Sunday, 18 November 2012

BSK @ Berita Harian: BEBAN NAFKAH

Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) merupakan inovasi baru Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang bermatlamatkan untuk menguatkuasakan perintah nafkah yang tidak dipatuhi oleh bekas suami/bapa.

Dalam melaksanakan fungsi tersebut, Kerajaan juga telah menyuntik dana kepada BSK untuk disalurkan kepada ibu-ibu tunggal/ anak-anak yang terkesan dengan sikap ketidakbertanggungjawaban bekas suami/bapa masing-masing.

Setelah 3 tahun beroperasi, BSK meneruskan kesinambungan dasar utamanya untuk memperkasakan perintah-perintah nafkah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah demi untuk memastikan motto utama JKSM ‘Syariah Asas Keadilan’ dapat terus dijana dan direalisasikan.

Ikuti laporan eksklusif BSK bersama wartawan Berita Harian untuk rujukan lanjut berkenaan perjalanan BSK.

BEBAN NAFKAH

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my


01


Masalah bekas suami culas dan liat membayar nafkah kepada bekas isteri serta anak selepas pelaksanaan perintah mahkamah bukan cerita baru. Tidak keterlaluan, jika dikatakan hampir semua negara di dunia mempunyai masalah seumpama itu dengan pelbagai alasan diberikan. Lantaran itu, terdapat banyak institusi di peringkat antarabangsa yang mengambil berat mengenai persoalan dan pemasalahan berkaitan keluarga. 

Di sesetengah negara mengorak langkah lebih awal dan proaktif menubuhkan agensi atau badan khas yang berperanan untuk memastikan pelaksanaan perintah berjalan dengan teratur mengikut jadual yang ditetapkan.
Contohnya, termasuklah di Australia dengan tertubuhnya  ‘Child Support Authority (CSA)' yang mana matlamat penubuhan ialah bagi menyediakan perkhidmatan untuk mendapatkan hak saraan dan nafkah kepada kanak-kanak. 

Bantuan Ringan Beban


Di Malaysia, nasib wanita Islam yang dibelenggu masalah sama kian terbela dengan kewujudan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) pada 2008 sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Sejak penubuhan BSK, sudah ramai wanita dibantu, khususnya bagi meleraikan konflik dihadapi wanita dan ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.

BSK bekerja keras bagi memastikan bapa atau bekas suami melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah, khususnya dalam kes nafkah dan saraan. Tidak cukup dengan itu bagi meringankan masalah, BSK juga menyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga menghadapi masalah tuntutan nafkah.

Apa yang pasti, kewujudan BSK ternyata turut menarik perhatian negara lain sehinggakan ada yang memuji terhadap usaha dilakukan. Antara memuji dan kagum dengan kewujudan dan kejayaan BSK dalam mengatasi masalah tuntutan pembayaran nafkah bagi wanita Islam selepas bercerai dan pelaksanaan perintah ialah Hakim Mahkamah Rayuan Sudan, Sittina Abd Elgalil.

02Sittna berkata, struktur sokongan khususnya bantuan kewangan diberikan kerajaan kepada keluarga selepas bercerai untuk meneruskan kelangsungan hidup, melalui bantuan BSK dilihat idea menarik untuk dicontohi.

“Apabila berlaku perceraian, isu tuntutan nafkah menjadi antara masalah utama dan tidak dinafikan, ada bapa atau bekas suami yang gagal membayar nafkah walaupun perintah sudah dibuat. 

Dalam hal ini, dikasihani ialah nasib anak hasil perkahwinan itu yang perlu dibela. Mereka perlukan wang untuk makan minum dan juga menyediakan keperluan lain. 

“Jika tiada wang, apakah nasib seterusnya dialami mereka. Dana BSK yang menyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara kepada wanita yang berhadapan dengan masalah tuntutan nafkah daripada bekas suami diperkenalkan di negara ini dilihat memang sesuatu yang memberi banyak manfaat,”  katanya ketika ditemui selepas  majlis kunjungan hormat delegasi Hakim Mahkamah Rayuan Sudan kepada Ketua Hakim Syarie merangkap Ketua Pengarah Kehakiman Syariah Malaysia, Tan Sri Ibrahim Lembut.


Sittna antara tiga hakim wanita yang turut menyertai delegasi itu. Dua hakim wanita lain ialah Nahid Younis dan Asia Babikir Mokhtar. Dalam kunjungan itu, sesi perbincangan dan pertukaran pendapat antara kedua belah pihak telah diadakan.


03


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Kamilia Ibrahim dan juga Pengarah, BSK, Dr Mohd Naim Mokhtar yang memberikan taklimat dan penerangan mengenai penubuhan dan fungsi BSK di negara ini.

Sittna yang berpengalaman lebih 13 tahun dalam bidang kehakiman syariah dan kekeluargaan berkata, di Sudan isu tuntutan nafkah sememangnya rumit diselesaikan selepas perceraian berlaku. Di Sudan, kebanyakan kes mengambil masa lama untuk diselesaikan, malah ada yang bertahun-tahun masih tidak dapat diselesaikan.

Katanya, selepas penghakiman mengenai perceraian pasangan diputuskan, tuntutan nafkah tidak dibuat serentak sebaliknya wanita terbabit perlu memfailkan kes dan membuat permohonan lain.
 

Beban Bukti

“Sebelum permohonan dibuat, wanita itu perlu menampilkan bukti dan saksi. Tetapi yang malangnya, ada bekas suami terus menghilangkan diri sebelum perbicaraan atau ketika perbicaraan dibuat. Di Sudan, buat masa ini tiada keutamaan diberikan bagi perbicaraan untuk tuntutan nafkah. Namun, bagi yang berdepan dengan masalah kewangan akibat perceraian bantuan zakat akan disalurkan untuk membantu meringankan keluarga berkenaan,” katanya mengenai senario kes tuntutan nafkah di Sudan.

Sittna berkata, melihat keberkesanan pelaksanaan BSK di Malaysia pihaknya berhasrat dan bercadang akan mengesyorkan kepada ketua hakim di negaranya untuk meneliti penubuhan badan seumpama itu di Sudan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, setiap bapa atau bekas suami perlu ada sifat lebih bertanggungjawab dalam menurut perintah agama termasuklah dalam urusan membayar nafkah jika berlaku perceraian. 


04Sementara itu, Asia juga menganggap kewujudan BSK di negara ini unik dan berkata, sokongan bantuan kewangan sememangnya perlu disalurkan kepada wanita yang tidak mendapat nafkah dan lazimnya tiada sumber kewangan menyara keluarga. Katanya, apa yang sering menjadi masalah bagi pasangan Sudan yang bercerai dan kes tuntutan nafkah ialah mencari beban bukti. Ada pihak yang tidak mahu bekerjasama dan ini melambatkan lagi proses keadilan dibuat.

“Satu lagi masalah ialah apabila bapa atau bekas suami itu miskin dan sememangnya tidak mampu untuk membayar nafkah yang dituntut. Tetapi penghakiman mengenai tuntutan nafkah akan menjadi mudah jika lelaki itu dari golongan kaya atau berharta. Jika ada aset seperti rumah misalnya, disarankan untuk menjualnya dan hasil jualan akan dibahagi dua termasuk kegunaan untuk membayar nafkah anak,” jelasnya.


Asia berkata, objektif menuntut nafkah bukanlah untuk mencari kesenangan hidup tetapi memastikan dan memberi kehidupan serta masa depan lebih baik kepada anak hasil perkongsian perkahwinan yang sudah terlerai.  

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pasangan supaya menjaga kerukunan rumah tangga bagi mengelakkan perceraian berlaku yang natijahnya pasti memberi impak tidak baik terutama kepada anak. 

BSK Perkasa Sistem Kehakiman 


Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) diwujudkan semenjak April 2009 dengan matlamat utamanya adalah untuk menguatkuasakan perintah nafkah.

Ketika tindakan penguatkuasaan dijalankan, BSK menyediakan pendahuluan dana nafkah kepada ibu dan anak-anak yang berkelayakan selama 6 bulan. Tempoh ini diberikan berdasarkan kemunasabahan tindakan penguatkuasaan selesai di Mahkamah Syariah.

05Pengarah BSK, Dr Mohd Naim Mokhtar ketika taklimat berkata, “bantuan kewangan sara hidup BSK khusus diberikan kepada wanita yang berhadapan dengan permasalahan tuntutan nafkah dan bertujuan untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh isteri sementara menunggu suami atau bekas suami membayar nafkah.”

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15 juta bagi tujuan tersebut dan wang itu digunakan sebaik mungkin untuk disalurkan pula kepada wanita dan anak-anak yang memerlukannya. Dana disalurkan ini boleh dianggap sebagai hutang bekas suami. Bagaimanapun, jika suami terbabit meninggal dunia, hutang itu akan dilupuskan sekiranya tiada harta peninggalannya yang boleh dijadikan sandaran penyelesaian hutang tersebut,” katanya.  

e-Nafkah Mudah Urusan  


Bagi melancarkan urusan pemantauan terhadap perintah nafkah di Mahkamah Syariah, BSK telah mengaplikasikan sistem e-Nafkah sejak Januari tahun ini bagi memastikan BSK mencapai objektif penubuhannya.

Ini kerana, setiap perintah nafkah yang diputuskan di mahkamah syariah seluruh Malaysia akan dipam masuk ke dalam sistem e-Nafkah bagi membolehkan pegawai BSK mengambil langkah sewajarnya.

Lebih membanggakan, sistem e-Nafkah merupakan satu-satunya sistem seumpamanya di negara Islam dan di negara Barat yang berkemampuan untuk memantau data serta sejarah penghakiman nafkah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.  

Sejak ditubuhkan, BSK telah menjadi model kepada negara lain antaranya Bangladesh, Thailand, Zanzibar, Maldives, dan termasuklah negara Komanwel kerana menjadikan formula adunan inovasi, kreativiti dan perundangan sebagai produk dalam membela masyarakat dan memperkasakan sistem kehakiman negara. 


Kelayakan Penerima Dana : 

  • Memperoleh perintah nafkah dari Mahkamah Syariah;
  • Bekas suami/bapa gagal patuhi perintah;
  • Terdapat kepercayaan bahawa bekas suami/bapa mampu untuk membayar balik pendahuluan dana kepada BSK;
  • Bekas suami/bapa dapat dikesan;
  • Bekas isteri/isteri berikan kerjasama untuk tindakan penguatkuasaan terhadap bekas suami.

Artikel ini disiarkan pada : 19/10/2012


Sharing is caring ^_^

0 comments:

Post a Comment