindakan berbentuk permusuhan atau dosa yang dilakukannya. Sebaliknya hukuman ini adalah sebagai hukuman kerana kecelakaan yang menimpa saudaranya adalah disebabkan kecuaiannya.
3. Haiwan atau kenderaan yang memusnahkan harta orang lain seperti tanaman atau sebagainya, ataupun menyebabkan kematian dan kecederaan kepada orang yang tidak berdosa. Dalam hal ini, penunggang, pemandu atau pembawanya sama ada dia adalah pemilik atau penyewa bertanggungjawab membayar ganti rugi tanaman atau harta tersebut. Keluarga pesalah pula dikehendaki membayar diyat kepada keluarga mangsa. Ini kerana kesalahan oleh haiwan atau kenderaan atau sebagainya dianggap sebagai kesalahan oleh orang yang mengendalikannya tanpa mengira siapa. (Mustofa Al-Khin 1998: 458) Wajib membayar ganti rugi harta atau nyawa yang dibinasakan oleh binatang itu, sama ada yang membawa itu pemilik, penyewa, peminjam atau perampasnya, sama ada binatang tersebut semasa ia membinasakan itu dihalau, dihambat atau dituntun dengan tali pengikatnya. (Mohd Amin 2009: 52)
4.4 Contoh Perbuatan Yang Tidak Dipersalahan
1. Penunggang haiwan atau pemandu kenderaan tiba-tiba mati ketika memandu lalu haiwan atau kenderaan tadi menyebabkan kemusnahan harta atau menyebabkan kematian. Penunggang haiwan atau keluarga pemandu kenderaan tidak akan dipersalahkan kerana tidak wujud sebarang kecuaian dalam kes ini.
2. Seseorang menghambat seekor haiwan tanpa izin tuannya atau penyewanya yang bertanggungjawab terhadap haiwan tersebut. Akibatnya haiwan tersebut bertempiaran lari hingga menyebabkan kerosakan harta benda. Dalam keadaan ini, pemilik atau penyewa tidak perlu membayar ganti rugi kerana tiada unsur kecuaian dalam kes ini. Sebaliknya ganti rugi akan dibayar oleh orang yang menghambat kerana dia menjadi penyebab sebenar segala kerosakan yang berlaku.
Demikian juga dalam kes seseorang yang menyerahkan sebuah kereta milik orang lain kepada orang gila. Lalu orang gila ini memandunya hingga menyebabkan kemusnahan harta benda. Dalam kes ini, pemilik kenderaan tidak akan dikenakan membayar ganti rugi kerana dia tidak boleh dikaitkan dengan sebarang kecuaian. Sebaliknya orang yang menyerahkan tadi perlu bertanggungjawab.
3. Seorang pengembala melepaskan haiwannya pada siang hari dan membawanya ke jalan yang biasa dilalui haiwannya. Lalu haiwan ini memusnahkan tanaman atau sebagainya yang berada di jalan tersebut. Pemilik haiwan tidak akan dikenakan membayar ganti rugi terhadap kemusnahan yang berlaku kerana tiada unsur kecuaian yang boleh dikaitkan di sini.
Ini berbeza sekiranya pengembala melepaskan haiwannya pada waktu malam dan menyebabkan berlaku kemusnahan harta. Pengembala akan dikenakan membayar ganti rugi kerana kecuaiannya melepaskan haiwan tersebut pada waktu yang tidak sesuai. Rasulullah S.A.W. pernah menjatuhkan hukuman tersebut. Baginda menetapkan pemilik kebun perlu menjaga kebun mereka pada waktu siang dan pemilik haiwan perlu membayar ganti rugi akibat kemusnahan yang dilakukan oleh haiwan mereka pada waktu malam.
Ini kerana pada kebiasaannya, penjagaan tanaman atau sebagainya dilakukan pada waktu siang dan penjagaan haiwan pada waktu malam. Sekiranya kebiasaan ini berubah, hukum pun akan berubah mengikut perubahan tersebut. (Mustofa Al-Khin 1998: 459) (Abdul Basir 1999: 4)
4.5 Kaedah Dalam Menentukan Sesuatu Tanggungjawab
Berdasarkan contoh-contoh di atas, kita dapat simpulkan sebagaimana dalam berikut:
1. Tanggungjawab akan dipikul oleh orang yang secara langsung menyebabkan kemudaratan kepada orang lain, atau menyebabkan sesuatu yang menjadi punca yang memudaratkan orang lain sama ada secara sengaja atau tidak. Tanggungjawab ini mungkin disebabkan oleh tindakan menceroboh atau kecuaian. (Mustofa Al-Khin 1998: 459) (Abdul Basir 2009: 363)
2. Tanggungjawab tidak akan dipikul oleh pihak yang menjadi punca tetapi tidak melakukannya secara langsung sekiranya punca tersebut bukan menjadi sebab, sebaliknya disebabkan oleh unsur asing. Contohnya, seorang lelaki yang meninggalkan haiwannya di hadapan sebuah kebun tanpa mengikatnya. Lalu datang seseorang menghambat haiwan tersebut hingga bertempiaran lari dan merosakkan tanaman di kebun tersebut. Pemilik haiwan tersebut, walaupun menjadi punca tidak akan dipertanggungjawabkan kerana punca tersebut dimansuhkan oleh punca yang dilakukan oleh pihak lain.
3. Tiada pihak yang akan dipertanggungjawabkan bagi kerosakan yang disebabkan oleh sesuatu yang di luar kawalan manusia seperti kematian haiwan atau kematian pemandu kenderaan. Demikian juga dengan seseorang yang meletakkan seketul batu di tempat yang selamat lalu banjir menghanyutkan seketul batu tersebut hingga menyebabkan kerosakan. Ini kerana tiada unsur kecuaian di sini. (Mustofa Al-Khin 1998: 459)
4.6 Diyat
Bayaran diyat adalah hukuman bagi kesalahan mencederakan secara tidak sengaja. Tidak ada hukuman lain bagi kesalahan tidak sengaja. Walau bagaimanapun, sekiranya pihak berkuasa merasakan perlu dilaksanakan ta’zir, ia dibolehkan. (Audah. t.th: 290) Namun, penetapan jumlah diyat bagi kesalahan ini diserahkan kepada kebijaksanaan hakim kerana tidak ada suatu ketetapan syarak mengenai jumlahnya. Pihak yang berhak boleh menuntut dari pihak yang wajib membayar diyat. Manakala dalam kes-kes pembunuhan terhadap seseorang yang tidak diketahui siapa yang melakukannya, undang-undang Islam tetap mewajibkan pampasan mesti dibayar oleh kerajaan. (Zainal Azam 2003: 103) Bagi kes-kes yang melibatkan kecederaan anggota badan dan anggota, sudah tentulah orang yang berhak membuat tuntutan ialah mangsa sendiri. Sementara bagi kes yang melibatkan kematian, waris mangsa adalah pihak yang berhak menuntut ganti rugi.
4.6.1 Diyat Bunuh Tanpa Niat
Bagi kesalahan kecuaian hingga terjadinya kematian, iaitu bagi jenayah membunuh tanpa niat diyatnya juga berjumlah 100 ekor unta tetapi dibahagikan kepada 5 jenis iaitu 20 ekor anak unta betina makhadh (مخاض) iaitu unta yang berumur genap satu tahun, 20 ekor anak unta betina labun (لبون)iaitu berumur genap dua tahun, 20 ekor anak unta jantan labun, 20 ekor hiqqah (حقة)dan 20 ekor jaza’ah(جذعة) . Pembayaran juga dilakukan oleh keluarga lelaki pesalah dan dibayar dalam tempoh tiga tahun. (Mustofa Al-Khin 1998: 402) (Ibn Qudamah 1969: 378)
4.6.2 Diyat Anggota Badan
Diyat anggota badan bergantung kepada kepentingan anggota badan yang terbabit. Dengan ini, diyat anggota badan mungkin bersifat penuh atau hanya sebahagian. Diyat penuh akan dikenakan pada jenayah yang menyebabkan kedua-dua tangan terputus daripada pergelangannya, kedua-dua kaki, semua hidung iaitu bahagian hidung yang lembut terdiri daripada kedua lubang hidung dan pemisahnya, kedua-dua zakar, kedua-dua mata, empat kelopak mata, lidah dan kedua-dua bibir. (Mustofa Al-Khin 1998: 403)
Diriwayatkan daripada Abu Bakar bin Muhammad bin ‘Amru bin Hizam daripada bapanya daripada datuknya bahawa Nabi S.A.W. pernah menulis surat kepada penduduk Yaman dan antara kandungannya:
أن مَن اعتبط مؤمناً قتلاً عن بيِّنة، فإنه قود إلا أن يرضى أولياء المقتول، وإن في النفس الدية مائة من الإبل، وفي الأنف إذا أوعب جَدْعُهُ الدية، وفي اللسان الدية، وفي الشفتين الدية، وفي الذكر الدية، وفي البيضتين الدية، وفي الصلب الدية، وفي العينين الدية، وفي الرجل الواحدة نصف الدية، وفي المأمومة ثلث الدية، وفي الجائفة ثلث الدية، وفي المنقلة خمس عشرة من الإبل، وفي كل أصبع من أصابع اليد والرجل عشر من الإبل، وفي السن خمس من الإبل، وفي الموضحة خمس من الإبل، وإن الرجل يقتل بالمرأة، وعلى أهل الذهب ألف دينار.[2]
Maksudnya: Sesiapa yang terbukti bersalah membunuh orang yang beriman tanpa sebarang alasan yang munasabah, dia akan dihukum bunuh melainkan sekiranya kaum lelaki keluarga mangsa redha. Diyat bagi satu nyawa ialah 100 ekor unta. Hidung yang dipotong sepenuhnya dikenakan diyat, bagi lidah dikenakan diyat, bagi dua bibir dikenakan diyat, bagi zakar dikenakan diyat, bagi dua buah zakar dikenakan diyat, bagi sulbi dikenakan diyat, bagi dua mata dikenakan diyat, bagi sebelah kaki dikenakan separuh diyat, bagi ma’mumah (iaitu luka di kepala yang sampai ke membrane otak) dikenakan satu pertiga diyat, bagi jaifah (iaitu tikaman yang sampai ke rongga kepala atau rongga perut) dikenakan satu pertiga diyat, bagi munaqqilah (iaitu pukulan yang menyebabkan tulang beralih) dikenakan 15 ekor unta, bagi setiap satu jari tangan atau kaki dikenakan 10 ekor unta, bagi satu batang gigi dikenakan 5 ekor unta, bagi al-muadhdhihah (iaitu kecederaan yang menampakkan tulang) dikenakan 5 ekor unta, lelaki yang membunuh seorang wanita akan dihukum bunuh dan orang yang hanya mempunyai emas dikenakan membayar 1,000 dinar.
Mengenai kesalahan yang dikenakan membayar sebahagian diyat, sebahagiannya dinyatakan dalam hadis di atas seperti sebelah tangan, sebelah kaki, sebelah mata, sebelah telinga dan dua kelopak mata. Bagi setiap satu jari tangan atau kaki dikenakan 10 ekor unta. Bagi setiap kelopak mata suku diyat iaitu 25 ekor unta. Bagi kecederaan al-muadhdhihah dikenakan 5 ekor unta. Bagi setiap gigi normal yang dicabut, dikenakan 5 ekor unta. Diyat bagi kecederaan atau sebagainya yang tidak dapat dinilai dengan tepat seperti memotong anggota yang tidak berguna, contohnya tangan yang lebih daripada dua, semua kecederaan ini dikenakan hukumah (الحكومة). (Mustofa Al-Khin 1998: 403-404)
5.0 KESIMPULAN
Daripada perbincangan sebelum ini, jelas bahawa kecuaian merupakan akibat daripada perbuatan seseorang yang tidak berniat untuk mewujudkan akibat tersebut tetapi terjadi hasil daripada kelalaian atau kealpaannya. Akibat itu sebenarnya boleh diramalkan atau boleh dijangkakan. Namun, oleh sebab tahap kewajipan berhati-hati itu tidak dilaksanakan dengan sebaiknya, akhirnya terjadi kemalangan atau kemudaratan kepada pihak yang lain. Akibat yang wujud daripada perbuatan cuai boleh dikategorikan sebagai tersalah atau tidak sengaja. Oleh itu, jika perbuatan tersebut menyebabkan kecederaan atau kematian orang lain, maka kes tersebut boleh diletakkan di bawah kesalahan tidak sengaja. Sebaliknya, jika kes itu melibatkan harta benda orang lain rosak, maka pihak yang cuai boleh dibebankan dengan tanggungan pembayaran pampasan.
RUJUKAN
Al-Qur’an.
Al-Suyuti, Jalaluddin Abdul Rahman ibn Abi Bakar. t.th. Al-Asybah Wa An-Nazāir. Kaherah: Al-Halabi.
Al-Zabidi. Taj ‘Arus. Juzuk 19.
Abdul Basir Mohamad. 2009. Undang-undang Tort Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Basir Mohamad. 1999. Tanggungjawab Pemunya dan Pemilik Haiwan Dalam Undang-undang Tort Islam. Dlm. Mohammed Yusof Hussain. (pnyt.) Islamiyyat. Jilid 20. Selangor: UKM.
‘Audah, Abdul Qadir. t.th. Al-Tasyri’ Al-Jinai Al-Islami. Beirut: Dar Al-Khatib Al-Arabi.
Ibn Manzur, Abu al-Fadl, Jamaluddin Muhammad bin Mukrin. t.th. Lisan al-Arab. Jilid 7. Matbaah Muniriah.
Hans Wehr. 1980. A Dictionary of Modern Written Arabic. Disunting oleh J.Milton Cowan. Beirut: Librarie du Liban.
Ibn Qudamah, Abu Abdullah. 1969. Al-Mughni. Jilid 10. Qaherah: Al-Maktabah Al-Qaherah.
Kamus Dewan. 2000. Edisi 2. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kamus New Oxford. 2006. Edisi Kedua. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Mohd Amin Abd.Rahim. 2009. Undang-undang Jenayah Islam. Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Mustofa Al-Khin, Mustofa Al-Bugho, Ali Asy-Syarbaji. Fiqh Al-Manhaj ala Mazhab Imam Syafie. Jilid Ketiga. Terbitan Ketiga. Damsyik: Dar Al-Qalam.
Norchaya Talib. 2006. Prinsip-prinsip Asas Tort. Selangor: Sweet & Mazwell Asia.
Salleh Buang. The Law of Negligence in Malaysia. Terj.: Asiah Mohd Yusoff. Undang-undang Kecuaian di Malaysia. 1999. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zainal Azam Abd. Rahman. Konsep Pampasan Dalam Undang-undang Jenayah Islam & Prospek Perlaksanaannya di Malaysia. Dlm. Siti Khatijah Md Supi & Abdul Monir Yaacob (pnyt.). Pendakwaan dan Penyiasatan: Konsep & Amalan. Kuala Lumpur: IKIM.
[1] Pampasan berbentuk harta disebabkan jenayah badan yang tidak melibatkan kerugian nyawa.
[2] Diriwayatkan oleh an-Nasaie (8/57) dalam tajuk: qasamah, bab: hadis’Amru bin Hizam tentang diyat dan percanggahan para periwayat mengenainya; dan Imam Ahmad (2/217) daripada ‘Amru bin Shu’aib daripada bapanya daripada datuknya Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a.
assalam,,nak tanya..ni seksyen apa?
ReplyDeletesalam...
ReplyDeletesaya nak bertanya, sis ada ke buat projek paper utk kecuaian ini...kalau ada, saya nak jadikan sebagai rujukan untuk kajian ilmiah saya..