Wednesday, 19 December 2012

Jenayah Dalam Keluarga: Penderaan Dan Pengabaian Warga Tua Di Malaysia

Wajahmu menggambarkan keringatmu membesarkan daku...(gambar hiasan)
Penulis: Jal Zabdi Mohd Yusoff (jalzabdi@um.edu.my)
Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya

Abstrak
 
Kurangnya penulisan dan pendedahan kepada masyarakat di Malaysia mengenai kejadian penderaan atau pengabaian yang melibatkan warga tua sebagai mangsa tidak menjadikan salah satu bentuk jenayah dalam keluarga ini sebagai kurang serius. Pada masa yang sama, terdapat sebilangan daripada ahli masyarakat merasa ragu dan sukar untuk mempercayai bahawa ada ahli keluarga yang lebih tua menjadi mangsa penderaan atau pengabaian. Walau bagaimanapun, adalah jelas terdapat peningkatan dalam kes-kes penderaan yang melibatkan warga tua. Kajian-kajian terdahulu dan juga kes-kes yang telah dilaporkan juga menunjukkan bahawa kesan daripada penderaan atau pengabaian warga tua adalah serius sehingga boleh membawa kepada kematian. Disamping itu, terdapat juga keadaan yang mana warga tua ini dibiarkan hidup melarat oleh anak-anak mereka sendiri. Kejadian-kejadian ini telah mengundang persoalan apakah bentuk perlindungan terutamanya dari segi undang-undang yang telah disediakan oleh kerajaan Malaysia kepada rakyatnya terutama warga tua. Oleh itu, dalam artikel ini penulis ingin mengupas mengenai kerangka undang-undang yang sedia ada di Malaysia untuk menangani jenayah penderaan dan pengabaian warga tua.

Pengenalan

‘Rumah bukanlah lagi satu tempat yang selamat’ merupakan ungkapan yang sering diperkatakan oleh pengkaji-pengkaji jenayah dalam keluarga apabila membincangkan mengenai penderaan kanak-kanak dan penderaan isteri. Ungkapan ini diperkukuhkan lagi dengan berlakunya keganasan terhadap warga tua yang pada lazimnya merupakan ibu atau bapa/ibu atau bapa mertua kepada pendera. Sekiranya penderaan kanak-kanak yang dikenali sebagai battered child syndrome dan penderaan isteri sebagai battered wife syndrome, penderaan warga tua dikenali pada peringkat awal sebagai granny-bashing oleh penyelidikpenyelidik yang terdahulu. Walau bagaimanapun, apa yang membimbangkan ialah perhatian tidak seimbang telah diberikan kepada penderaan warga tua ini jika dibandingkan dengan penderaan kanak-kanak ataupun penderaan terhadap isteri. Hakikat ini diakui oleh ramai penyelidik-penyelidik terdahulu. Sebagai contoh, di Malaysia sendiri tidak terdapat data yang lengkap mengenai kejadian penderaan atau pengabaian warga tua. Di samping itu, laporan-laporan dalam akhbar-akhbar berkenaan dengan kes penderaan atau pengabaian warga tua juga tidak sehebat penderaan kanak-kanak atau wanita. Kajian terdahulu mendapati keadaan ini mungkin disebabkan oleh jumlah kanak-kanak yang lebih ramai jika dibandingkan dengan warga tua. Kajian berkenaan juga mendapati kurangnya laporan berkenaan dengan penderaan warga tua berpunca daripada kurang pengetahuan di kalangan editor akhbar berkenaan isu penderaan dan pengabaian warga tua. Di Malaysia juga, isu penderaan dan pengabaian warga tua juga tidak banyak diperbincangkan. Keadaan ini menyebabkan kesukaran untuk mendapat bahan-bahan rujukan bagi tujuan penulisan mengenai isu penderaan warga tua.Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna penderaan terhadap warga tua sama ada di Malaysia atau negara lain tidak serius. Justeru itu, dalam artikel ini penulis akan membincangkan mengenai isu penderaan dan pengabaian warga tua dan perlindungan yang diperuntukkan oleh undang-undang kepada mereka di Malaysia.

Penderaan Warga Tua Secara Sepintas Lalu

Kejadian penderaan dan pengabaian warga tua juga merupakan masalah yang wujud di hampir semua negara di dunia sebagaimana kes penderaan kanak-kanak dan juga wanita. Terdapat kes-kes yang dilaporkan yang mana menunjukkan terdapat warga tua yang diabaikan atau dicederakan sehingga ada yang meninggal dunia. Lebih memeritkan ialah orang yang melakukan penderaan ini adalah anak kandung ataupun menantu mangsa sendiri.  Sebagai contoh, dilaporkan bahawa seorang pemuda telah dijatuhkan hukuman penjara selama 4 bulan oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku salah memukul bapanya dengan kerusi. Menurut tertuduh beliau melakukan perbuatan tersebut kerana bapanya sering mabuk dan marah-marah. Terdapat pelbagai faktor yang dikatakan menjadi punca berlakunya penderaan atau pengabaian kepada warga tua. Kajian perubatan yang dijalankan di Jepun mendapati antara penyebabnya adalah kemiskinan dan juga ketagihan alkohol. Manakala kajian-kajian lain mendapati penderaan warga tua juga disebabkan oleh antara lain, keadaan kesihatan mangsa, kelakuan mangsa, budaya yang membenarkan penderaan atau pengabaian, dan pertelingkahan antara mangsa dan pendera. Walau apa pun alasan yang diberikan tentang punca berlakunya perbuatan jenayah ini, kejadian penderaan warga tua sukar untuk diterima kerana budaya masyarakat timur ini sentiasa menghormati orang tua. Menurut ajaran Islam, ibu bapa adalah orang yang sepatutnya dimuliakan oleh anak-anak. Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Al-Israa' ayat 23-24 yang bermaksud:

Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan pemeliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka sebarang perkataan kasar sekalipun perkataan 'ah' dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia yang bersopan santun. Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri kepada keduanya kerana balas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah untuk mereka dengan berkata: Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik semasa kecil.

Dalam surah Al Ahqaaf ayat 15, Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud:
 
Dan Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. 

Rasulullahlah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: Adakah kalian mahu ku beritahu tentang dosa-dosa yang besar? Para sahabat menjawab: Kami mahu, ya Rasulullah. Rasulullah bersabda: Menyekutukan Allah dan derhaka kepada ibu bapa.

Perkara yang sama juga dituntut oleh masyarakat yang lain. Sebagai contoh, di China yang kebudayaannya dipengaruhi oleh tradisi Confucious antara lain menekankan kepada perhubungan antara anak dan bapa yang dianggap sebagai elemen yang paling penting. Oleh itu, adalah penting untuk ditanamkan kepada masyarakat dan disemaikan kepada generasi muda bahawa warga tua perlu dihormati, dikasihi dan dilindungi.
 
Warga Tua di Malaysia
 
Memandangkan isu penderaan warga tua merupakan sesuatu yang agak baru diperbincangkan secara terbuka di Malaysia, maka sayugia perbincangan dimulakan dengan siapakah yang berada dalam kategori ‘warga tua’. Dasar Warga Tua Kebangsaan mendefinisikan ‘warga tua’ sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Pada masa kini, dianggarkan terdapat lebih 2 juta orang warga tua di Malaysia. Sungguhpun jumlah ini adalah kecil dibandingkan dengan jumlah kanak-kanak dan orang dewasa yang lain (rujuk kepada Jadual 1) tetapi hakikatnya bilangan warga tua di Malaysia bertambah dari tahun ke tahun. Keadaan ini disumbangkan oleh peningkatan dalam tahap ekonomi dan sosial masyarakat. Begitu juga dengan tahap kesihatan di kalangan penduduk Malaysia yang semakin meningkat dengan adanya pelbagai kemudahan perubatan, peningkatan kesedaran mengenai keperluan menjaga kesihatan dan juga persekitaran yang bersih.

Kerangka Undang-Undang Perlindungan Warga Tua di Malaysia

Tanggungjawab melindungi setiap warga negara tanpa mengira sama ada yang muda atau tua, lelaki atau wanita merupakan tugas sesebuah kerajaan. Secara moralnya tugas ini akan menjadi lebih dituntut jika melibatkan mereka yang terlalu muda seperti kanak-kanak dan mereka yang telah tua. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan mengambil langkah-langkah perlu sama ada dari segi pentadbiran dan undang-undang untuk melindungi kumpulan ini. Pada masa yang sama, masyarakat juga harus mengakui hakikat bahawa kejadian penderaan dan pengabaian terhadap warga tua semakin meningkat sungguhpun Malaysia merupakan antara negara yang masih berpegang kepada konsep filial piety atau ketaatan kepada orang tua. Anak-anak adalah dituntut sama ada oleh agama ataupun adat untuk menjaga ibu bapa mereka yang tidak mampu menanggung diri sendiri, melindungi ibu bapa daripada bahaya dan memelihara nama baik keluarga.

Seperti mana penderaan terhadap kanak-kanak dan wanita, penderaan warga tua juga pada peringkat awalnya hanya diklasifikasikan sebagai masalah sosial. Walau bagaimanapun, apabila menyedari masalah ini semakin serius, maka di beberapa negara, penderaan dan pengabaian warga tua yang sering kali dibahagikan kepada penderaan domestik dan penderaan institusi telah dijadikan satu perbuatan jenayah. Pada amnya, bagi kes penderaan warga tua di Malaysia, undang-undang yang terpakai adalah sama seperti dalam kes keganasan rumah tangga yang melibatkan isteri atau suami iaitu Kanun Keseksaan dan Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521). Ini bermakna, secara asasnya, warga tua di Malaysia sememangnya dilindungi oleh undang-undang daripada didera. Akta Keganasan Rumahtangga 1994 telah mendefinisikan ‘orang dewasa tak berkeupayaan’ sebagai seseorang yang pada keseluruhannya atau sebahagiannya tak berkeupayaan atau lemah oleh sebab kehilangupayaan fizikal atau mental atau tidak sihat atau usia tua yang tinggal sebagai seorang anggota keluarga pesalah. Ini bermakna, sekiranya seorang warga tua tinggal sebagai anggota keluarga, maka beliau dikategorikan sebagai ‘orang dewasa yang tidak berkeupayaan’. Sebagai perbandingan, di Singapura, undang-undang yang relevan kepada keganasan rumah tangga adalah the Women Charter (Chapter 353). Walau bagaimanapun, undang-undang di Singapura ini memperuntukkan dengan jelas bahawa antara mereka yang dilindungi adalah pasangan suami isteri/ bekas pasangan suami isteri, anak, ibu bapa atau ibu bapa mertua pasangan suami isteri berkenaan.
 
Secara literalnya, seorang warga tua juga boleh didera atau diabaikan sebagaimana perbuatan-perbuatan ini dilakukan terhadap kanak-kanak dan wanita. ‘Penderaan warga tua’ dikatakan berlaku apabila seseorang yang berada dalam kategori umur ‘warga tua’ telah didera sama ada secara fizikal, seksual, emosi, kewangan atau pengabaian. Menurut Krug et.al, penderaan warga tua adalah: Elder abuse is a single or repeated act or lack of appropriate action, occurring within any relationship where there is an expectation of trust which causes harm or distress to an older person.
 
Di Malaysia, seksyen 2 Akta 521 mendefinisikan ‘keganasan rumahtangga’ sebagai perlakuan mana-mana perbuatan yang berikut:
(a) secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan, atau cuba meletakkan, mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;
(b) menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal;
(c) memaksa mangsa itu dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual atau pun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan;
(d) mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu; atau
(e) melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu, oleh seseorang terhadap—
(i) isteri atau suaminya;
(ii) bekas isteri atau suaminya;
(iii) kanak-kanak;
(iv) orang dewasa tak berkeupayaan; atau
(v) mana-mana anggota lain keluarga;
 
Akta 521 akan terpakai sekiranya perbuatan yang dilakukan itu memenuhi definisi ‘keganasan rumahtangga’ sebagaimana yang ditafsirkan oleh seksyen 2 Akta 521. Sebagai contoh, sekiranya ahli keluarga telah sengaja menyebabkan kecederaan fizikal kepada seorang warga tua yang tinggal bersama, maka ia telah memenuhi definisi ‘keganasan rumah tangga’ dalam Akta 521 dan pada masa yang sama perbuatan berkenaan juga adalah satu kesalahan di bawah seksyen 323 Kanun Keseksaan. Ini bermakna, pendera akan didakwa di mahkamah bagi kesalahan keganasan rumah tangga sekiranya perbuatan yang dilakukannya memenuhi salah satu definisi keganasan rumah tangga dalam Akta 521 dan terdapat peruntukan yang bersalingan dalam Kanun Keseksaan.
 
Remedi

Kepentingan Akta 521 ini ialah ianya memperuntukkan remedi kepada mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Antara remedi yang boleh dipohon oleh mangsa keganasan rumah tangga termasuklah warga tua adalah Perintah Perlindungan Sementara atau dikenali sebagai Interim Protection Order (IPO) yang berfungsi untuk mencegah pendera daripada terus mencederakan mangsa, Perintah Perlindungan, Pampasan, Kaunseling dan beberapa perintah lain. Sebagai contoh, sekiranya seorang warga tua telah dicederakan secara fizikal oleh ahli keluarganya, maka ia memenuhi definisi ‘keganasan rumah tangga’ dalam seksyen 2 Akta 521. Oleh itu, beliau boleh mendapatkan remedi-remedi seperti yang diperuntukkan dalam Akta berkenaan. Walau bagaimanapun, Akta 521 tidak memperuntukkan beberapa jenis penderaan lain yang sering kali dikaitkan dengan warga tua seperti penderaan emosi/psikologi dan penderaan atau eksploitasi secara kewangan. Di samping itu, kekurangan yang ketara di Malaysia adalah dalam kes-kes pengabaian yang melibatkan warga tua. Ini kerana Akta 521 tidak secara jelas memperuntukkan mengenai kesalahan mengabaikan warga tua sedangkan selain daripada penderaan fizikal, pengabaian warga tua juga merupakan antara perbuatan atau ketinggalan yang sering berlaku. Di Singapura, seksyen 3 the Maintenance of Parents Act 1996 memperuntukkan bahawa manamana orang yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak berkemampuan untuk menyara dirinya boleh membuat permohonan kepada Tribunal supaya anaknya  yang berkemampuan tetapi tidak menyaranya untuk membuat pembayaran nafkah sama ada dalam bentuk elaun bulanan, bayaran secara berkala ataupun secara lump sum.
 
Dihujahkan, mendefinisikan dengan jelas sesuatu perbuatan yang merupakan satu kesalahan merupakan perkara yang penting. Ini kerana sekiranya seseorang itu hendak dituduh di mahkamah kerana melakukan sesuatu kesalahan, maka harus dibuktikan salah satunya orang berkenaan telah melakukan perbuatan yang terjumlah kepada satu kesalahan supaya pihak yang dituduh jelas bahawa perbuatan yang dilakukannya adalah satu kesalahan. Definisi yang jelas juga adalah penting untuk mengukur tahap keseriusan kejadian yang berlaku dan juga untuk merangka intervensi yang sesuai bagi menangani masalah berkenaan. Pada masa yang sama, definisi yang jelas juga dapat membantu pihak ketiga membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mengesyaki penderaan atau pengabaian warga tua telah berlaku. Mengenai isu ini, penyelidik-penyelidik terdahulu juga membangkitkan mengenai kesukaran untuk memberi definisi yang tepat kepada ‘penderaan atau pengabaian warga tua’. Sebagai contoh, pengabaian warga tua juga boleh diakibatkan oleh perbuatan yang disengajakan dan juga tidak disengajakan. Kesukaran ini ditambah kerana budaya masyarakat setempat juga boleh menyebabkan satu perbuatan yang dianggap sebagai pengabaian dalam sesuatu masyarakat adalah sebaliknya dalam masyarakat yang lain.

Akta 521 yang berkuat kuasa pada 1996 merupakan Akta yang agak luas pemakaiannya berdasarkan kepada definisi ‘keganasan rumahtangga’ dalam seksyen 2. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada laporan debat Parlimen semasa pembentangan Rang Undang-Undang Keganasan Rumahtangga, adalah jelas bahawa fokus Akta 521 adalah kepada penderaan isteri. Ini boleh dilihat juga dengan usaha pelbagai pertubuhan wanita yang melobi dan mendesak supaya satu akta yang spesifik digubal bagi menangani isu penderaan wanita. Di samping itu, sungguhpun Akta 521 juga terpakai kepada kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak tetapi terdapat satu statut yang juga memperuntukkan mengenai kesalahan penderaan dan pengabaian kanak-kanak iaitu Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Akta Kanak-Kanak 2001 ini memperuntukkan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang mendera atau mengabaikan kanak-kanak. Berkenaan dengan hukuman, sekiranya pendera dituduh dan disabitkan dengan kesalahan mencederakan kanak-kanak di bawah seksyen 323 atau 325 Kanun Keseksaan, maka hukumannya tidak seberat jika dibandingkan dengan keadaan jika orang yang mendera itu dituduh dan disabitkan di bawah Akta 611. Oleh itu, dihujahkan bahawa Akta 521 bukanlah satu statut yang secara khususnya dirangka untuk melindungi warga tua daripada menjadi mangsa penderaan atau pengabaian. Justeru itu, terdapat kebarangkalian remedi-remedi yang ada dalam Akta 521 mungkin kurang sesuai kepada warga tua yang didera atau diabaikan. Sebaliknya jika merujuk kepada Akta 611 yang merupakan Akta spesifik kepada kanak-kanak, peruntukan-peruntukannya adalah khusus kepada kanak-kanak seperti tugas untuk melaporkan kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak, kewujudan Majlis khas yang bertanggungjawab merangka dan melaksanakan program perlindungan kanak-kanak, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak dan juga hukuman yang lebih berat boleh dijatuhkan ke atas mereka yang mendera atau mengabaikan kanak-kanak.Justeru itu, dicadangkan supaya usaha ditumpukan untuk mewujudkan undang-undang yang khusus untuk menangani isu penderaan atau pengabaian warga tua di Malaysia.

Masalah Utama Jenayah Terhadap Warga Tua

Sekiranya kes-kes penderaan kanak-kanak dan wanita berlaku dalam ‘lingkungan kerahsiaan’, maka perkara yang sama juga berlaku bagi kes penderaan dan pengabaian warga tua. Dalam keadaan ini, maka isu utama yang perlu dijawab ialah bagaimana intervensi formal boleh dilakukan jika kes berkenaan tidak dibawa kepada pengetahuan pihak ketiga? Kajian yang dijalankan di Singapura menunjukkan hanya sebahagian kecil sahaja kes penderaan warga tua dilaporkan kepada pihak berkuasa. Menurut Pang Weng Sun: ‘Elder abuse is seldom reported, and even less so in an Asian society where filial piety and respect for the elderly is traditionally highly regarded. ... the relatively low figure of 17 cases of elder abuse out of 62,826 elderly attendances at the Emergency Department is likely to be the tip of the iceberg
 
Keadaan yang sama juga berlaku di China yang mana adat dan budaya masyarakat dilihat sebagai penghalang kes penderaan atau pengabaian warga tua daripada diketengahkan. Kajian yang dijalankan mendapati adat budaya yang melarang perkara sedemikian daripada dibincangkan secara terbuka telah menyebabkan kes penderaan atau pengabaian warga tua kurang dapat dikenal pasti dan dilaporkan kepada pihak berkuasa. Walau bagaimanapun, isu yang sama juga timbul di negara-negara barat yang mana mendapati kes-kes penderaan atau pengabaian warga tua kurang dilaporkan kerana bimbang tindak balas daripada pendera, malu dan tidak percaya kepada sistem perlindungan yang ada. Di samping itu, faktor kebergantungan kepada penderaan, malu dengan kejadian yang berlaku dan kejahilan tentang perkhidmatan sokongan yang disediakan juga menyumbang kepada kurangnya kes penderaan atau pengabaian warga dilaporkan kepada pihak berkuasa. Oleh itu, bagi membolehkan intervensi secara formal dilakukan dengan segera, maka pihak kerajaan harus mempertimbangkan untuk memperkenalkan tugas untuk melaporkan kejadian penderaan atau pengabaian warga tua dalam undang-undang yang berkaitan. Kepentingan tugas untuk melaporkan juga diakui oleh beberapa pengkaji yang mana mereka melihat bahawa salah perkara asas yang perlu ada dalam undang-undang yang melindungi warga tua adalah keperluan untuk melaporkan.

Kesimpulan

Jenayah terhadap warga tua ini adalah perkara yang sangat memalukan apatah lagi berlaku di negara yang menghormati dan menyanjung tinggi ahli masyarakat yang lebih tua. Si anak yang ditatang bagai minyak yang penuh semasa kecil bertukar menjadi si Tanggang moden yang sanggup memukul atau mengabaikan tangan lembut yang membelainya semasa kecil dan tangan sasa yang membanting tulang menyaranya. Sekiranya keadaan seperti ini berlaku, maka intervensi segera oleh pihak kerajaan selaku paren patriae adalah sangat diperlukan kerana warga tua ini juga dijamin hak mereka oleh Perlembagaan Malaysia. Lantaran dari itu, usaha kerajaan melalui agensi-agensi yang terbabit adalah dipuji terutamanya dalam membantu warga tua ini. Walau bagaimanapun, undang-undang masih dilihat sebagai mekanisme penting untuk membantu mengurangkan kes penderaan dan pengabaian warga tua di Malaysia jika tidak untuk menghapuskannya sama sekali. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah mempertimbangkan untuk mewujudkan Daftar bagi merekodkan kes penderaan dan pengabaian warga tua yang dilaporkan di Malaysia. Ini kerana hanya dengan adanya statistik yang lengkap, maka usaha-usaha pencegahan yang lebih berkesan dapat diambil. Keduanya, undang-undang yang spesifik juga diperlukan bagi melindungi warga tua di Malaysia daripada menjadi mangsa anak-anak atau menantu. Ketiga, sebagaimana dalam Akta Kanak-Kanak 2001 yang telah
mengenakan tugas melaporkan kes penderaan dan pengabaian kepada doktor, pengasuh dan ahli keluarga, maka bagi menangani kes penderaan dan pengabaian warga tua dicadangkan peruntukan untuk mewajibkan pihak-pihak tertentu dengan tanggungjawab untuk melaporkan harus diperkenalkan. Adalah menjadi harapan dengan penglibatan lebih banyak pihak dalam usaha untuk menangani jenayah terhadap warga tua, maka kes-kes yang dilaporkan akan semakin berkurangan bukan kerana tidak didedahkan tetapi sememangnya tidak berlaku.

Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment