Saturday, 13 April 2013

Prosedur Tangkapan Khalwat Dan Pendakwaannya Di Wilayah Persekutuan




ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk menganalisa prosedur tangkapan khalwat dan pendakwaannya di mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Kajian ini melibatkan aspek-aspek penting seperti tatacara penerimaan maklumat, tatacara menjalankan siasatan, tatacara berkaitan penyediaan kertas siasatan, penyediaan laporan kes, tatacara pengedalian barang yang disita dan lain-lain lagi. Di bahagian pendakwaan pula, pengkaji telah mengemukakan peruntukan undang-undang mengenai khalwat, pra perbicaraan, perbicaraan, beban pembuktian, pelaksanaan hukuman menurut peruntukkan undang-undang dan sebagainya. Metodologi kajian yang digunakan oleh pengkaji ialah pada peringkat awalnya, pengkaji menggunakan kaedah kajian perpustakaan (library research) dan seterusnya kajian berbentuk lapangan (fieldwork research). Daripada kajian yang dibuat, pengkaji telah mendapati terdapat prosedur yang lengkap telah dikuatkuasakan bagi kesalahan jenayah khalwat ini. Pihak pendakwa hendaklah mengemukakan bukti yang kukuh bagi mensabitkan tertuduh bagi kesalahan khalwat. Jika terdapat sebarang keraguan, mahkamah boleh membebaskan tertuduh tanpa sebarang hukuman.

BAB II

KONSEP KHALWAT

2.1 PENGENALAN


Islam merupakan agama yang lengkap dan sempurna di dalam mengatur hidup manusia. Justeru itu, Islam sentiasa menyeru umatnya supaya mengamalkan pergaulan antara sesama manusia sama ada bersifat peribadi atau berbentuk persatuan. Ini dapat difahami daripada firman Allah s.w.t:

Maksudnya:
Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi amat mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Walaupun Islam menggalakkan umatnya agar saling kenal-mengenali dan bergaul mesra antara satu sama lain, namun ia telah menggariskan batas-batas mengenainya. Sabda Rasulullah s.a.w :

لا ينظر الرجل الى عورة الرجل
ولا تنظر المراة الى عورة المرأة

Terjemahannya:
Seseorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain dan begitu juga seseorang perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan lain.

Pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita adalah masalah sosial yang berleluasa di dalam masyarakat hari ini. Tanpa disedari, gejala yang diresapkan oleh pihak barat ini telah menjadi faktor utama keruntuhan moral muda-mudi. Faktor ini juga merupakan di antara punca berlakunya pelbagai perkara yang tidak diingini termasuklah khalwat dan zina. Masalah sosial seperti ini tidak akan berleluasa sekiranya masyarakat dididik dengan nilai-nilai norma yang berteraskan Islam. Agama Islam telah menggariskan batasan dan had yang tertentu di dalam komunikasi dan sosialisasi kehidupan di antara lelaki dan wanita.

Islam sebagai ad-din yang suci, memandangkan setiap permasalahan ini maka telah ditetapkan had atau pun batasan aurat yang diharuskan sesama manusia yang melibatkan lelaki dengan wanita, wanita dengan wanita, lelaki dengan lelaki dan wanita dengan lelaki.

2.2 DEFINISI KHALWAT DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH

2.2.1 Khalwat Dari Segi Bahasa


Dari segi bahasa, khalwat berasal dari perkataan arab “خلا”, “خلوا”, yang membawa maksud berseorang-seorangan, kosong, bersih, sesuatu yang lepas dan lain-lain lagi. Antara maksud kosong seperti yang dinyatakan oleh penyair:

يا لك من قنبرة بحجر
حلالك الجر قبيضى فا ء صغرى

Wahai burung tekukur di hijr yang lemah, suasana di sini kosong (tenang) bagi kamu, maka bertelurlah dan bergembiralah.

خلا” juga membawa maksud bersama atau berkumpul. Sepertimana firman Allah:

Maksudnya:
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: “kami telah beriman”. dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula: “Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)”.

خلا” juga bermaksud terhindar sepertimana kata penyair:

افعل كذا و خلا لك ذم

Bermaksud:
Lakukanlah demikian, nescaya akan terhindar diri kamu dari sebarang celaan.

Ahli Sufi mentakrifkan khalwat sebagai pengasingan diri ataupun uzlah. Ada pula di kalangan mereka memberikan pengertian pengasingan diri sebagai meninggalkan pergaulan dengan manusia. Ianya juga ditakrifkan sebagai tempat untuk bersendirian. Wujudnya perkataan khalwat ini ketika baginda Rasulullah s.a.w mengasingkan diri untuk memikirkan keadaan masyarakat yang berada di dalam keadaan jahilliyyah. Dari sini bermulanya pembentukan aqidah Islam di Mekah. Perlakuan Rasulullah mengasingkan diri dengan berzikir mengingati Allah s.w.t adalah khalwat. Khalwat seperti ini tidak akan menimbulkan nafsu syahwat.

2.2.2 Khalwat Dari Segi Istilah

2.2.2.1 Istilah Khalwat Menurut Hukum Islam


Istilah khalwat menurut hukum Islam terdapat di dalam kitab-kitab fiqh dan hadis -hadis Rasulullah. Pelbagai bentuk pengertian mengenai khalwat dan berbeza dengan pengertian yang diperuntukkan oleh undang-undang. Enakmen ataupun undang-undang negeri di Malaysia merujuk kepada perbuatan bersekedudukan dengan mana-mana pasangan yang bukan isteri atau muhrimnya. Manakala menurut hukum Islam, melalui ulama terdahulu seperti As-Syafci, Maliki, Hanbali dan juga Hanafi telah merujuk kepada perhubungan suami yang bersekedudukan dengan isterinya sama ada hingga berlakunya persetubuhan atau tidak. Terkecuali sekiranya wujud sebab-sebab yang menghalang daripada berlakunya persetubuhan itu. Khalwat seperti ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:

i. Khalwat Shahihah
ii. Khalwat Ihtida’i

2.2.2.2 Khalwat Shahihah

Khalwat shahihah adalah perlakuan sepasang suami isteri berdampingan di suatu tempat yang terhindar dari pandangan orang ramai yang membolehkan si suami melakukan persetubuhan tanpa halangan seperti halangan hissi, tabicie dan syarcei.

1. Halangan hissi ialah seperti sakit yang dialami oleh pihak isteri ataupun suami.
2. Halangan tabicie ialah wujudnya orang ketiga di antara pasangan tersebut sama ada dalam keadaan jaga, buta atau celik. Sebagai contoh ialah kehadiran kanak-kanak yang boleh memahami percakapan, adanya orang buta atau orang yang sedang tidur.
3. Halangan syarcie pula ialah wujudnya keadaan yang boleh menghalang pasangan itu daripada melakukan persetubuhan secara syarcie seperti pasangan itu berpuasa atau dalam keadaan uzur, sewaktu haid atau pun baru lepas bersalin (nifas).

Khalwat shahihah dikira berlaku di tempat-tempat seperti kawasan terbuka dan terhindar daripada gangguan, di lorong-lorong yang sunyi, di sebalik tembok yang menghalang daripada pandangan orang ramai atau di dalam bilik sesebuah rumah yang didiami dengan keadaan tertutup. Tempat-tempat awam yang bebas untuk kegunaan ramai seperti bilik air awam, masjid, telefon awam dan sebagainya tidak termasuk di dalam definisi ini dan tidak diambil kira.

Khalwat shahihah boleh disabitkan dengan keterangan yang kukuh seperti keterangan pada masa pasangan suami-isteri itu berdua-duaan pada satu tempat yang sunyi daripada pandangan orang ramai dan tidak terdapat sebarang halangan yang boleh menegah mereka melakukan persetubuhan.

Dari segi hukuman, sekiranya khalwat shahihah ini berlaku, suami tersebut wajib membayar keseluruhan mahar kerana khalwat ini di anggap setaraf dengan persetubuhan. Si suami bukan sahaja wajib membayar nafkah, menyediakan tempat tinggal, ciddah malahan suami tersebut diharamkan mengahwini saudara perempuan daripada pihak isterinya.

Namun begitu ulama telah berselisih pendapat di dalam masalah suami yang berkhalwat dengan isteri tanpa melakukan persetubuhan sehinggalah mereka bercerai. Ulama Kufah dan imam Malik telah mewajibkan ke atas suami tersebut keseluruhan mahar dan ciddah ke atas isteri tersebut. Imam Syafcie pula tidak mewajibkan ke atas suami untuk membayar keseluruhan mahar dan ciddah sekiranya tidak berlaku persetubuhan.

2.2.2.3 Khalwat Ihtida’i

Khalwat ihtida’i bermaksud berdua-duaan di suatu tempat yang tertutup serta jauh dari pandangan orang ramai. Syarat bagi khalwat ini hendaklah si isteri itu telah baligh. Sekiranya si isteri belum baligh dan telah berlaku persetubuhan dan diakui sendiri oleh si suami maka pihak suami mestilah membayar mahar yang telah diwajibkan ke atasnya. Manakala baki jumlah mahar tersebut akan dibayar setelah si isteri itu baliqh. Merujuk kepada khalwat pasangan ajnabi pula, beerti tidak melibatkan pasangan suami isteri atau belum ada apa-apa ikatan yang menghalalkan persetubuhan.

Jadi khalwat yang tidak diperuntukan di dalam undang-undang adalah merangkumi dua keadaan iaitu khalwat di antara pasangan suami isteri dan juga khalwat di antara pasangan ajnabi yang belum ada apa-apa ikatan yang membolehkan mereka melakukan persetubuhan.

2.3 ISTILAH KHALWAT DI DALAM AL–QURAN

Khalwat merupakan salah satu perbuatan yang dilarang oleh Agama. Namun demikian
al-Quran tidak menyebut tentang istilah khalwat dan tidak ada nas qatcie yang membincangkan mengenai jenayah tersebut secara langsung. Walaupun demikian terdapat dalil-dalil dan nas-nas syarak yang mengharamkan dan melarang perbuatan itu.

Hal ini dapat dilihat menerusi firman Allah:

Maksudnya:
Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

Dalil di atas adalah berbentuk larangan dan haram melakukannya, juga jelas kepada kita haram mendekati zina. Manakala salah satu wasilah kepada berlakunya zina ialah khalwat yang berlaku di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Sebagai mana kita maklumi bahawa Islam apabila ia mengharamkan sesuatu perbuatan itu, ia juga turut mengharamkan wasilah yang akan membawa kepada perbuatan haram itu, juga mengharamkan apa sahaja caranya serta seluruh pendahuluan yang mungkin dapat membawa kepada perbuatan haram itu.

Demikian juga dengan firman Allah:

Maksudnya:
Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.

Imam Qurtubi mentafsirkan ayat di atas dengan menyatakan perasaan-perasaan yang akan timbul dari orang lelaki terhadap orang perempuan serta sebaliknya dan dengan cara yang demikian dapat mengelakkan daripada perasaan bimbang serta, dapat menjauhkan tuduhan yang bukan atau dapat menghindari daripada fitnah dan syak.

Di samping itu juga Islam mengharamkan percampuran di antara lelaki dan perempuan. Ini kerana dengan percampuran akan lebih memudahkan lagi terjadinya kemungkaran atau berlakunya zina. Dengan ini Allah memerintahkan supaya menjaga batas pandangan di antara lelaki dan perempuan mengikut batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak.

Islam telah menggariskan tentang pedoman atau cara pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Cara ini telah dinyatakan di dalam firman Allah:

Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang -orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan tentang apa yang mereka kerjakan.

Firman Allah:

Maksudnya:
Wahai isteri-isteri nabi! Kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain jika kamu tetap bertaqwa. Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan (sebaliknya) berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Di dalam ayat di atas Allah memerintahkan supaya umatnya dikhususkan kepada kaum wanita supaya menjaga batas-batas pergaulan terutama sewaktu bersama lelaki ajnabi (asing).

Nas lain yang melarang melakukan khalwat, firman Allah:

Maksudnya:
Dan janganlah kamu menghampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi.

2.4 ISTILAH KHALWAT DI DALAM AL-HADIS

Di dalam memperkatakan tentang istilah khalwat, tidak terdapat hadis yang membincangkan mengenainya. Namum demikian hadis-hadis Rasulullah lebih menekankan tentang pengharaman perbuatan khalwat antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W yang berbunyi:

لا يخلون رجل بامراة لا تحل له فان ثالثهما الشيطان
 
Janganlah kamu bersunyi-sunyian dengan perempuan yang tidak halal bagi kamu kerana sesungguhnya orang yang ketiga adalah syaitan.

Hadis di atas dengan jelas menyatakan tentang larangan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan ajnabi kerana yang ketiga selepas mereka ialah syaitan. Syaitan adalah makhluk Allah yang telah bersumpah untuk menggoda keturunan Adam supaya mengikuti jalan yang direntangnya iaitu ke neraka.

Seorang lelaki dibolehkan menemui seorang perempuan ajnabi, tapi disyaratkan ada bersama mahram bagi pihak perempuan tersebut. Perkara ini telah dijelaskan oleh hadis:

عن ابن عباس رضى الله عنها ان رسول (ص) قال: لا يخلون احدكم بامرأة الا مع ذى محرم

Dari Ibn cAbbas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda; janganlah sesekali seseorang lelaki di antara engkau semua itu menyendiri dengan seorang wanita, melainkan harus ada mahramnya beserta wanita tadi.

Khalwat bukan sahaja berlaku di antara lelaki dan perempuan yang belum berkahwin malahan khalwat dilarang di atas mereka yang telah berkahwin sebagaimana sabda nabi:

ولا تلجوا على المغيبات فان الشيطان يجرى ما احدكم مجرى الدم

Dan janganlah kamu memasuki rumah isteri -isteri yang ditinggalkan pergi oleh suaminya (tanpa suami) syaitan dapat berjalan di dalam tubuh kamu seperti peredaran darahmu.

Terdapat juga hadis yang melarang bersendirian dengan ipar. Kerana perbuatan tersebut merupakan salah satu jalan ke arah berlakunya maksiat. Fitnah lebih mudah berlaku dan ia lebih bahaya daripada khalwat dengan orang lain.

اياكم والدخول على النساء فقال رجل من الانصار: يا رسول الله افر أيت الحمو؟ قال: الحمو الموت

Hindarilah kamu dari masuk ke tempat perempuan, maka seorang lelaki Ansar bertanya ya Rasullulah bagaimana pendapatmu tentang ipar? Maka jawab nabi bersendirian dengan ipar itu sama dengan menjumpai mati, yakni kerosakan.

Dari hadis-hadis tersebut jelas menunjukkan tentang bahaya berkhalwat di antara lelaki dengan perempuan dan kemungkinan-kemungkian buruk yang akan menimpa akibat daripada perbuatan tersebut. Larangan berkhalwat adalah meliputi semua lapisan sama ada lelaki soleh perempuan solehah orang yang sudah tua mereka yang telah berkahwin ataupun belum berkahwin

Larangan tersebut memang amat tepat ditinjau dari tabiat dan kecenderungan manusia, yakni seorang yang normal akan cenderung terhadap wanita dan begitu juga sebaliknya. Hal ini sudah menjadi fitrah manusia yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t ke atas setiap individu.

Walaupun pada prinsipnya pergaulan atau percampuran antara lelaki dan perempuan adalah dilarang hanya dalam sesetengah keadaan sahaja, namum dalam keadaan dan batas-batas tertentu seperti darurah, keperluan kemaslahatan dan kebiasaan adat setempat, ia dibolehkan dengan syarat pihak yang terbabit mestilah menjaga batas-batas syarak di dalam pergaulan tersebut seperti menutup aurat, merendahkan pandangan, ada bersamanya mahram, tidak menimbulkan fitnah dan sebagainya.

2.5 ISTILAH KHALWAT MENURUT KAMUS DEWAN

Kamus Dewan mendefinisikan perkataan khalwat sebagai perihal perbuatan mengasingkan atau memencilkan diri kerana menenangkan fikiran, bertafakur dan lain -lain. Di samping itu juga perkataan khalwat turut didefinisikan sebagai pengasingan diri berdua-duaan di tempat yang terpencil atau tersembunyi, oleh lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan bukan pula suami isteri sehingga dapat dianggap sebagai suatu perbuatan yang sumbang.

2.6 KESIMPULAN

Terdapat dua pengertian untuk perkataan khalwat. Salah satu pengertiannya menjurus ke arah kebaikan. Yakni seperti yang telah dijelaskan khalwat secara umumnya ialah mendekati atau menghampirkan diri kepada Allah.

Namun khalwat yang akan dikupas oleh penulis adalah lebih menjurus kepada pengertian pengasingan diri berdua -duaan di tempat yang terpencil atau tersembunyi, oleh lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan bukan pula suami isteri sehingga dapat dianggap sebagai suatu perbuatan yang sumbang.

BAB III

PROSEDUR TANGKAPAN KHALWAT DI WILAYAH PERSEKUTUAN

3.1 PENGENALAN


Sebelum kesalahan khalwat disabitkan, terdapat beberapa prosedur yang mesti diikuti oleh pihak yang berkuasa. Apa yang dimaksudkan di sini ialah terdapat beberapa prosedur tangkapan khalwat yang harus diikuti. Sebagai contoh mendapatkan maklumat daripada pemberi maklumat tentang orang yang membuat kesalahan khalwat, tatacara menjalankan siasatan dan sebagainya. Yakni merujuk kepada apa yang telah kuatkuasakan di dalam Akta Prosedur Jenayah Syariah. Dalam bab ini pengkaji akan mengulas dengan lebih terperinci tentang prosedur tangkapan khalwat di Wilayah Persekutuan.

3.1.1 Nama Dan Permulaan Kuat Kuasa

1. (1) Arahan ini bolehlah dinamakan Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007 (Garis Panduan Penguatkuasaan Undang-undang Jenayah Syariah).

(2) Arahan ini mula berkuat kuasa pemakaiannya pada tarikh yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri.

“ketua operasi” ertinya seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu operasi penguatkuasaan jenayah syariah;

“Ketua Pendakwa Syarie (KPS)” ertinya pegawai yang dilantik di bawah Akta/ Enakmen/ Ordinan Pentadbiran;

“Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama (KPPA)” dan Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA)” ertinya pegawai yang dilantik sebagai yang sedemikian di bawah Akta/ Enakmen/ Ordinan Pentadbiran;

“PDRM” ertinya Polis Diraja Malaysia;

“ Pegawai” ertinya Pegawai Penguatkuasa Agama;

“Pegawai operasi” ertinya Pegawai Penguatkuasa Agama, pegawai polis dan termasuklah mana -mana orang lain yang terlibat dalam sesuatu operasi;

“Pegawai Masjid” ertinya Naqib Masjid, Imam, Imam Ratib, Bilal dan Pembantu Bilal bagi sesuatu masjid;

“Pegawai Penyiasat” ertinya Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Penguatkuasa Agama yang ditugaskan untuk menjalankan penyiasatan;

“Pegawai Perakam” ertinya Pegawai Penguatkuasa Agama yang ditugaskan untuk merakam pernyataan saksi atau OYDS;

“Pendakwa Syarie (PS)” ertinya seorang pegawai yang dilantik di bawah Akta/ Enakmen/ Ordinan Pentadbiran;

“Undang-undang Islam” ertinya Akta/ Enakmen/ Ordinan Pentadbiran Undang-Undang Islam, Akta/ Enakmen/ Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam/ Akta/ Enakmen/ Ordinan Kesalahan Jenayah Syariah dan Akta/ Enakmen/ Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri -negeri.

3.2 TATACARA PENERIMAAN MAKLUMAT

3.2.1 Mendapatkan Maklumat Daripada Pemberi Maklumat

Bagi tujuan penerimaan sesuatu maklumat, langkah -langkah yang berikut hendaklah diambil:

a. Sesuatu maklumat boleh diterima sama ada secara bertulis atau lisan.

b. Jika pemberi maklumat hadir sendiri dan hendak memberikan maklumat secara bertulis, maka pemberi maklumat hendaklah mengisi borang 5 dan PPA yang bertugas hendaklah memastikan bahawa borang tersebut ditandatangani pemberi maklumat dan olehnya.

c. Jika sesuatu maklumat diterima melalui surat, e-mail, faksimile atau seumpamanya, maka PPA yang menerima maklumat tersebut hendaklah mengepilkan surat,

e-mail atau faksimile tersebut pada borang 5 dan (muka surat 2) borang tersebut hendaklah ditandatangani oleh PPA sebagai pemberi maklumat dan seorang PPA sebagai pemberi maklumat.

d. Selepas sesuatu maklumat secara lisan diterima, tindakan yang berikut hendaklah diambil:

i. Sekiranya pemberi maklumat hadir sendiri, PPA hendaklah mengambil langkah -langkah seperti berikut:

a) Yang diberikan hendaklah diubah ke dalam bentuk bertulis dan hendaklah dibaca kepada pemberi maklumat;

b) Pemberi maklumat hendaklah diberi peluang untuk membetulkan atau membuat penambahan kepada maklumat tersebut; dan

c) Sekiranya ada pembetulan atau penambahan, pindaan itu hendaklah dibuat pada masa itu juga dalam kehadiran pemberi maklumat dan dibaca semula kepada pemberi maklumat. Pemberi maklumat dan PPA yang menerima maklumat itu hendaklah menurunkan tandatangan pada borang tersebut; dan

ii. Jika maklumat diterima melalui telefon, PPA hendaklah mengambil langkah -langkah seperti yang berikut:

a) Mengubah maklumat itu dalam bentuk tulisan;
b) Mencatatkan tarikh dan waktu maklumat itu diterima di dalam borang 5; dan
c) Menandatangani borang tersebut sebagai pemberi maklumat dan ditandatangani oleh seorang PPA yang lain sebagai penerima maklumat.
e. Jika sesuatu maklumat diberikan secara lisan atau bertulis:

i. PPA yang bertugas hendaklah mendapatkan maklumat diri pemberi maklumat, termasuklah nombor telefon atau nombor perhubungan yang lain yang boleh dihubungi semula oleh PPA.

ii. Butir-butir yang berikut hendaklah diperoleh daripada pemberi maklumat -

a) Lokasi tempat yang disyaki berlakunya kesalahan itu termasuk alamat jika ada, dan apa -apa petunjuk yang membolehkan lokasi itu dikenal pasti dengan jelas;
b) Perihal maklumat;
c) Identiti orang yang disyaki (‘OYDS’);
d) Identiti orang lain yang berkenaan, jika ada; dan
e) Apa-apa maklumat lain yang boleh menyokong kes berkenaan.
f) Semua maklumat yang diterima sama ada secara lisan atau bertulis hendaklah didaftarkan di dalam buku daftar maklumat dan hendaklah diberikan nombor pendaftaran.
g) Bagi kesalahan tak boleh tangkap (KTBT), PPA yang menerima maklumat hendaklah -

i. Merujukkan pemberi maklumat kepada Hakim Mahkamah Syariah; atau
ii. Mengemukakan maklumat tersebut kepada PPA (pegawai penyiasat) untuk mendapatkan kebenaran KPS bagi menjalankan siasatan

h. Bagi kesalahan boleh tangkap (KBT), PPA hendaklah-

i. Jika perlu melaporkan kepada KPS, membuat laporan mengenai maklumat itu dengan seberapa segera yang mungkin kepada KPS dan hendaklah mengambil tindakan seperti yang dinyatakan di dalam subperenggan (h) (iii); atau
ii. jika tidak perlu dilaporkan kepada KPS, terus mengambil tindakan seperti yang dinyatakan di dalam subperenggan (h) (iii)
iii. PPA hendaklah pergi sendiri atau mempertanggungjawabkan seorang pegawai bawahannya untuk pergi ke tempat kesalahan itu dilakukan untuk menjalankan siasatan sebagaimana yang dinyatakan dalam Arahan 5 Tatacara Menjalankan Siasatan.
iv. Walau apa pun peruntukan dalam subperenggan (h) (iii)-

a) Jika PPA berpendapat bahawa sesuatu kes itu tidak berat, PPA tidaklah boleh mengambil tindakan seperti yang dinyatakan dalam subperenggan (h) (iii); dan

b) Jika PPA berpendapat bahawa tiada alasan yang munasabah untuk bertindak dalam kes itu, PPA tidaklah boleh mengambil tindakan seperti yang dinyatakan dalam subperenggan (h) (iii).

i. Sekiranya subperenggan (h) (iv) terpakai, PPA hendaklah menyatakan dalam laporannya, jika ada, sebab-sebab dia tidak boleh mengambil tindakan seperti yang dinyatakan di dalam subperenggan (h) (iii).

3.3 TATACARA MENJALANKAN PENYIASATAN

3.3.1 Tindakan Awal

5. Bagi tujuan tindakan awal siasatan, langkah -langkah yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Mendapatkan arahan daripada KPPA untuk bertindak;
b) Mengenal pasti pegawai untuk bertindak dan melantik Ketua Operasi;
c) Menyediakan kenderaan dan peralatan seperti gari, lampu suluh, kamera dan perkara lain yang diperlukan;
d) Memastikan peralatan tersebut boleh digunakan dan berfungsi dengan baik;
e) Memberi tanggungjawab khusus kepada pegawai tertentu untuk mengendalikan peralatan tersebut semasa tindakan sedang dijalankan; dan
f) Jika PPA berpendapat bahawa sesuatu siasatan itu memerlukan bantuan dan kerjasama pihak PDRM atau agensi penguat kuasa undang–undang yang lain, maka PPA bolehlah mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada agensi yang berkenaan.

3.3.2 Taklimat Operasi

6. Tatacara bagi taklimat operasi adalah seperti yang berikut:

a) Sebelum memulakan siasatan, KPPA atau Ketua Operasi hendaklah memberikan taklimat pada masa dan tempat yang bersesuaian dan hendaklah dihadiri oleh semua pegawai operasi;

b) KPPA atau Ketua Operasi hendaklah menerangkan tujuan operasi serta pelan lokasi kepada pegawai operasi yang terlibat;

c) Menentukan tugasan pegawai operasi mengikut kesesuaian tindakan di lokasi;

d) Tindakan pegawai operasi hendaklah berdasarkan kepada arahan yang diberikan oleh KPPA atau Ketua Operasi;

e) Setiap pegawai operasi hendaklah mendengar dengan jelas dan memahami taklimat yang diberikan oleh Ketua Operasi;

f) Jika melibatkan agensi penguat kuasa undang -undang yang lain, pastikan mereka diberikan taklimat dan kefahaman yang jelas bagi maksud penglibatan mereka; dan

g) Jika perlu, mengarahkan suatu kumpulan pegawai operasi untuk berada di dalam premis dalam masa yang munasabah bagi tujuan pemerhatian dan pengecaman OYDS sebelum tindakan selanjutnya boleh diambil.

3.3.3 Tindakan Semasa Berada Di Lokasi

7. Bagi tujuan pengautkuasaan semasa berada di lokasi, langkah-langkah yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Sebelum sampai dilokasi, Ketua Operasi hendaklah memaklumkan kehadiran mereka di kawasan itu serta tujuan kepada Ketua Polis Daerah (KPD) atau Ketua Polis Balai (KPB) kawasan yang berkenaan. Jika KPD atau KPB tidak dapat dihubungi, PPA di ibu pejabat hendaklah dimaklumkan untuk memberitahu kehadiran pegawai operasi di kawasan itu kepada KPD atau KPB kawasan berkenaan;

b) Kegagalan untuk menghubungi pihak polis tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meneruskan operasi. Operasi hendaklah diteruskan setelah Ketua Operasi memaklumkan dan mendapat izin daripada KPPA;

c) Sebelum memulakan operasi, Ketua Operasi hendaklah memastikan semua pegawai operasi yang terlibat mengambil peranan masing-masing;

d) Ketua Operasi hendaklah memberi salam, memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan kehadiran kepada OYDS atau mana mana orang yang berada di lokasi atau premis, dengan menunjukkan kad kuasa, waran tangkap, atau waran geledah;

e) Jika pegawai operasi mempunyai syak yang munasabah suatu kesalahan telah dilakukan oleh OYDS, tangkapan hendaklah dilakukan dengan apa-apa cara yang munasabah, iaitu dengan cara menyentuh atau mengurung tubuh OYDS, melainkan jika OYDS menyerah diri sama ada dengan perkataan atau melalui perbuatan;

f) Sekiranya mana-mana pegawai yang membuat tangkapan mendapati OYDS tersebut mempunyai senjata berbahaya maka dia boleh mengambil apa -apa senjata berbahaya yang ada pada OYDS dan hendaklah menyerahkan segala senjata yang diambil kepada polis;

g) OYDS tidaklah boleh dikenakan sekatan lebih daripada yang perlu bagi mencegahnya melarikan diri. Jika OYDS menggunakan kekerasan menentang usaha untuk menangkapnya atau cuba mengelakkan penangkapan itu, pegawai operasi bolehlah menggunakan segala langkah yang perlu untuk melaksanakan penangkapan itu, kecuali apa -apa tindakan yang boleh menyebabkan kematian OYDS;

h) Pegawai operasi hendaklah dengan seberapa segera memberitahu OYDS mengenai kesalahan yang disyaki dilakukan serta tanggungjawab OYDS untuk memberikan kerjasama kepada pegawai operasi;

i) Pegawai operasi hendaklah memberitahu OYDS tentang haknya untuk mendapatkan khidmat peguam pilihannya dan menyerahkan senarai peguam syarie yang boleh dihubungi tanpa membuat apa-apa pengesyoran tentang pemilihan peguam kepada OYDS;

j) Pegawai operasi hendaklah mengambil maklumat diri serta maklumat lain daripada OYDS dan mana-mana orang yang berada di dalam premis tersebut. Maklumat tersebut hendaklah dicatatkan dalam buku catatan harian PPA;

k) PPA hendaklah mengarahkan supaya setiap orang yang berada di dalam premis itu ditahan sehingga penggeledahan itu selesai dan jika benda yang dicari itu adalah daripada jenis yang boleh disembunyikan pada tubuh badan seseorang, pemeriksaan badan bolehlah dibuat;

l) Apabila didapati perlu untuk menyebabkan seseorang itu diperiksa, pemeriksaan itu hendaklah dibuat oleh seorang yang sama jantinanya dengan orang yang diperiksa;

m) Menyita dan merekodkan segala benda yang disita berkaitan dengan kesalahan itu dalam suatu senarai yang disediakan. Salinan senarai itu hendaklah ditandatangani oleh pegawai yang membuat sitaan itu dan OYDS, dan hendaklah diserahkan kepada OYDS atas permintaannya;

n) Jika PPA mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa mana -mana orang yang hendak ditangkap itu telah masuk ke dalam atau berada di dalam mana -mana tempat maka PPA hendaklah meminta kerjasama daripada orang yang tinggal ditempat itu atau yang menjaga tempat itu untuk membenarkannya masuk ke tempat itu dan memberikan segala kemudahan yang munasabah untuk penggeledahan dijalankan di dalamnya;

o) Jika kemasukan ke dalam tempat itu tidak dapat dibuat di bawah perenggan (n) di atas dan bagi tujuan untuk mengelakkan OYDS daripada melarikan diri, setelah memberitahu OYDS atau pemilik tempat itu tentang kuasa dan tujuannya, PPA bolehlah (walaupun tanpa waran tangkap) memecah buka mana -mana pintu atau tingkap untuk memasuki dan menggeledah tempat itu, dan menangkap OYDS ; dan

p) PPA atau mana -mana pegawai operasi yang terperangkap di dalam premis tersebut bolehlah memecah buka mana-mana bahagian di dalam premis itu bagi tujuan untuk membebaskan diri.

3.3.4 Tindakan Selepas Tangkapan

8. Selepas tangkapan dibuat, langkah -langkah yang berikut hendaklah diambil:

a) Laporan polis mengenai operasi hendaklah dibuat di balai polis yang mempunyai bidang kuasa;

b) Mengikut kesesuaian sesuatu kes, OYDS bolehlah dibawa bersama ke balai polis yang mempunyai bidang kuasa. Sekiranya OYDS bersedia dengan penjamin, urusan jaminan dan pengambilan butir-butir diri OYDS bolehlah disempurnakan di balai tersebut. Jika keadaan tidak mengizinkan OYDS hendaklah dibawa terus ke pejabat PPA untuk tujuan jaminan dan pengambilan butir -butir diri;

c) Sekiranya OYDS tidak bersedia dengan penjamin, selepas laporan polis dibuat OYDS hendaklah dibawa ke pejabat KPPA untuk tujuan jaminan dan diambil butir -butir dirinya;

d) Jika OYDS tidak dapat mengemukakan penjamin, dia bolehlah diletakkan di bawah jagaan KPPA atau di tempatkan di lokap polis sementara menunggu penjamin dengan syarat jagaan tersebut tidak boleh melebihi dua puluh empat jam daripada masa tangkapan. Sekiranya jaminan tidak dapat disempurnakan dalam tempoh dua puluh empat jam, OYDS hendaklah dengan segera di hadapkan kehadapan seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah untuk dituduh;

e) Semasa di pejabat KPPA, butir-butir diri OYDS hendaklah diambil dan jika perlu, pemeriksaan lanjut boleh dilakukan ke atasnya. Pemeriksaan hendaklah dibuat oleh PPA yang sama jantinanya dengan OYDS dengan memberikan perhatian tegas tentang kesopanan:

f) Jika siasatan menunjukkan bahawa suatu kesalahan telah dilakukan oleh OYDS, maka pertuduhan terhadap OYDS hendaklah disediakan dalam tempoh dua puluh empat jam; dan

g) Jika pertuduhan bagi KBT tidak dapat disediakan dalam tempoh dua puluh empat jam, maka OYDS boleh dilepaskan atas bon atau jaminan atau perintah bertulis seorang Hakim atau KPPA atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada inspektor.

3.3.5 Pelepasan OYDS Selepas Tangkapan

9. OYDS bolehlah dilepaskan dengan cara-cara yang berikut:

a) Pelepasan dengan bon
Jika PPA berpendapat OYDS layak dilepaskan dengan bon, OYDS dikehendaki untuk menandatangani suatu bon untuk hadir pada masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam bon tersebut;

b) Pelepasan dengan jaminan
Jika PPA berpendapat OYDS layak dilepaskan dengan jaminan, OYDS dan penjaminnnya hendaklah menandatangani suatu borang jaminan yang mengandungi nama penjamin dan jumlah jaminan yang ditetapkan yang akan dikuatkuasakan jika OYDS gagal hadir pada masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan dalam borang jaminan tersebut; atau

c) Pelepasan dengan perintah bertulis hakim, KPPA dan pegawai polis (inspektor ke atas) OYDS bolehlah dilepaskan melalui perintah bertulis daripada Hakim, KPPA atau pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada inspektor, dengan menetapkan syarat -syarat yang difikirkan perlu.

3.3.6 Waran Geledah

10. Bagi tujuan memohon waran geledah, langkah -langkah yang berikut hendaklah dipatuhi oleh PPA:

a) Meneliti maklumat yang diterima bagi tujuan memohon waran geledah;

b) Jika berdasarkan maklumat yang diterima dan siasatan yang dijalankan, PPA mendapati bahawa waran geledah adalah diperlukan, waran geledah hendaklah dipohon daripada Hakim Mahkamah Syariah;

c) Menyediakan alasan bertulis atau surat permohonan untuk memohon waran geledah daripada Hakim dengan memberikan alasan yang munasabah, yang boleh menyebabkab Hakim mempercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan di sesuatu tempat atau premis atau sesuatu benda perlu disita dari mana-mana tempat atau premis;

d) Semasa melaksanakan waran geledah, penghuni hendaklah dibenarkan hadir bersama dan memastikan benda-benda yang disita dicatatkan dalam senarai yang disediakan. Senarai itu hendaklah ditandatangani oleh tuan punya barangan yang berkenaan dan PPA; dan

e) Menyerahkan benda-benda yang disita kepada pegawai penyiasat.

3.3.7 Tindakan Menamatkan Siasatan

11. Setelah tamat siasatan bagi sesuatu kes hasil daripada maklumat awam, tindakan yang berikut hendaklah diambil:

a) Ketua Operasi hendaklah melaporkan hal yang demikian itu kepada ibu pejabat atau pejabat penguatkuasa untuk tujuan rekod dan seterusnya kepada Ketua Unit Siasatan (KUS) atau KPPA dengan kadar yang segera;

b) Pegawai yang menerima laporan di bawah perenggan (a) hendaklah tanpa kelewatan yang munasabah mencatatkan laporan tersebut ke dalam buku laporan siasatan yang disediakan;

c) Setelah laporan dalam perenggan (a) dibuat, pegawai penyiasat hendaklah menyerah kertas siasatan kepada KUS atau KPPA untuk arahan selanjutnya;

d) Jika KUS tidak berpuas hati dengan siasatan tersebut, kertas siasatan tersebut hendaklah dirujuk semula kepada pegawai penyiasat dengan arahan selanjutnya;

e) Setelah menjalankan siasatan lanjut, pegawai penyiasat hendaklah menyerahkan semula kertas siasatan kepada KUS yang seterusnya akan merujukkan kepada KPPA;

f) Setelah KPPA meneliti dan berpuas hati dengan siasatan sesuatu kes, kertas siasatan tersebut akan dirujuk kepada KPS untuk tindakan selanjutnya; dan

g) Apabila siasatan telah selesai dijalankan dan KPS telah membuat keputusan untuk mendakwa dan OYDS masih belum ditangkap maka suatu waran tangkap hendaklah dipohon oleh pegawai penyiasat untuk membolehkan OYDS dihadapkan ke mahkamah.

3.4 TATACARA BERKAITAN PENYEDIAAN KERTAS SIASATAN

3.4.1 Penyediaan Kertas Siasatan

12. Untuk menyediakan kertas siasatan, perkara -perkara yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Bagi KTBT, kertas siasatan hendaklah dibuka oleh pegawai penyiasat atas arahan KPPA dan setelah mendapat perintah KPS;

b) Bagi KBT, kertas siasatan hendaklah dibuka oleh PPA (pegawai penyiasat) setelah mendapat arahan daripada KPPA dan setelah maklumat mengenai kesalahan -kesalahan tersebut dilaporkan kepada KPS kecuali bagi kesalahan tertentu yang KPS arahkan tidak perlu dilaporkan kepadanya;

c) Berdasarkan kepada perintah atau arahan tersebut, pegawai penyiasat hendaklah memulakan siasatan dengan merujuk kepada maklumat yang terdapat dalam borang 5 atau laporan polis;

d) Pegawai penyiasat hendaklah dari hari ke hari mencatatkan prosiding penyiasatannya dalam buku harian penyiasatan dengan menyatakan-

i. Waktu perintah, jika ada, atau arahan untuk menjalankan penyiasatan itu sampai kepadanya;
ii. Waktu dia memulakan dan mengakhiri penyiasatan itu;
iii. Tempat atau tempat-tempat yang dilawati olehnya;
iv. Orang atau orang -orang yang disoal olehnya; dan
v. Pernyataan mengenai hal keadaan yang dipastikan melalui penyiasatannya.

e) PPA (pegawai penyiasat) hendaklah memastikan kertas siasatan mengandungi perkara -perkara yang berikut:

i. Borang 5 dan perintah atau arahan menyiasat;
ii. Laporan polis;
iii. Waran geledah (jika ada);
iv. Senarai atau borang sitaan;
v. Butir-butir diri orang yang hendak disiasat;
vi. Senarai barang kes;
vii. Rakaman percakapan saksi;
viii. Ringkasan fakta kes;
ix. Catatan harian pegawai penyiasat; dan
x. Pelan lokasi, gambar, pelan lakar, laporan pakar (jika ada) dan dokumen lain yang berkaitan.

f) Mencatatkan prosiding siasatan mengikut urutan tarikh dan masa dalam buku harian penyiasatan;

g) Menyenaraikan segala keterangan yang perlu disediakan berdasarkan kes;

h) Mengumpulkan maklumat serta dokumen seperti salinan borang 5, pelan lakar, gambar dan benda yang disita;

i) Menghubungi jabatan yang berkaitan bagi mendapatkan laporan yang perlu seperti laporan kimia, laporan perubatan dan lain -lain;

j) Memastikan setiap dokumen dan setiap laporan yang dinyatakan di dalam perenggan (h) dan (i) ditandatangani untuk pengesahan oleh pegawai yang berkenaan;

k) Menyenaraikan saksi mengikut keutamaan dan mengeluarkan surat panggilan untuk saksi hadir bagi tujuan siasatan; dan

l) Melengkapkan kertas siasatan tanpa kelengahan yang munasabah dan melaporkan hasil siasatan tersebut beserta syor kepada KPPA untuk tindakan yang selanjutnya.


3.4.2 Kandungan Kertas Siasatan

13. (1) Kandungan kertas siasatan hebdaklah mengandungi folio yang berikut:

a) Kertas minit;
b) Folio A: borang 5 atau laporan polis (pol 55);
c) Folio A1: percakapan saksi;
d) Folio B1: butiran maklumat dan pernyataan OYDS atau pengakuan
OYDS di hadapan Hakim;
e) Folio C1: buku harian penyiasatan;
f) Folio D1: dokumen;dan
e) Indeks

(2) Contoh kandungan kertas siasatan adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

3.4.3 Rakaman Pernyataan Saksi

14. Semasa merakamkan pernyataan saksi, pegawai perakam hendaklah mematuhai perkara-perkara yang berikut:

a. Mengingatkan saksi tentang tanggungjawabnya disisi undang-undang
untuk memberikan pernyataan yang benar semasa menjawab setiap soalan yang diajukan sebelum memulakan rakaman pernyataan saksi;

b. Mendapatkan maklumat diri saksi secara ringkas dengan mencatatkan nama, alamat, nombor kad pengenalan, umur dan pekerjaaan;

c. Memaklumkan kepada saksi bahawa dia dikehendaki menjawab semua soalan yang dikemukakan;

d. Mendapatkan fakta yang relevan dengan kes;

e. Jika saksi tersebut merupakan orang awam yang disangka mengetahui fakta dan hal keadaan kes itu, pegawai perakam hendaklah mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan kejadian yang disiasat dan pengetahuannya mengenai kejadian tersebut;

f. Jika saksi tersebut merupakan pegawai operasi yang terlibat dalam kes berkenaan, pegawai perakam hendaklah mendapatkan butiran mengenai apa-apa tugasan yang perlu dibuat atau arahan pada waktu kejadian serta bilangan pegawai yang terlibat;

g. Merakamkan peryataan saksi dalam bahasa yang difahami oleh saksi. Jurubahasa hendaklah disediakan jika saksi memerlukan khidmat jurubahasa;

h. Mengubah pernyataan yang dibuat oleh saksi ke dalam bentuk bertulis;

i. Membaca semula kepada saksi rakaman pernyataan yang telah dibuat olehnya dalam bahasa yang dia telah membuatnya dan memberi peluang kepada saksi tersebut untuk membuat apa -apa pembetulan kepada rakaman pernyataan tersebut dan menurunkan tandatangan ringkas di tempat pembetulan tersebut;

j. Meminta saksi dan juru bahasa (jika ada) menandatangani rakaman pernyataan tersebut di hadapan dua orang saksi dan dua orang saksi itu hendaklah menurunkan tandatangan mereka;

k. Pegawai perakam hendaklah memastikan tandatangannya dan tandatangan saksi diturunkan pada setiap hujung catatan itu dan tiada ruang kosong ditinggalkan tanpa tandatangan;

l. Pegawai perakam hendaklah menandatangani rakaman pernyataan tersebut selepas saksi, jurubahasa (jika ada) dan dua orang saksi menandatangani pernyataan tersebut; dan

m. Jika ada barang kes yang diketahui perlu diperolehi semasa proses rakaman pernyataan saksi, pegawai perakam hendaklah memaklumkan kepada pegawai penyiasat untuk membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah bagi mengeluarkan waran geledah untuk mendapatkan barang kes tersebut.

3.3.4 Butiran Maklumat OYDS

15. Sebelum merakamkan pernyataan OYDS, PPA bolehlah mendapatkan maklumat-maklumat yang berikut;

a) Butiran diri OYDS;

b) Masa, tempat dan tarikh kejadian tersebut berlaku;

c) Dokumen-dokumen yang diperlukan seperti sijil pernikahan, sijil perceraian, sijil kelahiran dan sebagainya.

3.3.5 Rakaman Pernyataan OYDS

16. Semasa merakamkan pernyataan OYDS, perkara-perkara yang berikut hendaklah dipatuhi;

a) Pegawai penyiasat hendaklah menentukan pegawai yang akan mengambil rakaman pernyataan OYDS sekiranya rakaman pernyataan OYDS tidak dibuat oleh pegawai penyiasat sendiri;

b) Mengambil pernyataan OYDS di bilik siasatan atau ditempat yang bersesuaian;

c) Tidak boleh memberi atau membuat apa-apa dorongan, ancaman atau janji kepada OYDS untuk mendorong OYDS membuat apa-apa pernyataan berkaitan dengan kesalahan yang disyaki terhadapnya;

d) Pegawai perakam atau orang lain tidak boleh menghalang atau tidak menggalakkan OYDS, dengan memberi amaran atau sebagainya terhadap OYDS untuk membuat atau tidak membuat pernyataan atas kemahuannya sendiri;

e) Memastikan bahawa OYDS memahami maksud perenggan (c) di atas dan mengetahui bahawa dia membuat pernyataan kepada pegawai perakam bukan atas sesuatu paksaan, dorongan atau janji oleh mana -mana pihak. Setelah OYDS memahami maksud di bawah perenggan (c) tersebut, pegawai perakam dan OYDS hendaklah menurunkan tandatangan mereka.

f) Mewujudkan suasana harmoni dan mesra, contohnya berbual dengan OYDS dahulu sebelum bertanyakan soalan -soalan yang berkaitan dengan kes kepada OYDS;

g) Merakamkan pernyataan OYDS dalam bahasa yang difahami olehnya, jurubahasa hendaklah disediakan jika OYDS memerlukan khidmat jurubahasa;

h) Mencatatkan semua jawapan OYDS;

i) Jika jawapan tidak diperolehi daripada OYDS daripada soalan yang ditanya, soalan tersebut hendaklah dicatatkan dengan catatan ‘tiada jawapan’;

j) Membacakan pernyataan atau memberi peluang kepada OYDS untuk membaca pernyataan yang dicatat;
k) Memberi peluang kepada OYDS sama ada hendak mengubah atau menambah pernyataannnya;

l) Jika ada perubahan atau penambahan pada pernyataan itu, catatkan perubahan atau penambahan tersebut dan meminta OYDS menurunkan tandatangan ringkas OYDS di kiri atau kanan catatan itu;

m) Selepas OYDS membaca keseluruhan pernyataannya dan dia berpuas hati dengan pernyataan tersebut, maka OYDS dan jurubahasa (jika ada) hendaklah menurunkan tandatangannya;

n) Pegawai perakam hendaklah memastikan tandatangannya dan tandatangan OYDS diturunkan pada setiap hujung catatan itu dan tiada ruang kosong ditinggalkan tanpa tandatangan;

o) Pegawai perakam hendaklah menurunkan tandatangan ringkas setiap kali OYDS menurukan tandatangan ringkasnya;

p) Sekiranya OYDS mengadu tidak selesa semasa rakaman pernyataan dibuat atas sesuatu sebab seperti lapar, ingin ke tandas dan sebagainya, pegawai perakam hendaklah menangguhkan rakaman pernyataan dan memberi peluang kepadanya untuk menyelesakan diri atau untuk apa-apa perkara lain yang difikirkan munasabah. PPA hendaklah sentiasa mengawasi OYDS bagi mengelakkan OYDS dari melepaskan diri;

q) Sekiranya rakaman pernyataan perlu ditangguhkan ke suatu tarikh yang lain, maka penangguhan tersebut hendaklah dimaklumkan kepada pegawai penyiasat;
r) Pegawai perakam boleh melepaskan OYDS dengan jaminan atau bon untuk dia menghadirkan diri pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan;

s) Menyambung semula rakaman pernyataan dengan mengambil langkah sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (c) dan (d) di atas;

t) Jika ada barang kes yang diketahui perlu diperoleh semasa proses rakaman pernyataan, pegawai perakam hendaklah memaklumkan kepada pegawai penyiasat untuk membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah bagi mengeluarkan waran geledah untuk mendapatkan barang kes tersebut; dan

u) Pegawai perakam hendaklah memaklumkan kepada pegawai penyiasat untuk membawa OYDS yang ingin merekodkan pernyataan atau pengakuan salah ke hadapan Hakim Syarcie untuk direkodkan pernyataan tersebut di hadapan dua (2) orang saksi, sebelum perbicaraan.

3.3.5 Semakan Kertas Siasatan

17. Bagi memastikan kertas siasatan lengkap dan teratur, pegawai penyiasat hendaklah membuat semakan terhadap perkara-perkara yang berikut:

a) Setiap fail kes mengandungi dokumen utama seperti salinan borang 5, laporan polis, keterangan saksi dan OYDS, serta dokumen lain yang berkaitan dengan kes termasuk borang atau senarai sitaan, senarai barang kes, buku harian penyiasatan (ID), senarai nama saksi, bon jaminan, laporan pakar, salinan pengenalan diri saksi dan OYDS yang hendaklah disahkan oleh pegawai berkenaan;

b) Memastikan terdapat nombor daftar kertas siasatan, nama OYDS, jenis kesalahan dan nama pegawai penyiasat;

c) Mematikan terdapat catatan tarikh sebutan, jaminan atau bicara dimuka sebelah luar kulit fail kes;

d) Memastikan terdapat catatan laporan ringkas kes di muka sebelah dalam fail;

e) Memastikan terdapat nama -nama saksi serta alamat dalam kertas siasatan;

f) Memastikan terdapat senarai semak kandungan keterangan yang terdapat dalam kertas siasatan dan hendaklah disusun mengikut keuntamaan; dan

g) Memastkan terdapat catatan senarai barang kes yang sama seperti kandungan dalam borang atau senarai sitaan.

3.3.6 Buku Harian Penyiasatan

18. Adalah menjadi kewajipan setiap pegawai penyiasat untuk membuka buku harian penyiasatan bagi setiap kes yang disiasat dan mengemaskinikannya dari hari ke hari serta mencatatkan prosidingnya dalam buku harian penyiasatan.

3.4 PENYEDIAAN LAPORAN RINGKAS KES

19. Penyediaan laporan ringkas kes hendaklah mengandungi perkara-perakra yang berikut:

a) Sinopsis kejadian, contohnya di mana dan bila kejadian berlaku, siapa yang terlibat dalam kejadian dan apa yang berlaku ditempat kejadian;

b) Fakta- fakta yang relevan berkenaan sesuatu kesalahan; dan

c) Rumusan iaitu kekuatan dan kelemahan sesuatu kes untuk pertimbangan KPPA.

3.5 TATACARA PENGENDALIAN BARANG YANG DISITA

3.5.1 Pengendalian Barang Yang Disita

20. Semasa mengendalikan barang yang disita, perkara -perkara yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Pegawai yang membuat sitaan hendaklah menyerahkan senarai segala benda yang disita kepada pegawai penyiasat;

b) Pegawai penyiasat hendaklah menyemak dan meneliti benda yang disita berpandukan senarai atau borang sitaan;

c) Memastikan keadaan benda yang disita dalam keadaan asal seperti ketika diterima;

d) Benda yang disita hendaklah diberikan nombor dan dicatatkan tarikh penyerahan pada labelnya;

e) Mendaftarkan benda yang disita serta melekatkan label, nombor barang, tarikh, masa, alamat tempat kejadian dan nombor fail kes;

f) Memastikan benda yang disita adalah sama dengan yang terdapat dalam senarai atau borang sitaan;

g) Mengeluarkan barangan yang mudah rosak satu persatu dengan mengambil gambar secara berasingan;

h) Membuat catatan bila gambar diambil;

i) Menghantar benda yang disita ke Jabatan Kimia (jika perlu);

j) Mendapatkan keputusan rasmi barangan yang dianalisis;

k) Memastikan setiap benda yang disita diserahkan kepada dan yang diterima dari Jabatan Kimia dimeteraikan dan dilakerikan dengan meterai Jabatan;

l) Akauan penerima dan penyerahan benda yang disita bagi setiap transaksi hendaklah dicatatkan dan ditandatangani oleh pemberi dan penerima benda yang berkenaan; dan

m) Memasukkan laporan analisis keputusan dalam kertas siasatan.

3.5.2 Penyimpanan Benda Yang Disita

21. Bagi tujuan penyimpanan benda yang disita, perkara-perkara berikut hendaklah dipatuhi:

a) Mendaftarkan benda yang disita dalam buku rekod benda yang disita;

b) Memasukkan benhda yang disita (jika perlu) dalam sampul dan dimeterai;

c) Memastikan benda yang disita disimpan di dalam tempat atau bilik barang kes yang selamat dan berkunci. Bagi barang-barang yang mudah rosak pastikan ia disimpan di dalam peti sejuk sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan; dan

d) Kunci bilik barang kes hendaklah dari jenis yang tidak boleh dibuat pendua dan hendaklah disimpan oleh pegawai yang diberi kuasa menjaga bilik barangan kes sahaja.

3.5.3 Penyeliaan Barang Yang Disita

22. Bagi tujuan penyeliaan benda yang disita, perkara-perkara yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Benda yang disita hanya boleh dikeluarkan daripada bilik barang kes atas arahan KPPA atau pegawai yang diberi kuasa sahaja;

b) Benda yang disita hendaklah dibawa ke mahkamah atau ke tempat- tempat lain yang perlu bagi tujuan siasatan dalam keadaan yang selamat dan hanya boleh dibawa oleh pegawai penyiasat atau PPA lain yang diberi kuasa sahaja; dan

c) Rekod keluar dan masuk benda yang disita hendaklah dicatatkan dalam buku rekod barang yang disita oleh pegawai yang diberi kuasa untuk menjaga bilik barang kes.

3.5.4 Pelupusan Benda Yang Disita

23. (1) Bagi tujuan pelupusan benda yang disita, perkara-perkara yang berikut hendaklah dipatuhi:

a) Benda yang disita yang menjadi eksibit-

i. Benda yang disita hanya boleh dilupuskan atas arahan mahkamah sama ada dilucuthakkan atau dirampas atau dimusnahkan atau diserahkan kepada mana-mana orang;

ii. Sekiranya mahkamah memerintahkan supaya benda yang disita tersebut dilupuskan oleh pihak PPA, arahan bertulis daripada KPS hendaklah diperoleh terlebih dahulu sebelum benda yang disita tersebut dilupuskan;

iii. KPS hendaklah menetapkan masa dan tempat untuk pelupusan benda yang disita;

iv. Pelupusan benda yang disita tersebut hendaklah disaksikan dan diperakui oleh pegawai yang diberi kuasa;

v. Menyediakan laporan pelupusan tentang benda yang disita dan menyimpannya dalam kertas siasatan yang berkenaan;

vi. Pegawai yang diberi kuasa menjaga bilik barang kes hendaklah merekodkan pelupusan benda yang disita dalam buku rekod benda yang disita berdasarkan laporan pelupusan yang telah diperakui oleh pegawai yang diberi kuasa;

vii. Jika mahkamah tidak membuat perintah tentang pelupusan sesuatu benda yang disita itu, benda yang disita itu hendaklah diserahkan kepada pendakwa yang bertanggunjawab bagi prosiding itu dan bolehlah diperlakukan oleh pendakwa itu mengikut tatacara pelupusan barang kes yang diperuntukan dalam Akta/ Enakmen/ Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri seolah-olah mahkamah itu telah membuat perintah sedemikian;dan

viii. Jika pendakwa pada bila-bila masa ragu-ragu tentang cara yang patut bagi melupuskan mana-mana barang kes, atau jika mana-mana orang menuntut supaya diserahkan kepadanya mana-mana barang kes dan pendakwa enggan membuat penyerahan sedemikian, maka pendakwa atau orang itu boleh memohon kepada mahkamh yang memutuskan kes itu dan mahkamah itu hendaklah membuat apa-apa perintah berkenaan dengan pelupusan barang kes itu sebagai mana yang patut.

b) Bagi benda yang disita yang tidak dijadikan eksibit-

i Dalam keadaan di mana benda yang disita tidak dikemukakan sebagai eksibit di mahkamah, benda yang disita itu hendaklah disimpan dalam bilik barang kes sehingga selesai perbicaraan; dan

ii Setelah perbicaraan selesai, benda yang disita itu hendaklah dilupuskan dengan cara yang sama seperti yang dinyatakan dalam perenggan (1)(a).

2. Bagi maksud arahan ini, “bilik barang kes” ertinya bilik yang digunakan bagi tujuan menyimpan barang-barang yang disita.

3.6 TANGKAPAN

3.6.1 Tangkapan Oleh Orang Awam

24. Tangkapan oleh orang awam hanya boleh dilakukan bagi tujuan membantu tugas PPA , pegawai polis atau Hakim sahaja berdasarkan peruntukan di dalam Akta/ Enakmen/ Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri.

3.6.2 Tangkapan Oleh Pegawai Masjid

25.(1) Seseorang Pegawai Masjid yang membuat suatu penangkapan tanpa waran hendaklah tanpa kelengahan yang tak perlu menyerahkan orang yang ditangkap sedemikian kepada PPA atau pegawai polis yang terdekat, dan seseorang PPA atau pegawai polis hendaklah menangkap semula tiap -tiap orang yang ditangkap sedemikian.

(2) Jika penangkapan semula di bawah perenggan (1) telah dibuat, PPA hendaklah membuat laporan mengenai penangkapan semula tersebut dan merujuk orang yang ditangkap kepada pegawai penyiasat untuk tindakan siasatan.

(3) Arahan 5 bagi tatacara mejalankan siasatan hendaklah terpakai bagi tindakan siasatan yang dinyatakan di bawah perenggan (2) di atas.

3.6.3 Kuasa Membuat Garis Panduan

26. Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri boleh, dari masa ke semasa, dengan persetujuan Majlis Agama Islam Negeri, mengeluarkan Garis Panduan untuk penguatkuasaan kesalahan-kesalahan tertentu dalam undang-undang Islam.

3.6.4 Tindakan Tatatertib

27. Sebarang tindakan PPA yang bertentangan dengan arahan tetap ini boleh dianggap sebagai telah mekanggar arahan perkhidmatan dan boleh diambil tindakan tatatertib menurut peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib) 1993.

3.6.5 Rujukan Muktamad

28. Jika terdapat apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan atau tidak dinyatakan dengan jelas dalam arahan tetap ini , PPA hendaklah merujuk kepada Akta/ Enakmen/ Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri.

3.7 KESIMPULAN

Prosedur tangkapan khalwat ini mestilah diikuti oleh pihak yang berkuasa. Pihak -pihak yang berhak membuat tangkapan jelas telah dinyatakan di dalam prosedur ini. Pihak tersebut perlu mengikut tatacara penerimaan maklumat, tatacara menjalankan siasatan, tatacara pengendalian barang yang disita dan sebagainya.

BAB IV

PENDAKWAAN KESALAHAN KHALWAT

4.1 PENGENALAN


Bagi mensabitkan seseorang itu dengan kesalahan jenayah, pihak pendakwa berperanan untuk membuktikan bahawa pesalah tersebut benar-benar telah melakukan kesalahan itu. Demikian juga dengan kesalahan khalwat, yang mana pihak pendakwa mestilah mengemukakan bukti-bukti dengan jelas dan terang bahawa telah wujud unsur-unsur tertentu semasa tangkapan dibuat. Ini bertujuan supaya tidak timbul kekeliruan bagi pihak tertuduh serta dapat memberi keyakinan kepada pihak mahkamah semasa membuat keputusan dan seterusnya keadilan dapat diwujudkan.

Berdasarkan kepada Akta Wilayah Persekutuan di dalam mensabitkan seseorang itu dengan kesalahan khalwat, Mahkamah Syariah perlu mengambil kira beberapa keadaan yang telah ditetapkan oleh Akta tersebut. Segala tafsiran yang terkandung dalam Akta tersebut telah menjadi garis panduan dan sebagai satu kuasa kepada mana-mana pegawai Penguatkuasa Syariah bagi menahan mana-mana individu yang didapati telah melakukan kesalahan khalwat.

4.2 PERUNTUKAN UNDANG –UNDANG MENGENAI KHALWAT

Mengikut Seksyen 27, Akta 559 Wilayah Persekutuan, khalwat ditafsirkan sebagai :-

Mana-mana

a) Orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau

b) Orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya, di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua -duanya sekali.

Mengikut takrifan tersebut perlu wujud unsur -unsur tertentu bagi mensabitkan seseorang itu dengan kesalahan khalwat. Unsur-unsur yang perlu dibuktikan adalah seperti berikut:

i. Berdua-duaan antara lelaki atau perempuan
ii. Seorang lelaki atau perempuan bersama dengan lebih daripada seorang perempuan atau lelaki
iii. Suasana tempat atau keadaan sekeliling
iv. Perbuatan yang tidak bermoral.

4.3 PRA PERBICARAAN

Sebelum perbicaraan sebenar berjalan, pihak pendakwa raya perlu melalui beberapa proses seperti mana yang telah ditetap oleh Kanun Prosedur Jenayah. Antara persiapan yang perlu disediakan oleh pihak pendakwa ialah mengenai pertuduhan dan pendakwaan ke atas orang yang kena tuduh. Dengan kata lain ia juga disebut sebagai pra perbicaraan.

Sebelum sesuatu pertuduhan dibuat, Pihak Pegawai Penguatkuasa perlu membuat soal siasat ke atas orang yang kena tangkap. Biasanya soal siasat diperolehi melalui keterangan percakapan, yang mana setiap patah perkataan yang dibuat mestilah dengan kerelaannya sendiri, tanpa ada dorongan daripada pihak lain.

Segala keterangan yang dibuat oleh orang yang kena tuduh hendaklah dibuat dalam bentuk tulisan dengan lengkap dan mestilah ditunjuk semula kepada tertuduh. Apabila tertuduh mengakui dan memastikan segala keterangan yang diberi adalah benar, maka ia perlu menandatangani atau tanda cap jari terhadap kenyataan tersebut.

Apabila soal siasat selesai dijalankan dan semua perkara -perkara yang berkaitan telah dicatat dengan lengkap, maka fail mengenai kes tersebut boleh dibuka dan proses penyediaan fail telah bermula. Nombor kes akan disenaraikan pada fail berkenaan dan setelah semua dokumen-dokumen berkenaan telah lengkap dan ianya diserah kepada pihak pendakwa untuk proses pendakwaan.

Pihak mahkamah perlu menyatakan di dalam pertuduhan tersebut mengenai butir-butir lengkap orang yang kena tuduh seperti nama, alamat, tempat dan waktu kesalahan tersebut dilakukan. Ia adalah bertujuan supaya tertuduh mengetahui mengenai perkara yang dipertuduhkan ke atasnya.

Pada peringkat ini pihak mahkamah juga turut terlibat, yang mana ia mestilah mengeluarkan saman terhadap orang yang kena tuduh supaya hadir ke mahkamah untuk perbicaraan seperti tarikh dan masa yang telah ditetapkan. Di samping itu mahkamah hendaklah, memastikan kebenaran mengenai biodata peribadi orang yang kena tuduh supaya kesilapan tidak berlaku pada saman tersebut.

Proses pendakwaan bermula setelah selesai pertuduhan dan selesai penyampaian saman terhadap orang yang kena tuduh. Saman yang dikeluarkan oleh mahkamah, hendaklah ditandatangani oleh hakim dan mesti mengandungi meterai mahkamah. Dalam saman itu hendaklah dinyatakan secara am jenis kesalahan yang dipertuduhkan ke atasnya bersama dengan hubungan yang boleh dikenakan mengikut undang-undang.




4.4 PERBICARAAN

Apabila pertuduhan dan pendakwaan telah selesai dan semua kenyataan telah lengkap seperti yang ditetapkan oleh undang -undang maka perbicaraan sebenar akan bermula. Proses -proses perbicaraan mestilah dijalankan mengikut prosedur sebagai yang dijelaskan oleh seksyen 96, Akta Prosedur Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan.

Setelah pihak pendakwa dan orang yang kena tuduh telah mengemukakan hujah masing -masing, terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk mesabitkan orang kena tuduh itu dengan kesalahan tersebut atau sebaliknya. Jika mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah, mahkamah boleh membebaskan orang kena tuduh terhadap kesalahan itu dengan syarat ia mestilah merekodkan pembebasan tersebut. Sekiranya mahkamah mendapati tertuduh bersalah berdasarkan hujah -hujah pihak pendakwa atau pengakuan orang kena tuduh, mahkamah hendaklah menjatuhkan hukuman seperti mana yang ditetapkan oleh undang-undang.

Sesuatu perbicaraan tidak mendatangkan apa-apa masalah sekiranya tertuduh mengaku bersalah di atas apa yang disabitkan ke atasnya. Walau bagaimanapun permasalahan akan wujud sekiranya orang yang kena tuduh tidak mengaku bersalah dan perbicaraan tersebut terpaksa ditangguhkan dan sekaligus akan mengambil masa panjang untuk meyelesaikan kes tersebut.

Sekiranya orang yang kena tuduh tidak berpuas hati di atas hukuman yang telah dijatuhkan oleh pihak mahkamah, maka ia boleh mengemukakan rayuan kepada mahkamah. Rayuan tersebut mestilah mengikut prosiding sebagaimana yang telah ditetapkan di bawah seksyen 100(2) Akta Prosedur Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan. Rekod mengenai rayuan hendaklah disahkan dengan ditandatangani oleh Hakim dan difailkan mengikut apa -apa cara yang diarahkan oleh Ketua Hakim syarcie.

4.5 BEBAN PEMBUKTIAN

Seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan bahawa ianya bersalah atau seseorang itu bebas daripada menanggung sesuatu tanggungan melainkan ia dibuktikan sebaliknya. Perkara ini adalah berdasar prinsip baracah zimmah dan baracah asliyyah.

Mengikut Akta Keterangan, beban pembuktian bagi kesalahan khalwat adalah ditanggung oleh pihak pendakwa. Pembuktian boleh dibuat dengan cara memberi keterangan -keterangan dan bukti -bukti yang jelas serta boleh memuaskan pihak mahkamah. Sekiranya wujud keraguan di dalam pembuktian, pihak mahkamah boleh melepaskan sesuatu tuduhan tanpa dibenar sebarang hukuman.

Pihak pendakwa mestilah membuktikan kebenaran dan kesahihan mengenai dakwaannya. Biasanya pembuktian bagi kes khalwat dibuat adalah berdasarkan jawapan-jawapan yang diberi oleh tertuduh terhadap soalan -soalan yang dikemukakan oleh pendakwa raya. Di samping itu juga keterangan saksi-saksi dari pihak pendakwa juga boleh dijadikan sebagai bahan bukti untuk mensabitkan seseorang itu dengan kesalahan jenayah khalwat.

Beban pembuktian ialah sebanyak manakah sesuatu keterangan itu diperlukan untuk membolehkan disabitkan sesuatu kesalahan. Dalam erti kata lain, “ beban bukti ” ialah membicarakan jumlah keterangan yang mesti dikemukakan terhadap sesuatu kes atau setakat mana tahap pembuktian yang diperlukan untuk mensabitkan sesuatu kes dalam Islam. Mensabitkan sesuatu kes bermakna mengemukakan keterangan dan memberikan bukti hingga sampai ke tahap yakin. Keyakinan ini pula adalah sabit melalui penglihatan atau keterangan dan dalil.

Pembuktian kes-kes khalwat dibuktikan oleh pendakwa, di samping keterangan dari saksi-saksi dan bukti-bukti yang diperolehi. Orang yang mendakwa hendaklah membuktikan kebenaran dakwaannya. Tanpa sokongan dan bukti sesuatu dakwaan tidak akan dilayan. Rasullullah s.a.w pernah menegaskan bahawa:

Jika manusia dibenarkan setiap dakwaannya tanpa bukti, maka sudah tentu manusia akan mendakwa darah dan harta orang lain, tetapi keterangan di atas yang mendakwa dan sumpah di atas yang didakwa.

Pihak yang mendakwa hendaklah membuktikan dakwaannya, jika tidak dakwaannya akan ditolak kerana ia bertentangan dengan keadaan zahir atau asal sesuatu. Ini berdasarkan kepada kaedah fiqh antaranya:

1. Pada asalnya seseorang itu bebas dari sebarang tanggungan (melainkan dibuktikan sebaliknya).
2. Asal sesuatu tidak wujud (melainkan jika dibuktikan sebaliknya).
3. Pada asalnya sifat mendatang adalah tidak wujud (melainkan dibuktikan sebaliknya).
4. Pada asalnya, sesuatu itu berkekalan kedudukan dan keadaannya seperti di masa lalu (melainkan dibuktikan sebaliknya).
5. Sesuatu yang telah sabit wujudnya di suatu masa lalu dihukumkan sebagai berkekalan wujudnya (sehingga dibuktikan sebaliknya).
6. Keterangan bertujuan mensabitkan sesuatu yang zahir (jelas) dan sumpah pula untuk mengekalkan yang asal.
7. Keterangan di atas yang mendakwa dan sumpah di atas yang ingkar.

4.5.1 Pembuktian Mengikut Kaedah Fiqh

Seterusnya, dihuraikan secara ringkas pembuktian mengikut kaedah fiqh:

الأصل براءة الذمة
Pada asalnya seseorang itu bebas dari sebarang tanggungan

Dalam Islam, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan ianya bersalah. Seseorang itu tidak melakukan jenayah sehingga dibuktikan yang ianya melakukannya. Seseorang itu tidak berhutang sehingga dibuktikan sebaliknya. Kaedah di atas menjelaskan bahawa pada asalnya seseorang itu adalah bebas dari sebarang tanggungan melainkan setelah dibuktikan sebaliknya. Jika orang itu yang mendakwa gagal membuktikan dakwaanya, maka hendaklah dihukum berdasarkan kaedah ini, iaitu seseorang itu pada asalnya sebagai satu anggapan adalah bebas dari sebarang tanggungan melainkan jika dibuktikan sebaliknya. Kaedah ini amat penting di dalam Undang -undang Keterangan Islam.

الأصل العدم
Asal sesuatu itu tiada

Maksud kaedah ini ialah, asal sesuatu itu tidak ada, atau tidak wujud jika tidak dibuktikan sebaliknya. Sebagai contoh, jika berlakunya pertelingkahan di antara suami isteri yang baru berkahwin, salah seorang daripada mereka mengatakan sudah berlakunya persetubuhan sedangkan pihak yang satu lagi mengatakan belum, berdasarkan kaedah ini dakwaan yang mengatakan belum berlaku persetubuhan diterima. Ini kerana pada asalnya tidak berlakunya persetubuhan. Oleh itu beban membuktikan telah berlakunya terletak di atas pihak yang mendakwa telah berlakunya persetubuhan tersebut.

Contoh seterusnya, jika seorang isteri mendakwa yang suaminya telah menceraikannya, sedangkan suaminya menafikan dakwaan tersebut, maka beban membukti penceraian tersebut adalah di atas pihak yang mendakwa kerana pada asalnya tidak berlaku perceraian melainkan dibuktikan sebaliknya.

Jika berlaku pertikaian di antara pengusaha dengan pemodal berhubung dengan keuntungan, misalnya pengusaha menyatakan keuntungan di dalam perniagaan ini adalah sekian -sekian banyak, pemodal pula menyatakan keuntungan di dalam perniagaan adalah lebih dari apa yang dinyatakan oleh pengusaha tersebut, dalam keadaan ini dakwaan pengusaha adalah diterima. Ini kerana pada asalnya keuntungan itu tidak lebih.

Kaedah di atas boleh digunakan untuk menentukan siapakah yang menanggung beban pembuktian dan berat atau tahap pembuktian yang dikehendaki.

الأصل في الصفات العارضة العدم
Pada asalnya sifat mendatang adalah tidak wujud

Kaedah di atas bermaksud sifat yang mendatang atau baharu bagi sesuatu perkara itu pada asalnya tidak wujud. Melainkan setelah dibuktikan sebaliknya.

Sebagai contoh, dalam perusahaan mudharabah, jika berlaku pertikaian di antara pemodal dengan pengusaha dari segi keuntungan, pengusaha mengatakan ada keuntungan, dalam keadaan ini, dakwaan pengusaha adalah diterima kerana pada asalnya sifat yang mendatang, iaitu “untung” tidak wujud. Pemodal yang mendakwa adanya keuntungan hendaklah membuktikan dakwaan tersebut”.

Kaedah ini boleh digunakan untuk menentukan siapakah yang menanggung beban pembuktian dan berat atau tahap pembuktian yang diperlukan.

الأصل بقاء ما كان على ما كان
Pada asalnya sesuatu itu berkekalan kedudukannya seperti di masa lalu

Kaedah ini menjelaskan bahawa sesuatu telah sabit wujudnya pada masa lalu ia disifatkan berterusan pada masa akan datang kerana asal sesuatu itu adalah berterusan dan berkekalan dari masa lalu hingga dibuktikan yang ianya tidak lagi berkekalan atau berterusan wujudnya. Anggapan ini adalah anggapan yang boleh ditolak dengan cara membuktikan sebaliknya.

Sebagai contoh, jika seseorang suami telah meninggalkan isterinya, dan mereka tidak lagi hidup bersama, adakah keadaan demikian telah mengesahkan perceraian dan mereka tidak lagi dikira sebagai suami isteri? Berdasarkan kaedah ini, pada asalnya sesuatu itu berkekalan atau berterusan keadaan atau kedudukannya seperti pada masa lalu, maka perkahwinan mereka masih wujud dan perempuan itu masih merupakan isterinya sehingga dibuktikan sebaliknya.

ما ثبت بزمان يحكم ببقائه ما لم يوجد دليل على خلافه
Sesuatu yang telah sabit wujud pada suatu masa yang telah lalu dihukumkan sebagai berkekalan wujudnya itu sehingga dibuktikan sebaliknya.

Kaedah di atas menunjukkan bahawa sesuatu yang telah terbukti wujudnya pada masa yang lalu itu berkekalan dan berterusan sehingga dibuktikan yang ianya telah tidak wujud. Ini adalah merupakan satu anggapan yang boleh dipatahkan dengan cara membuktikan sebaliknya. Kaedah ini memberi makna yang sama dengan kaedah yang terdahulu. Walaupun kaedah terdahulu lebih tepat untuk dirujukkan kepada “keadaan sesuatu yang telah wujud”, sedangkan kaedah ini dirujukkan kepada perkara “benda yang pernah wujud” pada masa lalu.

Sebagai contoh, apabila telah sabit pada suatu masa bagi seseorang memiliki sesuatu harta (seperti rumah) hendaklah dihukum pemilikannya terhadap harta tersebut berterusan dan berkekalan. Ini bermakna rumah tersebut dihukumkan berkekalan menjadi miliknya, selagi tiada bukti yang menunjukkan sebaliknya. Jadi hendaklah dibuktikan perpindahan milik rumah tersebut telah berlaku.

Kaedah ini dapat memberikan panduan bahawa beban membukti di atas yang mendakwa. Jika telah sabit pada suatu masa yang sesuatu harta itu telah dimiliki oleh seseorang, anggapan terhadapnya ialah pemilikan tersebut berterusan sehingga dibuktikan sebaliknya.

البينة لا ثبات خلاف الظاهر و اليمين لا بقاء الأصل
Keterangan bertujuan mensabitkan sesuatu yang bertentangan dengan zahir (jelas) dan sumpah pula untuk mengekalkan yang asal.

Kaedah ini menjelaskan bahawa sesiapa yang membuat dakwaan berhubung dengan sesuatu perkara yang bertentangan dengan keadaan zahir maka hendaklah ianya membuktikan kebenaran dakwaan atau tuntutannya itu. Ini adalah merupakan kaedah -kaedah umum di dalam semua keadaan, iaitu zahir sesuatu itu adalah sebagai satu anggapan yang kuat sebagai asas untuk diterima. Oleh yang demikian, jika ada yang mendakwa sebaliknya, maka ianya hendaklah disokong dengan bukti yang kuat.

Walaupun demikian anggapan ini boleh dipatahkan dan dibuktikan sebaliknya. Bagi pihak yang kena tuntut atau dakwa memadailah baginya sumpah. Perlu diingatkan bahawa sumpah ini tidak boleh dijadikan pembuktian di dalam kes-kes hudud dan qisas melainkan di dalam al-qasamah. Kaedah ini dengan menghendaki bahawa beban membukti adalah dikenakan ke atas pihak yang mendakwa atau menuntut.

Sebagai contoh, seorang perempuan yang pada zahirnya masih merupakan isteri, jika ia mendakwa yang ianya tidak lagi menjadi isteri, maka hendaklah ianya membuktikan kebenaran dakwaannya itu. Jika ia gagal, sumpah adalah memadai bagi suaminya untuk menafikan dakwaan isterinya itu. Ini berdasarkan kaedah keterangan bertujuan untuk mensabitkan sesuatu yang bertentangan dengan keadaan zahir dan sumpah pula mengekalkan yang asal.

4.5.2 Tahap-Tahap Beban Membukti

Tahap beban membukti ialah sekadar manakah sesuatu keterangan itu diperlukan untuk membolehkan disabit sesuatu kesalahan. Dalam erti kata lain dapat dijelaskan bahawa “berat beban membukti” membicarakan mengenai berapa banyakkah keterangan yang mesti dikemukakan terhadap sesuatu yang dikemukakan atau setakat mana “tahap pembuktian” yang diperlukan untuk mensabitkan sesuatu kes dalam Islam.

4.5.2.1 Tahap Yakin

Mensabitkan sesuatu perkara atau kes, bermakna mengemukakan keterangan dan memberikan bukti hingga sampai ke tahap yakin. Keyakinan ini pula adalah sabit melalui penglihatan atau keterangan dan dalil. Pada asalnya, keyakinan tidak boleh dihapuskan melainkan dengan keyakinan juga. Selepas tahap keyakinan ini ialah tahap “tidak pasti” dan ianya terbahagi kepada tiga jenis iaitu dzan, syak dan waham.

Seperti yang telah kita maklumi, seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan yang ianya adalah bersalah, kerana menjadi keyakinan yang ianya adalah tidak bersalah berdasarkan kaedah fiqh yang menyatakan pada asalnya seseorang itu bebas dari sebarang tanggungan melainkan setelah dibuktikan dengan keyakinan yang lain yang ianya adalah bersalah maka barulah terbukti yang ianya boleh dihilangkan dengan syak. Kaedah fiqh menegaskan, yakin tidak boleh dihilangkan oleh syak, kerana yakin hanya boleh dihilangkan dengan keyakinan yang lain.

Ini bermakna, tahap tertinggi pembuktian ialah sampai kepada yakin seperti untuk mensabitkan kes-kes hudud, kerana berpegang kepada hadis yang memerintahkan agar hukuman hudud dielakkan dari sebarang keraguan.

4.5.2.2 Tahap Dzan

Dzan bermaksud, sangkaan atau di dalam keadaan tidak pasti tetapi lebih mirip kepada benar. Tahap ini tidak cukup untuk mensabitkan sesuatu kes. Dzan adalah lawan kepada yakin. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t:

Maksudnya:
(Pada hal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (ictiqad)

Ayat di atas menjelaskan bahawa dzan tidak boleh menentukan kebenaran. Tambahan pula jika telah jelas kemelesetan dan salahnya. Ini disebut di dalam kitab Al-Ashbah Wan Nazair dan Majallah Al -Ahkam:

لا عبرة للظن البين خطاءه
Tidak diiktibar (diambil kira) sangkaan yang jelas salahnya

Kaedah ini menjelaskan bahawa dzan yang jelas salahnya tidak menepati kebenaran dan menyimpang darinya, hendaklah ditinggalkan dan tidak boleh diambil kira. Dalam surah Yunus pula menjelaskan dzan tidak dapat menentu atau memastikan kebenaran. Ini adalah secara umum. Namun demikian di dalam beberapa keadaan walaupun ianya tidak dapat mempastikannya.

Ini dapat difahami dari firman Allah s.w.t:

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.

Berdasarkan kenyataan bahawa adakalanya dzan ini menepati kebenaran maka dzan yang sampai ke tahap Al-Dzan Al-Ghalib atau “ berat sangka ” adalah diterima di dalam keterangan dan pembuktian dan ianya mengambil tempat yakin semasa gagal untuk sampai ke tahap yakin. Sebagai contoh, jika sebuah kapal telah karam di tengah lautan, maka bolehlah dihukumkan penumpang-penumpang kapal tersebut sebagai telah mati berdasarkan berat sangka atau “dzan al-ghalib”.

Boleh dikatakan bahawa bukanlah semua kes yang dikehendaki untuk dibuktikan sehingga semua kes dikehendaki untuk dibuktikan sehingga ke tahap yakin dan tanpa sebarang keraguan. Jika boleh dibuktikan ke tahap yakin maka ianya adalah lebih baik, tetapi jika tidak, maka di tahap ghalabah al-dzan pun sudah mencukupi.

4.5.2.3 Tahap Syak

Syak ialah sangkaan atau keadaan tidak pasti di antara sabit dengan tidak sabit, persamaan kemungkinan di antara benar dengan salah atau tidak dapat untuk dipilih di antara dua kerana persamaan tahap kemungkinannya.

Kaedah fiqh menjelaskan:
اليقين لا يرفع با لشك
Yakin tidak terangkat melalui syak

Ini bermakna keyakinan tidak boleh dikalahkan atau diketepikan oleh syak kerana yakin adalah satu tahap yang paling tinggi sedangkan syak adalah satu tahap yang rendah, iaitu tahap kemungkinan. Oleh yang demikian, kemungkian tidak boleh mengenepikan atau mengalahkan keyakinan. Kaedah fiqh juga ada menjelaskan:

اليقين لا يزول بالشك
Yakin tidak boleh dihilangkan dengan syak

Kaedah ini adalah penting sebagai asas bagi menentukan tahap atau berat beban bukti yang diperlukan dalam sesuatu kes.

4.5.2.4 Tahap Waham

Waham ialah sangkaan atau keadaan tidak pasti yang lebih mirip kepada salah, ianya lawan dzan. Waham tidak harus diambil kira dan hendaklah ditolak. Ini bermakna waham tidak boleh dijadikan asas pensabitan.

Kaedah fiqh menegaskan:

لا عبرة للكتوهم
Waham tidak diambil kira (diiktibar)

Termasuk dalam kategori ini ialah “Kemungkinan semata -mata” tanpa alasan atau keterangan. Kemungkinan seperti ini adalah ditolak dan tidak boleh diambil kira di dalam pensabitan kerana, jika kemungkinan tersebut mempunyai alasan atau dalil maka ianya bukan lagi merupakan “kemungkian semata-mata” dalam keadaan ini ianya boleh diambil kira.

Kaedah fiqh ada menegaskan:

لا حجة مع احتمال الناشىء عن الدليل
Tiada menjadi hujjah (keterangan) dengan adanya kemungkinan yang lahir dari dalil alasan yang kuat

Ini bermakna, sesuatu hujjah untuk memperkukuhkan keputusan adalah diketepikan atau tidak diambil kira dengan adanya kemungkinan yang lahir daripada dalil atau sebab yang kuat yang menyebabkan boleh ditolak atau diketepikan keputusan berdasarkan hujjah tersebut. Sebagai contoh, jika seseorang itu berikrar bahawa ianya berhutang kepada salah seorang warisnya. Jika ikrarnya ini dilakukan semasa ia sedang sakit marad al-maut maka ikrarnya adalah hujjah, adalah tidak sah selama mana ianya tidak diakui oleh waris -waris lain, kerana ada kemungkinan yang marad al-maut melakukan ikrar tersebut dengan tujuan mengharamkan atau menafikan hak waris-waris lain terhadap harta tersebut, kemungkinan ini adalah dalil atau alasan yang kuat untuk mengenepikan ikrar, iaitu ikrar yang dibuat semasa marad al -maut. Tetapi jika ikrar tersebut dibuat semasa sihat maka ianya sah.

Di dalam keadaan marad al -maut, ikrar tersebut tidak menjadi hujjah kerana adanya kemungkinan yang diperkuat dengan dalil. Di dalam keadaan kedua ianya diterima dan sah, kerana ada kemungkinan itu adalah kemungkinan semata -mata, dengan itu ianya tidak boleh mengatasi iqrar sebagai bukti

Dari keterangan di atas, adalah jelas bahawa kemungkinan boleh dibahagikan kepada dua jenis:

1. Kemungkinan semata -mata. Ianya tidak lahir atau diperkuatkan dengan keterangan dan bukti. Kemungkinan jenis ini adalah termasuk di dalam kategori waham, ianya hendaklah ditolak.

2. Kemungkian yang lahir atau diperkuat dengan keterangan dan bukti. Kemungkinan jenis ini boleh diterima. Malahan adakalanya diutamakan di atas keterangan dan bukti yang lain.

4.6 PELAKSANAAN HUKUMAN MENURUT PERUNTUKAN UNDANG –UNDANG

Bagi kesalahan khalwat terdapat dua jenis hukuman yang diperuntukkan untuk kesalahan jenayah syariah ini. Yakni berupa denda dan juga penjara.

4.6.1 Denda

Denda yang diperuntukkan bagi kesalahan jenayah khalwat ialah tidak melebihi tiga ribu ringgit.

4.6.2 Penjara

Manakala bagi hukuman penjara telah diperuntukkan juga jika pihak yang kena tuduh disabitkan dengan kesalahan jenayah khalwat. Yakni pihak yang telah disabitkan dengan kesalahan khalwat boleh dipenjarakan tidak melebihi satu tahun. Walau bagaimanapun pihak yang disabitkan dengan kesalahan khalwat boleh didenda dengan kedua-dua hukuman di atas sekali gus. Yakni dikenakan denda disamping turut dikenakan hukuman penjara.

4.7 KAJIAN KES

4.7.1 Rushidah Binti Abdul Ghani Lawan Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Di dalam kes ini tertuduh ialah Rushidah Bt Abdul Ghani telah mengaku bersalah di atas tuduhan khalwat dan telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM 400 dan penjara selama dua bulan. Tertuduh telah membuat rayuan terhadap hukuman itu dan Pengerusi Lembaga Rayuan Syariah telah memutuskan untuk membatalkan hukuman penjara yang dikenakan ke atas perayu akan tetapi mengesahkan hukuman denda RM 400 yang dikenakan ke atasnya.

Di dalam kes ini pihak pendakwa berjaya membuktikan bahawa tertuduh melakukan jenayah khalwat. Tertuduh telah didapati berkhalwat dengan seorang lelaki bernama Yahya Bin Mohd Isa, yang bukan suaminya, muhrimnya mengikut hukum syarak. Setelah dibacakan tuduhan ia mengaku faham dan mengaku salah.

4.7.2 Bashirah Binti Abdullah Lawan Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Di dalam kes ini tertuduh telah dituduh dengan kesalahan berkhalwat dengan seorang lelaki. Orang lelaki itu telah dituduh lebih awal dan apabila ia mengaku bersalah, ia telah dilepaskan dengan bon jamin. Tertuduh turut mengaku bersalah tetapi dia dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 500 atau jika tidak bayar tertuduh akan dipenjarakan selama dua bulan. Tidak ada apa-apa kenyataan fakta yang diberikan kepada mahkamah dan fakta itu juga tidak diakui betul oleh tertuduh. Di dalam kes ini, Lembaga Rayuan Syariah memutuskan bahawa hukuman yang telah diputuskan adalah terlalu berat dan telah dikurangkan kepada RM 250 atau sebulan penjara.

4.7.3 Pendakwa Syarcie Lawan Jaiman Bin Masta @ Mastah Dan Jamidah Binti Abdul Majid

Kes ini adalah berkaitan dengan tuduhan berkhalwat di antara tertuduh pertama iaitu Jaiman Bin Masta @ Mastah dan tertuduh kedua iaitu Jamidah Binti Abdul Majid. Di dalam kes ini, fakta-fakta dan keterangan yang diberi oleh pihak pendakwa serta keterangan saksi-saksi pendakwa yang dipanggil oleh pendakwa bagi menyokong pertuduhannya adalah tidak sampai tahap yakin di mana keterangan di antara saksi -saksi adalah tidak konsisten. Selepas mahkamah menimbang, meneliti dan berpuas hati dari berbagai-bagai sudut dengan bersandar kepada akta dan undang -undang yang diterima pakai, hukum syarak dan prinsip asas dalam jenayah untuk menentukan sesuatu kesalahan telah berlaku iaitu “tiada sebarang kemungkinan boleh menimbulkan keraguan yang munasabah”. Oleh itu, mahkamah telah memutuskan tertuduh pertama dan kedua dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Berdasarkan kepada ketiga-tiga kes di atas, dapat dirumuskan bahawa jika mengikuti prosedur tangkapan khalwat yang telah ditetapkan dan berjaya membuktikan bahawa tertuduh memang melakukan kesalahan khalwat secara umumnya kemenangan adalah di pihak pendakwa. Walau bagaimanapun, jika terdapat sebarang keraguan terhadap kesalahan khalwat yang telah disabitkan ke atas tertuduh, maka hukuman boleh digugurkan, dan tertuduh dibebaskan. Maksudnya pendakwaan tidak boleh diteruskan.

4.8 KESIMPULAN

Pendakwaan ke atas tertuduh bagi kesalahan jenayah khalwat adalah tertakluk kepada seksyen 27 Akta 559 bagi kawasan Wilayah Persekutuan, tatacara perbicaraannya dan sebagainya. Pihak pendakwa mestilah mempunyai bukti yang kukuh untuk mensabitkan tertuduh bagi kesalahan khalwat ini. Sebagai contoh mengemukakan saksi dan sebagainya. Ini kerana beban pembuktian terletak di bahu pihak pendakwa. Oleh itu sebarang keraguan yang timbul di atas pendakwaan yang dibuat terhadap tertuduh boleh menimbulkan kelemahan di pihak pendakwa.

BAB V

PENUTUP


5.1 RUMUSAN

Khalwat adalah satu jenayah syariah yang boleh mendorong seseorang terjerumus ke arah perzinaan. Dewasa ini khalwat lebih tertumpu kepada maksud perbuatan tidak bermoral. Berbeza dengan zaman Rasulullah, khalwat lebih diertikan kepada mendekatkan diri kepada Allah.

Jenayah khalwat ini kian berleluasa, khususnya di kawasan Wilayah Persekutuan. Walaupun terdapat peruntukan undang-undang mengenai jenayah khalwat, namum ia seolah-olah tidak berkesan untuk membendeung jenayah khalwat ini, baik terhadap golongan yang belum atau pun yang sudah pun berkahwin.

Namun berdasarkan pemerhatian dan kajian pengkaji, kesalahan jenayah khalwat ini tidak dipandang remeh oleh pihak yang berkuasa terutamanya oleh Pihak Penguat Kuasa Agama. Saban hari usaha membanteras, serbuan dan tangkapan khalwat dilakukan untuk mencegah perbuatan yang tidak bermoral itu. Walau bagaimana pun pihak yang berkuasa terikat dengan prosedur tangkapan khalwat dan tatacara pendakwaannya di mahkamah.

CADANGAN

Pihak yang berkuasa dan orang ramai perlu bekerjasama dalam membanteras jenayah khalwat ini. Ini adalah bertujuan untuk mengawal agar ianya tidak terus berleluasa. Pendidikan agama haruslah diterapkan dalam diri setiap orang. Dengan pengetahuan agama yang mendalam sudah pasti seseorang itu akan takut untuk menghampiri khalwat yang menjurus ke arah perzinaan. Ini kerana Allah s.w.t telah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang melakukan perbuatan maksiat itu.

Di sini pengkaji mencadangkan agar hukuman yang ditetapkan bagi kesalahan khalwat ini ditambah atau diperberatkan lagi, agar ramai yang takut untuk melakukan kesalahan itu. Ini kerana jika hanya didenda dengan sejumlah mata wang ia adalah tidak mendatangkan masalah kepada orang yang kaya atau mampu untuk melangsaikan denda tersebut. Berdasarkan kajian kes yang dilakukan oleh pengkaji hukuman penjara yang diperuntukkan bagi kesalahan khalwat ini sering diabaikan. Di sini pengkaji mencadangkan agar kesalahan khalwat ini dendanya lebih menjurus kepada hukuman penjara.

Kredit to: Mahir Al-Hujjah

Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment