Tuesday 9 October 2012

Peguam Syarie Menulis: Elak Bincang Kes Aibkan Individu

KESIAN....org yg suka mencari keaiban & kekurangan org lain sedang kelemahan diri sendiri tak nmpk @ lbh truk lagi..renung2 kan & slmt beramal (^_^)
Peguam syarie digalak damaikan dua pihak bertelagah hormati Ramadan
(Sumber: Berita Harian. 01/08/2012)
 
Ramadan adalah madrasah kerohanian kerana pada bulan ini umat Islam bukan saja dilatih mengawal diri daripada makan dan minum, juga mengawal keinginan nafsu syahwat, menahan daripada melakukan perbuatan mungkar, memperbanyakkan membaca Al-Quran serta berzikir kepada Allah.
Sabda Rasulullah SAW: “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor.” (Riwayat al-Hakim)
Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat"
Prosiding kes di Mahkamah Syariah masih diteruskan walaupun pada Ramadan bagi mengelak berlaku penangguhan atau kelewatan menyelesaikan masalah masyarakat Islam. Namun pihak-pihak atau peguam syarie yang menguruskan kes perlu mengelak membicarakan aib pihak lawan.

 
Kes seperti pengesahan lafaz cerai, faraid, pembahagian harta sepencarian, permohonan wali hakim dan seumpamanya mungkin boleh diteruskan kerana tidak ada aib yang perlu didedahkan.

Tetapi perbicaraan bagi kes fasakh, perceraian, hadanah, nusyuz dan seumpamanya wajar ditangguhkan sehingga tamat Ramadan kerana dalam kes ini aib pihak lawan yang tidak sedap didengar perlu didedahkan untuk mendapatkan keadilan.

Rasulullah SAW pernah mengingatkan, jika mahu aib kita dilindungi Allah daripada dibuka dan dipaparkan di padang Mahsyar, maka jangan sekali-kali membuka aib orang semasa di dunia.
Sabda Baginda SAW: “Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan akhirat.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Semasa Ramadan, dugaan semakin kuat. Manusia akan menjadi cepat marah, sama ada orang yang berurusan di mahkamah, peguam syarie hatta hakim syarie.


Untuk mengekang perasaan marah semasa berselisih atau berbantah, Rasulullah SAW menyuruh umatnya mengawal lidah dengan cara diam seperti sabda Baginda: “Apabila seseorang kamu sedang marah, maka hendaklah dia diam.” (Riwayat Ahmad)


Berbicara dalam keadaan marah akan mudah dikuasai oleh emosi dan nafsu yang membawa kepada penyesalan berpanjangan. Menurut syarak, seseorang hakim dilarang mendengar sesuatu kes apabila dia tidak tenang, berkeadaan marah, lapar, haus, mengantuk, letih dan tidak sihat.


Maka perbicaraan yang panjang, membuka aib mana-mana pihak atau boleh menimbulkan kemarahan di bulan mulia ini sewajarnya dielakkan.

Pada Ramadan ini, peguam syarie disarankan lebih berperanan mendamaikan pihak-pihak yang bersengketa dengan cara sulh atau persetujuan bersama.

Allah SWT berfirman: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah a-Hujurat, ayat 10)

Kesempatan Ramadan seharusnya dimanfaatkan pihak-pihak dengan menundukkan ego masing-masing dan memaafkan satu sama lain. Perselisihan atau perseteruan mungkin timbul lantaran ada pihak melakukan perbuatan aniaya dan pihak lain merasa teraniaya.

Jika pihak yang bersalah tidak mahu meminta maaf dan pihak merasa teraniaya juga enggan memaafkannya, maka perselisihan itu akan berpanjangan. Tetapi dengan adanya kemaafan, dapat menyelesaikan perselisihan dan perseteruan.

Firman Allah SWT: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang bodoh.” (Surah al-A’raf, ayat 199)


Kemaafan juga dapat menghilangkan rasa benci, dengki, dendam, menyambung silaturahim yang putus, memperkukuhkan ukhuwah Islamiah, melahirkan sifat tawaduk, menghilangkan sombong dan angkuh, menjadikan hati tenang serta dapat menghapus dosa untuk memudahkan jalan ke syurga.

Sabda Rasulullah SAW: “Terbuka pintu syurga pada tiap hari Isnin dan Khamis, maka Allah berkenan pada hari itu untuk mengampunkan setiap orang yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu apapun, kecuali kepada orang yang masih bersengketa antaranya dengan saudaranya, maka dikatakan Allah kepada malaikat, tangguhkan kedua orang itu sehingga mereka berdamai.” (Riwayat at-Tirmidzi) 

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat emel sekretariatpgsm@yahoo.com

Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment