A. SAYIDINA ABU BAKAR AS SIDDIQ
Khalifah ur
Rasyidin yang pertama dan Sahabat utama Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar As
Siddiq pernah meninggalkan pesan, katanya:
1. Siapa yang memasuki kubur dengan tidak membawa bekalan
samalah seperti orang yang belayar di lautan dengan tidak berperahu.
2. Kegelapan itu ada lima perkara dan penerangnya juga ada
lima perkara iaitu:
a. Cinta dunia itu kegelapan dan
penerangnya adalah taqwa.
b. Dosa itu kegelapan dan penerangnya
adalah taubat.
c. Akhirat itu kegelapan, penerangnya
adalahamal soleh.
d. Kubur itu kegelapan, penerangnya
adalah kalimah ‘La ilaha illallah Muhammadur Rasulullah.’
e. Siratul Mustaqim itu kegelapan,
penerangnya adalah yakin.
3. Sesungguhnya iblis itu berdiri di hadapanmu, nafsu di
sebelah kananmu, dunia di belakangmu, anggota di sekelilingmu dan Allah juga
bersamamu. Iblis yang dilaknat menyuruhmu meninggalkan agama. Nafsu menyuruhmu
berbuat maksiat. Keinginan hawa nafsu menyerumu ke arah syahwat. Dunia menyeru
supaya memilihnya daripada Akhirat. Anggotamu menyerumu berbuat dosa. Allah
menyerumu ke Syurga dan keampunan-Nya. Siapa yang menyahut seruan iblis
terkeluarlah agamanya. Siapa yang menyahut seruan nafsu terkeluar rohnya (roh
kemanusiaan). Siapa yang menyahut seruan syahwat, terkeluar akalnya. Siapa yang
menyahut seruan anggota, terkeluarlah Syurganya. Siapa yang menyahut seruan
Allah, terkeluarlah kejahatannya dan memperolehi segala kebaikan.
4. Sayidina Abu Bakar berkata: Terdapat lapan perkara yang
menjadi perhiasan kepada lapan perkara: – Menjaga perkara yang haram, perhiasan
kepada fakir. – Syukur perhiasan kepada nikmat – Sabar perhiasan kepada bala.–
Tawaduk perhiasan kepada kemuliaan. – Berlemah lembut perhiasan kepada ilmu. –
Merendah diri perhiasan kepada orang yang bercakap.– Meninggalkan riyak
perhiasan kepada kebaikan. – Khusyuk perhiasan kepada sembahyang.
5. Sesungguhnya hamba itu apabila datang ujub dengan sesuatu
dari perhiasan dunia nescaya Allah memurkainya hingga dia menceraikan perhiasan itu.
6. Moga-moga aku jadi pokok kayu dicantas kemudian dimakan.
7. Dia berkata kepada para Sahabat: Sesungguhnya aku telah
mengendalikan urusan kamu, tetapi bukanlah aku ini orang yang paling baik di
kalangan kamu maka tolonglah aku, kalau aku berlaku lurus maka ikutilah aku
tetapi kalau aku menyeleweng betulkan aku.
B. SAYIDINA UMAR AL KHATTAB
1. Khalifah kedua, Sayidina Umar berpesan:
– Siapa yang menjaga percakapannya dianugerahkan kepadanya
hikmah.
– Siapa yang menjaga penglihatannya dianugerahkan kepadanya
hati yang khusyuk.
– Siapa yang menjaga makanannya dianugerahkan kepadanya
kelazatan dalam beribadah.
– Siapa yang bersabar di atas ujian, Allah sempurnakan
sabarnya lalu memasukkannya ke dalam Syurga mana yang dia suka.
– Siapa yang menjaga daripada ketawa dianugerahkan kepadanya
kehebatan.
– Siapa yang menjaga daripada bergurau dianugerahkan
kepadanya keelokan atau kemuliaan.
– Siapa yang meninggalkan cinta dunia dianugerahkan
kepadanya dapat melihat kesalahan sendiri.
– Siapa yang meninggalkan kesibukan mencari kesalahan pada
perbuatan Allah, dianugerahkan kepadanya pelepasan daripada nifak.
2. Jika
tidaklah kerana takut dihisab sesungguhnya aku perintahkan kamu membawa seekor
kambing untuk dipanggang di depan pembakar roti ini.
3. Siapa takut kepada Allah SWT, nescaya marahnya tidakdapat
dilihat. Dan siapa takutkan Allah, kehendaknya akan ditunaikan.
4. Wahai Tuhan, jangan Engkau jadikan kebinasaan umat
Muhammad SAW di tanganku.
5. Termaktub dalam sepucuk surat khalifah Umar kepada Abu
Musa Al Asyaari: “Milikilah sifat sabar. Sifat sabar itu ada dua. Sabar yang
pertama lebih afdhal dari sabar yang kedua iaitu sabar dalam meninggalkan
larangan Allah SWT dan sabar dalam menghadapi musibah. Ketahuilah bahawa sabar
itu sangkutan iman (orang yang bersabar akan mendapat iman) kerana kebajikan
yang paling utama adalah taqwa dan taqwa hanya dapat dicapai dengan sabar.”
C. SAYIDINA USMAN IBNU AFFAN R.A.
Mari kita lihat pula kata-kata hikmah daripada khalifah
ketiga, Sayidina Usman Ibnu Affan r.a. Di antaranya:
1. Aku mendapat kemanisan ibadah dalam empat perkara:
a. Sewaktu menunaikan apa yang
difardhukan Allah.
b. Meninggalkan apa-apa yang Allah
haramkan.
c. Ketika menyeru kepada kebaikan.
d. Ketika mencegah kemungkaran dan
menjaga diri daripada membuat perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah.
2. Katanya lagi: Empat perkara yang pada zahirnya fadhilat
dan pada batinnya wajib:
a. Bergaul dengan orang soleh itu fadhilat, mengikut amalan mereka
itu wajib.
b. Membaca Al Quran itu fadhilat, beramal
dengannya itu wajib.
c. Menziarahi kubur itu fadhilat,
bersedia untuknya itu wajib.
d. Menziarahi orang sakit itu fadhilat,
menunaikan wasiat itu wajib.
3.
Pesanannya: Antara tanda-tanda ‘arifin itu ialah:
a. Hatinya berserta takut dan harap.
b. Lidahnya bertahmid dan memuji Allah.
c. Matanya berserta malu melihat perkara
yang dilarang dan banyak menangis. d. Kehendaknya bersih dari cinta dunia dan
bertujuan menuntut keredhaan Allah.
D. SAYIDINA ALI ABU TALIB K.W.
Khalifah keempat, Sayidina Ali k.w. berkata:
1. Ilmu itu sebaik-baik pusaka. Adab itu sebaik-baik sifat.
Taqwa itu sebaik-baik bekalan. Ibadah itu sebaik-baik barang perniagaan.
2. Siapa yang tinggalkan dunia, dikasihi oleh Allah. Siapa
yang tinggalkan dosa, dikasihi oleh malaikat. Siapa tinggalkan tamak, dikasihi
oleh orang-orang Islam.
3. Siapa yang tidak ada padanya sunnah Allah, sunnah Rasul
dan sunnah wali-Nya, maka tiadalah apa-apa kebaikan padanya. Ditanya orang pada
Sayidina Ali k.w., “Apakah sunnah Allah?” Sayidina Ali menjawab, “Menyembunyikan
rahsia (misalnya menutup aib orang lain).” Ditanya lagi, “Apakah pula sunnah
Rasulullah?” ayidina Ali berkata, “Berlemah lembut dengan sesama manusia.”
Ditanya lagi, “Apakah pula sunnah wali-Nya?” Sayidina Ali menjawab, “(Sabar
dalam) menanggung penderitaan.”
4. Susah sekali melakukan kebaikan pada empat tempat: –
Memberi maaf ketika marah.– Bersedekah ketika kesempitan.– Menjauhi perkara
haram ketika seorang diri. – Berkata benar kepada orang yang ditakuti atau
orang yang selalu menolong.
5. Memadai aku merasa mulia bahawa Engkau Tuhan bagiku dan
memadailah aku merasa bangga bahawa aku menjadi hamba-Mu. Engkau yang aku
cintai maka berilah aku taufik (agar dapat melakukan perkara-perkara yang
Engkau cintai).
6. Hendaklah kamu lebih mengambil berat bagi diterima
amalamal kamu daripada beramal. Sesungguhnya sangat besar nilainya amalan yang
disertai taqwa dan betapa lagi kalau amalan itu diterima.
7. Janganlah mengharap seorang hamba itu melainkan Tuhannya
dan janganlah dia takut melainkan dosanya.
8. Tiada kebaikan ibadah tanpa ilmu dan tiada kebaikan ilmu
tanpa faham dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tiada perhatian.
9. Dasar kekafiran itu dikelilingi oleh empat tiang iaitu
kasar hati, buta fikiran, lalai dan prasangka.
10. Orang berhati kasar akan menghina kebenaran, menunjukkan
kejahatan dan mengutuk orang-orang pandai.
11. Buta hati akan lupa zikrullah.
12. Orang yang syak wasangka akan tertipu oleh angan-angan.
Sampai masanya dia ditimpa kecewa dan sesal tidak berhujung kerana diperlihatkan
Allah hal-hal yang selama ini tidak dikiranya.
Source: http://jiwajuang.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment