Friday, 15 June 2012

Pengurusan Ledakan Teknologi Maklumat Dan Keruntuhan Moral Remaja Menurut Siyāsah Syariyyah.

Abstrak

Ledakan teknologi maklumat (ICT) telah memberi kesan yang ketara terhadap kehidupan masyarakat. Kepesatan perkembangan teknologi maklumat yang sangat hebat menggambarkan dunia sekarang seolah-olah kelihatan bertambah kecil. Ini seterusnya membawa implikasi negatif terhadap moral remaja. Kajian ini bertujuan mengkaji sejauhmana ledakan teknologi maklumat memberikan kesan negatif terhadap perilaku remaja dan mengenalpasti tahap pengawalan sekatan yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam membanteras keruntuhan akhlak. Metodologi yang digunakan dalam kertas kerja ini ialah kajian perpustakaan dan maklumat di internet. Dapatan kajian ini, penulis mendapati sikap keterbukaan penerimaan tanpa had kepada teknologi maklumat telah banyak menyumbang kepada masalah keruntuhan moral khususnya kepada remaja. Kajian ini mencadangkan beberapa polisi yang sesuai menurut siyāsah syar’iyyah agar pengurusan teknologi maklumat dapat dipandu mengikut jalan yang betul.

Pendahuluan

Dunia kini telah mengalami banyak perubahan hasil perkembangan era globalisasi dunia yang mencetuskan perubahan gaya hidup yang berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat yang memberikan kesan dan menjadi cabaran terhadap perilaku, pemikiran dan penghayatan agama seseorang. Perubahan dunia masa kini berlaku amat pantas hasil ledakan teknologi maklumat. Setiap hari pelbagai hasil ciptaan baru dihasilkan dari inovasi teknologi dan maklumat yang berjaya menghapuskan batasan sempadan antara sesebuah negara. Malahan ia berjaya merubah bentuk pemikiran, ideologi, budaya dan berbagai elemen luar memasuki ruang negara lain tanpa sekatan dan kawalan. John Naisbitt (1990) meramalkan bahawa salah satu daripada sepuluh kecenderungan manusia di awal abad kedua puluh satu ialah maklumat. Maklumat tersangat berharga dalam dunia globalisasi hingga ia menadi penentu dan penggerak kepada masa depan. (Mohamed Imran. 2005)

Kertas ini akan mengupas isu bagaimana ledakan teknologi membawa kesan negatif terutamanya keruntuhan moral remaja yang dianggap sebagai aset penting dalam pembanguan negara masa depan negara. (Siti Mariam. 2002: 3) Keterlibatan remaja dalam gejala keruntuhan moral ini cukup membimbangkan semua pihak termasuk pihak berkuasa, ibu bapa dan masyarakat amnya. (Badrulzaman. 2006) Justeru itu, perlu beberapa polisi yang sesuai menurut siyāsah syar’iyyah agar pengurusan teknologi maklumat dapat dipandu mengikut landasan yang betul agar pengaruh buruk ICT tidak menjadi barah kepada penyakit sosial yang sedia ada. Polisi ini adalah perlu agar para remaja kita tidak hanyut dalam dunia ICT tanpa sempadan ini.

Definisi Tajuk

Menurut Kamus Dewan (1994), definisi pengurusan ialah perihal mengurus sesuatu. Definisi ledakan ialah perihal meledakkan sesuatu. Definisi teknologi ialah aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan dan lain-lain sains gunaan. Definisi maklumat ialah makluman, pemberitahuan dan pengumuman. Definisi keruntuhan membawa maksud perihal runtuh, kejatuhan, kerosakan, kerobohan dan kerosakan. Definisi moral ialah ajaran atau pegangan bukan buruk baik sesuatu perbuatan (kelakuan kewajipan dan lain-lain), sikap atau cara berkelakuan yang berasaskan atau yang diukur dari segi baik buruk akhlak. Definisi remaja ialah mulai dewasa, sudah akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin.

Penguasaan Umat Islam Dalam Teknologi Maklumat

Dalam menyelusuri arus ledakan teknologi maklumat yang semakin berkembang, umat Islam perlu melibatkan diri dalam dunia teknologi maklumat kerana Islam adalah agama yang mementingkan penggunaan serta penyebaran maklumat tidak kira melalui apa jua cara sekalipun. (Mashkuri: 35) (Shaikh. 2000: 1) Firman Allah S.W.T.:Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Al-Mujadalah 58: 11) Daripada Riwayat Imam Tirmidzi, Rasûlullah S.A.W bersabda maksudnya: Kelebihan orang berilmu dari orang 'abid (orang yang banyak beribadah) seperti kelebihanku dari orang yang paling rendah dari sahabatku”.

Tidak dapat dinafikan teknologi turut membawa implikasi negatif terhadap kehidupan manusia, namun di sinilah perlunya syariat dan kesedaran umat Islam tentang kepentingan penguasaan dunia teknologi maklumat bagi mengelakkan kebocoran maklumat yang tidak tepat, unsur-unsur penyelewengan aqidah, penentangan syariah Islam, penyebaran racun-racun orientalis dan propaganda Yahudi, perjudian secara online, pornografi dan sebagainya. Kesedaran sahaja tidak cukup bagi membenteras gejala-gejala negatif ini.

Imam Al-Ghazali pernah berkata, beliau tidak setuju dengan orang yang hidup sezaman dengannya kerana orang-orang pada masa itu merasa aib apabila mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang fiqh tetapi pada masa yang sama meninggalkan fardhu kifāyah yang lain iaitu tidak mempunyai doktor kecuali ahli dzimmah (penduduk yang selain orang islam dan menetap dalam negara Islam). Roh dan aurat mereka diserahkan kepada ahli dzimmah sehingga melanggar batasan syarak. Situasi yang berlaku di zaman Al-Ghazāli ini boleh dikatakan situasi yang sama berlaku dalam dunia teknologi sekarang ini. (http://medicalstudentclubusim.blogspot.com)

Kata Yusuf Al-Qaradhāwi (1996), ketika membicarakan yang lebih afdal antara ‘penerapan hukum syariat’ atau ‘pendidikan dan maklumat’, beliau berpendapat penerapan hukum sahaja tidak dapat mencipta masyarakat dan mengembangkan umat. Oleh itu, langkahnya ialah dengan pendidikan dan pengajaran, kemudian hukum-hukum tersebut memberi perlindungan dan perisai kepadanya. Umat Islam akan terdedah kepada penjajahan sekali lagi sekiranya kita masih lagi lena dengan perkembangan teknologi yang terus dikuasai bukan Islam.

Perkembangan ICT dan Remaja

Teknologi maklumat merupakan suatu pencapaian kemajuan dan teknologi kehidupan yang memudahkan penyebaran, pengstoran dan pengaksesan maklumat secara pantas dan tepat. Antara contoh pencaian dalam konteks ini umpamanya televisyen, radio, telefon, internet, telekonferensi dan sebagainya. Spekulator masa depan barat, Alvin Toffler merintis definisi era teknologi maklumat ini dengan menyebutnya sebagai ‘Third Wave’ yang lahir selepas era pertanian dan perindustrian yang membawa maksud iaitu alaf baru yang muncul menggantikan era pertanian dan perindustrian dalam kehidupan manusia. (M. Nor. 2008: 2)

Realiti yang berlaku di Malaysia kini, statistik menunjukkan penggunaan ICT telah berlaku begitu pesat sejak era 1990-an. Nisbah pelanggan telefon bimbit di Malaysia mencapai tahap 195: 1000 (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia). Idea menjadikan Malaysia sebagai pusat teknologi maklmat serta penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang merupakan cetusan idea bekas Perdana Menteri Malaysia Ke-4 kini tersenarai dalam bandaraya berteknologi tinggi, sebaris dengan negara-negara maju yang lain. Ini ditambah dengan jumlah penggunaan internet juga meningkat mendadak, membayangkan kepesatan ICT di kalangan masyarakat hari ini.

Perkembangan teknologi maklumat ini telah menimbulkan pelbagai reaksi negatif kesan penerimaan tanpa kawalan sehingga boleh menimbulkan kesan keruntuhan moral di kalangan para remaja khususnya. Ini kerana kebanyakkan remaja pada hari ini lahir dalam era ini dan kerana itulah mereka dapat menguasai dan mengaplikasi teknologi maklumat dalam pelbagai bidang dengan baik. Ini kerana, perubahan yang berlaku kepada dunia teknologi maklumat membawa kita kepada nilai-nilai baharu dan tidak semestinya semuanya baik. (Rais Yatim. 2012: 2)

Golongan remaja difokuskan kerana kepentingannya sebagai asset negara dan kebanyakkan keruntuhan moral kini melibatkan golongan ini. Remaja berada antara dua zaman, iaitu zaman kanak-kanak dan zaman dewasa yang berada dalam lingkungan umur 12 hingga 18 tahun. Perkembangannya sebagai jambatan yang menghubungkan dua peringkat usia yang sangat penting untuk difahami. Fasa hidup remaja adalah satu fasa yang unik dengan ciri-ciri biologi dan sosial yang menunjukkan proses-proses penukaran dalaman, mental dan fizikal yang boleh mempengaruhi kelakuan yang normal dan abnormal remaja. (Susan Tan. 2008: 170-171) (Fariza. 2005) Sehubungan dengan itu, ciri-ciri ini berkembang selaras dengan ledakan teknologi maklumat yang kian berkembang pesat di seluruh dunia. Boleh dikatakan hampir keseluruhan remaja yang ada pada hari ini lahir dalam era ini dan kerana itulah mereka dapat menguasai dan mengaplikasi teknologi maklumat dalam pelbagai bidang dengan baik.

Di Malaysia, remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak. Berbagai ragam krisis akhlak dan moral kini terus menular, merebak dan merebak dalam masyarakat kita seperti kes hamil luar nikah, pembuangan bayi, bohsia, sumbang mahram, berpeleseran, bersekedudukan, berdua-duaan (coupling), call girl’ atau ‘escort girl’, gangsterisme, vandalisme, rogol, ketagihan dadah, rempit dan sebagainya. Kadar jenayah yang berlaku mencatatkan kebanyakkan pelaku kes jenayah juga melibatkan kes juvana atau golongan remaja (www.rmp.gov.my). Statistik ini menunjukkan kepada kita betapa seriusnya krisis akhlak yang melanda remaja di negara kita ketika ini.

Keruntuhan Moral Di Kalangan Remaja Kesan Teknologi Maklumat

Ledakan teknologi maklumat yang tidak terkawal sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada berlakunya gejala sosial dalam kalangan para remaja hari ini. Program-program yang disiarkan banyak memaparkan unsur-unsur negatif seperti jenayah serta bersifat hiburan semata-mata boleh mempengaruhi para remaja dengan perkara yang tidak baik.

1-                  Penglibatan Dalam Kes Jenayah

Paparan berita-berita negatif dan keganasan dalam televisyen telah menjadi berita kebiasaan dan ianya membimbangkan kerana pembangunan masyarakat telah dipengaruhi oleh budaya imperialisme melalui teknologi maklumat. (Zulkiple. 1998: 23-24) (Andi. 2001: 14) Ini kerana, paparan yang negatif seperti jenayah pembunuhan dan rompakan akan mempengaruhi perlakuan penonton atau pendengar paparan tersebut sehingga dapat mendorong mereka melakukan jenayah terbabit seperti penyalahgunaan dadah, percubaan membunuh diri, tingkah laku yang menyalahi undang-undang (delinquent), hamil luar nikah dan pembuangan bayi, sumbang mahram, bersekedudukan, call girl[1], gangsterisme, vandalisme, rogol, ketagihan dadah, rempit dan sebagainya. (Siti Mariam. 2002: 1)

2-                  Melayari Laman Web Pornografi

Kesan perkembangan teknologi maklumat kini telah menyebabkan remaja kini mudah terdedah kepada laman web yang mengandungi unsur tidak bermoral dan tidak berfaedah yang memberi kesan negatif dalam perkembangan minda dan fizikal manusia. Ketagihan terhadap laman web ini mula menular dan mudah diakses oleh sesiapa sahaja terutama remaja mencetuskan kerosakan maruah, nilai keperibadian, dorongan terhadap jenayah seksualiti perhubungan interpersonal, masalah perundangan, dan pembaziran wang serta masa. Larangan agama terhadap perlakuan yang boleh menghampiri zina tidak mampu menyekat remaja dan golongan dewasa daripada menghindari perbuatan tercela. Sebagaimana firman Allah dalam al-Qurān yang bermaksud: Jangan kamu hampiri perbuatan zina kerana ia adalah amalan yang sangat keji” (Al-Isrā’: 32). Terdapat juga unsur-unsur lucah dan mengghairahkan terdapat dengan mudah di pasaran sama ada dalam bentuk bercetak, CD, atau lain-lain selain dari itu bahan media ini mudah diperolehi.

Ketagihan internet ini tertumpu kepada cybersex addiction dan compulsive gambling. Material berkaitan seks begitu mudah dan tersiar di internet dengan pelbagai dimensi dan ilustrasi pornografi dan chatroom yang membicarakan unsur-unsur seksual. Impak kepada gejala ini maka merebaklah bermacam penyakit sosial akibat ketagihan seks seperti perzinaan, homoseksual dan lesbian, pelacuran, penularan HIV/AIDS, penyakit kelamin, dan melakukan seks sebelum kahwin di kalangan remaja. (Mohamed Imran. 2005) Ramai remaja kini sudah melakukan hubungan seks ketika menjalinkan perhubungan mereka. Malahan ada yang merakamkan untuk simpanan peribadi dan disebar untuk umum melalui internet dan telefon peribadi menggunakan teknologi 3G.

3-                  Menghabiskan Masa Di Cyber Café

Kegilaan remaja terhadap ICT terutama teknologi internet dan alat komunikasi mendorong mereka menghabiskan masa di cyber café, internet café dan telefon tangan. Aktiviti seperti 3G, sms, mms, chatting, permainan video, dan berbagai aktiviti melaluinya membawa kesan dan cabaran tersendiri antaranya pelajar sanggup ponteng sekolah, meminjam wang rakan menyalahgunakan wang saku bahkan ada menipu dan mencuri. Hal ini mencabar pihak pengurusan sekolah, pihak berkuasa dan orang ramai terhadap masalah pelajar yang mengunjungi pusat internet di waktu persekolahan dan selepas persekolahan. Kesannya ialah pembaziran masa kerana terlalu lama di cyber café, tidak ada kawalan keluarga dan berkembangbiaknya masalah serta gejala sosial di kalangan remaja.

4-                  Perubahan Gaya Hidup

Pengaruh teknologi maklumat yang menular dalam kehidupan moden hari ini jelas telah berjaya merubah paradiqma sosiobudaya dan bahasa komunikasi remaja kini. Penjajahan budaya hidup Barat dalam aspek cara berpakaian yang kurang sopan, makanan, minuman, tingkahlaku, hiburan telah menukar jati diri manusia dan corak pergaulan remaja yang jauh dari nilai-nilai ketimuran. (Mohamed Imran. 2005) (Zulkiple. 2001: 107) Perubahan ini telah dibawa bersama oleh teknologi maklumat yang menggahkan budaya barat adalah tren terkini dan mesti diikuti oleh para remaja. Program-program pembangunan dan perindustrian yang dilaksanakan hari ini, masih mengambil model Barat yang tidak sesuai dengan norma-norma kehidupan masyarakat Islam. Melalui teknologi maklumat, sebarang pengaruh akan tersebar dengan begitu cepat di seluruh dunia terutamanya golongan muda-mudi yang mudah terpengaruh dengan aliran muzik dan budaya Barat seperti black metal, punk dan skinhead yang sama sekali bertentangan dengan ajaran agama Islām. (Hashim Haji Bedu. 2008)

5-                  Menjejaskan Hubungan Kekeluargaan

Kecanggihan teknologi maklumat kini telah mengalihkan pandangan remaja terhadap alat-alat komunikasi seperti komputer, telefon tangan dan lain-lain. Mereka lebih teruja terhadap kecanggihan alat-alat komunikasi dan suka menghabiskan masa dengan berbual-bual bersama rakan siber di internet melalui chatroom atau di telefon tangan berjam-jam lamanya daripada berbual-bual dan menghabiskan masa bersama dengan ahli keluarga. Hal ini sudah pasti merosakan hubungan institusi kekekuargaan itu sendiri kerana tiada komunikasi yang sebenar berlaku. Hal ini kerana komunikasi di internet atau alam maya berlaku secara ilusi.

Terdapat sesetengah ibubapa berpendapat bahawa mereka lebih suka anak mereka berada di rumah sepanjang masa dengan beralasan anak mereka lebih selamat dan mereka tidaklagi risaukan keselamatan anak mereka. Namun begitu, hal turut mempunyai impak negatif. Misalnya, kesemua ahli keluarga itu berada di rumah tetapi mereka hanya menumpukan alat-alat komunikasi masing-masing tanpa terdedah kepada dunia komunikasi sebenar, akan berlakulah keruntuhan institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagian dan keharmonian dalam sesuatu masyarakat. Jika dahulu, di waktu petang anak-anak akan berkumpul beramai-ramai di waktu lapang bersama ahli keluarga yang lain, namun realiti kini berlaku sebaliknya. Para remaja kini sudah tidak mengenali saudara maranya, jiran tetangga dan bahkan ahli keluarganya sendiri.

Penyalahgunaan Teknologi Maklumat


Pada hakikatnya, konsep pemilikan harta bermaksud pemilik harta mempunyai hak penggunaan dan penikmatan yang eksklusif mengikut kehendaknya. (Abdul Basir. 2009: 316) Dalam era ledakan teknologi maklumat, pelbagai alat telekomunikasi yang muncul kini seperti telefon multifunction atau pelabagai fungsi, kadang kala mencetuskan reaksi kurang baik apabila ada sesetengah pihak yang menggunakan teknologi maklumat ini sewenang-wenangnya tanpa sebarang had. Ini mengakibatkan hak orang lain dicerobohi walaupun pada asalnya seseorang itu berhak serta kebebasan menggunakan barang yang menjadi miliknya. Contohnya seperti seseorang yang merakam video seseorang yang lain tanpa pengetahuan dan keizinan orang yang dirakam dan kemudian menyebarkan di internet sehingga menjatuhkan imej dan mendedahkan aib seseorang.

Walau bagaimanapun, kerugian yang yang dialami bukan kerugian yang boleh diambil tindakan oleh undang-undang untuk mencegahnya, tetapi sekiranya penggunaannya menyebabkan kesusahan dan tidak dapat hidup selesa atau tidak dapat melaksanakan pekerjaan hariannya, maka dalam kes ini, undang-undang akan campur tangan dan mengambil tindakan untuk menghalangnya. Dalam undang-undang moden, sekiranya had penggunaannya boleh membawa kepada kemudaratan kepada orang lain ia disebut sebagai kacau-ganggu. (Abdul Basir. 2009: 317)

Dalam bahasa Inggeris, perkataan kacau-ganggu disebut sebagai nuisance yang bermaksud suatu tindakan yang menyebabkan ketidakselesaan yang secara khusus telah mengganggu keselesaan kehidupan manusia yang tidak semestinya hanya mengganggu bentuk dan tabiat hidup yang mewah, malah bentuk dan tabiat hidup biasa dalam kalangan manusia biasa. (Mohd Radzali. 2001: 236) Dalam bahasa Arab, kacau-ganggu disebut al-ta’assuf fi isti’māl al-haqq iaitu kacau-ganggu terhadap penggunaan dan penikmatan ke atas tanah atau hak-hak yang berkaitan dengannya. (Al-Durayni. 1988: 45-47)

Secara ringkasnya, perkataan al-ta’assuf fi isti’māl al-haqq boleh diterjemahkan sebagai penyalahgunaan hak. Ini bererti jika seseorang itu menggunakan harta bendanya tanpa melampaui had sempadan fizikal yang telah ditentukan oleh undang-undang, namun pada waktu yang sama, tindakan penggunaannya itu menyebabkan pihak yang tinggal berdekatan dengannya terganggu dan tidak dapat hidup selesa dalam keadaan biasa. Pemilik harta boleh menggunakan hartanya semahunya selama mana tidak mendatangkan kemudaratan kepada jirannya. (Fakhruddin. 2000: 196) Sesuatu keadaan itu boleh dikategorikan sebagai kacau-ganggu apabila tindakannya mengakibatkan kemudaratan yang teruk terhadap harta benda jirannya. Sabda Rasulullah S.A.W.: Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasûlullah S.A.W. bersabda: Sesungguhnya terdapat sebatang pokok yang menyebabkan ketidakselesaan kepada orang Islam; lalu seseorang datang dan menebangnya, maka dengan itu, dia masuk syurga. (Muslim: 2021)

Asas undang-undang sivil menggunakan maksim ‘sic utere tuo ut alienum non laedas’ yang bermaksud seseorang itu tidak seharusnya menggunakan harta bendanya secara tidak munasabah dan di luar keperluan yang boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada jirannya’. (Heuston. 1992: 57) Maksim ini boleh dikaitkan dengan hadis Rasulullah S.A.W. yang berkaitan dengan satu kes yang dibawa oleh seorang lelaki Ansar dari Madinah yang mendakwa Samurah bin Jundab dalam kacau-ganggu yang disebabkan oleh sepohon kurma. Plaintif mendakwa ketidakselesaan atau kemudaratan wujud disebabkan oleh pohon kurma milik Defendan yang condong memasuki tanahnya. Rasulullah S.A.W. memutuskan supaya pohon kurma itu ditebang. (Al-Durayni. 1988: 46) (Al-Suyuti. 1983: 92) Hadis ini secara umumnya dapat dihubungkan dengan satu kaedah fiqh iaitu, ‘al-darar al-ashadd yuzal bi al-darar al-akhaff’’ yang bermaksud ‘kemudaratan yang lebih berat dihilangkan dengan melaksanakan kemudaratan yang ringan’. (Al-Hariri: 94) (Al-Zarqa’: 196) Oleh itu, perbuatan menebang pohon kurma tersebut dianggap kemudaratan yang ringan jika dibandingkan dengan kemudaratan besar yang terpaksa ditanggung oleh Plaintif. (Majallat   al-Ahkam al-‘Adliyyah. 1975: Perkara 27)

Peruntukan Undang-Undang Yang Mengawal Teknologi Maklumat

Dalam kepesatan dunia multimedia dan kemajuan teknologi maklumat terutama internet memungkinkan aktiviti negatif semakin berleluasa. Oleh itu, beberapa akta telah digubal dalam memberikan garis panduan pengurusan teknologi maklumat serta menyekat aktiviti negatif berkaitan teknologi maklumat antaranya Akta Jenayah Komputer 1997 bertujuan untuk menyediakan peruntukan berkaitan dengan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan komputer, Akta Tandatangan Digital 1997 bertujuan mengawal selia penggunaan tandatangan digital, Akta Teleperubatan 1997 bertujuan bagi pengawalseliaan dan pengawalan amalan teleperubatan (Suhaini Muda. 2004: 123), Akta Komunikasi dan Mutimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia 1998 bertujuan dalam menggalakkan pelaburan asing dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi. (Ahmad Shamsul. 2007: 109)

Selain itu, turut digubal Ordinan Fitnah 1957, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Hasutan 1948 (pindaan tahun 1972), Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Perlindungan Data Persendirian 2010, Akta Hak Cipta (pindaan) 1997. Akta-akta ini digubal bertujuan untuk menjamin hak individu dan masyarakat dalam penggunaan teknologi maklumat. Namun begitu, keberkesanannya masih diragui kerana aktiviti negatif dan tidak bermoral ini masih berleluasa dan tidak mampu dikekang dengan undang-undang sedia ada. Ini dibuktikan dengan pelbagai kes yang dilaporkan dalam media massa kini berkaitan dengan keruntuhan moral di kalangan remaja yang membimbangkan semua pihak.

Dasar-dasar Pengurusan Teknologi Maklumat

Kesan ledakan teknologi maklumat yang tidak terkawal ini secara tidak langsung telah menjadi penyebab berlakunya keruntuhan moral di kalangan remaja. Oleh sebagai seorang pemerintah, adalah wajar sekiranya digariskan satu dasar pengurusan teknologi maklumat menurut siyāsah syar’iyyah agar perkembangan negara dan generasi muda berada di tahap yang seimbang dan masalah keruntuhan moral di kalangan remaja dapat dikurangkan. Ini kerana, dasar yang dibuat ini penting bagi pemeliharaan akal dan ia adalah salah satu daripada lima maqasid syariah. Dalam konteks sebuah negara, Islam telah menetapkan tanggungjawab di bahu pemerintah sebagai pihak yang berkuasa dalam menggubal dasar negara menurut siyāsah syar’iyyah untuk mencapai kesejahteraan hidup masyarakat. Menurut Ibnu ‘Aqil, siyāsah syar’iyyah itu ialah apa jua perbuatan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada kebinasaan walaupun tidak disyariatkan oleh Rasulullah S.A.W. dan tidak diturunkan oleh wahyu. (Ibn Qayyim al-Jawziyyah. 1969) Berikut digariskan beberapa dasar yang dirasakan perlu dilaksanakan:

1-                  Menyekat Laman Web Pornografi

Pelayaran laman web pornografi boleh mendatangkan kesan negatif kepada semua peringkat sama ada kepada orang dewasa, remaja mahupun kanak-kanak. Jika penggunaan pornografi dilakukan secara berterusan dan jika dibiarkan akan membawa kepada ketagihan yang teruk (bermula daripada soft pornography kepada hard pornography). Pornografi juga boleh membawa kepada tingkahlaku seksual yang buruk dan tidak normal. Hal ini berlaku kerana penonton pornografi akan cuba beraksi berdasarkan apa yang dilihat, berfantasi dan berakhir dengan keputusan atau hasil yang merosakkan atau menghancurkan seseorang. Otak mempercayai apa sahaja yang dipaparkan. Kajian penyelidik tentang akses internet dan laman web pornografi menunjukkan lelaki adalah penggemar utama dan kebanyakkannya pelajar universiti, remaja dan kanak-kanak. (Nor Azah. 2011) Menurut Bill Gates, ‘internet seperti komputer peribadi, ia bagai satu ombak yang besar. Ianya akan melemaskan orang yang tidak bersedia untuk mengharungi ombak ini’. (S. Salahuddin. 2006: 32)

Justeru itu, pihak berkuasa perlu mengambil inisiatif dalam menangani laman web pornografi antaranya dengan memperkenalkan perisian penapis laman web. Menurut Hofstretter (2001), terdapat dua kaedah penapisan atau penyaringan laman web pornografi iaitu yang pertama adalah melalui pelayan (server) dan kedua melalui pelanggan (client). Kaedah penyaringan melalui hos pelayan yang digunakan oleh sistem pendidikan negara China boleh dijadikan sebagai satu contoh yang baik dalam menangani laman web pornografi melalui sebuah syarikat United Education Limited yang telah membangunkan satu perisian yang menggunakan ISA (Internet Security and Acceleration) kepunyaan Microsoft untuk menyaring setiap kandungan laman web secara berkesan. Pihak pengurusan rangkaian akan memasang pelayan ISA pada pusat rangkaian untuk tujuan penyaringan.

2-                  Menetapkan Had Maksimum Waktu Siaran Televisyen

Waktu siaran bagi televisyen kini tidak mempunyai keselarasan dan tanpa sebarang had masa maksimum terutama bagi yang melanggan televisyen swasta seperti Astro. Ini boleh menyebabkan ketagihan menonton televisyen yang melampau sehingga tidak mempedulikan apa yang berlaku sekeliling dan ahli keluarga sendiri di samping berlaku pembaziran masa, elektrik dan wang. Malah, tabiat buruk ini juga boleh mendatangkan impak yang negatif kepada ahli keluarga dan rumahtangga seseorang. Keasyikan menonton boleh membawa kepada pengabaian tanggungjawab yang sepatutnya ditunaikan. Misalnya, seorang suami yang menghabiskan masa di rumah dengan menonton televisyen sehingga larut malam boleh menyebabkan prestasi kerjanya menurun kerana tidak mendapat tidur yang cukup di samping rumahtangga dan anak-anak terabai. Oleh itu, perlu ditetapkan had maksimum waktu siaran yang sesuai bagi televisyen adalah antara jam 7.00 pagi hingga 11.00 malam.

3-                  Pemilihan Rancangan Yang Bersesuaian

Kajian mendapati televisyen mempunyai pengaruh yang kuat kepada minda masyarakat kerana sebagaimana kata Dr. Robert Liebert ‘the media is ‘teaching’, people are ‘leaning’. (Abu Muhammed. 1997: 16) Pemilihan rancangan di televisyen mestilah lebih bercorak akademik dan dapat meningkatkan keupayaan fungsi otak berpandukan Islam. Nilai-nilai agama dan murni diterapkan dalam setiap rancangan yang ditonton di semua peringkat umur. (M. Yusof. 2008: 189) (Gary. 2003: 206) Setiap rancangan yang hendak disiarkan dinilai baik serta buruk, dan jika didapati terkandung keburukan mengatasi kebaikan, maka ia tidak disiarkan. Penapisan awal ini dapat dibuat oleh pihak penerbit syarikat telekomunikasi televisyen. Di samping itu, sumber rancangan itu dikaji agar ia tidak datang daripada pihak yang memang berniat menghancurkan islam secara halus melalui rancangan di televisyen seperti Orientalis Barat.

4-                  Menghadkan Kemasukan Dan Fungsi Peranti Atau Alat Komunikasi

Setiap kemasukan peranti atau alat komunikasi yang memasuki negara ini mestilah dipantau jenis, jenama, fungsi, dan kesannya dalam semua aspek. Sebarang alat komunikasi yang multifunction yang melampau mestilah disekat. Ia bukanlah bertujuan menjauhkan rakyat daripada menikmati perkembangan pesat teknologi maklumat seperti memudahkan komunikasi, akses internet dan sebagainya, tetapi sebagai langkah pencegahan kerosakan yang bakal timbul akibat kemasukan peranti tersebut. Sebagai contoh, Thailand merupakan negara di Asia Tenggara masih tidak menggunakan perkhidmatan 3G sepenuhnya walaupun teknologi 3G banyak memberi manfaat apabila membolehkan pengguna telefon mudah alih melayari internet dan memuat turun muzik serta video melalui telefon mudah alih. (Kosmo! 15 Oktober 2011)

5-                  Kawalan Ke Atas Iklan

Jika diperhatikan kebanyakkan dalam televisyen dan internet, kebanyakan iklan yang dipaparkan kurang bermutu dan bersifat negatif serta hanya menumpukan keuntungan semata-mata. Sikap syarikat komunikasi yang mementingkan keuntungan tanpa menilai dan memikirkan kesan buruk yang berlaku selepasnya. Islam tidak menganggap sesuatu maklumat itu sebagai komoditi semata-mata tetapi lebih kepada perkhidmatan yang mengutamakan moral dan etika bagi tujuan pembangunan insan. (Aminudin. 2009) Tidak semua perkara sesuai diiklankan. Remaja sudah tentu akan menonton iklan yang tidak sepatutnya ketika mereka menonton rancangan kegemaran mereka. Ia telah menjadi kegusaran para ibubapa apabila perkara ini berlaku. Oleh itu, pihak pemerintah perlu menyekat iklan-iklan yang tidak sepatutnya disiarkan terutama sekali ketika rancangan kanak-kanak atau remaja disiarkan. Pihak pengurusan komunikasi pula tidak bergantung kepada keuntungan semata-mata, malahan memikirkan kesan iklan yang disiarkan tersebut.

6-                  Menghadkan Paparan Berita Berkaitan Sukan Dan Hiburan

Berita yang siarkan di televisyen setiap hari sudah tentu menjadi nadi maklumat peristiwa yang berlaku sekeliling kita sama ada di dalam atau di luar negara. Namun begitu, jika diamati, kita akan dapati kebanyakkan berita seolah-olah lebih menjurus ke arah paparan berita sukan dan hiburan. Kita dimomokkan dengan berita sukan dan hiburan yang sebenarnya tidak memberikan maklumat atau pengetahuan yang berguna. Hiburan misalnya, menceritakan gossip terkini, kehidupan peribadi dengan artis yang tidak penting dan tidak wajar dipertontonkan kepada umum. Ia hanya berita yang sia-sia dan boleh merosakkan jiwa penonton terutama remaja. Oleh itu, berita sukan dan hiburan sepatutnya dihadkan dan tidak menjadi berita yang harus diperbesarkan dan sensasikan kepada umum.

7-                  Kebebasan Bersyarat Kepada Pengamal Media

Apa yang ditulis dalam medium teknologi maklumat seperti televisyen menjadi salah satu komponen media massa yang cukup berpengaruh dalam membantu masyarakat melahirkan pendapat dan turut membina pengetahuan dan tahap pemikiran masyarakat. Jika televisyen berjaya menjalankan fungsinya melalui penyiaran berita, keseimbangan belaku dalam persekitaran atau sistem sosial masyarakat. Oleh itu, kebebasan perlu diberikan kepada pengamal media iaitu orang yang berada dalam dunia media komunikasi agar sebarang maklumat yang perlu diketahui oleh masyarakat dapat disalurkan dengan jalan yang betul dan tidak wajar disekat melainkan yang berlaku adalah sebaliknya. Kebebasan yang diberikan dibuka seluas-luasnya namun akan disekat sekiranya bertentangan dengan maksud asalnya untuk menyampaikan maklumat yang telus seperti menulis artikel yang mengandungi unsur pornografi.

Dasar-dasar yang telah digariskan ini menepati maksud maqāsid syari’ah dalam menjaga akal dan harta serta tidak melebih had dan melampaui hak individu dan masyarakat. Dan sekiranya dibiarkan perkembangan teknologi maklumat tanpa dipandu, nescaya akan berlakulah kerosakan ke atas negara dan masyarakat. Dasar ini ditetapkan hanyalah untuk memperbaiki keadaan dan urusan manusia serta mengatasi keruntuhan moral di kalangan remaja. Dasar ini sesuai dengan maksud siyāsah syar’iyyah iaitu kelonggaran bagi para pemerintah melakukan apa sahaja yang boleh membawa kebaikan selagi ianya tidak bertentangan dengan prinsip agama, walaupun tanpa dalil-dalil khusus yang membolehkan ia dilakukan. (Ahmad Fathi. 1983: 25) Pemerintah mempunyai kuasa yang luas dalam menguatkuasakan apa-apa peraturan dan larangan untuk menjaga kepentingan umum.

Aplikasi Prinsip Al-Maqāsid Al-Syar‘iyyah Dalam Mengawal Teknologi Maklumat

Pihak berkuasa bertanggungjawab dalam memelihara negara dan rakyat daripada sebarang unsur negatif yang dapat merosakkan daripada teknologi maklumat. Perkara ini terangkum dalam bidang al-Siyāsah al-Syar‘iyyah. Pihak berkuasa perlu memastikan media komunikasi berperanan dalam menyebarkan mesej dan maklumat yang positif dalam membina pemikiran masyarakat, menambah ilmu serta memupuk sifat yang baik menurut perspektif Islam. Hasrat ini akan dapat dicapai dengan cara menjadikan lima prinsip al-maqāsid al-syar‘iyyah iaitu memelihara agama, nyawa, keturunan, akal dan harta sebagai dasar menyekat perkembangan teknologi maklumat yang membawa unsur serta pengaruh negatif sehingga membawa keruntuhan akhlak.

Namun begitu, kertas kerja ini menumpukan prinsip yang berkaitan iaitu memelihara agama, akal dan harta. Dalam persoalan memelihara agama umpamanya, media komunikasi perlulah disekat sekiranya menyimpang daripada pegangan agama, aqidah, syariah dan akhlak seseorang yang sebenar. Ini bermaksud, media perlu disekat jika apa jua mesej yang dinilai bercanggah dengan agama serta memudaratkan pemikiran masyarakat perlu dijauhkan. Kita juga boleh meneliti mesej yang disampaikan dalam berita, rencana, drama, iklan, hiburan, sukan dan lain-lain lagi yang disiarkan dalam alat-alat komunikasi.

Dari sudut memelihara akal, dalam media terdapat mesej yang tidak membina pemikiran dan intelektual seseorang malahan boleh merosakkan dan meruntuhkan akhlak serta pemikiran seperti mempromosi minuman keras atau apa jua perkara yang memabukkan dan khayal. Ini sudah tentu mengganggu pemikiran dan pegangan seseorang sekiranya ditayangkan berulang kali dan dengan iklan yang menarik. Di samping itu, kegilaan yang melampau terhadap alat-alat komunikasi boleh mengakibatkan kerosakan akal kerana menerima bulat-bulat apa yang ada dalam media tersebut tanpa memikirkan kesan sampingannya. Contohnya seorang kanak-kanak yang suka bermain permainan dalam komputer akan menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap media tersebut tanpa mempedulikan orang di sekeliling akan menyebabkan otaknya rosak dan dia sendiri tidak pandai berkomunikasi dengan orang lain. Oleh itu, wajar sebarang media yang menyentuh perkara negatif kepada akal wajar disekat.

Dalam aspek menjaga harta pula, alat komunikasi yang dipasarkan kini kadang kala mencecah harga beribu-ribu ringgit seunit. Kegilaan remaja terhadap alat-alat komunikasi terbaharu telah banyak memberikan pembaziran kepada wang ringgit. Ada sahaja alat komunikasi terbaharu dikeluarkan, pasti ramai yang berpusu-pusu mendapatkannya tanpa memikirkan pembaziran. Sepatutnya wang tersebut dapat digunakan ke arah yang lebih berfaedah dan dapat menyumbangkan kepada pembangunan Islam.

Aplikasi Kaedah Fiqh Dalam Pengurusan Teknologi Maklumat

Beberapa kaedah syarak boleh diaplikasikan dan menjadi garis panduan terhadap penyebaran sesuatu maklumat atau informasi yang bermatlamatkan pemeliharaan terhadap maqāsid al-Syar‘iyyah dalam konteks negara. Antaranya:

a.       Dar’u mafāsid muqaddim ‘ala jalb al-masālih, iaitu membendung kerosakan lebih diutamakan daripada menarik kemaslahatan (Al-Hariri: 90) (Al-Zarqa’: 205);
b.      Izā ta’ārad mufsidatān ru’iya a‘zomuhumā dhararān bi irtikāb akhaffihimā, iaitu apabila bertentangan dua kemudaratan maka kemudaratan yang lebih besar itu lebih diutamakan (Kemudaratan yang besar perlu diberi perhatian utama berbanding kemudaratan yang kecil untuk diambil sebarang tindakan bagi penyelesaian);         (Al-Hariri: 94)
c.       La dharar wa lā dhirār, iaitu tidak boleh mencetuskan kemudaratan dan tidak boleh mengakibatkan kemudaratan;
d.      al-Dharar yuzāl, iaitu kemudaratan boleh/mesti dihapuskan; (Al-Hariri: 93)

Kaedah-kaedah ini boleh digunakan sebagai satu garis panduan dalam menentukan pengurusan perkembangan teknologi maklumat yang agar mengikut lunas-lunas yang digariskan Islam dan menyekat kemasukan teknologi yang melampau kesannya ke atas pembangunan diri dan masyarakat.

Kesimpulan

Kajian ini mendapati bahawa perkembangan teknologi maklumat yang tidak terkawal dan tiadanya satu garis panduan penggunaan alat komunikasi boleh membawa kepada keruntuhan akhlak di kalangan remaja begitu membimbangkan dan boleh merencatkan pembangunan masyarakat berkualiti. Jika tidak ditangani dengan bijaksana dan perancangan yang teliti, ia pastinya akan mengancam keselamatan negara kerana elemen-elemen keruntuhan akhlak ini boleh menjerumuskan seseorang itu ke arah kehancuran. Matlamat dalam menghasilkan insan yang unggul selaras dengan kehendak pembangunan negara tidak akan bermakna sekiranya kualiti akhlak rakyat dikesampingkan.

Rujukan

Senarai Artikel:

Aminudin Basir, Mohamad Sabri Haron dan Nik Yusi Musa. 2009. Kebebasan Media Komunikasi Menurut Perspektif Islam. Jurnal Hadhari Bil.2 (2009). Bilangan Halaman 18.
Fariza Md. Sham. 2005. Tekanan Emosi Remaja Islam. Islāmiyyāt Bil. 27(1) 2005. Bilangan Halaman 21.
Hashim Haji Bedu, Khairulhelmi Katip, Mohd Fahmi Mohd Sahid dan Syed Mohamed Syafeq Syed Mansor. 2008. Keruntuhan Akhlak dan Gejala Sosial dalam Keluarga: Isu dan Cabaran. Seminar Kaunseling Keluarga. Bilangan Halaman 12.
Mohamed Imran Mohamed Ariff, Mohd Yadman Sarwan dan Mohamad Zaki Zainul. 2005. Isu, Cabaran dan Impak ICT- Satu Pendekatan Islam. Prosiding Seminar Kebangsaan E-Komuniti 2005 UKM. 6-7 Disember 2005. Putrajaya. Bilangan Halaman 9.
Nor Azah Abdul Aziz. 2011. Menangani Masalah Laman Web Pornografi: Antara Perisian Penapis, Penguatkuasaan Undang-undang dan Amalan Spiritual. Jurnal Pendidikan Islam dan Arab. Bilangan Halaman 17.
S.Salahuddin Suyurno, Norsiah Sulaiman & Fairuzah Hj. Basri. Islam dan Pendidikan: ICT dalam Dunia Pendidikan Islam. International Seminar on Islamic Thoughts Proceedings. 7-9 December 2004. Bilangan Halaman 9.

Senarai Buku:

Abdul Basir Mohamad. 2009. Undang-undang Tort Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abu Muhammed Abdur-Rauf Shakir. 1997. Ill Effects of Television. Cetakan Kedua. United Kingdom.
Ahmad Fathi Bahnasi. 1983. al-Siyāsah al-Jina’iyah Fi al-Syar’iyah al-Islamiyah. Kaherah: Dar al-Syuruq.
Ahmad Shamsul Abd Aziz, Khadijah Mohamed dan Mazita Mohamed. 2007. Undang-undang Multimedia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
‘Ali Ahmad Al-Nadwi. 1998. al-Qawa’id al-Fiqhiyyah. Cet. 4. Damsyiq: Dar Al-Qalam.
Al-Durayni, Fathi. 1988. Nazariyyat al-ta’assuf fi isti’mal al-haqq. Terbitan Keempat. Beirut.
Al-Hariry, Ibrahim Muhammad Mahmud. 1998. al-Madkhal Ila al-Qawā’id Fiqhiyyah        al-Kuliyyah. Beirut: Dar al-Kutub.
Al-Qaradhawi, Yusuf. 1996. Fi al-Fiqh Al-Awlawiyyat Dirasah Jadidah Fi Dau’ al-Quran Wa al-Sunnah. Kaherah: Maktabah Wahbah.
Al-Suyuti, Jalal Al-Din ‘Abd Rahman. 1983. al-Ashbah wa al-Nazā’ir fi Qawā’id wa Furu’ Fiqh al-Shafi’i. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Zarqa’, Al-Syeikh Ahmad bin Al-Syeikh Muhammad. 1998. Syarh al-Qawā’id               al-Fiqhiyyah. Cetakan Kelima. Damsyiq: Dar al-Qalam.
Andi Abdul Muis. 2001. Komunikasi Islam. Bandung: PT Remaja Rosdakarya.
Fakhruddin Uthman bin Ali. 2000. Tabyin al-Haqā’iq Syarh Kanz al-Daqā’iq. Juz. 4. Beirut: Dar al-Kitab al-Ilmiyyah.
Gary R. Bunt. 2003. Islam in the Digital Age. London: Pluto Press.
Heuston, R.F.V. dan Buckley, R.A. 1992. Salmod & Heuston on the Law of Tort. London: Sweet & Mazwell LTD.
Ibn Qayyim al-Jawziyyah 1969. ‘I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin. 4 Juzuk. Kaherah: Dar al-Kutub al-Hadithah.
Majallat al-Ahkam al-‘Adliyyah. Terbitan Kelima. 1975.
Mashkuri Hj. Yaacob. Dlm. Abu Bakar Abdul Majeed dan Fatimah Abdul Rahman (penyunting). 1999. Multimedia dan Islam. Kuala Lumpur: IKIM.
Mohd Nor Mamat. 2008. Dimensi Dunia ICT: Menyusuri Perspektif Etika dan Sosial. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).
Mohd Radzali Masrum. 2001. Maksim dan Ungkapan Undang-undang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Yusof Hussain. 2008. Communication in Muslim Nation. Kuala Lumpur: IIUM Press.
S. Salahudin Suyurno, Mohd Yadman Sarwan dan Aini Faezah Ramlan. 2006. Sains dan ICT: Peranan dan Cabaran Menurut Perspektif Islam. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).
Sahih Muslim. Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab. Bab Fadl Izalat Al-Adha ‘an al-Tariq. Bil. 130. Juzuk 4.
Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh (penyunting). 2000. Memahami Islam Melalui Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Kuala Lumpur: IKIM.
Suhaini Muda dan Ahmad Shamsul Abd Aziz. 2004. Undang-undang Komunikasi. Selangor: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Susan Tan Mooi Koon. Perkembangan Psikologi Remaja. Dlm. Mohamad Hatta Shaharom. 2008. Etika Perubatan Islam dan Isu-isu Psikiatri. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zulkiple Abd. Ghani. Islam, Komunikasi dan Teknologi Maklumat. 2001. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Zulkiple Abd. Ghani. 1998. Diffusion of Islamic Message through Television: The Experience of Television Malaysia. Selangor: UKM.

Senarai Tesis:

Badrulzaman Bin Baharom. 2006. Persekitaran Keluarga dan Kesannya Terhadap Tingkah Laku Devian Remaja di Daerah Pontian. Johor. Universiti Teknologi Malaysia.
Siti Mariam Samat. 2002. Tahap Pengawalan Pihak Pengurusan Politeknik Dalam Mengurangkan Gejala Sosial Di Kalangan Pelajar. Kolej Universiti Tun Hussein Onn.

Senarai Kamus:

Kamus Dewan. 1994. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Akhbar:

Rais Yatim. 8 Januari 2012. Kosmo!
Kosmo! 15 Oktober 2011.

Senarai Statut:

Malaysia, Akta Jenayah Komputer 1997
Malaysia, Akta Tandatangan Digital 1997
Malaysia, Akta Teleperubatan 1997
Malaysia, Akta Komunikasi dan Mutimedia 1998
Malaysia, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia 1998
Malaysia, Ordinan Fitnah 1957
Malaysia, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
Malaysia, Akta Hasutan 1948 (pindaan tahun 1972)
Malaysia, Akta Rahsia Rasmi 1972

Senarai Laman Web:



[1] Atau ‘escort girl’ merujuk kepada gelaran seorang gadis yang sanggup menggadaikan seluruh tubuh badannya untuk mendapatkan wang.

Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment