Sebelum
kedatangan penjajah di Tanah Melayu, undang-undang Islam telah pun
diterima dalam istiadat atau adat masyarakat tempatan. Kedua-dua bentuk
adat yang utama ialah Adat Temunggung dan Adat Perpatih. Oleh kerana
itu, boleh disimpulkan bahawa undang-undang yang dilaksanakan ketika itu
ialah undang-undang Islam yang telah diubahsuai oleh adat Melayu.
Walaubagaimanapun, pentafsiran tersebut mungkin boleh dipertikaikan
kerana pentafsiran tersebut merupakan daripada pemikiran para sarjana
Barat seperti Hooker dan lain-lain. Persoalannya kini, adakah
undang-undang ketika itu merupakan hasil undang-undang Islam yang
diubahsuai oleh adat Melayu atau ianya merupakan undang-undang yang
dipengaruhi oleh adat Melayu tetapi telah diubahsuai dan dipengaruhi
oleh undang-undang Islam? Perlu diingat bahawa undang-undang Islam ialah
undang-undang yang khusus dicipta Allah tanpa boleh dipengaruhi oleh
mana-mana unsur yang bertentangan dengannya samaada daripada adat Melayu
dan sebagainya.
Penulisan
ini akan meninjau dengan lebih khusus tentang pemakaian undang-undang
Islam sebelum penjajahan dan perubahan yang berlaku selepas era
kemerdekaan. Tidak dapat dinafikan bahawa telah wujud pemakaian
undang-undang Islam dalam Undang-undang Melaka, Terengganu, Johor dan
Perak sebelum penjajahan British yang membuktikan cara hidup Islam
telahpun diamalkan oleh masyarakat ketika itu.
PERUNDANGAN ISLAM DI MALAYSIA : ERA KESULTANAN MELAYU
Adapun
Islam mula bertapak di rantau nusantara kira-kira pada abad 13 dan di
Melaka lewat satu kurun kemudian. Di zaman pemerintahan Melaka, suatu
undang-undang yang dikenali sebagai undang-undang Melaka atau Hukum
Kanun Melaka,telah diperkenalkan dan diterima pakai sebagai
undang-undang Islam. Walaupun ia banyak merujuk kepada undang-undang
adat dan bukannya semuanya Islam,namun ia sudah cukup untuk membuktikan
undang-undang Islam berada di tahap tertinggi ketika itu.
Sebenarnya Kanun Melaka atau Undang-undang Melaka merupakan hasil rujukan daripada teks Abu Shuja’ at-Tariq dan Fath al-Qarib
oleh Ibn Qasin al-Ghazzi. Malah undang-undang ini juga dikatakan
mengandungi perundangan Islam dan ianya terdiri daripada Undang-undang
Melaka Asal, Undang-undang Laut, Undang-undang Keluarga dan
Undang-undang Jual Beli. Di Perak, terdapat Undang-undang 99 Perak. Bagi
negeri Terengganu, undang-undang Islam telah ditadbir dengan berkesan
di bawah pemerintahan Sultan Zainal Abidin II. Bagi negeri Johor, Majallah Al-Ahkam
dari Turki telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu dan dipakai di Johor.
Malah pada akhir abad ke 19,Perlembagaan Johor melalui Artikel 2
menyatakan dengan jelas bahawa raja yang terpilih hendaklah bangsa
Melayu berdarah raja,laki-laki dan beragama Islam.Malah agama Islam
diiktiraf sebagai agama rasmi bagi Johor.
Boleh
dinukilkan di sini bahawa sebelum penjajahan Inggeris, kuasa Sultan
atau Raja adalah meliputi semua perkara termasuklah adat istiadat Melayu
dan persoalan agama Islam. Didapati bahawa sebahagian kuasa pentadbiran
ketika itu ditentukan melalui autoriti Sultan sebagai ketua negeri dan
ketua agama Islam di negeri masing-masing begitu juga dengan kuasa
eksekutif juga ditangan mereka.
Melihat
kepada bukti-bukti sejarah,memang menjadi kenyataan bahawa
undang-undang Islam merupakan undang-undang utama di Tanah Melayu. Ini
dapat dibuktikan dalam satu kes iaitu Sheikh Abdul Latif & Others lwn Shaikh Elias Bux,
mahkamah memutuskan undang-undang yang terpakai kepada orang Islam pada
masa itu adalah undang-undang Islam yang diubahsuai oleh adat tempatan.
Dalam satu kes terpenting, Ramah lawn Laton, mahkamah semasa
penjajahan Inggeris menerima hakikat bahawa undang-undang Islam adalah
undang-undang tempatan Tanah Melayu, malah undang-undang Islam mestilah
diberi pengiktirafan oleh mahkamah. Walaubagaimanapun, pada pandangan
penulis, skop undang-undang Islam yang dimaksudkan hasil dari
penghakiman tersebut bukannya meliputi keseluruhan undang-undang Islam
tetapi hanya meliputi persoalan tertentu sahaja melibatkan undang-undang
diri dan prosedural sahaja.
Sejarah
juga telah membuktikan Perjanjian Pangkor 1874 menjadi titik bermulanya
penasihat British di Tanah Melayu secara rasmi. Pengaruh undang-undang
Inggeris mula menular selepas pihak Inggeris memperkenalkan sistem
penasihat British atau Residen melalui perjanjian dengan Sultan atau
Raja di negeri Tanah Melayu. Penasihat Inggeris telah campur tangan
dalam semua urusan pentadbiran kecuali dalam urusan agama Islam dan adat
Melayu.Ini menyebabkan skop undang-undang Islam disempitkan sehingga
agama Islam hanya diterima pakai dan tertumpu dalam hal-hal berkaitan
kekeluargaan yang melibatkan persoalan prosedur dan pentadbiran sahaja.
KEMASUKAN PERUNDANGAN INGGERIS
Pada
pandangan penulis, kemasukan undang-undang Inggeris ke Tanah Melayu
berdasarkan kepada 3 cara utama. Pertama melalui statut Inggeris yang
diperkenalkan di Tanah Melayu. Diantara undang-undang yang diterima
pakai ialah Kanun Jenayah(Penal Code), Enakmen Keterangan(Evidence Enactment), Enakmen Kontrak(Contract Enactment), Kanun Acara Sivil(Civil Prosedure Code), Kanun Acara Jenayah(Criminal Prosedur Code) dan Enakmen Tanah (Land Enactment).
Melalui penggunaan perundangan ini, undang-undang Islam yang berkaitan
dengan bidang-bidang ini telah diketepikan pemakaiannya. Kes yang
berkaitan dengan masalah ini ialah seperti dalam kes PP lwn White.
White asalnya adalah Kristian dan dia telah berkahwin dengan seorang
perempuan Kristian.Kemudian semasa isterinya masih hidup,dia telah
berkahwin dengan seorang Islam dan dia turut menganut Islam.Dia telah
dituduh melakukan kesalahan bigami di bawah Kanun Keseksaan kerana
dikatakan White masih terikat dengan syarat monogami perkahwinan yang
pertama. Jika ditinjau berdasarkan kes ini, jelas menunjukkan
undang-undang Islam telah diketepikan. Undang-undang Islam tidak
melarang poligami tetapi mahkamah mengikut peruntukan berdasarkan Kanun
Keseksaan walaupun White telah memeluk Islam ketika itu.
KONSEP DULUAN MENGIKAT
Cara
kedua ialah melalui keputusan hakim atau secara lebih tepat melalui
konsep duluan mengikat. Umum mengetahui bahawa dalam amalan Common Law,
keputusan mahkamah yang lebih tinggi mengikat mahkamah bawahan dan
keputusan sebelum mengikat keputusan mahkamah selepasnya.Namun apa yang
hendak dibincangkan,hakim yang mendengar kes di Mahkamah Sivil
berkelulusan England dan lazimnya akan merujuk kepada perundangan
Inggeris sekiranya wujudnya masalah yang tidak boleh diselesaikan
mengikut undang-undang bertulis.Pada satu ketika,usaha telah dibuat
untuk meringankan bebanan hakim-hakim Mahkamah Sivil itu dengan diadakan
undang-undang,Enakmen Penentuan Undnag-undang Islam 1930,yang
membolehkan hakim-hakim Mahkamah Sivil merujuk soalan tentang
undnag-undang Islam ke Majlis Kerajaan Negeri untuk pendapatnya dan
kemudian memutuskan kes itu menurut pendapat itu. Akan tetapi Enakmen
itu telah dimansuhkan apabila undang-undang pentadbiran undnag-undang
Islam diadakan di negeri-negeri Melayu.
PENGENALAN ENAKMEN UNDANG-UNDANG SIVIL 1937, 1951 DAN ORDINAN UNDANG-UNDANG SIVIL 1956
Disamping
itu, penggunaan undang-undang Inggeris menjadi rujukan utama setelah
adanya Enakmen Undang-undang Sivil 1937, 1951 dan Ordinan Undang-undang
Sivil 1956. Mengikut undang-undang Sivil, mahkamah di Tanah Melayu
seharusnya menerima pakai peraturan ekuiti sebagaimana yang terpakai di
England pada 7 April 1956 dan juga Common Law di England.
Ordinan Undang-undang Sivil 1956 juga dipanjangkan pemakaiannya ke Sabah
dan Sarawak pada tahun 1971. Dalam hal ini, seseorang hakim akan
merujuk kepada Common Law di England dan peraturan ekuiti
bersama statut umum yang berkuatkuasa di England pada 1 Disember 1951
untuk negeri Sabah dan pada 12 Disember 1949 di Sarawak.Penguatkuasaan
itu menyebabkan segala kes sivil adalah tertakluk kepada prinsip
undang-undang Inggeris.
Enakmen
tersebut secara jelas telah menyekat dan menyempitkan pemakaian hukum
syarak serta bidang kuasa Mahkamah Syariah (Mahkamah Kadi ketika
itu).Sebagai contoh dalam kes Myriam lwn Ariff. Dalam kes
tersebut, seorang ibu telah menuntut hak jagaan anak lelaki yang berumur
3 tahun dan anak perempuan 8 tahun.Apabila perceraian berlaku, Mahkamah
Syariah telah putuskan untuk memberi hak penjagaan kepada
bapanya.Kemudian,ibu telah berkahwin dengan lelaki lain dan dia memohon
hak penjagaan anak di Mahkamah Tinggi.Mahkamah Tinggi berpendapat bahawa
Mahkamah mempunyai bidangkuasa mendenagar kes tersebut.Mahkamah Tinggi
memutuskan bahawa di bawah undang-undang Sivil dan undnag-undang Islam,
pertimbangan utama hendaklah diberi kepada kebajikan kanak-kanak itu dan
dalam kes itu, Mahkamah Tinggi telah memberi hak penjagaan anak lelaki
kepada ibunya dan anak perempuan kepada bapanya. Ini bertentangan dengan
peruntukan dalam Enakmen Pentadbiran Agma Islam(ketika itu) yang
menghalang hak penjagaan anak kepada ibunya sekiranya ibu tersebut telah
berkahwin dengan lelaki lain.sayangnya di dalam kes ini,hakim telah
mengatakan beliau tidak semestinya mengikut dengan tepat apa yang
diperuntukkan di dalam agama Islam.
Hal yang sama juga berlaku dalam kes Ainan lwn Syed Abu Bakar apabila
soal kesahtarafan seorang anak yang dilahirkan empat bulan selepas
perkahwinan ibunya dengan seorang lelaki ditimbulkan di Mahkamah Tinggi
di Perak, rujukan telah dibuat oleh mahkamah itu kepada Seksyen 112
Enakmen Keterangan yang dikatakan dikenakan juga kepada orang-orang
Islam.Oleh itu, undang-undang Islam tidak boleh dipakai.
Walaubagaimanapun,terdapat juga kes yang mempunyai “double provision” atau dualisme
iaitu yang mempunyai peruntukkan yang sama atau bertindan samaada di
Mahkamah Sivil dan juga Mahkamah Syariah. Harta pencarian sebagai contoh
ialah perkara yang dulunya boleh diputuskan oleh Mahkamah Sivil dan di
Mahkamah Syariah. Di Mahkamah Sivil, perkara harta sepencarian dianggap
sebagai soal adat Melayu dan bukannya soal undang-undang Islam seperti
yang disebutkan di dalam kes Roberts lwn Umi Kalthom, Mohamad lwn Commissioner of Lands dan Boto lwn Jaafar. Sebaliknya apabila Mahkamah Syariah memutuskan kes tuntutan harta sepencarian,ia merujuk kepada persoalan undang-undang Islam.
Walaubagaimanapun,
pada masa sekarang, nampaknya tuntutan harta sepencarian hanya boleh
dibawa di Mahkamah Syariah oleh kerana pindaan kepada Perkara 121(1A)
Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Mahkamah Tinggi
Sivil dan Mahkamah dibawahnya tidak mempunyai bidangkuasa dalam
mana-mana perkara yang termaktub dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Ini kerana Jadual 9 Senarai II Senarai Negeri telah memberi bidang kuasa
khusus kepada Negeri melalui Mahkamah Syariah bagi mendengar segala kes
berkaitan harta sepencarian. Malah peruntukkan ini juga termaktub dalam
Enakmen Keluarga Islam di setiap negeri yang memperuntukkan seksyen
khusus tentang pembahagian harta sepencarian.
SISTEM MAJLIS NEGERI – PENGENALAN UNDANG-UNDANG DIRI
Selain
itu, cara ketiga kemasukan perundangan Inggeris di Tanah Melayu ialah
dengan penubuhan sistem Majlis Negeri oleh pihak Inggeris yang
berperanan untuk membuat statut-statut bertulis dan bertindak sebagai
satu badan eksekutif. Malah pemakaian Common Law dan Ekuiti
melalui enakmen Undang-undang Sivil seperti yang telah dibincangkan
sebelum ini telah mengukuhkan undang-undang Sivil dan menyempitkan lagi
tafsiran undang-undang Islam yang sebenar. Pada
pandangan penulis, penyempitan itu dikukuhkan lagi dengan pengenalan
undang-undang khusus yang mentadbir hal ehwal orang Islam dalam
perkara-perkara yang terhad.
Kesemua
undang-undang ini diluluskan melalui Majlis Negeri yang mereka asaskan
dan mereka menjadi penasihatnya. Sebagai contoh, pihak Inggeris lebih
menumpukan kepada undang-undang diri yang diperkenalkan dan terbahagi
kepada tiga undang-undang yang paling utama iaitu undang-undang
keluarga,harta dan kesalahan terhadap agama. Pertama, kandungan
undang-undang keluarga meliputi perkara yang berkaitan dengan
pertunangan dan mungkir janji pertunangan, mahar, soal wali, perceraian
misalnya talak biasa, khulu’ dan fasakh. Sementara undang-undang
berkaitan dengan harta pula hanya tertumpu kepada soal harta pusaka,
wasiat dan harta wakaf orang-orang Islam yang banyak berkaitan dengan
undang-undang bertulis lain dan bukanya perkara yang berkaitan dengan
pentadbiran hal ehwal Islam. Kemudian bagi perkara yang berkaitan dengan
kesalahan terhadap agama seperti kesalahan tidak mendaftarkan
perkahwinan dan perceraian,mengakadnikah tanpa kebenaran atau tidak
mengikut undang-undang,kesalahan yang berkaitan dengan moral seperti
berzina, berkhalwat, meminum arak serta hal-hal yang berkaitan dengan
akidah misalnya tidak bersolat Jumaat, tidak membayar zakat, tidak
berpuasa pada bulan Ramadhan dan sebagainya.
PENGASINGAN URUSAN AGAMA DAN ADAT ISTIADAT MELAYU
Seperti
mana diketahui, pihak Inggeris telah mengasingkan bidang kuasa dalam
urusan agama dan adat istiadat Melayu kepada Sultan atau Raja sesebuah
negeri.Walaubagaimanapun, sebagai pihak eksekutif, mereka beranggapan
perlu diwujudkan satu pentadbiran yang tersusun melalui pengenalan
sistem perundangan menerusi Majlis Negeri yang bertindak sebagai badan
pemutus dan pengesah sesuatu statut bertulis. Penubuhan Majlis Negeri
ini telah dibincanagkan oleh penulis sebelum ini. Namun apa yang ingin
ditumpukan penulis ialah walaupun bidang kuasa agama dan adat istiadat
Melayu telah diasingkan, tetapi Inggeris masih melaksanakan perundangan
yang meliputi soal agama Islam seperti pengenalan enakmen Pendaftaran
Perkahwinan dan Perceraian Orang Islam.
Begitu
juga pentadbiran Mahkamah Kadhi melalui Enakmen Mahkamah Syariah.
Mereka beranggapan bahawa mereka tidak mencampuri urusan agama tetapi
sebagai pihak yang mempunyai kuasa eksekutif yang mutlak,maka adalah
menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga kepentingan awam tanpa
mengira agama. Sebab itu, pihak Inggeris berjaya memperkenalkan
undang-undang pentadbiran bagi tujuan penyelarasan semua undang-undang
yang diperkenalkan. Bidang kuasa agama Islam yang diberi kepada Sultan
oleh Inggeris pada pandangan penulis hanyalah meliputi soal hukum syarak
sahaja dan tidak meliputi soal pentadbiran agama Islam secara
keseluruhannya.Perlu diingat bahawa pihak Inggeris hanya berbidang kuasa
dalam aspek pentadbiran dan prosedural undang-undnag Islam sahaja tanpa
campur tangan dalam persoalan asas hukum syarak yang sebenar.
KESAN DAN IMPLIKASI HINGGA KINI
Kesimpulan
kesan daripada pengaruh Inggeris dalam pentadbiran hal ehwal Islam ini
dan juga daripada kes-kes yang diputuskan yang melibatkan soal adat
Melayu dan hukum syarak telah mempengaruhi peruntukan Perlembagaan
Persekutuan yang digubal kemudiannya dan juga memberi kesan kepada
perkembangan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini. Pada pandangan
penulis juga, kebanyakan penghakiman dibuat hanya mengambil kira aspek
prosedur dan keterangan yang jika dipenuhi maka barulah ia mengambil
kira hukum syarak atau perundangan Islam. Boleh juga diambil kira bahawa
kebanyakan kes di Mahkamah Sivil yang ditafsirkan melibatkan
undang-undang Islam ialah merupakan persoalan undang-undang diri yang
melibatkan orang-orang Islam dan bukannya melibatkan undang-undang
jenayah awam. Apa yang boleh dikatakan ialah kesalahan-kesalahan
tersebut hanya ditafsirkan sebagai kesalahan agama atau kesalahan
melanggar peruntukan undang-undang pentadbiran agama.
Mungkin
kerana itu, meskipun dalam sejarah penghakiman Inggeris di Tanah Melayu
ada dicatatkan bahawa undang-undang Inggeris bukan merupakan
undang-undang asing tetapi sebagai undang-undang negeri,sebenarnya ia
hanyalah merujuk kepada undang-undang diri sahaja. Dan mungkin juga
kerana semua pengalaman ini sejak zaman penjajahan British,pembentukkan
Perlembagaan Persekutuan di bawah Suruhanjaya Reid telah memikirkan
bentuk dan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang akhirnya membentuk
Jadual 9 Senarai II Senarai Negeri yang memberi kuasa mutlak kepada
negeri untuk menyusun pentadbiran agama Islam dan bukannya kepada
persekutuan. Malah hingga kini, kebanyakan peruntukan tentang agama
Islam juga hanya mengkhususukan kepada undang-undang diri sahaja.
Sumber: http://www.jksnpp.gov.my
0 comments:
Post a Comment