Tuesday 22 October 2013

Hujahan Bantahan Awal (Bidangkuasa Mahkamah)



DALAM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH TERENGGANU
DI KUALA TERENGGANU
DALAM NEGERI TERENGGANU

DALAM PERKARA TUNTUTAN NAFKAH KEBELAKANGAN
SAMAN NO: XXXXX-TAHUN 2013


ANTARA

XXXXXXXX
(NO. K/P: XXXXXXX)                                                                    …PLAINTIF
DENGAN

XXXXXXXXX
(NO.K/P: XXXXXXX)                                                                       …DEFENDAN



PENGHUJAHAN BERTULIS PEGUAM SYARIE DEFENDAN

Yang Arif Hakim,

FAKTA RINGKASAN DAN LATAR BELAKANG KES

1.                   Ini adalah tuntutan nafkah kebelakangan yang telah difailkan oleh Plaintif sebanyak RM25,300-00. Namun begitu, Defendan ingin membangkitkan bantahan awal atas tuntutan Plaintif sebagaimana berikut:-

1.1              Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif bertarikh 22-03-2013 adalah serta tidak mengikut prosedur kerana kes tersebut sepatutnya perlu dimulakan dan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah dan bukannya di Mahkamah Tinggi Syariah ;

1.2             Tindakan plaintif menyalahi Seksyen 12 (2) (B) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 kerana jumlah amaun yang dituntut kurang daripada RM100,000-00 ;

1.3             Prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi juga telah memprejudiskan      ( “hak merayu” ) Defendan kerana Defendan hanya mempunyai prosiding Rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah sahaja yang mana kos rayuan akan membebankan Defendan berbanding dengan prosiding Rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah ( sekiranya Defendan memfailkan Rayuan bagi kes ini ) ;

1.4             Tiada apa-apa pun tuntutan telah dibuat oleh pihak Plaintif untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi dan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah ;

1.5              Tiada apa-apa pun Perintah dari Mahkamah Tinggi Syariah telah diperolehi oleh Plaintif untuk memindahkan prosiding kes ini ke Mahkamah Tinggi Syariah sebagaimana peruntukan Seksyen 93 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah ( Terengganu ) 2001 ;

1.6             Prosiding perbicaraan kes Nafkah kebelakangan ini adalah lebih wajar dan adil dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah ( Original Jurisdiction ) manakala prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah adalah prosiding Rayuan Nafkah kebelakangan ( sekiranya ada ) ;

1.7              Prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah juga akan membuka ruang kepada kes-kes lain yang sama jenis untuk difailkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah kelak serta akan menyebabkan berlakunya pertindihan bidangkuasa antara kedua-dua mahkamah;

1.8             Tuntutan plaintif adalah suatu proses penyalahgunaan kuasa mahkamah kerana menggunakan forum yang salah serta wajar dibatalkan menurut peruntukan Seksyen 244 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah ( Terengganu ) 2001.

HUJAHAN-HUJAHAN DEFENDAN

A)               Tindakan Plaintif Menyalahi Seksyen 12 (2) (B) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 Kerana Jumlah Amaun Yang Dituntut Kurang Daripada RM100,000-00

Tindakan plaintif yang memulakan Tuntutan Nafkah Kebelakangan sebanyak                RM 25,300-00 terhadap Defendan di Mahkamah Tinggi Syariah menyalahi Seksyen      12 (2) (B) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 kerana jumlah amaun yang dituntut kurang daripada RM100,000-00.

Seksyen 12. Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah.

(1)               Sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Terengganu dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Mahkamah Rendah.
(2)              Mahkamah Rendah Syariah hendaklah
(a)            
(b)             dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).
(3)              Duli Yang Maha Mulia Sultan boleh dari semasa ke semasa melalui perintah yang disiarkan dalam Warta memperluaskan bidang kuasa mal Mahkamah Rendah Syariah.

Oleh kerana itu, Mahkamah Tinggi Syariah tidak berbidangkuasa untuk mendengar tuntutan Plaintif kerana menyalahi Seksyen 12 (2) (B) Enakmen tersebut. Tuntutan Plaintif sepatutnya dimulakan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 12 (2) (B) Enakmen tersebut.

B)               Prosiding Perbicaraan Di Mahkamah Tinggi Juga Telah Memprejudiskan ( “Hak Merayu” ) Defendan Kerana Defendan Hanya Mempunyai Prosiding Rayuan Ke Mahkamah Rayuan Syariah Sahaja

Tuntutan Plaintif yang difailkan di Mahkamah Tinggi juga telah memprejudiskan ( “hak merayu” ) Defendan kerana Defendan hanya mempunyai prosiding Rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah sahaja yang mana kos rayuan akan membebankan Defendan berbanding dengan prosiding Rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah ( sekiranya Defendan memfailkan Rayuan bagi kes ini ).

Bidang kuasa Mahkamah Rendah Syariah adalah seperti berikut:

Seksyen 12 (2) (b) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

(2)              Mahkamah Rendah Syariah hendaklah-
(a)             
(b)              dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberi kuasa untuk mendengar dan memutuskannya, jika amaun atau nilai hal perkara yang dipertikaikan itu tidak melebihi seratus ribu ringgit atau tidak dapat dianggarkan dengan wang (tidak termasuk tuntutan hadhanah atau harta sepencarian).

Bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah diperuntukkan dalam Seksyen 11 (3) (b) Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

(3)              Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-
(b)              dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan-
(i)                pertunangan, perkahwinan, ruju' , perceraian, pembubaran perkahwinan (nafkah kebelakangan), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami isteri;
(ii)             apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara yang dinyatakan dalam subperenggan (i);
(iii)           nafkah orang-orang tanggungan, kesahtarafan, atau penjagaan atau jagaan (hadhanah) budak-budak;
(iv)           pembahagian atau tuntutan harta sepencarian;
(v)              wasiat atau alang semasa marad-al-maut;
(vi)           alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang, oleh seorang orang Islam;
(vii)         wakaf atau nazar;
(viii)      pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat;
(ix)            penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak;
(x)              pengisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam;
(xi)            pengisytiharan bahawa seseorang yang telah mati itu ialah seorang Islam atau sebaliknya pada masa kematiannya; dan
(xii)         perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya bidang kuasa diberikan oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Seksyen 13 Rayuan Kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

(1)              Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Rayuan Syariah-
(a)            
(b)             dalam bidang kuasa malnya-
(i)                oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, jika amaun yang dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit;
(ii)             dalam semua kes yang melibatkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu; dan
(iii)           dalam semua kes yang berhubungan dengan nafkah orang-orang tanggungan, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu; dengan syarat tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang telah dibuat dengan persetujuan; dan
(c)              dalam apa-apa kes lain, jika Mahkamah Tinggi Syariah memberikan kebenaran untuk merayu.

(2)              Dalam mana-mana rayuan, Mahkamah Tinggi Syariah boleh-
(a)            
(b)             dalam perkara mal, mengesahkan, mengakaskan atau mengubah keputusan Mahkamah perbicaraan, menjalankan mana-mana kuasa yang boleh dijalankan oleh Mahkamah perbicaraan, membuat apa-apa perintah yang sepatutnya dibuat oleh Mahkamah perbicaraan, atau memerintahkan perbicaraan semula.

Seksyen 16 Bidang Kuasa Pengawasan Dan Penyemakan Mahkamah Tinggi Syariah

(1)               Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas semua Mahkamah Rendah Syariah dan boleh, jika tampak perlu oleh Mahkamah Tinggi Syariah itu demi kepentingan keadilan, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas kehendak mana-mana pihak atau orang yang berkepentingan, pada mana-mana peringkat dalam apa-apa perkara atau prosiding, sama ada mal atau jenayah, dalam mana-mana Mahkamah Rendah Syariah, memanggil, dan memeriksa mana-mana rekod tentang perkara atau prosiding itu dan boleh memberikan apa-apa arahan yang dikehendaki demi keadilan.

(2)              Apabila Mahkamah Tinggi Syariah memanggil rekod sesuatu perkara atau prosiding di bawah subseksyen (1), semua prosiding dalam Mahkamah Rendah Syariah tentang perkara atau prosiding itu hendaklah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah An-Nisa’ ayat 58:

Maksudnya:
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Prosiding perbicaraan kes nafkah kebelakangan ini adalah lebih wajar dan adil dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah ( Original Jurisdiction ) kerana mendengar semua tuntutan jika amaun kurang daripada RM 100,000-00 manakala prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah adalah prosiding Rayuan Nafkah kebelakangan ( sekiranya ada ). Prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah juga akan membuka ruang kepada kes-kes lain yang sama jenis untuk difailkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah kelak serta akan menyebabkan berlakunya pertindihan bidangkuasa antara kedua-dua mahkamah.


C)               Tiada Apa-apa Pun Perintah Dari Mahkamah Tinggi Syariah Telah Diperolehi Oleh Plaintif Untuk Memindahkan Prosiding Kes Ini Ke Mahkamah Tinggi Syariah Sebagaimana Peruntukan Seksyen 93 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah ( Terengganu ) 2001

Kes ini sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu yang lebih berautoriti dan berbidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini, bukannya Mahkamah Tinggi Syariah. Tiada sebarang perintah dikeluarkan dari Mahkamah Tinggi Syariah sebagaimana peruntukan Seksyen 93 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah ( Terengganu ) 2001.

Seksyen 93. Tatacara Mengenai Pemindahan Daripada Mahkamah Rendah Syariah Kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

Jika suatu perintah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah bagi pemindahan mana-mana prosiding daripada Mahkamah Rendah Syariah kepada Mahkamah Tinggi Syariah, maka Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah hendaklah menghantar kepada Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah fail prosiding itu, segala dokumen, ekshibit dan salinan diperakui bagi nota keterangan, jika ada, dan Pendaftar hendaklah memberikan notis pemindahan itu dalam Borang MS 18 kepada tiap-tiap pihak dalam tindakan itu.

D)              Tiada Apa-apa Pun Tuntutan Telah Dibuat Oleh Pihak Plaintif Untuk Memindahkan Kes Tersebut Ke Mahkamah Tinggi Dan Dibicarakan Di Hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah

Sehingga ke hari ini, tiada sebarang tuntutan daripada pihak Plaintif untuk memindahkan kes nafkah kebelakangan tersebut daripada Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rendah yang lebih berautoriti. Kaedah fiqh menyebut:

ﺍﻷﺼﻞ ﺑﻗﺎﺀ ﻤﺎ ﻛﺎﻦ ﻋﻟﻰ ﻤﺎ ﻛﺎﻦ


Huraian:
Pada asalnya sesuatu itu berkekalan kedudukannya seperti masa lalu (melainkan terbukti ada perubahan).
           
Bidang kuasa satu-satu Mahkamah juga sebenarnya telah lama disentuh oleh perundangan Islam atau Hukum Syara’. Antaranya sebagaimana dinyatakan oleh Muhammad Salam Madkur di dalam kitabnya berjudul Al-Qada’ fil Islam, terbitan Matbaah Al ‘Aalamiyah, Kaherah, 1964, muka surat 54 beliau yang mana menyebut ;

هو أن يخصص ولى الأمر القاضى عند تقليده القضاء  أو بعد ذلك  بنوع  معين  من  القضايا، كالأحوال  الشخصية،  أو  المدنى،  أو  التجارى، أو  الجنائى  إلى  غير ذلك،  فلا  يصح  له  أن  ينظر  فى  نوع    اخر  غيره.

Yang bermaksud :
Bidangkuasa mengikut jenis kes ialah pemerintah mengkhususkan bidangkuasa ke atas seseorang Hakim semasa perlantikan Hakim itu atau selepas perlantikan dibuat dengan menentukan bahawa Hakim itu mempunyai bidangkuasa tertentu sahaja seperti diberi bidangkuasa bagi mengendalikan undang-undang diri, undang-undang sivil, undang-undang perdagangan atau bagi undang-undang jenayah dan seumpamanya; oleh yang demikian Hakim itu hanya berbidangkuasa bagi kes-kes yang dianya diberi bidangkuasa sahaja dan Hakim itu tidak boleh melaksanakan bidangkuasa lain yang tidak diberi kepadanya.

E)               Tuntutan Plaintif Adalah Suatu Proses Penyalahgunaan Kuasa Mahkamah Kerana Menggunakan Forum Yang Salah Serta Wajar Dibatalkan Menurut Peruntukan Seksyen 244 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah  ( Terengganu ) 2001.

Seksyen 244. Kuasa Sedia Ada Mahkamah.

Tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini boleh disifatkan sebagai mengehadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mengelakkan ketakadilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah.

KESIMPULAN

Defendan ingin membangkitkan bantahan awal atas tuntutan Plaintif dengan mengemukakan beberapa alasan. Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif bertarikh 22-03-2013 adalah serta tidak mengikut prosedur kerana kes tersebut sepatutnya perlu dimulakan dan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah dan bukannya di Mahkamah Tinggi Syariah. Tambahan pula, tiada apa-apa pun tuntutan telah dibuat oleh pihak Plaintif untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi dan dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah. Lagipun. tiada apa-apa pun Perintah dari Mahkamah Tinggi Syariah telah diperolehi oleh Plaintif untuk memindahkan prosiding kes ini ke Mahkamah Tinggi Syariah sebagaimana peruntukan Seksyen 93 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah ( Terengganu ) 2001.

Prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi juga telah memprejudiskan ( “hak merayu” ) Defendan kerana Defendan hanya mempunyai prosiding Rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah sahaja yang mana kos rayuan akan membebankan Defendan berbanding dengan prosiding Rayuan di Mahkamah Tinggi Syariah ( sekiranya Defendan memfailkan Rayuan bagi kes ini ). Prosiding perbicaraan kes nafkah kebelakangan ini adalah lebih wajar dan adil dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah ( Original Jurisdiction ) manakala prosiding di Mahkamah Tinggi Syariah adalah prosiding Rayuan Nafkah kebelakangan ( sekiranya ada ). Prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah juga akan membuka ruang kepada kes-kes lain yang sama jenis untuk difailkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah kelak serta akan menyebabkan berlakunya pertindihan bidangkuasa antara kedua-dua mahkamah.


Bertarikh pada            hb                               , 2013




…………………………….………………
PEGUAM SYARIE DEFENDAN


PENGHUJAHAN BERTULIS PEGUAM SYARIE DEFENDAN ini difailkan oleh XXXXXX Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.

Sharing is caring ^_^

1 comment:

  1. terima kasih di atas contoh diatas. nak Tanya ada tak jadual or flow procedure dokumen untuk mahkamah syariah? sebab apa yang dibelajar dulu dan practice sangat lain. haha saya student chambering. terima kasih in advance

    ReplyDelete