Gambar Hiasan |
Biro Wanita ISMA secara dasarnya amat bersetuju dengan inisiatif Baby Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta OphanCARE bagi menangani gejala pembuangan bayi yang semakin serius pada hari ini. Bayi-bayi yang dipelihara sementara itu hendaklah diserahkan kepada ibu bapa angkat mengikut agamanya.
Walau bagaimanapun, Biro Wanita ISMA
berpandangan bahawa usaha yang dilakukan oleh KPWKM menerusi Baby Hatch
tersebut bukanlah penyelesaian kepada masalah yang wujud hari ini. Apa
yang dilakukan itu hanyalah sebahagian daripada jawapan kepada penyakit
mental golongan yang tidak waras yang sanggup membuang bayi sendiri.
Dalam hal ini, kerajaan hendaklah
mengenakan tindakan yang tegas kepada pasangan yang melakukan zina dan
sanggup membuang bayi yang tidak berdosa. Hukuman sebat ke atas pasangan
zina yang belum berkahwin dan rejam kepada pasangan yang telah
berkahwin seperti yang dianjurkan oleh syariat Islam adalah jawapan yang
paling tegas bagi menangani isu yang tidak pernah berkesudahan ini.
Dalam waktu yang sama, usaha menyedarkan
masyarakat terutama golongan remaja, belia dan pekerja kilang tentang
ajaran Islam yang syumul hendaklah dilipatgandakan. Peranan ini adalah
tanggungjawab bersama di antara pihak kerajaan, jabatan agama, masjid,
NGO-NGO Islam, sekolah dan agensi-agensi Islam yang lain. Tanggungjawab
berdakwah bukan sahaja diperintahkan kepada non-muslim sahaja, malah
kepada masyarakat Islam sendiri. Masyarakat Islam adalah golongan yang
lebih utama untuk para pendakwah menyampaikan Islam. Ini kerana mereka
adalah golongan yang telah beragama Islam tetapi lemah kefahamannya
terhadap Islam.
Peranan media massa, samada bercetak
atau elektronik sebagai agen pembentukan keperibadian individu dan
masyarakat juga tidak harus dikesampingkan. Kerosakan akhlak yang
berlaku pada hari ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh media massa
yang terlalu mempromosikan fahaman sekularisme, budaya hedonisme dan
dorongan untuk hidup berfoya-foya. Justeru itu, para petugas media massa
hendaklah memiliki akauntabiliti dan lebih tanggungjawab. Pada masa
yang sama, para pengguna terutama ibu bapa hendaklah lebih bijaksana
dalam memilih dan memantau siaran yang ditonton oleh anak-anak.
ISMA melalui berbagai-bagai agensinya
sentiasa berusaha untuk membantu kerajaan menangani isu-isu sosial yang
melanda masyarakat Melayu di Malaysia. Berpegang kepada motto ‘Mencegah
Lebih Baik Dari Merawat’, ISMA melalui agensi wanita, belia, remaja dan
kanak-kanak cuba mendekati setiap lapisan mesyarakat dengan mengajak
mereka kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. ISMA menyediakan
pelbagai program pembangunan diri dan rohani bagi memastikan
ahli-ahlinya dan juga masyarakat tidak terjebak ke lembah yang hina itu.
Biro Wanita ISMA
Berikut adalah petikan daripada Berita Harian Online berkenaan pelancaran Baby Hatch baru-baru ini:
Pertubuhan Kebajikan dan
pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) melancarkan Baby Hatch, tempat
perlindungan bayi ‘tidak dikehendaki’ ibu bapa pertama di Kampung Tunku,
Petaling Jaya
KLANG: Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat akan bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara
untuk mempercepatkan proses pendakwaan terhadap mereka yang disabitkan
kesalahan membuang bayi dan penderaan kanak-kanak.
Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil, berkata cadangan itu antara langkah terbaik untuk
memastikan mereka yang disiasat segera dibawa ke muka pengadilan untuk
dihukum, sekali gus menjadi pengajaran kepada rakyat.
“Sekarang pun kementerian mendapat
kerjasama polis untuk mempercepatkan siasatan,” katanya selepas
merasmikan program Juara Rakyat dan Hari Keluarga Parlimen Kota Raja di
sini, semalam.
Terbaru, seorang remaja perempuan
berusia 17 tahun dipercayai menanam mayat bayi lelaki berhampiran
landasan kereta api Stesen Komuter Padang Jawa, di sini, Sabtu lalu
direman empat hari, mulai kelmarin. Turut direman, kakaknya yang berusia
24 tahun kerana disyaki bersubahat.
Pada majlis berasingan di ibu negara,
Shahrizat berkata, lelaki yang melarikan diri kerana enggan
bertanggungjawab selepas menghamilkan wanita tidak terlepas daripada
undang-undang.
“Sudah terlalu lama wanita saja
dipersalahkan dalam kes hamil luar nikah dan pembuangan bayi tetapi
lelaki melarikan diri. Saya memberi amaran kepada bapa ghaib ini mereka
tidak akan terlepas,” katanya selepas majlis perasmian Pertubuhan
Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (OrphanCARE) serta pelancaran Baby
Hatch atau Pusat Jagaan Bayi Tidak Diingini, yang pertama di Malaysia.
Perasmian itu disempurnakan Penaung OrphanCARE yang juga Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.
Shahrizat berkata, beliau tidak
menyangka Baby Hatch perlu diwujudkan di Malaysia kerana negara memiliki
kerajaan yang bertanggungjawab serta rakyat penyayang.
Beliau turut menegaskan kewujudan Baby
Hatch tidak bertujuan menggalakkan kes kehamilan luar nikah, sebaliknya
menyelamatkan bayi dibuang ibu bapa yang tidak menghendaki mereka.
Presiden OrphanCARE, Datuk Adnan Mohd
Tahir, berkata Baby Hatch yang beroperasi 24 jam adalah pilihan terakhir
kepada bayi tidak dikehendaki yang menyediakan tempat perlindungan
sihat dan selamat sebelum diserahkan kepada keluarga angkat.
Beroperasi selama 24 jam, beliau berkata, sesiapa saja datang ke OrphanCARE dan meletakkan bayi di tempat yang dikhaskan.
0 comments:
Post a Comment