Sunday, 30 September 2012

~Amalan Pemakanan Yg Sihat~

Rata2 antara kita mengamalkan diet pemakanan yg xsihat. Sbb itulah byk penyakit akan menyerang scr tiba2 terutama penyakit '3 serangkai' (jantung, kecing manis & darah tinggi). Dlm akhbar bru2 ni ada melaporkan 10 juta rakyat M'sia mengalami berat badan berlebihan @ istilah kasar sikit = gemok/ obesiti. 

Namun kita perlu tahu, memiliki badan yg kurus tidak semestinya seseorang itu tidak mempunyai penyakit. Ramai mereka yg kurus tidak mengamalkan diet yg seimbang. Pd pendapat mereka, bdn mrk kurus, jd mereka tidak perlu berdiet (seimbang) seperti orang yg memiliki bdn yg agak gempal. Hasilnya, mrk akn mengalami penyakit luar duga seperti penyakit buah pinggang & serangan jantung secara tiba2.

Oleh itu, penting bg kita mengamalkan diet pemakanan yg seimbang walaupun bdn kita kurus agar kesihatan luaran & dalaman kita akan terjamin. Kan badan kita ni pun pinjaman dari-Nya. Disebabkan itulah kita mesti menjaganya kerana ia adalah barang amanah. 

Tambahan pula, badan yg sihat membolehkan kita beribadat & bekerja dgn baik. Xdelah yg masih muda mengadu sakit2 lutut. Xdpt berdiri dek kerana badan terlalu obes. Beware!!!! Mkn biar berpada2. Beikut dikongsikan khasiat buah-buahan, sayur-sayuran + susu skali dgn fungsinya pada sistem badan kita. Renung-renungkan & selamat beramal. (^_^)



Sharing is caring ^_^

Wednesday, 26 September 2012

Biarkan Anak Itu Bersama Ibunya



Oleh: Md. Asham B.Ahmad (Fellow IKIM)
23/05/2009 (Berita Harian)

Tatkala si anak masih kecil dan di bawah jagaan orang tua dia tidak ditaklifkan dengan apa-apa tanggungjawab. Dia hanya mahu dijaga dan diberikan kasih sayang. Dia tidak akan faham kenapa dia direbut dan dipisahkan dari ibunya. Yang dia rasai ialah kesedihan dan kedukaan akibat kehilangan kasih sayang seorang ibu.


Bagi si ibu pula, sudahlah dia berpisah dengan suami, kini dia berdepan kemungkinan anak-anaknya pula dirampas darinya. Apakah tanggapannya terhadap agama yang ‘membenarkan' perbuatan sedemikian? Apakah pula tanggapan kaum keluarganya, sahabat handai dan masyarakat sekeliling terhadap agama berkenaan melihat apa yang berlaku ini?


Soal ‘mengislamkan' anak kecil tidak sepatutnya dipermasalahkan dan diperbesar-besarkan sehingga   kita lari dari soal sebenar yakni soal hak penjagaan (hadanah). Tidak kiralah apa yang menjadi punca perceraian berkenaan, hak seorang ibu ke atas anaknya tidak seharusnya dipersoalkan. Malangnya masalah ini tidak dilihat sebagai masalah penjagaan tetapi lebih sebagai masalah hak untuk ‘mengislamkan' anak-anak yang tidak mengerti apa-apa itu.


Ada pihak yang memberi alasan bahawa mereka khuatir tentang nasib dan masa depan anak berkenaan jika tidak dibesarkan secara Islam. Kekhuatiran ini tidak berasas kerana berapa ramai anak-anak   yang dilahir dan dibesarkan oleh ibubapa Muslim sedangkan keislaman mereka amatlah menyedihkan.


Syarat untuk seseorang itu dipertanggungjawabkan (taklif) dengan tanggungjawab agama ialah akal. Kanak-kanak masih belum sempurna akalnya, justeru belum dibebankan dengan sebarang tanggungjawab. Sehubungan dengan ini, hadith yang sering dipetik bahawa setiap anak dilahirkan dalam keadaaan fitrah dan kedua ibubapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi, hendaklah diperincikan maknanya agar tidak disalahfahami.


Hadith ini hanya menyatakan secara umum apa yang biasanya berlaku, yakni agama biasanya diwarisi dari orang tua. Ia tidak bermaksud bahawa setiap anak pasti kekal menganuti agama yang diwarisinya, jika tidak apa gunanya dakwah.


Suatu perkara yang menarik untuk diamati tentang hadith ialah bagaimana dalam kes agama-agama Yahudi, Nasrani dan Majusi digunakan perkataan-perkataan ‘meyahudikan (yuhawwidan), ‘menasranikan' (yunassiran), dan ‘memajusikan' (yumajjisan) tetapi tiada perkataan bagi ‘mengislamkan'. Sebabnya ialah kerana tiada sesiapapun pada hakikatnya yang boleh ‘diislamkan' oleh orang lain.


Islam adalah agama fitrah. Ia agama yang sejajar dengan bawaan semulajadi setiap insan. Ia tidak boleh dipaksakan dari luar sebaliknya datang dari kehendak dan kesedaran sendiri. Justeru, perkataan ‘mengislamkan' pada hakikatnya mengelirukan. Tiada sesiapapun yang boleh ‘diislamkan' yakni dijadikan Muslim tanpa keinginan dan kerelaan sendiri.


Hadith ini juga memberi maksud agama-agama yang lain itu bukan agama fitrah, ertinya tidak sejajar   dengan bawaan semulajadi manusia, justeru hanya diterima secara ikut-ikutan lantaran kejahilan, ataupun secara paksaan. Hanya dalam Islam fitrah itu ditemui. Tidak kiralah dengan agama apa seseorang itu dibesarkan apabila dia mengenali dan memahami risalah Islam pasti ditemui apa yang dicari selama ini. Dengan sebab itulah hanya dalam Islam menuntut ilmu adalah kewajiban agama yang terutama dan tiada noktahnya. Hanya dengan ilmu yang cukup risalah Islam dapat disampaikan dengan sempurna dan nyata. Sememangnya, yang menjadi tanggungjawab kita hanyalah menyampaikan, sedangkan petunjuk dan hidayah     datang dari Allah.


Kalau dipandang dari sudut maslahah kita sebenarnya telah melanggar satu prinsip yang amat penting   bahawa kemudaratan hendaklah dihindar atau dihapuskan. Yang kita lakukan sebaliknya adalah membuka pintu kemudaratan yang besar apabila mendedahkan agama kepada fitnah gara-gara perbuatan sendiri yang tidak berhemah.


Persoalan ini mesti ditangani dengan penuh kebijaksanaan dengan mengambilkira keadaan semasa masyarakat di negara kita. Jangan kerana keghairahan nak ‘mengislamkan' seorang dua kanak-kanak ribuan   orang yang mula berjinak-jinak dengan Islam menjauhkan diri atau ditakut-takutkan oleh pihak-pihak tertentu agar menjauhkan diri.


Sekiranya soal-soal yang berkaitan dengan perpisahan akibat dari pertukaran agama itu diurus secara berhemah, contohnya secara rundingan tentang siapa yang layak dan sepatutnya menjaga dan hak lawatan pihak yang satu lagi, lebih terbuka kemungkinan kedua-dua pihak dapat berdamai dan tidak bermusuh demi kebaikan anak-anak mereka. Siapa tahu akan terbuka hati pasangan yang belum memeluk Islam itu untuk turut sama memeluk Islam.


Andai kata si bapa memeluk Islam manakala anak-anak di bawah jagaan ibu hubungan antara bapa dengan anak tetap tidak akan putus. Bahkan dia masih wajib menanggung nafkah anak-anaknya. Inilah yang perlu dituntut, ditekankan dan dipertahankan. Sekiranya tanggungjawab sebagai bapa masih diteruskan walaupun sudah bertukar agama anak-anak pasti akan dapat melihat sendiri dan membuat perbandingan dan  akhirnya membuat pilihan agama mana yang mahu dianuti. Tiada gunanya memaksakan sesuatu sebelum masanya.


Petunjuk Allah boleh datang dari berbagai jurusan dan dengan berbagai cara. Kita bagaimanapun diajar untuk berlembut dan tidak bersikap kasar terhadap orang-orang bukan Muslim kerana itu akan menyebabkan mereka menjauhkan diri.


Kita berada pada suatu zaman di mana fitnah terhadap agama itu begitu berleluasa. Walaupun kita mungkin tidak boleh menghentikan semua fitnah itu, sekurang-kurangnya kita tidak turut sama menyumbang dalam erti kata menambahkan lagi kegawatan yang sedia ada.


Source: www.ikim.gov.my


Sharing is caring ^_^

Tuesday, 25 September 2012

Motivasi..=)

Motivasi buat diriku yg bergelar student...(^_^).

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir". 
- (Surah Al-Baqarah, ayat 286)


Sharing is caring ^_^

Tips Menjaga Alat Kelamin




Menjaga alat kelamin adalah perlu selain kedudukannya yang tidak dapat dilihat secara langsung (tersorok). Namun penjagaannya perlu dilakukan dan berikut ini mengenai tips menjaga alat kelamin, baik lelaki atau wanita.

Lelaki dan wanita memiliki alat kelamin yang berbeza termasuk bentuk, struktur kegunaan dan fungsinya. Dan sudah tentu jagaannya juga berbeza. Vagina yang dimiliki oleh wanita mudah terkena infeksi dan iritasi, berbeza dengan penis yang dimiliki oleh lelaki kerana sebagian besar kulitnya cukup tebal sehingga lebih tahan terhadap iritasi dan infeksi.

Dalam menjaganya, ramai yang seringkali salah, seperti contoh, wanita sering membersihkan alat kelaminnya menggunakan sabun biasa atau cairan pembersih yang tidak jelas kandungannya, atau meletak bedak, bahkan menyembur perfume / pewangi pada vagina. Bagi lelaki juga misalnya menggunakan pakaian dalam yang ketat, hal ini dapat menimbulkan permasalahan lainnya.

Dan berikut ini beberapa tips menjaga alat kelamin kita;

1. Setelah buang air kecil atau besar

Rajin-rajinkan mencuci bahagian luar alat kelamin dengan air dan sabun. Untuk wanita, siramlah dengan air dari arah depan ke belakang dan bukan sebaliknya. Hal ini untuk mencegah masuknya kuman dari dubur ke vagina. Bagi lelaki, cukup hanya membersihkan dengan air bersih.

2. Kebersihan pakaian dalam

Sepatutnya dalam sehari, minima menggantikan pakaian dalam adalah sebanyak dua kali untuk menjaga kebersihan. Selain itu pilihlah pakaian dalam yang dapat mudah menyerap peluh, kerana jika tidak kuman boleh menempel pada alat kelamin. Hindari untuk saling bertukar / berkongsi pakaian dalam dengan orang lain bahkan dengan ahli keluarga sendiri, kerana setiap orang memiliki keadaan kelamin yang berbeza.

3. Menggunakan tandas awam

Siramlah sebelum ‘flush’. Hal ini untuk mencegah penularan jika ada pengguna lainnya adalah penderita penyakit kelamin. Sebaiknya gunakan selalu air yang mengalir (air paip) dan hindarkan daripada menggunakan air yg terdedah, kerana menurut kajianan air yang tergenang / terdedah di tandas awam mengandung 70% bakteria candida albicans (penyebab keputihan dan rasa gatal pada vagina).

4. Merawat rambut yang tumbuh di sekitar alat kelamin

Elakkan membersihkan bulu di kawasan kemaluan dengan cara mencabut kerana akan ada lubang pada bekas bulu kemaluan tersebut dan menjadi jalan masuk bakteria, kuman, dan lain sebagainya.selain itu ia dapat menimbulkan iritasi dan penyakit kulit. Penjagaan bulu itu disaran dirapikan dengan memendekkan, dengan gunting atau dicukur. Perlu diketahui setelah menggunakan, simpan dalam tempat yang bersih dan kering, jangan di tempat yang lembab dan jangan menggunakannya secara bergantian bahkan dengan suami/isteri.Seelok-eloknya guna & buang.

Rambut-rambut tersebut berfungsi untuk kesihatan alat kelamin, iaitu berguna untuk merangsang pertumbuhan bakteria baik yang melawan bakteri jahat serta menghalang masuknya benda asing kecil ke dalam vagina, menjaga alat kelamin tetap hangat dan penting dalam hubungan seksual. Oleh itu, kita perlulah rajin menjaganya agar tidak menjadi sarang kutu dan bakteria.

5. Pemakaian pantyliner

Pemakaian pantyliner tidak digalakkan diguna setiap hari, sebaiknya Pantyliner hanya digunakan ketika keputihan. Lebih baik jika membawa pakaian dalam sebagai pengganti daripada menggunakan pantyliner setiap hari.

6. Hindari menggunakan pakaian dalam dan jeans yang sangat ketat

Memakai pakaian dalam dan jeans yang terlalu ketat di kawasan sulit dapat menyebabkan kulit susah untuk bernafas dan akhirnya dapat menyebabkan kawasan tersebut berpeluh, lembab, mudah terkena penyakit dan iritasi.

7. Hindari untuk menyemprot minyak wangi / parfum ke dalam vagina

8. Setia pada pasangan sendiri

Hal ini juga merupakan salah satu tips menjaga  alat kelamin. Ia mengelakkan penyakit bawaan seks bebas seperti 'siplis'. 

9. Jangan malas mengganti pembalut

Bagi para wanita yang sedang haid, jangan malas mengganti tuala wanita kerana ketika itu, kuman mudah untuk masuk dan tuala yang telah ada gumpalan darah merupakan tempat berkembangnya bakteria. Gantikan setiap 4 jam sekali, 2-3 kali sehari atau sudah merasa tidak selesa. Jangan lupa bersihkan vagina sebelum memakai tuala yang baru.

10. Pemeriksaan rutin

Lakukan pemeriksaan rutin pada alat kelamin. Jika merasakan sesuatu yang di luar kebiasaan seperti bau yang kurang sedap dan gatal-gatal pada alat kelamin, segeralah berjumpa dengan doktor.
 
Sumber: berbagai sumber di internet
 p/s: ~“Kecantikan ‘dalaman’ mempengaruhi kecantikan luaran seseorang”~

Sharing is caring ^_^

Thursday, 20 September 2012

Seekor Anak Kucing & Sebuah Keinsafan


Zaid seorang yang lelaki remaja yang bermasalah. Segala kejahatan semua dia pernah lakukan, kecuali bunuh orang. Hidup nya dari kecil sangat menyayat hati. Dia adalah anak yang ditinggalkan ibu bapa akibat perceraian. Sejak kecil kehidupannya amat susah sekali. Tinggal bersama datuknya yang uzur. Hidup ibarat kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang.

Dia hanya dapat bersekolah setakat tingkatan 3, memandangkan selepas kematian datuknya dia terpaksa berhenti sekolah. Sejak hari itu, Zaid membawa diri dengan bekerja di car wash. Dia merantau dan membesar dengan hidup yang kacau bilau.


Kalau lihat air mukanya tak pernah senyum. Orang nya serius. Boleh dikatakan Zaid manusia yang tiada sense of humor. Sejak dia kehilangan datuknya, dia banyak menghabiskan dunia kehidupannya bersama remaja-remaja lain. Semua aktiviti remaja sekarang seperti merempit, perempuan dan lain-lain adalah rutin kehidupannya.

Bila dia kesorangan dia pasti menangis mengenangkan dirinya yang hidup tanpa kasih sayang. Malah dia tak tahu apa erti kasih sayang. Melainkan hidupnya berdendam dengan kedua orang tuanya yang sanggup meninggalkannya sewaktu kecil kepada arwah datuknya.

Bulan Ramadhan sekali sekala dia akan berpuasa... Kali ini Ramadhan menjelma lagi.

Suatu hari seperti biasa dia ke tempat kerjanya. Entah bagaimana dalam asyik dia mengemas stor belakang datang seekor anak kucing menghampirinya. Zaid memandang sahaja. Di halau kucing itu jauh-jauh. Dia perasan anak kucing itu selalu mendapat makan di gerai makan depan car wash tempat kerjanya. 

Memandangkan bulan Ramadhan gerai makan tersebut ditutup. Terkonteng-konteng anak kucing datang mengelilinginya sambil mengiaw-ngiaw.

“Lapar ni. ....” detik hatinya. Dia memandang “bekal” nasi yang dibawa.. itulah bekal yang di bawa dalam bulan puasa untuk “berbuka” awal dalam stornya. Tiba-tiba terdetik hatinya terasa kasihan. Lalu diambil juadah “berbuka” puasanya untuk tengah hari diberi anak kucing itu makan. Anak kucing itu makan dengan lahapnya. Sesekali hampir tercekik makanan yang dimakannya. Zaid tersenyum melihat telatah anak kucing itu.

Hatinya berkata,” Nampaknya aku kene puasa lah macam ni...rezeki kau kucing...


Keesokkan harinya masih sama...anak kucing itu menanti kedatangan Zaid. Kali ini anak kucing itu nampak riang. Seperti semalam Zaid beri kucing tersebut makan lagi bekalannya. Sehingga tak sedar esok hari terakhir bulan Ramadhan. Bermakna dari awal puasa kerana seekor kucing Zaid telah berpuasa . Dengan memberi makan anak kucing Zaid teruskan berpuasa sehingga berbuka.

Tiba-tiba Zaid termenung sambil melihat anak kucing itu sedang bermain girang, dia merasakan sesuatu yang pelik berlaku dalam dirinya. Dia merasakan dirinya punyai kasih sayang. Mungkin selama ini dia kekurangan kasih sayang bukan bermakna dia tidak ada kasih sayang dalam dirinya. Mungkin dia punyai kasih sayang yang terlalu banyak yang belum dinodai sehinggakan ada insan lain yang perlu kasih sayang Zaid.

“ Rupanya aku kaya dengan kasih sayang kalau tidak manakan aku sanggup berpuasa demi binatang kecil ini. Airmatanya mengalir deras. Dia berlutut ke bumi, dan menadah syukur kerana Allah berikan dia kesedaran dan taufik hidayah melalui seekor anak kucing.” Mulai hari ini aku ingin bertaubat,” detik hatinya.

Lalu Zaid memegang anak kucing itu sambil mencium dan menggumol kucing tersebut. Terpancar keriangan dan kasih sayang yang ikhlas dari dalam diri Zaid. Anak kucing itu semakin hari semakin manja dengan Zaid. Aksi anak kucing itu kadang-kadang membuat Zaid ketawa. 

Zaid yang dulu hatinya keras, kini jiwanya halus dan mudah tersentuh. Zaid yang dulu tidak ada kasih sayang kini merasai apa itu kasih sayang. Zaid yang dulu sentiasa serius kini sering tersenyum. Zaid yang dulu tidak berpuasa kini berpuasa demi seekor anak kucing. Zaid yang dulu sentiasa memberontak kini dia semakin bermujahadah dan insaf kerana hadirnya KASIH (nama samara kucingnya) dalam hidupnya.... 

Taufiq hidayah Allah pelbagai cara... Maha Suci Engkau Ya Allah...


Source: www.facebook.com/Dunia Kucing

Sharing is caring ^_^

Hak Institusi Zakat: Isu Yang Gagal Difahami?

by Hamizul Abdul Hamid


ULASAN Dalam dunia pengurusan zakat, ada dua urusan utama atau disebutkan sebagai core business of zakat, iaitu kutipan dan agihan zakat. 

Secara asasinya sesebuah institusi zakat akan menjalankan amanah mengutip zakat dan selepas itu, bertanggungjawab pula mengagihkan kembali zakat kepada semua asnaf yang berhak. 

Dalilnya, semasa Nabi Muhammad SAW mengutuskan Saidina Muadz bin Jabal RA ke Yaman sebagai gabenor dan amil, maka nabi menyatakan: 

"Ambillah daripada penduduk Yaman yang kaya sebahagian harta mereka (sebagai zakat) dan agihkan kembali harta itu kepada golongan fakir (dan miskin) di sana." (Hadis riwayat Bukhari)
Atas dasar itulah, sesebuah organisasi zakat tidak akan berjaya jika mengabaikan salah satu daripada elemen ini. Kecekapan kutipan mestilah diiringi dengan kecekapan agihan.

Timbulnya pelbagai tohmahan liar dan sangkaan negatif kepada sesebuah institusi zakat, apabila kecekapan hanya berlaku dalam aspek kutipan; tidak pula dalam bab agihan.

Hak institusi zakat

Harus diingat, sesebuah institusi zakat itu berhak menjalankan kerja-kerja kutipan dan agihan ini atas arahan pemerintah Islam (ulil amri), sesuai dengan tindakan nabi melantik para sahabat sebagai amil, misalnya Muadz bin Jabal RA dan Abu Hurairah RA sebagaimana yang dipaparkan dalam hadis di atas.

Bahkan dalam mentafsirkan ayat 103 daripada surah at-Taubah, kalimah "ambillah" yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW, merupakan suatu penegasan bahawa pihak amil berhak mengambil waima secara paksa harta orang-orang kaya jika mereka enggan berzakat.

Dan dalam konteks ini, pastilah yang berhak ‘merampas' itu para penguasa zakat yang diberi kuasa. Siapakah yang layak diberikan kuasa, andai bukannya para amil lantikan pemerintah.
Disebutkan oleh Sa'id Ibn Mansyur daripada Suhail RA bahawa: "Telah berkumpul padaku nafkah, yang padanya ada zakat, yakni telah sampai nisab zakat, maka aku bertanya kepada Sa'ad bin Abu Waqas, Ibn Umar, Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah, kataku: Apakah aku (patut) membahagikannya (sendiri) atau aku berikan kepada pemerintah? Semua mereka menyuruh aku memberikan kepada pemerintah. Seorang pun tidak ada di antara mereka yang menyuruh aku membahagikannya sendiri." 

(Disebutkan dalam kitab al-Majmu' dan dinukil kembali dalamPedoman Zakat oleh Tengku Muhammad Hasbi Ash Shidieqy, hlm 51).

Jelas di sini, jumhur fuqaha bahkan pendapat dalam kalangan sahabat sendiri, bahawa lebih utama menyalurkan zakat kekayaan kepada pihak pemerintah, yakni melalui amil yang dilantik oleh pemerintah.

Imam Abu Yusuf (anak murid Imam Malik) pernah mengungkapkan kepada Khalifah Harun al-Rasyid: 

"Wahai Amirul Mukminin, perintahkanlah para amil zakat untuk mengutip harta zakat dan bahagikannya kepada mereka yang berhak. 

"Lakukanlah semua urusan itu sesuai dengan sunah Rasulullah SAW dan para khalifah selepas baginda." 

(Lihat al-Kharaj sebagaimana diungkapkan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi, Institusi Zakat, hlm 52)

Kemahiran mengurus zakat

Oleh itu, hanya institusi zakat yang lebih layak menjalankan kerja-kerja mengutip dan mengagih zakat. 

Ini kerana, pihak pengurusan zakat yang disebut sebagai amil, telah dilatih untuk mentaksir zakat secara tepat, sesuai dengan pelbagai inovasi pengiraan dan berdasarkan perakaunan baharu zakat yang dirumus oleh fuqaha kontemporari dan para pakar kewangan Islam terkini.

Ambil sahaja contoh dalam menaksir harta zakat perniagaan; ramai orang (termasuklah kadang kala kalangan agamawan yang kurang arif) yang mengambil jalan mudah mengira zakat atas keuntungan semata-mata; walhal zakat perniagaan itu dikenakan ke atas kecairan modal dan juga keuntungan semasa.

Begitu juga dalam pentaksiran zakat pendapatan, implementasi had al-kifayah pembayar dan perkembangan fatwa mengenainya hanya lebih dimaklumi oleh amil yang terlatih, yakni amil zakat. 

Sebab itulah, Umar al-Khattab RA dalam memperkasakan pentadbiran negara, melantik pegawai khas bergaji, yang bertugas mentaksir zakat umat Islam demi kebaikan semua pihak tanpa ada sebarang kepentingan lain.

Bahkan, dalam aspek pengagihan zakat ia memerlukan mereka yang lebih memahami situasi masyarakat. Tidak selalunya tepat, andai kita hanya mentafsir berdasarkan lahiriah manusia semata-mata. 

Maka, demi memastikan zakat hanya disalurkan kepada mereka yang layak, maka pelbagai inovasi dalam bancian dan siasatan diwujudkan. Para amil zakat dilatih agar menghadami keperluan ini.
Formula had al-kifayah asnaf misalnya, dilahirkan demi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak disantuni seoptimanya dengan wang zakat. Ini penting, atas beberapa faktor berikut:
  1. Keterbatasan sumber zakat
  2. Menangani kes penipuan zakat
  3. Mengoptimakan natijah agihan zakat
Dalam isu keterbatasan sumber, hal ini hendaklah dimaklumi bahawa kutipan zakat sebenarnya masih belum mampu memenuhi keperluan seluruh asnaf zakat. 

Ambil sahaja dua asnaf zakat yang muqaddam (paling utama), iaitu golongan fakir dan miskin; keperluan menyediakan keperluan mereka masih belum sampai ke tahap maksimum.
Misalnya, tidak semua asnaf miskin mampu disalurkan bantuan kewangan dan makanan bulanan dan tidak semua juga mampu dibiayai modal perniagaan. 

Ini kerana, sumber yang ada masih terbatas dan ia mewajibkan pihak institusi zakat untuk lebih cermat dan cerdas menyalurkan dana berkenaan.

Manakala dalam isu menangani kes-kes penipuan zakat, ia lebih rumit memandangkan orang-orang yang mahu mengambil kesempatan hari ini, semakin licik dalam tindakan. 

Kelicikan mereka boleh menyebabkan wang zakat jatuh ke tangan orang yang salah, yakni bukan asnaf; dan pada masa yang sama akan menyebabkan orang-orang yang sebenarnya lebih berhak dan layak tidak menerima haknya.

Sementara itu, dalam usaha mengoptimakan kesan atau natijah di sebalik agihan zakat, maka pihak institusi zakat sebenarnya memang perlu mempunyai data dan maklumat yang lengkap dan kemaskini mengenai seseorang asnaf. 

Misalnya, latar belakang keluarga, pendidikan yang dilalui, pengalaman bekerja, sejarah kesihatannya dan pelbagai perkara lain.

Adalah tidak munasabah memberikan modal perniagaan makanan kepada seorang yang berpenyakit TB misalnya, kerana ia lebih memudaratkan.

Peranan pembayar zakat

Namun begitu, pihak institusi zakat juga wajar menyedari bahawa mereka hanyalah sebagai pemegang amanah, yakni pihak yang diberikan autoriti sementara bagi mengendalikan urusan zakat. 

Para pembayar menyerahkan harta-harta zakat mereka dengan satu niat, yakni melepaskan kewajipan zakat. Kepada siapakah ia dilepaskan? Sudah pastilah ke bahu para amil zakat.
Maka, dalam konteks ini para pembayar zakat sebenarnya seakan-akan enggan lagi mengambil tahu perihal harta zakat mereka. 

Namun, dalam konteks yang lain, hakikatnya ia masih perlu, kerana matlamat sebenar di sebalik pensyariatan zakat oleh Allah SWT untuk memastikan harta kekayaan mereka itu benar-benar dapat memperkasakan ummah keseluruhannya.

Umar al-Khattab RA misalnya menegaskan, harta zakat hendaklah diagihkan secara maksimum sesuai dengan keperluan umat Islam dan Umar tidak membenarkan wujudnya lebihan harta zakat untuk dibawa ke tahun hadapannya.

Syeikh Muhammad bin Salih al-Utsaimin pula dalam fatwanya menyatakan: "...agihan zakat kepada lapan asnaf ini boleh memenuhi keperluan khusus bagi mereka yang menerimanya... melalui zakat juga, terjalin kedamaian masyarakat dengan bersatunya hati mereka (antara orang-orang kaya dan miskin)." (lihat Ensiklopedia Zakat, hlm 48).

Realitinya, zakat antara mekanisme perkongsian harta dan sekali gus mengekang pengumpulan harta hanya kepada orang-orang dan golongan yang tertentu sahaja. 

Ertinya, zakat mencegah monopoli kekayaan dan dalam hal ini Allah SWT menegaskan:

"Supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu." (al-Hasyr: 7)
Maka, pembayar zakat masih wajar mengambil tahu apakah agihan zakat yang dilakukan itu benar-benar sampai kepada lapan asnaf ataupun tidak. 

Seandainya berlaku ketempangan dalam pengurusan zakat, khususnya dalam urusan agihan, maka para pembayar wajar memberikan teguran dan mencadangkan penambahbaikan. 

Ia hakikatnya corak check and balance demi menjamin kesinambungan keberkesanan sistem zakat.
Kendatipun fuqaha majoritinya cenderung agar semua pembayar menyalurkan zakat mereka kepada institusi zakat yang ditubuhkan pemerintah; namun ia masih tertakluk kepada keamanahan dalam pengurusan zakat berkenaan. 

Seandainya ternyata dan terbukti, penyaluran zakat tidak sampai kepada matlamat, maka sebahagian fuqaha menegaskan zakat itu boleh disalurkan sendiri oleh pembayar kepada mustahiknya (penerima).

Perbincangan ini dibahaskan antaranya oleh Syeikh Rashid Ridha, yang dengan tegas menyatakan: 

"Kepada pemerintah-pemerintah semacam ini (yang menyeleweng daripada amanah zakat - penulis), tidak boleh kita (umat Islam) membayarkan zakat (kepada mereka) walaupun ketua pemerintahan itu bergelar khalifah," (rujuk TM Hasbie Ash Shidieqy, Pedoman Zakat, hlm 53).

Budaya kerjasama

Oleh itu, biar pun penyerahan harta zakat telah berlaku; namun keprihatinan pembayar zakat masih diraikan dalam kerja-kerja agihan. 

Misalnya, mereka boleh mencadangkan orang yang difikirkan layak dan sesuai untuk menerima bantuan zakat, manakala pihak zakat akan menyiasat demi membolehkan mereka diberikan zakat jika menepati kriteria kelayakan.

Budaya saling membantu seperti ini, walaupun bukan lagi menjadi suatu tuntutan wajib kepada pembayar zakat; namun masih menepati ajaran Islam. 

Allah SWT menegaskan berulang kali, sikap saling membahu, ambil tahu dan memperbetulkan kesilapan, akan menjadikan hasil sesuatu pekerjaan itu lebih baik dan cemerlang.

Sikap ini jujurnya, jauh lebih mulia daripada tindakan segelintir pihak yang sering menuding jari dan mencebik bibir serta memicingkan mata atas sebarang kesilapan yang dilakukan oleh pihak pengurusan zakat. 

Mereka tidak berminat untuk memperbaiki kelemahan; sebaliknya lebih bergembira mendedahkan keaiban.

Akibatnya, umat Islam menjadi rosak kerana hilangnya kepercayaan kepada sebuah institusi yang diamanahkan menguruskan hal ehwal zakat. 

Sedangkan kesilapan yang terjadi bukanlah menjadi kesalahan total yang membawa hukuman ‘mati mandatori'; masih ada jalan bagi memperbaiki kelemahan berkenaan.

Apatah lagi jika terbukti bahawa institusi zakat berkenaan selama ini sudah berusaha sehabis daya menunaikan amanah zakat dengan penuh jujur dan akauntabiliti. 

Tidak sewenang-wenangnya menghamburkan wang zakat tanpa kelihatan sebarang manfaat. Institusi zakat seperti ini, sekali melakukan kesalahan; sewajarnya terus diperbetulkan dan tidak pula ia diperbesar-besarkan.

Nabi Muhammad SAW menukilkan, para amil yang ikhlas dan penuh keazaman menjalankan amanah seumpama: 

"Seorang amil yang bekerja mengutip zakat di atas kebenaran, samalah dengan seorang pejuang yang sedang beperang di jalan Allah sehinggalah dia kembali ke rumahnya." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Mutakhir ini, apabila ada pihak yang sering menyinggung institusi zakat, khususnya dalam aspek agihannya, maka ia berpotensi menjadi polemik yang berpanjangan. 

Namun, polemik ini bisa dicantas jika umat Islam memahami bahawa tugas sesebuah institusi zakat sebagai penyambung amanah zakat, dapat dibantu oleh seluruh umat Islam yang lain.

Beramallah dengan saranan-saranan Allah SWT, bantulah institusi zakat andai mereka tersalah dan yang paling penting, sentiasa berusaha menjadikan zakat sebagai senjata ummah yang terampuh demi kebaikan bersama.

HAMIZUL ABDUL HAMID eksekutif komunikasi korporat Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Source: www.malaysiakini.com
Sharing is caring ^_^

Wednesday, 19 September 2012

Siasah syar'iyyah dan Perlaksanaannya Pada Masa Kini

Oleh Dr Abdul Aziz Hanafi

Siasah Syar’iyyah atau Sains Politik Islam merupakan suatu peruntukan khas anugerah Allah swt kepada pimpinan negara/negeri Islam yang menjadikan Al-Qur’an dan Sunnah al Nabawiyah sebagai perlembagaannya.

Ianya muncul bersama kelahiran Kerajaan Islam yang pertama di Madinah al-Munawwarah yang dipimpin sendiri oleh baginda s.a.w.

Kemudian diikuti pula di zaman pemerintahan para khalifah al-Rasyidin r.a. ajma’in dan di zaman selepasnya.

Fungsi dan tugasnya amat penting dalam menangani dan menyelesaikan masalah-masalah semasa yang sentiasa membaru yang memerlukan kepada jawapan yang tepat dan bijaksana dengan mengambil kira kesesuaian dan ketepatannya dengan kehendak Syariah Islam yang mulia.

Maka sudah tentu pihak yang berautoriti dalam menentukan hukum-hukum menerusi Al-siyasah al-Syar’iyyah ialah pimpinan kerajan Islam yang memiliki keupayaan berijtihad secara jama’ie hasil gabungan antara para ulamak dan kumpulan professional seperti yang pernah dilakukan di zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid ketika baginda meminta Al-Qadhi Abu Yusuf menyediakan rangka cadangan kutipan hasil-hasil pertanian termasuklah menyediakan infrastruktur ke arah menjayakan projek tersebut begitu juga mengenai system pengairan yang baik dan teratur.

Maka dengan kerjasama Osman bin Hunaif, seorang juruukur yang terkenal pada masa itu, maka petua Al-Qadhi Abu Yusuf telah berjaya dihasilkan dan dikenali dengan nama al-Kharaj.

Melihat kepada kedudukan kita sebagai sebuah jama’ah Islamiyah yang dilihat sebagai sebuah jamaah yang memiliki keupayaan memanfaatkan kesemua tenaga para ulamak dan professional kita dalam membina keutuhan hukum, undang-undang, peraturan-peraturan yang sebahagiannya terpaksa mengambil kira kesesuaian masa dan tempat berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak yang konkrit.

Pembahagian Hukum Syarak

Sepanjang kajian kita dalam bidang syariah, kita mendapati bahawa hukum-hukumnya terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama:

Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang ‘kulliyah’ iaitu hukum-hukum syarak yang tetap dari segi prinsip dan pelaksanaannya dan tidak tunduk kepada sebarang perubahan masa dan tempat sehinggalah ke Hari Kiamat.

Sebagai contoh, hukum-hukum mengenai urusan aqidah, akhlak, ibadah, undang-undang keluarga (pusaka), hudud dan qisas.

Kedua:

Dikenali sebagai hukum-hukum syarak yang ‘juz’iyah’.
Hukum-hukum ini agak berbeza dengan hukum-hukum syarak yang pertama kerana perlaksanaan hukum-hukum ini boleh berubah berdasarkan kepada perubahan masa dan tempat walaupun prinsip-prinsipnya masih kekal dan tidak berubah.

Sebagai contoh, pelaksanaan konsep Al-Syura boleh menerima perubahan daripada semasa ke semasa sedangkan prinsip atau konsepnya kekal dan tidak berubah sepertimana yang berlaku selepas kewafatan baginda saw khususnya di zaman khulafa’ al-Rasyidin r.a.

Hukum-hukum syarak di bahagian inilah yang pernah diungkapkan oleh para ulamak dengan kata mereka:

“Di sana terdapat beberapa hukum syarak yang berkait rapat dengan ‘illah (sebab), dengan kata lain adanya ‘illah ada hukumnya dan tiada ‘illah maka tiada hukumnya”.

Sebagai contoh, sepertimana tindakan Saidina Umar al-Khattab r.a. memberhentikan pemberian zakat kepada ketua-ketua Quraisy yang masih kafir yang sebelum ini pernah mendapatnya di zaman baginda Rasulullah saw, di zaman Saidina Abu Bakar r.a. dan di awal zaman pemerintahan baginda sendiri (sebelum pembukaan Rom dan Parsi).

Hukum-hukum syarak bahagian kedua inilah yang dikenali dengan Al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah.

Pengertian Siasah Syar’iyyah

Para ulamak mengemukakan dua takrif siasah syar’iyyah:

1. Takrif ‘Am

Siasah Syar’iyyah mengikut takrif ‘am diertikan sebagai peraturan-peraturan dan undang-undang yang digubal untuk mengurus dan mentadbir negara di mana ianya sejajar dengan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah syarak walaupun tidak terdapat dalil-dalil yang tafsiliy.

Takrif ini merangkumi semua aspek peraturan dan undang-undang samada yang berkaitan dengan lembaga penggubal, pelaksana dan kehakiman termasuklah juga urusan-urusan perlembagaan, soal dalam dan luar negara.

Di antara buku-buku yang ditulis berkaitan dengan siasah syar’iyyah seperti Al-Hukum al-Sultaniyah karangan Al-Imam al-Mawardi Al-Syafi’e dan Qadhi Abu Ya’ia Al-Hanbali, kitab Al-Siasah al-syar’iyyah fi Islah al-ra’I wa ra’iyyah karangan Al-Imam Ibn Taimiyah dan kitab Tafsir al-Hukum oleh Ibn Firhaun.

Kitab-kitab yang serupa ini menyebutkan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan perkara-perkara yang menjadi kewajipan ke atas pemerintahan kerajaan Islam terhadap rakyat jelata dalam semua aspek kehidupan.

2. Takrif Khas

Ia diertikan sebagai suatu hukum yang agak keras yang dipetik daripada dalil-dalil yang ijmaliyah sekiranya hukum fiqh biasa tidak dapat mencapai matlamat di mana hukum serupa itu disyariatkan.

Ianya seolah-olah menyerupai undang-undang khas yang digubal apabila negara berada di dalam keadaan darurat.

Ibn Nujaim al-Hanafi menjelaskan tentang hukuman zina menyatakan bahawa siasah syar’iyyah bermaksud suatu tindakan yang dilakukan oleh pemerintahan demi untuk suatu maslahah walaupun tindakan tersebut tidak disokong oleh dalil yang juz’ie, seperti mengenakan hukuman buang daerah kepada penzina yang belum muhsan selain disebat sebanyak seratus kali.

Untuk menjelaskan lagi kedudukan siasah syariyyah, para ulamak memberikan beberapa contoh antaranya seperti berikut:

1.Boleh dikenakan hukuman bunuh ke atas pencuri yang berulang kali melakukan jenayah tersebut

2.Seseorang yang dituduh mencuri yang enggan mengaku bersalah, pihak berkuasa boleh mengenakan hukuman ta’zir seperti mengurungnya atau menyebatnya dengan syarat pada hemat pihak berkuasa bahawa besar kemungkinan tertuduh sememangnya terbabit dalam kes kecurian tersebut dan barang yang dicuri masih berada di tangannya.

Sedangkan jika menurut hukum fiqh biasa, kes seperti di atas pihak pendakwa akan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang mensabitkan pertuduhan ataupun pihak tertuduh bersumpah menafikan tuduhan tersebut

3.Rasulullah saw pernah disoal mengenai unta dan kambing yang hilang di padang pasir.

Baginda menyuruh agar sekiranya kambing-kambing itu dijumpai hendaklah mereka mengurungnya sehingga didapati tuannya dan diserahkan kepadanya semula.

Adapun mengenai unta-unta yang hilang, baginda mengarahkan agar binatang tersebut dibiarkan begitu sahaja sehinggalah tuannya menjumpainya.

Hukum ini berkuatkuasa sehinggalah zaman Saidina Othman bin Affan r.a.

Di zaman baginda keadaan dan suasana agak berbeza dengan keadaan sebelumnya di mana perompak dan penyamun bermaharajalela hatta di padang pasir.

Kerana itu, baginda memerintahkan agar unta dan kambing yang hilang ditangkap dan dikurung sementara menunggu kehadiran tuan empunya, sedangkan sebelum itu apa yang dibimbangkan hanyalah binatang-binatang buas seperti singa dan harimau.

Kambing sebagai binatang yang kecil dan lemah tentunya tidak mampu melawan binatang buas tersebut sepertimana unta.

Di zaman Saidina Ali r.a. pula, segala –perbelanjaan untuk menjaga binatang tersebut diambil daripada Baitul Mal.

4.Saidina Umar r.a. menjatuhkan talak tiga ke atas lelaki yang menceraikan isterinya (talak tiga) dengan satu lafaz.

5.Penulisan mushaf di zaman Saidina Abu Bakar r.a.

6.Mengadakan jabatan-jabatan di zaman Saidina Umar r.a.

7.Dasar Saidina Umar r.a. mengekalkan tanah-tanah yang dibuka di Iraq kepada tuan-tuan empunya disamping mengenakan cukai (al-kharaj) ke atas tanah tersebut sekiranya mereka masih menganut agama asal mereka

8.Keputusan Saidina Umar r.a. membuang daerah seorang pemuda di Madinah yang bernama Nasr bin Haliaj.

Pemuda ini memiliki rupa paras yang amat kacak sehingga mempesonakan seorang gadis di kota suci itu.

Mulanya Umar r.a mengarahkan pemuda itu dicukur. Namun, rupa parasnya masih lagi cantik.

Akhirnya dia dibuang daerah ke Basrah, Iraq. Pada hemat Saidina Umar r.a., jika pemuda tersebut masih dibiarkan berada di Madinah, kemungkinan besar gadis-gadis lain turut terpesona dengan kekacakannya.

Ini suatu fitnah yang besar terutama di kota suci Madinah.

Berlainan sekiranya kalau pemuda itu di Basrah sebab beliau dikira terasing di tempat orang.

Lagipun, mungkin dia akan bersikap lebih waspada terhadap dirinya.

Hukum-Hukum Yang Diputuskan Menerusi Siasah Syariyyah

Perlu ditegaskan bahawa semua hukum yang diputuskan menerusi Al-Siasah al-Syar’iyyah ianya juga digolongkan sebagai hukum-hukum syariah.

Ini kerana ianya ditentukan menerusi dalil-dalil syariah yang umum sepertimana ia diputuskan melalui al-Maslahah al-Mursalah yang diguna pakai sebagai salah satu sumber hukum.

Oleh itu, penggunaan istilah al-Hukum al-Siasah al-Syar’iyyah yang terdapat di dalam kitab-kitab berkenaan adalah penggunaaan istilah biasa dan tidak berubah kandungan dan struktur hukum-hukum tersebut.

Hukum-hukum tersebut memberi keluasan dan kelonggaran kepada pemerintah kerajaan Islam dalam melaksanakan keadilan dan memastikan kemanan tumbuh subur di dalam kehidupan masyarakat dengan syarat ianya bebas daripada sikap keterlaluan dan kecuaian dan berish daripada sebarang kepentingan diri.

Hukum-hukum yang diputuskan melalui siasah syar’iyyah lebih bersifat fleksibel.

Walaubagaimanapun, para ulamak meleraikkan syarat-syarat berikut:

1.Ianya diputuskan oleh pemerintah negara dankerajaan Islam yang menjadikan Al-Qur’an dan Al-Sunnah sebagai perlembagaannya.

Kerajaan yang tidak Islam atau orang perseorangan tidak berhak menjadikan siasah syar’iyyah sebagai saluran untuk mengeluarkan hukum-hukum tersebut

Maka dalam konteks kita sebagai sebuah Jama’ah Islamiyah yang setakat ini diamanahkan oleh Allah SWT untuk mentadbir dua buah negeri Kelantan dan Terengganu, di samping DUN-DUN dan Parlimen yang kita kuasai, maka pada hemat penulis, kita sudah berupaya insya-Allah untuk mengeluarkan hukum-hukum dan peraturan-peraturan menerusi al-Siasah al-Syar’iyyah lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan urusan dlam jama’ah, begitu juga urusan luar yang masih berada di dalam bidang kuasa kita.

2.Hukum-hukum tersebut hendaklah bertepatan dengan semangat perundangan Islam serta berpandukan kepada kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip am dalam Islam seperti kaedah Sadd al-Zara’ie dan Raf’a al-Harj sepertimana ia juga bersesuaian denga prinsip Al-syura, Tahqid al-Adalah dan prinsip Al-Ruju’ bimu’ dhakit al-umuri ila ahl al-zikri wa al-Ra’yi (merujuk semua urusan yang rumit kepada kumpulan cerdik pandai).
3.Tiada sebarang percanggahan yang hakiki dengan mana-mana dalil tafsiliy yang telah menjadi sebagai syariat’ am di setiap masa dan tempat, ataupun sememangnya ada dailil tersebut tetapi hanyalah sebagai syariat/peraturan sementara spertimana masalah penetapan harga barangataupun sedari asal tiada sebarang dalil tafsiliy berhubung dengan perkara berkaitan

Ibn Qayyim r.a. dalam kitabnya Al-Turuq al-Hukmiyah Fi Siasah al-syar’iyyah menukilkan kata-kata Ibn ‘Uqail r.a. yang bermaksud:

Sudah menjadi kebiasaan betapa dibolehkan beramalan dengan siasah syar’iyyah dalam negara malah itu merupakan suatu tekad bahkan setiap tokoh ulamak (imam) telah bersikap demikian.

Imam Al-Syafi’e r.a. menegaskan katanya…”Tiada siasah dikira sah melainkan ianya hendaklah bertepatan dengan kehendak syarak.

‘Ibn ‘Uqail r.a. pula menyatakan: “Siasah ialah suatu tindakan yang boleh membawa manusia lebih hampir kepada kebaikan dan terhindar jauh daripada kebinasaan walaupun itu tidak pernah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak pernah diturunkan melalui wahyu”.

Inilah siasah yang dikatakan siasah syar’iyyah yang adil dan saksama.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada penjelasan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa saluran al-Siasah al Syar’iyyah sepatutnya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh PAS sebagai organisasi Islam yang bersifat haraki yang mengambil tempat sebuah kerajaan Islam di rantau ini.

Kita sesungguhnya memiliki tiga fakta utama dalam memenuhi keperluan siasah syar’iyyah iaitu:

1.Timbulnya isu-isu dan masalah-masalah baru yang memerlukan jawapan yang tepat

2.Wujudnya kumpulan ilmuan yang terdiri daripada ulamak dan professional yang pada penulis dapat di manfaatkan dalam melengkapkan lagi organisasi pengurusan dan pentadbiran jama’ah

3.PAS bukan lagi sebagai sebuah badan dakwah, malah dengan izin Allah SWT telah mengorak selangkah ke hadapan sebagai sebuah kerajaan walaupun di peringkat negeri

Sama-sama kita berdoa semoga Allah swt sentiasa menganugerahkan taufik dan hidayahNya serta mengekalkan kerajaan PAS yang sedia ada dalam usahanya untuk meluaskan sempadan pemerintahannya dan meyakinkan kepada masyarakat umum betapa Islam sebagai pilihan utama mereka di masa dahulu, sekarang dan untuk selama-lamanya, Amin.

Bibiliografi

1.Al-Quran al-Karim
2.Kitab-kitab Hadith
3.Al-Asybah Wa Al-Nazair, Al-Imam Al-Sayuti
4.Al-Siasah Al-Syar’iyyah Fi Islah al-Ra’yi Wa al-Ra’iyah Ibn Taimiyah
5.Al-Turuq al-Hukmiyah Fi Siayasah al-Syar’iyyah, Ibn Al-Qayyim
6.Majalah al-Dirasat al-‘Arabiyah Wa al-Islamiyah, IPI Brunei Darussalam
7.Al-Kharaj, Al-Qadhi Abu Yusuf

 

Sharing is caring ^_^