Metro 29/8/2012 |
(Harian Metro, 29/07/2013)
Kuala Terengganu: Selepas tiga tahun bersabar, seorang bapa yang menyaman anak lelakinya bagi menuntut nafkah untuk dua cucunya terpaksa menggunakan jalan terakhir dengan memohon Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, mengeluarkan waran tangkap.
Mustafa Ismail, 67, berkata, hanya itu jalan terakhir yang akan membolehkannya berjumpa dan menyelesaikan masalah dengan anaknya, Nasrun Mustafa, 40, yang bukan saja enggan memberi kerjasama, tetapi gagal mematuhi perintah mahkamah pada 28 Ogos tahun lalu yang memutuskannya membayar nafkah dan memohon maaf secara terbuka kepada kedua ibu bapanya. “Dia yang memaksa saya mengambil tindakan ini. Waran tangkap ini jalan terakhir untuk saya berjumpa dan menyelesaikan masalah kami,” katanya yang kesal dengan masalah itu yang berlarutan hingga kini.
Mustafa dari Kampung Beladau Kolam, Manir, di sini, pernah mendapat liputan meluas media apabila menyaman anaknya yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat cari gali minyak dan berpendapatan lebih RM17,000 sebulan bagi mendapatkan tuntutan nafkah dua cucunya, tiga tahun lalu.
Selepas tiga tahun, permohonan pesara syarikat cari gali minyak itu akhirnya berjaya dan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, pada 28 Ogos tahun lalu memerintahkan Nasrun selaku responden memohon maaf secara terbuka kepada ibu bapa dan dua anaknya yang ketika itu berusia 15 dan 17 tahun.
Hakim Syarie Rosdi Harun dalam penghakimannya ketika itu turut memerintahkan Nasrun yang digelarnya sebagai ‘Si Tanggang Moden’ membayar RM400 seorang kepada ibu bapanya serta dua anaknya berusia 15 dan 17 tahun setiap bulan selain RM1,000 untuk perbelanjaan Aidilfitri dua anaknya setiap tahun yang diabaikan sejak lapan tahun lalu.
Selain itu, Rosdi turut memerintahkan Nasrun membayar RM18,866.50 kepada kedua ibu bapanya sebagai tunggakan dan perbelanjaan serta teladan kerana tidak pulang ke rumah bertemu anaknya lebih lapan tahun.
Bagaimanapun, selepas lebih 10 bulan perintah mahkamah itu dikeluarkan, Nasrun gagal mematuhinya menyebabkan Rosdi semalam terpaksa mengeluarkan waran tangkap terhadap Nasrun atas permohonan pelaksanaan perintah difailkan Mustafa menerusi peguam syarienya Fazru Anuar Yusof.
Mustafa berkata, dia kesal kerana anaknya tidak pernah memberi kerjasama sedangkan tuntutan dibuat adalah untuk kepentingan dua cucunya yang sedang bersekolah di tingkatan empat dan seorang lagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal memasuki institut pengajian tinggi.
“Sejak tarikh perintah dikeluarkan mahkamah hingga hari ini, Nasrun gagal dan mengingkari perintah itu tanpa sebarang sebab munasabah. Sehingga hari ini, tiada sebarang bayaran pun dijelaskannya kepada saya. “Saya pernah cuba menghubunginya, tetapi tidak pernah mendapat maklum balas. Malah, beliau juga tidak pernah menghadiri sebarang prosiding yang berkaitan dengan kes ini. Setakat hari ini, responden tidak pernah memohon ampun dan maaf kepada saya selaku bapa kandung dan ibunya, Che Mariam Abdullah, 59, serta tidak menjenguk kami yang sudah uzur.
“Saya merasakan seperti dianiaya responden yang sudah mengabaikan dan mengingkari perintah dikeluarkan mahkamah sebelum ini. Responden juga mengingkari perintah Allah untuk taat kepada saya selaku bapanya,” katanya dalam tuntutannya.
0 comments:
Post a Comment