Saturday 29 December 2012

Baby Hatch Bukan Penyelesaian Gejala Buang Bayi

Gambar Hiasan

Biro Wanita ISMA secara dasarnya amat bersetuju dengan inisiatif Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini yang dilaksanakan oleh  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta OphanCARE bagi menangani gejala pembuangan bayi yang semakin serius pada hari ini. Bayi-bayi yang dipelihara sementara itu hendaklah  diserahkan kepada ibu bapa angkat mengikut agamanya.

Walau bagaimanapun, Biro Wanita ISMA berpandangan bahawa usaha yang dilakukan oleh KPWKM menerusi Baby Hatch tersebut bukanlah penyelesaian kepada masalah yang wujud hari ini. Apa yang dilakukan itu hanyalah sebahagian daripada jawapan kepada penyakit mental golongan yang tidak waras yang sanggup membuang bayi sendiri.

Dalam hal ini,  kerajaan hendaklah mengenakan tindakan yang tegas kepada pasangan yang melakukan zina dan sanggup membuang bayi yang tidak berdosa. Hukuman sebat ke atas pasangan zina yang belum berkahwin  dan rejam kepada pasangan yang telah berkahwin seperti yang dianjurkan oleh syariat Islam adalah jawapan yang paling tegas bagi menangani isu yang tidak pernah berkesudahan ini.

Dalam waktu yang sama, usaha menyedarkan masyarakat terutama golongan remaja, belia dan pekerja kilang tentang ajaran Islam yang syumul hendaklah dilipatgandakan. Peranan ini adalah tanggungjawab bersama di antara pihak kerajaan, jabatan agama, masjid, NGO-NGO Islam, sekolah dan agensi-agensi Islam yang lain. Tanggungjawab berdakwah bukan sahaja diperintahkan kepada non-muslim sahaja, malah kepada masyarakat Islam sendiri. Masyarakat Islam adalah golongan yang lebih utama untuk para pendakwah menyampaikan Islam. Ini kerana mereka adalah golongan yang telah beragama Islam tetapi lemah kefahamannya terhadap Islam.

Peranan media massa, samada bercetak atau elektronik sebagai agen pembentukan keperibadian individu dan masyarakat juga tidak harus dikesampingkan. Kerosakan akhlak yang berlaku pada hari ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh media massa yang terlalu mempromosikan fahaman sekularisme, budaya hedonisme dan dorongan untuk hidup berfoya-foya. Justeru itu, para petugas media massa hendaklah memiliki akauntabiliti dan lebih tanggungjawab. Pada masa yang sama, para pengguna terutama ibu bapa hendaklah lebih bijaksana dalam memilih dan memantau siaran yang ditonton oleh anak-anak.

ISMA melalui berbagai-bagai agensinya sentiasa berusaha untuk membantu kerajaan menangani isu-isu sosial yang melanda masyarakat Melayu di Malaysia.  Berpegang kepada motto ‘Mencegah Lebih Baik Dari Merawat’, ISMA melalui agensi wanita, belia, remaja dan kanak-kanak cuba mendekati setiap lapisan mesyarakat dengan mengajak mereka kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. ISMA menyediakan pelbagai program pembangunan diri dan rohani bagi memastikan ahli-ahlinya dan juga masyarakat tidak terjebak ke lembah yang hina itu.

Biro Wanita ISMA

Berikut adalah petikan daripada Berita Harian Online berkenaan pelancaran Baby Hatch baru-baru ini:
Pertubuhan Kebajikan dan pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) melancarkan Baby Hatch, tempat perlindungan bayi ‘tidak dikehendaki’ ibu bapa pertama di Kampung Tunku, Petaling Jaya

KLANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara untuk mempercepatkan proses pendakwaan terhadap mereka yang disabitkan kesalahan membuang bayi dan penderaan kanak-kanak.

Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata cadangan itu antara langkah terbaik untuk memastikan mereka yang disiasat segera dibawa ke muka pengadilan untuk dihukum, sekali gus menjadi pengajaran kepada rakyat.

“Sekarang pun kementerian mendapat kerjasama polis untuk mempercepatkan siasatan,” katanya selepas merasmikan program Juara Rakyat dan Hari Keluarga Parlimen Kota Raja di sini, semalam.

Terbaru, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun dipercayai menanam mayat bayi lelaki berhampiran landasan kereta api Stesen Komuter Padang Jawa, di sini, Sabtu lalu direman empat hari, mulai kelmarin. Turut direman, kakaknya yang berusia 24 tahun kerana disyaki bersubahat.

Pada majlis berasingan di ibu negara, Shahrizat berkata, lelaki yang melarikan diri kerana enggan bertanggungjawab selepas menghamilkan wanita tidak terlepas daripada undang-undang.

“Sudah terlalu lama wanita saja dipersalahkan dalam kes hamil luar nikah dan pembuangan bayi tetapi lelaki melarikan diri. Saya memberi amaran kepada bapa ghaib ini mereka tidak akan terlepas,” katanya selepas majlis perasmian Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) serta pelancaran Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini, yang pertama di Malaysia.

Perasmian itu disempurnakan Penaung OrphanCARE yang juga Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.
Shahrizat berkata, beliau tidak menyangka Baby Hatch perlu diwujudkan di Malaysia kerana negara memiliki kerajaan yang bertanggungjawab serta rakyat penyayang.

Beliau turut menegaskan kewujudan Baby Hatch tidak bertujuan menggalakkan kes kehamilan luar nikah, sebaliknya menyelamatkan bayi dibuang ibu bapa yang tidak menghendaki mereka.

Presiden OrphanCARE, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata Baby Hatch yang beroperasi 24 jam adalah pilihan terakhir kepada bayi tidak dikehendaki yang menyediakan tempat perlindungan sihat dan selamat sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.

Beroperasi selama 24 jam, beliau berkata, sesiapa saja datang ke OrphanCARE dan meletakkan bayi di tempat yang dikhaskan.

Sumber: http://www.ismaweb.net (Ikatan Muslim Malaysia)
Rujuk: http://budakbahagia.blogspot.com

Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment