Gambar Hiasan |
Oleh Ibrahim Abdullah
ANAS bin Malik RA bercerita, ada dua orang bersin dekat Nabi Muhammad
SAW. Baginda mendoakan (tasymit) seorang daripada keduanya, namun tidak
mendoakan seorang yang lain. Ditanya alasannya, Rasulullah menjawab:
“Sebab yang seorang mengucapkan ‘alhamdulillah’, sedangkan yang seorang
lagi tidak membacanya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Jadi orang bersin dan tidak membaca alhamdulillah tidak layak
didoakan kerana tidak bersyukur nikmat yang Allah SWT kurniakan. Pada
hal bersin termasuk antara nikmat daripada Allah yang manfaatnya sangat
besar dan mustajab.
Menurut Ibnu Qaiyyim, bersin dapat mengeluarkan wap dari dalam otak
yang jika dibiarkan (tidak dimanfaatkan) akan berbahaya. (Kitab Zadul
Ma’ad). Bersin adalah mekanisme pertahanan tubuh untuk mencegah masuknya
zat luar ke dalam tubuh. Ketika bersin, udara kotor keluar dengan keras
melalui hidung dan mulut berkecepatan sekitar 161 kilometer/jam. Dr
Michael Roizen, pegawai kesihatan Cleveland Clinics menegaskan, bersin
kegiatan positif kerana berfungsi membersihkan faring (rongga antara
hidung, mulut, dan tenggorakan). Dalam Syarh Riyadhus Salihin, Syeikh
Usaimin mengutarakan, bersin dapat menggiatkan otak dan meringankan
tubuh.
Untuk itulah, setelah bersin, dengan membaca hamdalah, sebagai bukti
bersyukur kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika seorang
di antara kamu bersin, ucapkanlah ‘alhamdulillah’ (segala puji bagi
Allah). Di samping itu orang yang mendengarnya mendoakan dengan ucapan
‘yarhamukallah’ (semoga Allah merahmatimu), orang yang bersin tadi
membaca doa ‘yahdikumullahu wa yusilhu balakum’ (semoga Allah memberikan
hidayah dan memperbaiki keadaanmu.” (Hadis riwayat Bukhari).
Bacaan hamdalah adalah doa paling utama. Imam al-Sindi menyatakan,
hamdalah mengandungi pengertian dua jenis (fungsi) doa, iaitu menyanjung
dan mengingat Allah SWT (zikir), serta mengajukan permohonan agar
nikmat ditambah.
Dengan berzikir saja, Allah menjamin akan memperbaiki lebih daripada
diminta. Firman-Nya dalam hadis Qusi bermaksud : “Siapa yang lebih sibuk
megingati-Ku (berzikir) daripada meminta sesuatu kepada-Ku, ia akan Aku
berikan sesuatu melebihi orang yang memohon.”
Gambar Hiasan |
Lain bersin, lain pula menguap (tatha’ub) bererti layu dan malas.
Menguap terjadi kerana minimumnya oksigen dalam tubuh. Biasanya, orang
menguap apabila tubuh lelah, malas, bosan, atau mengantuk. Nabi SAW
bersabda bermaksud: “Menguap itu daripada syaitan. Oleh itu jika
menguap, tahanlah sedapat mungkin. Sebab jika orang menguap hingga
terucap ‘ha’ , syaitan tertawa menyaksikannya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Sesetengah orang apabila menguap, ia tidak menutupi mulutnya, syaitan
amat menyukai yang demikian, di samping itu juga virus akan keluar dari
mulut seseorang yang boleh menyebarkan penyakit.
Syaitan tertawa gembira dengan tabiat demikian, kerana menyukai
kemalasan dan kedunguan, sedangkan agama sangat anti dengan kemalasan
dan menganjurkan umatnya untuk giat bekerja dan beramal. Nabi SAW pun
selalu berlindung daripada sifat kemalasan dan unsur yang negatif.
Sunnahnya orang bersin merendahkan suaranya. Faedahnya ialah ketika
orang bersin kebanyakannya membuat suara tinggi yang boleh mengganggu,
maka disunnahkan baginya untuk merendahkan suaranya dengan meletakkan
tangannya atau pakaiannya ke wajahnya.
Abu Hanifah meriwayatkan: “Bahawa Nabi SAW apabila bersin Baginda
menutup wajahnya dengan tangan atau pakaiannya dan dengan demikian
Baginda merendahkan suaranya.” Abu Hurairah berkata: “Doakan saudaramu
yang bersin sebanyak tiga kali, kalau lebih daripada tiga maka dia
sedang flu (selesema).”
Dalam hadis yang disebutkan Abu Musa al-Asya’ari pula, berkata:
“Seorang Yahudi bersin di sisi Rasulullah, dia berharap agar Nabi
mengucapkan untuknya yarhamukallah, namun yang Nabi ucapkan adalah:
‘yahdikumullah wa yuslihu balakum.’”
Berdasarkan hadis ini boleh mendoakan ahlu zimmah, apabila mereka
bertahmid setelah bersin, dengan doa hidayah dan taufik kepada keimanan,
dan tidak mendoakan mereka dengan rahmat dan maghfirah, kerana mereka tidak sesuai untuk doa itu, manakala
orang yang bersin di dalam solat boleh bertahmid kepada Allah, namun
tidak boleh bagi orang yang mendengarnya mendoakannya dengan mengucapkan
yarhakumullah.
Adalah perkara yang diperintahkan dan disunnahkan, dan termasuk
perkara kesempurnaan agama dengan mensyariatkan kepada mereka doa yang
mereka ucapkan setelah bersin, yang mana ia adalah nikmat Allah atas
mereka. Maka dengan bersin itu mereka saling mendoakan rahmat dan
memohon kepada Allah hidayah dan baik keadaannya.
Dari al-Barra’ bin ‘Azib, dia berkata: “Nabi memerintahkan kepada
kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara, maka
Baginda menyebutkan, menjenguk orang sakit, mengikuti jenazah, mendoakan
orang bersin, membalas salam, menolong orang yang dizalimi, memenuhi
jemputan, dan memperhatikan keinginan orang yang bersumpah.” (Hadis
riwayat Bukhari, Muslim).
Sumber dari http://www.bharian.com.my/
0 comments:
Post a Comment