Tuesday, 12 March 2013

TINJAUAN LITERATURE (Hadanah & Kebajikan Kanak-kanak)


Definisi  Hadanah

Hadanah berasal daripada perkataan Arab iaitu, al-hidn yang bererti rusuk, kerana seorang ibu, apabila mengasuh atau mendukung anaknya selalu meletakkan anak itu di sebelah rusuknya. Perkataan ini juga bererti peluk, kerana ibu itu dengan sebab kasih sayang terhadap anaknya, selalu mendakap dan memeluk anaknya. (Mahamad, 2006) Ia disokong oleh penulis-penulis lain. (Rojanah, 2011) (Zulkifly, 2009) Dalam konteks penjagaan anak, perkataan hadanah digunakan bagi maksud tarbiyah (pendidikan) dan juga ri’ayah (pengawasan). (Nurazmallai, 2008) Selain itu, ia bermaksud mengendong sesuatu dengan tangan yang bermaksud menjaga dan membesarkan seorang kanak-kanak. (Normi, 2007)

Dari segi istilah, hadanah merujuk kepada penjagaan, pengawasan dan pengasuhan sama ada dari segi fizikal, jiwa dan akal bertujuan menjaga maslahah kanak-kanak yang tidak mampu menjaga diri sendiri supaya dapat membesar dalam keadaan sempurna (Zanariah, 2010) Ia disokong oleh penulis lain. (Raihanah & Najiha, 2010) Penulis lain menambah hadanah mesti dilakukan oleh ibunya atau orang lain yang layak untuk memeliharanya (Roslina & Nora, 2011) Kedua-dua penulis lain berpendapat hadanah berterusan sehingga anak itu sanggup untuk berdiri sendiri dan dapat pula mengatasi persoalan hidup dan kehidupan yang akan dihadapinya. (Mahamad, 2006) Ia disokong oleh penulis lain. (Abu Bakar, 2009) Pengertian oleh penulis lain pula merujuk kepada perlindungan daripada bahaya atau jagaan yang diberikan kepada seseorang yang tidak boleh menjaga dirinya sendiri seperti seorang kanak-kanak atau orang gila (Normi, 2007) serta seseorang dewasa yang mengidap penyakit. (Abdullah, 2006) Penjagaan ini termasuklah makan, minum dan apa-apa yang memberikan kebaikan dan kemaslahatan mereka (Normi, 2007) serta menjaga daripada sebarang perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya. (Abdullah, 2006) Ia termasuklah memastikan kesihatan tubuh dan pakaian pada peringkat umur tertentu. (Zanariah, 2010)

Definisi hadanah merujuk kepada kanak-kanak, pengertian penjagaan atau tertumpu kepada penjagaan anak kecil. Undang-undang yang ada yang sedang digunapakai tidak menunjukkan pengertian hadanah atau penjagaan melangkau kepada seseorang yang lain daripada kanak-kanak. (Abdullah, 2006) Istilah hadanah merujuk kepada pengasuhan anak yang masih kecil kerana fitrah anak kecil memerlukan pengasuhan serta pengawasan rapi. Oleh itu, apabila disebut pertikaian hak hadanah, ia cuma melibatkan anak-anak kecil dan bukan anak-anak yang telah mumayyiz atau baligh. (Zanariah, 2010)

Hukum Hadanah 

Hukum mengasuh dan menjaga anak-anak yang masih kecil adalah wajib. Mengabaikan dan mendedahkan tanggungjawab ini bererti mendedahkan mereka kepada bahaya dan kebinasaan, sedangkan kedua-duanya perlu dihindarkan. (Mahamad, 2006)

Syarat-syarat Menjadi Pengasuh

Setiap enakmen negeri meletakkan syarat-syarat tertentu yang menjadi kriteria kelayakan seseorang untuk menjadi pengasuh. (Zanariah, 2004) Seseorang pengasuh dianggap berkelayakan mendidik dan menjaga kanak-kanak jika dia: (Zanariah, 2010)
a)            adalah seorang yang beragama Islam;
b)            adalah seorang yang waras akal fikiran; .
c)            adalah seorang yang pada tahap umur yang layak untuk menjaga dan memberi kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak;
d)           adalah seorang yang mempunyai akhlak yang baik menurut Islam; dan
e)            adalah seorang yang tinggal di tempat yang terjamin keselamatan moral dan fizikal kanak-kanak yang dijaga.

Individu yang layak untuk menerima penjagaan seseorang kanak-kanak perlulah Islam sebagaimana diperuntukkan dalam enakmen keluarga Islam di semua negeri. Isu perbezaan agama ini mungkin tidak begitu relevan di Mahkamah Syariah kerana bidangkuasanya hanya melibatkan orang Islam sahaja. Namun, di Mahkamah Sivil ia menjadi begitu relevan. (Normi, 2007) kerana persoalan tentang akidah Islam seseorang ibu atau bapa dalam pertikaian hak hadanah anak sering timbul di kalangan ibu dan bapa dari perkahwinan campur. (Zanariah, 2004) Syarat ini ditetapkan semata-mata untuk memastikan kanak-kanak tersebut membesar dan diasuh oleh seseorang yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Kanak-kanak yang membesar dalam suasana tempat orang yang menjaganya tidak menunaikan ibadat solat atau sering mencuaikannya, misalnya, mereka akan terikut-ikut dengan budaya ini. Ini sudah tentu tidak memberi apa-apa kebaikan kepada kebajikan budak ini. (Normi, 2007) Selain itu, dibimbangi pengasuh tersebut akans menjinak-jinakkan kanak-kanak dengan agama bukan Islam walaupun kanak-kanak tersebut belum mampu berfikir tentang agama. (Zanariah, 2004)

Syarat pengasuh yang kedua ialah akhlak iaitu berkelakuan baik mengikut kehendak agama Islam. (Abdullah, 2006) Syarat ini ditetapkan semata-mata untuk memastikan kanak-kanak tersebut membesar dan diasuh oleh seseorang yang berpegang teguh dengan ajaran Islam (Normi, 2007) yang menjadi matlamat utama pensyariatan hadanah. (Zanariah, 2004) Kanak-kanak yang membesar dalam suasana tempat orang yang menjaganya tidak menunaikan ibadat solat atau sering mencuaikannya, misalnya, akan terikut-ikut dengan budaya ini. Ini sudah tentu tidak memberi apa-apa kebaikan kepada kebajikan kanak-kanak. (Normi, 2007) Persoalan akhlak juga timbul dalam keadaan wujudnya beberapa orang yang sama-sama layak dan berhasrat untuk menjaga kanak-kanak itu, penjagaan hendaklah diberi keutamaan kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri sifat mulia yang diamalkan, perasaan kasih sayang dan sifat amanah. Untuk tujuan itu, mahkamah akan memerhati cara mereka bercakap, melayan kanak-kanak serta dapat memberi komitmen mereka kepada ajaran agama. (Abdullah, 2006)

Syarat yang ketiga ialah pengasuh mestilah mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk mendidik. Oleh itu, orang buta atau rabun, orang yang mengalami lemah keupayaan fizikalnya sehingga tidak mampu menjaga anak-anak kecil dan juga orang-orang yang berusia lanjut tidak boleh menjadi pengasuh. Mereka ini sebenarnya memerlukan orang lain untuk menjaga mereka. (Mahamad, 2006) Pengasuh memikul tanggungjawab yang berat untuk menjaga dan mendidik anak-anak hingga ke peringkat yang lebih tinggi. (Abdullah, 2006)

Syarat yang keempat ialah seseorang hadin atau hadinah mestilah seseorang yang mempunyai umur yang melayakkan dia memberi jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu. (Mahamad, 2006) Disyaratkan baligh dan sampai umur tidak termasuk kanak-kanak yang belum baligh kerana kanak-kanak tidak mampu menjalankan tugas menjaga dan memelihara kanak-kanak sedangkan orang yang baligh atau dewasa dapat menilai baik dan buruk. Orang yang belum cukup umur tidak boleh diberikan tanggungjawab memelihara kanak-kanak, kerana dia sendiri pun masih berada di bawah jagaan orang lain. (Zainul & Nur, 2009)

Syarat kelima iaitu sempurna akal atau waras. Orang gila atau nyanyuk ialah orang yang tidak berupaya menguruskan dirinya. Oleh yang demikian, mereka tidak layak untuk memelihara kanak-kanak. (Mahamad, 2006) Kalau seseorang itu tidak siuman hanya pada waktu yang terlalu singkat, contohnya hanya sehari dalam setahun, hadanah masih boleh diberikan kepadanya. (Normi, 2007) Namun, ada yang berpendapat ia tidak termasuk mereka yang gila, walaupun sekali dalam setahun. (Zainul & Nur, 2009) Oleh itu, mahkamah perlu mendapat pandangan pakar walaupun adakalanya pandangan ini tidak selari dengan hakikat yang dialami oleh pihak-pihak yang didakwa. (Abdullah, 2006)

Syarat keenam iaitu ibu mestilah tidak berkahwin dengan orang yang bukan mahram anak (Kristine Uhlman, 2004) yang boleh menyebabkan hak hadanah akan hilang tetapi ia akan dikembalikan semula jika perkahwinan itu dibubarkan. Perkahwinan ini dibimbangi hadinah itu akan sibuk dengan tugasnya barunya sehingga menjejaskan kebajikan kanak-kanak dalam peliharaannya. Oleh kerana itu, kebajikan anak itu masih terpelihara jika seorang hadinah berkahwin dengan suami yang mempunyai ikatan persaudaraan dengan kanak-kanak itu. Dia lebih mudah untuk bertolak ansur tentang hak-haknya apabila isterinya menjalankan tugas sebagai hadinah kerana dia sendiri pun berasa bertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak itu seperti anak sendiri. (Normi, 2007) Atas dasar kebajikan kanak-kanak, pengecualian diberikan terhadap mereka yang mempunyai hubungan persaudaraan dengan anak itu diperluaskan kepada mereka yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan asalkan kebajikan kanak-kanak tidak terjejas. (Mahamad, 2006)

 Kehilangan Hak Hadanah Seorang Pengasuh

Undang-undang keluarga Islam juga menentukan keadaan-keadaan yang menyebabkan hak hadanah seseorang pengasuh digugurkan, iaitu:
a)      Sekiranya pengasuh perempuan berkahwin dengan lelaki yang tidak ada hubungan kekeluargaan yang dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu. Hak ini hanya akan dikembalikan apabila perkahwinan tersebut dibubarkan;
b)      Jika pengasuh berakhlak buruk secara keterlaluan dan terbuka;
c)      Jika pengasuh menukar mastautin dengan niat menghalang bapa kepada kanak-kanak melakukan pengawasan ke atas kanak-kanak, tetapi jika perempuan tersebut adalah ibu yang diceraikan dia boleh membawa anaknya ke tempat lahirnya;
d)     Jika pengasuh telah murtad meninggalkan agama Islam; dan
e)      Jika pengasuh menganiayai dan mengabaikan kanak-kanak. (Zanariah, 2010) Sekiranya ibu yang mendapat hak tersebut, gagal untuk melaksanakan tugasnya dengan baik hingga boleh menyebabkan kebajikan anak tersebut terabai, maka mahkamah boleh memerintahkan hak hadanah itu ditarik balik. (Raihanah & Najiha, 2010)

Urutan Pengasuh

Walaupun begitu, hak ibu terhadap hadanah ini bukan mutlak. (Zanariah, 2004) Hak ini boleh digugurkan oleh mahkamah sekiranya dapat dibuktikan bahawa ibu telah tiada atau tidak layak atau tidak berminat untuk mendapatkan hak jagaan, hak ini hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut:
a.       nenek sebelah ibu hingga ke atas peringkatnya
b.      bapa
c.       nenek sebelah bapa hingga ke atas peringkatnya
d.      kakak atau adik perempuan seibu sebapa
e.       kakak atau adik perempuan seibu
f.       kakak atau adik perempuan sebapa
g.      anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa
h.      anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu
i.        anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa
j.        emak saudara sebelah ibu
k.      emak saudara sebelah bapa
l.        waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuary (Abu Bakar, 2009)

Pertikaian hadanah biasanya berlaku antara a, b dan c, sementara orang-orang lain yang disenaraikan boleh dikatakan tidak terlibat. Namun kewujudan mereka dalam senarai orang-orang yang layak melambangkan betapa ramainya orang-orang yang boleh diserahkan tugas penjagaan kanak-kanak apabila sesebuah rumah tangga runtuh. (Abdullah, 2006) Walaupun susunan penjaga bagi kanak-kanak mengikut keutamaannya telah diperuntukkan di bawah Undang-Undang Keluarga Islam namun Mahkamah tidak terikat sepenuhnya dengan peruntukan tersebut. Sebaliknya Mahkamah berkuasa untuk menentukan siapakah yang lebih layak dan lebih sesuai untuk menjaga kanak-kanak itu demi kebajikan dan kepentingan mereka. (Nora, 2004) Jika ada beberapa orang dari keturunan atau peringkat yang sama, kesemuanya sama kelayakan dan bersetuju menjaga kanak-kanak itu, jagaan hendaklah diamanahkan kepada orang yang mempunyai sifat paling mulia yang menunjukkan perasaan paling kasih sayang kepada kanak-kanak itu, dan jika kesemuanya sama mempunyai sifat-sifat kemuliaan, maka yang tertua antara mereka adalah berhak mendapat keutamaan. (Mahamad, 2006)

Tempoh Hadanah

Pada dasarnya, tempoh bermula dan berakhirnya hadanah kanak-kanak tidak dinyatakan dengan jelas di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, namun para fuqaha’ telah menggunakan ayat mengenai penyusuan dan mengaitkannya dengan hak ibu untuk memelihara anak yang masih kecil. Penyusuan pada kebiasaannya melibatkan anak-anak yang masih kecil dan tanggungjawab ini dilaksanakan oleh ibu. (Zanariah, 2004) Tempoh hadanah telah diperuntukkan dalam Undang-undang Keluarga Islam iaitu:
1)      Hak hadanah bagi menjaga seseorang kanak-kanak adalah tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun jika kanak-kanak itu lelaki dan umur sembilan tahun jika kanak-kanak itu perempuan. Tetapi mahkamah boleh, atas permohonan hadanah membenarkan dia menjaga kanak-kanak itu sehingga mencapai umur sembilan tahun jika kanak-kanak itu lelaki dan sehingga umur sebelas tahun bagi kanak-kanak perempuan.
2)      Setelah tamatnya had hadhinah, penjagaan adalah turun kepada bapa, dan jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumayyiz) maka kanak-kanak itu adalah berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya, melainkan jika mahkamah memerintahkan selainnya. (Mahamad, 2006)

Perbezaan tempoh antara kanak-kanak lelaki dan perempuan mengambilkira secara umumnya keperluan kanak-kanak perempuan tinggal lebih lama bersama ibu untuk diasuh keperibadian sebagai seorang perempuan dan membiasakan mereka dengan tugas-tugas pengurusan rumahtangga. Anak lelaki perlu berada di bawah pengawasan bapa bagi mempelajari tugas-tugas sebagai seorang lelaki yang hanya layak diajar oleh golongan lelaki. Oleh itu, apabila tamat tempoh hadanah, mengikut prinsip biasa, penjagaan kanak-kanak diturunkan kepada bapa. Namun, sekiranya pada peringkat umur tersebut kanak-kanak telah mumayyiz, maka dia berhak memilih untuk tinggal sama ada bersama ibu atau bapa melainkan jika mahkamah memerintahkan selainnya. (Zanariah, 2010) Oleh yang demikian, tidak ditentukan tempoh tertentu mengenai hadanah ini. (Mahamad, 2006)

Upah Hadanah

Upah hadanah diberikan kepada ibu atau sesiapa yang berhak tetapi tanggungjawab nafkah tetap terletak kepada bapa. (Kristine Uhlman, 2004) Segala perbelanjaan hadanah mestilah ditanggung oleh bapa seperti tempat tinggal sekalipun secara menyewa, menyediakan pembantu rumah jika diperlukan dan bapa itu mampu selama tempoh ia melaksanakan tugas tersebut. Jika hadanah dilakukan bukan ibu anak itu sendiri, ia berhak mendapat upah hadanah sejak mula ia melakukan tugas itu. Upah ini hanya akan dibayar apabila hadinah itu melaksanakan tugasnya dan jika ia tidak dibayar akan tetap menjadi hutang yang mesti ditunaikan. Jika ada kaum kerabat kanak-kanak itu layak untuk melaksanakan tugas hadanah dan ingin melakukan secara sukarela, sedangkan ibu kanak-kanak itu enggan melainkan jika ia dibayar, jika bapa berkemampuan, maka bapa itu wajib membayar upah, dan kanak-kanak itu mesti diasuh oleh ibunya sendiri kerana ia lebih layak dan bapanya berkemampuan untuk memberikan upahnya. Jika bapa tidak mampu, makan kanak-kanak itu boleh diserahkan kepada orang yang ingin mengasuhnya secara sukarela dengan syarat kerabat dekat dengan kanak-kanak itu dan layak. Sekiranya bapa tidak mampu dan kanak-kanak itu mempunyai harta, maka kanak-kanak itulah yang akan membayar kepada pengasuh sukarela tersebut. Jika bapa seorang yang tidak berkemampuan dan kanak-kanak itu tidak mempunyai harta, dan ibunya enggan untuk memeliharanya kecuali ia dibayar upah, dan tidak juga diterima di kalangan kerabat kanak-kanak itu yang sanggup memeliharanya secara sukarela, ibu diperintah untuk memeliharanya dan upah itu tetap menjadi tanggunggan bapa untuk membayarnya. (Mahamad, 2006)

Kebajikan Kanak-kanak Dalam Kes Hadanah

Dalam konteks Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, tiada suatu definisi yang disepakati berkenaan kebajikan kanak-kanak. Ini bermakna, maksud perkataan ini boleh berubah-ubah mengikut isu yang dibincangkan. (Zanariah Noor, 2010).

Elemen utama kebajikan kanak-kanak yang dipertimbangkan dalam kes hadanah ialah perletakan syarat agama. Matlamat utama pengasuhan kanak-kanak bertujuan membentuk mereka menjadi seorang Islam yang bertanggungjawab serta memiliki keperibadian yang terpuji. Ini berkait rapat dengan tanggungjawab ibu bapa membentuk akhlak dan mengajar anak-anak tentang perbezaan baik buruk dari perspektif agama. Elemen menjadi pendekatan yang digunakan oleh mahkamah yang meletakkan kemampuan memberikan pendidikan kepada kanak-kanak sebagai faktor penting dalam pertimbangan menentukan kes pertikaian hak hadanah. Kemampuan material semata-mata tidak mencukupi bagi menjamin kebajikan kanak-kanak kerana agama menekankan kehidupan dunia dan akhirat. (Zanariah, 2010) Namun ada penulis berpendapat bahawa perbezaan agama tidak sepatutnya menjadi batu penghalang untuk seseorang menjaga kanak-kanak dari kalangan keluarganya kerana kedua-dua syarat amanah dan Islam adalah dua syarat yang berbeza. Orang yang bukan Islam hanya cacat pada akidah atau dirinya sahaja, tetapi orang yang tidak amanah, ia akan merosakkan orang lain. Oleh itu, sekiranya terdapat dua orang yang berhak ke atas penjagaan kakak-kanak Islam, salah seorang daripada mereka bukan Islam tetapi amanah dan seorang lagi beragama Islam tetapi tidak bersifat amanah, maka demi menjaga kebajikan kanak-kanak tersebut, pihak yang bukan Islam lebih berhak menjaganya. (Zulkifly, 2009)

Elemen berikutnya menyentuh berkaitan dengan hak akses atau lawatan kanak-kanak ke atas ibu atau bapa yang tidak mendapat hak hadanah. Contohnya, walaupun ibu yang diberikan dan mempunyai kedua-dua hak jagaan serta penjagaan, bapa pula diberi akses atau hak melawat dan melihat anak mereka. (Nurazmallail, 2007) Pendekatan begini mungkin lebih baik daripada bermati-matian mendapatkan hak hadanah tetapi kemudiannya tidak begitu mengambil berat untuk mendidik anak ini. Sekiranya hak hadanah diberikan kepada ibu, misalnya, dia sepatutnya bertanggungjawab untuk memastikan hak lawatan atau hak untuk berjumpa dapat dilakukan oleh bapa kanak-kanak tersebut dengan baik tanpa sebarang halangan daripada pihaknya. Begitulah sebaliknya jika hak hadanah diberikan kepada bapa. Perasaan marah, sakit hati atau dendam kepada bekas suami atau isteri sepatutnya cepat dikendalikan dengan baik demi kepentingan anak-anak yang masih dahagakan kasih sayang dan belaian kedua-dua ibu bapa walaupun mereka telah berpisah. Perbuatan menyembunyikan anak-anak daripada berjumpa dengan ibu atau bapa mereka tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh meninggalkan kesan yang tidak baik kepada anak-naak itu sendiri. (Normi, 2007)

Elemen seterusnya ialah kemahuan kanak-kanak. Kemahuan kanak-kanak akan diambil kira oleh pihak mahkamah berdasarkan kepada umur, kematangan dan sejauh manakah kanak-kanak itu faham mengenai perkara yang dipertikaikan. Hakim akan bertanya kepada kanak-kanak itu dan bercakap secara tertutup dan bersendirian untuk mengetahui kecenderungannya untuk memilih dengan siapa dia mahu diletakkan. (Raihanah & Najiha, 2010) Hak untuk memilih adalah diiktiraf kerana dianggap menjaga kepentingan kanak-kanak itu (Rojanah, 2011) jika dia tinggal dengan seseorang yang lebih menyayangi dan mengambil berat tentang dirinya. (Nora, 2004) Pandangan kanak-kanak tidak semestinya diikuti oleh mahkamah tetapi sekurang-kurangnya membantu pihak mahkamah dalam menyelesaikan kes yang rumit ini. Hak yang diberikan kepada kanak-kanak untuk memilih tidaklah sampai boleh menjejaskan kebajikannya. (Normi, 2007) Pemilihan pengasuh yang dilakukan oleh kanak-kanak tidak mutlak. Mahkamah ketika membuat penghakiman, perlu mengambilkira sama ada pemilihan tersebut menjejaskan kebajikannya sendiri atau tidak. (Zanariah, 2010) Ini termasuklah kehendak dan kecenderungannya untuk memeluk agama Islam. (Zulkifly, 2009)

Elemen seterusnya menyentuh berkenaan penjagaan yang berterusan kanak-kanak. Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri memperuntukkan: “adalah menjadi anggapan yang boleh dipatahkan bahawa adalah untuk kebaikan seorang kanak-kanak dalam masa dia kecil supaya berada bersama ibunya, tetapi pada memutuskan sama ada anggapan itu dipakai bagi fakta-fakta sesuatu kes tertentu, mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukar jagaan”. (Zanariah, 2004)

Selain itu, elemen yang tidak kurang pentingnya iaitu perasaan kanak-kanak yang dipertikaikan. Elemen kasih sayang oleh penjaga kepada kanak-kanak. Penjaga mestilah memberikan kasih sayang yang mungkin diperlukan kanak-kanak itu (Nurazmallail, 2008).

Elemen jagaan oleh ibu menjadi pertimbangan utama dalam memutuskan hak hadanah. Syariat telah menetapkan ibu lebih berhak atas penjagaan anaknya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan. Dalam memikul tanggungjawab sebagai penjaga, golongan wanita diutamakan berbanding golongan lelaki berdasarkan fitrah semulajadinya, perempuan bersifat lebih halus, lemah-lembut, penyayang, penyabar, arif tentang kanak-kanak dan keperluan hidupnya berbanding golongan lelaki. (Nurazmallail, 2008) Ini dikuatkan lagi dengan umumnya wanita, lebih banyak menghabiskan masa di rumah mengurus dan mentadbir rumahtangga berbanding lelaki. Oleh sebab itu, tugas asuhan dan jagaan kanak-kanak pada peringkat pertama kehidupannya diserahkan kepada ibu dan hak penjagaan, pengawasan diri dan harta kanak-kanak diberikan kepada bapa yang bersesuaian dengan fitrah kejadian lelaki. (Zanariah, 2004) Seorang wanita boleh bekerja tetapi keluarganya mesti menjadi keutamaan beliau. (Kristine, 2004) Di bawah undang-undang Malaysia, ia adalah satu anggapan yang boleh dipatahkan bahawa ibu hendaklah menjadi orang yang terbaik untuk menjaga kanak-kanak kecil. Walau bagaimanapun, amalan di mahkamah syariah seolah-olah mencadangkan bahawa mahkamah menimbang prinsip maslahah (kepentingan) kanak-kanak dan ini telah menjadi prinsip utama dalam menentukan hak jagaan. (Roslina & Nora, 2011) Ibu tersebut boleh dipaksa untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga anak tersebut jika bapa sudah tiada atau tidak mampu untuk mengupah orang menyusui anaknya, ibu juga bertanggungjawab untuk menjaga anak ini dalam masa dua tahun umur penyusuan. Walau bagaimanapun, seseorang wanita telah dilantik menjadi pengasuh, tetapi tidak bererti hak ini tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak dan dia berterusan menjadi pengasuh. (Normi, 2007)

Elemen perkahwinan ibu dengan bukan mahram sering kali dibangkitkan apabila pertikaian berhubung dengan hak hadanah kanak-kanak. Mengikut prinsip asal, hak hadanah akan dilucutkan sekiranya ibu atau pengasuh perempuan berkahwin dengan seseorang yang bukan mahram kepada kanak-kanak. Rational penetapan syarat ini adalah bagi mengelakkan kanak-kanak tinggal dengan orang asing yang dibimbangi tidak akan menyenangi kehadiran mereka. Meletakkan mereka serumah dengan seseorang yang membenci dirinya akan mendatangkan kesan buruk kepada kanak-kanak itu sendiri, kerana mereka masih muda dan amat sensitif dengan keadaan sekitar. (Zanariah, 2010) Kebajikan anak itu masih terpelihara jika seorang hadinah berkahwin dengan seorang suami yang mempunyai tali persaudaraan kerana adanya ikatan kasih sayang yang kukuh antara mereka. Namun begitu, haknya akan dikembalikan sekiranya perkahwinan itu dibubarkan. Berpegang kepada prinsip kebajikan kanak-kanak ini, mahkamah boleh dalam keadaan-keadaan tertentu melantik seseorang yang bukan mahram kanak-kanak sebagai penjaga walaupun ibu kandung masih hidup dan mengenepikan hak ibu atau bapa kandung terhadap hadanah selepas tamat tempoh hadanah dan juga boleh ke tahap mengenepikan susunan keutamaan yang telah ditetapkan.  (Zanariah, 2004) Bukanlah perkahwinan itu sendiri tetapi sama ada perkahwinan itu akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak atau sebaliknya. (Normi, 2007)

Perwatakan dan sikap penjaga secara tidak langsung turut menyumbang kepada elemen penentuan dalam perikaian hak hadanah. Berkelakuan baik mengikut kehendak agama Islam. Mungkin ada orang yang mendakwa ia mempunyai kelakuan yang baik tetapi pada masa yang sama ia gemar ke kelab malam, pernah dibuktikan berkhalwat, pernah disabitkan melakukan penipuan dan sebagainya. (Abdullah, 2006) Faktor perkahwinan ibu dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan anak tersebut (perkahwinan kedua dengan lelaki yang bukan muhrim kepada anak) juga diambilkira dari sudut kelakuan ibu bagi menentukan hak bagi penjagaan kanak-kanak. Persoalan ini diberikan perhatian kerana dibimbangi hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu. (Raihanah & Najiha, 2010).

Umur kanak-kanak turut sama dipertimbangkan oleh mahkamah dalam menentukan hak hadanah. Dalam Enakmen Keluarga Islam memperuntukkan bahawa kanak-kanak yang berumur di bawah umur tujuh tahun mestilah diletakkan di bawah jagaan ibunya. (Raihanah & Najiha, 2010) Berdasarkan faktor ini, kanak-kanak yang masih kecil dianggapkan sebagai amat memerlukan perhatian dan belaian kasih sayang seorang ibu. Hakikat ini tidak dapat dinafikan bahkan menjadi prinsip utama hadanah yang diberikan oleh syarak kepada ibu secara tidak langsung menunjukkan keperluan kanak-kanak kecil kepada kasih sayang dan jagaan pengasuh perempuan terutama yang melibatkan kanak-kanak yang masih kecil dalam tempoh menyusu (Zanariah, 2010) sebelum mencapai umur mumayyiz anak itu dan diberi pilihan untuk memilih dengan siapa dia ingin tinggal. (Raihanah & Najiha, 2010)

Elemen mempunyai umur yang melayakkan pengasuh memberi jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu. Orang yang belum cukup umur tidak boleh diberikan tanggungjawab memelihara kanak-kanak, kerana dia sendiri pun masih berada di bawah jagaan orang lain. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam mentafsirkannya sebagai berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu. (Mahamad, 2006) Umur layak merangkumi orang yang baligh atau dewasa kerana dapat menilai baik dan buruk. (Zainul & Nur, 2009) Sekiranya pengasuh utama mengikut susunan pengasuh tidak mmpunyai umur layak, hak ini akan beralih kepada ibu saudara atau orang-orang lain yang difikirkan lebih berkelayakan. (Normi, 2007)

Elemen tempat tinggal yang bakal didiami oleh kanak-kanak turut menjadi penentu. Penjaga sama ada ibu atau bapa perlu menyediakan tempat tinggal yang selamat di mana kanakkanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk daripada segi akhlak atau jasmani. (Nurazmallail, 2008) Tempat tinggal tidak hanya rumah yang bakal diduduki malahan persekitaran sekeliling seperti tempat tinggal yang tidak bersih atau berhampiran dengan kawasan hitam seperti sarang pelacuran, keadaan sosial yang tidak terkawal, tempat perjudian, pengedaran dadah dan sebagainya juga diambil perhatian dalam hal penjagaan kanak-kanak. (Abdullah, 2006) Walau bagaimanapun, undang-undang kelaurga Islam di Malaysia tidak mengkhususkan syarat ibu atau pengasuh perempuan dimestikan tinggal di mukim yang sama dengan bapa atau wali kanak-kanak. Hak pengasuh hanya digugurkan jika dia menukar mastautin dengan niat menghalang bapa kepada kanak-kanak melakukan pengawasan ke atas kanak-kanak dan jika perempuan tersebut telah diceraikan dia boleh membawa anaknya ke tempat lahirnya yang asal. Faktor kewarganegaraan dan pemastautinan pihak-pihak yang bertikai sebagai faktor penentu hak hadanah. Syarat pemastautinan bagi pengasuh tidak lagi ditafsirkan secara ketat, apa yang diutamakan adalah kebajikan kanak-kanak. (Zanariah, 2010)



Sharing is caring ^_^

Monday, 4 March 2013

Pengenalan Kepada Undang-undang Kontrak



BAB 1 : PENGENALAN

Hampir kesemua prinsip–prinsip Undang–undang kontrak Inggeris adalah ciptaan Mahkamah Inggeris, dan sehingga baru–baru ini, badan perundangan telah memainkan peranan yang agak kecil dalam perkembanganya. Sejumlah besar prinsip ini berkembang dalam tempoh dua ratus tahun yang lepas; kerana undang–undang kontrak lahir daripada perdagangan, dan telah berkembang seiring dengan perkembangan Britian, daripada sebuah negara yang sebahagian besarnya mengusahakan pertanian kepada sebuah negara perdagangan dan perindustrian.[1]

1.1 Sifat dan Tujuan Kontrak

The American Restatement of the Law of Contracts bermula dengan takrif yang berikut:

Kontrak ialah suatu janji atau sekumpulan janji, yang jika dimungkiri akan mendapat remedi di sisi undang–undang, atau pelaksanaanya diikitiraf sebagai suatu kewajipan di sisi undang–undang.

Takrif ini boleh diterima secara meluas, asalkan disedari bahawa, dalam undang–undang, suatu janji boleh terdiri daripada suatu jaminan bahawa sesuatu benda itu telah berada dalam keadaan tertentu atau sedang berada dalam tertentu. Walau bagaimanapun, takrif di atas ialah takrif yang dibuat oleh peguam dan memberi sedikit petunjuk tentang sifat kontrak, apatah lagi tentang fungsinya. Kita berkemungkinan membuat kontrak hampir setiap hari, umpamanya, kontrak pengangkutan (perjalanan dengan bas atau kereta api) atau kontrak jualan barangan (pembelian makanan atau secawan kopi).
 
Salah satu fungsi kontrak adalah untuk memudahkan perancangan transaksi dan untuk menyediakan peruntukan bagi peristiwa luar jangkaan pada masa depan. Semakin rumit sesuatu transaksi itu, maka semakin besarlah keperluan untuk perancangan dan semakin terperincilah peruntukan–peruntukan mungkin dibuat. Pertamanya dan yang paling jelas, kontrak pada kebiasaanya akan menentukkan nilai sesuatu pertukaran itu, iaitu berapa banyak wang yang perlu dibayar untuk tanah, barangan dan perkhidmatan yang akan diberi.

Keduanya, kontrak akan menentukan tanggungjawab pihak–pihak berkenaan dan mutu pelaksanaan yang diharapkan daripada mereka. Kontrak pembinaan akan mengandungi spesifikasi untuk kerja–kerja binaan, menyebut apa yang harus dilakukan, jenis dan mutu bahan–bahan yang akan digunakan dan tarikh bangunan itu siap.

Ketiganya, kontrak membolehkan risiko ekonomi yang terlibat dalam sesuatu transaksi dibahagi–bahagikan terdahulu antara kesemua pihak yang terlibat. Kontrak pembinaan boleh memperuntukkan, umpamanya, pelarasan kewangan yang dibuat sekiranya kontraktor menghadapi kenaikan harga kos buruh atau bahan, dan juga siapa yang akan menanggung risiko sekiranya berlaku mogok, cuaca buruk, atau kebakaran. Pihak yang terlibat dengan risiko ini kemudianya boleh menampung beban ini melalui insurans.

Keempat, kontrak boleh menyatakan apa akan berlaku sekiranya sesuatu usaha itu tidak menjadi. Umpamanya katakan kontrak berkenaan gagal membuat sesuatu pembetulan apabila dikehendaki oleh arkitek. Atau pemaju gagal membayar kerja–kerja yang disahkan telah dibuat. Kontrak boleh menentukkan sama ada pihak yang tidak melakukan kemungkiran berhak menamatkan kontrak dan juga atas terma–terma apa.

Akhir sekali, salah satu fungsi kontrak adalah untuk menentukkan bahawa harapan yang lahir daripada sesuatu janji untuk pelaksanaan pada masa depan akan termakbul, atau menentukan ganti rugi akan dibayar sekiranya janji itu dimungkiri.[2]

1.2  Sejarah Obligasi Kontraktual dalam Undang-undang Inggeris

Pada zaman selepas sahaja penaklukan Norman, hakim–hakim diraja lebih prihatin terhadap tanggungjawab kembar mereka untuk menjaga keamanan dan merancang sistem terperinci sehubungan dengan tempoh pegangan tanah, daripada mengmbil berat tentang perjanjian persendirian. Bagaimanapun, pada akhir abad ketiga belas, dua bentuk tindakan untuk melaksanakan hak iaitu termasuklah, sebahagian daripada yang kita boleh namai kontraktual sekarang ini, mulai muncul. Tindakan ini iailah tindakan Hutang, dan tindakan Waad.

Tindakan Hutang lebih banyak mempunyai cirri penyembuhan berbanding dengan ciri remedi kontraktual. Malah, pada mulanya, Hutang ialah sebahagian daripada writ Hutang–Detinu, yakni plaintif menyatakan bahawa defenden telah ‘menahan secara tidak adil’ sesuatu yang bernilai kepadanya dan yang beliau mempunyai hak terhadapnya. Pada awal abad keempat belas, pada umumnya Detinu telah diiktiraf sebagai tindakan yang sesuai untuk mendapat semula catel spesifik, dan Hutang pula sebagai tindakan yang sesuai untuk mendapatkan semula wang.[3]

Writ Waad telah timbul pada permulaan abad ketiga belas, dan menjalang pemerintahan Henry III, Waad merupakan bentuk tindakan yang kerap dipakai. Waad meliputi perjanjian persetujuan yang bermacam–macam jenis, dan khususnya perjanjian–perjanjian untuk membuat sesuatu, seperti untuk membina rumah, selain persetujuan membayar sejumlah wang yang tertentu. Tetapi menjelang pertengahan abad keempat belas, jelas bahawa Waad memerlukan suratcara bermeterai. Perjanjian dilaksanakan bukan kerana pihak–pihak berkenaan telah bertukar janji bersama, tetapi kerana janji ini dibuat dalam bentuk yang tertentu yang terhadapnya undang–undang mempunyai kuasa yang khusus.[4]

Dalam Undang–undang Inggeris, suatu janji (kecuali dibuat di bawah meterai) tidaklah akan mencetuskan satu obligasi kontraktual. Perlulah ada ‘balasan’ daripada pihak penerima janji, iaitu dalam pengertian bahawa penerima janji mesti memberi, atau berjanji memberi, sesuatu yang bernilai sebagai balasan kepada janji itu. Pada abad keenam belas, mahkamah diarah untuk menentukkan kes demi kes, sama ada terdapat sebab–sebab yang baik atau mencukupi untuk membolehkan janji tak formal didakwa tetapi asal usul tepat tentang doktrin moden bagi balasan ini tidaklah begitu jelas.[5]

Perkembangan undang–undang kontrak pada awal abad kelapan belas dan kesembilan belas tidak sedikit pun diganggu oleh fahaman dasar yang telah dirumuskan. Tetapi dalam tempoh ini, para hakim telah merumuskan prinsip–prinsip yang sekarang ini terdapat dalam undang–undang moden. Proses ini berlaku amat perlahan tetapi telah meningkat dengan cepat samasa revolusi perindustrian dan kerana keperluan seterusnya terhadap kaedah–kaedah yang lebih canggih bagi menangani aktiviti perniagaan dan perdagangan yang berkembang dengan secukupnya. Pada zaman ini jugalah penulis–penulis tritis mula menhuraikan keputusan mahkamah secara sistematik dan menerapkan struktur ke atas undang–undang kontrak Inggeris. Abad kesembilan belas, khususnya, ialah zaman perubahan besar dalam dan perkembangan undang – undang kontrak.

Seratus yang lepas memperlihatkan perkembangan yang pesat dari segi kepentingan undang–undang statut. Terdapat beberapa pengkanunan Akta yang besar pada abad kesembilan belas seperti Akta Bil Pertukaran 1882 (Bills of Exchange Act 1882) dan Akta Jualan Barangan 1893 (sale of Goods Act 1893). Dalam tahun 1872, Akta Kontrak India (Indian Contract Act) telah diperbuat, yang telah mengkanunkan (dengan beberapa perubahan) Undang–undang Kontrak Inggeris untuk kegunaan di benua kecil India. Namun begitu, Undang–undang Inggeris tetap kekal, dan masih berupa satu undang–undang yang sebahagian besarnya diperbuat oleh hakim.[6]

Akta Kontrak 1950

Akta Kontrak 1950 (Akta 136) yang dikuatkuasakan di Malaysia pada masa ini mula dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu pada 23 Mei 1950 dan di Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak mulai 1 Julai 1974. Persoalan yang pernah ditimbulkan ialah sama ada Akta Kontrak ini berupa satu kodifikasi yang sempurna, yang meliputi semua aspek undang-undang kontrak atau ada lagi aspek-aspek lain yang tertentu yang tertinggal dan masih lagi tertakluk kepada prinsip common law Inggeris atau keputusan mahkamah (case law).[7]

Umum mengetahui bahawa Akta Kontrak yang dikuatkuasakan di Malaysia sekarang ini dipadankan dengan Akta Kontrak India 1872. Pada suatu ketika dahulu, mahkamah di Selangor pernah memutuskan kes-kes kontrak berdasarkan undang-undang kontrak yang ditadbir di India, tertakluk hanya kepada adat tempatan. Situasi ini tidak menghairankan kerana di kedua-dua negara ini pada ketika itu pegawai-pegawai kehakiman yang mentadbirkan undang-undang di kalangan rakyat adalah orang-orang Inggeris. Apabila kerajaan India meluluskan Akta Perkongsian dalam tahun 1932, pemerintah di negara kita turut meluluskan Akta Perkongsian (Akta 135) dalam tahun 1961. Sebagaimana halnya dengan Akta Jualan Barang-barang, begitu juga Akta Perkongsian ini adalah mirip kepada undang-undang perkongsian di England.[8]

Tidak salah jika dikatakan bahawa undang-undang kontrak di Malaysia tidak jauh bezanya dengan undang-undang kontrak di England. Keadaan ini berlaku disebabkan sejarah undang-undang di Malaysia itu sendiri. Prinsip undang-undang Inggeris yang dikenali dengan nama common law dan ekuiti telah  dibawa masuk dan dipakai di negara kita menerusi keputusan mahkamah dari masa ke semasa dan kedua disebabkan statut.[9]

1.3 Kandungan Undang-undang Kontrak

Hubungan soial dan perdagangan yang bertambah kompleks pada abad kedua puluh telah menimbulkan satu keadaan yang tidak membolehkan kita menganggap bahawa terdapat undang–undang kontrak dan bukanlah kontrak semata.
Kontrak tidak sah ialah kontrak yang diputuskan oleh undang–undang sebagai tidak ada kontrak langsung, yang dari awal lagi merupakan satu pembatalan. Pihak–pihak tersebut akan berada dalam kedudukan yang sama sepertilah kontrak itu tidak pernah dibuat. Wang yang dibayar berdasarkan kontrak tak sah boleh didapatkan semula daripada orang yang menerima bayaran. Inilah sebenarnya maksud perkataan ‘tak sah’, yakni apabila satu–satu kontrak itu dikatakan tak sah disebabkan kesilapan.
Begitu juga kontrak menyalahi undang–undang kerap dikatakan tidak sah, tetapi kesan keharaman boleh jadi amat pelbagai iaitu mengikut darjah kekejian akhlak yang terlibat, kesalahan pihak–pihak berkenaan, dan sama ada kontrak itu sendiri didapati haram atau sebaliknya. Dalam kes ini, ketaksahan dikenakan ab extra oleh undang-undang, dan bukan berapa budi bicara pihak–pihak kontrak yang terbabit. 
Kontrak boleh batal ialah kontrak yang sesuatu pihak yang boleh membatalkan atau mengesahkannya mengikut pilihannya. Kontrak itu bukanlah terbatal dari awal lagi. Sehinggalah kontrak itu dibatalkan. Kontrak itu adalah sah dan mengikat kedua–dua pihak. Oleh itu pihak ketiga yang membeli barang yang telah menjadi hal pekara kontrak yang telah batal, mendapat hak milik yang baik ke atas barangan itu dan tidak boleh dipaksa menyerah balik kepada pemunya yang asal.
Kontrak yang tidak boleh dikuatkuasakan ialah kontrak yang baik dari segi bahan, namun atas sebab–sebab kecacatan teknikal, satu atau kedua–dua pihak berkenaan tidak boleh didakwa berdasarkanya. Sesuatu kontrak itu mungkin baik, tetapi tidak boleh dilaksanakan kerana tidak dibuktikan secara bertulis seperti yang dikehendaki oleh statut.[10]

1.4  Jenis-jenis Kontrak

a)         Kontrak satu pihak (unilateral contract)
Kontrak jenis ini dinamakan kontrak satu pihak memandangkan hanya satu pihak (pencadang) sahaja yang membuat janji sementara penerimaan satu pihak lagi (penerima) adalah berbentuk tindakan atau perbuatan sepertimana yang terkandung dalam cadangan tersebut. Doktrin kontrak jenis ini pihak pencadang adalah terikat dengan cadangannya. Pihak penerima juga tidaklah terikat untuk memenuhi cadangan tersebut. Adalah tidak peril bagi pihak penerima mengkomunikasikan niatnya untuk menerima cadangan si pencadang itu. Ilustrasi kontrak jenis ini banyak kedapatan dalam kes-kes penawaran ganjaran atau hadiah.[11]

b)         Kontrak dua pihak (bilateral contract)
Kontrak dua pihak biasanya terbentuk hasil daripada pertukaran janji antara pihak-pihak melahirkan janji-janji yang bersilang (reciprocal undertakings). Sebagai contoh, ali berjanji untuk membayar RM 150.00 kepada Baba jika Baba membaiki keretanya. Baba berjanji untuk memebaiki kereta Ali. Pertukaran janji antara Ali dan Baba ini melahirkan kontrak dua pihak.

c)         Kontrak kolateral/ sampingan (collateral contract)
Kontrak kolateral/sampingan adalah nama yang diberi kepada kontrak yang merupakan sampingan atau subsidiary kepada, dan membangkitkan kontrak utama atau principal. Kontrak jenis ini boleh dikuatkuasakan dengan sendirinya, dan seperti mana kata Lord Moulton, “Balasannya ialah pembentukan kontrak lain”.[12]


[1] A.G. Guest. Penterjemah Asiah Mohd Yusoff. 2000. Undang-undang Kontrak Anson. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia. Hlm 1
[2] A.G. Guest. Penterjemah Asiah Mohd Yusoff. 2000. Undang-undang Kontrak Anson. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia. Hlm 3
[3] A.G. Guest. Penterjemah Asiah Mohd Yusoff. 2000. Undang-undang Kontrak Anson. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia. Hlm 12
[4] Ibid. Hlm 13
[5] A.G. Guest. Penterjemah Asiah Mohd Yusoff. 2000. Undang-undang Kontrak Anson. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia. Hlm 19
[6] Ibid. Hlm 22
[7] Salleh Buang. 1992. Undang-undang Kontrak di Malaysia. Kuala Lumpur. Central Law Book Company. Hlm 1
[8] Ibid. Hlm 2
[9] Ibid. Hlm 3
[10] A.G. Guest. Penterjemah Asiah Mohd Yusoff. 2000. Undang-undang Kontrak Anson. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia. Hlm 30
[11] Sakina Shaik Ahmad Yusoff. 2003. Mengenali Undang-undang Kontrak Malaysia. Cetakan Pertama. Selangor. International Law Book Services. Hlm 5
[12] Ibid. Hlm 6

Sharing is caring ^_^