Friday, 12 October 2012

Syor Gubal Akta Lindung Ibu Bapa


Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta meneliti cadangan menggubal akta bagi melindungi kepentingan dan kebajikan ibu bapa berikutan segelintir mereka yang sudah berkerjaya mengabaikan ibu bapa masing-masing.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah berkata, sejak Biro Pengaduan Awam (BPA) diwujudkan tiga tahun lalu, banyak aduan diterima daripada ibu bapa terutama warga emas yang memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kehidupan mereka selepas diabaikan anak.

Menurutnya, aduan berkenaan semakin meningkat. Lebih menyedihkan, ada antara ibu bapa ini hidup dalam kesusahan sedangkan anak mereka mempunyai pekerjaan yang baik dan stabil.


“Bukan kita tidak mahu membantu, tetapi anak-anak terutama yang mampu, sewajarnya memperuntukkan sedikit wang untuk ibu bapa dengan mengambil kira pengorbanan sepanjang membesarkan mereka.

“Tidak dinafikan bukan semua anak-anak mengabaikan ibu bapa. Mungkin mereka yang gagal berbuat demikian kerana sebab tertentu tetapi tidak ada salahnya jika kita memperuntukkan sejumlah wang seperti RM100 sebulan, kerana kebanyakan ibu bapa tidak dapat bekerja disebabkan faktor usia dan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya yang ditemui ketika Sesi Biro Pengaduan Awam (BPA) Bertemu Masyarakat di Netaji Hall, semalam.

Kira-kira 300 orang hadir dalam sesi pertemuan BPA yang diadakan setiap Selasa bermula jam 9 pagi hingga 5 petang bertujuan mendengar permasalahan dihadapi rakyat.


Mengulas lanjut mengenai akta itu, Murugiah mencadangkan akta itu mungkin boleh dikenali sebagai Akta Perlindungan Ibu Bapa (Nafkah) yang mewajibkan anak berumur 21 tahun ke atas yang sudah bekerja, membayar nafkah kepada ibu bapa mereka sehingga meninggal dunia sebagai salah satu cara meringankan beban.

Beliau berkata, akta seumpama itu perlu digubal bagi melindungi kepentingan golongan berkenaan memandangkan kerajaan membelanjakan jumlah yang besar untuk tujuan itu sedangkan bantuan kebajikan diwujudkan khusus untuk warga emas tidak mempunyai anak atau orang kurang upaya (OKU).

Dalam usaha menjadi negara maju menjelang 2020, katanya, Malaysia tidak mahu dikenali sebagai sebuah negara kebajikan yang sentiasa memberi bantuan kepada rakyatnya dan disebabkan demikian, satu tindakan perlu diambil untuk menangani perkara ini.
Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment