Journal of Malaysian and Comparative Law [2002] JMCL 1
oleh: Sridevi Thambapillay*
Gambar Hiasan |
Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) (selepas ini dirujuk sebagai Akta 611) hanya mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2002, walaupun ia telah diluluskan pada tahun 2001. Akta 611 telah memansuhkan tiga statut[1] yang lain, iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973, dan telah menggabungkan undang-undang berkenaan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak.
Artikel ini mengkaji beberapa aspek undang-undang keluarga dan membuat satu perbandingan di antara Akta 611 dan undang-undang yang sedia ada berkenaan dengan aspek tersebut, dan melihat sama ada Akta 611 telah mengukuhkan lagi undang-undang berkenaan perlindungan kanak-kanak dan dalam melindungi kepentingan-kepentingan mereka.
Takrif “Kanak-kanak”
Akta 611 telah mendefinisikan kanak-kanak dalam seksyen 2 sebagai:
a) seseorang yang di bawah umur 18 tahun; dan
b) berhubung dengan prosiding jenayah, seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan.
Oleh itu Akta 611 terpakai kepada semua kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun, selain daripada dalam sesuatu prosiding jenayah. Ini adalah selaras dengan Akta Umur Dewasa 1971[2] yang menetapkan umur dewasa sebagai 18 tahun.
Definisi kanak-kanak berbeza dari satu Akta ke Akta yang lain. Misalnya:
a) Seksyen 87 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976[3] (selepas ini dirujuk sebagai AMU) memberi takrifan kanak-kanak sebagai seseorang yang berumur di bawah 18 tahun.
b) Takrif kanak-kanak di bawah Akta Pengangkatan 19524 ialah seorang yang belum berkahwin dan di bawah umur 21 tahun.
c) Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961[5] pula membahagikan tafsiran kanak-kanak kepada dua, iaitu bagi kanak-kanak Islam, umur dewasa adalah 18 tahun, manakala bagi kanak-kanak bukan Islam, umur dewasanya adalah 21 tahun.
Walaupun berlainan di antara satu sama lain, statut-statut di atas telah dengan jelas memberikan takrif kanak-kanak. Akan tetapi, terdapat beberapa statut yang tidak memberikan takrifan kanak-kanak. Oleh sebab itu, mahkamah terpaksa memberikan definisinya sendiri apabila mendengar sesuatu kes yang berkenaan statut tersebut. Misalnya, dalam kes Kulasingam v Rasammah,[6] mahkamah dikehendaki menentukan maksud “kanak-kanak” kerana Akta yang relevan kepada kes ini, iaitu Akta Perempuan Bersuami dan Kanak-kanak (Nafkah) 1950[7] (selepas ini dirujuk sebagai “Akta 1950”) senyap. Mahkamah telah memutuskan bahawa oleh kerana Akta 1950 senyap mengenai takrif “kanak-kanak”, maka Akta Umur Dewasa 1971 terpakai.
Pemeliharaan Kanak-Kanak
Walaupun Akta 611 tidak memperuntukkan bagi hak-hak penjagaan atau pemeliharaan secara nyata, ia boleh disirat dari beberapa seksyen dalam Bahagian V. Seksyen 18 memperuntukkan bagi pengambilan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan ke dalam jagaan sementara oleh mana-mana Pelindung[8] atau pegawai polis.
Seksyen 19 memperuntukkan bahawa setiap kanak-kanak yang diambil ke dalam jagaan sementara hendaklah dibawa ke hadapan Mahkamah bagi kanak-kanak dalam masa 24 jam. Subseksyen (2) memperuntukkan bahawa jika tidak mungkin seorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dalam masa yang dinyatakan, maka kanak-kanak itu hendaklah dibawa ke hadapan seorang Majistret yang boleh mengarahkan supaya kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat selamat atau dalam pemeliharaan seseorang yang layak dan sesuai sehingga masa kanak-kanak itu dapat dibawa ke hadapan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Jika seseorang kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat selamat atau dalam pemeliharaan seorang yang layak dan sesuai, pihak tersebut hendaklah mempunyai kawalan ke atas, dan bertanggungjawab bagi penyenggaraan kanak-kanak itu sama seperti ibu atau bapa kanak-kanak itu (seksyen 19(3)(a) ). Selanjutnya, subseksyen (3) memperuntukkan bahawa kanak-kanak itu hendaklah terus berada dalam pemeliharaan orang yang disebut dalam perenggan (a) walaupun kanak-kanak itu dituntut oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau mana-mana orang lain. Soalan yang timbul selepas mengkaji seksyen 19(3) ialah sama ada seksyen 19(3)(a) dan (b) menyebabkan kehilangan hak-hak penjagaan dan pemeliharaan seorang ibubapa atau penjaga ke atas seorang kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan penjagaan?
Menurut seksyen 30 (1) apabila seorang kanak-kanak dibawa ke hadapan Mahkamah bagi Kanak-Kanak di bawah seksyen 19 atau 25, mahkamah boleh:
a) memerintahkan supaya ibu atau bapa atau penjaganya menyempurnakan bon untuk menjalankan pemeliharaan dan penjagaan yang sepatutnya selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
b) membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam jagaan seorang yang layak dan sesuai selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu;
c) tanpa membuat apa-apa perintah lain atau sebagai tambahan kepada perintah yang dibuat di bawah perenggan (a) atau (b), membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu di bawah pengawasan seorang Pelindung atau seorang lain yang dilantik bagi maksud itu oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah tersebut;
d) membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu di satu tempat selamat selama tempoh tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek; atau
e) dalam hal seorang kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga atau yang telah terbuang, membuat satu perintah meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seorang ibu atau bapa peliharaan yang didapati sesuai oleh Ketua Pengarah selama tempoh 2 tahun atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek, dan sementara menantikan itu, meletakkan kanak-kanak itu di suatu tempat selamat.
Jika satu perintah dibuat di bawah perenggan (e), Ketua Pengarah hendaklah dengan serta-merta berusaha untuk meletakkan kanak-kanak itu dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seseorang ibu atau bapa peliharaan (seksyen 30(2)).
Perenggan-perenggan seksyen 30(1) yang akan dibincangkan di sini adalah (b), (d) dan (e).
Perenggan (b)
Perenggan (b), seperti yang dinyatakan di atas, memberi kuasa kepada mahkamah untuk meletakkan kanak-kanak itu di dalam jagaan seorang yang layak dan sesuai selama satu tempoh yang dinyatakan oleh Mahkamah. Oleh itu, ia adalah terpulang kepada mahkamah untuk menetapkan tempoh selama mana kanak-kanak itu akan berada dalam jagaan “seorang yang layak dan sesuai”. Soalan yang timbul adalah adakah ibu atau bapa atau penjaga hilang hak jagaan dan pemeliharaan mereka apabila perintah tersebut dibuat?
Perenggan (d)
Perenggan (d) memperuntukkan bahawa kanak-kanak itu akan diletakkan di satu tempat selamat selama tiga tahun dari tarikh perintah itu atau sehingga dia mencapai umur 18 tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek. Isu yang berbangkit sekali lagi adalah sama ada ibu atau bapa atau penjaga hilang hak penjagaan dan pemeliharaan semasa tempoh tiga tahun ini?
Rujukan boleh dibuat kepada seksyen 10 Akta Penjagaan Kanak-Kanak,[9] yang memberi kuasa kepada mahkamah atau hakim untuk batalkan hak jagaan yang diberi kepada seorang penjaga, sama ada beliau ialah ibu atau bapa atau mana-mana orang lain, dan boleh melantik dari masa ke semasa, seorang lain untuk menjadi penjaga kanak-kanak tersebut. Oleh itu seksyen ini dengan jelas memperuntukkan bahawa mahkamah boleh membatalkan hak jagaan seorang penjaga dan melantik seorang lain. Walau bagaimanapun, Akta ini tidak secara nyata memberikan alasan-alasan bagi pembatalan hak jagaan. Jika seksyen 10 Akta ini dibandingkan dengan seksyen 30(1)(b) Akta 611, Akta 611 hanya memberi kuasa kepada mahkamah untuk meletakkan kanak-kanak itu di dalam pemeliharaan seseorang lain, tanpa menyatakan sama ada ibu atau bapa atau penjaga akan hilang hak penjagaan dan pemeliharaan mereka. Bagi menjawab soalan di atas, kita mestilah menunggu sehingga sesuatu kes dibawa ke hadapan mahkamah di mana mahkamah dikehendaki memberi tafsiran kepada seksyen 30(1) berkenaan hak jagaan dan pemeliharaan.[10]
Perenggan (e)
Seksyen 30(1)(e) memperuntukkan bahawa mahkamah boleh meletakkan seorang kanak-kanak yang dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya, dalam pemeliharaan, jagaan dan kawalan seorang ibu atau bapa peliharaan bagi dua tahun atau sehingga kanak-kanak itu mencapai umur lapan belas tahun, mengikut mana-mana yang lebih pendek. Dalam keadaan tersebut, Akta 611 secara nyata memperuntukkan dalam seksyen 30(4) bahawa ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu masih boleh menuntut kanak-kanak tersebut. Dengan itu, bolehlah disimpulkan bahawa ibu atau bapa atau penjaga tidak hilang hak jagaan atau pemeliharaan mereka. Jika tiada apa-apa tuntutan dibuat, mahkamah boleh membuat satu perintah menyerahkan kanak-kanak itu diangkat oleh ibu atau bapa peliharaan itu atau mana-mana orang yang berhasrat untuk mengangkat kanak-kanak itu (selepas memenuhi syarat-syarat di bawah seksyen 30(4)(a) dan (b) dan mengenepikan persetujuan dari ibu atau bapa atau penjaga bagi pengangkatan tersebut.
Salah satu seksyen dalam Akta Penjagaan Kanak-Kanak yang sama dengan seksyen 30(1)(e) Akta 611 ialah seksyen 8A(1) yang memperuntukkan bahawa jika seorang kanak-kanak telah dibuang oleh ibu atau bapa atau penjaganya atau tidak mempunyai ibu atau bapa atau penjaga, dan tiada mana-mana orang lain yang sesuai yang sanggup dan boleh memelihara kanak-kanak itu, mahkamah:
a) boleh melantik seorang Pelindung untuk menjadi penjaga sementara bagi tubuh badan dan harta kanak-kanak itu sehingga seorang penjaga boleh dilantik;
b) akan menentukan kuasa-kuasa dan tugas-tugas Pelindung sebagai seorang penjaga sementara berkenaan tubuh badan dan harta kanak-kanak itu; dan
c) boleh meletakkan apa-apa terma dan syarat, dengan mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak, sepertimana yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.
Subseksyen (2) memperuntukkan bahawa subseksyen (1) akan terpakai sama ada kanak-kanak itu diletakkan di satu tempat yang selamat atau di bawah perlindungan, jagaan dan pemeliharaan seorang ibu bapa peliharaan, berkenaan dengan mana-mana undang-undang mengenai perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak.
Oleh sebab rangkaikata “berkenaan dengan mana-mana undang-undang mengenai perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak” yang diperuntukkan di atas akan meliputi Akta 611 kini, maka seksyen 8A Akta Penjagaan Kanak-Kanak akan terpakai sebagai tambahan kepada seksyen 30 (1)(e) Akta 611.
Seksyen 30(5) Akta 611 memperuntukkan bahawa dalam menentukan perintah yang perlu dibuat, mahkamah hendaklah memberi pertimbangan utama kepada kepentingan kanak-kanak itu. Isu yang timbul seterusnya ialah apakah kriteria yang menentukan “kepentingan kanak-kanak itu”? Jawapan kepada soalan ini mungkin boleh dilihat dalam seksyen 30(6)(a) yang menyenaraikan perkara-perkara yang akan dikaji oleh mahkamah dalam menentukan kepentingan kanak-kanak, iaitu latar belakang keluarga, kelakuan secara am, suasana di rumah, rekod sekolah dan riwayat perubatan seorang kanak-kanak. Akta Penjagaan Kanak-Kanak mempunyai satu peruntukan yang seakan-akan sama, iaitu seksyen 11. Seksyen 11 menyatakan bahawa mahkamah memberi pertimbangan utama kepada kebajikan kanak-kanak. Seksyen ini dibincangkan secara detail dalam kes Re Satpal Singh, An Infant,[11] di mana bapa kanak-kanak memohon bagi pemeliharaan. Hakim Buttrose J. menyatakan bahawa mahkamah mestilah mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak itu secara keseluruhan. Ia tidak terhad kepada soalan sama ada kanak-kanak itu lebih bahagia di satu tempat berbanding dengan tempat yang lain. “Kebajikan” bermaksud kebajikan fizikal serta kebajikan moral.
Seksyen 30(5) dan (6) Akta 611 juga boleh dibandingkan dengan seksyen 88(2) AMU[12] yang memperuntukkan bahawa dalam menentukan isu pemeliharaan seorang kanak-kanak, mahkamah akan mempertimbangkan kebajikan kanak-kanak sebagai pertimbangan utama. Isu ini dibincangkan dalam kes Loura Dorris a/p Laurence v Thuraisingam a/l James.[13] Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa walaupun “kepentingan kanak-kanak” bergantung kepada banyak faktor, beberapa faktor tersebut termasuk:
a) umur, gender, kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak itu;
b) kesihatan fizikal dan mental ibubapa;
c) gaya kehidupan dan faktor-faktor sosial lain ibubapa;
d) kasih sayang dan ikatan emosi di antara ibubapa dan anak, dengan kebolehan ibubapa memberi kanak-kanak itu bimbingan;
e) kemampuan ibubapa untuk membekalkan kanak-kanak itu dengan makanan, perlindungan, pakaian dan rawatan perubatan;
f) cara kehidupan kanak-kanak;
g) kualiti sekolah, yang menjadi faktor penting jika salah seorang ibubapa ingin berpindah; dan
h) kemampuan dan kesanggupan ibu atau bapa untuk memupuk komunikasi dan perhubungan yang baik di antara kanak-kanak itu dan bapa atau ibu yang satu lagi.
Pengangkatan
Isu seterusnya yang akan dibincang ialah peruntukan-peruntukan mengenai “pengangkatan seorang kanak-kanak” di bawah Akta 611. Jika satu perbandingan dibuat di antara Akta 611 dan Akta Pengangkatan:
a) seperti yang dinyatakan di atas, Akta 611 membenarkan Mahkamah bagi Kanak-Kanak untuk membuat satu perintah menyerahkan kanak-kanak itu untuk diangkat oleh ibu atau bapa peliharaan atau mana-mana orang yang berhasrat untuk mengangkat kanak-kanak itu, jika ibu atau bapa atau penjaga tidak menuntut kanak-kanak tersebut. Seksyen 30(1)(e) dan (4) memperuntukkan bahawa dalam membuat perintah tersebut, jika mahkamah puas hati bahawa Pelindung telah mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk mengesan ibu atau bapa atau penjaga kanak-kanak itu, ia boleh mengenepikan persetujuan (yang secara amnya diperlukan) dari ibu atau bapa atau penjaga bagi pengangkatan. Ini adalah sekan-akan sama dengan peruntukan berkenaan persetujuan bagi pengangkatan dalam seksyen 5(1)(a) dan (c) Akta Pengangkatan yang memperuntukkan:-
“... mahkamah boleh mengetepikan keperluan persetujuan yang dikehendaki di bawah seksyen ini dalam salah satu keadaan berikut:
(a) dalam kes seorang ibubapa atau penjaga kanak-kanak, bahawa dia telah meninggalkan kanak-kanak itu, membiarkannya atau berterusan melayaninya dengan buruk;
(b) ...
(c) ... bahawa orang yang persetujuannya diperlukan tidak boleh dikesan atau tidak mampu memberi persetujuannya.”
Isu pengenepian persetujuan ibubapa atau penjaga telah dibangkitkan dalam kes TPC v ABU.[14] Mahkamah telah memutuskan bahawa beban untuk membuktikan bahawa persetujuan harus diketepikan terletak pada pengangkat yang dicadangkan. Apabila dihujah bahawa ibu kandung tidak dapat dikesan, mahkamah mesti memastikan bahawa segala langkah-langkah munasabah untuk mengesannya telah diambil[15].
b) Seksyen 30(6) Akta 611 memperuntukkan bahawa sebelum mahkamah membuat satu perintah menyerahkan kanak-kanak itu untuk pengangkatan, ia patut menimbangkan dan mengambil kira apa-apa laporan yang disediakan oleh Pelindung yang hendaklah mengandungi apa-apa maklumat tentang latarbelakang keluarga, kelakuan secara am, suasana di rumah, rekod sekolah dan riwayat perubatan seseorang kanak-kanak dan boleh memasukkan apa-apa laporan bertulis seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat, pengamal perubatan berdaftar atau mana-mana orang lain yang difikirkan layak oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak. Dengan itu bolehlah dilihat dengan jelas bahawa seorang Pelindung bertanggungjawab untuk menyiasat butir-butir mengenai latarbelakang kanak-kanak itu, menyediakan satu laporan dan menyerahkannya kepada mahkamah.
Tugas Pelindung di sini adalah serupa dengan tugas seorang guardian ad litem[16] di bawah seksyen 13(1) Akta Pengangkatan. Seorang guardian ad litem bertanggungjawab untuk menyiasat selengkap yang mungkin semua keadaan kanak-kanak dan pemohon dan semua perkara lain yang relevan kepada pengangkatan yang dicadangkan, supaya menjaga kepentingan kanak-kanak tersebut.
c) Seksyen 48(1) Akta 611 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang mengambil bahagian dalam apa-apa transaksi yang tujuannya atau salah satu daripada tujuannya adalah untuk memindahkan atau memberikan, keseluruhannya atau sebahagiannya, buat sementara atau tetap, milikan, jagaan atau kawalan seorang kanak-kanak bagi apa-apa balasan berharga melakukan satu kesalahan. Walaubagaimanapun subseksyen (4) memperuntukkan bahawa hendaklah menjadi satu pembelaan jika dibuktikan bahawa pemindahan berlaku dengan tujuan atau menurut satu pengangkatan bona fide dan sekurang-kurangnya seorang daripada ibu atau bapa sebenar kanak-kanak itu atau penjaga kanak-kanak itu ialah pihak yang mengizinkan pengangkatan itu oleh pihak pengangkat itu. Isu yang timbul di sini ialah, jika pemindahan kanak-kanak itu berlaku dengan tujuan atau menurut satu pengangkatan bona fide, maka adakah pemberian apa-apa balasan berharga bagi pengangkatan tersebut juga dibenarkan?
Seksyen 48(4) senyap mengenai isu”balasan berharga” dalam kes pengangkatan bona fide. Hujah yang mungkin boleh dibangkitkan di sini ialah bahawa jika pemindahan ialah bagi satu pengangkatan bona fide, maka pihak yang memindah kanak-kanak itu tidak patut dibenarkan menerima apa-apa balasan berharga. Rujukan dibuat kepada seksyen 6 Akta Pengangkatan untuk menyokong hujah ini. Seksyen 6 memperuntukkan bahawa sebelum mahkamah membuat satu perintah pengangkatan, ia patut berpuas hati tentang beberapa faktor. Salah satu faktor adalah bahawa ibubapa serta pemohon dan penjaga mestilah telah tidak menerima atau bersetuju untuk menerima apa-apa bayaran atau hadiah sebagai balasan pengangkatan. Tiada siapa pun boleh memberi atau membuat atau bersetuju untuk membuat atau memberi kepada pemohon atau ibubapa atau penjaga mana-mana bayaran atau hadiah sebagai balasan pengangkatan. Kesemua ini dibolehkan hanya sekiranya mahkamah memberi keizinan.
Isu di atas telah dibangkitkan dalam kes Re Sim Thong Lai[17]. Isu dalam kes ini ialah sama ada pemberian wang sebanyak $200, beberapa ela kain dan dua botol wain merupakan hadiah dalam pengertian seksyen 6 Akta Pengangkatan. Keterangan pakar telah diperoleh untuk menunjukkan bahawa pemberian seperti ini biasa diadakan dan merupakan “ginger and cake money” dalam adat Cina untuk membayar ibu kerana melahirkan anak untuk membantunya membayar bil-bil bersalin dan makanan yang perlu selepas bersalin. Hakim Taylor mendapati pemberian tersebut tidak dimaksudkan oleh seksyen 6. Walaupun begitu, beliau menyarankan agar mahkamah patut berjaga-jaga sekiranya jumlah wang adalah besar.
Nafkah
Akta 611 memperuntukkan penalti bagi ibubapa atau penjaga atau mana-mana orang yang mempunyai peliharaan kanak-kanak jika dia gagal menyara kanak-kanak itu dengan baik. Maka, ini menekankan kepentingan menyara seorang kanak-kanak.
Peruntukan-peruntukan yang relevan boleh didapati dalam Bahagian V, Bab 3 Akta 611. Seksyen 31(1) (a) memperuntukkan, inter alia, bahawa mana-mana orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak yang mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkannya atau membenarkannya diabaikan melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM 20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Rangkaikata “mengabaikan seorang kanak-kanak” dijelaskan dalam seksyen 31(4), yang memperuntukkan bahawa seseorang ibu atau bapa atau penjaga atau orang lain yang bertanggungan di sisi undang-undang untuk menyara seorang kanak-kanak hendaklah disifatkan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi jika, sungguhpun dia berupaya mengadakan makanan, pakaian, rawatan perubatan atau pergigian, penginapan atau pemeliharaan yang mencukupi bagi kanak-kanak itu, dia tidak berbuat demikian. Ini dengan terangnya menjelaskan situasi-situasi di mana seorang ibu atau bapa atau penjaga atau orang lain yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak telah mengabaikan tanggungannya untuk menyara kanak-kanak itu.
Peruntukan di atas boleh dibandingkan dengan undang-undang lain berkenaan nafkah. Misalnya, rujukan boleh dibuat kepada seksyen 3(1) Akta 1950. Seksyen ini memperuntukkan bahawa jika mana-mana orang telah membiarkan atau enggan memberi nafkah kepada anak sah tarafnya yang tidak boleh menanggung kehidupannya sendiri, mahkamah boleh memerintahkan dia untuk membayar elaun bulanan bagi nafkah anaknya dalam kadar yang bersesuaian dengan kemampuannya, atau yang mahkamah anggap munasabah. Subseksyen (2) melanjutkan tugas ini kepada seorang anak tak sah taraf juga. Apabila seksyen 3(1) Akta 1950 dibandingkan dengan seksyen 31 Akta 611, bolehlah dilihat bahawa seksyen 31 menerangkan dengan jelas maksud “mengabaikan seorang kanak-kanak”, manakala seksyen 3(1) tidak berbuat sedemikian. Satu lagi perbezaan yang boleh dilihat ialah bahawa Akta 1950 tidak memberi definisi “kanak-kanak” (Kulasingam v Rasammah) manakala Akta 611 memberi definisi.
Kedua, perbandingan juga boleh dibuat di antara seksyen 31 Akta 611 dan seksyen 92 AMU. Menurut seksyen 92, ia merupakan kewajipan seseorang ibubapa untuk menanggung atau memberi sumbangan terhadap nafkah anak-anaknya, sama ada anak-anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka sesuatu tempat tinggal, pakaian, makanan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandangkan kemampuannya dan kedudukannya dalam kehidupan atau dengan membayar kos untuk perkara-perkara tersebut tadi. Peruntukan ini boleh dikatakan sama seperti seksyen 31(4) Akta 611 kerana ia juga memperuntukkan situasi-situasi di mana tugas tersebut timbul.
Faktor seterusnya yang akan dibincang adalah peruntukan-peruntukan tentang penalti bagi kegagalan untuk mematuhi tanggungan untuk membayar nafkah. Seperti yang dinyatakan di atas, seksyen 31(1) Akta 611 memperuntukkan penalti sebagai sama ada satu denda tidak melebihi RM 20,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada 10 tahun atau kedua-duanya. Seksyen 31(2) memperuntukkan bahawa Mahkamah hendaklah sebagai tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1) memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas satu kesalahan menyempurnakan satu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh yang difikirkan patut oleh mahkamah.
Jika seorang yang diperintahkan supaya menyempurnakan satu bon seperti di atas tidak mematuhi mana-mana syarat bon itu, dia boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM 10,000 atau dipenjarakan selanjutnya selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Seksyen 31(5) seterusnya memperuntukkan bahawa seseorang boleh disabitkan atas satu kesalahan terhadap seksyen ini walaupun penderitaan atau kecederaan kepada kesihatan kanak-kanak yang berkenaan atau kemungkinan penderitaan atau kecederaan kepada kesihatan kanak-kanak yang berkenaan telah dielakkan melalui tindakan orang lain atau kanak-kanak yang berkenaan telah mati. Ini menunjukkan betapa seriusnya kesalahan ini kerana walaupun penderitaan atau kecederaan tersebut telahpun dielakkan oleh orang lain, mahkamah masih boleh menyabitkan pihak yang mempunyai pemeliharaan kanak-kanak itu.
Menurut Akta 1950, seksyen 4 memperuntukkan bahawa jika seseorang dengan sengaja cuai mematuhi perintah yang dikeluarkan di bawah Akta 1950 ini, mahkamah yang telah membuat perintah itu boleh untuk tiap-tiap pelanggaran mengarahkan, melalui waran, supaya jumlah yang perlu dibayar dikehendaki dibayar seperti satu denda. Mahkamah juga boleh menghukumnya penjara untuk tempoh sehingga sebulan untuk tiap-tiap bulan nafkah belum dibayar.
Seksyen 4 dibangkitkan dalam kes Yap Ki Swee v Phua Thiam Lai[18] di mana responden (si suami) telah tidak membayar nafkah selama tiga bulan. Si isteri memohon kepada mahkamah supaya menghukum penjara ke atas suaminya di bawah seksyen 4. Mengikut Hakim Syed Othman:-
“The court before issuing a distress or commitment warrant must be satisfied that the person complained against has wilfully neglected to comply with a maintenance order. There must be a hearing or inquiry in the presence of the husband. It should be observed that the section empowers the court to pass the sentence of imprisonment which may extend to a month. I cannot see how proper sentence could be assessed merely on the complaint of non-compliance of the maintenance order, without the husband being present in the court. It must be in the contemplation of the legislature that the husband must be present before the sentence can be passed.”[19]
Oleh itu, mahkamah tidak membenarkan permohonannya kerana berpendapat bahawa suami patut diberi peluang membayar jumlah yang tertinggal.
Walaubagaimanapun, AMU tidak mempunyai peruntukan bagi penalti seperti di atas. Bolehlah dihujahkan di sini bahawa walaupun AMU adalah senyap tentang perkara ini, ia akan terjumlah kepada satu penghinaan mahkamah jika satu perintah nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah tidak dipatuhi.
Mahkamah Bagi Kanak-Kanak
Akta 611 telah mewujudkan satu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang akan mendengar perkara-perkara yang timbul dari peruntukan-peruntukan Akta ini. Definisi “Mahkamah Bagi Kanak-Kanak” di dalam seksyen 2 tidak lengkap kerana ia hanya memperuntukkan:-
“Mahkamah Bagi Kanak-Kanak” ertinya Mahkamah Bagi Kanak-Kanak yang ditubuhkan di bawah seksyen 11.”
Oleh itu rujukan patut dibuat kepada seksyen 11 yang memperuntukkan seperti berikut:-
“Mahkamah yang ditubuhkan mengikut Akta ini dan bersidang bagi maksud-
(a) mendengar, memutuskan atau membereskan apa-apa pertuduhan terhadap seorang kanak-kanak; atau
(b) menjalankan apa-apa bidangkuasa lain yang diberikan atau yang akan diberikan kepada Mahkamah Bagi Kanak-Kanak oleh atau di bawah Akta ini atau oleh mana-mana undang-undang bertulis yang lain, hendaklah dikenali sebagai “Mahkamah Bagi Kanak-Kanak”.
Isu yang timbul adalah berkenaan perenggan (b) yang menyatakan, inter alia, bahawa mahkamah ini boleh menjalankan apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain. Soalnya ialah sama ada Parlimen akan meminda undang-undang bertulis berkenaan kanak-kanak, bagi memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah ini untuk mendengar perkara-perkara yang timbul dari perundangan tersebut. Hujah yang boleh diutarakan di sini adalah bahawa mahkamah ini patut diberi bidang kuasa untuk mendengar semua perkara-perkara undang-undang keluarga berkenaan kanak-kanak, sama ada ia jatuh di bawah Akta 611 atau mana-mana undang-undang bertulis lain, kerana suasana di dalam Mahkamah ini adalah lebih sesuai bagi seorang kanak-kanak. Ini boleh dilihat dalam seksyen 12 yang memperuntukkan:-
“(1) Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah, jika dapat dilaksanakan, bersidang-
(a) sama ada di dalam satu bangunan atau bilik yang berlainan daripada bangunan atau bilik di mana persidangan Mahkamah-Mahkamah selain Mahkamah Bagi Kanak-Kanak diadakan; atau
(b) pada hari-hari yang berlainan daripada hari-hari persidangan Mahkamah-Mahkamah yang lain itu diadakan.
(2) Jika sesuatu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bersidang di dalam bangunan yang sama dengan Mahkamah-Mahkamah yang lain, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah mempunyai pintu masuk dan pintu keluar yang berlainan daripada pintu masuk dan pintu keluar Mahkamah-Mahkamah yang lain itu untuk membolehkan kanak-kanak dibawa ke dan dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu tanpa gangguan.
(3) Tiada seorang pun boleh hadir dalam mana-mana persidangan Mahkamah Bagi Kanak-Kanak kecuali-
(a) anggota dan pegawai Mahkamah itu;
(b) kanak-kanak yang menjadi pihak dalam kes di hadapan Mahkamah itu, ibu dan bapa, penjaga, peguam bela dan saksi mereka; dan orang lain yang ada kena-mengena secara langsung dengan kes itu; dan
(c) mana-mana orang lain yang bertanggungjawab sebagaimana yang ditentukan oleh Mahkamah itu.”
Apabila membaca peruntukan di atas, adalah jelas bahawa penggubal telah berhati-hati semasa menggubalnya. Mereka telah mengambil kira (dalam subseksyen(1)) fakta bahawa jika perkara-perkara berkenaan kanak-kanak didengar di bilik mahkamah yang sama dengan orang-orang dewasa, ini pasti akan menjejaskan emosi dan psikologi kanak-kanak itu. Subseksyen (2) seterusnya menyatakan bahawa jika sesuatu Mahkamah Bagi Kanak-Kanak bersidang di dalam bangunan yang sama dengan Mahkamah-Mahkamah yang lain, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu hendaklah mempunyai pintu masuk dan pintu keluar yang berlainan untuk membolehkan kanak-kanak dibawa ke dan dari Mahkamah bagi Kanak-Kanak itu tanpa gangguan. Oleh itu subseksyen ini memastikan bahawa kanak-kanak itu diberi perlindungan apabila dibawa ke dan dari Mahkamah Bagi Kanak-Kanak itu.
Selanjutnya, seksyen 11(2) Akta 611 memperuntukkan bahawa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak hendaklah terdiri daripada seorang Majistret yang hendaklah dibantu oleh dua orang penasihat yang dilantik oleh Menteri dari suatu panel orang yang bermastautin di Negeri itu. Subseksyen (3) menyatakan bahawa seorang daripada dua orang penasihat yang disebut dalam subseksyen (2) hendaklah seorang wanita. Ini adalah mungkin kerana seorang wanita berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memahami emosi dan perasaan seorang kanak-kanak. Oleh sebab itu, dengan mengambil kira faktor-faktor di atas, adalah ditekankan sekali lagi bahawa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak patut diberi bidang kuasa untuk mendengar segala kes-kes undang-undang keluarga berkenaan kanak-kanak, kerana hakim-hakim tersebut akan merupakan pihak-pihak yang fasih dalam undang-undang berkenaan kanak-kanak.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, peruntukan-peruntukan Akta Kanak-Kanak telah, dalam prinsip, mengukuhkan lagi undang-undang berkenaan perlindungan kanak-kanak dan dalam melindungi kepentingan-kepentingan mereka. Akta 611 juga boleh dikatakan telah memenuhi “lacuna” yang wujud di dalam perundangan lain berkenaan undang-undang keluarga. Walaubagaimana pun, segala-galanya terletak kepada badan kehakiman untuk mentafsir dan memberi kesan kepada peruntukan-peruntukan Akta 611.
[*]Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya
Seksyen 130.
[2]Akta 21.
[3]Akta 164.
[4]Akta 257, disemak 1981.
[5]Akta 351, disemak 1988.
[6][1981] 2 MLJ 36.
[7]Akta 263.
[8]“Pelindung” didefinisikan dalam Seksyen 2 sebagai:
(a) Ketua Pengarah;
(b) Timbalan Ketua Pengarah;
(c) seorang Pengarah Bahagian bagi Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat;
(d) Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri bagi setiap Negeri;
(e) mana-mana Pegawai Kebajikan Masyarakat yang dilantik di bawah seksyen 8.
[9]Supra n.5.
[10]Rujuk juga seksyen 30(8) di mana seorang ibu atau bapa atau penjaga masih dibenarkan untuk melawat kanak-kanak tersebut.
[11][1958] MLJ 283.
[12]Supra n. 3.
[13][1995] 2 MLJ 229.
[14][1983] 2 MLJ 79.
[15]Ibid, pada m.s 84.
[16] Seorang “guardian ad litem“ dilantik oleh Mahkamah di bawah seksyen 12(1) Akta Pengangkatan apabila satu permohonan bagi pengangkatan dibuat di Mahkamah.
[18][1975] 1 MLJ 139.
[19] Ibid di m.s. 40.
0 comments:
Post a Comment