Sunday, 29 December 2013

PROSEDUR MAL (MUZAKARAH HAKIM-HAKIM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH SE MALAYSIA)

MUZAKARAH HAKIM-HAKIM 
MAHKAMAH RENDAH SYARIAH SE MALAYSIA
PULAU PINANG 3 JUN 1998
 
OLEH
Y.A. DATO’ ABDUL HAMID BIN HAJI MOHAMAD
HAKIM MAHKAMAH TINGGI
PULAU PINANG
 
TAJUK: PROSEDUR MAL
 (Rangka Ceramah)

Pendahuluan

1. Tajuk terlalu luas untuk disentuh dalam satu atau dua jam.


2. Undang-undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah baru diluluskan oleh Parlimen untuk Wilayah Persekutuan. Percaya akan dipakai di Negeri-Negeri.


3. Akan gunakan undang-undang itu sebagai asas ceramah.
 

Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah

1. Terpakai untuk semua Mahkamah Syariah.


2. Berlainan dengan Mahkamah Sivil, di mana terdapat –
(a) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 untuk Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.
(b) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 untuk Mahkamah Tinggi
(c) Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 untuk Mahkamah Rayuan
(d) Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995untuk Mahkamah Persekutuan.
 

3. Undang-Undang Tatacara Mal Mahkamah Syariah lebih menyerupai Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1980 – lebih mudah. Oleh sebab ini, dan oleh sebab peguam-peguam Syarie kebanyakkannya peguam yang beramal di Mahkamah Sivil, prinsip-prinsip yang terpakai di Mahkamah Sivil akan digunakan dalam hujah-hujah mereka. Oleh itu Hakim Syarie kena tahu sedikit sebanyak.

Undang-Undang Prosedur dan Undang-Undang Substantif
 

1. Undang-undang substantif menetapkan hak/tanggungjawab yang mewujudkan kuasa tindakkan dalam kes sivil atau mewujudkan kesalahan dan menetapkan hukuman dalam kes jenayah. Misalnya Enakmen Keluarga Islam, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.
 

2. Undang-Undang Prosedur (procedural law) menetapkan tatacara tuntutan, perbicaraan pelaksanaan sesuatu tuntutan itu. Di Mahkamah Sivil, mengenai kes Mal, ia cuma dibuat oleh Jawatankuasa kaedah dengan bentuk Kaedah-Kaedah (Rules).
 

3. Di Mahkamah Syariah, nampaknya ia dibuat seperti undang-undang substantive juga, Akta/Enakmen.
 

Budibicara

1. Dalam hal prosedur banyak diberi budibicara, berlainan daripada undang-undang substantif. Misalnya mengenai hukuman kes jenayah, kalau undang-undang itu kata ia boleh dihukum tidak melebihi 3 bulan penjara, Mahkamah tidak boleh guna budibicara menghukum lebih daripada tempoh itu. Had masa untuk memulakan tindakan, terhadap Kerajaan 3 tahun, kes kontrak 6 tahun, tanah 12 tahun, Mahkamah tidak boleh lanjutkan.
 

2. Tetapi, dalam hal prosedural, Mahkamah diberi banyak budibicara seperti melanjutkan masa untuk berbuat sesuatu, untuk menerima pakai sesuatu dokumen (seperti affidavit) yang kurang teratur, mengikut prinsip-prinsip yang ditetapkan melalui penghakiman terdahulu.
Prinsip penting ialah (1) ia tidak menjejaskan pihak lawan yang tidak boleh diganti (compensate) dengan kos. (2) Kepentingan keadilan.
 

3. Sebab itulah di bahagian awal (Bahagian II) telah diperuntukkan “Kesan Ketakpatuhan”. Secara umumnya diperuntukkan bahawa hakikat mana-mana peruntukkan tidak dipatuhi tidaklah membatalkan sesuatu prosiding. Ertinya ia dianggap sebagai “irregularity” bukan lagi “nullity”.
 

4. Tetapi ini tidak bererti sesuatu pihak itu boleh mengenepikan peraturan-peraturan itu. Mahkamah juga tidak patut atas alasan “budibicara” memaafkan kesemua ketakpatutan. Dalam menggunakan budibicara itu ada prinsip-prinsipnya perlu diikuti. Jika Mahkamah tidak memakai prinsip yang betul, keputusan Mahkamah itu mengenai sesuatu soal procedural itu akan diubah (overuled) oleh mahkamah yang lebih tinggi. Rayuan boleh dibuat terhadap sesuatu keputusan prosedural.
 

Cara-cara memulakan prosiding
 

1. Dua cara:
(a) Saman
(b) Permohonan
 

2. Di Mahkamah Tinggi ada banyak cara – Writ Saman, Usul Pemula, Petisyen, Notis Usul untuk memulakan prosiding.
 

Saman
 

1. Saman dikeluarkan.
2. Hendaklah disampaikan dalam masa satu tahun. Tempoh boleh dipanjangkan oleh Mahkamah, atas permohonan Plaintif.
3. Kalau Defendan hendak membela, dia boleh memfail pembelaan sebelum tarikh kehadiran – tarikh yang tercetak pada Saman Defendan perlu hadir, atau, hadir dan mempertikaikan tuntutan. Dalam keadaan kedua ini, Mahkamah akan arahkan Defendan memfail Pembelaan, biasanya dalam masa 14 hari.
4. Kalau Defendan tidak memfail Pembelaan dan/atau tidak hadir, Penghakiman Ingkar boleh diberi.
5. Kalau Pembelaan mengandungi tuntutan-tuntutan balas Mahkamah hendaklah arahkan Plaintif memfail pembelaan kepada tuntutan balas, biasanya 14 hari.
6. Defendan berhak memfail jawapan kepada pembelaan kepada tuntutan balas.
7. Tempoh untuk jawapan lebih baik diberi pada tarikh Plaintif diarahkan memfail pembelaan kepada tuntutan balas itu. Elok juga pada hari yang sama diberi satu tarikh sebutan sekali lagi untuk memastikan semua telah dilakukan. Jika dilakukan baru diberi tarikh bicara.
8. Perbicaraan – di Mahkamah Terbuka
9. Pelaksanaan.
 

Permohonan
 

1. Perkara-perkara dalam Jadual Kedua dibuat melalui satu Permohonan, disokong oleh Affidavit. Pihak lawan hendaklah memfail affidavit jika hendak menentang.
2. Pendengaran dalam kamar, berdasarkan keterangan affidavit, bukan keterangan lisan.
3. Jika fakta dipertikaikan Mahkamah tidak boleh buat keputusan berdasarkan keterangan affidavit-affidavit yang bercanggah. Pihak-pihak boleh memohon untuk menyoal-balas pengikrar affidavit itu. Mahkamah juga boleh mengarahkan keterangan lisan diberi. Dalam keadaan itu, pendengaran dipindahkan ke Mahkamah Terbuka.
 

Prosiding Interlokutori
 

(Bab XX Sec. 187-195)
1. Mulai tarikh pemfailan berbagai-bagai permohonan interlocutory (sampingan) akan dibuat. Antaranya:
(a) Permohonan untuk melanjutkan masa menyampaikan Saman, memfail pembelaan, dan lain-lain.
(b) Permohonan untuk penyampaian ganti.
(c) Permohonan untuk mencelah.
(d) Permohonan untuk menambah pembatalan pihak-pihak.
(e) Permohonan untuk meminda Saman/pliding.
(f) Permohonan untuk menyoal-balas pengikrar affidavit.
(g) Permohonan untuk mengenepikan penghakiman ingkar.
(h) Permohonan untuk menghidupkan semula kes yang dibatalkan.
(i) Permohonan untuk menggantungkan pelaksanaan.
(j) Di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah, permohonan untuk melanjutkan masa memfail Notis Rayuan/Memorandum Rayuan/Rekod Rayuan. Juga, Permohonan untuk membatalkan Rayuan.
 

2. Dua jenis –
(a) ex-parte
(b) inter-parte.
 

Ex-parte – Permohonan tidak menamakan Defendan/Responden. Mahkamah mendengar satu pihak sahaja dan buat perintah. Jika diberi, perintah hendaklah disampaikan kepada pihak lawan, yang boleh memohon untuk mengenepikannya. Bukan dengan cara rayuan.
Permohonan ex-parte dibuat dalam perkara-perkara yang pada masa itu tidak melibatkan pihak lawan secara terus, misalnya, untuk melanjutkan tempoh menyampaikan Saman, untuk penyampaian ganti. Jika Mahkamah fikir sesuatu permohonan itu patut didengar secara inter-parte, Mahkamah boleh arahkan Permohonan itu disampaikan dan didengar secara inter-parte. Pihak yang tak puashati boleh merayu – bukan memohon mengenepikan perintah itu. Permohonan inter-parte – Permohonan ini diserahkan kepada pihak lawan. Kedua belah pihak didengar. Misalannya, permohonan untuk meminda pliding setelah disampaikan, untuk menggantung pelaksanaan dan lain-lain.
 

3. Permohonan dibuat melalui Borang ms. 49, disokong oleh Affidavit. Pihak lawan, yang disampaikan perlu fail affidavit jawapan jika hendak menafikan fakta-fakta. Jika tidak, apa yang dikatakan dalam affidavit satu pihak lagi diterima oleh Mahkamah.
 

4. Pendengaran dalam Kamar. Kalau ada peguam, cuma hujah peguam yang didengar. Tiada keterangan lisan. Keputusan berdasarkan affidavit.
 

5. Pihak yang tak puas hati boleh merayu, bukan mengenepikan perintah.
Prinsip-prinsip yang dipakai dalam permohonan-permohonan tertentu
 

(a) Permohonan untuk melanjutkan masa untuk penyampaian saman
Asalkan affidavit menyokong memberi sebab-sebab munasabah mengapa ia tidak dapat disampaikan dalam masa satu tahun, kebenaran diberi.
 

(b) Permohonan untuk penyampaian ganti
Affidavit perlu sebut tiga kali cubaan telah dibuat, kali ketiga setelah membuat temujanji melalui surat. Kebenaran diberi in due course.
 

(c) Permohonan untuk mencelah
Dalam satu prosiding antara dua pihak, mungkin ada pihak ketiga yang kepentingannya terlibat, dan oleh itu ingin masuk campur. Dia boleh memohon untuk mencelah. Soalan yang perlu ditimbangkan ialah sama ada kepentingan pemohon terlibat dalam prosiding itu yang patut diputuskan dalam prosiding itu.
 

(d) Permohonan untuk menambah/membatal pihak-pihak
Mungkin setelah memfail Saman, disedari ada orang lain juga yang patut dijadikan Plaintif atau Defendan. Jika mereka tidak dimasukkan tindakan itu cacat. Permohonan boleh dibuat untuk menambah mereka itu.
Setelah disampaikan mungkin ada Defendan yang berpendapat dia tidak ada kena mengena dengan tuntutan, tuntutan tidak seharusnya dibuat terhadapnya. Dia boleh memohon supaya namanya dibatalkan.
 

(e) Permohonan untuk meminda pliding
Pliding boleh dipinda tanpa kebenaran Mahkamah sebelum disampaikan kepada pihak lawan.
Di mana kebenaran Mahkamah diperlukan, permohonan dibuat melalui satu Permohonan dan disertai dengan draf pliding terpinda dengan bahagian yang hendak dikeluarkan dipotong dengan dakwat merah dan pindaan yang hendak dimasukkan digaris di bawahnya dengan dakwat merah. Pindaan selanjutnya ditanda dengan dakwat hijau. Permohonan boleh dibuat pada mana-mana peringkat, tetapi lagi awal lagi baik. Jika terlalu lewat, dan ia akan memudzaratkan pihak lawan, ia mungkin tidak dibenarkan.
 

Prinsipnya ialah membenarkan mana-mana pihak meminda plidingnya untuk membolehkan kesemua persoalan berkaitan dibangkitkan dan diputuskan. Tetapi ia tidak akan dibenarkan jika akibatnya ialah menukar sifat sesuatu tuntutan itu kepada sesuatu yang lain, dengan memasukkan suatu kausa tindakan baru, apatah lagi jika had masa sudah luput, ia memudzaratkan pihak lawan yang tidak boleh digantikan (compensated) dengan kos.
 

Selepas kebenaran diberi, satu salinan bersih hendaklah difail dan disampaikan. Jika Mahkamah membenarkan pindaan Pernyataan Tuntutan, eloklah diberi arahan kepada Defendan untuk memfail Pembelaan Terpindanya, katakanlah dalam masa dua minggu.
Kos biasanya diperintahkan dibayar oleh pihak yang memohon untuk meminda.
 

(f) Permohonan untuk menyoal-balas pengikrar affidavit
Affidavit mengandungi keterangan bersumpah. Jika pihak lawan hendak mencabar keterangannya, selain daripada memfail affidavit jawapan/balasan, dia boleh memohon perintah supaya pengikrar affidavit itu dibenarkan disoal-balas. Permohonan seperti ini dibenarkan kalau terdapat keterangan affidavit yang bercanggah, yang tidak membolehkan Mahkamah membuat keputusan fakta. Soal-balas itu dilakukan di Mahkamah Terbuka.
 

(g) Permohonan untuk mengenepikan penghakiman ingkar
Penghakiman ingkar diberi apabila satu pihak tidak hadir, gagal memasukkan pembelaan. Pihak yang terhadapnya penghakiman diberi atau perintah dibuat boleh memohon untuk mengenepikan penghakiman, bukan merayu.
Dalam affidavit menyokong permohonan itu dia mesti menjelaskan sebab-sebab kegagalannya hadir atau memfail pembelaan itu.
 

Prinsipnya terbahagi kepada dua:
(i) Jika penghakiman itu tidak menurut peraturan (irregular) misalnya sebab Saman tidak diserah kepadanya, penghakiman itu akan diketepikan sebagai satu hak.
(ii) Jika penghakiman itu teratur (regular) dia kena tunjukkan bahawa pembelaannya mempunyai merit, melalui affidavit.
Kalaupun dia berjaya, kos terbuang kerananya diberi kepada Plaintif.
 

(h) Permohonan untuk menghidupkan semula kes yang dibatalkan
Jika Plaintif tidak hadir pada hari yang ditetapkan, tuntutannya mungkin dibatalkan. Dia boleh memohon untuk dihidupkan semula, Dia kena beri sebab-sebab yang munasabah mengapa dia tak hadir.
 

(i) Permohonan untuk menggantungkan pelaksanaan
Permohonan ini dibuat jika ada rayuan di Mahkamah yang lebih tinggi.
Prinsipnya ialah penggantungan pelaksanaan akan diberi jika, sekiranya tidak diberi, jika Perayu itu berjaya dalam rayuannya, rayuannya itu menjadi sesia. Pemohon/Perayu itu kena tunjuk bahawa rayuannya ada merit. Juga ada “keadaan tertentu” (special circumstances) yang mematutkan penghakiman/perintah itu ditangguh pelaksanaannya.
Jika penghakiman itu penghakiman wang biasanya ia tidak diberi melainkan jika jumlahnya amat besar dan jika dibayar dan jika perayu/pemohon berjaya dalam rayuannya, dia tidak mungkin mendapat balik wang itu. Dalam keadaan ini Mahkamah boleh memerintahkan wang penghakiman itu dibayar ke dalam Mahkamah atau kepada peguam pihak yang berjaya untuk disimpan dalam akaun anakguamnya di Bank dan hanya akan dibayar kepada pihak yang berjaya dalam rayuan itu, selepas rayuan itu selesai.
 

(j) Permohonan untuk melanjutkan masa memfail/menyampaikan Notis/Memorandum/Rekod Rayuan
Dalam permohonan seperti ini perlu ditimbangkan berapa lamakah kelewatan itu dan sebab-sebabnya. Jika munasabah ia diberi. Tetapi kos diberi kepada pihak Responden.
 

Perintah Interim (Sek.196)
 

1. Perintah interim adalah perintah sementara, yang setelah dibuat, berkuatkuasa sehingga perbicaraan kes itu selesai, atau sehingga perintah selanjutnya, sebelum itu.
 

2. Kuasa ini hanya diberi kepada Mahkamah Tinggi Syariah.
 

(a) Seksyen 199
Untuk menahan, memelihara dan menjaga harta yang menjadi perkara (subject matter) kes itu dan lain-lain. Untuk itu Mahkamah boleh memberi kuasa kepada seseorang untuk memasuki harta tak alih (tanah/rumah). Mahkamah juga boleh memerintahkan sesuatu dana dimasukkan ke Mahkamah atau dijamin. Permohonan seperti ini jarang dibuat di Mahkamah Sivil.
 

(b) Injunksi (Seksyen 200)
1. Ini amat popular di Mahkamah Sivil


2. Injunksi ada tiga jenis:
(i) Injunksi menghalang seseorang berbuat sesuatu.
(ii) Injunksi menghendaki seseorang berbuat sesuatu.
(iii) Injunksi mareva.
 

3. Injunksi menghalang berbuat sesuatu – misalnya untuk menghalang seseorang daripada menceroboh, mengganggu seseorang atau harta atau melupuskan, memindah, untuk menjual dan sebagainya, sesuatu harta sehingga selesai perbicaraan.
 

4. Injunksi menghendaki seseorang berbuat sesuatu, misalnya menghendaki seseorang menyerahkan buku-buku akaun, keluar dari sesuatu premis. Injunksi seperti ini amat jarang diberi. Sebab akibatnya ialah pemohon akan mendapat remedi sebelum perbicaraan selesai.
 

5. Injunksi Mareva – Ini perkembangan baru Common Law, di Malaysia pun cuma mulai tahun 70-an sahaja. Mula-mula ia dikeluarkan untuk menahan seseorang daripada memindahkan harta ke luar bidang kuasa untuk menggagalkan Plaintif memperolehinya walau pun dia berjaya dalam tuntutannya kelak. Sekarang ia boleh dikeluarkan untuk menahan seseorang daripada mengeluarkan wang dari akaun bank, atau melupuskan harta untuk tujuan yang saya sebutkan tadi.
 

6. Lebih penting bagi Mahkamah Syariah ialah jenis pertama – injunksi menghalang.
 

7. Permohonan ini ada dua jenis:-
(a) ex-parte
(b) inter-parte
 

8. Permohonan ex-parte – Cuma dibuat dalam keadaan yang amat terdesak.
Cuma sebelah pihak didengar. Perintah hendaklah disampaikan kepada pihak lawan. Pihak lawan boleh memohon mengenepikannya. Mahkamah boleh memerintahkan permohonan secara ex-parte disampaikan dan didengar secara inter-parte.
Di Mahkamah Sivil injunksi ex-parte cuma sah selama 14 hari.
 

9. Permohonan inter-parte
Seperti permohonan biasa, disampaikan kepada pihak lawan, dan kedua pihak didengar.
 

10. Pemohon sepatutnya memfail saman dan Penyata Tuntutan bersama-sama atau sebelum permohonan injunksi difail. Jika tidak bagaimana Mahkamah hendak tahu dia ada kausa tindakan dan tuntutannya mempunyai persoalan yang serius untuk dibicarakan?
 

11. Pemohon juga mesti memberi akujanji mengenai gantirugi yang mungkin berbangkit daripada perintah itu. Perintah diberi “sehingga perintah selanjutnya”.
 

12. Prinsip yang terpakai
(a) Plaintif mesti menunjukkan bahawa tuntutannya mempunyai persoalah-persoalan yang serius untuk dibicarakan.
(b) Jika dia berjaya berbuat demikian, dia mesti memuaskan Mahkamah bahawa gantirugi tidak memadai sebagai ganti perintah yang dipohon itu.
(c) Jika gantirugi tidak memadai, Mahkamah menimbang imbangan bersesuaian (balance of convenience). Kalau ia lebih berat kepada mengekalkan kedudukan (status quo) sehingga perbicaraan selesai. Mahkamah akan beri injunksi yang dipohon itu.
(d) Mahkamah juga menimbang faktor-faktor lain seperti kelakuan Pemohon. Injunksi adalah satu remedi ekuiti. Pemohon hendaklah menunjukkan dia ikhlas, bukan memohon injunksi itu untuk sesuatu tujuan tak baik, untuk menekan Defendan. Misalnya, seorang peniaga yang memohon injunksi terhadap peniaga lain dengan tujuan untuk menghalang peniaga kedua itu bersaing dengannya.
 

Mahkamah juga menimbang sama ada akujanjinya mengenai gantirugi itu wajar atau tidak. Ertinya, kalau dia akhirnya kena bayar gantirugi akibat injunksinya, mampukah dia bayar? Ini lebih berkenaan dalam injunksi yang menghalang perniagaan.
 

Perintah-perintah interim lain
(a) Hadhanah – Seksyen 201
(b) Nafkah – Seksyen 202
(c) Mengambil sampel –Seksyen 203
(d) Penjualan harta mudah musnah – Seksyen 204
(e) Perintah perbicaraan awal
(f) Mendapatkan kembali harta alih yang tertakluk kepada liase dan sebagainya – Seksyen 206.
(g) Perintah bayaran dibuat daripada pendapatan Seksyen 207.
 

Fee Mahkamah
Tidak diperuntukkan. Perlu dibuat melalui Kaedah – Seksyen 247 oleh Jawatankuasa Kaedah-Kaedah –Seksyen 246.
Kos
1. Juga belum diperuntukkan perlu dibuat melalui kaedah.
2. Prinsip mengenai pemberian kos –
(a) Di akhir perbicaraan biasanya kos diberi kepada pihak menang.
(b) Bagi permohonan-permohonan interlokutori, sama ada kos dalam kausa, kos kepada pemohon, kos kepada responden sama ada pemohon itu dibenar atau tidak, atau tiada perintah mengenai kos.
 

Penghinaan Mahkamah

1. Cuma ada dua seksyen – sek. 229 dan 230.
 

2. Mengenai prosedur cuma sebut penghinaan yang perlu diberi notis tunjuk sebab dan yang tidak.
 

3. Bagi penghinaan yang berlaku di hadapan Mahkamah tiada masalah, kerana Mahkamah sendiri boleh ambil tindakan.
 

4. Bagi penghinaan yang berbangkit daripada keingkaran mematuhi perintah Mal, akan timbul masalah.
 

5. Dua jenis –
(a) di hadapan Mahkamah seperti memaki hamun Hakim dalam prosiding.
(b) di luar Mahkamah – seperti ingkar mematuhi sesuatu perintah Mahkamah.
 

6. Penghinaan di hadapan Mahkamah
(a) Amat jarang dipakai.
(b) Prosedur – tak perlu beri notis bertulis tunjuk sebab. Tetapi perlu beri hak untuk didengar. Perlu jelaskan bahawa perbuatannya (sebut apa perbuatannya) boleh disifatkan sebagai menghina Mahkamah. Minta dia beri penjelasan mengapa dia tak patut dihukum kerana menghina Mahkamah. Jika beri penjelasan yang memuaskan, dia patut dilepaskan, mungkin dengan amaran. Kalau dia meminta maaf dan kesalahannya pun tidak terlalu berat, amaran memadai. Jika terlalu serius dan dia tidak menunjukkan penyesalan, boleh jatuh hukum denda atau penjara – lihat peruntukan mengenai hukuman dalam Enakmen.
 

7. Penghinaan di luar Mahkamah
(a) Kerapkali berbangkit daripada kegagalan/keengganan mematuhi sesuatu perintah mahkamah dalam kes Mal.


(b) Prosedur di Mahkamah Tinggi (Sivil)
- Perintah itu hendaklah mengandungi satu amaran bahawa jika perintah itu tidak dipatuhi, tindakan penghinaan mungkin diambil terhadapnya.
- Perintah itu disampaikan
- (Apabila tidak dipatuhi), satu permohonan ex-parte dibuat ke Mahkamah memohon kebenaran.
- Selepas kebenaran diberi Notis Usul dikeluarkan, disampaikan.
- Perbicaraan, biasanya keterangan lisan diberi.
- Keputusan Mahkamah.


(c) Prosedur di Mahkamah Rendah (Civil) pun serupa.


(d) Perhatikan, pihak dalam kes itu yang menggerakkan Mahkamah, bukan Mahkamah sendiri. Ini lebih sesuai dengan peranan Mahkamah.


(e) Prosedur di Mahkamah Syariah – Sebenarnya tidak diperuntukkan. Nampaknya seolah-olah Mahkamah sendiri yang akan bertindak. Ertinya Mahkamah adalah pengadu, saksi dan Hakim.
Nampaknya prosedur bagi kedua-dua jenis penghinaan (di hadapan dan di luar Mahkamah) adalah serupa. Bezanya cuma mengenai penghinaan di luar Mahkamah, notis tunjuk sebab kena diberi.
Pada pandangan saya, bagi penghinaan di luar Mahkamah yang berbangkit daripada sesuatu perintah dalam kes Mal, lebih baik pihak dalam kes itu menggerakkan Mahkamah dan mengikut prosedur di Mahkamah Sivil.
 

Rayuan

1. Oleh sebab Muzakarah ini adalah Muzakarah Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah, saya cuma akan sentuh mengenai tugas Hakim dan Mahkamah Rendah Syariah sahaja.
 

2. Prosedurnya serupa dengan di Mahkamah Sivil – Notis Rayuan hendaklah difail dan disampaikan dalam masa 14 hari selepas keputusan dibuat.
- Rayuan boleh dibuat terhadap keseluruhan atau sebahagian penghakiman atau perintah.
- Untuk mengelak rayuan yang berulang-ulang, jika ada bantahan awal jangan dengar bantahan awal itu dan buat keputusan berasingan. Misalannya dalam suatu Permohonan, dengan bantahan awal dan permohonan itu atas meritnya, dan buat keputusan serentak.
- Tugas Hakim adalah menulis alasa-alasan penghakiman.
- Setelah alasan-alasan dan nota-nota keterangan siap ditaip, Pendaftar akan menghantar Borang M.S. 30 kepada perayu/peguamnya.
- Dalam masa 14 hari daripada tarikh penerimaan Borang itu perayu kena bayar deposit, dan jaminan kos, jika diarahkan oleh Mahkamah. (Jaminan kos Cuma diperintahkan jika ada permohonan).
- Notis Rayuan Balas boleh diberi oleh Responden dalam masa 7 hari selepas menerima Notis Rayuan – Borang M.S. 31.
- Dalam masa 14 hari selepas menerima Borang M.S. 30, Perayu hendaklah memfail alasan rayuannya (memorandum of appeal).
- Penyediaan Rekod Rayuan. Jika perayu ada peguam disediakan oleh peguam. Jika tidak disediakan oleh Mahkamah.
- Jika disediakan oleh Peguam ia hendaklah difail dan disampaikan dalam masa 6 minggu selepas menerima Borang M.S. 30.
- Jika disediakan oleh Mahkamah apabila siap, Borang M.S. 32 hendaklah dikeluarkan.
 

Penghakiman/Perintah dan Alasan Penghakiman
 

Perbezaan.
 

Pengawasan kes

(1) Hakim mesti mengawal perjalanan kes-kes di Mahkamahnya. Jangan biarkan kepada kerani.
(2) Cara mengawasi –
- Enam bulan atau setahun sekali, semak setiap fail. Ini boleh dilakukan oleh kerani dan kakitangan lain, atas arahan dan di bawah kawalan Hakim.
- Kes yang telah tamat tempohnya tetapi tidak disampaikan, boleh dibatalkan.
- Kes-kes yang terpendam, boleh diberi tarikh sebutan untuk tunjuk sebab mengapa ia tidak patut dibatalkan.
- Jangan tangguh sesuatu kes tanpa memberi tarikh.
- Kes lama hendaklah diberi keutamaan membicarakannya.
- Buku-buku daftar kes/rayuan mesti disemak selalu.

Sharing is caring ^_^

1 comment: