Islam sebagai al-Din Allah merupakan Manhaj al-Bayan atau The Way of Life, acuan dan kerangka kehidupan. Dengan ini perlaksanaan dakwah memainkan peranan yang cukup penting untuk mengajak manusia kepada Allah. Namun begitu ia memerlukan kepada ilmu dan keupayaan tertentu untuk menyampaikan dakwah, menarik perhatian manusia, mengambil kesempatan dari persekitaran dan memahami psikologi manusia. Antaranya ialah berdakwah secara Al-Hikmah yang tentunya memiliki sistem dan strukturnya. (Ghazali. 1996: 29) Rasulullah S.A.W. sering menggunakan seluruh sistem dalam pendekatan hikmahnya, antaranya menggunakan fikiran, perasaan dan segala pengalamannya dalam menghadapi sasaran dakwah. Imam Al-Syahid Al-Banna sendiri memilih jalan Rasulullah S.A.W. dalam berdakwah. Beliau menjelaskan: (Mustafa Masyhur: 18)
“Jalan dakwah adalah jalan yang satu yang pernah dilalui oleh Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya dulu. Jalan ini dilalui juga oleh para du’at dan kita juga harus berjalan di atas jalan itu … Kita mengajak mereka kepada beriman dan beramal, kemudian menyatukan hati-hati mereka atas kasih sayang dan persaudaraan”.
2.0 METOD DAKWAH HIKMAH DALAM AL-QUR’AN
Metod dakwah telah ditentukan Allah di dalam perintah-Nya kepada Nabi Muhammad S.A.W. melalui firman-Nya dalam Surah Al-Nahl, ayat 125 yang telah meletakkan al-hikmah sebagai salah satu metod utama dalam berdakwah:
Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.
Daripada ayat di atas, kita dapat mengeluarkan tiga metod untuk berdakwah ke jalan Allah S.W.T. yang diajarkan kepada Rasulullah S.A.W. dan menjadi ikutan pendakwah hingga kini iaitu berdakwah secara hikmah, memberi nasihat yang baik dan perbincangan secara baik dengan pihak yang hendak disasarkan. Seterusnya dalam Surah Al-Ankabut, ayat 46 juga menerangkan berkaitan dengan metod dakwah secara berhikmah:
Maksudnya: Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): "Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada Kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri."
3.0 METODE DAKWAH SECARA HIKMAH
3.1 Pengertian Hikmah
3.1.1
Pengertian Hikmah Dari Segi Bahasa
Merujuk Mu’jam Wasith, kata hikmah diertikan sebagai keadilan, ilmu pengetahuan, kebijaksanaan, kenabian, Al-Qur’an dan Injil. Hikmah adalah mengetahui sesuatu yang paling utama dengan ilmu yang terbaik dan mereka berilmu dan faham padanya. (Mu’jam Wasit: 190) Daripada penjelasan di atas, jelaslah bahawa hikmah boleh digunakan dalam beberapa hal yang mempunyai makna hikmah:
1. Keadilan iaitu mencegah seseorang daripada perbuatan zalim.
2. Kebijaksanaan iaitu mencegah seseorang daripada tindakan amarah.
3. Ilmu iaitu mencegah seseorang jatuh dalam kebodohan.
4. Kenabian iaitu seorang Nabi yang diutus hanya untuk mencegah umat manusia supaya jangan menyembah selain Allah dan agar tidak terjerumus ke lembah maksiat dan dosa.
5. Al-Qur’an, Injil dan seluruh kitab wahyu samawi yang diturunkan oleh Allah mengandungi erti mencegah manusia terjerumus ke dalam perbuatan syirik dan segala perbuatan mungkar yang lainnya serta keburukan.
6. Pakar bahasa menafsirkan kata hikmah ini dengan pengetahuan didasarkan kepada pengetahuan yang benar itu mengandungi erti pencegahan, pembatasan dan pemisahan segala sesuatu. (Al-Qathani: 23-24)
3.1.2 Pengertian Hikmah Secara Istilah
Para ulama’ mengemukakan pengertian hikmah di dalam Al-Qur’an dan Sunnah Nabi. Mereka telah berbeza pendapat mengenai pengertian hikmah secara istilah:
1. Hikmah bererti kenabian.
2. Hikmah adalah Al-Qur’an dan ilmu tentang Al-Qur’an: nasîkh-mansŭkh, ayat muhkam (jelas) dan ayat mutasyâbih (samar), ayat yang didahulukan dan yang diakhirkan, mengenai halal-haram dan lain sebagainya.
3. Hikmah iaitu kebenaran dalam perbuatan dan perkataan lalu mengamalkannya.
4. Hikmah ialah ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh.
5. Hikmah ialah As-Sunnah.
6. Hikmah adalah ilmu beserta pengalamannya, dan seseorang tidaklah dapat dikatakan bijaksana (hakim) hingga ia dapat menggabungkan antara ilmu dan amal tersebut.
7. Hikmah adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya.
8. Hikmah ialah percakapan dalam menjawab dengan benar. (Al-Qathani: 24)
Semua pendapat di atas termasuk ke dalam pengertian hikmah, kerana hikmah diambil daripada perkataan al-hukm dan pemisahan antara yang hak dan yang batil. Boleh dikatakan di sini, orang yang bijak adalah orang yang dapat dilihat kebenaran melalui perkataan dan perbuatannya. Dan semua definisi termasuk dalam erti ini. Ini kerana kebenaran dalam sesuatu adalah kerana kefahaman dan pengetahuan seseorang terhadap sesuatu itu. (Wan Hussein: 1984: 35) Orang yang benar dapat sekaligus faham, takut kepada Allah, fakih, alim, mengamalkan apa yang diketahuinya dan wara’ dalam masalah agamanya. Hikmah lebih tinggi kedudukannya daripada kenabian, kerana kenabian merupakan sebahagian daripada makna hikmah dan yang merupakan bahagian yang tertinggi darinya. Hal tersebut kerana para Nabi A.S. adalah orang yang selalu berada dalam kebenaran, faham dan selalu benar dalam memberikan jawapan, baik dalam perkataan, perbuatan, keyakinan mahupun dalam segala hal. (Al-Qathani: 25)
3.2 Kepentingan Hikmah
Hikmah penting sebagai metode dakwah sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-Nya dalam Surah Al-Nahl ayat 125, “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”. Allah memerintahkan Rasul-Nya untuk berdakwah dengan jalan hikmah sebagaimana ayat di atas. Sasaran dakwah pula ialah sesiapa sahaja merangkumi setiap manusia kerana Islam adalah risalah Allah yang kekal. (Zaidan: 420)
Kedua, barangsiapa yang menyelusuri sejarah kehidupan Nabi S.A.W., maka kita akan dapati bahawa Nabi S.A.W. selalu berhikmah dalam setiap perkara, lebih-lebih lagi dalam berdakwah di jalan Allah. Dengan cara ini, manusia akan menerima dakwah Nabi S.A.W. dan atas anugerah Allah, mereka mahu memeluk agama Islam. Hal itu kerana kurnia yang diberikan oleh Allah kepada Rasulullah S.A.W. berupa keimanan dan hikmah dalam hatinya. Diceritakan dalam sebuah hadis daripada Anas R.A.: Abu Dzar berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda, “Pernah atap rumahku dibuka semasa aku masih berada di Mekah, kemudian turunlah Jibril membelah dadaku dan menyucikannya dengan air zamzam. Kemudian dia datang dengan membawa cawan besar yang diperbuat daripada emas dan dipenuhi oleh hikmah dan iman. Lalu dia menuangkan ke dadaku, lalu dia menutupnya dan setelah itu dia menggapai tanganku dan terbang bersamaku…”. (Al-Qathani: 28)
Daripada hadis di atas ini, dapat difahami bahawa hikmah merupakan salah satu hal penting dalam metod berdakwah di jalan Allah. Di mana dada Rasulullah S.A.W. dipenuhi dengan hikmah yang telah dibawa oleh Jibril adalah sebagai Ruh al-Quds yang telah datang kepada Rasulullah S.A.W. dengan cawan yang diperbuat daripada emas yang merupakan jenis barang paling mahal di Mekah al-Mukarramah, tempat yang memiliki berkah. Tujuan Jibril datang ialah untuk mengisi dada Rasulullah S.A.W., dengan hikmah setelah dadanya dicuci dengan air zamzam yang merupakan air yang paling suci dan bersih. Ini semua menunjukkan bahawa hikmah dalam dakwah islam adalah suatu perkara yang agung dan merupakan sikap yang mempunyai pengaruh besar. Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 269:
Maksudnya: “Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak”.
Ketiga, hikmah juga boleh membuatkan seorang dai’ yang sedang menjalankan dakwahnya mampu menempatkan sesuatu perkara sesuai dengan tempat dan kedudukannya. (Al-Zuhaili: 92) Dia tidak boleh meninggalkan urusan dunia kerana pada prinsipnya manusia itu memerlukan untuk berdinamik, bersungguh-sungguh dan bekerja dan dia tidak boleh mengajak orang lain untuk memutuskan urusan duniawi, kerana kaum muslim itu memerlukan perkara yang bersifat duniawi untuk menampung akidah dan negaranya. (Al-Qathani: 31)
Keempat, dengan hikmah ia dapat menjadikan seorang dai’ mampu menganalisa dan memahami keadaan, situasi, akhlak dan watak orang-orang yang akan ia dakwahi. Seorang dai’ juga dapat mengetahui saranan apa yang tepat untuk mendakwah mereka dan sejauh mana mereka boleh menerima dakwahnya sehingga tidak membebankan mereka. Dia mengetahui dirinya tidak boleh memaksa mereka untuk menerima hukum-hukum taklif sebelum jiwa mereka bersedia di samping mengetahui metode, jenis dan motivasi dakwah yang tepat untuk disampaikan kepada mereka yang sesuai dengan keadaan yang ada. Dia akan menyampaikan dakwahnya dengan ilmu pengetahuan dan bukan dengan kebodohan. Dalam dakwahnya, dia mendahulukan yang paling penting, kemudiannya yang tidak begitu penting. Dia mampu mengajarkan kepada masyarakat umum apa yang menjadi keperluan-keperluan mereka dengan menggunakan perkataan dan ungkapan yang dapat diterima oleh tingkat pemahaman mereka. Dia menyampaikan dakwahnya sesuai dengan kemampuan otak mereka. (Al-Qathani: 31)
Dengan hikmah, seorang dai’ mampu melihat apa yang diperlukan oleh manusia kemudian dia mencari penyelesaiannya. Oleh kerana itu, dia boleh mempengaruhi masyarakat dan menerangi kegelapan hati mereka sehingga mereka melihat dia seolah-olah sebagai penyelamat sejati demi membahagiakan, mensejahterakan, mengamankan dan menenangkan mereka. Itu semua merupakan sebahagian daripada dakwah ke jalan Allah dengan hikmah yang merupakan satu-satunya jalan untuk mencapai kejayaan.
3.3 Jenis-jenis Hikmah
Pertama, hikmah ilmiah yang bersifat teori iaitu dengan melihat rahsia sesuatu dan mengetahui hubungan sebab akibat sesuatu peristiwa, baik bentuknya mahupun jenisnya, kadar ataupun hukum syaraknya. Kedua, hikmah praktikal iaitu menempatkan sesuatu pada tempatnya. Hikmah secara teori merujuk kepada ilmu pengetahuan sedangkan hikmah secara praktikal merujuk kepada berbuat adil dan benar.
Hikmah tidak mungkin keluar daripada kedua-dua makna ini, kerana kesempurnaan seseorang terletak kepada dua perkara, iaitu benar-benar mengenal inti daripada perkaranya dan mengamalkannya. Inilah yang dinamakan dengan ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh. Firman Allah S.W.T kepada Nabi Ibrahim dalam Surah Asy-Syu’arâ: "Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama”. Inilah hikmah secara teori. Selanjutnya Allah S.W.T berfirman dalam surah yang sama: “Dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”. Ini merupakan hikmah secara praktikal.
Allah S.W.T berfirman kepada Nabi Musa A.S. dalam Surah Thâhâ ayat 14: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku” Inilah hikmah secara teori. Selanjutnya Allah S.W.T berfirman dalam surah yang sama: “Oleh itu sembahlah akan daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati daku”. Ini merupakan hikmah secara praktikal. Allah S.W.T berfirman kepada Nabi Isa A.S. dalam Surah Maryam ayat 30-31: “Isa menjawab: “Sesungguhnya Aku ini hamba Allah; ia telah memberikan kepadaKu Kitab (Injil), dan ia telah menjadikan daku seorang Nabi”. Inilah hikmah secara teori. Selanjutnya Allah S.W.T berfirman dalam surah yang sama: “Dan ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja Aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi Aku hidup”. Ini merupakan hikmah secara praktikal.
Allah S.W.T berfirman kepada Nabi Muhammad S.A.W. dalam Surah Muhammad ayat 19: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (Wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”. Inilah hikmah secara teori. Selanjutnya Allah S.W.T berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 2: “Oleh itu, bertaqwalah kamu kepadaku”. Ini merupakan hikmah secara praktikal.
3.4 Tingkatan Hikmah
Pertama, memberikan hak pada orang yang berhak dan tidak melampaui batas, serta tidak mendahulukan atau mengakhirkan sesuatu daripada waktu yang sepatutnya. Jika segala sesuatu memiliki tingkatan dan hak yang harus dipenuhi, dan mempunyai batasan akhir yang tidak boleh dibatasi, serta tidak mempunyai waktu yang tidak boleh didahulukan atau diakhirkan, maka hikmah menjaga tiga hal tersebut iaitu dengan cara meletakkan setiap tingkatan haknya sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. dalam Hukum Syarak. Jangan melampaui batas kerana apabila kita melampaui batas, maka ia akan menyimpang daripada hikmah. Jangan mendahulukan sesuatu dari waktu yang telah ditetapkan, kerana yang demikian itu telah menyalahi hikmah. Dan jangan pula mengakhirkan daripada waktu yang telah ditentukan kerana tindakan tersebut boleh menghilangkan hikmah yang ada padanya. (Al-Qathani: 33-34)
Kedua, tingkatan ini adalah mengetahui keadilan Allah S.W.T. dalam ancaman seksaan-Nya dan ketetapan Allah S.W.T. dalam memenuhi janji-Nya, keadilan-Nya dalam Hukum Syarak dan hukum alam yang berlaku atas seluruh makhluk yang tidak mengandungi kekurangan dan kecurangan. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Nisa’, ayat 40:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebaikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar”.
Begitu juga mengetahui sifat baik Allah S.W.T. di sebalik larangan-Nya, kerana sesungguhnya Allah adalah zat yang Maha Pemurah, yang tidak akan pernah mengurangkan kekayaan dan kemurahan yang dianugerahkan-Nya. Allah tidak akan mensia-siakan anugerah dan kurnia-Nya kecuali pada kedudukan dan waktu yang disesuaikan dengan kadar hikmah daripada anugerah tersebut. Allah tidak memberi kecuali dengan hikmah-Nya, dan tidak pula melarang kecuali dengan hikmah-Nya, dan tidak menyesatkan kecuali dengan hikmah-Nya.
Ketiga, bashîrah, iaitu kekuatan pemahaman, kecerdikan, keilmuan dan pengalaman. Bashîrah ini merupakan tingkatan keilmuan yang paling tinggi, di mana penisbatan ilmu pengetahuan dalam bashîrah oleh hati seperti penisbatan sesuatu yang dilihat oleh penglihatan. Bashîrah ini merupakan keistimewaan yang dimiliki oleh para sahabat dari umat-umat yang lain, kemudian dimiliki juga oleh orang-orang yang ikhlas daripada kalangan para pengikut Nabi S.A.W. (Al-Qathani: 35-36) Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Yusuf, ayat 108:
Maksudnya: “Katakanlah: ‘Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik’”.
Allah memerintahkan kepada Rasul-Nya untuk memberitahu kepada umat-Nya bahawa itu adalah Sunnah atau jalannya. Iaitu dakwah untuk mengucapkan persaksian bahawa tidak ada tuhan selain Allah yang tidak ada yang menyekutui-Nya. Mengajak untuk menyembah Allah dengan bashîrah, dengan seyakin-yakinnya dengan ilmu pengetahuan, dalil dan bukti.
Bashîrah berdakwah di jalan Allah haruslah memenuhi hal di bawah ini: (Al-Qathani: 35-36)
a. Seorang dai’ haruslah benar-benar mengetahui bahan yang didakwahnya. Di mana dia benar-benar mengetahui Hukum Syarak. Ini kerana adakalanya seorang dai’ menyeru sesuatu yang dianggapnya wajib namun ternyata menurut Hukum Syarak tidak wajib. Jadi dia telah mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah S.W.T kepada umat-Nya. Kadang-kadang juga dai’ menyeru untuk meninggalkan sesuatu yang dianggap haram namun ternyata menurut agama tidaklah haram. Oleh itu, dia telah mengharamkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh Allah.
b. Dai’ hendaklah mengetahui keadaan golongan yang didakwahnya dari segi agama, sosial, keyakinan, psikologi, keilmuan dan ekonomi mereka. Dari situ dia dapat mengetahui apa yang benar-benar paling diperlukan oleh mereka.
c. Dai’ seharusnya mengetahui metode berdakwah. Allah S.W.T. telah menggariskan cara-cara berdakwah dalam beberapa ayat. Di antaranya dalam Surah Yusuf, ayat 108 yang bermaksud: “Katakanlah: ‘Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik’”.
Ayat ini adalah sebagai dasar yang kuat dalam berdakwah. Dasar dakwah ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu berdakwah dengan hikmah, nasihat yang baik dan berdebat dengan jalan yang baik. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Nahl, ayat 125 yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.
d. Berdakwah dengan menggunakan kekuatan jika diperlukan. Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Ankabut, ayat 46:
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka”.
Tidak diragukan lagi bahawa jalan yang terbaik untuk berdakwah kepada masyarakat adalah dengan cara yang digambarkan Al-Qur’an, dengan berceramah kepada mereka, mengajak dan berdialog dengan mereka.
3.5 Cara-cara Mendapatkan Hikmah
Hikmah adalah pemberian dan anugerah Allah S.W.T. kepada seorang hamba dan kekasih yang Dia kehendaki. Seorang hamba tidak boleh memperoleh hikmah hanya dengan mencarinya tanpa mempelajari metode yang telah ditempuhi oleh para Nabi. Seseorang tidak boleh dikatakan seorang yang bijaksana, kecuali dia telah mempelajari bagaimana cara memperoleh hikmah tersebut. Dan begitu juga tidak mungkin mendapatkan hikmah kecuali dengan belajar Al-Qur’an dan As-Sunnah. Apabila seseorang daripada muslim telah mendapatkan hikmah, maka hal itu tidak lain hanyalah pemberian Allah S.W.T. Firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 269:
Maksudnya: “Allah menganugerahkan Al Hikmah (kefahaman yang dalam tentang Al Quran dan As Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. dan Barangsiapa yang dianugerahi hikmah, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak”.
Hanya Allah yang melimpahkan hikmah yang banyak kepadanya, hikmah yang tidak terhingga dan sangat besar. Oleh kerana itu, para ulama’ memahami firman Allah S.W.T. di atas yang berbunyi ‘khairan katsîra’ adalah bahawa pemberian hikmah lebih baik daripada dunia dan segala isinya kerana Allah S.W.T. telah menyifatkan dunia dalam firman-Nya dalam Surah Al-Nisa’, ayat 77:
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa kesenangan di dunia ini hanya sebentar”.
Hal ini menunjukkan bahawa hikmah yang dilimpahkan Allah S.W.T. lebih baik daripada dunia berserta isinya. Apabila seseorang mendapat hikmah, maka ia telah terkeluar daripada kejahilan menuju kepada cahaya hidayah, keluar daripada kebodohan dan menyeleweng baik dalam perkataan dan perbuatan menuju kepada kebenaran, pandangan yang cemerlang, berhati-hati dalam segala hal dan menempatkan segala perkara di tempatnya. Ini semua adalah pemberian yang paling besar dan kurnia yang teragung daripada Allah S.W.T. (Al-Qathani: 37-38)
3.5.1 Berkeperibadian Yang Baik
Akhlak merupakan keadaan jiwa seseorang yang menerbitkan amal perbuatannya, baik perbuatan tersebut baik mahupun buruk. Apabila seseorang berkelakuan baik, maka ia menunjukkan akhlak orang tersebut juga baik dan begitu juga apabila perilakunya buruk, maka akhlaknya pun buruk. Begitu juga sebatang pohon dapat dinilai dengan buahnya. Demikian juga dengan akhlak yang dapat dilihat daripada perbuatan-perbuatannya yang baik.
Seorang dai’ jika berpegang teguh kepada perilaku yang baik, maka perilaku tersebut merupakan metode yang terbaik untuk mendapatkan hikmah dan menjadi sebab dia mendapat pertolongan Allah dalam menjalankan urusan dakwahnya di samping beristiqamah. Seorang dai’ hendaklah menjadikan segala perjalanan kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. dan perilaku baginda sebagai ikutan yang ideal. Baginda merupakan seorang yang mempunyai keperibadian dan kehidupan yang mulia bahkan baginda adalah manusia yang terbaik akhlaknya. Tidak hairan jika Allah S.W.T. memuji baginda dalam firman-Nya dalam Surah Al-Qalam, ayat 4:
Maksudnya: Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.
Setiap perilaku Nabi Muhammad S.A.W. itu bijaksana kerana baginda adalah orang yang diutus oleh Allah S.W.T. sebagai pembawa rahmat untuk seluruh umat. Dialah pelengkap segala akhlak yang mulia. Sabda baginda S.A.W.:
إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق
Maksudnya: Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.
Ketika Aisyah R.A. ditanya mengenai akhlak baginda S.A.W., dia menjawab, “Sesungguhnya akhlak baginda adalah Al-Qur’an”. Maka seharusnya bagi seorang dai’ untuk meneladani perjalanan Rasulullah S.A.W. kerana dengan demikian seorang dai’ akan menjadi seorang yang bijaksana dalam menyampaikan dakwahnya dan atas izin Allah S.W.T. dia sentiasa akan mendapat petunjuk kebenaran. (Al-Qathani: 40-47)
3.5.2 Mengamalkan Ilmu Disertai Dengan Kejujuran Dan Keikhlasan
Beramal berlandaskan ilmu dengan sifat ikhlas dan jujur serta semata-mata ingin mendapatkan redha Allah merupakan tuntutan terbesar yang diperlukan untuk memperoleh hikmah atas taufik, petunjuk, anugerah dan kebaikan Allah S.W.T. oleh kerana itu, hikmah menurut orang-orang Arab adalah ilmu yang bermanfaat dan amal yang soleh. Ibn Taimiyah berkata, “Banyak orang salaf yang mengatakan bahawa hikmah adalah pengetahuan tentang agama dan kemudian mengamalkannya”. Ilmu tanpa diamalkan akan menjadi beban bagi pemiliknya pada hari kiamat kelak. Oleh kerana itu, Allah S.W.T. telah memberi peringatan kepada orang mukmin yang hanya berkata tanpa mengamalkannya melalui firman-Nya, Surah Ash-Shaff ayat 2-3:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.
Kata seorang penyair, ‘Bagaimana kamu hendak dipanggil sebagai seorang yang bijak? Sedang kamu sendiri mengikut hawa nafsumu’. Perumpamaan siapa yang mempelajari suatu ilmu dan mendalami ilmunya tanpa mengamalkannya, adalah bagaikan seorang lelaki yang mengumpulkan kayu bakar, kemudian dia mengikatnya. Lalu dia berganjak untuk membawa kayu tersebut, akan tetapi kemudian dia tidak mampu membawanya kerana talinya terlepas, kemudian dia mengumpulkannya lagi. Pada kebiasaannya, perkataan yang dikeluarkan daripada hati, maka akan boleh masuk ke dalam hati. Namun apabila perkataan itu hanya keluar daripada lidah, maka ia tidak akan boleh menerobos masuk ke telinga para pendengarnya. Seorang penyair berkata:
“Wahai lelaki yang mengajarkan kepada orang lain, apakah dirimu sudah mendapatkan pelajaran itu. Mulailah dari dirimu sendiri dan janganlah menyesatkannya. Apabila kamu telah mempelajarinya, maka kamu termasuk orang yang bijaksana. Sebab dengan itu, perkataanmu akan diterima dan ilmumu akan diteladani dan pengajaranmu akan bermanfaat”.
Beramal dengan ilmu haruslah disertai dengan sikap ikhlas, dan sifat ini harus semata-mata bertujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T dan demi mendapatkan kasih sayang-Nya. Oleh kerana itu, Ibn Taimiyah telah berkata, “Diceritakan bahawa Abu Hamid pernah menyampaikan kepada seseorang bahawa siapa yang ikhlas selama empat puluh hari, maka akan terpancarlah hikmah daripada hatinya melalui lidahnya”. Ibn Taimiyah berkata, “Aku mengikhlaskan diriku selama empat puluh hari, akan tetapi tidak terpancar sedikitpun hikmah. Lalu aku mengemukakan hal ini kepada beberapa orang arif. Mereka mengatakan kepadaku, “Sesungguhnya kamu hanya ikhlas untuk mendapatkan hikmah dan tidak ikhlas kerana Allah S.W.T.”. (Al-Qathani: 56-58)
3.5.3 Istiqamah
Istiqamah adalah suatu kalimat yang mengandungi seluruh aspek agama. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Fushilat, ayat 30:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan Kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, Maka Malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu".
Allah S.W.T. berfirman dalam Surah al-Ahqāf, ayat 13-14:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan Kami ialah Allah", kemudian mereka tetap istiqamah Maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. Mereka Itulah penghuni-penghuni surga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan.
Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Sufyan Ibn Abdullah R.A.: Aku telah bertanya, “Wahai Rasulullah ceritakan kepadaku satu perkataan tentang Islam, di mana aku tidak menanyakannya terhadap seseorang kecuali kepada engkau”. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Katakanlah, aku telah beriman kepada Allah kemudian beristiqamahlah”.
Suatu hal yang diperlukan oleh seseorang muslim dan khususnya para dai’ adalah sikap istiqamah, iaitu bersikap istiqamah dalam beramal. Jika tidak mampu maka bersikaplah yang mendekati istiqamah, jika tidak mampu mendekati istiqamah, maka tidak ada yang tersisa kecuali dia telah mensia-siakan dan dalam keadaan yang sia-sia. Seorang dai’ haruslah memiliki sikap istiqamah yang tinggi agar usaha dakwahnya diterima oleh Allah, juga haruslah menjadikan hikmah sentiasa memenuhi lisannya, perbuatan-perbuatannya dan tindakan-tindakannya. Kemuliaan yang paling tinggi adalah sikap istiqamah, kerana dengan istiqamah, ucapan seorang dai’ dapat diterima dan perbuatannya akan diikuti. Dengan istiqamah keikhlasan dan kebenaran niatnya serta kecintaannya terhadap apa yang berada di sisi Allah S.W.T., maka dia akan mendapat kebaikan ucapan dan pahala yang berlimpah. (Al-Qathani: 60-61)
3.5.4 Pengalaman
Pengalaman adalah ujian daripada fenomena sebenar, yang dimaksudkan untuk menganalisa sesuatu secara terperinci dan sistematik dengan tujuan untuk menyingkap sebuah hasil atau untuk mewujudkan tujuan tertentu atau untuk memperbaiki sesuatu. Diriwayatkan daripada Mu’awiyah, ia berkata, “Seseorang tidak dikatakan bijaksana sebelum ia memiliki pengalaman”. Oleh sebab itu ada yang mengatakan, “Seseorang tidak akan boleh dikatakan penyabar apabila dia belum pernah bersalah, dan seseorang tidak dapat dikatakan bijaksana kecuali dia pernah mengalami ujian. (Al-Qathani: 63-64)
Seorang dai’ dengan pengalamannya yang luas, pergaulannya dengan masyarakat, mengenal adat kebiasaan mereka, aqidah mereka, keadaan dan masalah mereka, perbezaan tabiat dan kemampuan mereka, akan mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam kejayaan dan menjauhkan dirinya daripada tindakan yang akan menjerumuskan kepada kesalahan. Jika sekiranya dai’ memiliki banyak pengalaman, maka dia tidak akan membuat kesalahan dalam menyampaikan dakwahnya. Kesalahan pertama menjadikan diri seseorang dai’ akan mengambil hikmah daripadanya dan dia tidak akan berbuat kesalahan untuk yang seterusnya. Oleh sebab itu, Rasulullah S.A.W. bersabda, “Seorang mukmin tidak akan terjerumus kepada satu lubang yang kedua kalinya”. Rasulullah S.A.W. juga bersabda, “Kalian semua adalah orang pernah melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang selalu bertaubat”.
Apabila seorang dai’ ingin untuk mendapatkan hikmah daripada pengalamannya, maka tidak boleh tidak, dai’ itu haruslah bergaul dengan mereka di merata tempat, bercampur dan bermasyarakat serta mendatangi majlis mereka. Apabila para dai’ inginkan kebaikan para petani dan para pekerja dia haruslah bergaul dan hidup bersama mereka di kampung dan tempat kerja mereka. Jika ingin memperbaiki tempat-tempat perniagaan di kalangan masyarakat ramai, maka dia harus bergaul dengan mereka di pasar-pasar mereka, tempat perniagaan dan majlis mereka. Apabila dia ingin memperbaiki situasi politik, maka dia mesti bergaul dengan pakar politik, mengenal aturan-aturan mereka dan mendengar pidato politik mereka serta membaca agenda-agenda mereka kemudian mengenalpasti lingkungan kehidupan mereka. Di samping memahami kebudayaan serta pemikiran mereka. Ibn Mas’ud berkata, “Janganlah engkau berbicara kepada komuniti masyarakat mengenai hal-hal yang belum boleh dijangkau oleh akan mereka, kerana hal itu hanya akan menimbulkan fitnah di kalangan masyarakat tersebut”. (Al-Qathani: 68-69)
3.5.5 Strategi Dakwah Yang Bijak
a. Para dai’ mestilah memerhatikan waktu yang sesuai dan mengetahui tingkat keperluan masyarakat, sehingga mereka tidak berasa bosan untuk mendengar dakwah, di samping mereka akan merasa bahawa nasihat dan apa yang diajarkan itu bermanfaat dan amat berharga bagi mereka. Nabi S.A.W. selalu memerhatikan waktu dengan baik ketika beliau memberikan nasihat kepada para sahabatnya kerana dikhuatirkan mereka bosan terhadap nasihat itu. Abdullah Ibn Mas’ud berkata: “Nabi selalu memerhatikan waktu pada saat baginda memberikan nasihat kepada kami kerana khuatir rasa bosan”.
Oleh sebab itu, para sahabat mempraktikkan strategi seperti yang dipraktikkan oleh Rasulullah S.A.W. Abdullah Ibn Mas’ud selalu mengingatkan dan memberikan nasihat kepada umat setiap hari Khamis. Lalu salah seorang bertanya kepada beliau, “Wahai Abu Abdurrahman, aku ingin engkau selalu mengingatkan kami setiap hari” Beliau menjawab, “Aku bukannya tidak mahu memberikan nasihat setiap hari, namun aku khuatir membuat kalian bosan sehingga aku selalu memerhatikan waktu dalam memberikan nasihat kepada kalian, sebagaimana Nabi S.A.W. memerhatikan waktu pada ketika memberikan nasihat kerana khuatir menimbulkan kebosanan”.
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, “Permudahlah dan janganlah kalian menyulitkan. Gembirakanlah dan janganlah kalian menyebarkan ketakutan”. (Al-Qathani: 70-71)
b. Meninggalkan hal-hal yang jika ditinggalkan tidak akan menimbulkan mudarat dan dosa demi menjaga timbulnya fitnah. Seorang dai’ kadang-kala akan menghadapi suatu masyarakat yang mana kebiasaan mereka tidak menyimpang daripada hukum syarak, akan tetapi melakukan hal lain itu lebih diutamakan. Apabila seorang dai’ mengetahui bahawa penghujung dakwahnya untuk meninggalkan suatu perkara atau melakukan suatu perkara akan membawa kepada fitnah, maka bolehlah ia tidak mendakwahkan hal itu. Oleh kerana itu, Nabi S.A.W. tidak meruntuhkan Ka’bah dan membangunkannya sesuai dengan tujuan bangunan yang dibangunkan oleh Nabi Ibrahim A.S. Tujuan sikap Nabi S.A.W. itu kerana menjauhkan fitnah kaum beliau kerana mereka sangat dekat kepada masa jahiliyah. Hal ini menunjukkan bahawa apabila ada pertentangan antara kemaslahatan yang satu dengan kemaslahatan lainnya atau antara dan mafsadah dan keduanya tidak boleh dicampurkan, maka yang harus dilakukan adalah mengambil hal yang lebih penting. (Al-Qathani: 71-72)
c. Kadang-kalanya ada sesetengahnya dapat dijinakkan atau dirayu dengan harta benda dan kemewahan. Apabila dai’ mengetahui bahawa iman seseorang yang diajaknya tersebut belum kuat dan mudah goyah apabila terjadi gelombang masalah, maka seorang dai’ haruslah memberikan sebahagian harta sesuai dengan kadar kemampuannya untuk tetap mempertahankan orang yang didakwahinya tersebut terus bertahan dengan agama Islamnya. Allah S.W.T. menganjurkan orang yang perlu dijinakkan hatinya (orang baru masuk Islam) untuk diberikan bahagian tertentu dalam zakat, dan bahkan Rasulullah S.A.W. telah mempraktikan cara yang demikian. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Sesungguhnya pemberianku kepada seseorang dan yang lainnya lebih aku senangi kerana khuatir bahawa wajahnya akan dimasukkan masuk ke dalam api neraka”.
Rasulullah S.A.W. telah memberikan bantuan dana kepada ketua-ketua kaum Quraisy dan juga yang lainnya yang tergolong orang yang perlu dijinakkan hatinya untuk menghilangkan rasa iri dan dengki. Sebab hadiah akan dapat mempertemukan hati yang berbeza dan dapat menjadikan antara hati yang berbeza itu bersedia untuk melihat kepada kebenaran dakwah, kebenaran aqidah serta mengambil pelajaran daripada ayat-ayat yang menunjukkan kepada keagungan Allah serta bukti-bukti-Nya yang nyata. (Al-Qathani: 73)
d. Sentiasa bersifat pemaaf. Mengutamakan berbuat baik di kala orang lain berbuat jahat, bersikap lemah lembut di kala orang lain berusaha untuk menyakiti, mendahulukan sifat kesabaran di waktu orang menganggu. Membalas tindakan bodoh dengan tindakan arif dan lemah lembut. Membalas sikap orang lain yang gelabah dan tidak teratur dengan sikap penuh dengan ketenangan dan kehati-hatian. (Al-Qathani: 74)
Sifat-sifat seperti di atas memiliki pengaruh yang sangat besar dan dapat menarik orang yang didakwah untuk memeluk agama Islam, istiqamah dan teguh. Dengan muamalah mengikut cara ini, Rasulullah S.A.W. telah dapat mengumpulkan para hati dan jiwa sahabat di sekelilingnya. Allah S.W.T. telah memberikan pujian kepada Rasul-Nya dan memerintahkan untuk selalu memberikan maaf dan ampunan, dan murah hati kepada kaum mukmin, Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Ali ‘Imran ayat 159:
Maksudnya: Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu ma'afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, Maka bertawakkallah kepada Allah.
e. Seorang dai’ tidak menyebut orang yang dikehendaki secara langsung ketika ia ingin memberikan pendidikan dan larangan sebaliknya menyebutnya secara umum. Ini merupakan startegi yang penuh dengan hikmah. Oleh sebab itu, Nabi S.A.W. selalu menggunakan cara ini antaranya sabda baginda: “Mengapa salah seorang daripada kalian sedang berdiri mengadap Tuhannya, kemudian ia berdahak sambil meludah di hadapan Tuhannya. Apakah kalian suka seorang daripada kalian ketika berhadapan dengan Allah berdahak dan meludah di hadapan-Nya? Maka apabila salah seorang daripada kalian berdahak sambil meludah, hendaklah meludah ke kiri tepat ke arah sebelah kakinya. Akan tetapi apabila ia tidak dapat melakukannya, maka hendaklah ia melalukan demikian (kemudian Rasulullah S.A.W. meludah ke arah pakaiannya, kemudian beliau mengusapkan ke sebahagian pakaiannya yang lain)”.
Rasulullah S.A.W. bersabda, “Mengapa suatu kaum mengatakan itu dan ini, padahal aku melakukan solat dan tidur, melaksanakan ibadah puasa dan berbuka, dan aku menikahi wanita. Barangsiapa yang tidak suka dengan sunnahku maka orang tersebut tidak termasuk daripada golonganku”. Beberapa hadis di atas menunjukkan kepada dai’ bahawa sikap tidak menyebutkan pelaku kesalahan secara langsung, baik dengan ucapan celaan atau teguran demi menutup rasa malu mereka dan kerana belas kasihan terhadap mereka. Para dai’ boleh melontarkan teguran dengan cara memberikan ceramah kepada orang ramai apabila orang yang didakwahi atau yang dimaksudkan itu berada di tengah mereka dan termasuk daripada golongan mereka. Tindakan ini adalah cara yang sangat bijaksana. (Al-Qathani: 75-77)
f. Memberikan perantara-perantara sebagai gambaran yang boleh menyampaikannya. Seperti dalam sabda Rasulullah S.A.W., “Barangsiapa menunjukkan kepada kebajikan, maka baginya pahala seperti orang yang mengerjakannya”. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Sesungguhnya yang termasuk dosa besar adalah seseorang yang melaknat ibubapanya”. Lalu sahabat bertanya, “Bagaimana mungkin seseorang melaknat ibubapanya?” Baginda menjawab, “Seseorang mencaci maki ibubapa orang lain, kemudian orang lain tersebut membalas mencaci ibubapanya”. (Al-Qathani: 77-78)
g. Hendaklah seorang dai’ memberikan jawapan terhadap permasalahan tertentu dengan sebuah jawapan yang juga mencakup permasalahan lainnya, sehingga apa yang ia jawab itu menjadi kaedah umum bagi orang yang bertanya dan bagi yang lainnya. Sebagaimana Rasulullah S.A.W. bersabda kepada orang yang menanyakan tentang hukum air laut, “Air Laut suci airnya dan binatang mati di dalam air laut halal hukumnya”. Beliau memberikan jawapan terhadap orang yang menanyakan mengenai hukum air laut, akan tetapi beliau memberikan tambahan jawapan hukum tersebut. Tambahan jawapan itu ialah halal hukumnya binatang yang mati di dalam air laut tersebut.
Bentuk jawapan yang terbaik adalah dengan memberikan jawapan yang lebih detail daripada pertanyaan yang diajukan demi memberikan manfaat yang lebih sempurna dan sebagai ilmu pengetahuan tersendiri maskipun tidak ditanyakan. Dan menegaskan hukum yang ditanyakan ketika dia memerlukannya. Kerana sesungguhnya orang yang pada mulanya hanya ingin mengetahui kesucian air laut sahaja, akan tetapi kemudian ia mengetahui ilmu lainnya iaitu tentang kehalalan bangkai ikan di laut, di mana anggapan awalnya bahawa bangkai hukumnya adalah haram, maka hal itu lebih baik. (Al-Qathani: 78-80)
h. Banyak memberikan perumpamaan. Sabda Rasulullah S.A.W., “Orang mukmin terhadap mukmin yang lainnya bagaikan bangunan yang saling menguatkan satu sama lainnya, kemudian beliau merapatkan dan saling mengkaitkan jari-jemarinya”. Rasulullah S.A.W. bersabda, “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam saling kasih sayang, saling berbelas kasihan itu seperti satu jasad, yang bilamana salah satu daripada anggota tubuh merasa sakit, maka seluruh anggota tubuh juga turut merasa sakit, maka seluruh anggota tubuh juga akan merasakan sakit dan tidak dapat tidur”. (Al-Qathani: 80)
3.5.6 Pemahaman Mendalam Tentang Rukun-Rukun Berdakwah
Seorang dai’ tidak dapat bersikap bijak dalam menyampaikan dakwahnya kecuali ia mengetahui dan memahami asas-asas yang dijadikan landasan dakwah. (Mohd Amin. 2002: 77) Sehingga dia dalam penyampaian dakwahnya akan berjalan dengan teratur. Tidak diragukan lagi bahawa pemahaman terhadap rukun-rukun dakwah sangatlah penting bagi dai’ sebagaimana diungkapkan dalam Al-Qur’an dalam Surah Yusuf, ayat 108:
Maksudnya: Katakanlah: "Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata, Maha suci Allah, dan aku tiada Termasuk orang-orang yang musyrik".
3.6 Meletakkan Seseorang Sesuai Dengan Kedudukan Dan Kemampuannya
Seorang dai’ yang bijaksana adalah orang yang dapat memperlajari realiti, situasi masyarakat dan kepercayaan mereka serta menempatkan mereka pada tempat masing-masing. Kemudian ia mengajak mereka berdasarkan kemampuan akal, pemahaman, tabiat, tingkatan keilmuan dan status sosial mereka. Dan seorang dai’ yang bijak adalah yang mengetahui metode yang akan digunakannya. (Mohd Amin. 2001: 67)
Ali Ibn Abi Talib mengatakan, “Berbicaralah dengan orang sesuai dengan apa yang mereka ketahui. Apakah kalian suka Allah dan Rasul-Nya didustakan”. Juga diriwayatkan oleh Aisyah R.A. bahawa ia mengatakan, “Rasulullah memerintahkan kepada kita untuk menempatkan manusia sesuai dengan kedudukan mereka”. Abdullah Ibn Mas’ud berkata, “Janganlah engkau berbicara kepada sesuatu kaum di mana akal fikiran mereka tidak sampai kepadanya, kerana hal yang demikian akan menjadikan fitnah bagi sebahagian yang lainnya”.
Nabi S.A.W. menjelaskan hak tersebut kepada para dai’ di jalan Allah dengan bersabda kepada Mu’adz ketika diutus ke Yaman sebagai dai’, pengajar dan sekaligus penguasa, “Engkau akan mendatangi kaum ahli kitab…” Nabi S.A.W. menjelaskan kepada Mu’adz mengenai aqidah kaum yang akan didatanginya sehingga ia dapat mengenal keadaan mereka dan dapat menyediakan apa yang sesuai dengan mereka dan dapat memperbaiki keadaan mereka tersebut. Rasulullah S.A.W. bersabda kepada Aisyah R.A., “Wahai Aisyah, jika seandainya kaummu tidak berdekatan dengan masa kekufuran mereka, nescaya akan aku runtuhkan Ka’bah dan aku menjadikannya dua pintu masuk: satu pintu untuk tempat mereka keluar dan satu pintu lagi untuk tempat mereka masuk”. Tetapi Rasulullah S.A.W. tidak mengerjakan kemaslahatan itu kerana khuatir mereka akan jatuh dalam kerosakan dan kehancuran.
Mempelajari keadaan dan situasi sangatlah penting, kerana dai’ dituntut mengenali keadaan masyarakat yang didakwahinya baik aqidah, psikologi, sosial dan ekonominya, begitu juga ia dituntut untuk mengetahui dengan baik pusat kejahatan dan kesesatan mereka. Dai’ juga harus mengenal bahasa, dialek, adat kebiasaan, masalah, konflik, intelektual dan tingkat pertentangan masyarakat dan kekeliruan yang tersebar dalam komuniti dan aliran mereka.
Seorang dai’ hanya akan berjaya dalam dakwahnya, disukai penyampaiannya dan lurus perkataan dan perbuatan apabila ia mengenali masyarakat yang menjadi sasaran dakwahnya. Antara persoalannya ialah apakah masyarakat ini termasuk kalangan muslim yang selalu melakukan maksiat atau daripada kalangan muslim yang terjangkit dengan penyakit bid’ah dan khurafat? Atau apakah masyarakat tersebut tergolong dalam Ahli Kitab? Apakah mereka berasal daripada kalangan orang yang beragama Yahudi ataukah Nasrani? Apakah kominiti masyarakatnya termasuk daripada golongan yang ingkar akan kebenaran Tuhan, golongan naturalistik, materialistik atau atheis? Ataukah termasuk daripada golongan penyambah berhala yang menyekutukan Allah?
Apabila seorang dai’ mengetahui semua hal itu, lalu bagaimanakah cara berdakwah terhadap setiap golongan itu dengan hikmah? Apa yang harus didahulukan dan apa yang harus diakhirkan? Apakah sebenarnya yang menjadi keutamaan untuk dicarikan jalan keluarnya sebelum melangkah kepada masalah-masalah lainnya? Apakah sumbangan pemikiran yang penting dan mendesak untuk dilontarkan kepada mereka?
Begitulah ibarat seorang dai’ itu seperti doktor yang bijak yang mampu mengetahui penyakit pesakitnya, mengetahui dan memastikan jenis penyakitnya, lalu memberikan ubat yang tepat dan disesuaikan dengan keadaan pesakit dan penyakitnya, di mana yang harus diperhatikan adalah: kuat lemahnya fizikal pesakitnya dan kemampuan pesakit untuk menerima perubatan. Kadang-kala seorang pesakit memerlukan proses operasi dengan cara dibedah perutnya atau dipotong salah satu anggota demi menghilangkan penyakit yang dideritainya.
Demikianlah seorang yang bijak harus mengetahui penyakit-penyakit yang menjangkiti masyarakat, menentukan jenis penyakitnya, mengetahui ubatnya dan harus melihat kekaburan dan hal-hal yang menghalangi mereka, lalu seorang dai’ harus menghilangkannya, kemudian baru menyampaikan bahan yang sesuai dengan cara mengawal bahan tentang akidah Islam yang benar dan bersih dan menciptakan keadaan bagaimana agar mereka mahu menerima dan melaksanakan kandungan dakwah yang disampaikan seorang dai’. (Al-Qathani: 97-100)
4.0 PENUTUP
Dakwah secara al-hikmah ini mempunyai daya tarik tersendiri (magnet power) untuk mengajak manusia menuju kepada inti (jauhar) ajaran Islam, yakni tauhidullah (mengesakan Allah). Oleh itu, metode ini adalah suatu cara yang digunakan dalam upaya membawa orang lain kepada ajaran islam yakni dengan menggunakan argumentasi yang pasti, bahasa yang menyentuh hati dengan pendekatan ilmu dan akal sehingga dakwah dapat diterima oleh para ilmuwan, cendikiawan dan intelektual. Dalam usaha untuk mendekati isi yang terkandung dalam istilah dakwah bi al-hikmah, telah kita kemukakan beberapa contoh daripada gaya dakwah dalam Al-Qur’an sendiri, daripada As-Sunnah Rasulullah S.A.W. dan cerita para sahabat yang melaksanakan dakwah di bawah bimbingan Rasulullah S.A.W. Oleh kerana itu, ia bersesuaian dengan maksud hikmah iaitu kemampuan memilih yang tepat untuk melangkah, kemampuan mencari titik permulaan, kemampuan memilih kata dan cara yang tepat, sesuai dengan pokok persoalan, sesuai dengan suasana serta keadaan orang yang sedang dihadapi.
Al-Qur’an Al-Karim.
Mu’jam Wasit. Juzuk 1 & 2. Maktabah Al-Islamiah.
Al-Qathani, Sa’d ibn Ali ibn Wahf. Muqawwimāt Ad-Dā’yah An-Nājih Fi Dhau’ Al-Kitab Wa As-Sunnah: Mafhǔm Wa Nazhar Tathbîq. Dlm. Terj.s Aidil Novia. 2005. Menjadi Dai Yang Sukses. Indonesia: Qisthi Press.
Al-Zaidan, Abdul Karim. Usul Al-Dakwah. Terj. Solehan Ayub. Islam & Dakwah. 2002. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.
Al-Zuhaili, Wahbah. Terj. Basri Ibrahim Al-Hasani. 2004. Kewajipan Memahamkan Bukan Islam Tentang Islam. Johor: Perniagaan Jahabersa.
Mohd Amin Abdul Rahim. 2001. Panduan Pendakwah Secara Praktikal. Kuala Lumpur: Darul Fikir Sdn. Bhd.
Mustafa Masyhur. Terj. Mohd Yusof Ismail. 1987. Jalan Da’wah Antara Keaslian & Penyelewengan. Cet. Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.
Wan Hussein Azmi. 1984. Ilmu Dakwah. Kuala Lumpur: DBP.
0 comments:
Post a Comment